"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Saturday, August 13, 2011


BOOLOO (1938)




Bawah: Mamo Clark sedang memandu arah kepada Colin Tapley dan kawan-kawannya.

Atas: Jayne Regan. Bawah: Colin Tapley.

Kiri: Mamo Clark. Kanan: John Sutton.

Colin Tapley sedang menyelamatkan Mano Clark dari menjadi korban harimau putih.


Produksi PARAMOUNT PICTURES
Pengarah CLYDE E. ELLIOTT
Pelakon COLIN TAPLEY (Robert Rogers) JAYNE REGAN (Kate Jaye) MAMO CLARK (Gadis Orang Asli, Nieewah) MICHIO ITO (Ketua Sakai) HERBER DE SOUZA
(Rod De Souza) FRED PULLEN (Nah Laku) CLAUDE KING (Fenton) WILLIAM STACK (Stanley Jaye) JOHN SUTTON (Ferguson) AH LEE (Lee) IVAN F. SIMPSON LIONEL PAPE NAPIER RAIKES CLIVE MORGAN COLIN KENNY PHILIPS SMALLEY
Cerita CLYDE E. ELLIOTT
Lakonlayar ROBERT E.WELCH
Sinematografi CARL BERGER HENRY SHARP BEN WETZLER
Penyunting Filem EDA WARREN
Suara DON JOHNSON ZOLTAN KEGL
Musik KARL HAJOS BENHARD KAUN
Produser CLYDE E. ELLIOTT

Tahun diedarkan: 1938 (26 Julai)
Masa tayangan: 61 Minit

Kedudukan filem: Masih ada


JALAN CERITA___

Pegawai British, Robert Rogers, telah menulis buku mengenai harimau putih dan ramai gadis orang asli dikorbankan oleh Sakai di Malaya dan Singapura. Tetapi para pengkritik (yang tidak percayakan wujudnya harimau putih) mempersendakan bukunya itu.

Oleh kerana buku tersebut ditulis berdasarkan cerita oleh ayah Robert Rogers yang disampaikan kepadanya, tidak ada cara lain melainkan dia pergi sendiri ke Malaya dan Singapura bagi membuktikan apa yang dikatakan oleh ayahnya itu benar lebih-lebih lagi sejak London Explorere's Soceity mengalihkan plaque ayahnya dari dinding peringatan (sebagai penghormatan) di bangunannya.

Ketika memburu harimau putih itu, Robert Rogers telah ditangkap oleh puak orang asli yang ganas, dicakar oleh harimau, menyelamatkan Mamo Clark daripada menjadi korban, pertembungannya dengan ular sawa dan berbagai-bagai lagi.

Akhirnya, Robert Rogers berjaya dalam membuktikan kesahihan cerita yang terdapat dalam bukunya itu, dan apabila dia pulang didapatinya plaque ayahnya telah diletakkan semula ke tempat asalnya.

Ini bererti maruah ayahnya yang telah tercemar ditebusnya kembali.


ULASAN FKM___

Dalam buku Eksploitasi Terhadap Bintang Filem - (1938-74) oleh Zulkifli Hj. Ahmad ada menyebut di muka 13, pada tahun 1937 muncul sebuah syarikat filem dari barat yang mengirim unitnya ke Singapura untuk membuat filem Melayu bernama "Dooloo" (sebenarnya "Booloo"). Di antara pelakon yang mengambil bahagian dalam filem itu ialah Ratna Asmara, Fred Polin (sebenarnya Fred Pullen) dan beberapa orang pelakon opera.

Jamil Sulong dalam bukunya Kaca Permata di muka 239 menulis, apa yang dapat dikesan ialah penggambaran filem "Booloo" yang dibuat di Ipoh, Perak pada tahun 1937. Penggambaran filem itu dilakukan juga di beberapa tempat lain termasuk Singapura. Penerbit filem ini ialah Paramount Pictures dari Amerika Syarikat. Pengarahnya bernama Clyde E. Elliott dan pelakon utamanya ialah Ratna Asmara seorang artis Indonesia. Pelakon lelakinya Colin Tapley.

Buku Singapore Cinema oleh Raphael Millet hanya menyentuh sedikit saja di muka 144, 1938 Booloo B&W - English Directed by Clyde E. Elliott With Colin Tapley (Captain Rogers), Jayne Regan (Kate Jaye), Michio Ito (Chief Sakai), Herbert De Souza (Rod De Souza), Fred Pullen (Nah Laku), Ah Lee (as himself).

Dalam buku The Paramount Story di muka 136 ada tercatat, The white hunter in Malayan Jungle stalk a white tiger and bait their trap with a native girl. (Pemburu kulit putih di hutan Malaya memburu harimau putih dengan umpan perangkapnya menggunakan gadis orang asli.)

Bermula dari situlah saya beminat untuk mengetahui filem "Booloo" ini yang dikatakan filem Melayu (sebenarnya filem Inggeris) yang dikeluarkan oleh syarikat filem Hollywood (Paramount Pictures) dibuat penggambarannya di Malaya dan Singapura.

Apabila kajian dibuat ternyata, filem ini bukanlah pertama kali Clyde E. Elliott melibatkan dirinya dengan Malaya dan Singapura.
Pada tahun 1932, dia mengarahkan filem "Bring 'Em Back Alive" kemudian disusuli pula pada tahun 1934 dengan filem "The Devil Tiger."

Pada tahun 1947, Clyde E. Elliott mengarahkan filem "Little Trunk" yang mengisahkan seorang peladang dan isterinya bersatu kembali selepas perang dunia kedua yang dibuat penggambarannya di Singapura dan Malaya juga.

Bagaimana pun, filem tersebut tidak dapat disiapkan.


Promosi dan iklan dalam bahasa German.


APAKAH HASILNYA?___

Menurut Movie Review oleh Frank S. Nugent yang disiarkan oleh The Screen pada 30 Julai 1938, katanya: Filmed in the jungles of Malaya and on the jungle sets of Hollywood, Clyde E. Elliott's "Booloo" effects an exciting and quite entertaining blend of the real and the make-believe.

Probably no more concocted than Frank Buck's Bring-'Em-Back-Alive" thrillers, which purport not to be, Mr. Elliott surpasses the Buck in that he captures tigers, studies monkeys, braves the natives and has time, as well, for a bit of fictional melodrama.

The "Booloo" of the title is a white tiger presumably venerated by the dart-blowing Sakai who propitiate it, according to the established routine, by sacrificing a beautiful maiden every year.

When General Rogers' postumously published account of Booloo appears, the members of the Royal Something-or-other Society pronounce it a hoax and cross the General's name from their roll of honor.

His son (Colin Tapley) takes up the challenge and promises to prove the white tiger story. Mr. Elliott and his roving game hunters carry on from there.

Except for the white tiger, whose ruffled coat betrays the fact that it's an ordinary striper sprayed with paint, the animal acts seem to be genuine enough and the working of the snares, traps, pits and native beaters remains as fascinating as ever.

Even the fanciful phase of it, young Rogers' capture by the Sakai and the torture ceremony, have been re-created with a conservatism and conviction unusual for these jungle fantasies. The beasts are the stars of the piece, naturally, but Mr. Tapley, Claude King, Jayne Regan, Mamo Clark and the others have their virtues, too.


Menurut The Straits Times keluaran 15 Ogos 1938, beberapa orang penduduk Malaya di London yang telah menonton tayangan perdana "Booloo" di Carlton Theatre menyatakan, filem Paramount Pictures yang dibuat penggambaran di Singapura dan Malaya (Perak) itu hebat tetapi dirosakkan dengan cerita yang lemah dan pengurusan yang tidak sempurna.

Apa yang boleh dibanggakan ia merupakan salah satu filem kehidupan liar yang terbaik pernah dibuat oleh mana-mana pengeluar filem Hollywood dan ditayangkan sebagai cerita sentimental dengan berlatarbelakangkan hutan.


Ratna Asmara di tahun-tahun 1950an.


Ratna Asmara bersama Fred Pullen dalam satu adegan
filem "Booloo".



MAMO CLARK GANTI RATNA ASMARA?___

Satu persoalan timbul, sama ada Ratna Asmara berlakon dalam filem "Booloo" ini.
Ini kerana, sepanjang penggambaran di Malaya dan Singapura, peranan heroine (sebagai Nieewah) dilakonkan oleh Ratna Asmara yang bakatnya telah diuji sebelum diambil berlakon oleh Clyde E. Elliott.

Bagaimanapun, menurut berita yang dikeluar oleh The Straits Times pada 11 September 1938, seorang penonton dari Singapura yang menonton filem "Booloo" di London mendapati tidak terdapat langsung lakonan Ratna Asmara tetapi peranannya itu digantikan dengan Mamo Clark.

Mamo Clark ialah heroine Clark Gable dalam filem "Mutiny on the Bounty" yang diarahkan oleh Frank Lloyd pada tahun 1935.

Habis, apa sudah jadi dengan (penggambaran selama tiga bulan) adegan-adegan Ratna Asmara di Malaya dan Singapura itu?

Majalah Time dalam edisi New Yorknya berkata, kebanyakan penggambaran "Booloo" yang dilakukan oleh Clyde E. Elliott di Singapura dan Malaya tidak digunakan dan telah digambarkan semula di hutan (atau dibuat set hutan) di California.

Ada juga lapuran yang menyebut, filem-filem yang dihantar untuk di proses hilang dipertengahan jalan sama juga yang berlaku kepada filem "Perwira Di Lautan Teduh" kepunyaan Ho Ah Loke dari Cathay Keris Film.

Tidak seperti "Samarang", filem "Booloo" (setakat ini) tidak dapat dikesan sama ada pernah ditayangkan di Singapura atau pun Malaya.

Ini lebih menyukarkan lagi untuk mempastikan kedudukan Ratna Asmara dan Mamo Clark yang sebenar.


RATNA ASMARA___

Tidak banyak diketahui tentang Ratna Asmara, apa yang ada hanyalah dia dikatakan lahir pada tahun 1915 (dimana? tidak ada maklumat), dan menceburkan diri dalam perkumpulan Dardenella (bersama Bachtiar Effendi dan Ribut Rawit) yang pernah mengadakan pertunjukan pentas di sekitar Nusantara termasuk Singapura.

Kerana kecantikan dan kebolehannya berlakon, Ratna Asmara (dari begitu ramai gadis yang di uji skrin termasuk dari Kuala Lumpur) telah dipilih memegang peranan utama (sebagai Nieewah) dalam "Booloo".

Selepas filem Hollywood itu, pada tahun 1940, Ratna Asmara berlakon dalam filem "Kartinah" yang diarahkan oleh Anjar Asmara, yang kemudian menjadi suaminya.

"Kartinah" pada mulanya bertajuk "Kartini" tetapi diubah kepada "Kartinah" kerana mendapat tentangan dari kaum wanita Indonesia.
Nama Kartini (Raden Anjeng Kartini), wanita yang memperjuangkan hak wanita Indonesia termasuk poligami, tidak boleh digunakan sebarangan.

Sebelum meletusnya perang dunia kedua, Ratna Asmara berlakon dalam dua filem lagi - "Ratna Moetoe Manikam" (Ratna Mutu Manikam, 1941) yang diarahkan oleh Suska dan "Noesa Penida" (Nusa Penida, 1941) yang diarahkan oleh Anjar Asmara.

"Ratna Mutu Manikam" cerita "Djoela Djoeli Bintang Tiga" (Jula Juli Bintang Tiga) yang pernah difilemkan oleh Cathay Keris Film dengan bintang utamanya Abdullah Chik dan Salmah Ahmad.

Selepas perang dunia kedua, hanya pada tahun 1948 Ratna Asmara berlakon semula dalam filem "Djaoh Di Mata" (Jauh Di Mata) yang diarahkan oleh Anjar Asmara.

Anehnya, "Jauh Di Mata" yang dibuat semula di Merdeka Studio bertajuk "Jauh Di-Mata" yang diarahkan oleh Fred Young juga melibatkan Abdullah Chik sebagai hero.

Pada tahun 1950, filem Indonesia mencatat sejarah apabila Ratna Asmara muncul sebagai pengarah wanita pertama apabila mengarahkan "Sedap Malam" yang juga merupakan produksi pertama Persari.

Berikutnya, pada tahun 1951, Ratna Asmara mengarahkan filem "Musim Bunga Di Selabintana" kemudian disusuli pula "Doctor Samsi" (1952), "Nelajan" (Nelayan) pada tahun 1953 dan "Dewi dan Pemilihan Umum" (1954).

Hanya 10 tahun kemudian (1960), Sofia W.D. muncul sebagai pengarah filem wanita Indonesia kedua apabila mengarahkan filem "Badai Selatan".

Sofia W.D. juga mengarahkan filem "Singa Betina Dari Marunda" (1971), "Tanah Harapan" (1976), "Jangan Menangis Mama" (1977) dan "Halimun" (1982).

Setakat ini, tidak dapat dipastikan bila dan di mana Ratna Asmara meninggal dunia.


Clyde E. Elliott (dua dari kanan) bersama Frank Buck (kanan), Nicholas Cavaliere (kiri) dan Carl Berger bersiap sedia untuk ke Malaya dan Singapura membuat penggambaran filem.


FAKTA___

* Clyde E. Elliott yang lahir pada 23 Julai 1891 meninggal dunia di Los Angeles pada 12 Januari 1959. Selain filem ini, "The Devil Tiger" (1934) dan "Bring 'Em Back Alive" (1932), dia juga mengarahkan "A Winter's Tale" (1922) dan "Western Ways" (1922).

* Mamo Clark turut membintangi filem "Hurricane" yang diarahkan John Ford dan dibintangi Jon Hall dan Dorothy Lamour. Dia meninggal dunia pada 18 Disember 1986 ketika berusia 72 tahun di California.

* Colin Tapley lahir di New Zealand pada 7 Mei 1907 dan turut membintangi "Samson And Delilah" yang diarahkan Cecil B.DeMille dan dibintangi Victor Mature dan Hedy Lamarr. Dia meninggal dunia pada 1 Disember 1995 ketika berusia 88 tahun.

* Ah Lee yang membintangi filem ini sebagai Lee turut berlakon dalam "The Devil Tiger" berperanan sebagai Ah Lee, pemandu arah.

* Jayne Regan tidak begitu menyelah dalam filem, tetapi pernah muncul berlakon bersama Peter Lorre dalam filem bercorak detetif "Thank You, Mr Moto" (1937) dan "Cleopatra" (1934) bersama Claudette Colbert yang diarahkan Cecil B. DeMille. Dia meninggal dunia di California pada 19 Mac 2000.

* Nama Ratna Asmara tidak tercatat dalam IMDb tetapi ada dalam blog Libero News Magazine, Suratna Asmaka. Ini mungkin tersalah eja yang sepatutnya Suratna Asmara yang dimaksudkan Ratna Asmara.

* "Booloo" masih ada dan merupakan antara lebih 700 filem Paramount Productions yang difilemkan (antara tahun 1929 dan 1949) yang dijual kepada MCA/Universal pada tahun 1958 untuk di edarkan kepada stesen-stesen televisyen.


# UPDATE AKAN DI LAKUKAN DARI MASA KE MASA.



Monday, August 8, 2011


FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-19


FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK TERAKHIR DISERTAI P.RAMLEE
Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop




P. Ramlee dan Rahayu Effendi.


Dua penyanyi terkenal, Bing Slamet dan Saloma.


Ratnoer Timoer bersama Latifah Omar dan Dayang Sofia.


Jins Shamsudin dan Emilia Contessa.


W.D. Mochtar dan Sharifah Hanim.


Dicky Dzulkarnean dan Sharifah Hanim.


Sharifah Hasnor dan Dy. Savey dari Cambodia.


Perwakilan Indonesia. Dari kiri: Idris Sardi, Mila Karmila, Sofia W.D. dan Widyawati.


Pelakon Samurai Skintaro (tengah) diapit oleh Rina Hashim dan Emilia Contessa.


Perwakilan Seoul dan Jakarta bergambar ramai bagi memeriahkan FFA19.


Kiri: Dicky Dzulkarnean dan Sharifah Hanim. Kanan: W.D. Mochtar dan Mariati Abdul Rahman.


Sarimah dengan pemenang anugerah dari Taipei, Judy Ongg.


Tina Chin Fei dari Hong Kong dengan anugerah yang dimenanginya.


Atas dan bawah: Sophan Sophiaan dan Widyawati bintang utama "Perkahwinan". Tengah: Wim Umboh, Lukman Hakim Nain (jurugambar) dan Koesno Soedjarwadi di lokasi filem "Perkahwinan".


SUNGGUHPUN menamakannya promotion of international understanding (penggalak persefahaman antarabangsa) namun bolehlah dianggap anugerah yang dimenangi oleh "Perkahwinan" (Jakarta) yang diarahkan oleh Wim Umboh sebagai filem terbaik.

Ini kerana kedudukannya paling atas dalam senarai pengumuman pemenang-pemenang FFA19 yang berakhir pada 18 Mei 1973.

Bukan itu saja diraih oleh "Perkahwinan" tetapi 2 lagi - Sophan Sophiaan kerana outstanding charactersation (karekter luarbiasa) dan Lukman Hakim Nain kerana color photography (fotografi berwarna).

Dalam Festival Filem Indonesia 1973, "Perkahwinan" mengondol 8 anugerah citra dan satu anugerah khusus - filem terbaik, pengarah (Wim Umboh), lakonlayar (Narto Erawan dan Wim Umboh), penyuntingan (Wim Umboh dan K.Uraoka), sinematografi (Lukman Hakim Nain), musik (Idris Sardi), suara (Parman Sidik), artistik (Gaby Mambo) dan peranan aktor kedua (Sophan Sophiaan).

"Perkahwinan" juga menerima anugerah tertinggi dari Kerajaan Taiwan kerana tema cerita yang menarik dan yang terbaik.

Ceritanya mengenai kisah cinta suci seorang pemuda Indonesia (Sophan Sophiaan) dengan seorang gadis dari Switzerland (Widyawati).

Wim Umboh menggambarkan kisah cinta mereka itu dengan begitu halus hingga boleh menguasai seluruh emosi penonton.

"Perkahwinan" dibintangi oleh Widyawati, Sophan Sophiaan, Koesno Soedjarwadi, Emelia Contessa, Dicky Dzulkarnean, Rahayu Effendi, Komalasari, Raden Mochtar dan Yan Bastian.

Penggambaran bukan saja dilakukan di Indonesia tetapi juga Switzerland, England, Holland, Germany dan Perancis.

Inilah pertama kali filem Indonesia dibuat penggambarannya di negara-negara Eropah, dan sayang sekali, puas saya mencari filem "Perkahwinan" di YouTube untuk dijadikan hiasan entri ini tetapi tidak ditemui. Mungkin tidak ada, agaknya.

P.RAMLEE & FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK___

P.Ramlee, sejak menang anugerah musik terbaik (Hang Tuah) di FFAP@1956 di Hong Kong, sering dibawa oleh Run Run Shaw dan Runme Shaw ke FFAP antaranya, Jepun (Tokyo@1957), Filipina (Manila@1958), Malaya (Kuala Lumpur@1959) dan Jepun (Tokyo@1963).

Kehadiran P.Ramlee di Singapura (Singapura@1973) merupakan FFAP yang terakhir disertainya kerana beberapa bulan kemudian, pada 29 Mei 1973, dia pergi menemui Tuhan yang Maha Esa.

Bersamanya sebagai mewakili Malaysia, Saloma, Sarimah, Sharifah Hanim, Mariati Abdul Rahman dan Jins Shamsudin.



Atas: Suasana di upacara penutup di Panggung Negara, Singapura. Bawah: M. Amin bagi pihak Cathay Keris Film menerima anugerah dari Turino Junaidi kerana kejayaan filem "Satu Titek Di Garisan."










Perwakilan Seoul. Dari kiri: Kim Jee-Mi, Ko Euan-Ah, Suh Mi-Kyung, Oh Soo-Mi, Ko Sang-Mi, Park Noon-Okk dan Juni Young.


Atas: Perwakilan Kuala Lumpur. Tengah: Perwakilan Jakarta. Bawah: Perwakilan Singapura.


Atas: Bing Slamet (kiri), Grace Simmon, Benjamin S. dan Emilia Contessa sedang menghiburkan para hadirin di malam upacara penutup. Bawah: Run Run Shaw dan Emilia Contessa dan perwakilan yang lain sedang menari di majlis makan malam anjuran Pertubuhan Cathay.


Atas: Osman Cassim (kiri), ketua perwakilan Kuala Lumpur, perwakilan Tokyo, Heah Hock Meng dari Pertubuhan Cathay dan Run Run Shaw sedang mengadakan persidangan akhbar. Bawah: Run Run Shaw bertanyakan khabar kepada Turino Junaidi dari Jakarta.


Atas: Malek Selamat sedang berbual mesra dengan Wim Umboh (kanan), dan turut mendengar Sulaiman Jeem (kiri). Bawah: Perwakilan dari Phnom Penh (Republik Khmer) dan ada antaranya pelakon filem "The Snake Man" yang mendapat sambutan hangat di Singapura dan Malaysia.


Farah Gladys dari Jakarta yang wajahnya seraut Elizabeth Taylor mendapat perhatian hinggakan fotonya diabadikan menjadi hiasan kulit Majallah Filem keluaran bulan Julai 1973.




(Sumber: ChopSockyCinema) The Blood Brothers


(Sumber: JustaEropeanGuy) The Blood Brothers


(Sumber: Zzinett) Panda No Daiboken






Atas dan bawah: Dua foto dari filem "The Generation Gap" yang dibintangi oleh David Chiang, Agnes Chan dan Ti Lung.


* FESTIVAL FILEM ASIA KE-19 (FFA19)
Di Singapura 14-18 Mei 1973
* Upacara pembukaan oleh Presiden Dr. B.H. Shearers
Di Dewan Persidangan (14 Mei)
* Upacara penutup oleh Menteri Kebudayaan Jek Yeun Thong
Di Panggung Negara (18 Mei)


Festival Filem Asia (kini Festival Filem Asia-Pasifik) Ke-19 ini merupakan kali kedua dianjurkan oleh Singapura. Kali pertama 16 tahun yang lalu, pada tahun 1955.

Seramai lebih 300 perwakilan termasuk aktor dan aktres popular dari 9 negara Asia menyertainya.

Singapura, aktor dan aktresnya Aziz Jaafar, Latifah Omar, Dayang Sofia, Malek Selamat, Aziz Sattar, M.Amin, Mat Sentol, Kuswadinata, Bat Latiff, Sharifah Hasnor.

Kuala Lumpur, aktor dan aktresnya P. Ramlee, Saloma, Sarimah, Jins Shamsudin, Sharifah Hanim, Mariati Abdul Rahman.

Jakarta, aktor dan aktresnya Ratnoer Timoer, Widyawati, Emilia Contessa, W.D. Mochtar, Bing Slamet, Grace Simmon, Benjamin S., Dicky Dzulkarnean, Rahayu Effendi, Mila Karmila, Sofia W.D., Paula Rumokoy, Baby Huwie, Ruth Pellupessy dan Fara Gladys serta pemusik handalannya, Idris Sardi.

Hong Kong, aktor dan aktresnya David Chiang, Agnes Chan, Lily Ho, Chan Koon Tai, Lung Kong, Tina Chin Fei, Ti Lung.

Seoul, aktor dan aktresnya Kim Jee Mi, Ko Eun Ah, Suh Mi Kyung, Oh Soo Mi, Koh Sang Mi, Pak Noon Okk, Juni Young.

Turut sama Chin Han, Judy Ongg (Taipei), Eiko Nakamura, Oukumura Toshio (Tokyo).

Kali ini Kuala Lumpur kurang bernasib baik. Sejumlah 5 filem yang dikemukakan hanya satu saja menerima anugerah - Kuala Lumpur City Of Celebration keluaran Filem Negara Malaysia.

Singapura menang 2 anugerah - Satu Titek Di Garisan (filem cerita) dan Via Singapore (filem dokumentari).

Filem Satu Titek Di Garisan keluaran Cathay Keris Film diarahkan oleh M.Amin dengan bintang-bintang utamanya Aziz Jaafar, Dayang Sofia, Kuswadinata, Sharifah Hasnor dan Bat Latiff.

NEGARA-NEGARA PESERTA___

1. Singapura
2. Hong Kong
3. Tokyo (Jepun)
4. Kuala Lumpur (Malaysia)
5. Jakarta (Indonesia)
6. Taipei (Republik China)
7. Bangkok (Thailand)
8. Seoul (Republik Korea)
9. Phnom Penh (Republik Khmer)

Manila (Filipina) yang menganggutai FPA tidak menghantar filem dan aktor dan aktresnya.

Negara-negara bukan ahli FPA turut diundang, Sydney (Australia), Rangoon (Myanmar), New Dehli (India), Ho Chin Minh (Vietnam) dan Colombo (Sri Lanka).


FILEM-FILEM BERTANDING___

* Taipei
Love Begins Here
The Young Ones
Kween Feng
September Song
Seven Chinese Festivals
Spectrum of Formosa
The Chinese Opera

* Singapura
Satu Titek Di Garisan
Via Singapore
Better Homes For Our People
Sabah Timber

* Seoul
When a Dream Comes True
A Story of Court Lady
The Gate of Woman
Everything for Love
This Korea
A Dream Green

* Tokyo
The Master Hand (Osho)
Le Rendezvous (Yokusoku)
Panda's Adventures (Panda No Daiboken)

* Hong Kong
The Generation Gap
The Call Girls
The Warlord
The 14 Amazons
The Blood Brothers

* Jakarta
Perkahwinan
Pemberang
Intan Berduri
Piang Kerok

* Phnom Penh
The Snake Man

* Bangkok
Killer in the Dark
Adulterer

* Kuala Lumpur
Laxmana Do Re Mi
Chengkaman Maut
Keselamatan Sosial
Alat-Alat Wayang Kulit
Kuala Lumpur City of Celebration


PEMENANG-PEMENANG ANUGERAH___

Merlion Large Award Of Honour For:/Merlion Besar Anugerah Penghormatan Untuk:

* Promotion of international understanding/penggalak persefahaman antarabangsa - Perkahwinan
* Promotion of human rights/penggalak hak asasi manusia -
Osho

* A story with outstanding fantasy/cerita fantasi luarbiasa - The Snake Man

* A touching love story/cerita percintaan yang menyentuh perasaan - Kween Feng

* A story of human relations/cerita hubungan manusia A Story of Court Lady

* Directing an interesting story relating to social problems/mengarah cerita yang menarik berhubung dengan masalah social - Lung Kang (The Call Girls)

* Directing outstanding humorous comedy/arahan komedi lucu luarbiasa - Li Han Shing (The Warlord)

* Outstanding direction/pengarahan luarbiasa - Byon Chang-Ho (The Gate of Woman)

* Dramatic tragedy/trajidi dramatik - Satu Titek Di Garisan

* Outstanding performance/prestasi luarbiasa - Lily Ho (The 14 Amazons)

* An inspiring performance/prestasi inspirasi - Judy Ongg (Love Begins Here)

* Outstanding performance/prestasi luarbiasa - Tina Chin Fei (The Call Girls)

* Outstanding performance/prestasi luarbiasa - Prim Praporn (Killer in the Dark)

* Outstanding performance/prestasi luarbiasa - David Chiang (The Generation Gap)

* Outstanding characterisation/karekter luarbiasa - Sophan Sophiaan (Perkahwinan)

* Outstanding performance/prestasi luarbiasa - Ti Lung (The Blood Brothers)

*Outstanding planning/perancangan luarbiasa - Chung Jin Woo (When a Dream Comes True)

* Color photography/fotografi berwarna - Lukman Hakim Nain (Perkahwinan)

* An outstanding artistic creation/penciptaan seni yang luarbiasa - Panda No Daibohken

* An inspiring musical production/inspirasi persembahan musik - Love Begins Here

* An unusual theme/tema yang luarbiasa - The Adulterer
Merlion Small Award Of Honour For:/Merlion Kecil Anugerah Penghormatan Untuk:

* A documentary film portraying Chinese tradition/filem dokumentari menggambarkan tradisi Cina - Seven Chinese Festivals

* A documntatry film of excellent planning/filem dokumentari perancangan terbaik - This Korea

* A documentary film of moral rearmament/filem dokumentari mempersenjatai semula moral - Spectrum of Formosa

* A documentary film of outstanding editing/filem dokumentari penyuntingan luarbiasa - A Green Dream

* A documentary film of historical presentation/filem dokumentari pembentangan sejarah - Kuala Lumpur City Celebration

* A documentary film of natural beauty/filem dokumentari keindahan semulajadi - Via Singapore

* A documentary film of outstanding photography/filem dokumentari fotografi luarbiasa - The Chinese Opera
Pewter Plates Award Of Honour For:/Plet Pewter Anugerah Penghormatan Untuk:

* A film with most witty dialogue/filem dengan dialog paling lucu - Pemberang

* A film with high artistic value/filem dengan nilai seni yang tinggi - Yakusoku

* A distinctive actor/aktor yang teristimewa - Ha Myong Yoon (Everything for Love)

* A distinctive actor/aktor yang teristimewa - Wei Su (September Song)

* A distinctive actress/aktres yang teristimewa - Chi Lan (The Young Ones)

* A distinctive actress/aktres yang teristimewa - Jung Hee Yoon (Story of Court Lady)


PERUBAHAN SISTEM PENJURIAN___

Pada FFA yang lalu, anugerah-anugerah diberikan kepada filem terbaik, pengarah terbaik, aktor terbaik, aktres terbaik dan macam-macam terbaik lagi. Tetapi dalam FFA19, sistem yang serupa tidak dikekalkan.

Langkah tersebut dilakukan kerana kesemua produser filem Asia bersetuju untuk mengurangkan persaingan antara negara-negara yang mengambil bahagian.

Jika ditinjau dari segi fikiran yang terbuka, sistem tersebut lebih baik dibandingkan cara penjurian yang lama kerana kesemua filem yang dicalonkan telah dianggap sebagai filem-filem yang sememangnya terbaik.


APA KATA MENTERI KEBUDAYAAN JEK YEUN THONG___

Speaking at the ceremony, Culture Minister Mr. Jek Yeun Thong called for countries in the region to develop a viable film industry to project their national identity and culture heritage.

The industry should not aim merely at making box-office profit, he said. Mr Jek said that the festival hosted by Singapore for the second time (the first in 1955), has demonstrated vividly that this part of the world was rich in cultural resources, which has yet to be fully utilised. The festival had also kept a continuing spirit of dialogue between the various nations in the region.

"It is a step a right direction for every country in this region to develop film industry, aimed not merely at making box-office, profits but also at responsible projection of its national identity and cultural heritage." Mr. Jek noted that with the film industry having become a powerful means of mass communication, film producers and distributors has a social responsibility.

Film must not only be entertaining but education and concentration place on the more worthy aspects on human endeavour. He said that with the great strides in the technique and expertise, proper direction and emphasis, film industries in all countries in the region could contribute to the economy and art. In the process, they could also open up further areas of possibilities for using human resources and talents.

(Terjemahan: Bercakap pada majlis, Menteri Kebudayaan Encik Jek Yeun Thong menyeru negara-negara di rantau ini supaya membangunkan industri filem yang berdaya maju untuk mengemukakan identiti kebangsaan dan warisan budaya.

Industri tidak seharusnya bertujuan semata-mata membuat keuntungan box-office, katanya. Encik Jek berkata, bahawa festival tersebut dianjurkan oleh Singapura untuk kali kedua (yang pertama pada tahun 1955), telah menunjukkan dengan jelas bahawa ini sebahagian daripada dunia yang kaya dengan sumber-sumber kebudayaan, yang masih belum digunakan sepenuhnya. Festival ini juga meneruskan semangat berdialog antara pelbagai negara-negara di rantau ini.

"Ia adalah satu langkah ke suatu arah yang betul untuk setiap negara membangunkan industri filem, yang bertujuan bukan semata-mata untuk mendapatkan box-office, keuntungan tetapi juga pada unjuran bertanggungjawab identiti kebangsaan dan warisan budaya." Encik Jek menyatakan, dengan industri filem yang menjadi satu cara yang berpengaruh kuat dalam komunikasi massa, pengeluar dan pengedar filem mempunyai tanggungjawab sosial.

Filem bukan saja perlu menghiburkan, tetapi tempat pendidikan dan penumpuan pada aspek-aspek yang lebih layak pada usaha manusia. Beliau berkata dengan langkah yang besar dalam teknik dan kepakaran, arahan yang betul dan penekanan, industri filem di semua negara di rantau ini boleh menyumbang kepada ekonomi dan seni. Dalam proses itu, mereka juga boleh membuka kawasan lebih luas berkemungkinan untuk menggunakan sumber manusia dan bakat.



FAKTA___

* FFA19 merupakan yang terakhir dihadiri oleh P. Ramlee. Festival filem ini berakhir pada 18 Mei 1973 dan P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

* Perkahwinan mendapat kejayaan besar di festival filem ini. Anehnya, kali ketiga Singapura menjadi tuanrumah pada tahun 1979 sempena Jubli Perak (25 tahun) FFA, Jakarta juga menang anugerah utama, Pengemis dan Tukang Becak, dan pengarahnya juga Wim Umboh dengan bintang utamanya Christine Hakim.

* Antara 6 aktor dan aktres Kuala Lumpur, 3 (kini) telah meninggal dunia - P. Ramlee, Saloma dan Sharifah Hanim.

* Satu Titek Di Garisan merupakan anugerah ketujuh dimenangi oleh Cathay Keris Film selepas Mega Mendong, Satay, Mahsuri, Che Mamat Parang Tumpol, Dang Anom dan Bayangan Di Waktu Fajar.

* Satu Titek Di Garisan merupakan filem pertama yang diarahkan oleh M.Amin memenangi anugerah di FFA.

* Sepatutnya FFA20 (1974) berlangsung di Bangkok (Thailand), tetapi berubah ke Taipei (Taiwan). Bangkok kemudian menjadi tuanrumah FFA23 pada tahun 1977.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-6
tokyo menangi lapan anugerah


FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-24
manila menangi anugerah filem terbaik


FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-25
taipei menangi lapan anugerah


AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

NOSTALGIA FILEM MELAYU KLASIK
maklumatnya tepat atau mengelirukan

ROH MEMBELA (1955)
kekuatannya special effect dan aziz sattar

CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

THE LONG HOUSE (1957)
kalau pun ada, kita tidak dapat menontonnya


PONTIANAK (1957)
mencapai kejayaan box office luar jangkaan



Tuesday, August 2, 2011


ZAITON

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto Dari Pelbagai Sumber





Di Edit Di Semak & Di Susun: ZAINI YUSOP





BIODATA___
Nama sebenar ZAITON BINTI ABDUL HAMID
Tarikh lahir 2 APRIL 1937
Tempat lahir CHANGI ROAD, SINGAPURA






BERMULA DARI "ABU HASSAN PENCHURI"___

Zaiton memulakan kerjaya filemnya secara kebetulan. Kejadian berlaku pada tahun 1955 semasa studio MFP Jalan Ampas sedang memilemkan filem 1001 Malam "Abu Hassan Penchuri."

Ketika itu Zaiton datang bersama ibunya, kerana kejelitaan dan keayuannya membuat pihak pengurusan tertarik dan telah mencadangkan supaya dia menjalankan ujian skrin (screen test).

Zaiton lulus ujian skrin, dengan itu dia telah diberi peranan sebagai dayang kepada Mariam yang berperanan sebagai Tengku Faridah dan P. RAMLEE sebagai heronya, Abu Hassan.

Di waktu yang sama, S. Ramanathan yang tertarik dengan Zaiton telah memberikannya peranan sedikit berat dalam filem "Kipas Hikmat" yang dibintangi oleh Yusof Latiff dan Mariam.

Bagaimanapun, dia hanya muncul di awal dan di penghujung filem saja kerana filem tersebut dibuat dalam bentuk flashback (sorotbalik).

Sungguhpun Zaiton bermula dengan "Abu Hassan Penchuri" tetapi "Kipas Hikmat" mendahului tayangan pada 26 Februari 1955 berbanding "Abu Hassan Penchuri" pada 2 Mei 1955.

Dalam tahun 1955 itu juga, tercatat dalam riwayat hidup Zaiton apabila buat pertama kalinya diserahkan berperanan sebagai heroine kepada Yusof Latiff dalam "Jubah Hitam" bercorak 1001 Malam yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

Bertolak dari situlah, Zaiton tidak menoleh ke belakang apabila diserahkan peranan demi peranan (kebanyakannya sebagai heroine) berherokan P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Yusof Latiff, Jins Shamsudin dan Aziz Jaafar.

Selepas "Jubah Hitam," Zaiton digabungkan dengan bintang-bintang filem handalan studio MFP dalam filem epik berwarnawarni "Hang Tuah".

Peranannya sebagai Tun Tijah dan turut membintangi filem tersebut P. Ramlee, Sa'adiah, Ahmad Mahmud, S. Kadarisman, Noordin Ahmad, Yusof Latiff, Mariani, Aziz Sattar, Mustapha Maarof dan ramai lagi.

Sebelum melangkah masuk ke tahun 1960an, Zaiton telah membintangi 11 filem yang boleh dikatakan kesemuanya mendapat sambutan baik dan memuaskan.

1. Kipas Hikmat (S. Ramanathan 1955)
2. Abu Hassan Penchuri (B.N. Rau 1955)
3. Jubah Hitam (S. Ramanathan 1955)
4. Hang Tuah (Phani Majumdar 1956)
5. Anak-Ku Sazali (Phani Majumdar 1956)
6. Bujang Lapok (P. Ramlee 1957)
7. Taufan (T.C. Santos 1957)
8. Sri Menanti (Phani Majumdar 1958)
9. Doctor (Phani Majumdar 1958)
10. Batu Belah Batu Bertangkup (Jamil Sulong 1959)
11. Samseng (Ramon A. Estella 1959)


Di antara 11 filem, 4 di bawah arahan Phani Majumdar dan 2 diarahkan oleh pengarah Filipina - T.C. Santos dan Ramon A. Estella.

Sungguhpun orangnya lemah lembut, bersopan dan pemalu, namun Zaiton boleh juga berkomidi, berperanan jahat dan bergaya seksi.

Berkomidi diperlihatkannya dalam "Bujang Lapok" - baik, tidak kekok dan tidak kaku. Penonton boleh ketawa. Begitu juga "Siapa Besar?" dan "Aksi Kuching".

Berperanan jahat telah di bawanya dengan sempurna dalam "Putera Sangkar Maut" dan "Budi Dan Dosa". Penonton benci dan marah kepadanya.

Bergaya seksi pula, apabila dia berkemban dalam "Lela Manja" dan berseluar ketat dalam "Aksi Kuching". Penonton begitu terpesona dengan gelagatnya.

Ini memperlihatkan kemampuan Zaiton membawa apa saja peranan yang diberikan, tidak terhad kepada satu-satu karekter saja.

Sepanjang tahun 1960an Zaiton membintangi 16 filem.

12. Lela Manja (Jamil Sulong 1960)
13. Putera Sangkar Maut (Dhiresh Ghosh 1960)
14. Pertarongan (Omar Rojik 1960)
15. Ali Baba Bujang Lapok (P. Ramlee 1960)
16. Seniman Bujang Lapok (P. Ramlee 1961)
17. Si Tanggang (Jamil Sulong 1961)
18. Ibu Mertua Ku (P. Ramlee 1962)
19. Gerhana (Jamil Sulong 1962)
20. Korban (Dhiresh Ghosh 1963)
21. Budi Dan Dosa (Jamil Sulong 1963)
22. Siapa Besar? (Omar Rojik 1964)
23. Taqdir (Omar Rojik 1965)
24. Kacha Permata (Jamil Sulong 1966)
25. Aksi Kuching (Omar Rojik 1966)
26. Lampong Karam (S. Kadarisman 1967)
27. Raja Bersiong (Jamil Sulong 1967)


Filem "Ali Baba Bujang Lapok" dan "Seniman Bujang Lapok", peranannya hanya sebagai bintang undangan.

Zaiton sangat suka melihat lakonannya dalam filem "Anak-Ku Sazali," tetapi tidak suka dengan karekternya dalam "Putera Sangkar Maut".

Zaiton sendiri begitu terharu sampaikan menitis airmata ketika menyaksikan peranannya sebagai Mahani (isteri Hassan yang dipegang oleh P. Ramlee) dalam "Anak-Ku Sazali."

Mahani meninggal dunia sebaik saja melahirkan anaknya, Sazali.

Zaiton jijik menonton lakonannya dalam "Putera Sangkar Maut" kerana peranannya sebagai isteri Datuk Menteri (Shariff Dol) yang curang dan bersubahat dengan Jins Shamsudin yang berhasrat untuk menjatuhkan Aziz Jaafar yang berperanan sebagai Sultan.

Kata Zaiton, peranan tersebut sangat bertentangan dengan jiwa dan karekter semulajadinya. Tetapi apa boleh buat kerana perananya sudah ditetapkan begitu.

Ada beberapa perkara menarik mengenai Zaiton dan filem-filemnya.

* Hang Tuah menang muzik terbaik (P. Ramlee) di Hong Kong 1956.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon lelaki terbaik (P. Ramlee) di Tokyo 1957.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon kanak-kanak terbaik (Tony) di Tokyo 1957.
* Taufan satu-satunya filem diarahkan oleh T.C. Santos di Malaysia.
* Sri Menanti berherokan pelakon Hong Kong - Chan Chong.
* Batu Belah Batu Bertangkup filem pertama diarahkan oleh Jamil Sulong.
* Lela Manja menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Tokyo 1960.
* Ibu Mertua Ku menang bakat serba boleh (P. Ramlee) di Tokyo 1963.
* Ibu Mertua Ku menang sinematografi terbaik (A. Bakar Ali) di Tokyo 1963.
* Korban filem terakhir diarahkan oleh Dhiresh Ghosh di Malay Film Productions.
* Gerhana menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Taipei 1964.
* Ibu Mertua Ku menang anugerah khas (special mention) di Paris 1965.
* Raja Bersiong filem terakhir dikeluarkan oleh Malay Film Productions.

Sepanjang penglibatannya dalam filem di studio MFP, Zaiton tidak sebagai pekerja tetap. Pembayaran mengikut kontrak satu filem. Begitu pun juga, dia tidak pernah mengambil kesempatan berlakon di Cathay Keris Film atau pun Merdeka Studio.

Sebenarnya, hal-hal peribadi Zaiton ini tersingkap terlalu sedikit. Saya pernah berbual-bual dengannya beberapa kali dan terakhir di Festival Filem Malaysia Ke-22 (bulan Ogos 2009) di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, tidak terlintas langsung saya mahu bertanyakannya dengan lebih mendalam terutama mengenai sepanjang perjalanan hidupnya.

Bila terwujudnya idea menulis pasal Zaiton di blog ini, baru saya menyesal dan menyoal diri sendiri, "Kenapa saya tidak menemuramahnya habis-habisan pada masa itu."


MARI KITA MENONTON TIGA FILEM ZAITON



"BATU BELAH BATU BERTANGKUP" (Sumber: LimaJiwas)


"AKSI KUCHING" (Sumber: FilemKlasik Melayu)


"LELA MANJA" (Sumber: LimaJiwas)




Atas: Zaiton bersama perwakilan negara-negara lain ketika menyertai Pacific Festival San Francisco di Amerika Syarikat pada tahun 1959. Bawah: Zaiton berada di Hollywood ketika menghadiri festival yang sama pada tahun 1958.



ZAITON DI PACIFIC FESTIVAL SAN FRANCISCO ___

Zaiton berupakan pelakon beruntung di studio MFP kerana 2 kali dipilih mewakili Malaysia (ketika itu Malaya) menyertai Pacific Festival San Francisco di Amerika Syarikat bagi memperkenalkan pakaian tradisional yang turut disertai perwakilan dari Filipina, Thailand, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.

Selain Zaiton, pelakon-pelakon MFP lain beruntung di hantar ke luar negara, Sa'adiah ke Eropah, Hashimah Yon dan Normadiah ke Congo.

Kali pertama Zaiton ke Amerika Syarikat, pada bulan September 1958 di mana dia berjaya menarik minat masyarakat Amerika Syarikat dengan memperagakan lapan pasang pakaian (antaranya kebaya dan sarong) yang di bawanya.

Turut bersama Zaiton memperagakan pakaian negara masing-masing 5 pelakon terkenal - Filipina (Susan Roces), Hong Kong (Ting Ming), Taiwan (Julie Wu), Jepun (Mitsuyo Hosaka) dan Thailand (Kokeo Nachiengmei).

Kali kedua, pada bulan September 1959 juga memperagakan pakaian tradisional Malaysia. Bagaimanapun, lebih beruntung apabila dia menerima kunci Bandar San Francisco dari Datuk Bandar San Francisco, George Christopher.

Selain Amerika Syarikat, Zaiton juga pernah berkunjung ke Hong Kong, Jepun, Filipina, Hawaii, Indonesia dan Burma (Myanmar).

Agak menarik, semasa Zaiton masih di San Francisco pengarah Jamil Sulong sudah pun menetapkan peranan Lela Sari (filem "Lela Manja") untuknya bergabung dengan Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan Jins Shamsudin.

Balik saja, Zaiton terus menandatangani kontrak.



Bersama P. Ramlee dalam "Anak-Ku Sazali"


Bersama Aziz Jaafar dalam "Pertarongan"


Bersama Ahmad Mahmud dalam "Taufan"


Bersama Jins Shamsudin dalam "Budi Dan Dosa"


HERO-HERONYA,
DARI KACAMATA ZAITON 50 TAHUN YANG LALU___


P. RAMLEE.....

"Aton selalu panggil P. Ramlee, abang Ramlee. Aton tak banyak berlakon dengan dia, cuma 5 saja, Abu Hassan Penchuri, Hang Tuah, Anak-Ku Sazali, Bujang Lapok dan baru selesai Ali Baba Bujang Lapok.

"Dalam satu shooting, Aton ingat sudah betullah, tapi tiba-tiba suara abang Ramlee mengusik, "Oi! nak pergi kabaret ke? Apa pula orang dalam kecemasan berjalan macam itu?

"Usikan abang Ramlee diikuti pula oleh ketawa para pekerja dan juga pengarah filem itu hinggakan Aton merasa malu, tapi kejadian itu tidak berpanjangan, abang Ramlee datang menunjukkan pada Aton bagaimana cara yang betul, dan Aton pun tidak berkecil hati, kerana usikannya itu Aton dapat memperbaiki lakonan Aton.

Ditanya mengenai P. Ramlee yang suka bercerita dan berbual.

"Pasal berbual-bual ni, abang Ramleelah nombor satu, tapi bualannya semua tak ada yang sia-sia dan kosong. Kesemuanya berisi belaka. Kalau dia bercerita, lain tak ada misti pasal filem, macam mana karekter orang itu, macam mana karekter orang ini.

"Apa yang Aton cakap ni, tentang abang Ramlee sebagai seniman bukan sebagai pengarah, kalau sebagai pengarah itu sudah lain pula ya!"

AHMAD MAHMUD.....

Ahmad Mahmud pun bagus orangnya, Aton berlakon dengannya 2 filem saja, Taufan dan Lela Manja. Jadi Aton tidak begitu faham sangat dengan perangai-perangai Ahmad Mahmud ni.

"Yang Aton tahu, Ahmah Mahmud seorang seniman yang peramah, cergas dan kuat bekerja. Semasa shooting dia sama seperti abang Ramlee, dia serius dan tak suka bergurau.

"Bila sudah shooting barulah dia mahu bergurau dan bercerita dengan Aton, dan kita memang paling suka sekali bila Ahmad Mahmud bercerita sebab segala tangan, kaki, kepala dan mukanya bergerak mengikut gaya watak yang diceritakannya itu, lebih-lebih lagi kalau dia bercerita itu dengan meniru cakap orang putih.

"Sesiapa juga yang ada disitu misti ketawa melihat gelagatnya kerana apa yang dia cakap tu dia sendiri pun tak tau dan Aton yang mendengar lagi tak mengerti, jadi macam mana kita tak ketawa. Kan seronok, ya!

"Semasa shooting, kalau Ahmad Mahmud ada bersama kita akan terhibur dan senang hati, ada masanya pula dia buat bercakap loghat kampungnya Rembau, tak tahan hati Aton di buatnya, macam dicolek-colek."

JINS SHAMSUDIN.....

"Aton berlakon dengan Jins Shamsudin 4 filem saja, Samseng, Lela Manja, Putera Sangkar Maut dan sekarang dalam filem Pertarongan.

"Kalau sekali pandang, Aton tentu menyangka Jins Shamsudin seorang seniman yang pembengis dan garang, tapi yang sebetulnya dia tidak begitu, dia peramah orangnya, baik budi bahasa dan pandai menyesuaikan diri.

"Sebagaimana dengan abang Ramlee dan Ahmad Mahmud, Jins Shamsudin juga begitu. Dia sangat mengambil berat tentang senilakon. Setiap masa dia berusaha memperbaiki lakonan-lakonannya.

"Sebab itulah, Aton selalu melihat Jins Shamsudin membawa perubahan dalam tiap-tiap filem yang dia berlakon. Di samping itu pula, dia rajin belajar tentang cara-cara berlakon dan suka menerima ajaran dari kawan-kawan yang lebih berpengalaman daripadanya.

"Jins Shamsudin juga suka berbual-bual dan bergurau, tapi bila masa lapangan dan tidak ada shooting. Cuma bezanya, dia tidak sepandai abang Ramlee dan Ahmad Mahmud bila bercerita dan berbual-bual. Dalam hal-hal mengenai lakonan, Jins Shamsudin tidak ketinggalan dari mereka."

AZIZ JAAFAR.....

"Aziz Jaafar pun sama juga lebih kurang dengan mereka bertiga, cuma dia agak pendiam sedikit orangnya dan tidak suka bergurau-gurau dan mengusik-gusik Aton. Sebetulnya dia bukan sombong, itu sudah resmi dia begitu barangkali.

"Tapi kalau sudah lama Aton bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya, Aton akan merasa senang sekali kerana dia paling suka ketawa.

"Selalu Aton perhatikan, kalau dia bercakap misti di selangseli dengan ketawanya yang membuat Aton terhibur. Selain ketawa Aziz Jaafar juga suka menyanyi.

"Jikalau kita kesunyian di masa shooting, dialah nanti akan melenyapkan kesunyian Aton dengan nyanyian lagu-lagu Melayu, Inggeris dan Hindustan. Suaranya pun lemak merdu.

"Semasa berlakon Aziz Jaafar seperti hero-hero lain, dia cergas, serius, patuh dan menurut apa saja yang disuruh buat oleh pengarah. Pengarah-pengarah di MFP sangat gembira melihat lakonannya dalam filem-filem arahan mereka.

"Aziz Jaafar juga pandai bermain alat-alat musik. Kalau abang Ramlee boleh bermain piano, biola dan gitar, dia juga boleh bermain saxaphone.

"Aton berlakon dengan Aziz Jaafar dalam Doctor, Samseng, Batu Belah Batu Bertangkup, Lela Manja, Putera Sangkar Maut dan sekarang Aton sedang berlakon bersamanya dalam filem Pertarongan.

* Hero pertama Zaiton, Yusof Latiff dalam filem "Jubah Hitam". Tetapi semasa di temubual, nama Yusof Latiff tidak disentuh langsung kerana pada masa itu dia berlakon di Cathay Keris Film.

* Artikel temubual oleh H.M. Rohaizad dengan Zaiton yang disiarkan dalam Majallah Filem pada bulan November 1960 ini, disunting semula oleh Mustafar A.R. mengikut ejaan terkini (kecuali tajuk filem) dan keadaan semasa.




Masing-masing bergembira menerima anugerah bintang legenda. Dari kiri: Tony Castillo, Latifah Omar, Aziz Sattar, Kassim Masdor, Momo dan Zaiton




ZAITON MENERIMA ANUGERAH BINTANG LEGENDA___

Pada pertengahan tahun 2009 saya menerima telefon dari M. Daud (Presiden Papita) memberitahu, sempena Festival Filem Malaysia Ke-22 (pada 5-8 Ogos 2009) akan dianjurkan satu majlis sampingan, Anugerah Bintang Legenda.

Saya kata, baguslah. Kemudian dia meminta saya menganggutai AJK pemilihan (panel juri). Saya bersetuju.

Tidak lama kemudian, satu pertemuan diadakan di Finas yang turut di hadiri oleh Iliyas Ibrahim, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, yang kemudian dilantik sebagai Pengerusi.

Selain saya dan M. Daud sebagai Setiausaha, turut menganggutai AJK pemilihan, Deddy M. Borhan, Zulkifli Wahab, Zain Haji Hamzah, Aimi Jarr, Adam Salleh dan Akmal Abdullah.



CITATION ZAITON

"Raut wajahnya begitu lembut dan sayu. Kerana itu dia sering diberi peranan heroine - membawa karekter baik. Ini diperlihatkannya dalam "Jubah Hitam", "Hang Tuah", "Sri Menanti", "Doctor" dan banyak lagi. Namun begitu, kebolehannya membawa karekter jahat tidak terkecuali. Filem "Putera Sangkar Maut" dan "Budi Dan Dosa" adalah sebagai bukti. Penonton marah apabila dia menganyanyai Sa'adiah dalam "Putera Sangkat Maut" dan Hashimah Yon dalam "Budi Dan Dosa". Bagaimana dengan komedi? Pun dia berkemampuan. Ini dapat dilihat apabila peranan Aton telah dibawanya dengan baik dalam "Bujang Lapok" yang diarahkan oleh P. Ramlee. Dia boleh mentertawakan penonton. Begitu juga dengan "Siapa Besar?" dan "Aksi Kuching". Sejak filem pertamanya "Kipas Hikmat" pada tahun 1955, dia boleh dikatakan menjadi pujaan kepada peminat-peminat filem Melayu dan sering berlakon bersama P. Ramlee, Yusof Latiff, Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan Jins Shamsudin. Dari segi personaliti, dia telah menunjukkan kesopanan sebagai bintang filem sejati. Sejak penceburannya dalam filem hingga tertutupnya studio MFP Jalan Ampas pada tahun 1967 dengan filem terakirnya "Raja Bersiong" tiada kontroversi yang ditimbulkannya. Ciri-ciri itulah yang membuatkan ramai yang menghormatinya sampailah sekarang. Justeru itu, Panel Juri Anugerah Bintang Legenda telah memilihnya sebagai penerima Anugerah Bintang Legenda Untuk Kategori Anugerah Khas Juri. Dia ialah..... ZAITON."

* Citation ini dibaca di Majlis Malam Anugerah Bintang Legenda sempena Festival Filem Malaysia Ke-22 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Ogos 2009. Penulis citation: Mustafar A.R.



Banyak nama calon pelakon veteran di kemukakan, setelah berbahas sekian lama hanya 5 saja di pilih menerima penghormatan dari Kerajaan Negeri Sabah. Mereka Aziz Sattar, Latiffah Omar, Tony Castillo, Kassim Masdor dan Zaiton.

Sebenarnya, Zaiton terpaksa bersaing dengan Latiffah Omar dalam merebut anugerah kategori pelakon wanita.

Bagaimanapun, panel juri terpaksa akur dengan kekuatan Latiffah Omar kerana dia melebihi Zaiton baik dari segi sumbangannya kepada dunia filem Malaysia mahu pun jumlah filem yang dibintanginya.

Zaiton, juga ada kelebihannya. Justeru itu, AJK pemilihan terpaksa mengwujudkan anugerah khas juri yang membolehkannya menerima trofi dan wang tunai RM5,000.





(Sumber: YahyaHamid)


(Sumber: Dwniss)


(Sumber: Abangku2000)


(Sumber: DesyDizzy)


(Sumber: FilemKlasik)

Zaiton bersama suami pertamanya (Abdullah Hussain) serta dua anak lelaki mereka, Tun Zainal dan Tun Sri Lanang.

Zaiton bersama tiga anak perempuannya dengan suaminya yang kedua. Dari kiri: Sharifah Aishah, Sharifah Noorhayati dan Sharifah Khairoon Nisa.

ISTERI SASTERAWAN NEGARA_____

* Mungkin ramai yang tidak tahu, Zaiton pernah menjadi isteri Sasterawan Negara dan novelis terkenal, Abdullah Hussain (juga penulis buku P. Ramlee, Gagak Di Rimba), dan tidak berapa lama dulu hebuh pasal novelnya, Interlok.

* Perceraiannya dengan Abdullah Hussain disebabkan Zaiton terlalu sebuk berlakon filem sehingga tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada suami dan anak-anak.

* Dengan Abdullah Hussain, Zaiton mempunyai dua anak lelaki - Tun Zainal dan Tun Sri Lanang.

* Kini Zaiton menetap tinggal di Singapura dan hidup bahagia disamping suaminya yang ada sekarang seorang ahli perniagaan yang tidak berminat langsung dalam bidang seni, Sheikh Abdullah.

* Bersamanya Zaiton mempunyai tiga anak perempuan, Sharifah Aishah, Sharifah Noorhayati dan Sharifah Khairon Nisa.

* Mustafar A.R., pernah bertugas sebagai pembantu pengarang kepada Abdullah Hussain semasa bertugas dengan Franklin Book Programes dari 1968 hingga 1970.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.