Monday, March 21, 2011


SELENDANG DELIMA (1958)

Kejelitaan Maria Menado Di Eksploitasi Sepenuhnya
Oleh Mustafar A.R. & Zaini Yusop








ABDULLAH CHIK dan MARIA MENADO


M. AMIN sebagai DEWA LAKSANA











AMAN BELON dan PUTEH LAWAK


ABDULLAH CHIK dan MAHMOOD JUNE




SARINA sebagai SELENDANG DELIMA




Dari kiri, MISLIA, AMELIA, HALIMAH, NORSIAH YEM, ANGELINA, LATIFAH OMAR dan MARIAM







CATHAY KERIS FILM
Produser HO AH LOKE
Pengarah K.M. BASKER
Juru Gambar TSIN MING CHIN & HAN KAI JUAN
Juru Suara CHUA HUNG BOON & WAN LIM CHYE
Penyunting Film HUSSAIN HANIFF
Pengarah Seni J.S. ANTONY
Cerita YEM
Lagu YUSOF B.
Pelakon ABDULLAH CHIK (Bang Segara) Maria Menado (Sri Banian) LATIFAH OMAR (Putri Bungsu) M. AMIN (Dewa Laksana) NORSIAH YEM SHARIFF MEDAN MARIAM YEM MISLIA DOLLAH SERAWAK HALIMAH MAHMOOD JUNE AMELIA PUTEH LAWAK ANGELINA AMAN BELON SARINA KUSWADI RAJA ISMAIL


JALAN CERITA___

SEKEMBALINYA menuntut ilmu di Gunung Ledang, Bang Segara (Putra Raja) negerinya (Benua Puri) telah menjadi "padang jarak padang terkukur" apabila diserang Burung Geruda. Bang Segara hanya menemui adindanya (Sri Banian). Raja dan hamba rakyat hilang ghaib ketika pergi mencari Burung Geruda untuk dibunuh.

Sebelum meninggalkan Sri Banian Raja telah memasukkannya ke dalam peti dan hanya boleh keluar apabila ayahandanya itu tidak pulang selama tujuh hari.

Kerana keadaan negeri tidak selamat dan Burung Geruda masih bermaharajalela, Bang Segara dan Sri Banian mengambil keputusan meninggalkan negeri tersebut pergi ke negeri lain. Dalam pada itu, di kayangan Dewa Laksana diperintahkan ayahandanya membunuh Burung Geruda. Tapi dalam perjalanan dia bertemu dan terpikat dengan kejelitaan Sri Banian lalu jatuh cinta.

Dewa Laksana kemudian memasukkan dirinya ke dalam buah delima yang mana ditemui dan dimakan Sri Banian yang menyebabkan dia mengandung. Dengan memakan buah delima itu sahlah Sri Banian menjadi isteri Dewa Laksana.

Apabila melahirkan anak perempuan, Sri Banian memasukkannya ke dalam peti atas permintaan Dewa Laksana dan mewasiatkan pada Bang Segara supaya membawanya ke mana saja dia pergi. Dengan ketiadaan Sri Banian, Bang Segara pergi seorang diri.

Sampai di negeri Bina Puri, Bang Segara telah menyelamatkan Datuk Bendahara dari angkara anak Raja (Mahmood June yang berang kerana tidak diwasiatkan sebagai Raja) serta pengikut-pengikutnya.

Ini membuatkan Datuk Bendahara terhutang budi dan meminta Bang Segara tinggal menetap di negeri tersebut sambil mencadangkan supaya dia menyertai pertandingan mematahkan pedang Gajah Putih sebagai memenuhi wasiat Raja yang baru saja mangkat.

Sesiapa saja berjaya mematahkan pedang tersebut dialah yang berhak menjadi Raja dan berkahwin dengan kesemua tujuh putri Baginda.

Bang Segara berjaya dan kemudian melantik Putri Bungsu sebagai Raja Permaisuri. Sepeninggalan Raja pergi belayar mengziarahi rakyat Baginda di beberapa negeri, isteri-isteri Baginda (kecuali Putri Bungsu) telah mencurigai apa yang terkandung dalam peti yang diamanahkan pada Putri Bungsu oleh Raja jangan membukannya.

Kerana curiga yang melampau (oleh isteri Baginda yang enam) akhirnya peti tersebut dibuka dan alangkah terperanjatnya mereka apabila mendapati didalamnya tersimpan seorang anak gadis (Selendang Delima).

Ini membuatkan salah seorang isteri Baginda (Norsiah Yem) begitu cemburu dan marah mahu membunuhnya tapi dihalangan Putri Bungsu. Dan kerana mahu terus mendera Selendang Delima isteri Raja yang bengis dan garang itu menyatakan kesanggupan memeliharanya.

Sepulangnya menjalankan tugas, Baginda terpesona bila mendengar syair yang di dendangkan Selendang Delima yang mana kemudian didapati anak gadis yang didera itu adalah anak saudaranya, anak Sri Banian yang bersuamikan Dewa Laksana.

Raja murka apabila mendapati anak saudaranya itu didera tapi untuk menemui ayahbondanya, Selendang Delima merayu pada Raja supaya pergi ke sebuah gua yang terletak di pulau berhampiran.

Di sana Selendang Delima memuja rotan dan batu yang mana kemudian menjelmakan ayahbondanya, Dewa Laksana dan Sri Banian. Menurut Dewa Laksana, mereka di sumpah menjadi rotan dan batu kerana kemurkaan ayahandanya (sebab berpoya2 dengan Sri Banian) dan hanya Selendang Delima saja yang boleh menghapuskan sumpahan tersebut.

Disebabkan kekejaman yang dilakukan enam isteri Raja muka mereka bertukar menjadi hodoh tapi atas permintaan Selendang Delima wajah mereka kembali seperti sediakala.

Dewa Laksana yang belum lagi menyelesaikan tugasnya, pergi menunaikan tanggungjawabnya membunuh Burung Geruda yang masih mengganas berbekalkan panah sakti.


ULASAN FKM___

Syair "Selendang Delima" memang begitu terkenal sekian lama, ia sering dijadikan persembahan pentas bangsawan. Sebagai filem fantasi, filem ini bolehlah dianggap menghiburkan lebih-lebih lagi adanya Maria Menado yang cantik menawan dan lagu-lagu Yusof B yang sedap didengar.

Kejelitaan dan keseksian Maria Menado diekploitasi sepenuhnya oleh K.M. Basker terutama semasa dia mandi dikolam sambil diperhatikan Dewa Laksana yang tidak boleh dilihat Sri Banian tapi merasakan ada mata memerhatikan gerakgerinya.

Selain dari cerita dan lakonan yang boleh dianggap baik ialah efek khas (special effects) yang menggambarkan Burung Geruda, Dewa Laksana terbang di awang-awangan, Maria Menado di angkat ke kayangan, letupan gunung berapi, Dewa Laksana masuk ke dalam buah delima dan negeri musnah akibat keganasan Burung Geruda.

Ternyata efek khas ini lebih banyak dan lebih berjaya jika dibandingkan "Iman" yang diarahkan K.R.S. Sastry. Pujian harus diberikan pada N.B. Vasudev kerana kreatifnya menghasilkan efek tersebut, begitu juga J.S. Antony yang menghasilkan adigan di kayangan ketika Maria Menado dan M. Amin bercumburayu, menari dan menyanyi.

Sebagai bintang baru (introducing), lakonan Abdullah Chik sebagai Bang Segara agak baik dan memuaskan, demikian juga M. Amin. Maria Menado kurang bekesan tapi kelemahannya itu ditutup rapat dengan kejelitaan dan kecantikannya.

Sarina memegang peranan Selendang Delima cukup memuaskan dan Norsiah Yem sebagai Putri Raja yang garang dan bengis juga baik walaupun ada kalanya sedikit over acting.

Latifah Omar (Putri Bungsu) agak terpinggir kerana peranannya tidak begitu menyerlah. Lakonannya telah dibayangi Maria Menado, Norsiah Yem dan Sarina. Namun begitu namanya diletakkan ditempat ketiga selepas Maria Menado.

Sebaiknya nama Latifah Omar tercatat sebagai Bintang Undangan kerana dia telah berperanan sebagai heroine dalam "Merana", "Bernoda", "Menyerah" dan "Putera Bertopeng" manakala nama Sarina sepatutnya di tempat Latifah Omar kerana peranannya sebagai Selendang Delima begitu penting dan digunakan sebagai tajuk filem pula.

Tambah tidak kena, nama Sarina diletak dipenghujung selepas Aman Belon.

Kalau diteliti baik-baik, jelas sekali filem ini ada unsur-unsur "Iman" (1954), "Hang Tuah" (1956) dan "Sumpah Orang Minyak" (1958).

Dialog (oleh Hamzah) ada sedikit cacatcelanya apabila Raja (Yem) berbahasa "aku" sepatutnya "beta" dan Sarina pula menggunakan "patik" (sebaik keluar dari dalam peti) sepatutnya "saya".

Walau apa pun, pada keselururahnya filem dongeng ini menarik dan menghiburkan.


MARI KITA MENYANYI LAGU "TIADA LARI GUNUNG DI KEJAR"



(sumber: flagellum79)

"TIADA LARI GUNUNG DI KEJAR"

* Aaa...
Aaa aaa...
Aaa aaa aaa...
Ku tanyakan kepada suria
Ku ceritakan kepada purnama
Di manakah letaknya dewi bahgia
Di mana dia gerbang asmara
Ingin hati tiada terkira
Hasrat jiwa nan haus dahaga
Mengharap madu hanya seteguk mesra
Risau hati menanti kecewa

** Tiada lari gunung di kejar
Mawar jelita telah mekar
Ibarat rangbulan telah di pangkuan
Menanti tiba untuk suntingan
Kasih sayang di taman asmara
Di buai hati rindu dahaga
Madu ku cipta dari ambang harapan
Gerbang nirwana jadi idaman

** Ulang sekali lagi


Penyanyi filem MARIA MENADO & M. AMIN
Penyanyi suara SALOMA & ABDULLAH CHIK
Lagu ciptaan YUSOF B.
Penulis lirik HAMZAH HUSSAIN


LAGU___

Terdapat lima lagu dalam filem ini

1. Taman Puspa (Saloma)

2. Tasik Madu (Maria Menado)

3. Tiada Lari Gunung Di Kejar (Abdullah Chik & Saloma)

4. Permata Bonda (Saloma)

5. Nasib Diriku (Saloma)


FAKTA___

* Syair "Selendang Delima" pernah di filemkan di Indonesia pada tahun 1941 diarahkan Henry L. Duarte dengan juru gambarnya Khouw H. Tjik dan dibintangi Celly Young, Asmana dan Soerjono.

* Inilah filem pertama Abdullah Chik dan juga satu-satunya filem dia berlakon disamping Maria Menado.

* Nama sebenar Sarina, Zarinah. Anak Siti Tg. Perak ini turut berlakon sebagai anak P. Ramlee dan Siput Serawak dalam "Hujan Panas" menggunakan nama Baby Zarinah.

* Efek khas (special effects) diselenggarakan N.B. Vasudev yang juga bertanggungjawab pada efek khas "Iman" keluaran MFP Jalan Ampas.

* Filem pertama dibintangi Latifah Omar di Cathay Keris Film selepas menyiapkan filem terakhirnya di MFP Jalan Ampas, "Putera Bertopeng" berherokan Ahmad Mahmood.

* Filem pertama arahan K.M. Basker di Cathay Keris Film. Filem terakhirnya di MFP Jalan Ampas, "Putera Bertopeng".

* Syair-syair lain turut dijadikan filem disamping "Selendang Delima" ialah "Siti Zubaidah", "Dandan Setia" dan "Panji Semerang".

* Filem pertama dibintangi Jamal Mohammad (Kerdil). Pada tahun 1966 P. Ramlee mengambilnya berlakon sebagai Jin Afragus dalam "Sabarudin Tukang Kasut".

* "Kajang tuan kajang berlipat. Kajang patik mengkuang layu. Patik dagang tidak bertempat. Lagi pulak yatim piatu." Rangkap Sarina ini diucapkan semula oleh Noordin Ahmad (jadi popular) dalam "Sri Mersing" tapi dibuat beberapa perubahan.


DIALOG MENARIK___

"Adinda seorang saja yang nampak gembira bila kanda balik. Sedangkan adinda yang lain hanya menghendaki pesanan mereka saja" - Bang Segara (Abdullah Chik).


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.


5 comments:

  1. filem selendang delima 1958 tak ada ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Puas cari full movienya di Youtube, tak jumpa.
      Yang ada hanyalah klips lagu-lagunya saja.
      Saya ada, tapi tak tau cara mana nak upload.

      Delete
    2. daftar akaun kt youtube, lepas 2 upload.

      Delete
    3. cepat la upload sape yg ade... dh lama cari...

      Delete
  2. ada sesiapa ada syair Selendang Delima?

    ReplyDelete