"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Tuesday, May 10, 2011


AIMI JARR (1939-2011)

DAEI KACANATA MUSTAFAR A.R.

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



(25 JULAI 1939 - 10 MEI 2011)



OLEH MUSTAFAR A.R.






Bersama isterinya, Noriah Ishak

Bangga menunjukkan dua buku karangannya - P. Ramlee Dari Kacamata Aimi Jarr dan P. Ramlee Legenda Yang Terus Hidup

Bersama Ida Nerina ketika menyampaikan anugerah di FFM10

Bergambar ramai bersama Rahim Thamby Chik (ketika itu Ketua Menteri Melaka) selepas berbincang untuk mengadakan FFM7 di Melaka. Dari kiri: Mustafar A.R., Aimi Jarr, A. Rahman Hassan, Norshah Thamby, Abdul Samad Idris, Jins Shamsudin, Zain Haji Hamzah dan Mustapha Maarof

Bergambar ramai sebelum Mesyuarat Agung GAFIM pada 15 Mac 1992. Dari kiri (depan): A. Rahman Hassan, Norshah Thamby, Jins Shamsudin, Aimi Jarr dan Baharuddin Haji Omar. Dari kanan (belakang): Aziz Sattar, Ahmad Fauzee, Fariza Saidin, Mustapha Maarof dan Mustafar A.R.

Pertemuan tidak disangka-sangka di Lapanganterbang Heathrow, London untuk pulang ke Malaysia, suatu ketika dulu. Dari kanan: Mustaffa Haji Ton dan Aimi Jarr bersama datang ke England dan saya berseorangan diri.


BIODATA___
Nama Sebenar OMAR PUTIH
Lahir 25 JULAI 1939
Di KAMPUNG PETANI, KUALA TERENGGANU, TERENGGANU
Meninggal Dunia 10 MEI 2011
Di TAMAN MELAWATI, KUALA LUMPUR
Isteri NORIAH ISHAK
Anak NORIMY JARR, NORLISDA JARR & ROMY JARR



KISAH PUN BERMULA...

NAMA Aimi Jarr mula terpahat dalam otak saya pada tahun 1961 apabila berita tersebar mengenai dia ditampar oleh Hussain Haniff kerana mengkritik filem arahannya ("Dang Anom") dengan menyatakan (dalam majalah Gelanggang Filem), percubaan Hussain Haniff membentuk lakonan Fatimah Ahmad dengan memegang peranan berat sebagai gagal.

Sejak itulah nama Aimi Jarr saya kenali dan tidak pernah saya jangkakan, suatu hari nanti saya akan berkerja sebumbung dengannya (di Utusan Melayu) dan bersahabat baik menjalankan tugas sebagai wartawan dan aktif berpersatuan walaupun ada masa-masanya saya berselisih faham dengannya kerana ada sifat-sifat dia yang saya kurang senangi.

Satu perkara saya puji Aimi Jarr ini, dia tidak pernah ambil hati tentang sikap saya yang boleh dianggap aggresif dan selalu menentangnya dan kerana saya selalu bertindak demikian, dia nampaknya sangat menghormati saya.

Entah kenapa, ramai sangat yang tidak menyukainya. Apabila disebut saja nama Aimi Jarr, masing-masing mencebek. Kadang-kadang terfikir oleh saya, "Pasal apa?" Hanya mereka yang rapat dan selalu mendampinginya tahu apa sebenar perangainya yang mereka tidak suka.

Sepanjang bertugas dengannya di Utusan Melayu (sejak tahun 1970), ramai dikalangan artis menelefon saya mengadu berbagai hal tentang Aimi Jarr.

Di antara banyak itu, dua yang saya masih ingat dari pelakon dan dramatis Fauziah Nawi dan penyanyi Salimah. Bukan pasal ngorat-mengorat, tetapi lebih kepada... ah, malah nak cakap.

Aimi Jarr ini, dia acuh tidak acuh orangnya, dan sering mengambil mudah saja terhadap tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Saya pernah bertengkar dengannya apabila tugas sebagai penulis skrip acara hiburan di Stadium Negara, Kuala Lumpur sempena Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) tidak dilaksanakannya.

Sifat buruknya ini diakui sendiri oleh Norshah Thamby (dia adalah antara pengasas FFM dan pernah menjadi Presiden EJA).

Katanya, Aimi Jarr suka buat kerja bertangguh-tangguh dan kadangkala tidak dibuatnya langsung.

Ini disahkan lagi, apabila Saloma meminta Aimi Jarr bekerjasama menulis buku yang sudah pun bertajuk "Hidup Saya Bersama P. Ramlee".

Tetapi Aimi Jarr sering bertangguh-tangguh sehinggakan Saloma bersuara, bilakah dia dapat meluangkan masa menulis buku tersebut.

Jawab Aimi Jarr, "tunggulah sikit hari lagi."

"Nak tunggu sampai bila, sampai I dah mampus. Sekarang ni you dah sombonglah Aimi," kata Saloma dengan nada marah dan kecewa.

Akhirnya, buku itu gagal ditulis apatah lagi diterbitkan. Kisahnya (kalau ada bukunya boleh juga mengisi khazanah seni negara) berkubur bersama Saloma.

Saya pernah di singkirkan oleh AJK EJA kerana berbalah dengan Aimi Jarr setelah selesai Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1).

Sebabnya, saya membantah kerana belum apa-apa lagi, dia sudah mendapat habuan kewangan lebih dulu sedangkan mereka yang berkerja mati-matian belum menerima lagi.

Ini kerana Mustaffa Haji Ton (Bendahari FFM1) merupakan teman baik dia.

Bagaimanapun, saya dibawa semula ke AJK FFM2 dengan tugas yang lebih berat sebagai Setiausaha menggantikan Omar Manan. Sebelum itu (FFM1) saya hanya berjawatan Pegawai Penerangan.

Pengambilalihan tugas mengelolakan UFF dari tangan saya kembali semula ke tangan Aimi Jarr, ada kena mengena dengannya apabila dia memprovokasi Khalid Jafri yang pada masa itu baru pulang dari menjalankan tugasnya sebagai wakil Utusan Melayu di Kota London.

Mungkin Zainuddin Maidin (Zam) lebih tahu tentang perkara ini kerana dia merupakan wartawan kanan di Utusan Melayu yang pada masa itu Mazlan Noordin jadi ketua pengarang.

Apabila mahu menerbitkan akhbar Harian Nasional menyaingi Utusan Malaysia, Khalid Jafri mempelawa Aimi Jarr, Bahyah Mahmood dan saya untuk turut serta.

Aimi Jarr dan Bahyah Mahmood pergi, tetapi saya tidak, terus kekal di Jalan Chan Sow Lin sampai bersara pada 1998.

Akhbar tersebut menghadapi masalah, dan tutup. Bahyah Mahmood kembali ke Utusan Malaysia tetapi Aimi Jarr mengelolakan majalah hiburan PESTA bersama Fauziah Rauf, Omar Manan dan Kamal Amir, dan beberapa majalah lain sebelum ke Finas, kemudian Skop Productions bertuankan Yusof Haslam.

Dalam hal jawatan persatuan, Aimi Jarr begitu berhasrat mengambilalih Presiden Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) dari Norshah Thamby, apabila sudah diperolehinya persatuan tidak bergerak akhirnya terpaksa dibubarkan.

Ketika mengedalikan FFM10, Ogy Ahmad Daud ada menelefon saya yang dia ada buat temujanji dengan Ghafar Baba (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) bagi mendapatkan bantuan untuk FFM10 dan meminta saya ikut sama.

Saya kata kepada Ogy, yang baik pergi Aimi Jarr sebab dia Presiden GAFIM dan Pengerusi FFM10 bukannya saya. Ogy mendesak, tetapi saya terus menolak.

Di situ saya merasakan Ogy tidak senang dengan Aimi Jarr padahal, dia merupakan kawan baik ayahnya, Ahmad Daud. Mereka pernah tinggal sebilik sewaktu di Singapura dulu.

Seorang seniwati veteran (tidak payahlah saya menyebut namanya) telah memilih tiga wartawan untuk nmembantu menulis buku biografinya.

Mereka Bahyah Mahmood, Aimi Jarr dan saya sendiri.

Bahyah Mahmood menolak kerana kesebukan menguruskan anak-anak dan cucu-cucunya. Tinggal Aimi Jarr dan saya.

Apabila dua nama tersebut dikemukakan kepada suaminya (juga tidak payahlah saya menyebut namanya), nama Aimi Jarr ditolak. Soalan dibenak saya, "kenapa ya, tentu ada sesuatu yang tidak kena."

Satu lagi perangai Aimi Jarr, kalau dia rapat dengan sesiapa dia akan bersama sampailah ke suatu peringkat dia meninggalkan mereka apabila sudah tidak ada apa-apa keuntungan kepada dirinya.

Contohnya, Sarimah dan Yusof Majid. Suatu ketika dulu bukan main rapat. Akhirnya ditinggalkannya. Begitulah juga yang berlaku kepada P. Ramlee dan Saloma, sampai kedua mereka kecil hati.

Waktu akhir-akhir ini dia begitu rapat pula dengan Yusof Haslam.

Namun begitu, Aimi Jarr mempunyai kawan paling rapat - Jins Shamsudin, Mustapha Maarof dan Mustaffa Haji Ton.

Aimi Jarr sering keluar negara bersama Mustaffa Haji Ton, dan suatu ketika saya pernah terserempak dengan mereka di Kota London. Dia berdua saya seorang.

Apabila bersara pada penghujung tahun 1998, saya menyepikan diri selama 10 tahun (kerana menulis dan menerbitkan buku "Filem-Filem P. Ramlee") dan tidak menghubungi langsung teman-teman rapat dan juga sekerja termasuk Aimi Jarr.

Hanya pada awal tahun 2008 saya pergi ke Skop Productions untuk mengundang Yusof Haslam ke majlis pelancaran buku "Filem-Filem P. Ramlee" pada 26 April 2008 oleh Sulaiman Taib Mahmud (ketika itu Timbalan Menteri Pelancongan) dan L. Krishnan, saya terperanjat (kerana saya ingat dia masih di FINAS lagi) bila Yusof Haslam berkata Aimi Jarr berkerja dengannya.

Apabila Aimi Jarr tahu saya datang dia muncul dari biliknya dan memberitahu dia tidak lagi bersama FINAS dan kini berkerja dengan Yusof Haslam.

Kerana lama tidak berjumpa, panjang juga saya berbual-bual dengan Aimi Jarr dan Yusof Haslam mengenangkan semula masa mula-mula saya dan Aimi Jarr jadi wartawan hiburan di Utusan Melayu dan Yusof Haslam pula baru mahu berjinak-jinak dengan dunia filem bermula dengan "Permintaan Terakhir".

Kerana Aimi Jarr berkebolehan menjadi juruacara dan kebetulan pula tahu segala-galanya tentang P. Ramlee, saya mempelawanya menjadi pengacara majlis. "Tetapi Aimi, saya tak dapat bayar banyak kerana MZA Terbit baru nak hidup," kata saya.

"Boleh Mus. Kerana You punya pasal tak bayar satu sen pun takpa. I tolong aje," ujarnya sambil ketawa kecil.

Di Hari pelancaran, Aimi Jarr datang bersama Yusof Haslam agak lewat dan nyaris-nyaris Norshah Thamby mengambilalih tempatnya sebagai pengacara.

Mulai saat itulah, Aimi Jarr dan saya selalu berhubung telefon sama ada bertanya khabar atau membincang sesuatu, pada umumnya mengenai dunia hiburan.

Saya (termasuk juga Ahmad Idris dan Norshah Thamby) pernah bersaing dengan Aimi Jarr merebut Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan (Anugerah Tinta GAFIM 2008), dan dia berjaya dipilih.

Di malam penyampaian di PWTC, saya pergi menemuinya untuk mengucapkan tahniah. Tetapi Aimi Jarr semacam mahu tidak mahu menerimanya. Ini kerana, dia merasakan ramai yang lebih layak patut menerima, dan memang ternyata anugerah tersebut sudah ditetapkan untuknya sebagai kroni bukannya kerana merit.

Pada pertengahan tahun 2009, saya dan Aimi Jarr dilantik menganggutai AJK memilih pemenang Anugerah Bintang Legenda sempena Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang berkesudahan dimenangi oleh Latifah Omar, Aziz Sattar, Zaiton, Momo, Kassim Masdor dan Tony Castello.

Pada FFM22 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 hingga 8 Ogos 2009 itu, saya dan Aimi Jarr turut sama (saya dan Aimi Jarr adalah antara pengasas Festival Filem Malaysia) di undang.

Aimi Jarr merajuk kerana tempatnya sebagai pengacara Malam Bintang Legenda digantikan oleh M. Borhan kepada pengacara anak Sabah, sedangkan dalam mesyuarat AJK telah diputuskan Aimi Jarr sebagai pengacara dan saya pula menulis citation.

Citation yang sudah disusun cantik-cantik pun mahu dipotong oleh M. Borhan kerana panjang, katanya. Saya membantah dan berkata kepadanya, "tak payah pakai lagi baik."

Akhirnya, M. Daud dan Ahmad Ibrahim datang memujuk saya untuk menggunakan juga citation tersebut tetapi mereka cantas (dipendekkan) hingga tidak tahu di mana hujung di mana pangkal.

Berbalik ke Aimi Jarr. "Kalau macam ni I nak baliklah. Tahu jadi macam ni I tak nak datang, membuang masa saja," kata Aimi Jarr kepada saya dan Mustapha Maarof.

Saya dan Mustapha Maarof memujuk dan menenangkannya, tetapi nampaknya dia buat tidak peduli saja. Saya menjangka tentu dia akan terbang pulang ke Kuala Lumpur esoknya. Ternyata tidak, dia berubah fikiran, tidak jadi pulang.

Pada bulan Mac 2010, kerana buku "Filem-Filem P. Ramlee" masih perlu di pasarkan, sempena Pesta Buku Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan juga sebagai memperingati ulangtahun kelahiran P. Ramlee yang ke-81 satu program hiburan, penyampaian buku "Filem-Filem P. Ramlee" kepada 5 kedutaan asing dan mempromosi buku "Filem-Filem Maria Menado" yang bakal diterbitkan, sekali lagi Aimi Jarr saya undang sebagai pengacara.

Di majlis tersebut, satu kelucuan berlaku apabila Aimi Jarr tersalah menyebut nama Ketua Pengarah FINAS Mahyiddin Mustakim kepada Mustakim Mahyiddin untuk naik ke pentas ruangan legar PWTC berucap bagi pihak Menteri Penerangan, Rais Yatim.

Peristiwa tersebut, tidak akan saya lupakan selagi hayat dikandung badan.

Kali terakhir saya bertemu Aimi Jarr dua minggu kemudian di Restoran Riverside, PWTC menyampaikan bayaran saguhati kerana menjadi pengacara tersebut.

Selepas itu, saya tidak lagi berhubung dengannya sehinggalah teman baik saya (Rosli Rafee dari ibupejabat UMNO) menelefon pada pagi 10 Mei 2011 memberitahu saya, Aimi Jarr sudah pergi menemui Tuhannya.

Saya tergaman sebentar. kemudian membaca Al-Fatihah untuknya.

Pada penilaian saya, Aimi Jarr tidak boleh dikatakan sebagai wartawan atau seniman yang hebat dan unggul. Hussain Haniff dan Ahmad Mahmood (2 seniman yang pernah memusuhinya) lebih ke depan dibandingkannya kalau mahu dipakai istilah hebat dan unggul itu.

Dia tidak ada meninggalkan karya-karya yang boleh dibanggakan. Karya-karyanya, baik filem mahupun buku, sekadar hiburan dan pengetahuan rengan semata-mata.

Buku-bukunya pun, dari segi teknik penulisan dan susunan bahasa tidak sempurna mana pun. Apa yang boleh diterima hanyalah fakta kerana dia menulis berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang agak luas. Itupun kadang-kadang ada juga yang tersilap.

Contoh terbaik buku "Jejak Terbilang", terlalu banyak faktanya salah.

Apa yang unggul dan hebat, Aimi Jarr berjaya membina suatu keadaan diri atau personalitinya yang boleh dikatakan unik dan menyebabkan dia boleh dikenangi sampai bila-bila.

Salah satu antaranya, penampar yang diterimanya dari Hussain Haniff.

Dalam sejarah kewartawanan di Malaysia terutamanya hiburan (setakat ini) belum ada lagi wartawan menerima layanan terburuk sewaktu menjalan tugas seperti Aimi Jarr.

Sama ada Aimi Jarr ini baik atau pun buruk perangainya bergantung kepada pendapat dan pandangan masing-masing.

Bagi diri saya sendiri, sungguhpun seringkali bertelagah dan kadang-kadang membencinya tetapi saya menganggap Aimi Jarr sebagai kawan yang baik (tegur sapanya menyenangkan) lebih-lebih lagi ketika usianya semakin ke penghujung.

Semoga rohnya dicucuri rahmat.


Bersama P. Ramlee


Bersama P. Ramlee & Jins Shamsudin


P. RAMLEE TUKAR NAMA___

Bermulanya nama Aimi Jarr sesuatu yang sangat menarik. Ketika bertemu P. Ramlee di pejabat Gelanggang Filem, dia memberanikan dirinya menghulurkan tangan sambil berkata, "apa khabar encik Ramlee".

"Khabar baik," jawab P. Ramlee sambil tangannya disambut. Lega rasa hatinya. Kemudian dia bersuara lagi, "encik Ramlee saya ada baca dalam akhbar Utusan Melayu yang encik Ramlee nak buka majalah Gelanggang Filem."

"Jadi kau nak apa," tanya P. Ramlee.

"Saya nak minta kerja," jawabnya.

"Kau datang dari mana?" tanya P. Ramlee lagi.

"Saya datang dari Terengganu," jawabnya.

Dengan pantas P. Ramlee menyampuk, "oh Terengganu, tempat nelayan. Kami di sini nak buat majalah bukannya nak tangkap ikan."

"Saya nak kerja di majalahlah bukannya nak jadi nelayan," balas Aimi Jarr yang mula diserap perasaan marah.

Tiba-tiba P. Ramlee berkata, "kerja apa yang kau mahu minta tu."

"Terima kasih sajalah, saya cuma layak jadi nelayan saja," ujarnya.

"Wah, kena perli sikit saja sudah marah, macam mana nak merantau ke tempat orang," kata pula P. Ramlee seperti dapat membaca kemarahan yang bergolak didadanya.

Kemudian sambung P. Ramlee, "kalau nak merantau, misti tahan kena usik, tahan kena sindir, tahan menghadapi cabaran dan dugaan."

Mata Aimi Jarr terkebil-kebil. Perasaan marahnya terhadap P. Ramlee mulai kendur sedikit.

"Kalau tak sanggup kena susah, lebih baik kau pulang ke kampung," tambah P. Ramlee.

"Terima kasih kerana encik Ramlee memberi kesedaran pada saya," kata Aimi Jarr dengan nada lembut.

"Bagus, macam itulah orang merantau, misti mahu mengambil nasihat orang. Eee..., siapa nama kau?" tanya P. Ramlee kemudian.

"Nama saya Omar," jawab Aimi Jarr.

"Omar, Omar bin apa," tanya P. Ramlee lagi.

"Omar bin Putih," jawab Aimi Jarr.

P. Ramlee bagaikan terperanjat mendengar nama bapa Aimi Jarr itu.

Mukanya yang manis tadi menjadi serius semula. Dia merenung sedalam-dalamnya ke wajah Aimi Jarr yang tidak mengerti dengan sikap P. Ramlee yang tidak menentu itu.

"Nama tu nama kampung, nama nelayan yang tangkap ikan," kata P. Ramlee dengan nada perli seperti mula-mula dia memperlinya tadi.

"Dan nama bapak kau pula Putih, nanti orang ingat kau adik P. Ramlee pula. Mana ada muka kau macam P. Ramlee, buat malu aku saja," kata P. Ramlee sambil ketawa kecil.

Kemarahan Aimi Jarr mendidih kembali, matanya berpinar-pinar. Badannya mengeletar dan mengigil menahan kemarahan. Tetapi P. Ramlee menghadapinya dengan tenang.

"Tenguk tu, kena perli sikit lagi dah marah. Macam mana nak merantau, macam ini balek kampung lebih baik," ujar P. Ramlee sambil ketawa kecil sambung menyambung.

"Sudahlah, kalau macam ni tak dapat kerja pun tak apalah," kata Aimi Jarr sambil mahu mengorak langkah untuk keluar dari tempat itu.

"Eh, orang bergurau jangan marahlah. Mari sini," P. Ramlee memanggil Aimi Jarr yang sudah melangkah beberapa tapak untuk keluar.

Apabila Aimi Jarr merapati P. Ramlee dia berkata, "begini, nama boleh membawa tuah pada seseorang. Aku rasa nama Omar tak ada tuah buat kau. Nama itu sesuai kau gunakan di kampung dulu."

"Jadi macam mana?" tanya Aimi Jarr.

"Aku cadangkan kau tukar nama baru, boleh jadi nama itu akan membawa tuah pada kau tapi kau misti kerja kuatlah di rantau orang," kata P. Ramlee.

"Nama apa patut saya pakai?" tanya Aimi Jarr lagi.

"Begini ya, kau dengar baik-baik, aku sebutkan satu nama kau tambah satu nama lagi, tambah dengan cepat bila aku sebut nama itu," kata P. Ramlee.

"Baiklah," balas Aimi Jarr.

P. Ramlee termenung sebentar. Muka Aimi Jarr diamat-amatinya.

Kemudian dia memandang ke sekeliling. Akhirnya muka Aimi Jarr kembali dipandanginya. Aimi Jarr juga melihat kemukanya.

Kemudian katanya, "dengar sini baik-baik, eeeeh... nama kau... Aimi... Aimi... ya... kau tambah satu nama lagi sekarang..."

Entah macam mana terkeluar perkataan Jarr dari mulut Aimi Jarr secara spontan.

"Ok, kalau begitu mulai hari ini nama kau Aimi Jarr, bukan lagi Omar Putih yang datang dari kampung nelayan. Ingat baik-baik nama kau Aimi Jarr tahu...," kata P. Ramlee dengan nada serius.


Salam perdamaian antara Aimi Jarr dan Hussain Haniff sambil diperhatikan oleh S.Roomai Noor, Sulaiman Jeem dan Ramlee Abdul Hadi


AHMAD MAHMOOD NAIK ANGIN___

Selain kena tampar oleh Hussain Haniff yang panas baran, Aimi Jarr turut berkrisis dengan Ahmad Mahmood.

Ketika berada di studio MFP Jalan Ampas, dalam perbualan dengan Ahmad Mahmood dia terdengar Ahmad Mahmood menyatakan, kekuatan ada pada dirinya bukannya kekuatan yang terpaksa digantungkan kepada orangramai atau peminat-peminatnya.

"Sebab itu saya tidak peduli apa yang orang nak kata, saya tidak peduli apa sikap mereka terhadap saya," ujar Ahmad Mahmood dengan serius.

Menyedari perkara itu boleh menjadi berita yang menggemparkan, Aimi Jarr telah membuat satu berita utama (lead) dalam Gelanggang Filem dengan tajuk Ahmad Mahmood tidak pedulikan sikap peminat.

Sejak berita tersebut tersiar setiap hari Ahmad Mahmood menerima telefon yang mengecam sikapnya. Pejabat Gelanggang Filem juga tidak putus-putus menerima panggilan telefon mengecam seniman popular itu.

Apa yang menyebabkan Ahmad Mahmood berang dan naik angin ialah sekeping surat yang diterima dari peminatnya yang mengecam dengan bahasa yang kesat dan disertakan pula dengan bangkai cicak yang sudah kering.

Dengan serta merta Ahmad Mahmood datang ke Gelanggang Filem untuk berjumpa dengan Aimi Jarr yang kebetulan pula berada di pejabat ketika itu. Muka Ahmad Mahmood merah padam bila bertemu dengannya.

"Tengok apa sudah jadi ni," kata Ahmad Mahmood dengan suara menengking sambil mencampakkan surat yang berisi bangkai cicak kering itu di depannya.

"Peminat marahlah sebab Abang Mad tidak menghargai peminat," kata Aimi Jarr.

"Aku tak suruh kau buat berita itu, tapi kau sengaja nak jatuhkan nama aku," Ahmad Mahmood terus memuntahkan kemarahannya.

"Kalau Abang Mad tak cakap takkan saya nak tulis," kata pula Aimi Jarr.

"Nanti aku nak saman kau, nak saman Gelanggang Filem," Ahmad Mahmood mengancam lalu meninggalkan pejabat Gelanggang Filem.

Aimi Jarr kemudian pergi bertemu P. Ramlee memberitahu mengenai kejadian tersebut.

"Itulah pandai sangat kau buat berita tu, masuklah kau ke dalam jil," itulah reaksi P. Ramlee sebaik saja Aimi Jarr habis menceritakan kisahnya dengan Ahmad Mahmood itu.

Kemudian P. Ramlee berkata, "jangan bimbang apa-apalah nanti Abang jumpa Ahmad Mahmood dan cakap baik-baik dengannya pasal hal itu."

Ekoran peristiwa itu, lebih 10 tahun Aimi Jarr tidak bertegur sapa dengan Ahmad Mahmood. Setiap kali bertemu antara mereka akan membuang muka sama ada Ahmad Mahmood dulu atau Aimi Jarr dulu.

Aimi Jarr berbaik semula dengan Ahmad Mahmood apabila dia berpindah ke Kuala Lumpur bertugas dengan Utusan Melayu mengendalikan majalah UFF.


Bersama Ahmad Daud & Kassim Masdor


Bersama P. Ramlee, Abdullah Hussain, Jaafar Abdullah dan Zain Mahmood


P. RAMLEE KECIL HATI___

Sewaktu berkunjung ke rumah P. Ramlee bersama Syed Hashim Ahmad dua minggu sebelum P. Ramlee meninggal dunia, dalam perbualannya (juga bersama Saloma) dia telah meluahkan perasaan kesal dan kecewanya terhadap Aimi Jarr.

Sebab P. Ramlee kecil hati dengan Aimi Jarr ada asasnya. Selain menjauhkan diri dari P. Ramlee dan Saloma, Aimi Jarr rapat pula kepada Jins Shamsudin, sedangkan Jins Shamsudin penyebab utama P. Ramlee keluar dari PERFIMA dan menubuhkan Rumpun Melayu bersama H.M. Shah.

Semasa untuk menghadiri Festival Filem Asia Ke-19 di Singapura, P. Ramlee dan Saloma mengajak Aimi Jarr pergi bersama. "Abang pergi dengan kereta bersama Saloma saja, Aimi boleh kawankan Abang untuk berbual-bual," kata P. Ramlee.

Oleh kerana Aimi Jarr telah berjanji dengan Jins Shamsudin untuk pergi bersamanya terpaksalah Aimi Jarr menolak pelawaan P. Ramlee itu walaupun, katanya, dengan hati yang sangat berat.

"Takpalah, kita jumpa di Singapura nanti," ujar P. Ramlee yang kelihatan agak kecewa.

Bagaimanapun semasa di Singapura, Aimi Jarr jarang bersama P. Ramlee dan Saloma. Kemana-mana dia hanya bersama Jins Shamsudin saja.

Selepas upacara penutup festival filem tersebut di Panggung Negara, P. Ramlee mempelawa Aimi Jarr makan mee goreng kesukaannya di Jalan Sultan. Tetapi sekali lagi ditolaknya kerana dia dan Jins Shamsudin sudah berjanji dengan Mustapha Maarof untuk makan malam dirumahnya.

"Marilah Aimi kita makan mee goreng di Jalan Sultan", merupakan dialog terakhir yang didengar oleh Aimi Jarr sebelum P. Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973.


Bersama Rahman B.


Bersama Salmah Ahmad & Mustapha Maarof


Bersama Mustapha Maarof & Zaiton Samad


Keratan majalah, Aimi Jarr sebagai penulis skrip dan pelakon "Pa' Awang Temberang"


Keratan majalah, Aimi Jarr sebagai salah seorang AJK FFM2


Bersama (dari kiri) Wan Hashim Wan Teh, Mustapha Maarof dan Mustafar A.R. ketika menghadiri FFM22 di Kota Kinabalu, Sabah


PERJALANAN HIDUP AIMI JARR___

Aimi Jarr orang Terengganu. Lahir di Kampung Petani, Kuala Terengganu pada 25 Julai 1939. Selepas menamatkan bersekolahan (setakat sijil rendah pelajaran) pada tahun 1956, dengan berbekal sedikit wang hasil jualan basikal dan pemberian dari ayah dan keluarga terdekat, pada subuh 14 Jun 1957 dia meninggalkan rumah menuju ke Pelabuhan Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

Ketika melangkah naik ke kapal bernama Rawang, hatinya berkata, "aku tidak akan pulang selagi belum mencapai sesuatu kejayaan."

Dalam pelayaran Aimi Jarr tidak keseorangan dia ditemani oleh Ahmad Pilus (pekerja kapal) yang sering berkunjung ke tempat tinggal artis di Boon Teck Road kerana H.M. Busrah adalah teman baiknya.

Kapal Rawang menjatuhkan sauhnya di Clifford Pier, Singapura kira-kira jam 4 petang setelah berlayar dari Terengganu selama 3 hari 2 malam.

Setelah turun dari kapal, Aimi Jarr dan Ahmad Pilus terus menaiki bas pergi ke Balestier Road untuk ke Boon Teck Road dengan tujuan bertemu H.M. Busrah bagi membolehkan dia menumpang tinggal.

Semasa tercari-cari rumah H.M. Busrah itulah buat pertama kali Aimi Jarr bertemu Aziz Sattar yang pada masa itu sedang mencuci motorsikal dan Ahmad C. pula sedang membaca akhbar Utusan Melayu.

Malangnya, H.M. Busrah sudah pindah dan menurut Ahmad C. dia pindah ke Rangoon Road.

Setelah puas mencari akhirnya tempat tinggal H.M. Busrah dijumpai. Ahmad Pilus menyatakan hasrat bagi membolehkan Aimi Jarr menumpang buat sementara dengannya tetapi kerana keadaan tempat tinggal itu berkongsi ramai-ramai dan sudah sesak, H.M. Busrah agak keberatan menerimanya tinggal bersama.

Bagaimanapun, kerana Ahmad Pilus terpaksa bertugas belayar kapal, Aimi Jarr telah ditumpangkannya dengan keluarga seorang kawannya yang sama-sama bertugas kerja kapal, di Paya Lebar Road.

Aimi Jarr mula meminati P. Ramlee apabila menonton filem "Rachun Dunia" di panggung Capitol, Kuala Terengganu dalam tahun 1950.

Sungguhpun, Osman Gumanti heronya tetapi dia lebih meminati P. Ramlee yang berperanan jahat bersama Siput Serawak.

Keinginannya untuk bertemu dengan P. Ramlee secara live tercapai apabila Ahmad Pilus membawanya menonton pertunjukan pentas di Dewan Badminton, Guillemard Road di mana P. Ramlee turut mengambil bahagian bersama Tony Castello dan Rahim Hamid.

Selama 9 bulan Aimi Jarr berada di Singapura tetapi kerja masih tidak ada yang tetap. Terbaru kerja sebagai pencuci kereta di stesyen minyak di Paya Lebar Road. Tempat tinggal kadang-kadang menumpang di rumah kawan dan ada kalanya tidur di dalam lori buruk yang terletak di belakang stesyen minyak itu.

Ketika berkerja di situlah, teman baiknya (pemusik Zaki Karim) telah memberitahu Aimi Jarr mengenai iklan dalam akhbar Utusan Melayu yang menyebut P. Ramlee akan menerbitkan majalah baru yang diberinama Gelanggang Filem.

Tidak berlengah lagi esoknya, Aimi Jarr dan Zaki pergi ke alamat yang tercatat dalam iklan nombor 376, Race Course Road dan buat petama kalinya pula dia bertemu dengan Ghazali Sumantri di situ.

Mulai saat itulah bermulanya episod hidup Aimi Jarr.

Setelah bertemu P. Ramlee, yang mengakibatkan namanya Omar Putih bertukar ke Aimi Jarr, dia diarahkan betemu Rahman B. yang menjadi pengurus Penerbitan P. Ramlee yang menyatakan jawatannya sebagai pembantu umum iaitu membuat berbagai-bagai kerja termasuk budak pejabat (peon).

Semasa berada di Gelanggang Filem itu, disamping kerja hariannya dia belajar menulis dengan mendapat bimbingan Rahman B. sehingga berita yang ditulisnya tersiar dalam majalah tersebut.

Selepas itu, dia pun mula melangkah lebih jauh lagi dengan menulis artikel dan cerpen yang sedikit sebanyak mempopularkan diri dan namanya.

Sungguhpun Gelanggang Filem mendapat sambutan, namun ia tidak boleh lari dari krisis dalaman apabila keadaannya mula goncang akibat pengurusan kewangan yang tidak betul.

Kerana itu Rahman B. digantikan dengan Abdullah Hussain dan kemudian pejabatnya berpindah ke tempat yang lebih selesa, di 124 Tembeling Road, dan Gelanggang Filem yang kebiasaannya diterbitkan 2 minggu sekali bertukar ke 10 hari sekali.

Setelah mengilap bakat dengan menghasilkan karya-karya seni termasuk mengarah drama pentas, suatu hari dalam tahun 1962 Mustapha Maarof datang menemui Aimi Jarr dirumahnya menyampaikan tawaran L. Krishnan untuk melantiknya sebagai penolong pengarah filem di Studio Merdeka, Kuala Lumpur.

Pada masa itu, keadaan Gelanggang Filem mulai suram setelah Abdullah Hussain pergi ke Kuala Lumpur berkerja dengan Oxford University Press tambahan pula Shaw Brothers telah mengeluarkan majalahnya sendiri (Majallah Filem) yang dipimpin oleh Jaafar Abdullah.

Walaupun P. Ramlee agak keberatan melepaskannya pergi tetapi kerana kuatnya desakan Aimi Jarr hendak juga menceburkan diri dalam filem akhirnya P. Ramlee merestuinya.

Dengan itu, pada penghujung bulan Oktober 1962 Aimi Jarr pun memulakan tugasnya sebagai penolong pengarah (secara kontrak setahun) kepada L. Krishnan yang mengarahkan filem "Fajar Menyinseng".

Cerita oleh L. Krishnan, skrip ditulis bersama L. Krishnan dan Aimi Jarr. Dailog disusun oleh Aimi Jarr manakala pelakon-pelakonnya Abdullah Chik, Kasma Booty, Mustapha Maarof, Mahmud June dan Nor Asmah, pendatang baru dalam dunia filem.

Setelah melihat kerajinan dan kemampuan Aimi Jarr sebagai penolong pengarah, Ho Ah Loke telah menawarkannya sebagai pengarah. Tetapi kerana adanya campurtangan P. Ramlee akhirnya dia tidak jadi dilantik ke jawatan tersebut.

Ini disebabkan, P. Ramlee merasakan Aimi Jarr belum boleh jadi pengarah dia perlu banyak belajar dan mendalami lagi segala perkara mengenai filem.

Selepas "Fajar Menyingseng", Aimi Jarr mengakhiri tugasnya sebagai penolong pengarah di Studio Merdeka kepada Salleh Ghani yang mengarahkan filem "Anak Manja".

Aimi Jarr kemudian kembali semula ke Singapura, tetapi Gelanggang Filem sudah diberhentikan penerbitannya dan Penerbit P. Ramlee pun telah di tutup.

Dengan itu, terpaksalah Aimi Jarr mencari kerja lain antaranya mengedalikan majalah Filem Malaysia bersama Mustaffa Haji Ton.

Antara tahun 1964 hingga 1966, Aimi Jarr banyak menulis skrip drama untuk Radio & Televisyen Singapura (RTS) tetapi paling mendapat sambutan siri "Pa' Awang Temberang" yang diterbitkan oleh Zain Mahmood.

Disamping itu, dia turut berlakon disamping Salim Bachik, Zainon Ismail, S.M. Alkaff, Zubaidah M. Noor, Mustapha Maarof, Zaiton Samad dan Rahimah Rahim.

Pada 1 Julai 1970, Aimi Jarr pindah ke Kuala Lumpur dan kemudian berkerja dengan Utusan Melayu mengendalikan majalah Utusan Filem & Fesyen (UFF) yang mana keluaran pertama diterbitkan pada 15 September 1970 dengan gambar kulit berwajahkan pergawati Josephine Leena Worth.

Dengan UFF Aimi Jarr bertahan sampai keluaran bilangan 59 (15 Ogos 1975) kerana adanya berlaku rombakan tugas di Jabatan Pengarang dan dia digantikan oleh Salmiah Rahman.

Berikutnya, Aimi Jarr ditugaskan pula ke meja penyuting Utusan Melayu (Jawi) sebelum dilantik sebagai penyunting Utusan Radio & TV (URTV).

Apabila Salmiah Rahman berpindah kerja ke Berita Harian, saya menggantikan tempatnya mengendalikan UFF dan setelah mengelolakan sampai ke bilangan 90 (15 Mac 1978) Aimi Jarr pula mengambilalih semula hinggalah dia berpindah kerja mengikut Khalid Jafri ke Harian Nasional dalam tahun 1980.

Bagaimanapun, Harian Nasional beroperasi hanya seketika, ia terpaksa ditutup kerana menghadapi masalah kewangan.

Aimi Jarr terpaksa mencari kerja lain, kemudian di lantik pula sebagai Timbalan Ketua Pengarang mengendalikan majalah Pesta berketuakan Fauziah Rauf.

Selepas itu, dia bertugas (secara kontrak, 2004-2007) bersama Norshah Thamby dan Hamzah Hussain di FINAS dan akhir sekali (bermula 2 Januari 2008) berkerja pula dengan Yusof Haslam di Skop Productions sehingga ke akhir hayatnya.

Dalam kegiatan berpersatuan, sejak awal lagi Aimi Jarr aktif dalam EJA, dan dalam Mesyuarat Agung GAFIM pada 15 Mac tahun 1992 dia telah dilantik sebagai Presiden (mewakili EJA) manakala saya pula Setiausaha (mewakili PWFM).

Apabila FINAS memberi tanggungjawab sepenuhnya kepada GAFIM mengendalikan FFM10 dengan sendirinya Aimi Jarr memegang jawatan Pengerusi AJK FFM10 dan saya pula Setiausaha dan Pengarah Sekretariat FFM10.

Saya seronok menjalan tugas, kerana tiada sesiapa pun berani mengganggu termasuk Aimi Jarr. Mereka faham dengan sifat saya yang aggresif (bila-bila masa saja saya akan meninggalkan jawatan penting itu) sekiranya banyak sangat kerenah dari AJK atau pun FINAS.

Pergerakan FFM10 berjalan lancar dan berjaya dilaksanakan dengan sempurna.

Tetapi disebabkan tidak ada pengawasan yang rapi (acuh tak acuh) dari Aimi Jarr (dia Pengerusi malam tersebut), Malam Anugerah Panca Delima yang berlangsung di Hotel Shangrila, Kuala Lumpur, berlarutan sampai ke pagi.

Selepas itu, saya menarik keluar PWFM (Persatuan Wartawan Filem Malaysia) menganggutai GAFIM, dengan itu secara otomatik pula jawatan saya sebagai Setiausaha GAFIM terbatal.

Selepas FFM10 saya tidak terlibat lagi dengan sebarang kegiatan FFM sehinggalah terbabit semula pada tahun 2009 dengan FFM22 di Kota Kinabalu, Sabah.

Kedudukan Aimi Jarr dalam GAFIM saya tidak tahu selepas berundur, cuma yang saya tahu Presiden dan Setiausahanya seringkali bertukar ganti.

Aimi Jarr terus bersama FFM dari tahun ke tahun, akhir sekali FFM23.



Aimi Jarr dalam biografi "P. Ramlee" di History Channel
(sumber: rahmanazhar)


Aimi Jarr turut berlakon dalam filem "Labu Dan Labi"
(sumber: pakcummy)


KARYA (BUKU)___
* Rima Juara Katil (1974)
* P. Ramlee Dari Kacamata Aimi Jarr (1984)
* Sepi Itu Indah (1985)
* P. Ramlee Legenda Yang Terus Hidup (1999)
* P. Ramlee Insan Pesona Seni (2000)
* Sejarah Awal Filem Melayu (2006)
* Jejak Terbilang (2007)


KARYA (FILEM)___
* Menanti Hari Esok
* Tiada Esok Bagimu
* Esok Masih Ada
* Detik 12 Malam
* Kabus Tengahari
* Sepi Itu Indah


ANUGERAH___
Lakonlayar Terbaik (Dia Ibuku)
* Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) 1981
Anugerah Tokoh Wartawan Hiburan
* Anugerah Tinta GAFIM 2008
Anugerah Tinta Seri Temasek
* Malam Gala Anugerah Seri Temasek (2011)


Aimi Jarr dipenghujung jalan. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya


# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.








5 comments:

  1. Terlambat, saya baru jumpa.
    Inilah dokumentasi paling lengkap
    mengenai Aimi Jarr pernah saya baca.
    Tahniah Sdra Mustafar A.R.
    - Ibrahim Sulaiman, Ayer Keroh, Melaka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. biar terlambat, asalkan terjumpa.
      selamat melayari
      filem klasik malaysia (fkm).
      tahniah diterima.
      terima kasih.

      Delete
  2. Saya telah membaca buku P. Ramlee Yang Saya Kenal tulisan Yusnor Ef dan di dalam buku tersebut penulis menulis tentang seorang pencipta lagu bangsawan bernama Wak Jarr yang merupakan datuk kepada penyanyi Kartina Dahari. Saya sangkakan Aimi Jarr ialah ahli keluarga Wak Jarr ini tetapi setelah membaca artikel yg ditulis oleh saudara barulah saya tahu bahawa Aimi Jarr tiada sebarang pertalian dengan keluarga Wak Jarr. Terima kasih atas info yang diberikan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aimi Jarr ada beritahu.
      Nama Jarr memang dari Wak Jarr
      atau nama sebenarnya Ahmad Jarr
      yang begitu terkenal pada masa itu.
      Tetapi nama Aimi, dia tidak tahu
      dari mana P. Ramlee mengambilnya.
      Mungkin, kata Aimi lagi, dari karekternya
      dalam filem "Ibu" iaitu Raimi jadi Aimi.

      Delete
  3. Di mana saya boleh dapatkan novel 'Sepi Itu Indah'?

    ReplyDelete