Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Saturday, July 27, 2013


YUSOF LATIFF

Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


YUSOF LATIFF MEMANG HANDSOME ORANGNYA.

BERSAMA ROKIAH, "YATIM PIATU".

BERSAMA ROSNANI, "CHEMBURU".

BERSAMA MARIAM, "KIPAS HIKMAT".

BERSAMA MARIA MENADO, "TUN FATIMAH".


Kajiselidik & Teks MUSTAFAR A.R. & ZAINI YUSOP


TIDAK sesiapa pun boleh mempertikaikan, kalau dikatakan Yusof Latiff merupakan seniman filem paling handsome (kacak) jika dibandingkan S. Roomai Noor, Osman Gumanti, P. Ramlee dan Ahmad Mahmud serta lain-lain sezaman dengannya.

Kalau di Hollywood, dia boleh dianggap sebagai menyerupai kekacakan Rock Hudson yang lebih menarik tidak boleh ditandingi Gregory Peck, Robert Taylor, Tyrone Power dan Tony Curtis serta lain-lain sewaktu dengannya.

Kerana kekacakannya itulah, dia telah ditawarkan membintangi tiga filem bercorak fantasi (berlatarbelakangkan negara Arab) - "Kipas Hikmat" (berheroinekan Mariam), "Jubah Hitam" (Zaiton) dan "Keadilan Ilahi" (Sa'adiah), semuanya mendapat kejayaan box office.

Yusof Latiff (Muhammad Yusof Bin Abdul Latiff) merupakan hero kelima popular (ikut susunan) di Malay Film Productions (MFP) selepas S. Roomai Noor (Chinta), Osman Gumanti (Rachun Dunia), P. Ramlee (Bakti) dan Ali Rahman (Rayuan Sukma).

Kehadirannya buat pertama kali dalam filem "Gadis Peladang" (B.S. Rajhans, 1952) bersama Neng Yatimah dan Maria Menado menguatkan lagi kedudukan MFP yang mana pada masa itu sedang unggul dan menuju ke kemuncak kejayaan.

Karier Yusof Latiff dalam filem bermula apabila mendapat perhatian dari orang kuat studio (pengurus) MFP Jalan Ampas, Shaw Vee Ngok, ketika dia sedang menonton filem di Rex Theatre, Singapura pada 13 Mac 1952 bersama teman baiknya, Salleh Kamil dan Nyak Osman.

Pada masa itu, MFP mahu menambah beberapa pelakun lagi yang boleh membawa peranan hero disamping yang sudah sedia ada - S. Roomai Noor, P. Ramlee, Osman Gumanti dan Ali Rahman.

Kerana kekacakan dan ketanpanan, Yusof Latiff yang pada masa itu sedang bekerja sebagai kerani disebuah syarikat, menerima terus tawaran berlakun dari Shaw Vee Ngok dengan gaji permulaan 150 ringgit sebulan.

Dilahirkan pada 22 Jun 1922 di Singapura (selepas "Gadis Peladang"), Yusof Latiff sekali lagi diambil B.S. Rajhans membintangi sebagai hero dalam "Yatim Piatu" berheroinekan Rokiah dengan Sa'adiah memegang peranan utama, anak yatim piatu.

Filem "Chemburu" (S. Ramanathan) yang mula ditayangkan pada bulan Januari 1953, menyemarakkan lagi namanya disebabkan timbulnya kritikan hebat (kontroversi) kerana adanya peluk-memeluk dan gesel-mengesel pipi dan hampir-hampir bercium mulut antara Yusof Latiff dengan Rosnani dan juga Mariani yang dianggap melampau dan diluar batas kesopanan.

Dalam satu interview dengannya, ketika aktif dalam SENIMAN sekian lama dulu (sekitar tahun 1970-an), Yusof Latiff pernah memberitahu saya, sebelum memenuhi permintaan S.Ramanathan itu, dia telah bertemu dan meminta nasihat P.Ramlee.

"P. Ramlee kata ok. Teruskan. Jadi, sebagai pelakun baru saya buatlah macam mana yang disuruh S.Ramanathan itu," katanya sambil ketawa kecil, mengenang masa silam.

Sunggupun ramai yang membantah namun adegan-adegan tersebut tidak dipotong (sampai ke hari ini), dan dengan itu filem tersebut telah mendapat sambutan yang agak baik yang mana kemudian sekali lagi S. Ramanathan mengambilnya berlakun dalam filem "Sangsara" (1953) berheroinekan Normadiah.

Kali ini tidak ada peluk-memeluk melampau Yusof Latiff terhadap Normadiah. Kemungkinan, S. Ramanathan sudah serik dengan kontroversi "Chemburu".

Setelah membintangi beberapa filem di MFP seperti "Mangsa", "Gelora Hidup", "Panggila Pulau", "Kechewa", "Jasa", "Kipas Hikmat", "Jubah Hitam", "Bernoda", "Hang Tuah", "Menyerah", "Penchuri", "Keadilan Ilahi" dan "Seruan Darah", Yusof Latiff enggan memperbarui kontraknya yang ditawarkan selama tiga tahun lagi. Dia lebih selesa menjadi pelakun bebas - ada filem, ada gaji dan ada bonus.

MENERIMA TAWARAN

Selepas "Seruan Darah" (1957) yang diarahkan oleh Chew Cheng Kok dan H.M. Rohaizad yang turut juga dibintangi oleh Ahmad Mahmud, Neng Yatimah dan Tony Castillo, Yusof Latiff (yang telah menyepi sekian lama) menerima tawaran P.Ramlee memegang peranan Tengku Aziz dalam filem "Antara Dua Darjat" pada tahun 1960.

Itulah satu-satunya filem arahan P. Ramlee yang dibintanginya di MFP. Bagaimanapun, sebelumnya mereka pernah muncul bersama dalam filem "Panggilan Pulau" dan "Hang Tuah", dua-duanya P. Ramlee sebagai hero.

Tahun berikutnya (1961), Yusof Latiff muncul pula di Cathay Keris Film (CKF) membintangi filem "Jalak Lenteng" berheroinekan Latiffah Omar dan diarahkan oleh Salleh Ghani.

Selepas itu, Salleh Ghani menyerahkan pula peranan Raja dalam filem "Tun Fatimah" kemudian peranan yang sama oleh M. Amin dalam filem "Lanchang Kuning".

Lain-lain filem yang dibintangi Yusof Latiff di Cathay Keris Film, "Mata Shaitan", "Korban Kaseh", "Masok Angin Keluar Asap", "Gila Talak" dan "Istana Berdarah", kesemuanya dilakunkan oleh Fatimah Ahmad serta juga "Dua Pendekar" yang diarahkan oleh Hussain Haniff berheroinekan Rose Yatimah.

Filem "Jiran Sekampong" (1965) yang diarahkan Hussain Haniff yang turut dibintangi Rose Yatimah, Ahmad Osman, Salleh Melan, Siput Sarawak dan Mariam merupakan filem terakhir Yusof Latiff di Cathay Keris Film.

Dia kembali semula ke MFP pada tahun 1967 dan mengakhiri kariernya filemnya di situ dengan membintangi filem "Lampong Karam" yang diarahkan S. Kadarisman dan dibintangi juga Sa'adiah dan Zaiton.

Kemudian pada tahun 1969, Yusof Latiff menerima tawaran P. Ramlee membintangi filem arahannya "6 Jahanam" di Merdeka Film Studio (MFS), Kuala Lumpur yang turut dibintangi P. Ramlee sendiri dan Nor Azizah sebagai adiknya.

Satu keanehan yang terdapat kepada Yusof Latiff, dia tidak pernah membintangi satu filem pun bersama Jins Shamsudin dan Aziz Jaafar. Yang banyak bersamanya Ahmad Mahmud.

P.Ramlee pun hanya empat filem saja. Dia juga tidak pernah berlakun dalam filem yang diarahkan oleh Omar Rojik, Jamil Sulong pun satu saja.

Apabila MFP, CKF dan MFS menghentikan pengeluaran filem, Yusof Latiff meneruskan karier filemnya membintangi filem "Kisah Seorang Biduan" (M. Amin, Sabah Film Production), "Detik 12 Malam" (S. Sudarmaji, Sharsaree Film), "Prebet Lapok" (Aziz Sattar, Indera Film Productions), "Serampang Tiga" (Ismail Sasakul, Indera Film Productions), "Pertentangan" (Salleh Ghani, EPA Film Productions) dan "Dendang Perantau" (Jamil Sulong, Varia Film Productions).

Filem terakhirnya, "Kolej 56" (1989) yang diarahkan oleh Ahmad Fauzee berperanan sebagai Cikgu Aziz, Pengetua Kolej Putra, yang turut berlakun bersamanya Hashimah Yon, Kemat Hassan, Omar Suwita dan Ahmad Sabri.

Yusof Latiff meninggal dunia di Singapura ketika usianya menghampiri 76 tahun pada 12 Jun 1998.






BERSAMA FATIMAH AHMAD, "MATA SHAITAN".

BERSAMA ROSE YATIMAH, "JIRAN SEKAMPONG".

GADIS PELADANG, FILEM PERTAMANYA.

CHEMBURU, FILEM KONTROVERSINYA.

KEADILAN ILAHI, FILEM FANTASINYA.

KOLEJ 56, FILEM TERAKHIRNYA







FILEMOGRAFI___

1. GADIS PELADANG (1952, B.S. Rajhans)/Hilang
2. YATIM PIATU (1952, B.S. Rajhans)
3. CHEMBURU (1953, S. Ramanathan)
4. SANGSARA (1953, S. Ramanathan)
5. MANGSA (1953, K.M. Basker)/Hilang
6. GELORA HIDUP (1954, B.N. Rao)
7. PANGGILAN PULAU (1954, S. Ramanathan)
8. KECHEWA (1954, S. Ramanathan)
9. JASA (1954, S. Ramanathan)/Hilang
10. KIPAS HIKMAT (1955, S. Ramanathan)
11. JUBAH HITAM (1955, S. Ramanathan)/Hilang
12. BERNODA (1956, S. Ramanathan)
13. HANG TUAH (1956, Phani Majumdar)
14. MENYERAH (1956, K.M. Basker)
15. PENCHURI (1956, K.M. Basker)
16. KEADILAN ILAHI (1956, K.M. Basker)
17. SERUAN DARAH (1957, Chew Cheng Kok/H.M. Rohaizad)
18. ANTARA DUA DARJAT (1960, P. Ramlee)
19. JALAK LENTENG (1961, Salleh Ghani)
20. TUN FATIMAH (1962, Salleh Ghani)
21. MATA SHAITAN (1962, Hussain Haniff)
22. LANCHANG KUNING (1962, M. Amin)
23. KORBAN KASEH (1962, Hussain Haniff)
24. MASOK ANGIN KELUAR ASAP (1963, Hussain Haniff)
25. GILA TALAK (1963, Hussain Haniff)
26. DUA PENDEKAR (1964, Hussain Haniff)
27. JIRAN SEKAMPONG (1966, Hussain Haniff)
28. LAMPONG KARAM (1967, S. Kadarisman)
29. 6 JAHANAM (1969, P. Ramlee)
30. KISAH SEORANG BIDUAN (1979, M. Amin)
31. DETIK 12 MALAM (1979, S. Sudarmaji)
32. PREBET LAPOK (1979, Aziz Sattar)
33. DENDANG PERANTAU (1979, Jamil Sulong)
34. SERAMPANG TIGA (1981, Ismail Sasakul)
35. PERTENTANGAN (1983, Salleh Ghani)
36. KOLEJ 56 (1989, Ahmad Fauzee)

# Ini bererti, Yusof Latiff membintangi 36 filem semuanya - 19 di MFP, 9 CKF, 1 MFS dan 7 pengeluar filem bebas, manakala 5 pula dianggap hilang.
* Paling banyak dibintangi Yusof Latiff ialah filem yang diarahkan S.Ramanathan, 8; Hussain Haniff, 7; K.M. Basker, 4; Salleh Ghani, 3 dan P. Ramlee, 2.
* Filem paling banyak Yusof Latiff berlakun bersama ialah Sa'adiah - 7. Namun satu saja berheroinekannya - "Keadilan Ilahi".
* Yusof Latiff hanya berlakun satu filem dengan Sarimah ("Detik 12 Malam") dan Noor Azizah ("6 Jahanam").


MARI KITA MENONTON TIGA FILEM YUSOF LATIFF


SANGSARA, MFP (Sumber: njendra)

LANCHANG KUNING, CKF (Sumber: filemklasik melayu)


6 JAHANAM, MFS (Sumber: sha3818)

FAKTA___

* Tidak pernah mengatasai P. Ramlee ketika membintangi 4 filem bersamanya (hanya peranan pembantu) - "Panggilan Pulau", "Hang Tuah", "Antara Dua Darjat" dan "6 Jahanam".
* Tidak pernah berlakun bersama 2 pelakun popular - Jins Shamsudin dan Aziz Jaafar. Dan juga, tidak pernah berlakun di bawah arahan S. Roomai Noor dan Omar Rojik.
* Pernah berlakun di 3 studio bersistem - Malay Film Productions (MFP), Cathay Keris Film (CKF) dan Merdeka Film Studio (MFS).
* Yusof Latiff menerima 1,200 ringgit (tertinggi pernah diterimanya) berlakun dalam "Antara Dua Darjat" dan 2,500 ringgit untuk "6 Jahanam".
* "Kipas Hikmat" adalah satu-satunya filem Yusof Latiff menggunakan suara P.Ramlee dalam filem (lagu "Alam") dan berpadusuara dengan Mariam yang menggunakan suara Normadiah - "Terbuku Dikalbu" dan "Bersama". Kebiasaannya dia sering menggunakan suara R. Azmi dan S. Noh.
* Jangan terkeliru, Yusof Latiff bukan pencipta musik filem "Senja Merah" yang diarahkan Hussain Abu Hassan, dan disilapkan oleh blog CinemaMalaysia (Finas). Namanya sama tetapi orangnya tidak sama.
* Yusof Latiff terlibat dengan musik di penghujung tahun 1940an apabila dia menyanyi lagu-lagu keroncong dengan Jaya Setia Keroncong Orkes dan sering terdengar nyanyiannya di radio. Dia tidak aktif menyanyi (musik) selepas menjadi pelakun.
* Neng Yatimah merupakan heroine pertama Yusof Latiff dalam "Gadis Peladang", dan Fatimah Ahmad heroine terakhirnya dalam "Istana Berdarah".
* Menurut siaran akhbar Barita Harian 16 April 1978, Yusof Latiff mempunyai 17 orang anak. Isterinya, setakat ini belum dapat dikesan.
* Selain filem, Yusof Latiff banyak berlakun dalam drama-drama terbitan Radio Televisyen Singapura (RTS). Dia juga bertindak sebagai pengarah dan penulis cerita.






ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?






KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.




13 comments:

  1. Bagus artikel Yusof Latiff ni. Tidakkah Encik Mustafar & isteri berhasrat menulis mengenai Ummi Kalthoum yang baru saja meninggal dunia. Rasanya, dalam sejarah filem Malaysia peranannya sangat penting apatah lagi bersuamikan S. Roomai Noor dan ibu kepada Noor Kumalasari.

    - Lynna (lahir sekampung), Lenggeng, NS.

    ReplyDelete
    Replies
    1. InsyaAllah, akan diusahakan.
      Terima kasih kerana sukakan artikel Yusof Latiff.

      Delete
  2. Berkenaan dengan artikel Yusof Latiff, kalau saya tidak salah, Allahyarham juga berlakon dalam sebuah filem arahan Allahyarham Salleh Ghani yang bertajuk "Pertentangan" (1983)bersama-sama Mokhtaruddin, Rubiah Suparman dan Bab Mustaffa. Beliau memegang peranan OKB (Orang Kaya Baru), seorang ahli perniagaan yang membesarkan anak rakannya yang dipenjara dengan gaya hidup yang tidak mengikut lunas-lunas Islam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Benar Zaharudeen.
      Penambahan sudah dibuat.
      Tolong sesiapa beritahu,
      jika saya ada teroverlook lagi.
      Terima kasih.

      Delete
  3. Salam En. Mustafar A.R suami/isteri,

    1. Saya bersetuju dgn pandangan Yusuf Latiff paling handsome diantara ramai pelakun2 filem Melayu dahulu.

    2. Dia juga pernah memeluk erat Latifah Omar dlm filem "Menyerah" 1956 tapi berputih mata pula dlm filem Lanchang Kuning" 1962 kerana Latifah dah ada hero baru. Hero baru ini juga hebat mcm Yusuff, peluk erat Latifah dlm filem Hang Jebat & Laila Majnun. Dah kena badi Yusuf agaknya !

    Selamat Hari Raya AidilFitri 2013,
    ed.LO-kfc.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih ed.LO-kfc.
      Selamat Hari Raya AidilFitri & kepada semua juga.

      Delete
  4. Assalamualaikum

    Terima kasih dengan artikel yang sangat bagus.

    Diharapkan tuan Mustafar dapat menyiarkan artikel tentang
    allahyarham Noordin Ahmad pula selepas ini terutamanya
    filemografi beliau.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih ダニアル.
      Artikel Noordin Ahmad coming soon.
      Zaini Yusof sedang menyiapkannya.
      Ternyata, seniman ini sudah lama meninggal dunia tetapi masih ramai yang meminatinya.

      Delete
  5. Tahniah Encik Mustafar dan Puan Zaini.
    Satu huraian paling lengkap mengenai Yusof Latiff pernah terdapat dalam blog, majalah atau pun buku.
    Blog CinemaMalaysia Finas, yang sepatutnya jadi rujukan, pun tidak terdapat selengkap ini.
    FKM merupakan satu-satunya blog yang boleh diyakini akan ketepatan faktanya.
    Diharap kesihatan mata Encik Mustafar semakin pulih untuk terus berbakti dalam dunia sinema Malaysia.

    - Haryati Usman (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Haryati.
      Jangan puji FKM lebih-lebih sangat,
      nanti kecik hati Finas.
      Apa pun,
      Selamat Hari Raya Aidilfitri.

      Delete
  6. Salam saudara.
    Saya amat berbesar hati sekiranya saudara boleh memaparkan artikel mengenai pelakon Suraya Harun.
    Ini kerana saya sukar mendapatkan info mengenai pelakon ini.
    Sekian, terima kasih banyak2 saudara.
    - Rosa Indah (via e-mail).

    ReplyDelete
  7. Suraya Harun kini tinggal di Brunei.
    Saya sudah arahkan Zaini untuk menulis artikelnya.
    Tapi katanya, mengambil masa sedikit kerana
    terpaksa dibuat kajiselidik supaya menepati fakta.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum, saudara. Boleh saya bagi cadangan? Apa kata saudara menyiarkan artikel mengenai senarai hero2 melayu?

    ReplyDelete