Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Tuesday, April 12, 2011


SERUAN MERDEKA (1947)

KEGANASAN DAN KEKEJAMAN JEPUN DITENTANG
Tels: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



Salleh Ghany sebagai Rashid


Rokiah Hanaffi sebagai Zaharah


Iklan tayangan filem "Seruan Merdeka" di Queen Theatre, Singapura


Rokiah Hanaffi dan Salleh Ghany


Rokiah Hanaffi dan Suhara Effendi


Salleh Ghany dan Johar

Produksi MALAYAN ARTS PRODUCTIONS
Produser S.M.A.H. CHISHTY
Pengarah B.S. RAJHANS
Jurugambar TSIU MENG CHIN
Cerita SALLEH GHANY
Pelakon SALLEH GHANY (Salleh Ghani) ROKIAH HANAFFI (Rokiah Wandah) SYED ALI AL-ATTAS BACHTIAR EFFENDI SUHARA EFFENDI D. HARRIS SITI TG. PERAK JAFFAR WIRYO JOHAR P.S. GOH MOHAMMAD PILUS HENG GEOK CHEE LAILA

Mula ditayangkan: 16 OGOS 1947
Masa tayangan: TIDAK DIKETAHUI


JALAN CERITA___

CERITA mengisahkan keganasan dan kekejaman tentera Jepun (kempeitai) di Singapura semasa perang dunia kedua. Sepasukan gerila yang dipimpin oleh Leftenan Rashid telah bertindak menentang.

Leftenan Rashid, yang bertugas di unit semboyan, telah ditangkap kerana didapati menjadi perisik rahsia bagi pihak tentera Bersekutu.

Dia kemudian berjaya melepaskan diri dan menjadi buruan.

Disamping itu, ia juga menyelitkan percintaan antara Leftenan Rashid (Salleh Ghany) dengan Zaharah (Rokiah Hanaffi).


ULASAN FK___

Sayang sekali, filem ini (juga bertajuk "Voice of Freedom" atau "Call of Freedom") ghaib. Saya sendiri tidak pernah menontonnya. Justeru itu, sudah tentu menyukarkan saya membuat ulasan.

Apa yang nyata (apabila berakhirnya perang dunia kedua) pada tahun 1946, filem Melayu mula diusahakan kembali setelah "Menantu Durhaka" (ejaan digunakan dalam filem "Menantoe Doerhaka") tersangkut kerana perang dunia kedua tetapi berjaya juga disiapkan. Tayangan di Queens Theatre, Geylang bermula pada 30 Mac tahun 1946.

Chisty bersama rakan kongsinya (Chia dan Samy) menubuhkan syarikat filem (Malayan Arts Productions) dan beroperasi di pejabat mereka yang terletak di Kandahar Street, Singapura.

Sebuah kawasan di Istana Kampung Gelam dan sebuah rumah di Lorong 26, Geylang telah disewa bagi membangunkan setting untuk penggambaran yang dijadualkan mengambil masa 5 bulan menyelesaikannya.

Sebelum penggambaran, pelakon-pelakon yang berperanan penting dikehendaki berlatih di Panggung Royal, North Bridge Road dan juga di Istana Kampung Gelam.

Lama juga latihan dijalankan barulah penggambaran dimulakan iaitu pada 5 Mac 1947.

Tidak dapat dipastikan bagaimana corak dan kualiti filem ini.

Bagaimanapun, apa yang saya dapat tahu ketika membaca majalah-majalah lama, perbelanjaan membuatnya agak mahal, persembahan ceritanya agak lemah dan lakonan pelakon-pelakonnya pula belum cukup sempurna, masih kelihatan kaku.

Apa yang boleh dibanggakan hanyalah, filem ini merupakan filem bercorak sejarah pertama dikeluarkan di Malaya, selepas kembalinya tentera Bersekutu ke Malaya.

Penggambarannya boleh tahan disamping mempunyai kualiti suara yang agak baik, selari dengan gerak mulut pelakon-pelakonnya.


FAKTA___

* Kerana membintangi filem ini, Salleh Ghany dan Rokiah Hanaffi boleh dianggap sebagai hero dan heroine pertama filem Melayu selepas perang dunia kedua.

* Rokiah Hanaffi meninggal dunia di Singapura pada 5 Julai 1994 (68 tahun), manakala Salleh Ghany pula pada 28 Ogos 1986 di Kuala Lumpur (63 tahun).

* Filem Melayu ketiga diarahkan oleh B.S. Rajhans selepas "Leila Majnun" dan "Menantoe Doerhaka" ("Menantu Durhaka").

* Sebelum dijadikan filem, novelnya (bertajuk "Seruan Merdeka") telah diterbitkan oleh Sentosa Press pada tahun 1947.

* Filem ini buat pertama kali ditayangkan (tayangan tengahmalam) pada 16 Ogos 1947 di Queen Theatre, Geylang kemudian dilakukan tayangan serentak di Broadway, Johor Bahru dan Windsor, Pulau Pinang.

* Inilah satu-satunya filem keluaran Malayan Arts Productions. Ia kemudian terpaksa dibubarkan (pecah kongsi) kerana sukar mendapatkan panggung untuk menayangkan filemnya. Shaw Brothers membeli syarikat tersebut dan menukarkannya kepada Malay Film Productuons.

* Rokiah Hanaffi (selepas filem ini) berlakon bersama Kasma Booty dalam "Pisau Berachun" dan kemudian disusuli "Perkahwinan Rahsia" disamping S.Kadarisman. Sesudah itu dia meninggalkan terus dunia filem, hanya menumpukan sepenuh masa dalam bidang nyanyian. Banyak lagu telah dirakamkannya ke piringhitam.

* Salleh Ghany beralih ke studio MFP Jalan Ampas membintangi "Chempaka" bersama Kasma Booty kemudian pindah ke Cathay Keris Film berlakon beberapa filem termasuk "Buloh Perindu", "Dahlia", "Insaf", "Selamat Tinggal Kekasehku" dan "Tunang Pak Dukun" sebelum dilantik sebagai pengarah mengarahkan filem pertamanya "Sri Mersing" pada tahun 1960.

* Siti Tg. Perak, bila berbicara mengenai filem ini sering menyebut "Bintang Tiga" bukannya "Seruan Merdeka".

* Disamping berlakon, Bachtiar Effendi juga bertindak sebagai penolong pengarah.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.





KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.





2 comments:

  1. Salam.. terima kasih untuk entri ini. kat mana boleh saya tonton filem ni? Trima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setakat ini,
      "Seruan Merdeka" di anggap sebagai hilang.
      Ertinya,
      kita tidak dapat menontonnya.

      Delete