"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Tuesday, October 9, 2012


PONTIANAK (1957)






Di Kajiselidek Di Edit Di Semak & Di Susun
Oleh MUSTAFAR A.R. & ZAINI YUSOP




TIGA WAJAH MARIA MENADO DALAM "PONTIANAK"

PONTIANAK Cerita Asal Oleh A. RAZAK Diselenggarakan Oleh KERIS FILM PRODUCTION Dikeluarkan Oleh HO AH LOKE Diarahkan Oleh B.N.RAO Pelakon2 MARIA MENADO (COMEL) M.AMIN (OTHMAN) MUSTAFA MA'ROFF (SAMAD) SALMAH AHMAD (MARIA) M.KASSIM (TABIB RAZAK) DOLAH SERAWAK (WAK DOLAH) HASSAN TEMBERANG (BOMO KARTO) PUTEH LAWAK (DOL) S.M.WAHID (WAK SATEH) Pelakon2 Tambahan AMAN BELON RADIN SUDIRO ANEE JASMIN

* Credit title seperti di atas dicatatkan sebagaimana yang terdapat dalam buku filem "Pontianak" yang diterbitkan oleh HARMY pada tahun 1957.

Tahun Mula Ditayangkan: 1957 (27 April)
Masa Tayangan: Tidak Diperolehi
Kedudukan Filem: Hilang, Masih Dicari


Wak Dolah mendapat seorang anak yang tidak diketahui siapa ibubapanya, dan dinamakannya Comel.

Wak Dolah mengajar Comel cara-cara membuat ubat-ubatan.

Comel termenung diunggun api berhampiran kubur Wak Dolah.

Ramuan 27 jenis akar-akar kayu direbus oleh Comel.

Dengan penuh harapan untuk menjadi cantik Comel meminum ramuan yang telah direbusnya ketika bulan mengambang.

Apabila menjadi cantik Comel bertemu dengan Othman, anak Tok Penghulu, lalu berkahwin dengannya.

Apabila terminumkan darah Othman, Comel bertukar wajah menjadi Pontianak, dan berlakulah kematian demi kematian.

RINGKASAN CERITA___

Seorang tua (Wak Dolah) telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dalam hutan, lalu mengambil dan memeliharanya sebagai anak angkat dan diberikannya nama Comel.

Orang tua tersebut, juga menulis buku mengenai hal-hal perubatan tradisional, tinggal berseorang diri disebuah pondok dalam hutan.

Apabila dewasa, keadaan Comel tidaklah secomel namanya sebaliknya merupakan seorang gadis yang hodoh ditambah pula badannya bongkok dan seringkali menjadi kutukan dan deraan penduduk-penduduk kampung.

Sebelum meninggal dunia, ayah angkat Comel telah berpesan kepadanya supaya memusnahkan dengan membakar segala yang dihasilkannya termasuk buku karangannya.

Bagaimanapun, ketika Comel sedang menjalankan amanah ayah angkatnya itu dia terjumpa buku yang memberi petua (rahsia) bagaimana mahu menjadi cantik.

Comel tidak membakar buku tersebut sebagaimana yang diamanahkan, tetapi menggunakannya untuk menjadikan dirinya cantik.

Comel mengadun ramuan, seperti yang tercatat dalam buku dan meminumnya ketika bulan mengambang. Setelah meminumnya Comel jatuh pengsan, dan apabila sedar Comel mendapati dirinya menjadi cantik.

Dalam Kesakitan

Kecantikan tersebut ada syaratnya, iaitu Comel tidak boleh merasai darah apatah lagi meminumnya, yang mana ini terlepas pandang Comel, kerana terlalu keinginannya menjadi cantik.

Selepas menjadi cantik, Comel meninggalkan pondok tempatnya berteduh selama ini dan pergi ke kampung berdekatan di mana dia menjadi tarikan anak Tok Penghulu (Othman), lalu berkahwin dengannya hingga memperolehi seorang anak perempuan (Maria).

Pada suatu hari, ketika berada di dalam taman, Othman telah di patuk ular. Comel cuba mencari pertolongan tetapi suaminya yang dalam kesakitan meminta Comel menghisap bekas patukan ular itu supaya bisanya dapat dikeluarkan.

Comel menjadi serba salah tetapi atas desakan Othman dia terpaksa melakukannya, yang mana ini menyebabkan darah suaminya dirasainya sedap, dan sampaikan dihisapnya semahu yang boleh sehingga Othman meninggal dunia.

Comel berubah wajah lebih buruk dari wajah asalnya, dan kerana itu dia pun menghilangkan diri. Sejak itu Comel menjadi Pontianak dan sering keluar di waktu malam.

Comel juga selalu datang bertemu anaknya, Maria, dengan membawa makanan berupa buah-buahan yang diperolehinya dari dalam hutan.

Disamping itu, dengan kejelitaannya dia memikat lelaki demi lelaki, dan apabila bertukar menjadi Pontianak dia pun membunuh bagi membolehkannya menghisap darah untuk terus kekal menjadi cantik.

Keadaan kampung tidak seaman seperti dulu, Pontianak telah menganas dan membunuh.

MARIA MENADO SEBAGAI PELAKON___

Peranan Maria Menado dalam filem ini boleh dikatakan berat. Dia terpaksa melakonkan tiga karekter - Comel (berwajah hodoh), Comel (berwajah cantik) dan Comel (berwajah menakutkan, Pontianak).

Disebabkan Maria Menado telah berlakon banyak filem sebelumnya, melakonkan tiga watak tersebut tidaklah begitu sukar baginya.

Pada keseluruhnya, lakonannya dikira baik. Dengan peranannya itu dan situasi yang dialaminya, Maria Menado menerima simpati penonton-penonton bukannya cercaan.

ULASAN FILEM___

Saya menonton filem ini sekali saja di panggung wayang Coliseum, Kuala Lumpur. Ketika itu umur 4 bulan lagi mencapai 14 tahun.

Adegan yang paling saya ingat, ketika betis M. Amin di patuk ular dan dalam kesakitan beliau memaksa Maria Menado menghisap bekas patukan ular tersebut.

Ketika itu, keadaan panggung wayang sunyi sepi kerana mereka tahu apa yang akan terjadi.

Perubahan kejelitaan Maria Menado, bertukar menjadi Pontianak (wajah menakutkan), membuat penonton-penonton tersentak, kemudian riuh rendah seketika. Kemudian senyap kembali.

Masing-masing dengan penuh debaran menunggu, apa lagi yang akan terjadi di layar perak.

Filem ini, bukanlah keseluruhannya mengerunkan. Ia turut diselangselikan dengan telatah-telatah lucu oleh dua pelawak terkenal, Puteh Lawak dan Aman Belon.

Wahid Satay (S.M. Wahid) melonjak naik namanya selepas membintangi filem ini, sebagai penjual satay (sateh), berlawak disamping Puteh Lawak dan Aman Belon.

Bermula filem inilah nama S.M. Wahid berubah menjadi Wahid Satay, dan terus digunakan untuk filem-filem lakonannya selepas itu hingga kini.

Telatah-telatah lucu mereka, merupakan asam garam filem ini, tidak sekadar berada dalam ketegangan dan ketakutan tetapi juga ketawa lucu dan berhibur.

Hero dan heroin filem ini Mustapha Maarof (Mustafa Ma'roff) dan Salmah Ahmad. Maria Menado memegang peranan utama (leading actress).

Mustapha Maarof telah membawa peranan Samad dengan baik, tetapi Salmah Ahmad sebagai Maria terdapat beberapa kelemahan kerana filem ini merupakan filemnya yang pertama.

KEJAYAAN BOX OFFICE___

Sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri, pengeluar filem (Keris Film Production) telah membuat tempahan di panggung wayang Cathay, Singapura 2 hari selain tayangan tengahmalam pada 27 April 1957. Kemudian akan dipindahkan ke Taj Cinema di Geylang.

Bagaimanapun, kerana sambutannya diluar jangkaan, begitu ramai yang datang, tempahan 2 hari (1 - 2 Mei 1957) terpaksa dibatalkan dan dilanjutkan sehingga 13 Mei 1957.

Ini bererti tayangannya 13 hari dan ia memberi kejayaan besar kepada Keris Film Production dan pengedarnya Pertubuhan Cathay.

Malay Film Productions (Shaw Brothers) yang selama ini menguasai kehebatan sambutan filem-filemnya, juga terkejut dengan sambutan yang luar biasa filem "Pontianak" itu.

Sebelum ini, panggung wayang Cathay tidak pernah menayangkan filem Melayu. Ia hanya di peruntukan tayangan filem-filem Hollywood dan Eropah saja.

Agak menarik, filem ini tidak terus menerus ditayangkan di Singapura selepas 'last day' pada 13 Mei 1957.

Ia dikunjungi semula oleh penonton-penonton Singapura bermula 1 Ogos 1957 hingga 27 Ogos 1957 di panggung wayang Taj di Geylang.

Tayangan di situ memakan masa 27 hari, dan apabila dicampur dengan di Cathay (termasuk tayangan tengahmalam) 14 hari, bermakna keseluruhan tayangan "Pontianak" (first run) di Singapura saja, 41 hari.

Satu pencapaian paling berjaya ketika itu, dan filem-filem Malay Film Productions (MFP) yang begitu hebat pun tidak terjangkakan kutipan diluar jangkaan seperti filem ini.

ANUGERAH___

"Pontianak" turut menyertai Festival Filem Asia-Tenggara (kemudian dikenali Festival Filem Asia-Pasifik) Ke-4 di Tokyo, Jepun pada bulan Mei 1957.

Selain filem tersebut ialah "Mega Mendong" yang diarahkan oleh L. Krishnan dan "Anak-Ku Sazali" pengarahnya Phani Majumdar.

Bagaimanapun ia gagal memenangi sebarang anugerah, tidak seperti "Mega Mendong" yang membawa kejayaan kepada Adek Wan Hussain sebagai pelakon kanak-kanak terbaik.

"Anak-Ku Sazali" pula memenangi anugerah utama yang diperolehi P. Ramlee sebagai pelakon lelaki terbaik, manakala Tony (Tony Castello) pula sebagai pelakon kanak-kanak terbaik.



MARIA MENADO SEBAGAI COMEL (PONTIANAK).

Iklan hari pertama "Pontianak" di Cathay, Singapura yang tersiar dalam The Straits Times pada 1 Mei 1957.

Iklan hari terakhir "Pontianak" di Cathay, Singapura yang tersiar dalam The Straits Times pada 13 Mei 1957.

Tayangan "Pontianak" di Odeon, Pulau Pinang pada tahun 1957 yang mendapat kejayaan box office.





SEDIKIT MENGENAI MARIA MENADO___

Maria Menado mula muncul sebagai bintang filem apabila L. Krishnan mengambilnya berlakon disamping P. Ramlee dalam filem "Penghidupan" pada tahun 1951.

Bagaimanapun, penayangannya tergendala kerana filem tersebut menimbulkan kontroversi yang dikatakan menghina kesucian agama Islam dan masyarakat orang-orang Melayu.

Oleh yang demikian filem "Pulau Mutiara" yang diarahkan oleh S. Ramanathan yang merupakan filem kedua dibintangi Maria Menado ditayangkan terlebih dulu pada 8 Mei 1951 dan "Penghidupan" menyusul kemudian, pada 23 Mei 1951.

Dua filem tersebut yang dikeluarkan oleh Malay Filem Productions (MFP) Jalan Ampas, mendapat sambutan hangat yang menyebabkan nama Maria Menado naik melonjak dan menyaingi pula populariti yang sudah dicapai Siput Sarawak, Kasma Booty, Neng Yatimah, Mariam dan Rokiah.

Apabila Haji Mahadi dilantik sebagai pengarah filem "Permata Di-Perlimbahan" pada tahun 1952, Maria Menado menjadi pilihannya sebagai heroin dan digandingkannya dengan Noordin Ahmad sebagai hero.

Bagaimana pun, filem tersebut (juga merupakan filem arahan terakhir Haji Mahadi) kecundang di box office.

Di Keris Film Production, empat filem yang dibintanginya ("Nafsu", "Pertarohan", "Selamat Hari Raya" dan "Saudara-Ku") kurang berjaya malah ada diantaranya tidak mendapat sambutan, tidak sehebat "Pulau Mutiara" dan "Penghidupan".

Pada tahun 1957, nasib Maria Menado mulai berubah apabila filem yang dibintanginya, "Pontianak", yang diarahkan B.N. Rao mendapat kejayaan luar biasa di box office.

Filem Hindustan

"Pontianak" bukan saja menghasilkan keuntungan besar kepada Keris Film Production dan Pertubuhan Cathay (kemudian keduanya bersetuju bergabung menjadi Cathay Keris Film), tetapi juga menghasilkan 'trade mark' kepada Maria Menado.

Apabila disebut saja Pontianak tergambarkan wajah cantik jelita Maria Menado (sebelum bertukar ke wajah menakutkan, Pontianak) sama seperti apabila disebut saja Hang Tuah tergambarkan wajah P. Ramlee.

Pada tahun 1960, sekali lagi Maria Menado mencatat sejarah filem Malaysia apabila pengarah filem-filem Hindustan (Shakti Samanta) mengambilnya memegang peranan penting (sebagai ketua penjenayah, Maria) dalam filem "Singapore" yang turut dibintangi oleh Shammi Kapoor dan Padmini.

Setakat ini, belum ada seorang pun bintang filem Malaysia yang berlakon dalam filem Hindustan dengan memegang peranan utama (kedua penting) seperti Maria Menado, sama seperti Ibrahim Pendek yang berlakon di Hollywood dalam filem "The Spiral Road" (1962) yang dibintangi Rock Hudson, Burl Ives dan Gena Rowlands.

Selain berlakon dibawah arahan Shakti Samanta (pengarah filem-filem "Hill Station", "Howrah Bridge", "China Town", "Kashmir Ki Kali" dan "An Evening In Paris"), Maria Menado pernah juga berlakon dalam filem yang diarahkan oleh tokoh filem Indonesia (Usmar Ismail), "Korban Fitnah".

Satu lagi sejarah filem Malaysia yang dicacatkan oleh Maria Menado apabila beliau merupakan produser filem pertama (dan juga produser wanita pertama) mengeluarkan filem, iaitu Maria Menado Productions.

Filem-filem yang dikeluarkannya ialah "Korban Fitnah", "Raja Bersiong", "Darah-Ku", "Bunga Tanjong" dan "Pontianak Kembali" yang mana kesemuanya mendapat sambutan agak sederhana saja di box office.

"Pontianak Kembali" adalah filem terakhir dikeluarkan (Maria Menado tidak berlakon) Maria Menado Productions, tetapi Maria Menado tidak berlakon.

Maria Menado memberi peluang kepada Norizan (janda P. Ramlee) turut membintangi filem ini disamping Ghazali Sumantri dan Malek Selamat.

Selepas berkahwin dengan Sultan Pahang Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada tahun 1963, Maria Menado menamatkan terus kerjayanya sebagai pelakon dan produser filem.

Maria Menado menjadi penghuni Istana.


(Sumber: Orang Temasek).


BERSAMA OSMAN GUMANTI, PULAU MUTIARA.

BERSAMA P.RAMLEE, PENGHIDOPAN.

BERSAMA NOORDIN AHMAD, TUN FATIMAH.

FILEMOGRAFI___

1. PULAU MUTIARA (S. Ramanathan 1951)
2. PENGHIDUPAN (L. Krishnan 1951)
3. PERMATA DI-PERLIMBAHAN (Haji Mahadi 1952)
4. GADIS PELADANG (B.S. Rajhans 1952)
5. NAFSU (L. Krishnan 1954)
6. PERTAROHAN (L. Krshnan 1954)
7. SELAMAT HARI RAYA (L. Krishnan 1954)
8. SAUDARA-KU (Laurie Friedman 1955)
9. PONTIANAK (B.N. Rao 1957)
10. DENDAM PONTIANAK (B.N. Rao 1957)
11. SUMPAH PONTIANAK (B.N. Rao 1958)
12. ORANG LICHIN (L. Krishnan 1958)
13. SELENDANG DELIMA (K.M. Basker 1958)
14. MATA HARI (Ramon A Estella 1958)
15. KORBAN FITNAH (P.L. Kapur 1959)
16. SINGAPORE (Shakti Samanta 1960)
* 17. HILANG GELAP DATANG TERANG (Usmar Ismail 1961)
* Diselenggarakan tahun 1958, ditayangkan 1961
18. SULTAN MAHMOOD MANGKAT DI JULANG
(K.M. Basker 1961)
19. SITI ZUBAIDAH (B.N. Rao 1961)
20. TUN FATIMAH (Salleh Ghani 1962)
21. RAJA BERSIONG (K.M. Basker 1963)
22. DARAH-KU (Ramon A. Estella 1963)
23. BUNGA TANJONG (Ramon A. Estella 1963)
* 24. PONTIANAK KEMBALI (Ramon A. Estella 1964)
* Maria Menado tidak berlakon, sekadar sebagai produser saja.



A. Razak (kiri) dan Ho Ah Loke yang bertanggungjawab melahirkan filem horror, "Pontianak", yang mencapai kejayaan box office luar jangkaan di mana-mana saja ia ditayangkan.

Keratan artikel yang ditulis oleh Mustafar A.R. mengenai A. Razak yang terdapat dalam majalah Utusan Filem Dan Fesyen (UFF) keluaran bulan Februari 1976.

A.RAZAK PENGASAS FILEM HORROR MELAYU___

Bila memperkatakan mengenai Pontianak, rasanya nama A. Razak tidak boleh dipisahkan. Ini kerana dialah orangnya yang mengwujudkan kisah Pontianak di layar perak.

Jika bertemu dengannya yang digelar para peminatnya sebagai "Bapak Pontianak" dan "Promoter Razak", dia bercakap berjam-jam dan tidak berhenti-henti asalkan saja orang yang mendengar sanggup mendengar dan perkaranya mistilah mengenai show business atau pun dunia hiburan.

"Saya mula terfikr untuk menulis cerita hantu bila saya dapati alam hiburan kita selama ini asyik dengan nyanyian dan mengeluarkan airmata", kata A. Razak sebagai memulakan perbualannya dengan saya.

Tambahnya, "Pada awal tahun lima puluhan baik filem mahupun pementasan sandiwara (bangsawan) ceritanya balik-balik menyanyi, kemudian bersedih dan akhirnya menangis."

Kerana memandangkan hal tersebut, A. Razak mendapat idea iaitu kenapa dia tidak menulis cerita mengenai hantu yang selama ini menjadi kepercayaan kuat orang-orang Melayu.

A. Razak selanjutnya memberitahu antara banyak-banyak hantu yang termasyur diperkatakan orang ialah Pontianak. Dan dengan inisiatifnya dia berusaha menemui beberapa orang yang tahu tentang Pontianak bagi mendapat cerita yang sebenar.

"Mula-mula saya temui seorang tukang kebun bernama Wak Dolah," ujarnya. Dan menambah, darinya saya memeroleh dasar cerita. Selepas itu, saya menemui lebih 20 orang tua yang tahu tentang Pontianak.

Akhirnya A. Razak mendapat kesimpulan yang Pontianak itu adalah seorang perempuan yang mempunyai tiga watak (karekter) - hodoh, cantik dan Pontianak yang sebenar yang berwajah menakutkan.

Apabila siap ceritanya, ia tidak terus dijadikan persembahan filem tetapi dijadikan pementasan sandiwara yang mana dengan tidak disangka-sangka telah mendapat kejayaan di luar jangkaan.

Maria Menado yang ketika itu menjadi isterinya diserahkan membawa peranan Pontianak.

Kejayaan pementasan yang dibuat di Singapura itu telah memberi keyakinan kepada A. Razak, jika dijadikan filem sudah pasti ianya akan mendapat sambutan hangat dari peminat-peminat filem.

"Saya melangkah ke dunia filem dengan penuh keyakinan cerita Pontianak merupakan satu projek yang akan membawa nafas baru dalam dunia filem Melayu".

"Karangan saya ini dapat dijadikan sebuah filem yang baik bukan saja mempunyai daya tarikan untuk orang-orang Melayu tetapi juga di kalangan bukan Melayu."

Penuh Yakin

A. Razak kemudian telah membawa cerita asal Pontianak itu ke bebarapa syarikat filem yang ada di Singapura pada masa itu, dan malangnya harapan tinggal harapan apabila cerita tersebut di tolak dengan alasan, orang-orang Melayu tidak suka menonton filem hantu.

Kerana kecewa dan putus asa, A. Razak menyimpan naskah Pontianak itu di bawah tilam di katil tempat tidurnya.

Setahun kemudian, sekali lagi dengan penuh yakin dia membawa naskah tersebut yang berdebu kepada Ho Ah Loke yang pada pada itu merupakan orang kuat Keris Film Production.

"Ho Ah Loke telah membaca cerita tersebut sambil lalu, dan sebagai seorang yang tahu tentang selok belok filem lantas naskah Pontianak itu dibelinya," ujar A. Razak.

Kata A.Razak lagi, Ho Ah Loke tanpa membuang masa memerintahkan pelaksanaan filem Pontianak dibuat secepat mungkin.

Sebagaimana pementasan, peranan Comel (Pontianak) diserahkan kepada Maria Menado. Turut membantu Salmah Ahmad, Mustapha Maarof, M. Amin, Aman Belon, Wahid Satay dan Puteh Lawak.

Pada 27 April 1957, buat pertama kalinya cerita Pontianak yang sudah dijadikan filem di tayangkan (tayangan tengamalam) di panggung wayang terbesar di Singapura - Cathay.

Pada mulanya tayangan filem tersebut untuk dua hari saja (1 dan 2 Mei 1957) tetapi kerana sambutan yang di luar dugaan ia melarat hingga ke 13 Mei.

Filem "Pontianak" itu telah mencatat sejarah filem Melayu dengan mengatasi semua hasil kutipan filem-filem Melayu pada masa itu termasuk keluaran MFP.

Selepas filem "Pontianak" hinggalah ke masa ini belum ada sebuah filem Melayu pun di tayangkan di Cathay yang sebelumnya di khususkan untuk tayangan filem-filem Barat saja.

"Ini merupakan satu kejayaan luar biasa dan ini sangat-sangat menggembirakan saya," katanya sambil tersenyum.

Menulis Cerita

Kejayaan filem tersebut telah mendorongkan Cathay Keris Film membuat sambungannya hasil cetusan idea A. Razak juga - "Dendam Pontianak" (1957) dan "Sumpah Pontianak" (1958).

Kedua-dua filem tersebut mengekalkan Maria Menado sebaga Pontianak dan B.N. Rao sebagai pengarah.

"Sumpah Pontianak" pula digambarkan dalam bidang luas, CathayScope.

Pada tahun 1958 itu juga A. Razak berpindah ke MFP Jalan Ampas, dan diberi tugas menulis cerita mengenai Pontianak juga - "Anak Pontianak" dengan bintang utamanya Jins Shamsudin dan Dayang Sofiah.

Maria Menado tidak berlakon dalam filem tersebut, dan peranan Pontianak diambilalih oleh Hashimah Yon.

Filem "Anak Pontianak" juga memecah rekod tayangan di panggung wayang Rex, Kuala Lumpur apabila dibuat tayangkan disitu sedangkan (sebagaimana juga Cathay di Singapura) ia di khas untuk filem-filem Barat saja (sekali-sekala filem Cina) terutamanya Hollywood.

Selain filem-filem Pontianak, cerita-cerita lain A. Razak yang telah difilemkan ialah "Gergasi", "Siti Zubaidah", "Raja Bersiong", "Mata Hari", "Melanchong Ka Tokyo", "Naga Tasek Chini", "Bunga Tanjong", "Darah-Ku", "Kubor Ta' Bertanda" dan "Harimau Jadian".

Serba Baru

Pada tahun 1975, sekali lagi kisah Pontianak dijadikan filem. Bila ditanya kepadanya mengenai perkara tersebut, A. Razak menjawab:

"Filem Pontianak yang baru ini walaupun mempunyai kepercayaan yang asas terhadap Pontianak tetapi ia mempunyai jalinan cerita yang serba baru sesuai dengan zaman sains dan teknologi."

Mengambil peranan Pontianak ialah Jennifer Kaur, dan pelakon 'newcomer' ini dibantu Piya Mustaffa, Herdawati, Ah Leng, Hamid Bond, Siput Serawak dan Shariff Medan.

Mengapa "Pontianak" diwujudkan lagi dalam zaman sains dan teknologi?

Jawab A. Razak: "Walaupun manusia telah mendarat ke bulan, tetapi kepercayaan manusia kepada Pontianak dan hantu-hantu lain masih menebal.

"Kali ini warna memainkan peranan penting dalam pembikinannya. Kita semua tahu Pontianak ialah sejenis hantu menghisap darah.

"Dan, filem ini menunjukkan adegan-adegan penghisapan oleh Pontianak terhadap mangsa-mangsanya dengan darah mengalir merah yang mana ini tidak dapat dilihat dalam filem-filem Pontianak yang lalu.

"Ini tentulah lebih menakutkan dan menyeramkan penonton-penonton. Kerana itulah tugas dan asas utama yang patut ditimbulkan oleh sebarang filem yang bercorak horror."

Apa pun alasan A. Razak, "Pontianak" (warna) versi Jennifer Kaur itu kecundang di box office.

# Artikel di atas dipetik dari tulisan Mustafar A.R. yang terdapat dalam majalah Utusan Filem & Fesyen (UFF) keluaran bulan Februari 1976 dan di edit semula oleh Mustafar A.R. sendiri.



A HAG TO BEAUTY THEN KAMPONG VAMPIRE

The new Keris Films Production, "Pontianak", is picturesque Malay legend starring one of Malaya's most talented actresses, Maria Menado.

Based on ancient belief in vampires, it inevitably has a "horror" theme, but the more blood-curdling scenes are relieved by gentle humour.

Versatile Enough

Maria Menado, although a natural beauty, is versatile enough to play the triple role of young girl, crippled hag and fearsome vampire.

The story begin with Maria in hag's form dicovering the spell which can change her to beauty. As usual, there is a catch to the magic because, if she tastes a human blood, she will change to vampire.

The worst happens, and the rest of the film tells the story of gruesome career until the demon is exorcised and she returns to her original ugliness.

Bomoh Flees

One of the most charming scenes is a bersanding ceremony and there is an amusing sequence in which the village bomoh uses every trick he knows to get rid of the vampire but ends up fleeing for his life.

This film will appeal primarily to Malay audiences, but it depicts enough interesting folklore and legend to be acceptable to others.

Directed by B.N. Rao and produced by Ho Ah Loke, it has Malay dialogue and English sub-titles.

Local films of the calibre of "Pontianak" are welcome and stimulating, not only as a means as developing Malayan screen talent, but because the form the link with the old Malaya and keep its rich traditions alive.

# Artikel di atas ditulis oleh Susan Barrie yang tersiar dalam The Straits Times keluaran 3 Mei 1957.




FAKTA___

* Kali pertama "Pontianak" ditayangkan ialah tayangan tengahmalam pada 27 April 1957 di panggng wayang Cathay, Singapura. Tayangan harian bermula 1 Mei 1957 sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri dan tempahan dibuat (peringkat awal) 2 hari, 1 dan 2 Mei 1957 saja. Bagaimanapun sambutan hangat penonton-penonton telah menyebabkan tayangannya terpaksa dilanjutkan sehingga 13 Mei 1957. Ini bererti pertama, tidak pernah filem Melayu (sebelum ini) di tayangan di panggung wayang Cathay dan kedua, tidak pernah filem Melayu ditayangkan begitu lama, 13 hari.

* Berikutan kejayaan luar jangkaan "Pontianak", Maria Menado sebagai pelakon dan B.N. Rao sebagai pengarah filem telah menerima Anugerah Istimewa daripada Amy Ede, isteri Pengarah Urusan Cathay Keris Film Productions, yang telah diadakan di panggung wayang Cathay di akhir tayangan "Pontianak" pada 13 Mei 1957.

* Kali pertama "Pontianak" ditayangkan di Kuala Lumpur ialah tayangan tengahmalam di panggung wayang Coliseum pada 27 April serentak dengan Cathay di Singapura.

* Pada tahun 1958, filem ini telah dialihbahasakan ke Bahasa Cina (Kantonis) dan telah ditayangkan di Hong Kong dengan mendapat sambutan yang menggalakkan.

* Pada tahun 1960, filem ini diberi sarikata dalam Bahasa Inggeris dan dijual kepada Steyen TV di Amerika Syarikat untuk tayangan dalam program Tayangan Filem Asia.

* Apabila filem ini mencapai kejayaan box office, Cathay Organisation dan Keris Film Production bergabung secara mutlak dan mengeluarkan filem sambungan "Pontianak", "Dendam Pontianak" kemudian disusuli pula "Sumpah Pontianak".

* Filem pertama Maria Menado berlakon di bawah arahan B.N. Rao, dan filem kedua B.N. Rao di Keris Film Production selepas "Bunga Pesta".

* Filem pertama Salmah Ahmad, setelah beliau menolak pelawaan K.M. Basker membintangi "Selendang Delima" yang kemudiannya digantikan dengan Latifah Omar.

* Filem pertama Mustapha Maarof berlakon disamping Maria Menado dan Salmah Ahmad. Kemudian mereka meneruskan pula ke filem "Dendam Pontianak" dan "Sumpah Pontianak" dengan karekter yang sama - Comel, Maria dan Samad.

* A. Razak yang berkahwin dengan Maria Menado pada tahun 1950 dan bercerai pada tahun 1963 meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 27 September 2005.

* Kerana menghadapi masaalah simpanan (store), menurut kata Maria Menado, Ho Ah Loke telah membuangkan filem "Pontianak" dan beberapa filem lain ke sebuah lombong tinggal di Kuala Lumpur, bukannya ke Sungai Kelang sebagaimana yang diberitahu oleh Hamzah Hussain.




ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

berapa banyakkah yang masih ada?


10 FILEM BOLLYWOOD HEBAT SEPANJNG MASA
top 10 bollywood films all time

REVOLUSI ISLAM DAN FILEM IRAN
"a separation" meningkatkan martabat negara iran


CECILIA CHEUNG
foto-foto lucahnya menggemparkan hong kong


CINTA DAN LAGU
satu-satunya filem musikal wujud di malaysia

PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai...

TRIVIA "PERMINTAAN TERAKHIR"
ciplakan filem hong kong "susanna"



Wednesday, October 3, 2012


5 TAHUN PEMERGIAN P.RAMLEE

Teks: Bahyah Mahmood & Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop




ARTIKEL EKSKLUSIF
OLEH BAHYAH MAHMOOD
DIPETIK DARIPADA
MAJALAH URTV
KELUARAN 1 JUN 1978



KETANPANAN SEORANG SENIMAN

BERSAMA JUNAIDAH

Junaidah yang tidak kurang kejelitaannya berbanding Norizan dan Saloma,
di tahun-tahun 1950an


Nasir P.Ramlee dengan buku karyanya berlatarbelakangkan foto kedua ibubapanya, P.Ramlee dan Junaidah

BERSAMA NORIZAN

Norizan berada dikemuncak kebahagiaannya bersama P.Ramlee, di tahun-tahun 1960an

Norizan menyambut kepulangan P.Ramlee dari menghadiri Festival Filem Asia-Pasifik Ke-7 di Tokyo dengan membawa anugerah Komidi Terbaik untuk filem "Nujum Pa' Blalang"

BERSAMA SALOMA

Saloma yang memang terkenal dengan keseksiannya, di tahun-tahun 1970an

Saloma dan P. Ramlee ketika menyanyi sebuah lagu dalam filem "Ragam P.Ramlee", episod "Ramlee & Saloma"









29 MEI 1973 seniman agung P. RAMLEE telah meninggal dunia. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam ambulans yang membawanya ke hospital setelah tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Dedap, Setapak, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 pagi.

Tahun ini, 29 Mei 1978 genap 5 tahun P. Ramlee berpindah ke alam baqa. Tinggallah isteri yang disayang, tinggallah anak dan tinggallah segala-galanya yang ada di dunia ini.

Kepada isterinya SALOMA, P. Ramlee sering mengucapkan beliau ingin hidup seribu tahun lagi. Rupanya keinginannya itu tidak dimakbulkan oleh Tuhan.

Kini sudah 5 tahun P.Ramlee meninggal dunia, namun sampai saat ini tidak ada pengganti P. Ramlee, dan sememangnya tak siapa yang boleh menandingi seniman agung yang luar biasa ini.

Benarlah seperti yang dikatakan oleh Allahyarham Tun Razak, pemergian P. Ramlee bererti kita telah kehilangan seorang tokoh seni yang ulung yang amat sukar dicari gantinya.

Kita benar-benar merasa kehilangan, terasa sungguh dunia seni begitu sepi, apatah lagi keluarganya, terutama balunya SALOMA yang sampai saat ini masih keseorangan, belum terlintas dihatinya untuk mencari pengganti P. Ramlee.

"Saya bimbang, tidak ada lelaki lain di dunia ini yang boleh memberikan cinta dan kasih sayang seperti P. Ramlee, cintanya sentiasa hangat dan tidak membosankan," kata Saloma, suaranya terharu merindukan kasih sayang dari manusia yang amat dicintainya itu.

SENTIASA SEGAR DALAM INGATAN

Dan dengan suara sebak Saloma menyatakan perasaannya. "Perasaan saya, P. Ramlee baru saja meninggal dunia, terasa baru sangat tak terasa dia meninggal dah bertahun-tahun, ini mungkin agaknya saya sentiasa mengenanginya.

Kenangan masih hidup disamping P. Ramlee, sentiasa segar dalam ingatan Saloma. Setiap detik, tiap saat bibirnya sentiasa menyebut-nyebut nama P. Ramlee, tidak peduli dengan siapa dia berbicara dan tidak peduli di hadapan siapa dan di mana dia berada.

Seringkali Saloma menyatakan kepada kawan-kawannya bila setiap kali mereka menyuruhnya menikah lagi katanya, dia bimbang ia takkan dapat memberikan kebahagiaan kepada lelaki lain dan betapa kecilnya hati si suami lantaran isterinya setiap detik asyik menyebut-nyebut nama P. Ramlee.

Saloma bernikah dengan P.Ramlee pada 31 Oktober 1961 dan mereka berdua bercerai mati setelah hidup berumahtangga selama 12 tahun, rumahtangga yang paling lama bagi Saloma juga kehidupan bersuami isteri paling lama bagi P. Ramlee.

Sepanjang hayatnya P. Ramlee tidak pernah mengawini 'anak dara', isterinya ketiga-tiganya janda. Dengan isterinya yang pertama JUNAIDAH perkahwinannya hanya kekal 4 tahun. Mereka mendirikan rumahtangga pada tahun 1949, dan bercerai di tahun 1953.

Pada tahun 1954, P. Ramlee menikah pula dengan NORIZAN janda Almarhum Sultan Perak, suatu pernikahan yang paling menggemparkan, tetapi perkahwinan keduanya mengalami perceraian pada tahun 1961.

Di tahun 1961 juga P. Ramlee telah menikah dengan Saloma yang ketika itu nama Saloma sedang top, sedang mengharum!

Saloma mengakui dia sangat meminati P. Ramlee sejak dia masih di bangku sekolah lagi, "Perkahwinan kami dilafazkan dengan janji dan sumpah, bahawa kami takkan bercerai berai kecuali 'mati!', kata Saloma lalu menyatakan memang betul-betul terjadi hanya 'mati' yang memisahkan dia dengan P. Ramlee.

Sesudah matinya pun Saloma tetap mengkagumi suaminya. Padanya P. Ramlee adalah satu-satunya manusia yang luar biasa. "Sampai mati pun saya takkan bertemu suami seperti dia!" ujarnya dengan pandangan sayu, menggambarkan hatinya yang ditinggalkan kesepian.

Bekas isteri kedua P. Ramlee, Norizan, yang sekarang hidup berbahagia dengan suaminya, adalah satu-satunya wanita yang telah menggemparkan masyarakat, dari Permaisuri Sultan, Norizan telah jatuh cinta pandang pertama dengan P. Ramlee.

"Segala peristiwa suka duka yang saya alami selama hidup di samping P. Ramlee tetap menjadi kenangan, sampai sekarang kadangkala saya teringat-ingat seolah-olah semuanya itu baru saja berlaku, entahlah!" kata Norizan menghela nafas panjang.

Norizan masih teringat-ingat lagi perkahwinannya dengan P. Ramlee sangat berbahagia sekali, "Hidup kami rukun dan damai, memang betul seperti yang selalu diceritakan oleh Saloma, P. Ramlee sifatnya terlalu penyayang! dia suka memanjakan isteri dan dirinya pun meminta isteri memanjakannya."

DI MANAKAH KAN KU CARI GANTI SEPERTIMU, P. RAMLEE?

Majalah URTV (muka depan foto Titiek Sandhora) yang mengandungi tulisan eksklusif Bahyah Mahmood mengenai Kenangan Manis 3 Isteri P. Ramlee

Norizan termenung jauh untuk mengingatkan kembali bagaimana rumahtangganya boleh retak, sehingga masing-masing terpaksa berpisah.!

"Tetapi yang saya ingat, agaknya kerana ditinggalkan kesepian di rumah menyebabkan saya merasa begitu cemburu, cemburu melihat dia selalu berdampingan dengan heroin-heroin yang selalu berlakon dengannya di dalam filem.

"Baru sekarang saya sedar! rupanya berkahwin dengan orang filem, mesti bersifat sabar, walaupun kadangkala terpaksa, 'makan hati berulam jantung!'

Norizan masih ingat lagi, rumahtangganya mulai bergoncang ketika P. Ramlee sedang dalam pembikinan filem "Ibu Mertua Ku", rumahtangga mereka sekejap aman sekejap berantakan, dan dalam suasana beginilah P. Ramlee telah mencipta tiga lagu - "Jeritan Bathinku", "Jangan Tinggal Daku" dan "Di Manakan Ku Cari Ganti".

"Suasana rumahtangga yang berantakan ini banyak mencetuskan ilham P. Ramlee mencipta lagu. Ketiga-tiga lagu ini menggambarkan suasana rumahtangga kami seolah-olah kami berdua sudah membayangkan 'perpisahan', walaupun kami takut berpisah, tapi akhirnya terpaksa juga berpisah!" kata Norizan mengeluh kesal.

Sambil menyusun lagunya, P. Ramlee menyatakan pada Norizan, "Kalau aku takada nanti, lagu-lagu inilah sebagai pengganti dan menjadi kenangan dalam hidupmu!"

Norizan juga tidak dapat melupakan, sesudah lama mereka bercerai dan sesudah masing-masing berpindah ke Kuala Lumpur, mereka kadangkala secara kebetulan betemu muka di studio Merdeka Film di Hulu Kelang.

Walaupun telah berpisah, namun perhubungan P. Ramlee dengan Norizan tetap baik, masing-masing saling hormat menghormati.

Ketika pengarah S. Kadarisman megambil Norizan berlakon dalam filem "Tunggal", P. Ramleelah yang mengajarnya berlakon. "Kalau dah pandai berlakon, nanti senang nak cari duit," kata P. Ramlee kepada bekas isterinya itu.

"Pelik! semasa menjadi isterinya dulu dia tak izinkan saya berlakon, cemburu! Sekarang pulak dia yang mengajar saya berlakon," kata Norizan dalam hatinya.

"Bila dia mengarahkan filem "Laxmana Do Re Mi" filem terakhirnya di Merdeka Studio, P. Ramlee menawarkan saya berlakon, menjadi Permaisuri.

"Katanya kepada saya, dulu I ambil You, Permaisuri! sekarang I nak kembalikan You sebagai Permaisuri dalam "Laxmana Do Re Mi", katanya sambil ketawa". Lucunya P. Ramlee ni, dia suka bergurau," kata Norizan mengenang cerita yang masih segar dalam ingatannya.

Kata Norizan, sepanjang hayatnya, P. Ramleelah lelaki pertama yang dicintainya. "Itulah sebabnya bila saya bercerai dengannya, hati saya berkata-kata, biarlah aku jadi jahat kerana P. Ramlee dan biarlah hidupku hancur kerana P. Ramlee," katanya semacam orang berputus asa!

Di subuh hari P.Ramlee diserang sakit jantung yang membawa maut, bekas isteri pertamanya JUNAIDAH begitu gelisah, hatinya risau tidak menentu, semalam-malaman dia tidak dapat memejamkan matanya.

Selepas sembahayang subuh Junaidah mendengar warta berita di Radio Republik Indonesia (RI), P. Ramlee meninggal dunia.

Junaidah hampir tumbang! lemah longlai seluruh anggutanya, dadanya sebak semacam susah hendak bernafas. "Patutlah malam tadi aku tak boleh tidur!" katanya di dalam hati.

Sekarang barulah Junaidah tahu. setelah P. Ramlee sudah tiada lagi di dunia ini, hatinya yang kadangkala 'geram' mengingatkan perbuatan bekas suaminya itu, tiba-tiba bertukar menjadi sayang!.

"Setiap kali selepas sembahayang saya selalu mendoakannya semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya," kata Junaidah yang sempat saya temui di rumahnya di Jakarta di pertengahan bulan April yang lalu.

Sempat juga Junaidah menyatakan, sekiranya dia mempunyai kesempatan datang ke Kuala Lumpur, "Saya akan terus ke perkuburan abang P. Ramlee nak sedekahkan Fatihah' katanya dengan penuh harapan serta mengharapkan Saloma sering-seringlah mengziarahi pusara Allahyarham supaya tidak terbiar dan ditumbuhi lalang.

Walaupun lebih dari 25 tahun mereka berdua berpisah dan masing-masing membawa haluan sendiri-sendiri, namun perhubunga Junaidah dengan P. Ramlee tetap baik, tambahan pula anak mereka berdua, Nasir, menjadi ikatan yang takkan boleh dilepaskan lagi.

DAPAT ILHAM MENCIPTA LAGU

Junaidah tak dapat melupakan betapa indah percintaannya dengan P.Ramlee, "Waktu itu kami sama-sama muda, saling kasih mengasihi dan sayang menyayangi, rasanya tak mahu bercerai sampai ke mati.

"Memang P. Ramlee suka memanjakan isteri dan menunjukkan kasih sayang yang berlebihan. "Kalau dia pulang jauh malam, dia akan membawa makanan yang saya gemari, mee Hong Kong," kata Junaidah, sambil itu dia menceritakan makanan yang menjadi kegemarannya semasa tinggal di Singapura dulu.

"Tapi bila dapat ilham mencipta lagu, saya sedang tidur nyenyak dikejutkannya, disuruhnya saya menunggu sambil dia membuat lagu," kata Junadah yang kini menjalani usia hampir separuh abad.

Junaidah masih teringat-ingat lagi pertemuan terakhirnya dengan bekas suaminya itu kira-kira, dua bulan sebelum P. Ramlee meninggal dunia.

"Dia meminta izin suami saya, Harris, untuk membawa saya keluar berjalan-jalan. Dia memimpin tangan saya, dan kami berjalan seperti orang muda-muda, naik jambatan turun jambatan sambil membeli-belah. P. Ramlee meminta pilihkan 'siput gundil' untuk isterinya, Saloma.

"Semacam menyesal, Junaidah menceritakan dalam pertemuannya itu P. Ramee mengajaknya datang ke Kuala Lumpur untuk main filem bersamanya. "Kerana kalau abang mati nanti, dapat juga anak kita melihat ibu dan ayahnya di dalam filem. "Kita mesti berlakon berdua!" kata Allahyarham kepada bekas isterinya itu.

Tapi kata Junaidah, dia tidak memperdulikan kata-kata P. Ramlee. "Saya anggap dia bergurau kerana dia suka bergurau orangnya, lalu saya jawab: "Abang dah gila ke?, dah buang tabiat! jangan-jangan abang nak mati tak?"

"Sekarang terasa menyesal mengapa saya berkata begitu, terasa kata-kata saya itu kasar, tentu tersinggung hatinya", ujar Junaidah penuh penyesalan.

Junaida sendiri tidak menyangka P. Ramlee meninggal dunia begitu cepat!.

Norizan menangis mendengar kematiannya. Dan, Saloma jadi tergamam hinggakan tak tertangis.

Pada Saloma P. Ramlee tetap hidup dalam hatinya kerana telinganya masih terngiang-ngiang kata P. Ramlee, "dia ingin hidup seribu tahun!"










(Sumber: PakCummy)


(Sumber: MrFaeez36)


(Sumber: AvrosAlbatross)


(Sumber: AvrosAlbatross)


(Sumber: PakCummy)


(Sumber: MrFaeez36)

FAKTA___

* Tiga lagu - Jangan Tinggal Daku, Jeritan Bathinku dan Di Mana Kan Ku Cari Ganti - dicipta oleh P. Ramlee semasa rumahtangganya berantakan dengan Norizan. Anehnya, lagu-lagu tersebut yang terdapat dalam filem Ibu Mertua Ku telah menjadi hits dan begitu popular sehingga kini.

* P. Ramlee meninggal dunia di Kuala Lumpur pada 29 Mei 1973, begitu juga Norizan (16 Mei 1992) dan Saloma (18 April 1983). Junaidah, difahamkan, meninggal dunia di Jakarta tetapi, setakat ini, tarikh sebenar beliau meninggal dunia tidak dapat dikesan.

* Norizan dan Saloma disemadikan sebelah menyebelah disamping P. Ramlee di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Tetapi tidak Junaidah yang pusaranya hingga sekarang tidak diketahui, di mana?

* Agak menarik, Junaidah, Norizan dan Saloma pernah berlakon filem bersama P. Ramlee. Junaidah (antaranya "Nasib" dan "Nilam"), Norizan ("Bukan Salah Ibu Mengandong" dan "Laxmana Do Re Mi") dan Saloma ("Sabarudin Tukang Kasut" dan "Ahmad Albab").

* Artikel Bahyah Mahmood ini disiarkan dalam URTV pada 1 Jun 1978. Ini bermakna umurnya genap 35 tahun pada 1 Jun 2013, dan genap pula 40 tahun pemergian P. Ramlee yang ke-40 pada 29 Mei 2013. Begitulah cepatnya peredaran masa.

* Kerana keberantakan rumahtangganya dengan Norizan itulah, menyebabkan P. Ramlee memenangi anugerah Bakat Serba Boleh (Most Versatile Talent) di Festival Filem Asia-Pasifik Ke-10 di Tokyo pada tahun 1963. Filemnya, "Ibu Mertua Ku".


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

berapa banyakkah yang masih ada?


10 FILEM BOLLYWOOD HEBAT SEPANJNG MASA
top 10 bollywood films all time

REVOLUSI ISLAM DAN FILEM IRAN
"a separation" meningkatkan martabat negara iran


CECILIA CHEUNG
foto-foto lucahnya menggemparkan hong kong


CINTA DAN LAGU
satu-satunya filem musikal wujud di malaysia

PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai...

TRIVIA "PERMINTAAN TERAKHIR"
ciplakan filem hong kong "susanna"





KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.