Tribute... A.R. Ismail (8/10/1929-15/1/1995) Pencipta Lagu Yang Tidak Patut Kita Lupakan (Update: 24/11/2016)

1. Bisikan Hati 2. Senja Berulang Senja 3. Dimanakah Cintamu 4. Aku Kecewa 5. Berikan Ku Sinar Harapan >> Kliks Disini

Tuesday, February 26, 2013


SUMPAH ORANG MINYAK (1958)

FILEM SERAM YANG SUKAR DITANDINGI
Teks & Foto: Mustafar A.R.
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop












CREDIT TITLE (ORIGINAL)___

MALAY FILM PRODUCTIONS LTD. present SUMPAH ORANG MINYAK Starring P.RAMLEE DAENG IDRIS Co-Starring ALI RAHMAN SALLEH KAMIL MALIK SUTAN MUDA HAJI MAHADI SHARIFF DOL Supported by SALBIAH FATIMAH OSMAN ROSIAH CHIK RAHMAH RAHMAT RAJA HAMIDAH M.RAFEE A.RAHIM KEMAT HASSAN AHMAD C OMAR SUWITA ALI FIJI With MUSTARJO NYONG ISMAIL AHMAD GHANI ROKIAH HASHIM PRANI PRAMUT and a Cast of Hunderds Introducing MARION WILLIS as Putri Bunian SRI DEWI as Afida Photography A.BAKAR ALI Audiography KAMAL MUSTAFA Editor H.R.NARAYANA Art Director MUSTAFA YASSIN Processing LIM YEW HAI WONG HONG PENG Make-up MUS MERDUATI A.V.BAPAT Assistants Director S.SUDARMADJI Camera YA'ACOB MAHMOOD Sound LIM CHONG TECK Editors P.V.JHON K.K.RAMAN Music KASSIM MASDOR Story TEUKU DJA’AFAR Screen-Play P.RAMLEE Dialouge S.SUDARMADJI Continuty KASSIM MASDOR Music YUSRAM Arrangments P.RAMLEE Lyrics S.SUDARMADJI Orchestra YUSOFF B Cheoreography NORMADIAH Playback Singers SALMAH ISMAIL P.RAMLEE and M.F.P. CHOROUS PRODUCED BY RUN RUN SHAW DIRECTED BY P.RAMLEE

Tahun Dikeluarkan: 1958 (20 April)
Masa Tayangan: 1 Jam 58 Minit (lebih kurang)













P. RAMLEE sebagai SI BONGKOK


SALLEH KAMIL (tengah) sebagai BUYONG




SRI DEWI sebagai AFIDA

















RINGKASAN CERITA___

TUALANG TIGA 1901. Si Bongkok sering diseksa dan didera penduduk kampung Tualang Tiga. Suatu malam, pintu pondok Bang Selamat (mencari rezeki dengan menjual kain batek) diketuk orang. Bila pintu dibukanya, muncul Si Bongkok terketar-ketar ketakutan. Bang Selamat yang baik hati mempelawanya masuk dan memberi pakaian untuk diganti.

"Itulah disuruh kau tinggal disini kau menolak. Nah sekarang benar tak kata-kataku," kata Bang Selamat." Kemudian jawab Si Bongkok: "Benar Bang Selamat. Orang kampung jijik memandang sifatku, pondok burukku dibakar hangus. Apabila fajar menyinsing aku pergi jauh, jauh dari masyarakat cantik."

"Mengapa gila sebelum ditakdirkan," kata pula Bang Selamat kemudian menyambung: "Walau ke langit hijau sekali pun kau pergi namun si penghina tetap menghina. Sudahlah serahkan saja kepada yang berkuasa."

Si Bongkok membatalkan niatnya, dia tinggal bersama Bang Selamat. Oleh kerana kain batek sudah bercorak lama ia sudah tidak laku lagi. Bang Selamat pulang dengan keadaan susah hati, tetapi gembira semula apabila Si Bongkok telah merekacipta berbagai corak kain batek ciptaan baru yang lahir dari bakat seni yang ada didalam jiwanya.

"Sungguh tak kusangka disebalik sifat cacatmu tersembunyi bakat mu seorang pelukis. Banggaku setinggi gunung," kata Bang Selamat apabila melihat lukisan-lukisan yang dilukis oleh Si Bongkok.

Dengan corak ciptaan Si Bongkok itu, Bang Selamat dan Si Bongkok pun terus membuat kain batek dan apabila siap dan dijual dipasar jualan sangat laris yang mana ini sangat menggembirakan Bang Selamat.

Tetapi bagi Si Bongkok, penyiksaan yang diterimanya dari orang-orang kampung berterusan terutama daripada Buyong beserta kawan-kawannya. Si Bongkok ketika mengambil air di sungai telah ternampak oleh Buyong berserta kawan-kawannya lalu mengejarnya.

Si Bongkok berjaya ditangkap, dia diikat kemudian dipukul dan ditendang serta dibaling dengan batu oleh Buyong dan kawan-kawannya serta juga orang-orang kampung.

Si Bongkok yang tidak bersalah merayu supaya dilepaskan. Katanya, "Tolonglah lepaskan aku. Aku tak bersalah. Kalau aku bersalah aku meminta ampun." Tetapi rayuan tersebut tidak dipedulikan, Si Bongkok terus diseksa dan didera.

Bagaimanapun, Si Bongkok bernasib baik apabila Afida (anak Datuk Penghulu) datang menyelamatkannya. Dia telah membuka ikatan yang mengikat Si Bongkok dan memberi minum air.

Setelah termakan budi kerana menyelamatkan dirinya, Si Bongkok telah melukis gambar wajah Afida bersama wajahnya dan dia berhasrat menyampaikan lukisan tersebut kepada Afida di majlis Malam Pemudi Seni Wilayah Utara.

Ketika Si Bongkok berada di majlis tersebut, Buyong telah meracuni fikiran orang-orang kampung supaya membenci Si Bongkok. Katanya, disebabkan dosa-dosa bapak Si Bongkok Kampung Tualang Tiga tercemar.

Penduduk kampung dengan hasutan Buyong mahukan supaya Si Bongkok dihukum bunuh, tetapi dengan rayuan Afida, lagi pun bukan Si Bongkok yang bersalah, hukuman direngankan.

MENERIMA AKIBATNYA

Di atas pertimbangan Datuk Penghulu, dia telah menasihatkan Si Bongkok supaya meninggalkan kampung Tualang Tiga. Si Bongkok patuh, dan sebelum meninggal majlis tersebut sempat juga dia menyerahkan lukisan hasil kerja seninya kepada Afida.

Apabila Afida mengeluarkan lukisan tersebut dari beg kain terpampang gambar Afida dan Si Bongkok dengan catatan: "Gadis Chantek dan Binatang" yang mana ini sangat mengharukan Afida.

Sebelum meninggalkan kampung Tualang Tiga, Si Bongkok pergi ke pusara bapaknya dan disitu Si Bongkok menyumpah-seranah diatas perbuatan bapaknya hingga menyebabkan dirinya terseksa.

Sambil menendang-nendang dan memijak-mijak pusara bapaknya itu dan diiringi pula dengan kilat sabung-menyabung dan ribut petir Si Bongkok menyeranah bapaknya: "Dosa yang kau lakukan mengapa aku menerima akibatnya. Ya, Tuhanku, inikah keadilan? Inikah keadilan? Mengapa kau ciptakan jasadku seburuk ini? Mengapa kau tuliskan nasibku sehina ini? Mengapa?..."

Kemudian, dengan secara tiba-tiba suasana alam yang tadinya muram dan bergentar sekarang hening dan damai. Si Bongkok berada di dalam alam Orang Bunian. Putri Bunian mempelawanya naik kenderaan menyerupai sampan dan terus membawanya ke Istana Bunian bertemu dengan Penghulu Orang Bunian.

Dalam pertemuan tersebut, Si Bongkok telah diberi sebuah kitab Seribu Satu Hikmat dan ia hanya dibolehkan memilih satu saja. Si Bongkok, tanpa berfikir panjang, telah memilih untuk menjadi cantik dan sebelum itu dia terpaksa mematuhi syarat (sumpah) iaitu "Jangan menyombong dan memusuhi sesama manusia. Jika engkar dia akan binasa."

Setelah berenang dikolam hikmat beberapa ketika, Si Bongkok yang buruk dan hodoh serta tempang berubah wajah menjadi seorang pemuda yang cantik dan tanpan.

Ketika berada di alam Orang Bunian itu, Si Bongkok (kini diberi gelaran oleh Putri Bunian sebagai Taruna Impian) telah jatuh hati dengan Putri Bunian. Tetapi dia tidak boleh memiliki atau berkahwin dengannya atau tinggal terus di alam Orang Bunian kerana Si Bongkok telah memilih menjadi cantik dan tanpan bukannya untuk memiliki Putri Bunian.

Bila sudah sampai waktunya, Si Bongkok terpaksa kembali ke Dunia Manusia yang telah ditinggalkannya selama tiga tahun tetapi dirasakan baru tiga hari oleh Si Bongkok dengan dihantar oleh Putri Bunian.

Sebelum berpisah, Putri Bunian yang juga menyintainya bertanya: "Mungkinkah kita berjumpa lagi." Jawab Si Bongkok: "Ya, sesudah duniaku dan duniamu bercantum satu."

HILANG PERTIMBANGAN

Bila berada di Dunia Manusia, Si Bongkok pergi menemui Bang Selamat yang terperanjat dengan pertukaran wajah Si Bongkok dan mula merekacipta corak kain batek bercorak baru kerana corak yang diciptanya tiga tahun dulu sudah menjadi corak lama. Jualan sudah tidak laku.

Untuk hadiah di Malam Pesta Si Bongkok telah melukis wajah Afida dan wajahnya untuk diberikan kepada Afida yang menyelamatnya suatu ketika dulu yang kini sudah bertunang dengan Buyong dengan catatannya: "Gadis Chantek Dan Taruna".

Kehadiran Si Bongkok yang cantik dan tanpan (seolah-olah seperti anak Raja layaknya) itu dikagumi oleh penduduk-penduduk kampung. Si Bongkok dihormati dan disembah-sembah termasuk Datuk Penghulu yang baru serta Buyong dan kawan-kawanya.

Si Bongkok memberi hadiah lukisannya kepada Afida. Katanya: "Terimalah sumbangihku wahai Afida." "Bagaiamana tau nama hamba?" tanya Afida. Jawab Si Bongkok: "Sejak kau menolong aku dulu." Sebaik saja melihat lukisan yang diberi dengan keheranan Afida berkata, "Si Bongkok...!"

"Ya, akulah Si Bongkok yang dikau haramkan menjejak Kampung Tualang Tiga," pekik Si Bongkok.

Si Bongkok memberitahu yang dia mahu membawa Afida keluar bersamanya dari Kampung Tualang Tiga, dan sebabkan Afida tidak sukakan Buyong kerana dia membunuh bapaknya kerana menolak pinangannya, dia rela mengikut Si Bongkok.

Bagi Buyong kalau Si Bongkok mahu berbuat demikian, "Langkah mayatnya dulu". Dia bertindak membaling pisau ke arah Si Bongkok yang sedang mara untuk keluar dari majlis pesta itu yang mana sasarannya mengenai Afida yang menyebabkan kematiannya. "Biar putih tulang jangan putih mata," kata Buyong.

Si Bongkok hilang pertimbangan, dia lupa dengan sumpahnya mengapa dia menjadi cantik. Si Bongkok bertarung dengan Buyong yang mana akhirnya Buyong kecundang, dia mati ditangan Si Bongkok.

Kerana sumpah sudah dilanggar, Penghulu Orang Bunian muncul dan menyatakan kepada Si Bongkok bahawa kecantikannya tidak boleh dilihat manusia.

Bagaimanapun, dengan hasutan Syaitan Si Bongkok (yang mahu kembali seperti manusia biasa dan memperolehi kesenangan dunia) setuju dengan syarat-syarat Syaitan yang dikenakan kepadanya.

Pertama, Si Bongkok misti memperkosa 21 wanita dalam tempuh seminggu. Kedua, Si Bongkok misti mengakui Syaitan Tuhannya. Setelah persetujuan dicapai, Syaitan memberi sebentuk cincin kepada Si Bongkok yang mana apabila dipakainya bentuk dan wajahnya berubah menjadi 'Orang Minnyak'.

Dengan itu Orang Minyak pun menjalankan perintah Syaitan dengan melakukan perkosaan seorang demi seorang wanita yang terdapat di Kampung Tualang Tiga yang mana angkaranya itu menjadikan penduduknya berada dalam kebimbangan dan ketakutan. Kampung Tualang Tiga menjadi huru-hara.

Berbagai usaha dijalankan untuk menangkap Orang Minyak tetapi tidak berhasil. Oleh kerana perbuatan Orang Minyak sudah melampaui batas, Penghulu Orang Bunian muncul di kampung tersebut untuk menangkap Orang Minyak.

Orang Minyak berjaya ditangkap dan dipenjarakannya di dalam buyong untuk dimusnahkan.

Sebelum meninggalkan Kampung Tualang Tiga, Penghulu Orang Bunia menyerahkan kuasa memimpin kampung tersebut kepada Ali menggantikan Datuk Penghulu yang meninggal dunia.

Penghulu Orang Bunian berpesan: "Jangan menghina sesama manusia. Jika menghina sesama makhluk, hilang ria timbul duka." Orang Minyak yang termakan sumpah dibawanya pergi.

Kampung Tualang Tiga kembali aman dan damai.


























MARION WILLIS sebagai PUTRI BUNIAN







ANTARA DUA KRITIKAN___

(1)
Kritikan Oleh FADZ
Petikan Dari Blognya
TONTONFILEM




MEMANG agak lama aku tak menulis. Aduh, sakitnya dengan pelbagai kerja dan masalah.

Tetapi semalam setelah aku menonton filem Sumpah Orang Minyak (1956), aku macam terganggu dan terkesima dengan pandangan dalam filem P. Ramlee ini.

Filem ini bukan hanya sebuah eksperimen P. Ramlee dalam menyatukan genre dongeng (folk) dan seram (ataupun fantasi gelap) tetapi menyampaikan sebuah filem "renungan" tentang falsafah "kesempurnaan".

Jika kita tonton filem ini secara lalu, tanpa ingin mencari "akal", kita hanya akan meneliti "moralis" filem itu, yakni terhadap protagonisnya, Si Bongkok (P. Ramlee). Tetapi jika kita teliti betul-betul, filem itu membuka persoalan yang lebih mendalam, yang semuanya berlingkar pada pandangan dan kefahaman "cantik". Cantik ialah perbualan besar filem ini, dan susun cerita dan penandanya banyak berlingkar dari hal itu.

Bongkok "buruk", tidak "cantik" secara hakikat fizikal yang difahami masyarakatnya (purba, dan masih relevan sekarang).

Ah, ini yang menarik, "buruk" Bongkok bukan benar-benar dikutuk selapis (not just the surface meaning) tetapi berkait dengan "keburukan" ayahnya yang melakukan banyak onar.

Hal ini berkaitan dengan "penurunan nasib" tipikal sifat Melayu/Asia Tenggara/Hindu ("bapak borek, anak rintik") dengan pandangan berkenaan "karma".

Karma ini dikaitkan dengan "keburukan" fizikal Si Bongkok mendapat "dosa" ayahnya. Masyarakat kampung "mengiyakan" konsensus ini.

Hanya Si Cantik dan ayahnya, penghulu yang "melihat melampaui kulit" dengan menyatakan "dosa ayahnya tidak berkenaan dengan anaknya".

Hal ini suatu renungan sosial yang mendalam, dan ini belum lagi dilihat pada sisi konteks individu Si Bongkok. Ini masih strata sosial yang membanding-bandingkan "skin deep" kulit dengan kulit berserta hal yang tiada berkaitan kecuali keturunan.

Ini menguatkan lagi betapa "tahyul"nya sifat orang kampung Melayu itu (persoalan ini menarik jika golongan ini masih bersikap begini).

Komuniti masih "primitif" dan memerlukan kuasa atas (penghulu) untuk menyatakan hikmah keseimbangan moral. Semua ini berlingkar, dan masih berkait dengan "cantik", yakni kesempurnaan dengan "buruk", yakni ketidaksempurnaan.

Bongkok lahir hodoh. Dia sendiri dengan rendah diri mengaku dia "tidak sempurna", kadang-kadang semacam sedar diri apabila potret "Si Cantik dan Binatang" yang dihadiahkan kepada gadis itu dipertontonkan.

MENCARI KESEMPURNAAN

Di sini kita sudah menyedari, dalam tasawuf, Bongkok "mengenali diri"nya tanpa seutas benang pun (tidak lagi merasa malu dan mengaku, lalu meredai ciptaannya). Tetapi hal ini ada ironinya. Bongkok seorang pencipta "kecantikan".

Cantik dalam budaya kampung itu adalah "seni" (tarian, nyanyian, lukisan, batik yang elok). Bongkok yang hodoh dapat menciptainya, suatu bakat yang khusus dan takjub. Secara psikologi, kita juga menyedari Bongkok sebegitu kerana "mencari kecantikan", yakni mencari kesempurnaan. Dalam diam-diam, Bongkok mencari "kesempurnaan" fizikal. Ini tercitra dalam potret "Si Cantik dan Binatang" juga.

Maka Bongkok sebenarnya bukanlah "sempurna" seperti yang dinampak oleh Penghulu dan Si Cantik. Mereka berdua nampak Bongkok "cantik" kerana "hati budi" Bongkok yang merendah diri dan sentiasa memberi lalu kepada orang lain.

Bongkok juga mempunyai bakat mencatikkan daripada pandangannya, dan ini juga kekuatan kefahaman "kecantikan" Bongkok. Apabila Bongkok dihalau dari kampung, akhirnya, Penghulu dan Si Cantik juga "terikat" dengan konsensus masyarakatnya walaupun merasa "kasihan".

Dek "pembuangan" ini, yakni suatu aksi sosial paling "menjatuhkan maruah" dalam masyarakat itu membuatkan Bongkok berjalan ke kubur ibunya. Ah ini penanda menarik. Kubur menyampaikan dua makna di sini, mati (jalan terakhir di dunia/filem/fatamorgana) ataupun gapura "alam lain".

Benar-benar "alam lain" itu muncul dalam bentuk Puteri Bunian berserta pengiringnya, seakan-akan menandakan petanda "genre cerita ini akan berubah". Pembuangan itu, yakni penjatuhan hukuman maruah itu "membogelkan" roh jiwa Bongkok seburuk-buruknya. Dengan itu "khasyaf" terbuka. Seharusnya, Bongkok "suci bersih" tahap ini. Inilah "kecantikan" sebenarnya yang patut Bongkok cari.

Kerana itulah "potensi" yang dilihat oleh Puteri Bundian dan Penghulu Bunian membawa Bongkok masuk ke "alam lain" Bunian.

Di alam ini (dengan mengejutkan, P. Ramlee jauh lebih ke hadapan daripada David Lynch dalam meletakkan jubin alam ghaib ini dengan petak hitam putih, menyerupai jalinan zig zag White/Black Lodge Twin Peaks, ini petanda penting, bukan sahaja meng"gah"kan pentas istana berbanding alam kampung, tetapi menyampaikan maksud "dwi" dalam dunia ini: baik/buruk, jahat/baik, cantik/hodoh, menang/kalah, dosa/pahala, semacam tempat segala dwikewujudan menampilkan ertinya untuk diselam, menjadi dunia "limbo" filem ini sendiri sebagai fungsi "penentuan penerusan cerita") Bongkok ditemukan dengan sebuah kitab "memberi jawapan kepada semua masalah".

Menariknya di sini, Bongkok yang "kekampungan" boleh membaca! Adakah ini suatu kesilapan atau kesengajaan sebagai menunjukkan pertentangan sifat Bongkok seperti di atas (hodoh tetapi bijak, pembaca dan berbakat seni)?

Di sini, kita menuruti "kebijaksanaan" dan "keluhuran" sebenar Bongkok dalam pengertian sebenar kecantikan/kesempurnaan. Bongkok menyelak dan menyelak, dan membaca berkenaan "untuk menjadi cantik" yakni dia perlu mandi dalam kolam Bahteri Nabi Allah Nuh AS.

Ah, suatu renugan diperlukan di sini. Kini, kita mengambil tindakan Bongkok ini dengan tindakan tidak bijak orang kampungnya. Hal ini memerlukan kefahaman tasawuf yang tinggi, berkenaan "mengenal diri".

Jika kita "mengenal diri", yakni suatu perjalanan mencari kesempurnaan (kecantikan) kewujudan kita ("Kenapa aku dicipta Tuhan?"), kita akan menyedari untuk "meredai" ciptaan kita oleh Tuhan seadanya kerana "setiap ciptaan-Nya mempunyai maksud-Nya di dunia".

Bongkok tidak memilih pilihan terbijak ini (ada beberapa alternatif lain, yakni, cara untuk tinggal selama-lamanya di alam Bunian ataupun cara untuk menyelami kebenaran diri) melainkan suatu yang "skin deep" juga (ironi yang terkena dengan kecerdikannya membaca kitab, maka menunjukkan orang pandai baca pun tidak tahu apa yang dia cerap).

Bongkok jadi "cantik" dan berasmaradana dengan Puteri.

PERILAKU BERDOSA

Babak paling penting berlaku selepas itu, yakni babak Penghulu Bunian mengarahkan Bongkok turun kembali ke dunia nyata. Bongkok ingin membawa Puteri bersama. Hal ini ditegah, dengan dialog paling kuat, logik dan penting dalam filem ini oleh Penghulu Bunian: "Sudah kau pilih untuk menjadi cantik, dan bukan untuk berkahwin dengan Puteri."

Hal ini memancarkan bagaimana tindakan/pilihan tertentu menyebabkan arus peristiwa dan akibat tertentu. Hal ini juga ujian si Bongkok terhadap cintanya kepada Puteri (seperti mana cinta kita kepada Tuhan apabila kita dijauhkan daripada-Nya setelah diturunkan ke bumi sedari Adam AS). Dapatkah mereka bersama kerana Puteri optiimis, dan Bongkok tidak.

Sewaktu Bongkok menginginkan jadi "cantik", dia diberi satu syarat, yakni "jangan membunuh orang". Perilaku berdosa itu menyamai "keburukan" ayahnya (yang dibenci orang kampung). Bongkok diberi peluang untuk tidak mengulangi "perbuatan jahat" ayahnya di sini.

Hal ini menjelaskan cerapan makna sebenar "taubat" atau perjalanan "penyucian" untuk bergerak menjadi insan yang kamil (sempurna). Tetapi apa yang berlaku (setelah digoda oleh Iblis ala Faust)? Bongkok yang sudah cantik sanggup menanggalkan "baju kurniaan"nya pada sifat telanjang (fizikal, bukan rohani, dan lebih daif lagi malu) lalu bertukar menjadi "orang minyak".

Pembunuhan pun sudah berlaku sebelum itu. Inilah "sebab-akibat" Qadar Bongkok yang boleh dikecang jika dia mengawalnya.

Secara ironi, Bongkok, akhirnya "kembali" juga ke Bunian setelah dimasukkan dalam botol dan dipegang Penghulu Bunian. Tetapi ini memaparkan "seburuk-buruk manusia". Perjalanan Bongkok ini satu tragedi, tragedi atas pemilihan. Apakah ada peluang lagi untuk Bongkok?

Jika dalam Islam, ya sudah tentu ada jika Bongkok benar-benar bertaubat (dan mungkin terpaksa menerima hukuman berat kerana membunuh dan merogol) tetapi hal itu tidak dinyatakan.

Hanya yang penting, perjalanan yang kita ikuti setakat itu, memaparkan tragedi perjalanan Bongkok ke arah kesempurnaan, hanya ianya tidak berakhir dengan kematian sepertimana tragedi Barat (kerana Bongkok "sudah mati" secara tersirat apabila berteluku di kubur dan dibawa ke alam lain).

Ah, kesempurnaan/kecantikan ini juga dibawa oleh beberapa penanda. Dua paling jelas adalah daripada pembentukan citra sifat Penghulu Kampung, Penghulu Bunian dan Si Cantik.

Ketiga-tiganya mungkin tidak "sempurna" secara rupa paras tetapi menyerlah beberapa hal, Penghulu Kampung dalam tindakan beradab dan kemanusiaannya, Penghulu Bunian kerana kebijaksanaannya, dan Si Cantik untuk keluhuran akal budi serta bahasanya.

Semua ini menjadi ramuan untuk Bongkok (dan kita) renungi dan sedari, betapa hal inilah yang paling penting (dan amat tasawuf) dalam membentuk diri kita ke arah pembentukan diri yang sempurna di mata Allah. Inilah kehebatan Sumpah Orang Minyak (kalau mahu dibandingkan dengan Sumpahan Kum-kum, contohnya).

Bayangkanlah, bagaimana semudah mana filem ini (dan bagaimana ketinggalan zamannya efek khasnya, kecuali penggambarannya yang masih berkuasa dan kuat bahasa filemnya) tetapi sedalam mana titis falsafah yang diutarakan dalam filem ini.

Aku kecewa apabila aku menyedari, dalam banyak-banyak filem komersial sekarang, tiada yang dapat menandingi halus makna sehalus kefahaman filem ini (ini tidak termasuk filem Rahim Razali dan beberapa lagi, contohnya).

Pembikin filem sekarang perlu insaf dan menyedari hakikat betapa kita sudah terlari daripada memberi inti sebenar kepada penonton kita. Dan filem ini contoh terbaik.

# Kritikan "Sumpah Orang Minyak" ini adalah original sebagaimana yang ditulis oleh FADZ, tidak ada penyuntingan dilakukan kecuali pemedekan para saja - Zaini Yusop.









(2)
Kritikan Oleh MUSTAFAR A.R.
Petikan Dari Bukunya
FILEM-FILEM P.RAMLEE




BERIKUTAN beberapa kejadian munculnya Orang Minyak di Singapura yang hebuh diperkatakan ketika itu dan Cathay Keris Film pula telah mengeluarkan filem "Orang Minyak" dan "Serangan Orang Minyak" yang diarahkan oleh L. Krishnan dan mendapat sambutan hangat, MFP pun turut berminat mengeluarkan filem yang coraknya serupa.

Kisah (cerita rekaan) yang ditulis oleh Teuku Dja'afar (siapakah beliau? Adakah itu nama samarannya atau bersaudara dengan P. Ramlee, tidak pula diketahui) bukanlah berlaku di zaman moden (seperti yang dikeluarkan oleh Cathay Keris Film) tetapi membawa kita ke zaman awal kurun ke-20 (1901) iaitu bagaimana bermula wujudnya makhluk Orang Minyak yang sering dikaitkan memperkosa wanita.

Disebabkan P. Ramlee ketika itu berada dikemuncak kejayaan, pihak atasan tidak keberatan membenarkannya mengarah filem bercorak seram (+ fantasi/purba) itu. P. Ramlee menulis lakunlayarnya (screen-play) manakala S. Sudarmadji pula ditugaskan menyusun dialog (kata-bual).

Dalam memilih pelakun, Salleh Kamil (menjadi musuh ketatnya dalam "Penarek Becha" dan "Semerah Padi") dikekalkannya begitu dalam filem ini. Kerana peranan wanitanya (leading actress) tidak begitu mencabar, P. Ramlee memperkenalkan dua orang pelakun baru - Sri Dewi sebagai Afida dan Marion Wallis (Ratu Cantik Singapura - 1958) membawa peranan Sri Bunian.

P. Ramlee pada mulanya berhasrat mengambil Siti Hawa Majid (kemudian terkenal sebagai juruhebah di RTM dan ibu kepada Nurfahin Jamsari, juruacara TV3) memegang peranan Putri Bunian, sudah pun di screen-test. Tetapi hasratnya itu tidak menjadi kenyataan kerana Run Run Shaw mahukan Marion Willis.

Banyak pengajaran terdapat dalam filem ini yang boleh dijadikan iktibar. Jangan suka menghina sesama makhluk (manusia); apabila sudah mendapat apa yang dihajati jangan lupa daratan dan berlagak sombong yang mana akibatnya membawa kecelakaan dan kemusnahan.

Dalam filem yang bercorak seram (+ fantasi/purba) ini P. Ramlee telah mengarahkannya dengan baik sekali. Penggambaran (oleh A. Bakar Ali), lakunan (terutamanya P. Ramlee dan Salleh Kamil), lagu-lagu dan muzik (Yusoff B. dan P. Ramlee) serta dialog (oleh S. Sudarmadji) telah dihasilkan dengan begitu berkesan sehingga membolehkan "Sumpah Orang Minyak" ini dianggap sebagai salah sebuah filemnya yang terbaik disamping "Penarek Becha", "Semerah Padi", "Panca Delima" dan "Antara Dua Darjat".

Cuba kita hayati dialog S. Sudarmadji ini: "Ya, akulah Si Bongkok. Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan menjejak bumi Tualang Tiga. Tetapi kini aku dikau sembah-sembah, aku diagung-agungkan sebagai Raja. Sebab apa, sebab wajahku tak seburuk dulu. Sebab aku cantik berpakaian indah. Jujurkah dikau hidup sebagai manusia? Dikau semuanya pengecut. Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah."

Cantik, bukan? Bagaimanapun, dialog tersebut tidak bererti sama sekali sekiranya P. Ramlee tidak melafas dan melakunkannya sebaik apa yang telah diperlihatkannya.

Kejayaan P. Ramlee mememangi anugerah Pelakun Utama Terbaik: Bahagian Drama di Festival Film Asia telah dipratikkannya dalam filem ini.

Kehebatannya dalam filem "Anak-Ku Sazali" bukanlah anugerah ikhsan disebabkan Run Run Shaw atau Runme Shaw turut menguasai festival filem Asia tersebut tetapi sememangnya P. Ramlee berhak (secara mutlak) menerimanya.

Penat lelah P. Ramlee mengarahkan filem ini juga tidak sia-sia apabila dari segi teknikal (fotografi black & white) telah menghasilkan anugerah untuk A. Bakar Ali di festival filem yang sama yang berlangsungkan di Manila.

KURANG BERHASIL

Dalam mengarahkan filem ini P. Ramlee tidak boleh lari dari unsur-unsur filem asing (terutama Barat dan Jepun). Watak Si Bongkok diciplak dari watak Quasimodo dalam filem "Hunchback Of Notre Dame".

Adegan Si Bongkok diikat dan didera kemudian diselamatkan oleh Afida dan memberikannya air minuman juga merupakan adegan yang ditiru bulat-bulat dari filem tersebut. Adegannya pun sudah dianggap klasik.

Dalam versi Cinemascope "Hunchback Of Notre Dame" (1956) adegannya memperlihatkan Gina Lollobrigida (Esmeralda) memberi air minum kepada Anthony Quinn (Quasinmodo).

Alam ghaib atau alam Orang Bunian, diilhamkannya dari filem "Wizard Of Oz" lakunan bintang terkenal Judy Garland.

Si Bongkok menjadi kecil dan dimasukkan dalam buyong sama seperti adegan yang terdapat dalam "Thief Of Baghdad". Adegan yang serupa juga terkandung dalam "Abu Hassan Penchuri".

Menyentuh tentang pelakun, P. Ramlee, Salleh Kamil dan Daeng Idris tidak boleh dipertikaikan lagi, namun begitu lakonan Sri Dewi dan Marion Willis kurang berhasil. Tetapi disebabkan adegan mereka tidak banyak kelemahan yang terdapat tidaklah begitu ketara.

Bagaimanapun, suara yang digunakan untuk Marion Willis (menggunakan suara Normadiah) sedikit sebanyak mencacatkan juga lakunannya kerana suara Normadiah tidak sesuai dengan perwatakannya yang cantik dan lemah lembut.

Trick-shot dan superimpose (fotografi) yang diperlihatkan dalam filem ini sememangnya mengkagumkan. Kemenangan anugerah oleh A. Bakal Ali sudah kena pada tempatnya.

Pertarungan antara Si Bongkok dengan Buyong disertai pula angin ribut dan petir sabung-menyabung memperlihatkan kreativiti antara P. Ramlee sebagai pengarah dengan A. Bakar Ali sebagai jurugambar yang begitu mantap dan berkebolehan.

Rasanya, pertarungan seperti ini tidak terdapat dalam filem lain setakat ini dan mungkin juga beberapa tahun yang akan datang. Serupa seperti pertengkaran antara Hassan dengan anaknya (Sazali) dalam filem "Anak-Ku Sazali".

Sukar ditandingi, maksudnya dalam lingkungan filem Malaysia.

































SHARIFF DOL sebagai SYAITAN














ALI RAHMAN sebagai ALI





MARI KITA TONTON "SUMPAH ORANG MINYAK"___


(Sumber: Mohammad Ismail Abdullah Sani
SUMPAH ORANG MINYAK (1958)



(Sumber: Neem56)
ADEGAN YANG TELAH DISENSOR



(Sumber: Njendra)
NYANYIAN LAGU TUDUNG PERIUK




IRAMA & LAGU___

Cuma terdapat tiga lagu saja dalam filem ini. Yang menariknya kesemuanya bercorak Melayu Asli.

* "Tari Tualang Tiga" (Salmah Ismail atau Saloma).

* "Tudung Periok" (P.Ramlee dan Saloma).

* "Sri Bunian" (P.Ramlee).

Muzik dan gubahan: Yusoff B dan P.Ramlee (Yusram).

Lirik: S.Sudarmadji.

ANUGERAH___

The Best Black & White Photography (A. Bakar Ali)
* The 5th. Film Festival In Asia, Manila (1958).
* Saloma menerima anugerah tersebut bagi pihak
A. Bakar Ali.

FAKTA & ANGKA___

* Inilah filem pertama yang diarahkan oleh P.Ramlee memenangi anugerah.

* Inilah filem ketiga P. Ramlee mengunakan A.Bakar Ali sebagai jurugambar selepas "Panca Delima" dan "Bujang Lapok".

* Inilah filem ketiga MFP (menang empat anugerah) memenangi anugerah di Festival Film Asia selepas "Hang Tuah" dan "Anak-Ku Sazali" (dua anugerah).

* Dalam buku Filem-Filem P.Ramlee, terdapat kesilapan. Sebenarnya, suara yang digunakan oleh Marion Willis ialah Normadiah bukannya Aini Hayati. Aziz Sattar ketika menyemak terlepas pandang.









# Update akan dilakukan dari masa ke masa.




ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu


AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

JEJAK TERBILANG
terbilangkah kalau banyak fakta yang salah?

ROH MEMBELA (1955)
kekuatannya special effect dan aziz sattar

CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

PONTIANAK (1957)
mencapai kejayaan box office luar jangkaan

SEKSI SELEBRITI MALAYSIA DULU-DULU
dedah ke tak dedah ke seksi tetap seksi

SELAMAT PENGANTIN BARU
jodoh dan perpisahan kuasa tuhan




KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.




7 comments:

  1. Satu perkara yang saya kagum dalam filem ini, P. Ramlee mampu untuk mengambil dua orang pelakon yang tiada pengalaman berlakon dengan watak yang agak penting. Watak Afida dan Puteri Bunian walaupun sedikit babaknya tetapi mampu memberi impak kepada keseluruhan filem.

    Walaupun terdapat kelemahan di dalam pembawakan watak, tetapi P. Ramlee berjaya menutup kelemahan tersebut ke tahap yang paling minima.

    Cuma satu yang kurang faham, ada pelakon lain yang lebih layak memegang watak Afida seperti Zaiton, kenapa P. Ramlee memilih Sri Dewi.

    Oummar UIA

    ReplyDelete
    Replies
    1. fakta.
      putri bunian bukan
      puteri bunian.
      jelas tercatat
      dicredit title.
      kalau sdra timbulkan zaiton.
      orang lain akan timbulkan.
      kenapa tidak sa'adiah.
      kenapa tidak rosnani.
      kenapa tidak normadiah.
      bla... bla... bla...
      lagi pun lakuan sri dewi
      tidak ada cacat celanya.
      malah wataknya sebagai
      afida sesuai dengannya.
      gerakgeri tariannya pun
      baik dan tidak mengcewakan.

      Delete
    2. Ya, saya setuju dengan penjelasan Encik Mustafar.
      Dah keadaannya begitu, biarkanlah. Lagi pun perkara itu sudah terlalu lama, dan tidak perlu dipertikaikan.

      UdaOmar (UKM), Bangi.

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. sekali dengar dah tau tu suara Normadiah

    saya agak bersetuju bahawe suara Normadiah agak "kasar" utk watak puteri Bunian yg lemah gemalai , jelite sedangkan identiti Normadiah dlm dunie perfileman melayu tu sendiri adelah sebagai Wanita Besi, kita boleh lihat "kekuatan" pada setiap watak lakonannye walau watak wanita yang malang yg merana spt ibu si tanggang.(orang miskin yg sangat memelihara maruahnye walau dicemuh seumur hidup)

    saya belom hidup waktu tu jadi saya tak tahu dengan pasti tapi saye dapat rase pihak MFP memang sangat "favorite" dengan suara Normadiah

    selain filem ini suara Normadiah juga di pinjamkan untuk Tita Duran dalam filem Azimat, suara latar membaca syair untuk filem Dandan Setia & banyak lagi' walaupun dia membawe watak mak Hero dlm filem Dokter bila Heroin Zaiton menyanyi tetap gune suara dia

    saya pernah terbaca yang Normadiah juga aktif meminjamkan suaranya untuk drama-drama luar yg di alih bahasa untuk siaran TV waktu itu

    ReplyDelete
  4. Walaupun komen saya ini baru dibuat sekarang, tetapi saya rasa ia masih relevan. Anggaplah ia sebagai suatu peringatan semula (revisting) bagi filem SUMPAH ORANG MINYAK (SOM) yang hebat ini serta tribute kepada sutradara & watak utama filem ini - Allahyarham seniman agung P.Ramlee. Ketika filem ini ditayangkan di TV lama dulu & semasa artikel dalam blog ini disiarkan selang berdekad-dekad kemudiannya, bagi saya ia hanyalah sekadar hiburan semata-mata. Saya langsung tidak menonton & membacanya dengan pandangan serta minda yang penuh beranalisis, sepertimana yang dilakukan oleh penulis FADZ. Hanya baru sekarang saya seolah-olah tersentak dari tidur & baru saya sedar & perasan, rupa-rupanya potret lukisan si Bongkok buat Afidah dalam SOM ada tertulis kata-kata "GADIS CHANTEK DAN BINATANG". Ini membuktikan P.Ramlee sendiri turut terbawa-bawa dengan gandingan & perbandingan antara dua ciri insan dalam kisah BEAUTY AND THE BEAST! Cuma terjemahan yang dibuat oleh P.Ramlee atau sesiapa saja ketika filem ini diproduksikan dulu agak kasar! Bercakap tentang kritikan di atas, bagi diri saya - tanpa bersikap berat sebelah - antara kedua-dua kritikan tersebut yang ditulis oleh FADZ & En. Mustafar AR, kritikan En. Mustafarlah yang paling melekat di hati saya. Mungkin ramai di kalangan pembaca & pengikut blog di luar sana dapat lebih mengapresiasi & memahami tulisan Encik Mustafar. Kritikan FADZ memang "tip-top" & ada "class", namun ia bersifat terlalu ilmiah, agak teknikal serta akademik. Justeru itu, tentunya ia lebih sesuai untuk golongan pembaca "elite", para cendekiawan & ilmuwan yang mempunyai sedikit-sebanyak latar belakang sosiologi, psikologi, geografi kemanusiaan, budaya, sejarah, sosio-ekonomi & entah apa-apa lagi! Kritikan FADZ lebih mensasarkan kepada "target readers" tertentu yang berada atau pernah ke menara gading - ataupun, setidak-tidaknya, seseorang yang mempunyai jiwa & daya pemikiran intelek. Namun, saya yang bukan sesiapa ini lebih selesa & dapat lebih menjiwai kritikan En. Mustafar yang "simple", logik & mudah difahami oleh semua golongan pembaca. Beralih ke filem ini, mengikut cita rasa peribadi saya, saya lebih suka filem-filem seram seperti ini berlatarbelakangkan kehidupan & masyarakat di era zaman silam, atau suasana kampung & persekitaran yang terpencil. Kalau tidakpun, gunakanlah zaman separa-moden seperti awal 1950'an atau sebelumnya. Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna filem seram dengan sentuhan zaman moden atau keadaan semasa hari ini tidak sesuai atau tidak boleh meraih kejayaan di "box-office". Filem-filem klasik barat bergenre seram yang diminati ramai seperti siri Dracula banyak menggunakan latar belakang zaman silam manakala yang menggunakan era zaman moden antaranya ialah "Salem's Lot", "Ëxorcist", "The Omen" & banyak lagi. Menariknya tentang filem SOM ini ialah, ia seolah-olah terbahagi kepada 3 segmen. Pertama: masyarakat desa di zaman ala feudal. Kedua: alam bunian yang penuh fantasi. Ketiga: suasana seram dalam masyarakat silam yang dihantui oleh orang minyak. SOM digarap mengikut acuan filem-filem lama dengan pengaruh Bollywood yang mewajibkan adegan nyanyian & tarian. Tetapi memang inilah formula yang diguna pakai oleh hampir kesemua filem komersial dari India hingga ke hari ini. Pada saya, kalau filem SOM dibuat versi baru pun, formula ini perlu diteruskan, dengan syarat, lagu-lagu & muzik yang diselitkan mestilah "catchy" & disukai ramai hingga menjadi hit di carta Billboard Melayu (umpamanya filem "Azura"). - NONAMA

    ReplyDelete
  5. Sebagai contoh, seronok jika ia dapat diselang-selikan dengan lagu berirama asli ala "Selasihku Sayang", "Tak Seindah Wajah" dll. yang mendayu-dayu hingga menusuk ke kalbu, ditambah pula dengan lagu joget dengan paluan gendang Melayu serta iringan orkestra bertali pasti dapat merancakkan perjalanan filem ini agar tidak terus-menerus seram membeku hingga membosankan. Saya setuju, suara Normadiah memang TIDAK sesuai digunakan untuk watak Putri Bunian yang ayu, lemah-lembut & sejuk mata memandang. Sepatutnya suara Latifah Omar, Hasimah Yon, Saadiah atau Zaitonlah yang digunakan kerana ia serasi dengan wajah Marion Willis. Bak kata orang tua-tua, salah-salah silap, mungkin ramai yang akan menyangka itu suara Marion Willis sendiri. Tetapi suara Normadiah jauh 'terpelanting' dengan wajah lembut Putri Bunian!!! Siapakah yang membuat pemilihan & kesilapan besar ini agaknya??? Trivia tambahan: Marion Willis yang menjadi 'Putri Bunian' dalam SOM adalah seorang model & bekas ratu cantik "Miss Singapore 1957". Berasal dari keluarga berketurunan Serani, Marion sering mendapat sorotan di dada-dada akhbar & kulit depan / kulit dalam (covergirl & pin-up girl) majalah-majalah wanita & hiburan di zaman kegemilangnnya. Marion mengundurkan diri setelah berkahwin dengan jejaka pilihan hati, Robert Woodworth, seorang Inspektor & pegawai atasan dalam pasukan Polis Singapura. Generasi muda daripada keluarga besar Marion Willis seolah-olah tidak kelihatan dalam dunia hiburan seterusnya kerana mereka lebih utamakan ilmu pelajaran. Ini dapat dilihat menerusi seorang cucu Marion Willis yang berjawatan hakim & pengamal / penasihat guaman di Singapura sekarang.

    - NONAMA

    ReplyDelete