Tribute... A.R. Ismail (8/10/1929-15/1/1995) Pencipta Lagu Yang Tidak Patut Kita Lupakan (Update: 24/11/2016)

1. Bisikan Hati 2. Senja Berulang Senja 3. Dimanakah Cintamu 4. Aku Kecewa 5. Berikan Ku Sinar Harapan >> Kliks Disini

Monday, March 28, 2011


SIPUT SERAWAK





Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop




SIPUT SERAWAK, begitu seksi sewaktu mudanya.


Bersama P.Ramlee, "HUJAN PANAS"

Bersama D.Harris dan S.Roomai Noor, "CHINTA"


YATIM MUSTAPHA (sumber: FilemKlasik Melayu)


MENYERAH (sumber: ed LOkfc)


INSAN (sumber: ed LOkfc)


RADEN MAS (sumber: ed LOkfc)


HANG JEBAT (sumber: Lima Jiwas)


PADA SUATU MALAM, lagu Siput Serawak dirakamkan sekitar tahun 1940an
(sumber: dezydizzy)

ULASAN FK___

SIPUT Serawak (kadang-kadang ejaannya Siput Sarawak) nyaris-nyaris tercatat dalam sejarah dunia filem Melayu (Malaysia) sebagai pengarah filem wanita pertama apabila Tom Hodge (boss Cathay Keris Film) bercadang melantiknya ke jawatan tersebut.

Kebetulan pula, Cathay Keris Film mahu menambah beberapa orang lagi pengarah filem dan Tom Hodge merasakan Siput Serawak sesuai diberi peluang berdasarkan kebolehan dan popularitinya sejak membintangi "Singapura Di Waktu Malam" (1947).

Sebaik saja mengetahui dirinya akan duduk di kerusi pengarah filem, Siput Serawak telah membelanjakan wangnya sendiri mengajikan seorang jurutaip untuk menaip skrip hasil karyanya sendiri, "Mata Shaitan".

Siap saja skrip tersebut, Siput Serawak pun menyerahkan kepada Tom Hodge dan dia pula memberikannya kepada Hamzah Hussain untuk disemak dan dinilai.

Hamzah Hussain mendapati ceritanya sangat baik dan sesuai dijadikan filem iaitu kisah mengenai cara hidup dan kepercayaan seorang wanita.

Tom Hodge dan Hamzah Hussain bersetuju Siput Serawak mengarahkan ceritanya itu. Tetapi malangnya, perlantikan tersebut dibantah oleh Kesatuan Pekerja Cathay Keris Film yang bernaungkan persatuan sayap kiri yang sangat berpengaruh berpejabat di Middle Road, Singapura.

Bagi mengekalkan hubungan baik antara majikan dan pekerja, Tom Hodge menarik balik cadangannya dan dengan itu hasrat Siput Serawak menjadi pengarah filem Melayu wanita pertama pun hancur berkecai.

Penyudahnya, skrip "Mata Shaitan" diserahkan kepada Hussain Haniff yang sebelumnya telah membuktikan kebolehannya sebagai pengarah filem dengan filem-filem "Hang Jebat" (1961) dan "Dang Anum" (1962) sehingga mencapai kejayaan box office.

Rahman B. (pernah membintangi "Pembalasan", "Lela Satria" dan "Dang Anom") ditugaskan mengkaji skrip Siput Serawak itu yang mana dia telah merombak sama sekali mengakibatkan cerita yang begitu lembut mengenai citarasa dan emosi seorang wanita berubah menjadi cerita dipenuhi dengan kekejaman.

SAMBUTAN AGAK BAIK

Fatimah Ahmad (heroine) di bakar hidup-hidup di akhir filem seperti yang terdapat dalam dua filem barat - "The Witches of Salem" dan "Joan of Arc".

Siput Serawak turut membintangi "Mata Shaitan" (1964) itu dengan Yusof Latiff sebagai hero.

Itulah saja peluang keemasan Siput Serawak, 'second chance' tidak pernah kunjung tiba apatah lagi popularitinya semakin lama semakin menurun.

Siput Serawak (nama sebenarnya Ramlah binti Mohamad Sulaiman) lahir di Kuching, Sarawak kira-kira awal tahun 1920an, mula menceburkan diri berlakon dan menyanyi di pentas bangsawan (ketika usianya masih kecil) bersama ayahnya, Dollah Serawak.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, apabila filem Melayu mula berkembang, Siput Serawak merupakan heroine filem Melayu kedua selepas Rokiah Hanaffi yang berherokan Salleh Ghani dalam "Seruan Merdeka".

Selepas "Singapura Di Waktu Malam" (1947) mendapat sambutan agak baik dan Siput Serawak pula telah menunjukkan kemampuan berlakon, dia diberi peranan heroine dalam "Chinta"(1947) , "Nasib" (1948), "Nilam" (1948) dan "Pembalasan" (1948) kesemuanya berherokan S.Roomai Noor.

Apabila B.S.Rajhans menurunkan tarafnya sebagai pelakon pembantu dalam "Rachun Dunia" (1950) kemudian disusuli "Bakti" (1950) arahan L.Krishnan, kedudukan Siput Serawak sebagai heroine mula terumbang ambing.

Selepas "Berdosa" (1951, juga pelakon pembantu) arahan S.Ramanathan, agak lama juga Siput Serawak tidak berlakon sehinggalah B.N.Rao mengambilnya membintangi filem "Hujan Panas" (1953) yang mana buat pertama kalinya berherokan P.Ramlee.

KERANA SESUATU SEBAB

Selepas "Hujan Panas", filem-filem Siput Serawak di studio MFP Jalan Ampas yang agak menyerlah "Menyerah" (1956) dan "Penchuri" (1956) berlakon bersama Yusof Latiff dan S.Kadarisman.

Filem "Menyerah" (turut dibintangi Latifah Omar), Siput Serawak benar-benar memperlihatkan keseksiannya yang menggairahkan yang tidak pernah dilakukannya sebelum itu.

Siput Serawak sepatutnya berlakon dalam "Adek-Ku" bersama Ahmad Mahmood, Rosnani dan Haji Mahadi (penggambaran untuknya sudah pun dilakukan) tetapi kerana sesuatu sebab terpaksa peranannya dibatalkan dan ditukar kepada Saloma.

Kemudian Siput Serawak beralih angin ke Cathay Keris Film berlakon banyak filem tetapi boleh dikatakan kesemuanya sebagai pelakon pembantu, antaranya "Noor Islam" (1960), "Hang Jebat" (1961) dan "Patong Chendana" (1965).

P.Ramlee mengambil Siput Serawak berlakon di Merdeka Film Studio dalam "Keluarga 69" (1967) selepas kali terakhir berlakon bersama dalam "Hujan Panas".

Filem terakhir Siput Serawak, "Layar Lara" (1997), diarahkan Shuhaimi Baba.

Siput Serawak berkahwin dengan S.Roomai Noor pada 1951 dan bercerai pada 1953. Anita Serawak adalah satu-satu anaknya bersama S.Roomai Noor.

Kerana jasanya dalam dunia perfileman Malaysia, Siput Serawak telah diberi penghormatan menerima Anugerah Artis Veteran di Festival Filem Malaysia Ke-9 (FFM9) pada 2 Jun 1991.

Siput Serawak meninggal dunia di Singapura pada 3 Jun 1999 ketika usianya 78 tahun.


Siput Serawak menerima Anugerah Artis Veteran di Festival Filem Malaysia Ke-9 (FFM9) daripada Menteri Besar Selangor, Muhammad Taib, pada 2 Jun 1991 sambil diperhatikan oleh Jins Shamsudin.

ANTARA LAIN FILEM SIPUT SERAWAK___

* Sangsara (1953)

* Insan (1955)

* Mangsa (1956)

* Korban Fitnah (1959)

* Raden Mas (1959)

* Hantu Rimau (1960)

* Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang (1961)

* Yatim Mustapha (1961)

* Siti Zubaidah (1961)

* Korban Kaseh (1962)

* Bunga Tanjong (1963)

* Pontianak Gua Musang (1964)

* Wan Perkasa (1964)

* Jiran Sekampong (1965)

* Ikan Emas (1965)

* Muda Mudi (1965)

* Naga Tasek Chini (1966)

* Pop Muda (1968)


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.








1 comment:

  1. Siapa pulak Murni Serawak.anak Siput Serawak atau adik beliau? Atau anak beliau berlainan suami..?

    ReplyDelete