Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Wednesday, September 10, 2014


TANDA PUTERA DARI KACAMATA KU SEMAN KU HUSSAIN


Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Susun & Di Semak Oleh Zaini Yusop



PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai

SEKSI SELEBRITI INDONESIA
nampak seksi bukan bererti dedah semua

# ULASAN & KRITIKAN___

* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA * SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH * BAYANGAN DI WAKTU FAJAR
* JAMBATAN MAUT * LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 10 SEPTEMBER 2014)

* SEKSI SELEBRITI INDONESIA - 82,700
* SEKSI SELEBRITI MALAYSIA - 56,431
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI - 52,667
* SELAMAT PENGANTIN BARU - 33,905
* FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT - 12,929






TIGA TOKOH UTAMA NEGARA, TENGKU ABDUL RAHMAN, TUN RAZAK DAN TUN DR. ISMAIL.

PENGARAH "TANDA PUTERA", SHUHAIMI BABA.

(Sumber: LadaChilli22's Channel)


"TANDA PUTERA" MANGSA POLITIK
Dipetik daripada rencana Utusan Malaysia
Oleh Ku Seman Ku Hussain (29 Julai 2012)




WALAUPUN "Tanda Putera" belum ditayangkan tetapi jentera parti DAP telah menyerang habis-habisan filem yang menyelitkan peristiwa bersejarah rusuhan 13 Mei 1969.

Tanpa menonton filem, di mana demokratiknya DAP kerana telah menghukum sebagai palsu? Apa yang palsu?

Adakah laungan orang DAP selepas pilihan raya umum 1969 supaya orang Melayu balik kampung itu palsu?

Semua orang tahu bahawa DAP yang mula membakar sentimen perkauman kalangan orang Cina ketika itu.

Sejarah 13 Mei bukan sejarah lisan tetapi terakam dalam bentuk cetak, audio dan juga visual.

Sumber ini semuanya menunjukkan DAP bertanggungjawab mencetuskan sentimen perkauman.

Pengarah filem ini, Shuhaimi Baba juga membuat rujukan daripada sumber yang sama. Beliau mendapat kenyataan yang sama mengenai 13 Mei 1969.

Maka DAP tidak perlu memalsukan sejarah sebenar dan membenarkan sejarah yang palsu untuk mencuci tangan.

Kalau DAP merasakan sejarah kebiadapan DAP dalam rusuhan 13 Mei boleh memberi kesan buruk kepada jangka hayat politik DAP, padamkan semua bukti-bukti sejarah daripada sumber berkenaan.

Tetapi hakikatnya sejarah tidak akan terpadam, sebab itulah DAP yang kini mewarnakan parti itu sebagai "pelbagai kaum" cuba memadamkan imej cauvinisme Cina kepada parti itu.

DAP juga tentunya mengakui bahawa mengingati sejarah 13 Mei tidak mungkin akan mengharu-harakan negara. Ini terbukti selepas 43 tahun tragedi itu, belum ada rusuhan kaum yang boleh menggugat keharmonian rakyat.

Tetapi kerana 13 Mei ada nilai politik, maka dipolitikkan isu ini yang melibatkan filem "Tanda Putera". Sebenarnya keharmonian selama ini adalah kejayaan luar biasa kerajaan mewaraskan semua kaum selepas sekali terleka dan tewas kepada hasutan.

Orang Melayu atau Cina yang berada di luar DAP sudah terbuka menerima 13 Mei sebagai satu sejarah. Mereka banyak belajar daripada ketewasan kedua-dua kaum ini kepada dalang yang meniupkan api perkauman. Peristiwa 13 Mei sudah tidak ada makna lagi selain satu pengajaran.

Saya menonton filem ini sebanyak tiga kali dan mendapati "Tanda Putera" bukan revision sejarah 13 Mei. Shuhaimi pula bukan revisionist yang berniat jahat menghitamkan watak DAP.

Sebab itu digambarkan juga orang Melayu juga membelasah Cina. Dari sudut pengkaryaan, ini satu tanggungjawab supaya kelihatan seimbang bagi meredakan sentimen perkauman kedua-dua kaum.

MEMUATKAN

"Tanda Putera" bukan sebuah filem sejarah dan pengarahnya boleh sahaja tidak memuatkan babak orang Melayu membelasah Cina. Ini tidak menjejaskan filem berkenaan.

Tetapi Shuhaimi tidak berbuat demikian kerana beliau bukan rasis seperti DAP. Beliau ada pertimbangan lain untuk kepentingan ramai sekalipun mempunyai lesen kreatif ke atas filem yang diarahnya.

Sebenarnya rusuhan 13 Mei bukanlah topik utama filem ini. Tragedi itu tidak dijadikan karakter kepada filem ini untuk memusatkan tumpuan khalayak.

Tetapi paparan tragedi itu sekadar memberi warna kepada kedua-dua watak utama iaitu Tun Razak dan Tun Dr. Ismail.

Selepas menonton filem ini, saya sangat yakin bahawa yang bermain di fikiran penonton adalah sumbangan Tun Razak terhadap negara bukannya 13 Mei.

Filem ini sepatutnya ditayangkan pada 13 September depan dan tarikh itu dipersetujui oleh jawatankuasa Syarat Wajib Tayang yang diterajui Finas. Tetapi tarikh tayangan ditunda kepada satu tarikh yang tidak diumumkan.

Walaupun alasan penundaan itu kononnya 13 September bukan tarikh sesuai untuk menggalakkan penonton ke pawagam tetapi ini tidak masuk akal.

Pihak ketiga, selain penerbit filem ini dan jawatankuasa tersebut tidak perlu menjadikan "Tanda Putera" mangsa pemikiran politik sempit. Filem ini tidak adil untuk dikambinghitamkan bagi kepentingan politik.

Menunda filem ini bererti menafikan peluang rakyat menghayati sumbangan besar Tun Razak dan Tun Dr. Ismail mengepalai negara pada awal kemerdekaan.

Banyak pihak melihat penundaan yang kabur ini untuk menjaga hati pihak tertentu dalam suasana menjelang pilihan raya umum.

Pada amalan biasanya selepas sesebuah filem diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dan jawatankuasa Syarat Wajib Tayang bersetuju dengan tarikhnya, tidak ada siapa yang boleh menghalang daripada ditayangkan.

Tetapi yang berlaku kepada filem "Tanda Putera" adalah luar biasa. Kenapa?

Sekiranya filem ini tidak ditayangkan pada 13 September ini, secara tidak langsung ini mengiyakan tuduhan DAP bahawa filem ini memaparkan sejarah palsu.

Dalam mendepani konspirasi politik begini, harap jangan ada pihak yang tersalah langkah dan masuk perangkap musuh.

Filem yang dituduh memaparkan sejarah palsu ini mesti ditayangkan supaya rakyat boleh membuat penilaian.

Memeram filem ini adalah menafikan kemampuan rakyat berfikir secara waras tentang negara, tokoh dan tragedi yang melibatkan mereka.

# Artikel ini disiarkan sepenuhnya tanpa edit. Ini dilakukan supaya ia benar-benar dari kacamata Ku Seman Ku Hussain sendiri, dan masih relevan walaupun sudah ada di Utusan Malaysia sejak lebih dua tahun yang lalu.
Tambah relevan, apabila filem sebaik ini diperlekehkan oleh panel juri Festival Filem Malaysia Ke-26, kerana tidak adanya pencalonan Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Cerita Asal Terbaik yang sepatutnya mesti ada. Lihat Di Sini & Klik Di Sini


"TANDA PUTERA": PADAN MUKA KITA
Oleh Siti Jarum
(9 Jun 2013|Utusan Malaysia)

SEBENARNYA Siti sudah berjanji pada diri Siti tak mahu tulis apa-apa lagi tentang filem Tanda Putera yang menimbulkan seribu tanya tanya". Buat buang masa saja sebab Siti dan pasukan produksi saja yang beria-ia mempertahankan Tanda Putera, birokrat bukan sahaja lepas tangan malah menjadi bisu.

Tapi Siti terpaksa menulis juga apabila banyak sangat e-mel yang tanya komen Siti pasal Tanda Putera. Kalau nak tau Tanda Putera dah nak tayang bulan Ogos nanti. Nak tayang sebuah filem pun kecoh macam usul nak ubah Tugu Negara.

Disebabkan tak larat nak komen dalam e-mel, Siti terpaksa jugalah komen di sini. Harap selepas ini pembaca-pembaca yang minta komen Siti akan berpuas hati.

Komen Siti mudah saja, padan muka kita. Padan muka kita sebab tidak berlaku adil kepada pengarah filem ini, Shuhaimi Baba, tidak berlaku adil kepada sejarah dan tidak berani mempertahankan sebuah filem yang dipolitikkan oleh puak yang sasau.

Padan muka kita, kita ingat mereka nak bagi undi bila kita menghukum Tanda Putera (digantung dari tayangan). Padan muka kita kerana tidak berani pertahankan kebenaran sejarah tapi tunduk dan ikut telunjuk pihak yang sengaja cari pasal. Sepatutnya kita yakni Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (sekarang Kementerian Komunikasi dan Multimedia) pertahankan sesuatu yang benar.

Kementerian tidak pandai bersilat dan terperangkap dengan pembohongan pihak tertentu kononnya Tanda Putera rasis. Mereka bohong dan kata ada adegan itu dan ini. Kita pula tak mempertahankan tapi semacam turut mengiakan ada adegan orang Cina kencing di tiang bendera depan rumah Datuk Harun.

Cuba tengok sekarang, selepas PRU-13, mereka kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tipu dan mereka ajak orang ramai buat kecoh. Golongan yang samalah yang kata Tanda Putera rasis, padahal belum ditayangkan ketika itu.

Golongan yang begitu kita nak dengar? Hah, baru padan muka, kita kena main hidup-hidup. Mereka telah berjaya. Berjaya menghalang Tanda Putera ditayangkan sebelum PRU-13. Kejayaan itu disebabkan kita memberi laluan walaupun kita tahu mereka berbohong dan banyak fakta tentang Tanda Putera menyimpang sama sekali.

Siti dapat bayangkan kalau berada pada kedudukan Shuhaimi. Siti tahu Shuhaimi bukan orang politik dan bila diserang oleh orang politik, Shuhaimi bukanlah lawan mereka. Inilah peranan kementerian untuk mempertahankan Shuhaimi. Ini tidak, Shuhaimi dibiar terkontang kanting seorang diri mempertahankan diri.

Kementerian ambil jalan mudah; gantung tayangan. Dahlah tak ditayangkan kerana hasutan puak yang tidak bertanggungjawab, tak pula berterus terang kepada orang ramai. Mulalah kata promosi tak cukup, masa tak sesuai dan akhir sekali Tanda Putera dikembalikan" kepada Lembaga Penapis Filem (LPF) yang meluluskan dan tak jadi lulus.

LPF pula jadi kambing hitam yang kononnya menyebabkan Tanda Putera tak ditayangkan. Dalam soal ini Siti puji LPF, mereka meluluskan awal-awal lagi sebab tak ada apa yang sensitif. Tapi akhirnya ada pihak kata, “Terpulang kepada LPF". Seolah-olah LPF yang tak nak tayang.

Siti harap kita banyak-banyaklah belajar dari tragedi Tanda Putera. Lain kali jangan takut nak pertahankan kebenaran. Puak yang cetuskan kekecohan itu memang nak mempolitikkan, mereka ini celik mata saja cari modal nak dipolitikkan. Yang salahnya kita sebab menghulur leher untuk dijerut oleh perangkap politik.

Siti pun tak pernah terfikir sebelum ini filem yang dihasilkan dengan penuh tanggungjawab menjadi mangsa paranoid dari pihak kita sendiri. Sedangkan filem-filem busuk dan beracun mudah ditayangkan. Siti percaya kalau Tanda Putera ditayangkan mengikut jadual, puak-puak itu tidak boleh buat apa pun. Malah tak menjejaskan undi pun.

Sebenarnya tayangan Tanda Putera pada akhir Ogos nanti bukanlah menggembirakan. Alang-alang nak ikut sangat kata puak itu, lebih baik tak usah tayang selama-lamanya. Nampaknya kita kena bertegas, jangan ikut sangat rentak tari politik kotor mereka. Kalau ikut, beginilah jadinya.

Tragedi Tanda Putera sama dengan novel Interlok yang menjadi mangsa politik. Kita beralah dan puak-puak itu sikit pun tak berterima kasih malah cari jalan untuk terus menghentam. Interlok adalah novel perpaduan yang hebat tapi kita mengiakan kata puak-puak itu bahawa Interlok rasis.

Kalau kita ambil iktibar dari tragedi novel Interlok, tidaklah kita terhantuk kali kedua di tempat yang sama. Masuk jerat kali kedua di lorong yang sama. Cubalah ambil iktibar sikit dari peristiwa yang berlaku. Beranilah mempertahankan kebenaran.

SITI JARUM: Bacalah puisi Lu Buat Gua Marah di halaman 21 Pancawarna.








# Update akan dilakukan dari masa ke masa.




ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

SALOMA

BAHYAH MAHMOOD

DEEPIKA PADUKONE

UTUSAN RADIO & TV

VICTOR MATURE

R.AZMI

LATIFAH OMAR






KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 mukasurat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P.Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun disebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P.Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar negara untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.








7 comments:

  1. Tak baca tulisan KuSeman KuHussain di Utusan Malaysia,
    tapi baca dalam blog Encik Mustafar ini.
    Menarik dan ada kebenarannya. Politic is politic, film is film.
    - Zarina, K.Tinggi, Johor.

    ReplyDelete
  2. Kasihan Shuhaimi Baba penat2 buat,
    filem arahannya "Tanda Putera"
    tidak tercalon Filem Terbaik FFM26.
    Tapi "Penanggal" yang entah apa2 tu,
    dapat 15 pencalonan termasuk Filem Terbaik.
    Apa, panel juri syok sendiri ke?
    - Hilma Fatima, Bukit Jelutong, Selangor.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bukan syok sendiri saja.
      Tapi, panel juri dah sakit jiwa.
      Sikit lagi, gilalah mereka...

      Daniel (UKM), Bangi, Sel.

      Delete
  3. "TANDA PUTERA (2012) ~ DARI KACAMATA KU SEMAN KU HUSSAIN" adalah sebuah artikel 'kitar semula' yang sudah disiarkan dalam blog ini. Tetapi kenapakah ia diulang tayang? Pada hemat saya, ia adalah rentetan daripada artikel FESTIVAL FILEM MALAYSIA KE-26 yang menzahirkan rasa kekecewaan Encik Mustafar AR terhadap pemilihan & penamaan filem-filem bertemakan hantu & keganasan yang "tidak tentu hala tujuannya" sedangkan TANDA PUTERA (TP), sebuah permata yang benar-benar bergemerlapan & berada dalam kelasnya yang tersendiri sama sekali diketepikan oleh pihak juri. Kenapakah TP menjadi mangsa akibat campur tangan pihak luaran yang buta seni? Slogan "politic is politic, film is film" sepatutnya ditegakkan. Campur tangan pihak tertentu kerana mahu mengambil hati sebuah kelompok politik kiasu yang berjiwa cauvinisme adalah suatu pendekatan yang kurang arif. Apa yang diterjemahkan dalam visual TP adalah semata-mata berdasarkan fakta sejarah tentang beberapa orang tokoh negara berjiwa nasionalisme yang hidup & mati mereka hanyalah demi negara Malaysia dicintai. Sebenarnya, kecemerlangan TP dapat dilihat dari pelbagai sudut sinematografi & bukan hanya terletak pada jalan penceritaannya. "Truth is a very bitter pill to swallow" yang membuat pihak-pihak 'siapa makan cili dia terasa pedas' melenting & menggelabah lalu meminta penayangan filem hasil tangan Dato' Paduka Shuhaimi Baba ini diharamkan! Sejarah hitam akibat peristiwa berdarah 13 Mei 1969 masih menghantui negara Malaysia & Republik Singapura tidak terkecuali! Puak cauvinisme masih bermaharajalela & perangai "suka cari pasal" mereka memang diketahui. Justeru itu, TANDA PUTERA yang tidak berdosa menjadi mangsa. Sedarlah semua!

    - NONAMA

    ReplyDelete
    Replies
    1. Penjelasan. Tanda Putera Dari Kacamata Ku Seman Ku Hussain, tidak pernah tersiar dalam blog FM saya ini.
      Memang ada, ulasan mengenai filem yang diarahkan Shuhaimi Baba itu, tapi bukan oleh Ku Seman, justeru itu tidak adalah ulang tayang.
      Bagaimanapun, ada kebenarannya penyiaran tersebut kena mengena dengan pencalonan untuk Festival Filem Malaysia Ke-26, yang saya lihat tidak munasabah kerana Tanda Putera tidak dicalonkan Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik.
      Saya difahamkan, peminat FM (Effendi Hassan) telah menghantar salinan artikel saya (calon-calon FFM26) kepada Menteri Komunkasi Dan Multimedia dan Ketua Pengarah Finas.
      Kita lihatlah sejauh mana pencak silat mereka, samada mau terus mengekalkan calon-calon yang tersedia ada atau pun dilakukan rombakan, judgement seadil-adilnya bukan pilih bulu atau pilih kroni.
      Atau bak kata orang tua-tua: "Seperti mencurah air didaun keladi."

      Delete
    2. Maaf kerana saya tersilap besar. Baru saya sedar rupa-rupanya artikel oleh Ku Seman Ku Hussain itu sebenarnya saya baca dalam media elektronik yang lain & bukan melalui blog ini. Ulasan dalam blog FKM ini dulu yang turut saya baca yang menimbulkan kekeliruan ini. Maaf sekali lagi.

      - NONAMA

      Delete
    3. Tidak mengapa, teruskan berkarya.
      Nobody perfect, tiada siapa yang sempurna.
      Saya pun banyak kali buat salah,
      walaupun saya yakin tidak buat salah.

      Delete