Tribute... A.R. Ismail (8/10/1929-15/1/1995) Pencipta Lagu Yang Tidak Patut Kita Lupakan (Update: 24/11/2016)

1. Bisikan Hati 2. Senja Berulang Senja 3. Dimanakah Cintamu 4. Aku Kecewa 5. Berikan Ku Sinar Harapan >> Kliks Disini

Friday, June 3, 2011


CINTA PERTAMA (1973)

YA, BEGITULAH KIRA-KIRA...
Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop







Christine Hakim dan Ully Artha



Slamet Rahardjo dan Christine Hakim


Koesno Soedjarwardi dan Aedy Moward



N. Riantiarno dan Nani Widjaja




Soultan Saladin sebagai Herman




JELAJAH FILM
Produser NY. SEVIHARA SOEDJARWO
Pengarah TEGUH KARYA
Juru kamera AKIN
Musik IDRIS SARDI
Juru sunting TANTRA SUJARDI
Juru suara SUPARMAN SIDIK
Tata artistik IRY SUPIT TEGUH KARYA
Cerita USMAN EFFENDI
Lakonlayar TEGUH KARYA
Pelakon SLAMET RAHARDJO CHRISTINE HAKIM NANI WIDJAJA KOESNO SOEDJARWARDI AEDY MOWARD N. RIANTIARNO ULLY ARTHA SOULTAN SALADIN SARI NARULITA ALAM SURAWIDJAJA NORMA MUCHSIN KHALIK NOOR ROBBY SUTARA

Tahun diedarkan: 1973
Masa tayangan: 110 Minit


JALAN CERITA___

Bastian bertemu Ade dalam keretapi menuju ke Jakarta. Di keretapi mereka saling pandang memandang dan terus jatuh cinta pandang pertama.

Kebetulan, Bastian mendapat kerja di pejabat bapak Ade. Dengan itu perhubungan semakin rapat dan terjalin cinta mencintai di antara mereka.

Suatu hari, bekas bapak mertua Bastian bertemu bapak Ade. Dia menunjukkan keratan akhbar memberitahu, Bastian telah membunuh anaknya (isteri Bastian) dan dihukum penjara hampir 4 tahun.

Kerana maruah, bapak Ade melarang Bastian bergaul dengan Ade tambahan pula Bastian sendiri mengakui memang dia yang membunuh isterinya.

Bastian meninggalkan Ade dan kerjanya. Dia kembali membantu keluarga angkatnya menanam dan menjual bunga.

Ketika Bastian menghantar bunga kepada pelanggannya di Jakarta, dia bertemu Ade. Dalam pertemuan tersebut, Ade menunjukkan bakal suaminya setelah Bastian memintanya.

Bastian terperanjat, kerana bakal suami Ade ialah Johnny (baru pulang dari Jerman), orang yang cuba memperkosa isterinya dan penyebab dia di penjara kerana dituduh membunuh isterinya.

Bastian tidak mahu Ade bersuamikan Johnny, dan dia menulis surat supaya Ade datang menjejakinya untuk berkahwin.

Ade bersetuju, dan ini menyebabkan Johnny berang. Dia mengamuk dan pergi ke tempat Bastian. Kemudian berlaku perkelahian antara mereka.

Herman (teman baik Bastian) terkena tembakan pistol Johnny dan sebelum menghembuskan nafas terakhir dia sempat menembak Johnny hingga menyebabkan kematiannya.


ULASAN FK___

Filem ini merupakan salah sebuah filem Indonesia yang saya suka tonton berulang-ulang kali. Satu perkara menarik buat saya ialah dialognya: "ya, begitulah kira-kira..." yang diucapkan berulang-ulang kali oleh Bastian (Slamet Rahardjo) dan Ade (Christine Hakim).

Cara pengucapan mereka, kemudian ditambah pula dengan dialog-dialog lain, menjadikan filem ini sukar saya lupai. Ini jelas, sudah 37 tahun berlalu (saya menonton pada tahun 1974) namun "ya, begitulah kira-kira..." masih ternyiang-nyiang di teliga saya.

Filem yang diarahkan oleh Teguh Karya ini tidak boleh dianggap hebat, tidak sehebat filem arahannya, "November 1828". Begitu pun juga, sebagai sebuah filem ia ada kesemuanya - drama, komedi, seram, lagu, musik dan aksi - yang sudah semistinya membuat penonton-penonton (terutama di kalangan remaja) terhibur dan mungkin juga tersentak.

Lakonan natural (bersahaja) Slamet Rahardjo dan Christine Hakim tidak boleh dipertikaikan bagusnya, sungguhpun mereka (ketika itu) boleh dianggap pelakon baru.

Ini kemungkinan, kedua mereka begitu rapat dengan Teguh Karya dan sama-sama bergiat dalam grup lakonan teater sebelum terjun ke dunia filem.

Inilah filem pertama Christine Hakim, dan bagi Slamet Rahardjo filem kedua selepas "Wajah Seorang Laki-Laki" juga diarahkan oleh Teguh Karya.

Lakonan pelakon-pelakon lain juga dikira baik dan memuaskan terutama Soultan Saladin, Nani Widjaya dan N. Riantiarno.

Penggarafan (lakonlayar) Teguh Karya ternyata berkesan sekali di mana plotnya tersusun kemas berdasarkan cerita yang begitu simple disamping temanya sudah banyak kali dijadikan filem.

Penggambaran oleh Akin sangat menarik. Tetapi bukan menonton melalui YouTube kerana kualitinya sudah pasti kurang memuaskan. Cari DVDnya (jika ada), kalau ingin tahu.

Musik dan lagu, nama Idris Sardi saja sudah cukup kuat menentukan kemerduan iramanya apatah lagi dinyanyikan oleh Anna Manthovani dan Broery Marantika.

Lagu "Cinta Pertama" yang iramanya mengikut rentak berjalannya keretapi, sangat menarik sekali.

Begitu pun juga, musik latarbelakang (kalau di dengar baik-baik) Teguh Karya cuba mengikuti jejak musik filem "Psycho" yang diarahkan oleh Alfred Hitchcock sebagai menggambarkan kedurjanaan Johnny.

Satu hal paling berjaya, saya kira, dari sudut penyuntingan filem oleh Tantra Sujardi. Pergerakannya begitu pantas sama seperti filem-filem aksi Shaw Brothers Hong Kong terutama semasa filem sudah sampai ke penghujung dan hampir tamat.

Oleh yang demikian, tidak heranlah dia mendapat pengiktirafan sebagai juru sunting terbaik (FFI74) di Surabaya.

Satu perkara lagi, terdapatnya unsur-unsur ciplak dari filem "Antara Dua Darjat" (1960) yang diarahkan oleh P. Ramlee.

Satu, Christine Hakim bermain piano sama seperti Sa'adiah bermain piano.

Dua, pengenalan diri oleh Christine Hakim dan Slamet Rahardjo sama seperti P. Ramlee memperkenalkan dirinya kepada Sa'adiah.

Tiga, perkelahian Slamet Rahardjo, N. Riantiarno dan Soultan Saladin sama seperti P. Ramlee, S. Kadarisman dan Yusof Latiff.

Cuma bezanya, Soultan Saladin mati di tembak tetapi Yusof Latiff tidak walaupun dia cuba dibunuh oleh S. Kadarisman.

Kesimpulannya, sungguhpun sudah berlalu sekian lama namun filem ini masih seronok di tonton (masih segar) dan juga boleh dianggap sebagai salah sebuah filem terbaik pernah dikeluarkan oleh negara Indonesia.


LAGU___

* "Cinta Pertama" (Anna Manthovani)

* "Musim Bercinta" (Broery Marantika)

* "Satu-Satu" (Anna Manthovani)


MARI KITA MENYANYI LAGU "CINTA PERTAMA"



(sumber: rayamir)


"CINTA PERTAMA"

Dua insan bertemu muka
Bagai merpati sejoli
Berpandangan bertatapan
Berpasangan di persimpangan
Kasih, bibirmu merah delima
Wangi seperti rambutmu
Halus bagai angin senja
Sesuci semurni kasihmu
Aku terperangkap dalam
Pelukan cinta pertama

Dua insan bertemu muka
Bagai merpati sejoli
Berpandangan bertatapan
Berpasangan di persimpangan
Kasih, bibirmu merah delima
Wangi seperti rambutmu
Halus bagai angin senja
Sesuci semurni kasihmu
Aku terperangkap dalam
Pelukan cinta pertama

Nyanyian ANNA MANTHOVANI
Lagu/musik IDRIS SARDI


ANUGERAH___

* Filem terbaik

* Pengarah terbaik TEGUH KARYA

* Pelakon wanita terbaik CHRISTINE HAKIM

* Juru kamera terbaik AKIN

* Musik terbaik IDRIS SARDI

* Lakonlayar terbaik ke-2 TEGUH KARYA

* Juru artistik terbaik ke-2 IRY SUPIT TEGUH KARYA

* Juru sunting terbaik ke-2 TANTRA SUJARDI

* FESTIVAL FILEM INDONESIA 1974 (Surabaya)


CHRISTINE HAKIM___

Adalah artis filem paling berjaya dan dihormati di Indonesia. Di lahirkan di Kuala Tungkal, Jambi pada 25 Disember 1957, dia mula terkenal apabila membintangi "Cinta Pertama" (1973) yang diarahkan oleh Teguh Karya.

Di Festival Filem Indonesia (FFI), Christine Hakim telah memenangi anugerah pelakon wanita terbaik 6 kali - "Cinta Pertama" (1974), "Sesuatu Yang Indah" (1977), "Pengemis dan Tukang Becak" (1979), "Di Balik Kelambu" (1983), "Kerikil-Kerikil Tajam" (1985) dan "Tjoet Nja' Dhien" (1988).

Di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP98), Christine Hakim memenangi anugerah pelakon wanita terbaik kerana lakunannya dalam filem "Daun Di Atas Bantal" yang diarahkan oleh Garin Nugroho dan produsernya dia sendiri. Filem tersebut juga memenangi anugerah filem terbaik.

Christine Hakim juga turut berlakon dalam filem "Hapuslah Airmatamu" (1976) yang diarahkan oleh M. Amin dan dibintangi oleh Sharifah Aini dan Broery Marantika.

Pada tahun 1988, dalam filem "Irisan-Irisan Hati" (ciplakan filem "Sunflower" lakonan Sophia Loren) yang diarahkan oleh Djun Saptohadi dan dibintangi oleh Deddy Mizwar, Tiara Jacquelina dan Baharuddin Haji Omar.

Pada tahun 2004, Christine Hakim memegang peranan Bayan dalam filem "Puteri Gunung Ledang" yang diarahkan oleh Teong Hin Saw dan turut dibintangi oleh Tiara Jacquelina, M. Nasir, Alex Komang, Adlin Aman Ramlee dan Sofia Jane.

Dalam pada itu, Christine Hakim juga turut diberi penghormatan sebagai angguta juri di Festival Filem Shanghai (1985), Festival Filem Tokyo (1990), Festival Filem Hawaii (1991), Festival Filem Asia Pasifik, Sydney (1994), Festival Filem Singapura (1994), Festival Filem Asia Pasifik, Jakarta (1995) dan Festival Filem Asian, Fukuoka (1995).

Pada tahun 1997, Christine Hakim dilantik sebagai ketua juri Festival Filem South East Asian Bienalle di Kamboja, dan diundang menjadi angguta juri Festival Filem Cannes pada tahun 2002 bersama David Lynch, Sharon Stone dan Michelle Yeoh.

Christine Hakim buat pertama kali menyertai sinetron (persembahan televisyen) pada tahun 1997 dengan "Bukan Perempuan Biasa" dan berikutan kritikan kepujian yang memerangsangkan, pada tahun 2001 dia kembali ke televisyen dengan siri mini "Tiga Orang Perempuan".

Kerana keunggulannya memainkan peranan (filem) dalam dan luar Indonesia, Christine Hakim telah dianugerahkan dengan anugerah pencapaian seumur hidup (lifetime achievement award) yang buat pertama kali diwujudkan oleh Festival Filem Antarabangsa Cinemanila di Manila, Filipina pada tahun 2003.

Christine Hakim orangnya peramah dan bijak berbicara. Saya pernah bertemu dan menemuramahnya di tiga tempat,

* Festival Filem Asia Pasifik (FFAP24) Sydney, 1978

* Festival Filem Asia Pasifik (FFAP25) Singapura, 1979

* Festival Filem Indonesia (FFI13) Bandung, 1985


SLAMET RAHARDJO___

Di lahir di Serang pada 21 Januari 1949, memulakan kerjaya filemnya dengan membintangi "Wajah Seorang Laki-Laki" yang diarahkan oleh Teguh Karya pada tahun 1971 berlakon bersama Rima Melati dan W.D. Mochtar.

Sejak itu, dia telah membintangi lebih 30 filem. Antara yang menarik "Cinta Pertama" (1973), "Pengantin Remaja" (1974), "Badai Pasti Berlalu" (1977), "November 1828" (1978), "Rembulan dan Matahari" (1980), "Ponirah Terpidana" (1983), "Kembang Kertas" (1985), "Tjoet Nja' Dhien" (1988) dan "Pasir Berbisik" (2001).

Di Festival Filem Indonesia (FFI), kejayaan yang dicapainya sebagai pelakon terbaik "Ranjang Pengangtin" (1975), pelakon terbaik "Di Balik Kelambu" (1983), filem terbaik dan pengarah terbaik "Kembang Kertas" (1985) dan pengarah terbaik "Kodrat" (1987).

Pada FFI85 (Bandung), Slamet Raharjo bersaing dengan gurunya Teguh Karya merebut anugerah pengarah terbaik kerana filem arahannya "Kembang Kertas". Teguh Karya yang mengarahkan "Doea Tanda Mata" kalah ditangannya.

Di peringkat filem antarabangsa, ternyata Slamet Rahardjo kurang menyerlah. Tidak seperti Christine Hakim.

Kejayaannya secara menyeluruh (atau bagi pihak orang lain) tidak individu (perseorangan) seperti "November 1828" (FFAP1978), "Pasir Berbisik" (FFAP2001) dan "Laskar Pelangi" (FFAP2009).

Slamet Rahardjo juga terlibat dengan persembahan sinetron di mana pada tahun 1977 menghasilkan "Isteri Pilihan", "Suro Buldog" (1994), "Demi Cinta dan Anakku" (1995) dan "Oh! Ibu dan Ayah, Selamat Pagi" (1997).

Kerana bermula di arena teater bergurukan Teguh Karya, pada tahun 2007 dia telah mementaskan (melalui grup Teater Populer) lakonan teater "Jolalilo" untuk Festival Seni Surabaya (FSS)di Surabaya.

Skrip oleh Slamet Rahardjo sendiri dan dia juga berlakon sebagai Lilo, manakala Hendro Susanto berperanan sebagai Jola.

Slamet Rahardjo turut membintangi filem Malaysia "Puteri Gunung Ledang" yang diarahkan oleh Teong Hin Saw memegang peranan Patih.

Dia ialah saudara kandung Eros Djarot pengarah filem "Tjoet Nja' Dhien" yang juga terkenal sebagai pencipta musik filem dan ahli politik.


TEGUH KARYA____

Memulakan kerjaya filemnya pada tahun 1958 dengan memegang peranan kecil dalam "Djendral Kantjil" (General Kancil) yang diarahkan oleh Nya Abas Abbas Akup, kemudian disusuli pula "Mak Tjomblang" (1960) dan "Sembilan" (1967).

Pada tahun 1968, Teguh Karya memimpin grup teater (Teater Populer) yang turut dianggutai oleh Slamet Rahardjo dan Christine Hakim.

Pada tahun 1971, Teguh Karya terjun ke dunia filem sebagai pengarah mengarahkan filem pertamanya "Wajah Seorang Laki-Laki" kemudian disusuli pula "Kahwin Lari" (1974), "Perkahwinan Dalam Semusim" (1976), "Badai Pasti Berlalu" (1977), "Usia 18" (1980) dan "Secangkir Kopi Pahit" (1984).

Di FFI, Teguh Karya memenangi pengarah terbaik 6 kali - "Cinta Pertama" (FFI1974), "Ranjang Pengantin" (1975), "November 1828" (1979), "Di Balik Kelambu" (1983), "Ibunda" (1986) dan "Pacar Ketinggalan Kereta" (1989).

"November 1828", "Di Balik Kelambu", "Ibunda" dan "Pacar Ketinggalan Kereta" juga diiktiraf sebagai filem terbaik.
Dia juga turut berlakon dalam filem "Ponirah Terpidana" (1983) yang diarahkan oleh anak muridnya sendiri, Slamet Rahardjo.

Di peringkat filem luar Indonesia, kejayaan besar dicapai oleh Teguh Karya apabila filem arahannya "Doea Tanda Mata" (Mementos) memenangi anugerah filem terbaik di FFAP31 di Seoul pada tahun 1986.

Agak menarik, di FFI85 "Doea Tanda Mata" (Teguh Karya) gagal memenangi anugerah filem terbaik dikalahkan oleh "Kembang Kertas" (Slamet Rahardjo). Di Seoul "Kembang Kertas" (turut dicalonkan) gagal meraih anugerah filem terbaik dikalahkan oleh "Doea Tanda Mata" pula.

Filem arahannya "November 1882" juga berjaya memenangi anugerah di FFAP25 di Singapura (1979) tetapi anugerah khas - sebagai filem sejarah terbaik.

Teguh Karya (nama sebenarnya Steve Liem Tjoan Hok) yang bertanggungjawab mempopularkan Slamet Rahardjo, Christine Hakim dan Alex Komang meninggal dunia di Jakarta pada 11 Disember 2001 ketika usianya 64 tahun.

Teguh Karya dilahirkan di Pandeglang, Jawa Barat pada 22 September 1937.


MARI KITA MENONTON FILEM "CINTA PERTAMA"



(Sumber: SuperNusantaraku)


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.







1 comment:

  1. Hai, saya lihat anda post youtube film cinta pertama namun ditutup, kalau boleh tahu apakah anda memiliki file film cinta pertama? terimakasih

    ReplyDelete