Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Thursday, August 25, 2011


TOPING SAITAN (1941)

FILEM MELAYU SHAW BROTHERS YANG KETIGA
Kajiselidik Oleh Zaini Yusop & Mustafar A.R.


Momo heroine filem "Toping Saitan".

Dua gambar iklan ini diambil dari akhbar The Straits Time melalui laman web Perpustakaan Negara Singapura.

TOPING SAITAN
Produksi: SHAW BROTHERS
Pengarah: HAU YAU & WAN HAI LING
Pelakon: MOMO * A. RAHMAN * HAJI GONG * HASSAN & HAPSHA
Mula diedarkan: 9 April 1941
Masa tayangan: Tidak diperolehi

JALAN CERITA___

Ceritanya tidak ada maklumat yang jelas. Bagaimanapun, ia mengenai mereka yang melakukan kejahatan (crook) akan menerima pembalasan dan mereka yang baik (hero) akan memperolehi kejayaan. Ia dipenuhi dengan suspen terutama untuk mencari, siapakah lelaki misteri yang memakai topeng ala-Zorro itu.

ULASAN FK___

"Toping Saitan" (ejaan sekarang "Topeng Syaitan") atau dalam bahasa Inggerisnya, "The Devil's Mask", bercorak aksi penggembaraan, action adventure. Ia dikeluarkan berikutan filem-filem Indonesia bercorak sedemikian mendapat sambutan. Salah satu antaranya, "Gagak Item" ("Gagak Hitam") yang dibintangi oleh Raden Mochtar dan Roekiah.

Setelah dua filem ("Mutiara" dan "Bermadu") heroinenya Tina, kali ini Shaw Brothers mengemukakan Momo sebagai heroine, dan dia digandingkan dengan A.Rahman (atau terkenal juga sebagai A.Rahman Cantik) sebagai hero, dan merupakan pelakon bangsawan (opera) yang terkenal dan diminati ramai,
dizaman itu.

Bagaimana pun, Momo lebih popular sebagai penyanyi dibandingkan pelakon.

Bagaimanakah corak persembahan filem ini, tidak jelas kerana filemnya sudah hilang. Adakah ianya lebih baik jika dibandingkan dengan "Mutiara" dan "Bermadu"?

Begitu pun juga, ia bolehlah disamakan dengan filem-filem "Zorro" seperti "The Mark of Zorro" (1940) arahan Rouben Mamoulian yang dibintangi oleh Tyrone Power dan Linda Darnell.

Jika diperhatikan iklannya, filem ini menggunakan kuda sebagaimana Zorro melakukannya. Berkesankah gambarannya? Tidak diketahui.

Apa yang nyata, filem ketiga Shaw Brothers ini mendapat sambutan sangat menggalakkan.

Menurut akhbar Warta Malaya (4 April 1941), filem ini mula ditayangkan pada 9 April 1941. Promosi (iklan) dibuat secara besar-besaran selama lima hari berturut-turut sebelum tayangan harian dilakukan.

Kemudian ia diteruskan selama tayangannya di Singapura, kira-kira dua minggu.

Filem ini merupakan filem Melayu pertama ditayangkan serentak di tiga panggung wayang di Singapura - Queens (Geylang), Sun (New World) dan Globe (Great World).

Ini membuktikan sambutan hangat yang diperolehinya, dan terdapat juga iklan yang mencatatkan:

1. Belum pernah dilihat dimana-mana gambar Melayu kisah keadaan dan kepercayaan zaman dulu masih ada dipakai oleh orang zaman sekarang.

2. Tontonlah filem Melayu aksi ngeri ini yang dikeluarkan di Singapura.

3. Shaw Brothers mempersembahkan filem Melayu ketiga terbaik keluaran tempatan.

Ada kalanya ia ditayangkan serentak dengan filem Indonesia, "Matjan Berbisik" ("Machan Berbisik") di Queens dan juga Sun.


MATJAN BERBISIK

FAKTA___

* Agak menarik, selepas filem ini, Momo hanya muncul semula berlakon (18 tahun kemudian) dalam filem "Pendekar Bujang Lapok" (introducing, sepatutnya tidak payah digunakan) yang diarahkan oleh P.Ramlee.

* Ramai yang menyangka A.Rahman (hero filem ini) A. Rahman penyanyi, ayah kepada penyanyi R. Ismail. Tetapi bukan. Menurut Momo, dia ialah pelakon opera popular pada masa itu dan terkenal dengan gelaran A.Rahman Cantik.

* A.Rahman pula, selepas filem ini, membintangi "Ibu Tiri" dan "Mata Hantu," keduanya dikeluarkan oleh Shaw Brothers. "Mata Hantu," menurut Habsah, tidak dapat disiapkan kerana kedatangan Jepun ke Malaya dan Singapura.

* "Matjan Berbisik" (1940) adalah arahan Tan Tjoei Hock dengan bintang utamanya Hadidjah, Moh. Mochtar dan Bissoe.

* Filem ini mula ditayangkan pada 9 April 1941, dan Momo memberitahu, penggambarannya bermula pada 1939.

* Haji Gong, suami kepada Tina yang membintangi "Mutiara" dan "Bermadu". Mereka berdua pernah berlakon bersama dalam "Nasib," "Nilam" dan "Rachun Dunia".

* Hapsha (ejaan sebenar Habsah) berlakon banyak filem di MFP Jalan Ampas. Dia ibu kepada Hashimah Yon.

* Hassan ialah Hassan Temberang yang terkenal dengan peranan lawaknya, dan turut membintangi "Pontianak".

* "Toping Saitan" ialah ejaan lama. Penggunaannya patut diteruskan sebagai mengekalkan fakta.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.







3 comments:

  1. Walaupun Filem melayu klasik yang berjudul"Topeng Syaitan"pada tahun 1941,telah mendapat sambutan yang menggalakkan pada masa itu tetapi sayangnya tidak dapat di pertontonkan filem ini kepada generasi sekarang kerana sebab kemungkinan usia filem yang sudah lama'

    ReplyDelete
  2. kalau pun usianya sudah lama
    tapi jika ada, masih boleh ditonton.
    malangnya, ia sudah hilang.
    satu perkara lagi dan saya merayulah
    bukan saja pada marz tapi juga peminat2
    blog ini, supaya menggunakan tajuk filem mengekalkan ejaan asal atau ejaan lama.
    contohnya, "toping saitan" bukannya "topeng syaitan" atau "chinta" bukannya "cinta" atau "nujum pa' blalang" bukannya "nujum pak belalang" dan seterusnya.
    lebih elok, sekiranya ejaan baru diiringi pula ejaan lama dibuat dalam kurungan.
    contohnya, "topeng syaitan" ("toping saitan").
    supaya tidak mengelirukan sesiapa terutama mereka yang berhasrat untuk menulis buku mengenai sejarah filem malaysia.
    saya perhatikan, terlalu ramai mengabaikan perkara ini. kenapa, ya?
    semuanya ini adalah fakta. fakta tidak boleh diubah2.
    kalau diubah2, bukanlah fakta namanya.
    jika menulis buku sejarah filem malaysia tanpa fakta, bukanlah buku sejarah filem malaysia namanya.
    ya, tak.

    - mustafar a.r.

    ReplyDelete
  3. Cute, Momo waktu muda-muda dulu.
    Cantik fotonya.

    - Razak Rahman, K. Kangsar, Perak.

    ReplyDelete