"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Wednesday, August 29, 2012


29 FEBRUARI (2012)

ANUGERAH ATAU SUMPAHAN?
Di Kedalikan Bersama:
Zaini Yusop & Mustafar A.R.



Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop
Foto Dari Pelbagai Sumber







KRU STUDIOS Mempersembahkan "29 FEBRUARI" Di Bintangi JOJO GOH REMY ISHAK IZZUE ISLAM Di Bantu FIZZ FAIRUZ MUNIFF ISA CHEW KIN WAH MARGARET GAN RAMLI HASSAN DIAN P. RAMLEE NAMRON ADLEENA NORDIN RIZ AMIN WAN HANAFI SU CHEW KIN WAH TING TI CHAN Cerita AMIR HAFIZI Lakonlayar EDRY ABDUL HALIM Pengarah Fotografi MOHD. NOOR KASSIM Pengarah Seni BLACK Penyunting ZACK Musik & Lagu EDRY ABDUL HALIM Penerbit Ekserkutif EDRY ABDUL HALIM YUSRY ABDUL HALIM Penerbit NORMAN ABDUL HALIM Pengarah EDRY ABDUL HALIM

Mula ditayangkan: 30 Ogos 2012
Masa tayangan: 104 minit
Perbelanjaan: RM 3.5 juta






SINOPSIS___

Cerita mengisahkan kehidupan Budi (Remy Ishak) yang dilahirkan pada tahun lompat, 29 Februari 1896, dan hanya dimamah usia empat tahun sekali.

Dengan fenomena yang ganjil itu, keadaan fizikal Budi terbantut dan menyebabkan masyarakat menganggap kecacatan itu sebagai satu badi sumpahan.

Pada hal, apa yang dialami Budi sendiri dianggap satu anugerah Tuhan untuk dia hidup lebih lama dan berpeluang melihat pelbagai dekad transformasi negara ini dari Tanah zaman Melayu kepada Malaya dan akhirnya menjadi Malaysia yang bebas merdeka.

Malah Budi juga menempuh babak-babak cemas yang berlaku dalam negara seperti peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Pun begitu, masa yang seolah-olah tidak berganjak buat Budi menyebabkan dia sering merasai kehilangan mereka yang disayanginya.

Menetap di sebuah rumah bakti bersama sahabat baiknya, Razak (Izzue Islam), yang cacat penglihatan, Budi melalui perjalanan hidup berlatarbelakangkan detik bersejarah negara.

BERKENALAN DENGAN LILY

Malah, dia mula mengenali erti kebahagiaan dan percintaan sebaik berkenalan dengan Lily (Jojo Goh), seorang gadis Cina berusia 16 tahun yang sangat ceria. Lily, seorang yang periang dan suka berdikari.

Ini membuatkan Budi selesa di sampingnya kerana dapat menjadi diri sendiri di depan Lily. Apapun, Lily sangat meminati bidang seni dan mahu menjadi anak seni.

Namun, impian itu mendapat bantahan daripada ayahnya yang menginginkan Lily menjadi pendidik.

Dari tahap ini, "29 Februari" bergerak menjadi lebih menarik.

Apakah hubungan percintaan antara Lily dan Budi akan berpanjangan dan diterima keluarga? Bagaimana Lily perlu berdepan dengan keadaan fizikalnya yang lambat dimamah usia?

SEPERTI DULU (Forteen)

JAGALAH DIRI (Jaclyn Victor)

KELIP-KELIP (Remy Ishak)


(Sumber: KRU)

KELIP-KELIP

Bila senja menimbus siang
Bila awan melindung bintang
Ku cuba menyuluhkan sinar
Agar malam mu cerah

Jika purnama tak bersemi
Jika arus sama tak pasti
Ku dengan setia membimbing
Menyinar bagai kelip-kelip

Genggamlah erat tanganku
Bilang arah nak di tuju
Mari ku pimpin ke sana
Bawa kau terbang pergi

Seandainya kita terpisah
Tak usah kau rasa gelisah
Ku dengan setia membimbing
Menyinar bagai kelip-kelip

Genggamlah erat tanganku
Bilang arah nak di tuju
Mari ku pimpin ke sana
Bawa kau terbang pergi

Seandainya kita terpisah
Tak usah kau rasa gelisah
Ku dengan setia membimbing
Menyinar bagai kelip-kelip

Menyinar bagai kelip-kelip

LAGU-LAGU___

1. KELIP-KELIP (Remy Ishak)
2. JAGALAH DIRI (Jaclyn Victor)
3. SEPERTI DULU (Forteen)

Lagu & Lirik: EDRY ABDUL HALIM



Petikan Daripada Artikel
29 Februari (2012):
Patriotisme Salutan Cinta
Di Blog TontonFilem Oleh FADZ

















Filem tulisan Amir Hafizi dengan arahan kedua Edry mempunyai sesuatu. Secara rumusan, suatu filem drama-romantis seorang jejaka yang tidak tua-tua (atas sebab sumpahan, mendekati tetapi tidak sama dengan elemen "Forever Young" dan lebih mendekati "The Legend of 1900") menelusuri sejarah Tanah Melayu-Malaya-Malaysia (tanpa Sabah dan Sarawak, 'unfortunately') yang dibumbui dengan unsur amat ke'Disney'an dengan saturasi warna-warna garang dan separa tanah (secara tidak langsung, merupakan antara warna-warna Jalur Gemilang).

Filem ini, buat aku, lebih baik daripada "Magika" dalam merendesi babak lagunya (filem ini separa drama, separa musikal). Hal berkenaan "musikal" ini mungkin akan dijanggali para penonton (secara peliknya, aku tidak merasa janggal, mungkin kerana sudah terlalu banyak filem musikal Barat yang aku dah tonton).

Filem ini sebenarnya banyak merujuk persembahan Opera Barat yang berbentuk tragedi, yang sememangnya jauh daripada budaya kita, kerana lagu balada yang tiba-tiba terkeluar dari mulut pelakon, khusus pada babak mendekati klimaks.

Hal ini adalah kerana, institusi filem Melayu era Jalan Ampas tidak pernah menyampaikan gaya sebegini (detik tragedi dengan kumandang lagu ala musikal) dan mungkin perkara ini agak baru untuk penonton kita, hanya mungkin, babak-babak ini memerlukan pemikiran (dan jiwa) yang lebih terbuka.

Ramai pengulas yang aku jumpa tersilap menyatakan bahawa filem ini "hanya sebuah kisah cinta". Tidak, filem ini yang mengambil semangat alang-alang lurus bendul, Budi lakonan Remy Ishak (yang akan mengingatkan kita dengan "Forrest Gump").

Bercinta dengan Lily (lakonan sangat baik Jojo Goh, wanita ini ada sesuatu yang menarik untuk kita lihat) merupakan satu fabel (kau akan teringat akan Giuseppe Tornatore untuk "The Legend of 1900") yang bercerita tentang "Apa itu Malaysia".

Kau akan bertemu dengan pelbagai isu yang menyelusuri Malaysia dan "daripada apa ianya diperbuat", pertelingkahan kaum (dan keharmonian di antaranya), Melayu subsidi, ketuanan Melayu, Melayu Baru, meritokrasi, harmoni sesama kaum, dan Generasi Y sebagai contohnya (aku malas nak nyatakan, korang carilah sendiri).

Aku suka dengan percubaan mata "wide eyed" Remy, sang jejaka "innocent" yang melihat (untuk kita) apa makna tanahairnya dengan mata yang begitu lurus, dengan kata-kata yang begitu tulus dan perbuatan yang begitu terang.

Dari matanya, kita menyedari banyak keindahan, juga kecacatan tanahair kita, dilakukan tanpa banyak "kesakitan" tetapi ria, tenang dan menyentuh; dan paling penting - tanpa menghakiminya.

"Percintaan"nya dengan Lily hanya merupakan "destini" yang dia harus tuju, dengan "janji"nya yang kukuh (serta lurus bendul), "matlamat"nya (maksudnya, perkahwinannya; disamakan dengan matlamat menuju Wawasan2020 Dr. M, contohnya) yang akan "sampai" atau "tidak" sebenarnya ditentukan oleh penontonnya, yakni Generasi Y (yang diwakili sekumpulan anak-anak pada akhir cerita).

Lantas, barulah "jam loket" yang selamanya "mati" (ingat Remy yang tidak berusia berkait dengan jam ini!) boleh "bergerak semula" tiba-tiba, menandakan "detik" untuk kita pula "menjalankan kehidupan" di atasnya.

Ya, itulah sebenarnya. Dan unsur-unsur yang digunakan oleh Edry dan Amir mencuitkan, serta menyentuh. Khususnya, kunang-kunang dan istilah rama-rama dan kepompong, menampilkan bagaimana "muda"nya sebenarnya negara kita bertatih, tetapi terus sahaja ia bergerak untuk hidup dan mengukuhkan dirinya.

Lagu-lagunya amat menyentuh dan gemilang dalam filem ini, antara kekuatan utama filem ini, baik runut bunyi okestra (aku mahukan CD runut bunyi berokestra dan bukan dialog pelbagai seperti yang diberikan pada malam pratonton itu, satu lagi contoh memaparkan para produksi belum yakin penonton kita dapat menghargai lagu okestra sebaik ini) serta lagu-lagu musikalnya.

Jika diteliti dengan halus (dan wit), yang mula-mula kita menganggapi bahawa lagu yang dinyanyikan hanyalah "kisah cinta" menjadi lain pada akhir filem dengan korus ala nyanyian patriotik, yeap, sesungguhnya lagu ini berkenaan "kasih sayang terhadap tanahair" yang sengaja dibayangi dengan kisah kecintaan.

ANTARA KEINDAHAN FILEM

Aku suka Izzue Islam dalam filem ini (walaupun mungkin dia tidak dapat menang hadiah), dia melakonkan watak sahabat handai Remy yang amat baik, cukup untuk detik lawak dan masih poignant, babak-babak bersamanya adalah antara keindahan filem ini.

Seni pengarahannya juga sederhana baik dan suatu pencapaian tersendiri, khusus dalam percubaannya "membinaan" era demi era dengan susunan kelengkapan dan latar yang menghidupkan alam era itu.

Menariknya, pembukaan filem ini dibuka dengan suatu pandang dan air yang luas, bukan sahaja menampilkan "asas" ruangnya, tetapi pemaknaan "tanahair" (dan langit yang dijunjung) sebagai perkaitan filem patriotisme yang tidak perlu terlalu didaktik menampilkan suara mengajarnya.

Babak percubaan menampilkan Stadium Merdeka seperti suasana 31 Ogos 1957 dan khususnya Pawagam Coliseum memang amat dipuji. Babak perubahan fesyen dan rambut Remy juga amat mencuitkan dan menyampaikan nostalgianya dengan baik.

Aku setuju jika filem ini menominasi senarai pendek Anugerah Solekan Terbaik dan Anugerah Pengarahan Seni Terbaik buat FFM akan datang nanti.

Sebenarnya, ada beberapa perkara yang aku persoalkan juga. Ada satu babak, apabila Remy rasa "hilang arah" khusus kerana mendepani realiti "perhubungan"nya, dia "tercari-cari" sesuatu di rumah lama kolonial jagaan ayahnya, lantas kelihatan cahaya putih secara tiba-tiba.

Hal ini dipersoalkan, bagaimanakah ia boleh berlaku? Hal kecil ini melemahkan kesinambungan filem ini. Seharusnya Edry mengikatkan dengan teguh lagi perkaitan tahi bintang, jam dan kunang-kunang dengan Remy, untuk mewujudkan semangat yang lebih realisme magis (lantas berkait dengan dirinya yang tidak boleh tua-tua itu).

Unsur-unsur ini bolehlah dimainkan dan dimainkan lagi (contohnya, kunang-kunang itulah yang membawanya ke bilik di mana tersimpannya geran tanah wasiat ayahnya) untuk meyakinkan kita.

Malah, filem ini mempunyai beberapa masalah suntingan dan syot. Ada satu babak, Budi yang kecil (zaman 1941) berjalan dengan ibunya di tengah pekan yang tiba-tiba dibom jet perang Jepun (tidak ada siren?), lantas tiba-tiba Budi keseorangan dan ibunya hilang!

Babak selepas itu, ibunya tiba-tiba muncul sebelah-menyebelah ayahnya di depan askar dan kempetai Jepun! Babak itu pula berlaku di rumah agam kolonial yang "dimohon dijaga" oleh seorang pegawai Inggeris, tuan kepada ayah Budi.

Hal ini mencelarukan. Khusus dalam susunan latar dan geografi ruang filem dan hal ini tidak disusun baik oleh Edry, penulis skrip dan penyunting. Hal ini, perlulah Edry belajar daripada Syafiq Yusof yang begitu memahami susunan latar ruang dan kesinambungan dalam "SAM".

REMY BERJABAT TANGAN

Ada satu babak, Remy berjabat tangan dengan Dr. Mahathir pada hari perasmian kereta Proton Saga melalui Jambatan Pulau Pinang. Untuk apa? Untuk apa babak ini dilakukan selain daripada menampilkan teknologi sama seperti Forrest Gump menjabat tangan Kennedy (yang lebih fungsional sikapnya)?

Syot dan penggambaran merupakan kelemahan utama filem ini, kebanyakannya tidak bermaya dan amat mementingkan pewarnaan saturasi yang kadang-kala terlalu "gembira", terlalu kuat untuk dirasa, dan ditakuti menampilkan keplastikan.

Babak-babak CGI kemasukan imej lama dengan gambaran filem boleh diperbaiki lagi, dengan rendesi yang agak kasar atas layar putih besar (mungkin tampak elok dalam monitor komputer), khusus pada babak Hari Kemerdekaan yang sepatutnya menampilkan "magikal"nya. Magisnya tidak sampai dukacitanya

Dengan hal-hal ini, aku tidak tahu jika versi 3D (aku menonton 2D) lebih menonjol dan mencemerlangkan layarnya.

Suatu lagi, kumpulan penggambar Edry perlulah belajar untuk mengambil syot-syot yang lebih kuat, lebih menampilkan "sinema" sepertimana yang dilakukan dalam filem Syafiq Yusof, Dain Said, Bernard Chauly, Kabir Bhatia dan Effende Mazlan/Fariza Isahak.

Penggambaran dalam filem ini masih kelihatan seperti telefilem Cerekarama dan belum mampu menampilkan semangat "epik" yang sepatutnya disampaikan (sepertimana 10 minit awal filem ini yang cantik dilakukan).

Kemungkinan ini masaalah kamera digital yang harus dicari cara penyelesaiannya (tetapi aku yakin para pembikin yang rajin dan kreatif akan lebih menyampaikan yang lebih baik). Hanya babak pertemuan ayah Lily dengan Budi di kedai gunting rambut menampilkan imejan wayang yang indah, ditelekuni dengan drama yang amat berkesan sekali.

Filem ini mungkin ada cacat-celanya, tetapi secara keseluruhan dan khusus penceritaan, ia masih berbaloi, malah senang dihadami kerana sikap Disney yang dipakai (yang kalian namakan "komerisal" itu) untuk menyampaikan maksud tersirat yang dalam, dengan keseimbangan drama, melodrama, komedi, musikal yang baik dan terkawal.

Jauh meninggalkan filem Melayu yang tidak ada kandungan yang mencabar akhir-akhir ini (kecuali beberapa seperti "Songlap", "Chow Kit" dan "Bunohan").

Menonton filem ini, memberi sesuatu kepada aku. Satu pengalaman yang cukup manis dan menghiburkan.

ULASAN FK___

Pengambilan artikel (ulasan) Fadz mengenai filem "29 Februari" adalah sebagai langkah permulaan menyahut sebegitu banyak e-mail yang saya terima mahukan FK memuatkan juga filem-filem terkini disamping filem-filem klasik yang menjadi matlamat (tujuan) utama.

Menurut Azizah Aziz dari Singapura: "Pada hemat saya FK sudah popular dan diminati ramai kerana corak persembahannya yang menarik disamping fakta-fakta cukup meyakinkan.

"Kerana itu, FK juga sepatutnya memasukkan juga kegiatan-kegiatan filem-filem Melayu terkini disamping mengimbas kembali filem-filem lama yang sudah dianggap klasik."

Kalau sudah begitu, apakan daya. Terpaksalah saya memulakannya - bermula dengan filem "29 Februari".

Saya sudah sekian lama mengikuti blog TontonFilem yang dikendalikan oleh Fadz, dan telah membaca dan menilai banyak ulasan dan komennya mengenai filem-filem Melayu terkini, dan juga filem-filem luar negara.

Dalam penelitian saya, Fadz mempunyai pontensi yang cukup besar sebagai pengkritik filem yang baik, sekiranya (sekali lagi sekiranya), beliau dapat memperelokkan lagi cara pengolahan, gaya bahasa dan pembahagian para.

MENJADI PENGKRITIK FILEM

Saya dapati para (paragraf) Fadz terlalu panjang, sesak nafas saya bila membacanya. Apakah ini satu trend pengkritik filem terkini? Tidak pula saya tahu. Kalau ya, patutlah diubah.

Dari segi ilmu filem, nampaknya Fadz mempunyai pengetahuan luas mengenainya. Ini cukup baik, sekiranya beliau ingin maju dan menjadi pengkritik filem yang dihormati dan disegani ramai.

Oleh kerana tertarik dengan ulasannya ("29 Februari") dan persembahan filem tersebut (oleh Kru Studios) pun boleh dianggap luar kebiasaan (termasuk adanya 3D) walaupun diciplak dari beberapa filem Barat, saya pilih dan muatkan dalam blog ini (tanpa izin Fadz kerana e-mailnya tidak berfungsi) untuk kita kongsi bersama.

Penyiaran merupakan artikel Fadz yang original, kalau ada pun perubahan hanya sedikit saja iaitu ejaan dan pembahagian para. Yang lain tetap sama.

Saya belum menonton filem "29 Februari" ini, apabila sudah nanti saya cuba memberi ulasan (itu pun jika saya termampu), atas kapasiti saya sebagai pengendali blog FK, untuk mendapatkan rumusan konkrit, dan juga, apakah ada pertentangan idea (komen) antara saya dengan Fadz?

Selamat membaca, menilai dan memberi komen.

JAWAPAN FADZ KEPADA FK (E-MAIL)___

Assalamualaikum Saudara Mustafar.

Pertama sekali, terima kasih kerana memberi pujian kepada perjuangan dan hasil kerja saya selama ini.

Atas sebab pengambilan bahan, saya tidak ada masalah kerana dunia maya sememangnya diciptakan sebegitu rupa dan apabila Saudara mengkreditkan rujukan asal (citation), itu sudah mencukupi.

Untuk makluman Saudara, laman sesawang Cloud Fable turut melakukan hal yang sama untuk beberapa buah ulasan filem saya.

Saya hanya terpanggil untuk berbicara berkenaan gaya perenggan (bahasa Melayu kita panggil perenggan, bukan paragraph, para) dan pengolahan bahasa yang Saudara tegur/ulas.

Saya mengaku, penulisan saya jauh daripada mencapai standard yang sepatutnya dalam penulisan rencana.

Tetapi penyusunan, gaya bahasa dan larasnya, sebenarnya punya agenda yang tersendiri yang saya sengajakan.

Saya menganggap ruangan blog, khusus di maya, walaupun "dikongsi" merupakan susunan gelintar ataupun wadah yang datang "dari hati nurani" peribadi penulisnya.

Saya mengaplikasikan penggayaan arus kesedaran (stream of consciousness) yang sememangnya, penulisan (daripada aliran sastera) yang menampilkan "apa-apa sahaja yang terlintas termasuk emosi yang dicurahkan atas teks".

Penulis seperti Virginia Woolf dan James Joyce menampilkan penggayaan ini dengan berkesan, dengan melangkau fungsi perenggan dan kadang-kadang tanda baca (kerana perasaan dan pemikiran itu tidak berhenti dan terus bernadi).

Oleh sebab itu, penulisan dalam blog saya dilazimkan sebegitu rupa, dengan penggunaan kata ganti diri "Aku", bahasa rojak, perenggan panjang, ayat berangkai dan melanggar tanda baca, sepertimana kenyataan Reinaldo Arenas, penulis yang paling saya gemari:

"Kata-kata yang keluar itu seperti air, air yang turun menitis seperti hujan, beribu-ribu titisan melanggar atap, yang kemudiannya meluncur ke tanah-tanah, sungai-sungai lalu membentuk air melimpah, melimpah, meruah, tanpa batasan lagi."

Maka saya mohon maaf saya tidak dapat mengikut cadangan saudara berkenaan "mengawal perenggan" dan ayat berangkai panjang kerana penggayaan inilah yang saya guna.

Seeloknya, jika Saudara kutip teks ulasan saya, kemas kinikanlah perenggan dan ayat saya, suntinglah atas gaya dan standard yang sudah ditentukan dalam blog Ssaudara. Saya memberi keizinan demikian.

Saya juga ingin memaklumkan, saya turut mengkritik filem dalam majalah Dewan Budaya dan Dewan Masyarakat. Dalam majalah tersebut, penulisan saya lebih menepati standard dan laras yang Saudara nyatakan.

Beli-belilah di Kedai Buku DBP, ya.

Terima kasih sekali lagi dan saya berbesar hati mendapat penghargaan daripada blog saudara. Dengan rendah diri saya memohon maaf jika terkasar bahasa.

Terima kasih.

Fadz/Fadli Akiti
TontonFilem.

JAWAPAN FK KEPADA E-MAIL FADZ___

Salam sejahtera Saudara Fadz.

Terima kasih kerana keizinan Saudara membenarkan filem "29 Februari" dirembat, ikut kata bahasa alam maya.

Kalau sudah begitu, terpulanglah pada Saudara. Niat saya suci supaya kritikan Saudara lebih berpengaruh dan dihormati.

Oleh kerana e-mail Saudara ini baik dan patut juga diketahui oleh peminat-peminat FK, saya akan muatkan juga dalam artikel "29 Februari", diupdatekan.

Perlu juga Saudara diberitahu, ketika saya jadi penyunting di Utusan Malaysia istilah paragraf dan para itu yang digunapakai.

Perenggan jarang, mungkin tidak pernah digunakan.

Terima kasih.

Mustafar A.R.



KRU CUBA AKUR

FILEM "29 Februari," arahan Edry Abdul Halim terbitan KRU Studios yang ditayangkan pada 30 Ogos lalu mencatat sejarah sebagai filem tempatan pertama yang menggunakan format 3D (tiga dimensi).

Malah filem lakonan Remy Ishak dan Jojo Goh itu juga mencatat sejarah peribadi bagi KRU Studios kerana ia merupakan filem pertama terbitan mereka yang mencatat kutipan kurang memberangsangkan, di bawah RM500,000.

Penerbit Eksekutif dan Presiden Eksekutif KRU Group of Companies, Norman Abdul Halim berkata, KRU Studios sudah menghasilkan lapan filem tapi kutipan untuk "29 Februari" adalah yang paling rendah.

"Selaku perintis dalam menerbitkan filem berfomat 3D, kami harus bersedia mengambil risiko dan apabila berlaku seperti ini, kami tidak perlu gentar.

"29 Februari adalah filem eksperimen bagi KRU Studios dan kami tidak menyesal menghasilkannya kerana ia keistimewaan tersendiri. Saya sedar untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan berharap orang terus menerima memang sukar tetapi kami berpuas hati kerana telah mencuba," katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka KRU di Cyberjaya, baru-baru ini.

Kata Norman, antara faktor yang menyebabkan penonton tidak memilih "29 Februari" sebagai pilihan mungkin kerana tiket untuk filem berformat 3D lebih mahal daripada filem biasa.

Selain itu, katanya, lambakan filem dalam seminggu juga menyebabkan penonton terpaksa membuat pilihan untuk menonton.

"Saya tidak boleh memaksa penonton kerana itu pilihan mereka untuk menonton filem apa yang mereka suka. Entahlah mungkin ada yang beranggapan filem "29 Februari" ini filem patriotik dan sebab itu mereka elak daripada menonton.

"Dari situ, kita dapat lihat bahawa penonton tempatan tidak suka menonton filem yang berat, pada hal "29 Februari" bukanlah filem sebegitu.

"29 Februari" menceritakan tentang percintaan seorang lelaki yang tidak berganjak tua dengan seorang gadis yang berlainan bangsa. Itu sahaja, tapi mungkin orang salah anggap," katanya mengulas mengenai kurang sambutan penonton terhadap "29 Februari".

Tanpa menunjukkan rasa kecewa, Norman berkata untuk masa akan datang KRU Studios tetap akan menerbitkan filem berunsur eksperimen selain filem komersial.

"Untuk buat filem eksperimen memerlukan bajet yang besar. Jadi untuk hasilkan setahun sekali tidak bolehlah, tunggu bila ada cerita menarik dan bajet cukup baru boleh buat.

"Memandangkan selera penonton tempatan yang gemarkan cerita ringan, jadi KRU Studios juga tidak mahu ketinggalan.

Terdekat filem "Hantu Kapcai", lakonan Zizan Razak akan ditayangkan di pawagam mulai 27 September ini bersaing bersama filem "Sofazr The Movie Jiwa Kacau"," katanya.

Menurut Norman, selaku penerbit, pihaknya juga terpaksa akur dengan kehendak penonton yang gemar menonton filem berunsur komedi, seram atau aksi.

Untuk masa akan datang, KRU Studios tetap akan menerbitkan filem berunsur eksperimen dan pelbagai genre mengikut kehendak semasa.


* Artikel di atas dipetik dari tulisan oleh Khadijah Ibrahim yang tersiar di Utusan Malaysia keluaran 18 September 2012.





(Sumber: KRU)


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

berapa banyakkah yang masih ada?

LEILA MAJNUN
filem pertama malaysia berbahasa melayu


MUTIARA
filem melayu shaw brothers yang pertama

10 FILEM BOLLYWOOD HEBAT SEPANJANG MASA
top 10 bollywood films all time


REVOLUSI ISLAM DAN FILEM IRAN
"a separation" meningkatkan martabat negara iran


CECILIA CHEUNG
foto-foto lucahnya menggemparkan hong kong


PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai...






KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.




Tuesday, August 28, 2012


SEMERAH PADI IN COLOR

SHAW BROTHERS TOLAK "SEMERAH PADI" DICOLORKAN
Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


SEMERAH PADI IN COLOR

DATO' AZIZ SINGAH

DATUK AZIZ SATTAR

DATO' AMIN KHAN

PADA mulanya, saya ingin memendamkan dulu berita penolakan Shaw Brothers terhadap hasrat AJK Amanah Tan Sri P.Ramlee (ATSPR) untuk mengcolorkan filem "Semerah Padi" yang diarahkan oleh Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee

Ini kerana, tindakan selanjutnya memerlukan campurtangan Kerajaan Malaysia. Selain dari itu, saya tidak nampak cara lain yang lebih berkesan.

Bagaimanapun pemendaman itu tidak boleh dilakukan, sebab banyak sangat e-mail (bertalu-talu) masuk ke box e-mail saya. Pendedahan, dengan apa cara sekali pun, harus dibuat.

Saya tidak faham dan tidak mengerti, kenapa Shaw Brothers enggan membenarkan "Semerah Padi" dicolorkan, sedangkan bukannya mereka yang membiayai kos segala perbelanjaan, kalaulah itu soal pokoknya.

Kos merupakan tanggungjawab AJK Amanah Tan Sri P.Ramlee (ATSPR) yang baru saja diwujudkan, bukannya Shaw Brothers. Apa yang diperlukan dari mereka, hanyalah keizinan dan meminjamkan 'mastercopy'nya. Itu saja.

Dan lagi, usaha mengcolorkan filem tersebut adalah untuk memenuhi hasrat P.Ramlee yang mahukan filem arahannya di colorkan, disamping mempratikalkan teknologi terbaru (canggih) sebagaimana Mumbai (Bollywood) melaksanakan filem Dev Anand, "Hum Dono".

Agak malang bagi AJK ATSPR, Shaw Brothers tidak menjawab surat yang di hantar (apatah lagi untuk berunding) yang sepatutnya dilakukan. Kirim surat sepatutnya dibalas juga dengan surat. Tapi ini tidak dilakukan.

Tidak profesional langsung. Mereka hanya menyatakan tidak boleh secara lisan, itu pun melalui wakilnya di Woodlands, Singapura, Rosie Othman.

Sebenarnya, generasi Shaw Brothers sekarang tidak menyedari dan tidak tahu, P.Ramlee merupakan antara salah seorang insan seni yang menjadi tulang belakang tertubuhnya empire Shaw Brothers sehingga terkenal ke seluruh dunia.

* Run Run Shaw (kini) masih hidup, walaupun umurnya sudah melebihi 100 tahun. Tanyalah kepadanya (kalau dia masih ingat dan tidak lupa), apakah benar P.Ramlee banyak jasanya kepada Shaw Brothers dan empirenya atau pun tidak.

* Update: Run Run Shaw meninggal dunia bulan 7 Januari 2014.

Menolak mengcolorkan "Semerah Padi" bererti Shaw Brothers memperkecil-kecilkan hasrat AJK ATSPR, dan memadamkan terus impian P.Ramlee yang mahukan filem arahannya dicolorkan.

USAHA AKAN DITERUSKAN

Dato' Aziz Singah (Pengerusi AJK ATSPR) ketika diminta mengulas mengenai penolakan tersebut berkata: "Memang tidak patut Shaw Brothers menolak begitu saja tanpa berunding.

"Kedudukan sekarang tidak begitu jelas, dan untuk memperolehi sesuatu yang baik memang susah, tapi kita jangan mudah berputus asa.

"Usaha akan diteruskan kalau boleh sampai ke peringkat meminta campurtangan Kerajaan Malaysia."

* Datuk Aziz Sattar (Timbalan Pengerusi) yang kelihatan sugul dengan penolakan tersebut berkata: "Tidak patut Shaw Brothers enggan. Bukannya mereka yang kita suruh keluar duit, kita yang akan cari dana untuk membiayai segala kosnya.

* Update: Datuk Aziz Sattar meninggal dunia pada 6 Mei 2014.

"Saya setuju dengan Dato' Aziz Singah, usaha harus diteruskan sampai ke peringkat campurtangan Kerajaan Malaysia, dan kalau boleh Kerajaan Singapura juga.

"Kita tidak boleh sekali-kali berputus asa. Impian P.Ramlee harus direalisasikan."

Dato' Amin Khan (Setiausaha) pula berkata: "Bertindak meminta campurtangan Kerajaan Malaysia pada masa ini, tidak begitu sesuai kerana pilihanraya ke-13 masih tidak menentu.

"Oleh yang demikian, kita nantikan dulu pilihanraya selesai. Dan, dari situ nanti barulah kita dapat menetapkan ke arah mana yang patut kita tuju."

Kepada peminat-peminat FK yang menghantar banyak e-mail kepada saya (dan juga diruangan komen) bertanyakan mengenai apa sudah jadi dengan "Semerah Padi In Color", begitulah kedudukannya.

Usaha akan diteruskan, dan kita merasakan Shaw Brothers tidak patut menolaknya tanpa memberi alasan yang munasabah dan konkrit, dan boleh pula diterima oleh akal yang waras, dan berpijak di bumi yang nyata.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

ZAITON
p. ramlee perli, nak pergi kabaret ke?


BATTLE HYMN
buat amal kebajikan sebagai penebus dosa.


TIGA DARA
masih enak ditonton hingga kini...


DEV ANAND
patah tak tumbuh hilang tak berganti.

R. AZMI
berada dikamar sepi dalam kesepian.


AHMAD MAHMUD

anak malaysia pertama jadi produser filem.







KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.








Friday, August 24, 2012


PELANGI (1951)

FILEM PERTAMA NUSANTARA FILM COMPANY
Kajiselidek & Teks: Mustafar A.R.
Foto: Dari Pelbagai Sumber


Di Edit Di Semak & Di Susun
Oleh ZAINI YUSOP




NONA ASIAH

SALMAH ISMAIL

S. NANENG, NONA ASIAH, ISMAIL KASSIM & ELONI HAYAT

NONA ASIAH & S. NANENG

Pengeluar NUSANTARA FILM COMPANY
Pengarah NAS ACHNAS
Cerita NAS ACHNAS
Lagu ZUBIR SAID
Pelakon ISMAIL KASSIM NONA ASIAH ELONI HAYAT S.NANENG SALMAH ISMAIL MUSTARJO KAMSANI

Tahun diedarkan 1951
Kedudukan filem: Hilang, sedang dicari

JALAN CERITA___

Ceritanya mengisahkan Ismail Kassim melarikan diri dari kampung semata-mata disebabkan tidak mahu dipaksa kahwin dengan sepupunya, Nona Asiah.

Di Singapura dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah restoran dan jatuh cinta dengan penyanyi wanita (Eloni Hayat) yang turut bersamanya sebagai penyanyi di restoran tersebut.

Nona Asiah turut datang ke Singapura dan kebetulan pula diterima bekerja sebagai penyanyi di restoran yang sama. Ismail Kassim kemudian jatuh cinta dengan Nona Asiah (dia tidak tahu Nona Asiah itu sepupunya).

Tambah merumitkan keadaan apabila pengurus restoran (S. Naneng) turut jatuh cinta dengan Nona Asiah.

ULASAN FK___

Apabila Malay Film Productions dengan filem-filem keluarannya mendapat sambutan hangat bermula "Singapura Di Waktu Malam", Ho Ah Loke memujuk Ong Keng Huat (seorang jutawan dari Pulau Pinang yang mempunyai banyak panggung wayang di seluruh Malaya) untuk mengeluarkan filem bagi mengimbangi kekuasaan Shaw Brothers dalam perniagaan dan pengeluaran filem.

Ong Keng Huat bersetuju dan dengan itu tertubuhlah Nusantara Film Company yang mana kemudian terdirinya studio terletak di atas tapak sebuah bukit di Batu 9 1/2, Bukit Timah Road, Singapura, manakala pejabat operasinya pula terletak di Bangunan South-East Asia, Singapura.

Hsiu Chao Ming (Hsu Chew Meng) dilantik sebagai pengurus dan filem ini merupakan yang pertama dihasilkan atas nama Nusantara Film Company yang merupakan sebuah filem hiburan penuh dengan nyanyian dan kelucuan.

Cerita tidak begitu menarik, tetapi teknik penggambarannya baik dan memuaskan. Lakonan pelakon-pelakonnya sederhana saja kerana mereka, Ismail Kassim, Nona Asiah dan Salmah Ismail (Saloma), lebih terkenal sebagai penyanyi bukannya pelakon.

LAGU___

1. "Senandong Hidup" (Nona Asiah)
2. "Sepasang Bayang-Bayang" (Nona Asiah & Kamsani)
3. "Pelangi Rumba" (Nona Asiah)

REVIEW BY THE STRAITS TIMES (8 April 1951)___

A New Malay film producing company in Singapore, the Nusantara Film Co., has just completed its first Malay film entitled "Pelangi" which will released soon.

This film has a certain distiction of its own - it is the first to be written and directed by a Malay, Nas Achnas, a well known Singapore Malay artist.

Starring Ismail Kassim and Nona Asiah, noted radio and record singer, the film is about a Malay who runs away from his kampong in order to avoid forcible marriage to his cousin.

It contains new songs composed by Zubir Said which might well become song hits in Malaya which Nona Asiah and Ismail Kassim singing them.


FAKTA___

* Tercatat dalam sejarah filem Malaysia, sebagai filem pertama dikeluarkan oleh Nusantara Film Company.
* Filem pertama yang dilakonkan oleh Nona Asiah dan Ismail Kassim. Kedua suami isteri ini, lebih popular sebagai penyanyi.
* Nona Asiah dan Ismail Kassim pernah juga berlakon dalam filem anti-pengganas penerbitan Malayan Film Unit (Filem Negara Malaysia), selepas filem ini.
* Penggambaran bermula di bulan Januari 1951, dan siap keseluruhannya pada bulan April 1951.
* Semasa berlakon dalam filem ini, Nona Asiah dan Ismail Kassim belum berkahwin. Mereka berkahwin pada 20 Ogos 1955.
* Selepas filem ini, Nusantara Film mengeluarkan filem keduanya, "Perkahwinan Rahsia," yang diarahkan oleh Hsu Chew Meng dan dibantu oleh A.R. Tompel.
* Selain Eloni Hayat, namanya yang lain Evelyn Hoyer dan Aini Hayati. Antara filem lakonannya selepas "Pelangi" termasuk "Ibu", "Hujan Panas" dan "Panca Delima".
* S. (Sani) Naneng sebelum filem ini turut membintangi filem "Pembalasan" yang diarahkan oleh L. Krishnan berlawak berpasangan dengan P. Suriati.
* Filem ini boleh dianggap sebagai hilang, dan merupakan satu kerugian besar kepada sejarah sinema Malaysia.
* Kebanyakan filem Nusantara Film termasuk "Pelangi", telah dijual kepada sebuah syarikat pengedar filem Indonesia untuk ditayangkan di negara tersebut.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

berapa banyakkah yang masih ada?

LEILA MAJNUN
filem pertama malaysia berbahasa melayu


MUTIARA
filem melayu shaw brothers yang pertama

10 FILEM BOLLYWOOD HEBAT SEPANJNG MASA
top 10 bollywood films all time


REVOLUSI ISLAM DAN FILEM IRAN
"a separation" meningkatkan martabat negara iran


CECILIA CHEUNG
foto-foto lucahnya menggemparkan hong kong


PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai...