"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Friday, May 20, 2011


JAMBATAN MAUT (1963)

RELA MATI DEMI MEMPERTAHANKAN MARUAH
Teks: Mustafar A.R.
Foto: Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



Sophia Ibrahim sebagai Hamidah/Zubaidah



S.A. Mokhtar sebagai Ibrahim




















A. Bakar Jaafar sebagai Haron



Jamal Kerdil sebagai Kamal









Produksi MERDEKA STUDIO
Produser (Penasihat) HO AH LOKE
Pengarah M.YATIM
Jurugambar LOW YEW WAH
Jurusuara TAN CHUAN HOCK
Pengarah Seni DARMA
Musik M.YATIM
Pelakon SOPHIA IBRAHIM S.A.MOKHTAR A.BAKAR JAAFAR
JAMAL KERDIL BAKAR M. AMIN ZAA M.NOR JIN


JALAN CERITA___

Pantai Belimbing: Hamidah tinggal bersama ibunya yang buta. Suatu hari ketika pulang selepas mandi dan mencuci kain, dia telah diganggu oleh Haron (Kepala Penjahat) dan tiga lagi kawannya.

Hamidah dapat melepas diri dan lari, tetapi dikejar oleh Haron dan kawan-kawannya. Sampai di pertengahan jambatan buluh untuk menyeberang dia tidak dapat lepas kerana dikepung.

Demi mempertahankan maruahnya, Hamidah mengambil keputusan terjun ke dalam sungai. Ibrahim, kebetulan sedang lalu di situ, cuba menyelamatkannya tetapi gagal. Hamidah hilang di bawa arus deras.

Dirumah Ibrahim dimarah ayahnya kerana asyik mengarang lagu saja, tidak mahu cari kerja. Ayahnya menyuruh dia berkahwin dengan anak orang kaya dan ada kuasa di Melaka tetapi ditolaknya kerana dia tidak mengenali gadis tersebut.

Disebabkan keenggannya itu, Ibrahim dihalau ke luar rumah oleh ayahnya, dan bersama Kamal (pembantu rumah) dia pergi ke pondok usang (kepunyaan orangtuanya) berhampiran dengan jambatan di mana Hamidah terjun ke dalam sungai.

Semasa meneruskan kegemarannya mengarang lagu, Hamidah menjelma. Kali ini bukan sebagai manusia biasa tetapi sebagai orang halus (bunian). Hamidah datang ke situ kerana mahu menhukum Kepala Penjahat dan kawan-kawannya yang menjadi ancaman orang-orang kampung terutama anak-anak gadis.

Pertemuan tersebut menjalinkan perasaan cinta antara mereka, dan boleh dikatakan setiap malam Hamidah ke pondok tersebut menjalin kasih sayang dengan Ibrahim sambil bergurau senda dan menyanyikan lagu-lagu karangan Ibrahim.

Pertemuan Ibrahim dan Hamidah terganggu apabila Ibrahim dikatakan sakit di mana ayahnya datang ke pondok tersebut dengan membawa Tok Bomoh untuk menjampi serapah yang menyebabkan Hamidah berada dalam keadaan tidak menentu.

Haron dan kawan-kawannya datang dan terus mengganggu orang-orang kampung terutama anak-anak gadis dan merampas duit peniaga diwarong, dan ini membuat Ibrahim dan orang-orang kampung berusaha menangkap mereka.

Perangkap yang di pasang oleh Ibrahim berjaya apabila tertangkapnya dua diantara mereka, Haron dan seorang lagi kawannya dapat melepaskan diri. Bagaimanapun,
tempat persembunyian mereka dapat dikesan.

Pertarungan berlaku, dan ketika lari dari diburu oleh orang-orang kampung dan ketika dia cuba menyeberangi jambatan di mana dulu Hamidah pernah terjun (di tempat yang sama) dia terjatuh dan mati tertikam oleh kerisnya sendiri setelah dia ternampakkan Hamidah datang ke arahnya.

Kerana dendamnya sudah tercapai, Hamidah memberitahu Ibrahim yang mereka tidak boleh hidup bersama kerana berada dalam dua alam yang berlainan. Dia terpaksa kembali ke tempat asalnya dan tidak akan kembali lagi.

Bagaimanapun Hamidah menyuruh Ibrahim menurut saja kehendak ibubapanya supaya berkahwin dengan gadis yang dipaksanya kahwin dulu. Kerana kasihnya kepada Hamidah, Ibrahim bersetuju dengan permintaan Hamidah itu.

Apabila keadaan kampung sudah aman dan damai, Ibrahim pun pergi ke rumah Datuk Shahbandar di Melaka. Di sana dia bertemu dengan sepupu Hamidah yang wajah dan bentuk badan sama seperti Hamidah namanya, Zubaidah.


ULASAN FK___

Filem ini dikeluarkan 48 tahun yang lalu, dan sudah tentulah corak persembahannya mengikut trend tahun-tahun 1960an.

Sepanjang yang diketahui M.Yatim (Maroeti) tidak pernah mengarah filem dia lebih terkenal sebagai penyanyi piringhitam.

Perlantikan M.Yatim sebagai pengarah disebabkan Studio Merdeka kekurangan pengarah sedangkan studio tersebut perlu produktif mengeluarkan filem.

Oleh yang demikian, Ho Ah Loke telah menawarkan M.Yatim (yang dikenalinya semasa di Singapura dulu) mengarah satu filem secara kontrak.

L. Krishnan dan Salleh Ghani telah dibebankan dengan beberapa filem manakala A.R.Tompel pula terpaksa diketepikan kerana filem "Abu Nawas" arahnya gagal mendapat sambutan.

Disebab M.Yatim orang Indonesia, saya cuba membandingkan cerita filem ini dengan kisah legenda Indonesia "Si Manis Jambatan Ancol" yang termasyur itu, tetapi ternyata kisahnya tidak sama. Kemudian saya difahamkan, ceritanya diceduk dari filem Cina.

Sudah menjadi kebiasaan kepada MFP di Singapura dan Studio Merdeka mengambil cerita-cerita filem Cina untuk jadikan filem-filem Melayu. Sayangnya, filem Cina itu (setakat ini) belum dapat saya kesan.

Permulaan filem ini agak baik, namun apabila sampai ke peringkat Sophia Ibrahim terjun ke dalam sungai pergerakannya mulai perlahan dan ini ada kalanya menimbulkan kebosanan. Penggambaran yang dilakukan di pondok usang dan tempat bertemunya Hamidah dan Ibrahim seolah-olah kita menonton drama tv bukannya filem.

Keseraman yang patut timbul di masa itu kerana Sophia Ibrahim sudah bertukar dari manusia ke orang halus (boleh dianggap hantu) tidak dirasai penonton. M.Yatim gagal menjadikan adigan-adigan yang sepatutnya boleh diseramkan tetapi tidak menyeramkan.

Bergurau, berlagu dan menyanyi itu sudah cukup baik tetapi kalau sudah sampai ke peringkat Hamidah dan Ibrahim bermain dam, itu sudah dianggap mengarut. br />
Memanglah bermain dam itu diperlukan untuk continuity, tetapi sepatutnya M.Yatim cari cara lain yang lebih sesuai kerana Hamidah itu perempuan dan orang halus pula.

Dari segi cerita tidak ada kekuatannya, ia sudah banyak kali dijadikan cerita filem. Pada tahun 1955, MFP telah membuat filem "Roh Membela" (arahan B.N. Rao) yang mempunyai jalan cerita seakan-akan sama.

Dari segi lakonan, sebagai bintang baru lakonan Sophia Ibrahim (heroine) sederhana saja, peranannya sebagai Hamidah sangat sesuai. S.A.Mokhtar (hero) pun begitu juga walaupun ada sedikit kekakuan.

Jamal Kerdil sepatutnya berperanan komedi yang membolehkan penonton-penonton terhibur tetapi M.Yatim tidak menggunakan kesempatan tersebut. Jika ada pun sedikit sangat. Tidak seperti B.N.Rau yang menggunakan kelakar Aziz Sattar dalam "Roh Membela" sepenuhnya hingga menjadikan panggung wayang riuh rendah.

A.Bakar Jaafar (crook), kejahatannya tidak meyakinkan, tidak seperti Shariff Dol. Dia ada menampakkan serius sebagai crook tetapi seriusnya itu macam komedi.

Musik dan lagu-lagu walaupun dihasilkan oleh M.Yatim namun tidak ada yang boleh dianggap menarik, kalau ada pun cuma satu saja.

Dari segi teknik, terlalu banyak kesilapan tidak ada pengawasan teliti menyebabkan kesalahannya begitu ketara sekali.

Ada beberapa perkara perlu disentuh, Sophia Ibrahim (superimpose) sepatutnya tidak patut lari ke sana sini menyorokkan diri (dari orang-orang kampung) supaya dirinya tidak kelihatan. Buat apa buat begitu sedangkan dirinya memang sudah tidak kelihatan.

Lagi satu, pakaian Sophia Ibrahim yang kemas dan cantik (macam pergawati fesyen) itu kira okeylah. Tetapi dandanan rambutnya tidak sesuai, terlalu advance. Sebagai gadis kampung sebaiknya rambutnya biarlah panjang mengurai.

Dalam majalah Suasana Bintang Film keluaran bulan Februari 1964, dalam ulasannya, J.A.Shukor menganggap filem ini sebagai tawar dan hambar.

Pada pendapat saya pula, tidaklah sampai ke peringkat itu. Ada juga antaranya yang baik terutama dari segi teknik penggambarannya yang digambarkan oleh Low Yew Wah.

Bagaimanapun, saya menghormati pandangan tersebut. Tawar dan hambar itu, saya setuju hanya 50% saja.

Pada keseluruhannya, walaupun terdapat banyak kelemahan namun filem ini memperlihatkan satu persembahan filem yang dikeluarkan oleh Studio Merdeka sebagai produk yang dihasilkan dalam keadaan kepakaran dan peralatan filem yang serba kekurangan.

Kita patut menghargai usaha Ho Ah Loke dan M.Yatim mengeluarkan filem ini yang boleh dianggap sebagai satu lagi khazanah filem Malaysia yang tidak ternilai harganya.

Soalannya, adakah Arkib Negara dan Finas memiliki filem ini?



SIAPA S.A.MOKHTAR?
Oleh: Zaini Yusop


S.A.MOKHTAR BERASAL DARI MELAKA

Ramai yang tidak tahu, siapa S.A.Mokhtar? Ini kerana selepas "Jambatan Maut" beliau hilang entah kemana. Kalau sudah meninggalkan kita, di mana kuburnya?

S.A.Mokhtar nama penuhnya, Syed Mokhtar Bin Syed Abdullah, dilahirkan di Melaka pada tahun 1938, kini (jika masih hidup) berusia 77 tahun.

Kerana berhasrat menceburkan diri dalam lapangan kesenian terutama filem, Mokhtar sanggup meninggalkan jawatannya sebagai pegawai tentera British yang berpengkalan di Singapura.

Pertama kali Mokhtar menghadapi kamera, apabila Salleh Ghani menyerahkan peranan sebagai pengurus (manager) dalam filem "Anak Manja" pada tahun 1963 yang turut dibintangi oleh Abdullah Chik, Kasma Booty dan Mustapha Maarof.

Hanya filem tersebut, Mokhtar sebagai hero, selepas itu ghaib walaupun beliau pernah berkata: "Saya akan terus berusaha memberi kepuasan kepada penonton-penonton filem Melayu."

Sebabnya mungkin, "Jambatan Maut" kecundang di box office.



LAGU___

Terdapat beberapa lagu, kesemuanya (termasuk lirik) dicipta oleh M.Yatim. Bagaimanapun, ia kurang menarik kecuali satu, "Biarlah Aku Pergi," yang dinyanyikan oleh Norma Salim.

Yang lain-lain juga menggunakan suara Norma Salim;

* "Hidup Bahagia"
* "Sekuntum Bunga"
* "Mencuci Kain"

Lagu tersebut dirakamkan oleh Merdeka Studio seminggu sebelum isteri S.M.Salim itu, terlibat dalam kemalangan jalanraya di Kampar, Perak hingga meragut nyawanya pada 11 September 1963.


FAKTA___

* Filem pertama diarahkan oleh M.Yatim.

* Tajuk asal filem ini "Hamidah", dan dipadankan dari filem Cina Hong Kong.

* Filem ketiga lakonan Sophia Ibrahim selepas "Ibu Ayam" dan "Anak Manja".

* Filem pertama Sophia Ibrahim sebagai heroine.

* Filem pertama S.A.Mokhtar sebagai hero.

* Penglibatan S.A.Mokhtar agak misteri. Selepas filem ini dia menghilangkan diri, dan perkembangan mengenai dirinya hilang begitu saja. Satu kajian patut dibuat.

* Filem ke-11 keluaran Studio Merdeka.

* M.Yatim ialah pengarah ke-4 di Studio Merdeka selepas L.Krishnan, A.R.Tompel dan Salleh Ghani.

* Amin Zaa yang turut berlakon dalam filem ini kemudian terkenal sebagai jurugambar filem.



14 comments:

  1. salam saudara Mustafar.. sy terjumpa blog saudara ini semasa menggoogle nama arwah bapak sy, "Amin Zaa'. Usaha saudara membangunkan blog ini amat berharga demi mengimbau filem2 klasik zaman dahulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ketinggalan keretapi saya.
      Tak tau Amin Zaa dah pergi menemui Tuhannya.
      Boleh beritahu saya, bila?
      Nak masukkan ke dalam artikel
      Pergimu Takkan Kembali Lagi.

      Delete
  2. Sudah lama sy mencari copy filem ini di pasaran namun tidak juga sy perolehi. Mungkin saudara boleh membantu sy bagaimana boleh sy memperoleh salinan filem tersebut?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada dvdnya.
      Boleh e-mail saya,
      jika sdra memerlukannya.

      Delete
    2. salam en. mustafar.. maaf kerana kelewatan saya membalas jawapan saudara. apakah emelnya?

      Delete
  3. zaman tu kira ok ler....budget xde umphhhh

    ReplyDelete
  4. Assalam en mustafar.terima kasih kerana membina blog ini.sekurang2nya saya dapat mengenali arwah atuk saya iaitu Abu Bakar Jaafar.

    ReplyDelete
  5. Berapa umur sophia sewaktu berlakon filem ini? Rasanya dia lahir tahun 1948 bermakna umurnya baru 15 tahun?

    ReplyDelete
  6. Sedang menonton jambatan maut di astro ria. terus google dan jumpa blog ini.

    ReplyDelete
  7. cucu s.a mokhtar baru post kat fb dia hehe

    ReplyDelete
  8. Adakah filem ini dilakonkan di Pantai Belimbing Melaka? Kerana nama-nama tempat menyamai yang ada sekarang selain Melaka Pindah yang disebut dalam filem ini. Bolehlah filem ini dijadikan filem sejarah Pantai Belimbing itu sendiri. Mungkin boleh menaikkan nama tempat ini.

    ReplyDelete
  9. Assalam en mustafa ay anak pd SA MOKHTAR-sariwathy mokhtar dengarnya ada dvd nya cerita ini ttg bapak sy,bolehlah sy dapatkan copy dvd tersebut? Email kepada sy massarimokhtar@ymail.com

    ReplyDelete
  10. Sudah lama ini ya. Saya cucu S.A. Mokhtar. Namanya ialah Mokhtar bin Abdullah. Sudah meninggal dunia pada 1986-87 saya tak ingat.

    ReplyDelete
  11. Ibu sy sll sebut SA Mokhtar pakcik dia. Sbb itu tlg cari filem. Org tua, tak pasti ingat betul ke tak. Jumpa blog ni.

    ReplyDelete