Tribute... Kartina Dahari (14/11/1941-30/4/2014) Memperingati Pemergiannya Yang Ke-3 (Update: 27/4/2017)

Masa Berganti Masa * Senandung Lagu Lama * Malam Cemerlang * Tinggallah Mustika Hati * Jangan Di Tanya
(Sumber: Lukisan Perasaan, dOnramlee & Azmi Ahmad)

Saturday, May 28, 2011


PISAU BERACHUN (1948)

DAPAT SAMBUTAN KERANA KEJELITAAN KASMA BOOTY
Teks: Mustafar A.R.
Foto: Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


Kejelitaan Kasma Booty menarik minat penonton.

Bachtiar Effendi dan Kasma Booty.

Iklan tayangan filem "Pisau Berachun" di tiga panggung wayang
di Singapura.


Produksi MALAY FILM PRODUCTIONS LTD.
Pengarah B.S. RAJHANS
Cerita BACHTIAR EFFENDI
Pelakon KASMA BOOTY BACHTIAR EFFENDI SYED ALI ALTTAS JAFFAR WIRYO ROKIAH HANAFFI INDRA PUTRA SUHARA EFFENDI HARIS AMAT DOLPHINE

Tahun diedarkan: 1948 (4 Ogos)
Kedudukan filem: Hilang, sedang dicari


JALAN CERITA___

Bercorak thriller cerita filem ini melibatkan berlakunya tiga pembunuhan.

Cerita berkisar tikaman (menggunakan pisau) misteri terhadap seorang jutawan, yang mana sebelum dibunuh dia telah bertengkar dengan seorang ahli perniagaan.

Apabila pihak polis tiba di rumah ahli perniagaan tersebut untuk menangkapnya, dia pula didapati telah dibunuh.

Polis benar-benar bingung dengan kejadian yang berlaku.

Bagaimanapun, orang yang membunuh dapat ditangkap selepas dia melakukan pembunuhan yang ketiga.

Dia membuat pengakuan kepada pihak polis, tetapi kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta.

Polis akhirnya berjaya menangkapnya disebuah rumah tinggal yang dikatakan berhantu.


ULASAN FK___

Tidak banyak maklumat diperolehi mengenai filem ini. Bagaimanapun, saya pernah menontonnya di RTM (dulu TV Malaysia) ketika itu masih beroperasi dalam hitam & putih.

Cerita dan bagaimana corak hidangannya saya tidak berapa ingat, tetapi saya tidak lupa ia bercorak mata-mata gelap atau detektif
(a mysterious "whoduit" story).

Ia ditayangkan serentak di tiga panggung wayang di Singapura (Queens, Jubilee dan Shirin) pada 6 Ogos 1948 sempena menyambut Hari Raya Puasa.

Menurut apa yang saya baca dalam akhbar dan majalah, persembahannya hanya boleh tahan saja namun sambutannya tetap hangat kerana penonton begitu terpesona dengan kejelitaan Kasma Booty yang telah diperkenalkan oleh B.S. Rajhans dalam filem "Chempaka".

Kasma Booty berperanan sebagai isteri pegawai polis (CID) yang dilakonkan oleh Bachtiar Effendi.


FAKTA___

  • Filem ketiga keluaran studio MFP selepas "Singapura Di Waktu Malam" dan "Chempaka".

  • Filem ke-5 arahan B.S. Rajhans dan ke-3 di studio MFP.

  • Filem kedua Kasma Booty selepas "Chempaka".

  • Selepas filem ini, Kasma Booty muncul pula dalam filem "Noor Asmara" berherokan S. Roomai Noor yang turut dibintangi oleh P. Ramlee.

  • Kali pertama dan terakhir Bachtiar Effendi dan Kasma Booty berperanan sebagai hero dan heroine.

  • Filem ini merupakan salah satu filem studio MFP yang boleh dikatakan hilang.

  • Bachtiar Effendi turut membintangi filem "Singapura Di Waktu Malam" berheroinekan Siput Serawak.


  • Tuesday, May 24, 2011


    FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-24

    PERTAMA KALI AUSTRALIA JADI TUANRUMAH FFAP
    Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop

    Oleh MUSTAFAR A.R.
    Yang Menyertai Delegasi Malaysia
    Ke Festival Filem Asia-Pasifik Ke-24
    Di Sydney (2-6 Oktober 1978)








    Hussein Abu Hassan dan Noor Azizah


    Jins Shamsudin dan Sophaan Sophiaan


    Noor Kumalasari dan Noor Azizah


    Amisah Borhan dan M. Yusoff


    Kaharuddin Syah (Jakarta) dan Jins Shamsudin bersama empat seniwati jelita Seoul


    Perwakilan Jakarta (dari kanan) Faizal Riza, isterinya dan Sophaan Sophiaan


    Senyuman menawan tiga seniwati jelita Taipei


    Perwakilan Kuala Lumpur bersama pengerusi FFA24 John McQuaid (tiga dari kanan). Kiri ke kanan: John Nettleton, Noor Azizah, Ahmad Rahim, tidak dikenali, Noor Kumalasari dan Jins Shamsudin


    Perwakilan Seoul diperkenalkan kepada semua negara peserta di malam upacara pembukaan di Sydney Opera House


    Noor Kumalasari, M. Yusoff, Noor Azizah, Hussain Abu Hassan dan Jins Shamsudin menyampaikan lagu "Rentak 106" di malam upacara penutup di Sydney State Theatre


    Noor Azizah menerima anugerah dari Sir Norman Rydge bagi pihak Salehan Shamsuddin kerana suntingan terbaik filem "Loceng Maut"


    Masahiro Shinoda "Melody in Gray"


    Ken Takakura "The Yellow Handkerchief"


    Kim Ja Ok "Miss O's Apartment


    Charo Santos "Rites of May" ("Itim")


    Chris Haywood "In Search of Anna"


    Hussain Abu Hassan dan Teh Faridah "Loceng Maut"


    Kara Liu dan Sylvia Chang "The Dream of the Red Chamber"


    Gordon Liu "The 36th. Chamber of Shaolin"


    Poster "In Search of Anna"


    Poster "The Yellow Handkerchief"


    Gembiranya perwakilan Kuala Lumpur di Blue Mountain. Dari kanan: Lee Kee Ying, isterinya, Ahmad Rahim, Jins Shamsudin, Amisah Borhan, Noor Kumalasari, Hussain Abu Hassan, Noor Azizah, Khalid Jafri dan Aziz Singah


    Berlatarbelakangkan Sydney Opera House. Dari kiri: Sivaji Rajah, Hussain Abu Hassan, Jins Shamsudin, Khalid Jafri dan Aziz Singah


    Di Blue Mountain. Dari kiri: John Nettleton, Mustafar A.R., Noor Azizah, Amisah Borhan dan M. Yusoff


    Berlatarbelakangkan Sydney Harbour Bridge. Dari kanan: Jins Shamsudin, Hussain Abu Hassan, Khalid Jafri, Aziz Singah dan Mustafar A.R.

    ULASAN___

    Festival Filem Asia (kini Festival Filem Asia-Pasifik) Ke-24 (FFA24) telah berlangsung di Sydney, Australia pada 2 hingga 6 Oktober 1978. Ini pertama kali Sydney menjadi tuanrumah sejak festival tersebut mula diadakan pada tahun 1954 di Tokyo, Jepun.

    Sepuluh negara mengambil bahagian iaitu,

  • Sydney (Australia)

  • Bangkok (Thailand)

  • New Delhi (India)

  • Hong Kong

  • Jakarta (Indonesia)

  • Kuala Lumpur (Malaysia)

  • Manila (Filipina)

  • Seoul (Korea)

  • Taipeh (Taiwan)

  • Tokyo (Jepun)

    Sydney mempertandingkan filem:

    Cerita
    "Mango Tree" "Last Weekend" "Money Movers" "In Search of Anna" "Patrick"

    Dokumentari
    "Tree" "Land My Mother" "Three Dance by Gulpilil" Australia Game"

    Retrospektif
    "Wake in Fright"

    Bangkok dengan filem:

    Cerita
    "More Than Love" "More Than Love" "Rural Teacher" "Bar 21" "Girl" "Kama"

    New Delhi dengan filem:

    Cerita
    "Shaque"

    Dokumentari
    "Chitrakathi" "Magic Hand"

    Hong Kong dengan filem:

    Cerita
    "The 36th. Chamber of Shaolin" "Clans of Amazons" "The Dream of the Red Chamber"

    Jakarta dengan filem:

    Cerita
    "Badai Pasti Berlalu" "Leftenan Harahap" "Suci Sang Primadona" "Jakarta, Jakarta"

    Dokumentari
    "Timor Timur" "Pembangunan Perusahaan Di Jakarta" "Kebudayaan Jakarta"

    Retrospektif
    "Macan Kemayoran"

    Kuala Lumpur dengan filem:

    Cerita
    "Loceng Maut" "Tiada Esok Bagimu"

    Dokumentari
    "Majuternak"

    Retrospektif
    "Hati Batu"

    Manila dengan filem:

    Cerita
    "Moments in Stolen Dream" "Rites of May" ("Itim") "My Brother, My Wife" "Seven on of Rafeal" "As We Were"

    Seoul dengan filem:

    Cerita
    "Butterfly Girl" "Miss O's Apartment" "Goddess of Mercy" "Winter Woman"

    Dokumentari
    "Glimpse of Korea"

    Taipei dengan filem:

    Cerita
    "Smiling Face" "Dear Brother" "Enternal Love" "Brave Ones" "My Way"

    Dokumentari
    "Bufflo Revolution" "Go Fly with a Kite"

    Retrospektif
    "Home Sweet Home"

    Tokyo dengan filem:

    Cerita
    "The Yellow Handkerchief" "Melody in Gray" "Shogun's Samurai" "Little Adventure"

    Dokumentari
    "Poetry of Castle"

    Retrospektif
    "The Life of Oharu"

    Sebahagian filem-filem tersebut ditayangkan untuk tontonan umum di Village Cinema, George Street dan Commonwealth Theatrette di Chieley Square.

    Dalam kategori teknikal, Malaysia boleh dikatakan ketandusan. Sejak tahun 1954 hanya A. Bakar Ali memperolehi dua anugerah sinematografi terbaik - "Sumpah Orang Minyak" (1958 Manila) dan

    "Ibu Mertua Ku" (1963 Tokyo). Di Sydney ini, Salehan Shamsuddin menambah satu lagi anugerah - suntingan terbaik kerana filem "Loceng Maut".

    Satu lagi anugerah diperolehi "Loceng Maut" apabila ia diiktiraf sebagai filem pencapaian keseluruhan kesempurnaan.

    Kebiasaannya Tokyo akan memenangi anugerah filem terbaik. Tetapi kali ini para juri menyebelahi Manila kerana filem "Rites of May" ("Itim") yang diarahkan oleh Mike De Leon.

    Filem bercorak suspense-drama ini mengisahkan Jun (Tommy Abuel) kembali ke tempat lahirnya dan kemudian bertemu dengan ayahnya yang lumpuh.

    Kelakuan aneh seorang gadis (Teresa), terjadinya peristiwa menakutkan yang mana kemudian Jun mendapat tahu peranan yang dimainkan oleh ayahnya (Mario Montenegro) di masa lampau.

    Agak menarik, filem ini filem cerita pertama diarahkan oleh Mike De Leon dan filem pertama pula lakunan Charo Santos (Charo Santos-Concio).

    Bagaimanapun, Mike De Leon gagal meraih anugerah pengarah terbaik.

    Filem-filem lain bersaing hebat merebut anugerah ini, "Melody in Gray", "The Yellow Handkerchief", "Badai Pasti Berlalu", "Jakarta, Jakarta", "Bar 21", "In Search of Anna" dan "Enternal Love".

    Tokyo memperolehi dua anugerah utama - pengarah terbaik (Masahiro Shinoda) dan pelakun lelaki terbaik (Ken Takakura).

    Persaing kuat Mashiro Shinoda, Teguh Karya "Badai Pasti Berlalu", Yoji Yamada "The Yellow Hankerchief", Mike De Leon "Rites of May", Esben Storm "In Search of Anna", Han Hsiang Li "The Dream of the Red Chamber", Ariffin C. Noor "Suci Sang Primadona" dan Jang-ho Byeon "Miss O's Apartment".

    Ken Takakura pula mendapat tentangan dari Rachmat Hidayat "Badai Pasti Berlalu", Robert Thompson "Patrick", Tommy Abuel "Rites of May", Gordon Liu "The 36th. Chamber of Shaolin" dan Jin-hie Han "Miss O's Apartment".

    Jakarta kurang bernasib baik kerana hanya menerima anugerah terpinggir - teknikal terbaik dan tema terbaik melalui filem "Jakarta, Jakarta" yang diarahkan Sophaan Sophiaan.

    Antara lakonan Kim Ja Ok ("Miss O's Apartment") dan Charo Santos ("Rites of May") telah menimbulkan masaalah para juri. Untuk menyelesaikannya, kedua mereka diberi anugerah pelakon wanita terbaik.

    Ini bukan kali pertama anugerah serupa diberikan kepada dua pelakon. Pada tahun 1976, Kumiko Akiyoshi "Banka" (Jepun) dan Brigitte Lin "Ba Bai Zhuang Shi"/"800 Heros" (Hong Kong) memenanginya.

    Christine Hakim "Badai Pasti Berlalu", Judy Morris "In Search of Anna" dan Tien Niu "Enternal Love" turut bersaing merebut anugerah tersebut.

    Sydney memenangi dua anugerah utama - pelakun lelaki pembantu terbaik (Chris Haywood) dan sinematografi terbaik (Micheal Edols) keduanya kerana filem "In Search of Anna".

    Satu lagi filemnya "Patrick" menerima dua anugerah - efek khas terbaik dan pencapaian taraf kepujian.

    Dalam kategori retrospektif, hanya 5 negara turut serta. "Wake in Fright" (Sydney), "Macan Kemayoran" (Jakarta), "Hati Batu" (Kuala Lumpur), "Home Sweet Home" (Taipei) dan "The Life of Oharu" (Tokyo).
    Antara kelimanya, para juri memilih "The Life of Oharu" sebagai pemenang.

    Sayang sekali, filem "Tiada Esok Bagimu" yang diarahkan oleh Jins Shamsudin tidak memenangi satu anugerah pun.

    Keseluruhannya, Sydney dan Tokyo memenangi lima anugerah, Seoul empat, Hong Kong dan Bangkok tiga, Kuala Lumpur, Taipei, Manila dan Jakarta dua dan India satu.


    PEMENANG ANUGERAH FFA24___

  • Filem RITES OF MAY (ITIM) Filipina

  • Pengarah MASAHIRO SHINODA (Melody in Gray) Jepun

  • Pelakun lelaki KEN TAKAKURA (The Yellow Handkerchief) Jepun

  • Pelakun wanita KIM JA OK (Miss O's Apartment) Korea

  • Pelakun wanita CHARO SANTOS (Rites of May/Itim) Filipina

  • Pelakun lelaki pembantu CHRIS HAYWARD (In Search of Anna) Australia

  • Pelakun wanita pembantu TARIKA TIDATIT (More Than Love) Thailand

  • Sinematografi MICHEAL EDOLS (In Search of Anna) Australia

  • Suntingan filem SALEHAN SHAMSUDDIN (Loceng Maut) Malaysia

  • Musik MUN-PYEONG HWANG (Goddess of Mercy) Korea

  • Efek khas CONRAD ROTHMANN (Patrick) Australia

  • Pengarah seni CHING-SHEN CHEN (The Dream of the Red Chamber) Hong Kong

  • Rekaan pakaian THE DREAM OF THE RED CHAMBER (Hong Kong)

  • Skrip filem KAMA (Thailand)

  • Rakaman suara LITTLE ADVENTURE (Jepun)

  • Teknik pembaharuan WINTER WOMAN (Korea)

  • Teknikal JAKARTA, JAKARTA (Indonesia)

  • Filem kanak-kanak LITTLE ADVENTURE (Jepun)

  • Filem aksi THE 36TH. CHAMBER OF SHAOLIN (Hong Kong)

  • Tema filem JAKARTA, JAKARTA (Indonesia)

  • Filem menyentuh perasaan manusia ENTERNAL LOVE (Taiwan)

  • Filem drama KAMA (Thailand)

  • Pencapaian taraf kepujian PATRICK (Australia)

  • Anugerah OCIC/Trofi Asia BUTTERFLY GIRL (Korea)

  • Filem keseluruhan kesempurnaan LOCENG MAUT (Malaysia)

  • Anugerah retrospektif THE LIFE OF OHARU (Jepun)

  • Dokumentari

    LAND MY MOTHER (Australia)

    CHITRAKATHI (India)

    BUFFALO REVOLUTION (Taiwan)


    KALI PERTAMA SYDNEY JADI TUANRUMAH___

    Kehadiran saya ke Festival Filem Asia Ke-24 (FFA24) ini, merupakan satu kebanggaan. Ia bukan saja kerana festival filem (FFA) pertama saya mewakili Kuala Lumpur, tetapi juga kali pertama Sydney (Australia) menjadi tuanrumah.

    Selama ini (sejak tahun 1954), tuanrumah FFA berlangsung bergilir-gilir antara Tokyo, Hong Kong, Manila, Kuala Lumpur, Seoul, Taipei, Singapura, Bangkok dan Jakarta.

    Ramai pelakon popular datang meraikan festival filem yang boleh dianggap berpretij itu.

    Jakarta, kelihatan Christine Hakim, Sophaan Sophiaan, Widyawati, Rano Karno dan Faizal Riza.

    Hong Kong, Ti Lung, Hui-Ling Chieu dan Li-Ju Chen.

    Jepun, Mariko Shinkura, Yoko Natsuki dan Miyako Ejiri.

    Bangkok, Tarika Tidatit, Sugubya Srisawas dan Piyamas Monyakul.
    Seoul, Kim Ja Ok dan Mi Hee Chang. Taipei, Dabbie Chow, Kai-Li Chu dan Lu Chang.

    Kuala Lumpur diwakili oleh Jins Shamsudin, Noor Kumalasari, Hussain Abu Hassan, Noor Azizah dan Aziz Singah.

    Ahmad Rahim dari Kementerian Penerangan bertindak sebagai ketua perwakilan. Lain-lain peserta L. Krishnan, John Nettleton (Filem Negara Malaysia), Lee Kee Ying (Shaw Brothers), Amisah Borhan, M. Yusoff (Sabah Filem), Khalid Jafri (Utusan Melayu), Sivaji Rajah dan Zahari Zabidi (Seniman).

    Disamping menonton filem-filem yang dipertandingkan dan melakukan acara-acara bersendirian, para perwakilan dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di Sydney dan sekitarnya seperti menikmati panorama indah dan menaiki kereta kabel (Scenic Skyway) di kawasan peranginan Blue Mountain dan bersukaria di Luna Park Sydney yang mula beroperasi sejak pada tahun 1935.

    Menyaksikan perlumbaan kuda di Randwick Racecourse (6 kilometer dari Sydney) dan bermain golf di padang golf terbesar di Eastlakes Golf Club yang jauhnya 10 minit berkereta dari Lapanganterbang Sydney.

    Paling menarik, apabila semua perwakilan di bawa menyusur sungai dengan kapal pelancong Captain Cook II untuk menikmati keindahan pelabuhan Sydney di waktu malam.

    Pendekkata, acara-acara lawatan ke tempat-tempat menarik yang diatur oleh AJK FFA24 telah disusun dengan begitu baik sekali dan bagi saya, ia merupakan suatu perkara yang sangat sukar dilupakan selagi hayat dikandung badan.


    LUCU DAN TAKUT___

    Pertama, di Luna Park Sydney (lebih kurang macam Disneyland): Amisah Borhan, Zahari Zabidi dan saya naik buaian pusing, konon mahu berseronok. Apabila buaian berpusing, bukan seronok yang dapat takut pula yang timbul, kami melayang-layang. Saya berdoa supaya buaian diberhentikan segera, tetapi lama juga ia berpusing mengikut masa yang ditetapkan.

    Apabila berhenti, Zahari Zabidi menyapu-nyapu mukanya kerana berpeluh, macam mahu muntah, Amisah Borhan kelihatan pucat lesi dan saya pula apabila turun terhuyung hayang, kepeningan.

    Tidak heranlah, 8 bulan kemudian pada 9 Jun 1979 terjadi kebakaran Keretapi Berhantu di tempat bersukaria itu mengakibatkan 6 kanak-kanak dan seorang dewasa terbunuh. Penutupan segera dilakukan dan operasinya hanya disambung semula pada tahun 1982.

    Kedua, di Blue Mountain: Noor Azizah, Noor Kumalasari, Jins Shamsudin, Amisah Borhan, M. Yusoff, Khalid Jafri dan saya serta ramai lagi telah menaiki kereta kabel Scenic Skyway (boleh muat 84 penumpang) dari Katoomba melintasi Lembah Jamison dan berhenti di tengah-tengah yang tingginya 200 meter dari lantai tanah.

    Setelah menikmati panorama yang sangat mengkagumkan, selepas bergambar dan mengambil gambar, saya pun menjenguk ke bawah.

    Alamak, punyalah sayup! Saya mulai takut dan menggeletar. Dalam hati pula berkata, kalaulah kabelnya putus tak tahu apa nak cakap, pasti badan kami semua hancur berkecai termasuk Sophaan Sophiaan yang berada disebelah saya.

    Setakat yang diketahui, tidak pernah berlaku sebarang tragedi yang tidak diingini sejak ia beroperasi pada tahun 1958.

    Begitupun juga, apabila datang ke situ buat kali kedua (beberapa tahun kemudian) saya mengelak menaiki kereta kabel tersebut walaupun ada kawan beria-ia benar mendesak supaya saya ikut sama.





    RITES OF MAY (ITIM)
    (sumber: natnatskie)




    THE 36TH. CHAMBER OF SHAOLIN
    (sumber: furyfist)




    LOCENG MAUT
    (sumber: anasyid)




    THE YELLOW HANDKERCHIEF
    (sumber: asianvisions)




    PATRICK
    (sumber: aussieroadshow)


    FAKTA___

  • Kali pertama Sydney (Australia) menjadi tuanrumah Festival Filem Asia.

  • Kali pertama Kuala Lumpur (Malaysia) memenangi anugerah suntingan filem terbaik kerana filem "Loceng Maut". Kali kedua pada tahun 1986 apabila Johari Ibrahim memenanginya kerana filem "Jasmin 2".

  • Beg pakaian Noor Kumalasari sampai kepadanya setelah 3 hari festival filem berlangsung. Khabarnya, begnya itu menggembara jauh hingga ke London kemudian berpatah balik ke Sydney.

  • Selepas Sydney, FFA25 (1979) berlangsung di Singapura. Kuala Lumpur memenangi dua anugerah - komidi terbaik "Panglima Badol" dan rakaman suara terbaik "Dendang Perantau".

  • Kali kedua Sydney menjadi tuanrumah FFA pada tahun 1994. Filem "Eat Drink Man Woman" yang diarahkan oleh Ang Lee telah memenangi anugerah filem terbaik.

  • Sesudah Sydney, pada tahun 1996 (FFA41) jirannya Wellington (New Zealand) pula menjadi tuanrumah. Kuala Lumpur dapat menambah satu lagi anugerah utama apabila Sidi Oraza memenangi kategori pelakon lelaki pembantu terbaik "Sayang Salmah".


  • Update akan dilakukan dari masa ke masa.






    ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

    FILEM KLASIK MALAYSIA
    berapa banyakkah yang masih ada?


    FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-6
    tokyo menangi lapan anugerah


    FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-24
    manila menangi anugerah filem terbaik


    FESTIVAL FILEM ASIA-PASIFIK KE-25
    taipei menangi lapan anugerah


    AHMAD MAHMOOD
    ahmad mahmood bintang di langit seni

    NOSTALGIA FILEM MELAYU KLASIK
    maklumatnya tepat atau mengelirukan

    ROH MEMBELA (1955)
    kekuatannya special effect dan aziz sattar

    CHEMBURU (1953)
    banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

    THE LONG HOUSE (1957)
    kalau pun ada, kita tidak dapat menontonnya


    PONTIANAK (1957)
    mencapai kejayaan box office luar jangkaan



    FILEM-FILEM BARU DI PANGGUNG WAYANG___






















    KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

    Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.







  • Sunday, May 22, 2011


    A TOWN LIKE ALICE (1956)


    KETABAHAN TAWANAN WANITA MENGHADAPI PERANG
    Teks: Mustafar A.R.
    Foto: Dari Pelbagai Sumber
    Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop





    Virginia McKenna sebagai Jean Paget



    Peter Finch sebagai Joe Harman









    Virginia McKenna membiayai telaga air untuk penduduk kampung




    Virginia McKenna dan Edwina Carroll sebagai Fatima



    Virginia McKenna mengimbau masa silam



    Askar-askar Jepun menakluki Malaya







    Pertemuan awal Virginia McKenna dan Peter Finch







    Peter Finch di papah untuk disalib ke sebatang pokok




    Virginia McKenna merayu untuk mendapatkan perlindungan



    Virginia McKenna dan Edwina Carroll bercucuk tanam di sawah padi



    Virginia McKenna diberitahu oleh Sanny Hussan Peter Finch
    masih hidup







    Pertemuan Jean Paget dan Joe Harman yang menyayat hati




    THE RANK ORGANISATION
    Produser JOSEPH JANNI
    Pengarah JACK LEE
    Pengarah fotografi GEOFFREY UNSWORTH
    Penyunting filem SIDNEY HAYERS
    Pengarah seni ALEX VETCHINSKY
    Cerita NEVIL SHUTE (NOVEL)
    Lakunlayar W.P. LIPSCOMB RICHARD MASON
    Musik MATYAS SEIBER
    Pelakon VIRGINIA MCKENNA PETER FINCH MARIE LOHR REENE HOUSTON EILEEN MOORE JEAN ANDERSON MAUREEN SWANSON NORA NICHOLSON TAKAGI IKEDA NAKANISHI YAMADA SANNY BIN HUSSAN TRAN VAN KHE VU NGOC TUAN JOHN FABIAN GEOFFREY KEEN EDWINA CARROLL

    Lokasi penggambaran: Malaya (Malaysia), Australia & England
    Mula penggambaran: Singapura, Julai 1955
    Mula diedarkan: 1956 (1 Mac, London)
    Masa tayangan: 117 Minit


    JALAN CERITA___

    England dan Malaya kini.

    Jean Paget berhasrat kembali ke Malaya di mana dia telah menjadi tawanan askar-askar Jepun selama tiga tahun semasa perang dunia kedua. Dia mahu kembali ke kampung yang telah memberi perlindungan kepadanya dan teman-teman yang senasib dengannya.

    Jean ingin melakukan sesuatu sebagai membalas budi. Dia kemudian berjaya membina telaga untuk kemudahan orang-orang kampung mendapatkan air.

    Kuala Lumpur tahun 1942 (sorotbalik).

    Jean bertugas sebagai Setiausaha (Jurutaip) untuk Kerajaan British di Malaya. Tidak lama kemudian Jepun menakluki Malaya dan askar-askarnya telah menangkap semua lelaki British dan di hantar ke kem tahanan.

    Wanita-wanita dan kanak-kanak terlebih dulu dikerah berjalan kaki ke Singapura (sebelum dihantar pulang ke England) yang jauhnya 50 batu dibawah pengawasan seorang askar Jepun berpangkat sarjan.

    Bagaimanapun, Jean dan teman-temannya (11 wanita dewasa dan 7 orang kanak-kanak) diarah ke sana ke mari kerana kem tahanan untuk mereka tidak ada. Permergian mereka ke Singapura dibatalkan dan diarah pula ke Kuala Lumpur.

    Tiga batu lagi sampai ke Kuala Lumpur disuruh pula ke Port Swetthenam, kemudian ke Port Dickson, Tampin dan ke Kuantan yang jaraknya 200 batu. Di antara mereka ada yang jatuh sakit dan meninggal dunia.

    Dalam perjalanan, Jean bertemu dengan Joe Harman (tawanan perang Australia) yang kemudian membantunya mendapatkan kuinin mengubati demam malaria dan juga bekalan makanan.

    Akhirnya, Jean dan teman-temannya sampai juga ke Kuantan. Joe, yang membantu mereka dengan membekalkan ayam (kepunyaan askar-askar Jepun), telah disoalsiasat kemudian ditangkap kerana menyerang salah seorang askar Jepun tersebut.

    Dengan disaksikan oleh Jean dan teman-temannya serta orang-orang tahanan perang Australia, Joe menerima hukuman disalib di sebatang pokok.

    Kerana tidak ada kem tahanan untuk menempatkan Jean dan teman-temannya, mereka diarah pula pergi ke Kota Bharu.

    Sampai disebuah kampung, sarjan askar Jepun meninggal dunia dan Jean merayu kepada Ketua Kampung supaya membenarkan mereka tinggal di kampung tersebut dengan melakukan kerja menanam padi. Mereka dibenarkan.

    Kembali semula waktu kini.

    Ketika berbual-bual dengan penduduk kampung (Sulaiman), dia menyatakan akan pulang ke Kuantan. Bila disebut Kuantan, Jean bertanya mengenai Joe yang disalib kerana mencuri ayam.

    Sulaiman masih ingat peristiwa tersebut dan memberitahu, Joe telah dirawat di hospital sekian lama. Jean terperanjat kerana dia menyangkakan Joe sudah meninggal dunia. Yaakob (anak Sulaiman) mengesahkan Joe masih hidup.

    Jean pergi ke Australia mencari Joe, Joe pergi ke England mencari Jean. Di Lapanganterbang Alice Springs, Jean menunggu ketibaan Joe. Akhirnya, mereka bertemu dan bersatu kembali.


    ULASAN FK___

    Filem ini dimulakan kamera fokus di tengah-tengah Kota London dan kemudian terus ke pejabat Owen, Dalhousie and Peters di mana Jean Paget sedang berbincang dengan peguamnya (Geoffrey Keen).

    Jean berhasrat kembali ke Malaya untuk membina telaga air sebagai membalas budi orang-orang kampung yang telah memberi perlidungan kepadanya dan teman-temannya semasa perang dunia kedua.

    Dengan menaiki bas, Jean sampai ke kampung tersebut. Dia disambut dengan gembira oleh Fatima dan orang-orang kampung. Kemudian telaga pun dibina dan penduduk kampung tidak lagi bersusah payah pergi jauh mengangkut air.

    Walaupun kampung yang memberi perlindungan kepada Jean dan teman-temannya tentulah ketika mereka menuju ke arah Kota Bharu dari Kuantan, tetapi ternyata lokasi penggambaran di Kampung Talang di Negeri Sembilan.

    Suasana kampung Melayu yang dikelilingi sawah padi digambarkan dengan begitu baik sekali lebih-lebih lagi adanya tarian joget (musik lagu nyanyian A. Rahman) sebagai meraikan terbinanya telaga air dengan perbelanjaan ditanggung oleh Jean.

    Ketika berada disinilah Jean mengenang kembali (sorotbalik) masa silamnya (pada tahun 1942) apabila Fatima bertanya kepadanya tentang kahwin.

    Apa yang menarik, tidak terdapat keganasan yang mutlak oleh askar-askar Jepun dalam filem ini. Tidak ada kekasaran terhadap wanita-wanita yang menjadi tawanan perang dan tidak ada pembunuhan dilakukan terhadap orang-orang tawanan British.

    Kalau ada pun sedikit sangat dan deraan (disalib) terhadap Joe sebab dia bersalah menyerang seorang askar Jepun bukan kerana mencuri ayam.

    Wanita-wanita (ada juga yang cantik seperti Jean) tidak diganggu. Mereka hanya memujuk Jean akan diberikan kemewahan dan kesenangan sekiranya dia bersetuju untuk menjadi pemuas nafsu 7 pegawai askar Jepun, tetapi ditolaknya.

    Sebagai ganti Ellen (Maureen Swanson) yang pergi, itu pun bukan kerana dipaksa tetapi atas kerelaan dirinya sendiri.

    Cuma yang boleh dianggap sebagai zalim, paksaan yang dilakukan terhadap wanita-wanita dan kanak-kanak berjalan kaki dari satu tempat ke satu tempat berbatu-batu jauhnya (selama 7 bulan) semata-mata kerana tidak adanya kem tahanan buat mereka.

    Kalau sekadar wanita-wanita dewasa saja masih boleh diterima tetapi kalau sudah melibatkan kanak-kanak (ada yang masih terlalu kecil), itu sudah dianggap melampau - tidak berperikemanusiaan.

    Begitu pun juga, filem ini menarik dari berbagai aspek - arahan, sinematografi dan lakonan. Susunan plotnya kemas, penggambarannya (walaupun hitam & putih) termasuk sudut-sudut kameranya memuaskan dan lakonan pelakon-pelakonnya terutama Virginia McKenna dan Peter Finch sangat baik.

    Sungguhpun diakhir filem ada tercatat penggambarannya di Malaya, Australia dan England tetapi ternyata 90% di lakukan di Malaya.

    Inilah yang menarik. Disamping Malaya, nama-nama Kuala Lumpur, Port Swetthenam, Port Dickson, Tampin, Kuantan dan Kota Bharu telah dijaja ke seluruh dunia.

    Kalau diikutkan novelnya, kisahnya tidak berakhir seperti yang terdapat dalam filem ini. Ia berlanjutan selepas Jean dan Joe berkahwin.

    Idea ini mungkin Jack Lee perolehi dari pengarah William Wyler yang mengambil sebahagian saja dari novel "Wuthering Heights" karya Emily Bronte dijadikan filem.

    Satu lagi yang menarik, tidak ada satu pun adigan cium (seperti kebiasaan terdapat dalam filem-filem British dan Hollywood) antara Jean dan Joe walaupun semasa mereka bertemu semula diakhir filem.

    Pada keseluruhannya, filem ini boleh dianggap sebagai salah satu filem British yang terbaik pernah dikeluarkan, dan ianya lebih terbaik kerana penggambarannya dilakukan di Malaya.

    THE NEW TRANSPORT COMPANY LTD, KUALA LUMPUR 3 MILES PICADILLY 8003, PANONG RUBBER FACTORY, SEKOLAH MELAYU (rumi dan jawi), KUANTAN SUPPLY DEPOT, JAYA CINEMA dan TONIGHT 8.30 PM INI MALAM (jawi), adalah antara beberapa perkara yang seronok di tonton.


    SANNY BIN HUSSAN___

    Sanny Bin Hussan atau Sunny Bin Hassan berasal dari Singapura. Dan ketika berlakon dalam filem ini, usianya 62 tahun. Dia bekerja sebagai kelasik kapal dan sentiasa berulangalik antara Singapura dan England.

    Pada tahun 1931, Sanny Hussan menetap di England dan kemudian berkahwin dengan wanita Inggeris Liverpool.

    Pada masa itu (tinggal di Cardiff, Wales), dia mempunyai tiga anak tiri dan 10 cucu.

    Filem ini merupakan yang pertama dibintanginya, dan selepas itu dia ditawarkan pula berlakon dalam "Wisdom's Way" (1957) yang diarahkan oleh Ronald Neame dengan bintang utamanya Peter Finch dan Mary Ure.

    Peranannya sebagai Father Amyan, tetapi namanya tidak tercatat dalam credit title.

    Jika tidak ada penggambaran dan tidak berkerja, Sanny Hussan sering menghabiskan masanya dengan melukis.

    Tidak dapat dipastikan samada Sanny Hussan masih hidup atau pun sudah meninggal dunia.


    EDWINA CARROLL___

    Tidak banyak dapat diketahui tentang Edwina Carroll yang berperanan sebagai Fatima dalam filem ini.

    Apa yang dapat diketahui, dia merupakan penari profesional dan pernah muncul sebagai gadis Geisha dalam pementasan "Teahouse of the August Moon" di London.

    Pun tidak dapat dipastikan, samada Edwina Carroll masih hidup atau pun sudah meninggal dunia.


    ANUGERAH___

    * Pelakon Lelaki Terbaik PETER FINCH

    * Pelakon Wanita Terbaik VIRGINIA MCKENNA

    # Anugerah British Academy of Film and Television Arts (BAFTA) 1957


    FAKTA___

    * Nama Alice yang dijadikan tajuk "A Town Like Alice" merujuk kepada Alice Springs yang terletak di utara Australia.

    * Novel "A Town Like Alice" mula diterbitkan pada tahun 1950 oleh Wm. Heineman Ltd.

    * Nevil Shute lahir pada 17 Januari 1899 dan meninggal dunia pada 12 Januari 1960.

    * "A Town Like Alice" juga menggunakan tajuk "Rape of Malaya".

    * "A Town Like Alice" hanya meliputi bahagian pertama novel "Legacy" karya Nevil Shute.

    * Pada tahun 1981, "A Town Like Alice" dibuat semula (miniseries) yang dibintangi oleh Helen Morse dan Bryan Brown. Ia meliputi seluruh novel.

    * Nama kampung (lokasi) di mana Jean Paget dan teman-temannya mengakhiri perjalanan ialah Kuala Talang terletak di Negeri Sembilan.

    * Antara tahun 1950 dan 1980, ini yang pertama dari tiga filem (filem British) boleh dikatakan keseluruhan penggambaran (lokasi) dilakukan di Malaya. Dua lagi "The 7th. Dawn" (1964) dibintangi William Holden dan Susannah York dan "Paper Tiger" (1975) lakonan David Niven dan Toshiro Mifune.

    * Jose Verena Mason (18 tahun) yang menjadi pengganti (double) Virginia McKenna sepanjang penggambaran di Malaya, nyaris-nyaris maut apabila dia terlibat dalam kecelakaan jalanraya.

    * Penari-penari dan pemusik-pemusik yang terdapat di awal filem terdiri daripada pelajar-pelajar Malaya (Malaysia) di London, dan penggambarannya dilakukan di studio Pinewood, England.

    * Satu lagi novel karya Nevil Shute, "On The Beach", telah dijadikan filem oleh Stanley Kramer pada 1959 dengan bintang utamanya Gregory Peck, Ava Gardner, Fred Astaire dan Anthony Perkins.


    MARI KITA MENONTON FILEM "A TOWN LIKE ALICE"





    "A TOWN LIKE ALICE" FULL MOVIE
    (Sumber: Geoffrey Marks)