Tribute... Bujang Lapok (30/11/1957-30/11/2017) Genap 60 Tahun Filem Komedi P.Ramlee, Bujang Lapok. Update: 30/11/2017

Klips Warna Warni * Bujang Lapok (1957) * Pendekar Bujang Lapok (1959) * Ali Baba Bujang Lapok (1961) * Seniman Bujang Lapok (1961)
(Sumber: Kaki Sembang 2.0 * Kolya Kunikova * Boys 1551 * Pencinta Khazanah Seni * Amir Afifuddin)

Saturday, May 27, 2017


KISAH P.RAMLEE DENGAN KASMA BOOTY


Foto-Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit, Di Semak & Di Susun Oleh Zaini Yusop


HANDSOMENYA P.RAMLEE

JELITANYA KASMA BOOTY



SEMPENA PEMERGIAN P.RAMLEE YANG KE-44
Oleh: Mustafar A.R.



Pada 29 Mei 2017, genap 44 tahun P.Ramlee pergi menemui Illahi. Pada 29 Mei 1973, terlalu ramai rakyat Malaysia terkejut dan meratap hiba kerana tiba-tiba saja kehilangan seniman yang sejak tahun 1948 telah memberi hiburan kepada mereka dengan lagu-lagu nyanyian dan lakonan serta filem-filem yang diarahkannya.

Seniman agung ini sukar dicari ganti, kerana itulah setiap tahun seharusnya diingati baik tarikh lahirnya pada 22 Mac mahupun tarikh pemeriannya pada 29 Mei, dengan melakukan apa saja supaya bintang yang sudah dianggap legenda ini terus bersemadi dihati rakyat Malaysia, mungkin juga Singapura.

Semperna kembalinya P.Ramlee (Tan Sri) ke sisi yang Maha Pencipta, pada tahun 2017 ini FK memilih tiga artikel menarik mengenai beliau.

Satu, ditulis oleh Ramli Ismail (yang boleh dianggap sebagai pengapit kanan P.Ramlee) yang tersiar dalam URTV pada 15 April 1991.

Kisah (flash back) bagaimana P.Ramlee mula-mula bertemu Kasma Booty, dan bagaimana pula beliau tidak menyangka P.Ramlee akan menjadi heroinenya dalam "Bakti" yang diarahkan oleh L.Krishnan (Tan Sri) pada tahun 1950.

Dua lagi oleh Adam Salleh dan Ahmad Nawab.

Bacalah dan hayatilah.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Al-Fatihah.






Tawaran istimewa bermula dari 1/2/2017 hingga 1/5/2017.

Kini diterbitkan sebulan sekali tidak dua minggu sekali.

Kini, Dalam proses penyelenggaraan.

Kini, Dalam proses penyelenggaraan.


12+1 LAGU TERBAIK RAFEAH BUANG

# ULASAN & KRITIKAN___
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA
* SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH
* BAYANGAN DI WAKTU FAJAR * JAMBATAN MAUT
* LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 27 Mei 2017)
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI 180,162
* SEKSI SELEBRITI INDONESIA 177,803
* SEKSI SELEBRITI MALAYSIA 177,340
* SELAMAT PENGANTIN BARU 68,880
* FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT 29,829





P.RAMLEE

PENGGIAT SENI TIDAK SEMARAK HARI SENIMAN
Oleh Adam Salleh



Tema tahun lalu, Wasatiyah Dalam Seni. Tema tahun ini, 'yelek' dalam bahasa Tamil maknanya tiada! Sebabnya tatkala penulis bertanyakan pada Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, apakah ada program dan tema Hari Seniman kali ini, dibalas, “Tidak buat tapi kita cover untuk majlis Ihya Ramadan Seniman sebab menghormati Ramadan.”

Beberapa presiden persatuan lain turut dihubungi, manalah tahu ada yang buat program tersendiri sempena Hari Seniman, sebagaimana tahun lalu sempena hari bersejarah itu, Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik (KFMMK) mengambil inisiatif menganjurkan program Bicara - P.Ramlee - Si Tora Harimau Jadian di Pustaka Peringatan P.Ramlee di Jalan Dedap, Setapak.

Sebagai pencinta seniman dan seniwati veteran tanahair, Ahmad Fauzee selaku pengerusi KFMMK mengundang heroine filem Si Tora, Fazliyaton, penyunting filem, Johari Ibrahim dan wartawan hiburan veteran Mustafar A.R. untuk mengupas filem arahan sulung P.Ramlee di Merdeka Filem Setudio, Hulu Klang pada tahun 1964 selepas meninggalkan studio Jalan Ampas di Singapura.

Seniman pula ketika itu dengan kerjasama Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) meraikan Hari Seniman di Pawagam Mini P.Ramlee di Finas, yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Bak kata peribahasa tiada rotan, akar pun jadilah, program tahun lalu tidaklah semeriah mana, tetapi kira oklah juga.

Sudah begitu penjelasan ‘tuan-tuan presiden’ untuk tahun ini kalangan penggiat seni, ‘follow’ saja. Cuma tidak bermaknalah Hari Seniman, jika tiada sebarang program dijayakan insan seni. Di sisi lain, tidak adil pula rasanya asal tiba Hari Seniman, persatuan dipayungi Zed Zaidi itu saja diasak, sedangkan di tanahair kita ada lebih 50 persatuan berkaitan seni, sebagaimana ‘didedahkan’ oleh Nora Danish di hadapan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak ketika Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Penggiat Seni Dengan PM pada 17 Mei lalu.

Pada waktu sama, mana perginya Persatuan Penyanyi Pemusik Penulis Lagu Tanahair (Papita) kerana P.Ramlee bukan saja tokoh di bidang perfileman tetapi nyanyian dan rakaman piringhitam.

Di sebaliknya, Seniman belum habis lelah apabila dipertanggungjawabkan oleh Yayasan Perdana Ummah selaku penganjur utama untuk menjayakan program TN50 Penggiat Seni itu. Berbanding artis negara jiran, penggiat seni kita beruntung kerana satu hari diisytihar sebagai Hari Seniman pada 2008 ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, sementara Presiden Seniman ketika itu, Datuk Mustapha Maarof (Allahyarham), namun tokoh utama terlaksananya Hari Seniman adalah Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Kelmarin, 29 Mei adalah Hari Seniman. Berbanding Hari Seniman yang diraikan sebelum ini, Isnin lalu mempunyai sentimental tersendiri kerana pada tarikh itulah genap 44 tahun kematian Tan Sri P Ramlee. Seniman Agung kesayangan rakyat itu meninggal pada usianya 44 tahun, di kala sedang sibuk menanti perasmian panggung wayang miliknya sendiri, Pawagam P.Ramlee.

Kita maklum Hari Seniman kali ini jatuh pada Ramadan, seperti mana penjelasan Zed Zaidi bagi menghormati Ramadan. Namun tidak salah jika pada hari berkenaan diadakan majlis sederhana seperti tahlil untuk seniman dan penggiat seni kita yang sudah mengadap Ilahi. Selepas Aidilfitri jika mahu merancakkan Hari Seniman, itu terpulang mengikut kemampuan.

Cuma yang tidak seronoknya Hari Seniman tidak disemarakkan oleh penggiat seni sendiri. Ini hari mereka, bertambah meriah sekiranya masing-masing memuat naik ucapan di media sosial atau di akhbar agar peminat dan masyarakat menyedari 29 Mei itu Hari Seniman. Bukan nak kata, sememangnya Hari Seniman itu miskin promosi.

Kalaupun tiada ucapan buat Hari Seniman, memadailah ingatan diberi pada P.Ramlee dan inilah diterjemahkan beberapa selebriti antaranya Datuk Shah Reza melalui akaun Instagramnya mencatatkan, “Al-Fatihah buat seorang insan seni istimewa yang menghambakan dirinya untuk kita tersenyum, ketawa, merenung, menangis dan juga insaf.”

Anak saudara P.Ramlee juga penghibur, Rozita Rohaizad pula menulis begini: “Allahyarham Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih (22.3.1929 - 29.5.1973) a.k.a. Tan Sri P Ramlee also known as ‘daddy’ stepped in as my father figure when my father passed away. Contrary to what a bandied around beliau tidak hidup merempat atau daif. Berbadan besar, suka memasak dan selalu berlengging sambil bermain piano di rumah banglonya yang sekarang Museum P.Ramlee. Al-Fatihah buat arwah 'daddy'. Miss you much.”

Agak menarik kenyataan Rozita itu agar mereka yang gemar tular kononnya P.Ramlee hidup merempat atau daif di akhir usianya adalah tidak benar. Paling rancak memuat naik ucapan sempena 29 Mei adalah ahli kelab KFMMK yang rata-rata mereka berkongsi emosi ini, “Di pagi Selasa 29 Mei 1973, satu berita yang mengejutkan masyarakat seluruh negara iaitu kembalinya ke rahmatullah seorang seniman besar dalam dunia Melayu.

Teuku Zakaria Teuku Nyak Putih atau P.Ramlee telah kembali kepada Maha pencipta-Nya di waktu Subuh akibat serangan jantung. Hari ini walaupun sudah 44 tahun pemergiannya, tetapi hasil karya seninya masih hidup segar berakar berumbi diseluruh ingatan. Benarlah katanya, “Aku hidup seribu tahun lagi”. Rehatlah wahai Seniman Agung, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin di sisi Allah.”

Sekalipun pelbagai ucapan lebih mengenang detik kematian P.Ramlee berbanding Hari Seniman, namun setidak-tidaknya tarikh 29 Mei itu tetap diingati oleh penggiat seni dan peminat tempatan. Cuma alangkah baik pada masa akan datang tiba detik itu, para penggiat seni wajar merancakkan sendiri detik itu agar peminat masing-masing menyedari 29 Mei itu adalah Hari Seniman.

Penulis Pengarang Rencana Metro Ahad.
Artikel ini disiarkan di myMetro pada: Rabu, 31 Mei 2017.





Ramli Ismail (kiri) turut berlakon dalam "Gelora" arahan P.Ramlee. Bersamanya, Bab Mustafar (kanan), Arman Yardi dan N.S.Sulaiman.

Ramli Ismail (tengah) bersama Sonny Abdullah (kanan) dan Mustafar A.R., ketika menyertai forum sempena Ulangtahun Kelahiran P.Ramlee ke-87 di Universti P.Ramlee pada bulan Mei tahun lalu.

RAMLI ISMAIL MENINGGAL DUNIA

Kuala Lumpur (27 Februari 2017): Bapa kepada pelakon Rusdi Ramli iaitu Ramli Ismail meninggal dunia akibat terjatuh ketika hendak pergi bilik air, 3 pagi tadi.

Bekas isteri arwah yang juga pelakon veteran, Norlia Ghani berkata, arwah meninggal dunia pada usia 78 tahun di rumahnya di Damansara Damai, Petaling Jaya.

"Saya dimaklumkan arwah terjatuh ketika nak ke bilik air awal pagi tadi. Selepas itu dia terus tak sedarkan diri. Anak arwah cuba memberikan bantuan pernafasan melalui mulut (CPR) tapi gagal.

"Kemudian mereka (anak dan isteri) menghubungi ambulans dan arwah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh. Namun arwah tak dapat diselamatkan," katanya kepada Harian Metro.

Norlia berkata, jenazah Allahyarham kini berada di Masjid Damansara Damai untuk dimandikan dan dikebumikan di kawasan berhampiran.

"Setahu saya arwah tak ada sebarang penyakit lain. Mungkin ini sudah ajalnya. Semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya.

Norlia dan Allahyarham berkahwin pada 1969 dan dikurniakan empat anak iaitu Rusdi, Romiza, Eddie dan Amy. Namun mereka bercerai pada 1986.

Kemudian arwah berkahwin kali kedua dan dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 23 tahun.

CATATAN TERAKHIR AKU BERSAMA RAMLI ISMAIL
Oleh Mustafar A.R.

Aku bertemu Ramli Ismail sejak mula bertugas dengan Utusan Melayu. Pertama kali bersua apabila aku mahu menulis mengenai kumpulan musik yang mana Ramli turut bersama di rumah P.Ramlee di Jalan Bunga Kantan, tidak jauh dari rumah P.Ramlee di Jalan Dedap kini sudah menjadi Pusaka Peringatan P.Ramlee.

Ketika berurusan membuat rakaman lagu-lagu P.Ramlee ke piringhitam, Ramli sering bertemu aku untuk buat promosi dalam akhbar. Kemudian terputus, terlalu lama. Namun apabila Aswara mahu ditukar namanya kepada Universiti P.Ramlee, disatu forum membincangkan mengenai P.Ramlee, aku dan Ramli bertemu semula - bulan Mei 2017. Turut sama Sophia Ibrahim.

Sebelum pulang, Ramli, Sonny Abdullah, Abass Bakar dan aku rancak berbual, lama juga hampir dua jam, mengenang kembali kisah lama yang sudah jadi nostalgia. Ramli dengan wajah berseri-seri memberitahu, dia sedang berusaha membukukan kisah P.Ramlee dengan lebih terperinci bertajuk "Merak Kayangan". "Aku sedang cari sponsor Mus," katanya.

Sebelumnya, pada tahun 1998, Ramli telah menerbitkan buku mengenai P.Ramlee berjodol "Kenangan Abadi P.Ramlee".

Kemudian Ramli bertanya pada aku, "Tak buat buku lagi selepas Filem-Filem P.Ramlee". Jawab aku, "Sedang berusaha membukukan sejarah filem Malaysia bertajuk 50 Tahun Filem Malaysia & Singapura. "Aku pun sedang cari sponsor," kata aku. Ramli dan aku ketawa terbahak-bahak.

"Susah ya Mus nak dapat sponsor. Kalau aku ni Najib atau Zahid, pasti mudah," kata Ramli mengeluh dan berterus terang. Jawab aku, "Apa nak dikata Ram, dah begitu keadaannya, walau sebaik mana pun buku yang kita hasilkan."

Sebelum pulang, Ramli berkata, telefon aku Mus, nanti boleh kita berbual panjang sambil makan-makan dan minum-minum. Dimana, sebut saja. Kecuali bulan dan bintang-bintang."

"Insyallah Ram, nanti bila aku nak datang berjumpa aku telefon," jawab aku.

"Telefon aku jangan tak telefon," katanya lagi terus hilang dari pandangan mata aku. Masih jelas terbayang senyum terakhir darinya untuk aku.

Rupa-rupanya, dialog itu yang terakhir aku dengar, dan hilang dari pandangan mata aku pada masa itu juga yang terakhir. Ramli Ismail pergi menemui Tuhannya pada 27 Februari 2017.





P.Ramlee ketika berusia 18 tahun, gambar pada tahun 1947.

P.Ramlee (bersila kiri) bergambar ramai bersama teman-temanya ketika menjuarai sukan kriket di sekolahnya pada tahun 1939.

P.Ramlee (kiri) bersama tiga temannya yang menganggutai pancaragam "Teruna Sekampong" pada tahun 1947.

Ahmad C.B. dan Booty Jaccob, dua antara watak penting yang turut bertanggungjawab di atas kecemerlangan P.Ramlee di arena seni terutama filem dan lagu.

Junainah (bersama Bambang Irawan) yang digilai oleh P.Ramlee, tetapi terpaksa berkahwin dengan kakaknya, Junaidah, atas permintaan ayah mereka, pelawak D.Harris

Junaidah, isteri pertama P.Ramlee. Mereka berkahwin pada 17 September 1947.


KISAH P.RAMLEE DENGAN KASMA BOOTY
Oleh Ramli Ismail



Ramai orang kenal dengan P.Ramlee dan Kasma Booty, tetapi tidak ramai orang mengetahui hubungan antara primadona filem Melayu dengan seniman hebat filem Melayu diperingkat awal penglibatan mereka dalam dunia filem Melayu sehingga menjadi pujaan ramai.

Kasma Booty berasal dari Medan, Sumatra, Indonesia, berketurunan darah campuran. Ibunya keturunan Indonesia dan bapanya keturunan Belanda. Apabila ibubapanya berpisah dia tinggal nersama ibunya, Kasminik, di Medan.

Selepas itu, ibunya berkahwin dengan Ulong Jawa, seorang pemusik yang ikut bergerak dalam kumpulan bangsawan (sandiwara) Rayuan Asmara yang dipimpin (pengurus) oleh Booty Jaccob, manakala Ahmad C.B. bertindak sebagai ketua rombongan.

Booty seorang yang pintar, berketurunan Ambon. Dia memeluk agama Islam dalam usia kanak-kanak ketika keluarganya berada di Acheh, Sumatra, Indonesia.

Keluarga Booty sangat disegani kerana mereka dari kalangan orang berada, memiliki beberapa gedung dan tanah. Namun kerana terlalu ingin menjadi 'hamba seni', Booty telah meninggalkan segala kemeawahan itu lalu menyertai pementasan bangsawan bergerak, Rayuan Asmara berlayar ke Tanah Melayu (Malaya) yang mana Pulau Pinang menjadi destinasinya.

Dalam pelayaran tersebut, Ulong Jawa ikut serta dan membawa isterinya, Kasminik, dan anak tirinya, Kasma, yang ketika itu baru berusia 14 tahun yang merupakan gadis sunti yang sungguh cantik yang tidak jemu dipandang mata. Wajahnya jelita dengan sepasang mata bola yang bersinar membolehkan dia mencari rezeki sebagai pelakon Rayuan Asmara walaupun usianya masih terlalu muda.

Sewaktu tiba di pelabuhan Pulau Pinang, kapal yang dinaiki rombongan bangsawan itu tidak boleh rapat ke tebing. Untuk ke sana mereka terpaksa menaiki sampan. Satu problem timbul apabila tidak ada wang untuk membayar tambang sampan itu.

Dengan kebijaksanaan Booty, dia menggunakan taktik menyuruh anak buahnya dulu menaiki sampan itu ke daratan. Booty menyusul kemudian.

Sampai di tebing, Booty meminta tangguh bayaran daripada tuan punya sampan, namun dia berkeras mahukan bayaran pada masa itu juga. Booty mendapat idea, kalau mahu juga bayaran serta merta, sila hantar semula mereka ke kapal.

Mendengar alasa itu, tuan punya sampan itu mengalah dan akur dengan janji Booty untuk membayar hutang tersebut apabila mendapat wang daripada pertunjukan pementasan di Pulau Pinang nanti.

Akhirnya tuan punya sampan yang degil tadi menjadi kawan baik Booty serta turut menganggutai rombongan bangsawan tersebut.

P.RAMLEE MENJADI PENONTON KASMA BOOTY

Selepas tiga bulan rombongan bangsawan sandiwara Rayuan Asmara menjelajah seluruh Pulau Pinang, akhirnya sampailah mereka di Seberang Perai. Sewaktu di sana boleh dikatakan terdapat seorang anak muda penonton setia berdiri di luar pagar menonton lakonan gadis jelita, Kasma.

Jejaka penonton setia yang sedang meningkat usia remaja itu tak lain tak bukan ialah P.Ramlee, seorang pemuda kampung yang sangat meminati seni.

Pemuda kampung yang masih bernama Ramli Bin Puteh (sebelum dikenali sebagai P.Ramlee) itu mungkin mahu letak hati kepada gadis cun melecun, pelakon pentas bangsawan yang bergetah yang bernama Kasma itu, agaknya?

Tetapi apakan daya kerana P.Ramlee waktu itu hanya pemuda kampung biasa tak punya apa-apa dan belum tahu untung nasibnya di masa depan?

Bagaimanapun, P.Ramlee ketika itu sudah menganggutai pancaragam "Teruna Sekampung" yang sudah mula dikenali ramai di Pulau Pinang. Ramli Bin Puteh (P.Ramlee) merupakan penyanyi bersuara merdu dan pemain musik pancaragam tersebut.

Apabila Ahmad C.B., ketua Rayuan Asmara, mendapat tahu tentang keistimewaan "Teruna Sekampung" lalu dia mengundang pancaragam tersebut bergabung untuk menarik lebih ramai penonton.

Pada masa itu, tidak ada sesiapa yang menyaka bahawa Ramli Bin Puteh yang menganggutai "Teruna Sekampung" akan lahir sebagai Seniman Agung dan dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.

Kasma yang remaja sewaktu itu pun tidak menduga jejaka Ramli Bin Puteh yang baru dikenalinya akan lahir sebagai bintang ternama dalam lipatan sejarah bangsanya, malah dia seakan-akan menjadi legenda seperti Hang Tuah.

Oleh kerana Ramli Bin Puteh yang lahir sebagai insan berjiwa rendah diri, jadi dia tidaklah terus melahirkan hasrat cintanya kepada gadis cun melecun, Kasma. Waktu bersua muka pun mereka tidak ada suara untuk bercakap.

Disebabkan hasrat cinta Ramli Bin Puteh sering tertangguh-tangguh untuk diluahkan, akibatnya Booty, pengurus Rayuan Asmara, potong trip. Booty dan Kasma (berusia 14 tahun) telah dijabkabulkan di Pulau Pinang.

Selepas rombongan Rayuan Asmara meninggalkan Pulau Pinang untuk menjelajah seluruh Malaya (kini Malaysia dan Singapura), dipertengahan tahun 1940an, terputuslah perhubungan P.Ramlee dan Kasma Booty.

Ketika itu, selepas berakhirnya Perang Dunia Ke-2, Shaw Brothers di Singapura membuka era baru untuk membuat filem Melayu yang pertama keluarannya, "Singapura Di Waktu Malam," yang akan diarahkan oleh B.S.Rajhans dalam tahun 1947 dengan bintang utamanya, Siput Serawak dan Bachtiar Effendi.

RAYUAN ASMARA

Dalam jangka yang sama, rombongan Rayuan Asmara sampai di Singapura dan membuat pertunjuka di Bukit Timah. Akhbar Utusan Melayu (tulisan jawi) telah membuat liputan meluas mengenai ketibaan rombongan pementasa bangsawan itu terutama sekali memberi fokus kepada primadona Kasma Booty yang cantik jelita serta menawan walaupun sudah bergelar isteri.

Publisiti besar-besaran yang dilakukan oleh akhbar tersebut sampai ke pengetahuan pihak atasan Shaw Brothers, mereka ingin bertemu Kasma. Dengan bantuan wartawan Utusan Melayu yang membuat liputan akhirnya mereka bertemu Kasma dan Rayuan Asmara di Rengit. Batu Pahat, Johor.

Agak menarik, ketika B.S.Rajhans, pengurus Shaw Brothers dan wartawan Utusan Melayu sampai ke Rengit, Kasma sedang bermain guli dengan teman-teman sebayanya.

Perundingan dijalankan dengan Booty, apabila persetujuan dicapai Kasma diminta datang ke studio Jalan Ampas kepunyaan Shaw Brothers yang terletak di Balestier Road, Singapura. Pada ketika itu, keadaan studio masih kecil, berdinding papan dan beratap zink.

Booty menunggang motosikal membawa Kasma ke studio Jalan Ampas. Pada masa itu, Kasma sedang mengandung anak pertamanya, Chempaka. Dalam perjalanan Booty dan Kasma telah dicurahi dengan hujan lebat, menandakan satu rahmat untuk mereka.

Tujuan Booty dan Kasma diminta datang ke studio itu adalah untuk perbincangan selanjutnya bagi tawaran berlakon dalam filem "Chempaka" arahan B.S.Rajhans yang merupakan filem kedua Shaw Brothers selepas "Singapura Di Waktu Malam".

Berlakonlah Kasma dan jadilah dia bintang filem. Peristiwa berlaku pada tahun 1947, dan kerana kejelitaannya "Chempaka" mendapat kecemerlangan sambutan. Kerana itu, Shaw Brothers mendapat semangat baru apabila mahu menyiapkan filem yang tergendala sebelumnya, "Pisau Berachun", dengan memberi peranan heroine kepadanya.

Tergendalanya filem tersebut disebabkan kurang yakin Shaw Brothers untuk terus mengeluarkan filem selepas "Singapura Di Waktu Malam" kurang mendapat sambutan, gagal di box office.

Ketika "Chempaka" (heronya Maruti atau M.Yatim) ditayangkan ternyata telah mendapat sambutan luar jangkaan apatah lagi akhbar Utusan Melayu telah memberikan publisiti secara-cara besar-besaran.

Kejayaan dan kehebatan filem bercorak ala-Kepulauan Hawaii itu kerana adanya Kasma, menyebabkan Shaw Brothers yakin mengeluar filem Melayu boleh menguntungkan dan usaha diteruskan, disamping mencari bakat-bakat baru sebagai pelakon samada lelaki atau pun perempuan.

Shaw Brothers berusaha mendapatkan pelakon-pelakon baru adalah menerusi bantuan publisiti akhbar Utusan Melayu juga kegigihan B.S.Rajhans yang turut menjelajah ke utara Malaya, namanya ketika.

Sewaktu B.S.Rajhans berkunjung ke Pesta Pertanian Ria di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dalam tahun 1948, dia menemui P.Ramlee dan tertarik hati dengannya kerana dia mempunyai suara merdu dan boleh menjadi penyanyi terkenal sekiranya mendapat bimbingan yang sempurna.

Pada hari itu, kebetulan pula P.Ramlee menyanyikan lagu "Azizah" ciptaannya sendiri yang mana kini sudah tercatat dalam sejarah filem dan lagu merupakan lagu pertama naynyian P.Ramlee di rakamkan ke piringhitam.

B.S.Rajhans, juga pengarah filem Melayu pertama, "Leila Majnun, telah membuat tawaran kepada P.Ramlee untuk datang ke studio Jalan Ampas, Singapura untuk menjalani uji bakat (screen test) berlakon filem.

Selepas pagi Hari Raya Puasa (bulan Ogos 1948), berangkatlah P.Ramlee meninggalkan Pulau Pinang buat pertama kalinya dengan membawa beg pakaian kecil. Dia menaiki keretapi dari Stesyen Keretapa Bukit Mertajam bersama teman karibnya, Sukardi.

Sampai di Singapura, P.Ramlee dan Sukardi di uji bakat, yang mana P.Ramlee berjaya tetapi Sukardi gagal.

P.Ramlee kemudian diberi tempat tinggal di Boon Teck Road, tidak jauh dari studio Jalan Ampas. Dan, dengan takdir Illahi disitulah P.Ramlee dapat bertemu semula dengan Kasma Booty, dengan keadaan dan suasana yang cukup berbeza.

TIKAR BANTAL

Sebenarnya tempat tinggal P.Ramlee itu hanyalah satu bilik bujang bahagian dapur yang serba serbi kekurangan dan sangat menyedihkan keadaannya. Kasma pun tidak dapat memberikan bantal kerana ia cukup-cukup untuk keluarganya sahaja.

Jadi, Hayat Haris, teman baru P.Ramlee juga petugas di studio Jalan Ampas, memberi satu tikar dan satu bantal untuknya melelapkan mata dan berlindung dari panas dan hujan, di bilik sempit lagi usang itu.

Demikianlah betapa gigihnya P.Ramlee mengharungi hidup tanpa menghiraukan tempat, asalkan cita-cita murni untuk menjadi pelakon filem yang berjaya tercapai.

Untuk tidur P.Ramlee sudah ada tikar dan bantal. Tetapi timbul pula untuk makan kerana tidak ada dapur untuk memasak. Kasma kasihan melihat nasib malang P.Ramlee. Kerana itu, setiap kali waktu makan dia mengajaknya makan di rumahnya.

Dari studio filem yang kecil lagi usang berdinding papan beratap zink, akhirnya studio Jalan Ampas semakin berkembang, terutama hasil keuntungan tayangan "Chempaka" lakonan Kasma yang boleh dianggap primadona, membuka tirai kemajuan filem Melayu.

Dia mendapat gaji bulanan $400.00 (Ringgit Malaysia belum wujud lagi), kemudian $1,000 yang cukup besar ketika itu, tahun 1947.

P.Ramlee mula bekerja dengan studio Jalan Ampas dengan gaji $70.00 sebulan sebagai penyanyi latarbelakang (playback singer) untuk filem-filem keluaran Shaw Brothers yang mana ketika itu masih lagi berdinding dan beratap zink.

Pada masa P.Ramlee datang, Siput Serawak bersama ayahnya, Dollah Serawak, sudah ada ditempat itu. Mereka tinggal di depan rumah Kasma dan Booty. Di rumah Siput ada biola kepunyaan ayahnya.

Bila mendapat tahu perkara tersebut, P.Ramlee sering ke rumah Dollah bermain biola disamping Siput menjadi kawan rapat. Jika tidak ada kerja, rumah Siput jadi sasarannya, dia bermain biola.

Begitu pun juga, kerana biola P.Ramlee berkelahi dengan Dollah Serawak. Sampai peringkat pukul memukul. Nasib baik ada Booty yang meleraikan perkelahian tersebut. Sejak itu, perhubungan P.Ramlee dan Siput renggang.

Setelah jauh dari Siput, P.Ramlee rapat pula dengan dua anak perempuan pelawak D.Harris, Junaidah (janda muda punya anak satu) dan Junainah, gadis berusia belasan tahun. Namun tumpuannya lebih kepada Junainah.

Apabila berlakon baru bertambah, ramai datang ke Boon Teck Road sebagai penghuninya. Antara mereka termasuklah S.Roomai Noor yang menjadi hero filem "Chinta" manakala Siput heroinenya.

Sungguhpun berlakon bersama, permusuhan P.Ramlee dan Siput tetap membara. Filem keempat Shaw Brothers itu, buat pertama kalinya memperlihatkan lakonan Roomai dan P.Ramlee, juga pertama kali mereka berlakon bersama Siput. Bezanya, Roomai hero P.Ramlee crook.

Seterusnya, perhubungan antara P.Ramlee dan Junainah semakin bertambah mesra. Di studio Jalan Ampas, disamping menyanyi dan berlakon dia diberi berbagai tugas termasuk sebagai continuity dan clapper boy.

Walaupun diberi bermacam-macam tugas disamping berlakon satu demi satu filem dengan membawa berbagai watak (hero sahaja belum), namun gaji P.Ramlee tetap $70.00. Dia tidak mengeluh dan tidak merungut kerana filem sudah jadi kesukaannya.

Setelah berlakon sebagai pelakon pembantu dalam "Chinta", "Noor Asmara" (pertama kali Kasma berpasangan dengab S.Roomai Noor), "Nasib", "Nilam" dan "Rachun Dunia" (pertama kali dan terakhir Kasma berherokan Osman Gumanti), P.Ramlee mendapat perhatian Krishnan. Dia berpandangan jauh - sungguhpun kurus dan muka berjerawat, namun suara membolehkannya sebagai hero.

Filem "Bakti", diperingkat awal, pihak atasan cadangkan S.Roomai Noor dan Kasma Booty sebagai hero dan heroine. Namun kerana keprihatinan L.Krishnan terhadap P.Ramlee, dia mahu P.Ramlee sebagai hero dan Kasma heroine. Begitupun juga, bagi menguatkan casting, Roomai dikekalkan diberi peranan crook bersama Siput.

Tindakan Krishnan merisaukan Kasma. Dia tidak begitu yakin yang "Bakti" boleh mendapat sambutan kerana P.Ramlee terlalu kurus dan berjerawat, tidak sesuai berperanan hero.

Bila Kasma menyatakan tidak yakin kepada P.Ramlee itu kepada suaminya, Booty memarahinya dan berkata: "Jangan terlalu ingat P.Ramlee itu kurus dan tidak ada peminat. Dengan lagu-lagu nyanyiannya orang sudah suka kepadanya, apatah lagi kalau dia menjadi hero buat pertama kali."

Terbukti Krishnan dan Booty berada dilansan yang betul, "Bakti" mendapat sambuatan luar jangkaan. P.Ramlee sedang menuju ke kemuncak kejayaan serta menjadi rebutan setiap pengarah yang ada di Studio Jalan Ampas ketika itu.

Bermula "Aloha" (berperanan pelakon pembantu kepada Osman Gumanti), P.Ramlee tidak menoleh ke belakang sehinggalah filem terakhirnya, "Laxmana Do Re Mi," sentiasa berperanan penting, kecuali "Panca Delima".

Disamping lakonan, lagu-lagu nyanyian dalam "Bakti" menjadi minat ramai termasuk "Merpati Dua Sejoli" (bersama Momo), "Hidup Berdua" (Nona Asiah), "Hidup Melarat" (P.Ramlee) dan "Taman Puspawarna" (P.Ramlee).

P.Ramlee berpisah dengan Kasma selepas dia menyiapkan "Manusia" pada tahun 1951, kemudian berganding semula dalam "Damaq" (Ragam P.Ramlee) pada tahun 1965, iaitu sesudah 14 tahun berlalu.





Ahmad Nawab bersama P.Ramlee pada tahun 1965.

AHMAD NAWAB DEDAHKAN SEPANJANG HAYATNYA
P.RAMLEE TIDAK PERNAH ISKIN DAN DAIF
Oleh Muhammad Azrul Mohd.Radi
(Utusan Online, 5 April 2016)

Membelek kembali sejarah Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee semasa hayatnya, ada kisah yang mengatakan dirinya miskin ketika di akhir kehidupannya.

Dipulau oleh industri dan filemnya tidak mendapat sambutan dek kerana kegemilangan yang sudah mati selepas seniman itu berhijrah ke Kuala Lumpur, dikatakan antara sebab mengapa P.Ramlee jatuh miskin dan meninggal dalam serba kedaifan pada 29 Mei 1973.

Penulis baru-baru ini bertemu dengan Seniman Negara (2006), Datuk Dr. Ahmad Nawab, di rumahnya di Taman Melewar, Gombak, Selangor. Kedutan di wajahnya langsung tidak meluputkan ingatannya terhadap kenangan-kenangan indah ketika bersama P.Ramlee.

Penting untuk pembaca ketahui, dalam sedia untuk ditemubual, Ahmad Nawab memberikan satu syarat penting kepada Penulis untuk dipatuhi. Syarat itu ialah, kami perlu membetulkan semula beberapa fakta yang sama sekali salah tentang seniman legenda itu, yang selama ini telah dianggap sebagai sesuatu yang benar oleh masyarakat.

“Banyak cerita tentang P.Ramlee adalah tidak benar sama sekali. Saya kecewa kerana ia telah menjadi rujukan banyak orang pada hari ini. Saya mahu apa yang tidak betul itu ditulis semula oleh wartawan seperti kamu,” kata Ahmad Nawab kepada Penulis, sebelum menyatakan kesediaannya untuk berkongsi cerita dari sudut pandangan peribadinya.

Menyatakan bahawa dia bertanggungjawab untuk memperbetulkan kepincangan fakta tentang P.Ramlee, Ahmad Nawab tidak mahu seniman Agung itu terus dikenang dengan cara yang salah.

Sejak P.Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur dari Singapura pada 1964, Ahmad Nawab adalah orang pertama yang dicari P.Ramlee untuk membantu perkembangan kerjayanya di Kuala Lumpur. Nah, di situ kita sudah sedia maklum bagaimana rapatnya dua insan ini dalam ikatan persahabatan, bagai saudara tidak terpisah.

“Sejak dia berhijrah ke Kuala Lumpur, sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya, kami berkawan rapat. Sepanjang perkenalan itu, banyak hal yang berlaku antara kami. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan cerita mengatakan P.Ramlee berada dalam keadaan susah pada saat-saat kematiannya. Kenyataan bahawa Seniman Agung itu miskin dan melarat di akhir hayatnya memang sesuatu yang tidak logik sama sekali,” katanya, berterus terang.

Banyak yang tidak tahu bahawa P.Ramlee adalah satu-satunya seniman yang dibayar gaji secara bulanan oleh Shaw Brothers sepanjang perkhidmatannya dengan syarikat tersebut. Sekitar tahun 1973, P.Ramlee berhenti dari Merdeka Studio dan mengambil keputusan untuk membuat filem dan studio sendiri. Ahmad Nawab pada ketika itu bersama dengan P.Ramlee telah berjumpa dengan L. Krishnan (kini Tan Sri L.Krishnan), di Titiwangsa untuk bercerita mengenai perkara tersebut.

“L.Krishnan adalah orang yang bertanggungjawab menaikkan nama P.Ramlee sewaktu di Singapura. Pertemuan itu adalah untuk berbincang mengenai penubuhan sebuah studio, tetapi disebabkan beberapa kekangan selepas itu, perancangan itu gagal.

“Sehinggalah P.Ramlee berjumpa dengan H.M.Shah (pada masa itu belum Tan Sri), rakan baiknya yang juga seorang ahli perniagaan dan sedia membantu seniman itu dari segi kewangan. Turut sama ketika itu ialah Jins Shamsudin dan Salleh Ghani. Tetapi Jins mahu menjadi ketua ketika itu, tetapi jika dia yang mengetuai, siapa pula yang hendak memberi sumber kewangan?

Bayaran gaji yang diterima oleh P. Ramlee bukanlah sedikit. Untuk sebuah filem sahaja, seniman itu dibayar RM30,000. Sekitar tahun 1960an, sudah semestinya wang sebanyak itu bukanlah satu jumlah yang sedikit.

Malah, P.Ramlee adalah satu-satunya seniman yang dibayar gaji setiap bulan dan bukannya pembayaran mengikut filem (kontrak) seperti seniman dan seniwati yang lain. “Jadi, apa logiknya kalau hendak kata P.Ramlee miskin? Takkan wang yang diterima saban bulan habis begitu sahaja?

“Sewa rumah yang diduduki P.Ramlee di Jalan Bunga Kantan dan di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Kuala Lumpur itu pun sebenarnya dibayar oleh Shaw Brothers melalui syarikat miliknya iaitu Merdeka Filem Setudio,” katanya.

Sepanjang mengenali P.Ramlee, sudah beberapa kali Ahmad Nawab melihat bagaimana P.Ramlee membantu orang yang memerlukan. Berapa ramai yang datang ke rumah seniman itu untuk meminta bantuan kewangan terutamanya yang mahu pulang ke Pulau Pinang yang juga tanah kelahirannya, pasti akan dibantu.

“Saloma sendiri bekerja sebagai penyanyi di Embassy Hotel, Pulau Pinang. Tak kan kewangan mereka begitu teruk? Sudah berapa kali saya dengar cerita P.Ramlee miskin, sehinggakan terpaksa makan telur. Memang saya langsung tidak percaya,” jelasnya.

Malah, sewaktu P.Ramlee menghembuskan nafas terakhir, Saloma memegang sebuah fail. Fail itu sebenarnya ada polisi insuran yang bernilai RM100,000. Ketika itu, wang sejumlah itu bukanlah kecil, cukup lumayan.

Kelamnya zaman kegemilangan P.Ramlee kata Ahmad Nawab, sebenarnya bukanlah kerana diboikot tetapi kerana kekangan yang dihadapi untuk berkarya.

JATUH KERANA KOMPLOT RAKAN-RAKAN

Mengimbas ke tahun 1964, tahun P. Ramlee berhijrah ke Kuala Lumpur, jelas Ahmad Nawab, punca sebenar ada kaitan dengan komplot daripada artis Singapura sendiri untuk menjatuhkan seniman itu.

Satu kesatuan yang ditubuhkan oleh Jins Samsuddin (kini Tan Sri) mahu ditubuhkan, tetapi dalam masa yang sama, persatuan terbabit telah mengetepikan P.Ramlee.

Bagaimanapun, ketika itu pemimpin utama Singapura telah mendapat tahu mengenai penubuhan kesatuan oleh orang Melayu itu dan mengarahkan Shaw Brothers supaya ditutup terus.

“Disebabkan itu P.Ramlee telah berhijrah ke Kuala Lumpur dan disuruh oleh Shaw Brothers untuk menyertai Merdeka Filem Setudio,” jelasnya. Di Kuala Lumpur, perkembangan kerjaya P.Ramlee tidak begitu menyinar seperti di Singapura.

Selain karyanya mula dipertikaikan. Kelamnya filem-filem P.Ramlee bukanlah kerana teknologi atau dia kehabisan idea untuk berkarya, tetapi disebabkan gelagat pelakon-pelakon muda di Singapura pada masa itu.

“Pelakon-pelakon ini sememangnya sudah hebat dan itu yang membantu menaikkan filem P.Ramlee sebenarnya. Tetapi, dia berkeras untuk tidak menggunakan pelakon dari Singapura mungkin kerana kecil hati dengan tindakan mereka yang cuba untuk menjatuhkannya.

“Sebab itu, walau tak bagus pun pelakon di sini, dia tetap ambil. Cuma ada beberapa pelakon wanita dari Singapura yang diambil seperti Rose Yatimah dan Siput Sarawak," katanya.

Filem yang dilakonkan Siput Sarawak di bawah Merdeka Filem Setudio ialah "Keluarga 69" manakala Rose Yatimah filem "Anak Bapak". Teknologi yang digunakan sama ada di Singapura atau di Kuala Lumpur adalah sama.

Cuma mungkin faktor masih kecil hati telah membuat P.Ramlee begitu berat untuk mengambil pelakon dari Singapura walaupun kehebatan mereka dalam lakonan sudah terbukti dan lebih popular.

“Itulah sebab dia cuba juga untuk buat filem dengan menggunakan apa sahaja yang ada di sini dan kurang menjadi,” katanya.

MENYESAL TAK SUDAH

Ditanya mungkin ada perkara yang sukar dilupakannya bila disebut mengenai dia dan P.Ramlee, Ahmad Nawab berkata, ya, ketika membuat persembahan untuk tentera di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

“Waktu itu, hanya ada empat orang sahaja pemusik dan dia beritahu mahu menjadi konduktor musik kepada mereka. Saya sebagai ahli musik, memang tidak setuju kerana kalau sekadar empat sahaja pemusik, tidak perlu konduktor pun tidak apa. Namun dia berkeras untuk menjadi konduktor sehingga membuatkan saya marah dan beredar terus daripada membuat persembahan,” jelasnya.

Ditanya apa yang membuat Ahmad Nawab berbuat demikian, menurutnya P.Ramlee dipandang sebagai seorang penggiat seni lakon. Malah, dia bukanlah orang musik. Jadi, sudah tentu pemusik seperti Ahmad Nawab memang sukar menerima pendapat mereka yang tidak mahir dalam musik.

“Rasa ego itu yang membuatkan saya berang dan ambil keputusan untuk balik dan tidak meneruskan persembahan itu. Disebabkan itu juga, saya rasa menyesal hingga ke hari ini, kerana tidak memberikan dia peluang itu. Apalah salahnya, kalau saya ikut sahaja kehendak dia, tetapi itu tidak berlaku. Jika saya memberikan dia peluang tersebut, rasa ralat itu tidak akan saya tanggung sampai ke hari ini,” katanya.

Pun begitu, kedinginan hubungan hanya sekejap sahaja. Selepas beberapa hari, Ahmad Nawab kembali bersama dengan P.Ramlee, makan-minum dan bersahabat seperti biasa. Malah, P.Ramlee sering bertanya kepada Ahmad Nawab mengenai musik kerana kurangnya asas dia dalam bidang musik.

“Waktu itu saya bekerja di Radio Televisyen Malaysia dan ada dua orang guru dari Amerika Syarikat yang mengajar kami. Apa yang diajar oleh guru itu yang akan saya sampaikan kepadanya. Dia juga mahu belajar. Kadang kala, pagi saya datang, lewat petang baru balik semata-mata berbual tentang musik dengan arwah,” ujarnya.

P.RAMLEE HILANG POPULARITI

Sewaktu rancak berbual bersama Ahmad Nawab sambil diselang seli dengan hirupan teh tarik hasil tangan isterinya, Siti Zainab, terbuka cerita yang menyentuh hati.

Meneruskan bicaranya, menurut Ahmad Nawab, pada waktu P.Ramlee berpindah ke Kuala Lumpur, rasa hormat orang kepadanya ketika itu tidak seperti mana yang diterimanya sewaktu di Singapura. Malah, Ahmad Nawab sendiri sebagai rakan rapat tidak merasa P.Ramlee adalah seorang insan seni yang hebat, ketika itu.

Sehinggalah pada satu malam, ketika Ahmad Nawab bersama dengan P.Ramlee minum di sebuah warung, tepian jalan di Kampung Baru.

Kebetulan malam sebelum itu baru sahaja berlangsung sebuah konsert Pop Yeh Yeh di Stadium Negara, genre musik yang menjadi ikutan ramai ketika itu, datang seorang lelaki yang menunggang vespa lalu ditegur P.Ramlee.

“P. Ramlee tanya sama ada lelaki itu pergi ke konsert tersebut dan bagaimana sambutannya? Balas lelaki itu, sambutan pada malam tersebut sangat meriah. Apatah lagi itu adalah kali pertama konsert Pop Yeh Yeh diadakan di Kuala Lumpur,” jelas Ahmad Nawab.

Waktu itu, P.Ramlee termenung jauh dan terpacul satu ayat yang masih diingati Ahmad Nawab sehingga kini: “Adakah akan ada orang yang mengingati aku nanti?”

Ayat tersebut diungkap dengan loghat bahasa Pulau Pinang yang membuat Ahmad Nawab sendiri tertanya-tanya, pelik.

“Saya tidak tahu apa sebab dia cakap demikian, tetapi saya balas kepadanya, sudah pasti masyarakat akan kenang segala jasanya,” katanya.

Baginya, sesuatu yang menjadi kebiasaan bila seseorang itu masih hidup langsung tidak dihiraukan tetapi mula dikenang selepas hayatnya tiada.

“Sehingga setakat ini, belum ada lagi seorang yang mampu untuk menjadi seperti mana P.Ramlee dalam seni terutama filem dan lagu.

“Wartawan sendiri menghentam P.Ramlee ketika itu. Sewaktu filem 6 Jahanam dihasilkan, mereka kata P.Ramlee sudah kehabisan idea untuk berkarya. Hakikatnya kini, selepas beliau tiada baru dikenang. Sebab itu, tidak ada kenyataan daripada P.Ramlee sendiri mengenai kehidupannya selepas ke Kuala Lumpur.

“Semuanya adalah cerita daripada kebanyakan rakan yang kita sendiri tidak tahu kesahihan berita tersebut,” jelasnya.

# Terdapat banyak kesalahan fakta dalam artikel ini, tetapi sudah diperbetulkan oleh Zaini Yusop yang bertindak sebagai penyunting.





BAKTI

SEJOLI

JUWITA



FILEM-FILEM P.RAMLEE DAN KASMA BOOTY
Oleh: Zaini Yusop



P.Ramlee banyak berlakon filem. 66 semuanya. Kasma Booty tidak banyak, hanya 19. Di antara mereka, Kasma pernah membintangi filem di Cathay Keris Film, P.Ramlee tidak ada. Ertinya, Kasma berlakon di Malay Film Productions, Cathay Keris Film dan Merdeka Filem Setudio. P.Ramlee sekadar Malay Film Productions dan Merdeka Filem Setudio sahaja.

Kasma berherokan P.Ramlee dalam 1. "Bakti" setelah membintangi lima filem;
2. Chempaka
3. Pisau Berachun
4. Noor Asmara
5. Rachun dunia
6. Dewi Murni.

Selepas "Bakti" Kasma berherokan P.Ramlee tiga filem;
7. Sejoli
8. Juwita
9. Damaq (Ragam P.Ramlee)

Kasma mengakhiri penglibatannya di Malay Film Productions dengan filem 10. "Manusia" berherokan Omar Rojik dan diarahkan oleh S.Ramanathan.

Setelah sekian lama menghilangkan diri, Kasma muncul membintangi 11. "Rasa Sayang-Eh!" yang diarahkan oleh L.Krishnan berherokan Wahid Satay.

Kemudian, Kasma membawa watak Mahsuri dalam 12. "Mahsuri" karya Tungku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia ketika itu) yang diarahkan oleh B.N.Rao.

Filem-filem Kasma Booty di Merdeka Filem Setudio;
13. Keris Sempena Riau (L.Krishnan)
14. Selendang Merah (L.Krishnan)
15. Siti Payong (Salleh Ghani)
16. Ratapan Ibu (L.Krishnan)
17. Tangkap Basah (Salleh Ghani)
18. Fajar Menyinseng (L.Krishan)
19. Anak Manja (Salleh Ghani)

Mengenai filem-filem P.Ramlee, ramai yang sudah tahu. Tidak perlulah dicatatkan di sini. Kalau sesiapa yang ingin tahu lebih terperinci, milikilah buku "Filem-Filem P.Ramlee" yang ditulis oleh Aziz Sattar dan Mustafar A.R.

Tetapi perlu juga diberitahu, filem pertama P.Ramlee "Chinta" dan filem terakhirnya "Laxmana Do Re Mi", manakala filem arahannya yang pertama "Penarek Becha".


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?