Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Saturday, April 9, 2011


LAIN JALAN KA-SHORGA (1968)

APA, BERDOSA BESARKAH ANI?
Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop





HAMIZON








SONY ABDULLAH dan THE HUNTERS



JULIE SUDIRO







GAAS SHARIFF dan ROSNANI



NORAN NORDIN dan HAMIZON






KARIM LATIFF dan HAMIZON











Artikel dalam Majallah Filem keluaran November 1967.



ED OSMERA, SONY ABDULLAH dan THE HUNTERS


Produksi MERDEKA FILM STUDIO
Pengarah JAMIL SULONG
Jurugambar LEE SOO AN
Jurusuara ANUAR YUSOF
Pengarah Seni ABD. HAMID AZIZ
Cerita JAH LELAWATI
Lakonlayar & Senikata JAMIL SULONG
Musik & Lagu AHMAD NAWAB
Pelakon ROSNANI (Salmah) NORAN NORDIN (Cik Leha) SONY ABDULLAH (Riki Kassim) HAMIZON (Ani) GAAS SHARIFF (Hisham) KARIM LATIFF (Amir/Azman) HASHIM HAMZAH (Samad)


JALAN CERITA___

Cik Leha (janda kaya) baru saja bercerai dengan suaminya, Azman. Dia mempunyai seorang anak lelaki (Amir) tetapi telah dibawa ke Medan oleh bekas suaminya. Ketiadaan suami dan anak menjadikannya kesepian.

Oleh yang demikian dia meminta oranggajinya (Salmah) memberikan anak perempuannya menjadi anaknya dan kebetulan pula suami Salmah baru saja meninggal dunia.

Kerana banyak terhutang budi dengan majikannya itu dan telah bekerja dirumah tersebut sekian lama, Salmah dengan rela hati menyerahkan anak tersebut (Ani) yang mana Cik Leha menganggapnya anak kandungnya sendiri bukan anak angkat.

Dengan kemewahan yang diberikan dan kemanjaan yang berlebihan, apabila Ani membesar (di depan mata ibu kandungnya sendiri) dia menjadi seorang wanita yang sombong dan bongkak. Ibu kandungnya (dari mula dianggapnya oranggaji) dikasari dan dihinanya.

Sikap dan perangai Ani (tambahan pula tidak ada pendidikkan agama) menbimbangkan Salmah tetapi tidak kepada Cik Leha. Pertentangan antara Salmah dan Cik Leha berlaku menyebabkan Ani sukar dikawal apatah lagi sudah pandai bergaul dan berkawan dengan anak-anak muda yang agak liar dan sering pula pulang lewat malam dan ada kalanya waktu pagi.

Tambah merunsingkan Salmah apabila Ani berkawan rapat dengan Riki Kassim yang mengetuai sebuah kumpulan sosial dan bercadang menganjurkan Malam Pesta Lagu-Lagu Pop.

Riki Kassim (playboy) mendampingi Ani bukan kerana dia mencintainya tetapi mahu dijadikan alat bagi mendapat wang membiayai kumpulannya dan tahu Ani anak orang kaya.

Cik Leha dalam kesakitan tidak boleh sembuh dan Salmah cuba menasihatinya tetapi gagal, tidak dapat mengawal perangai dan sikap buruk Ani menyebabkan Salmah terpaksa pecahkan rahsia kepada Ani yang dia anak kandungnya bukannya anak Cik Leha.

Tidak mahu percaya dan malu beribukan oranggaji, menyebabkan Ani berang dan menghalau Salmah keluar rumah, kebetulan pula pada masa itu anak saudara Salmah (Hisham) berada dirumah itu. Mereka pulang ke Kedah.

Ketiadaan Salmah, Ani bergerak bebas tanpa kawalan. Bbagaimanapun sebaik saja Amir (anak Cik Leha) sampai dari Medan Cik Leha meninggal dunia dan dia telah mewarisi kesemua hartanya kepada Amir tidak ada kepada Ani.

Salmah dan Hisham datang ke Kuala Lumpur bila mendapat tahu Cik Leha meninggal dunia dan begitu kecewa kerana dia tidak diberitahu. Dalam pertemuan dengan Ani terpecah rahsia, kesemua surat Cik Leha yang diberikan kepada Ani untuk diposkan kepada Salmah telah dikoyakkannya.

Pertengkaran berlaku antara Ani dan Salmah. Disebabkan terlalu kecewa dengan sikap dan perangai Ani yang tidak berubah malah semakin kurang ajar, dengan perasaan hampa dan derita Salmah mengajak Hisham meninggalkan rumah tersebut pulang ke kampung.

Ketiadaan Cik Leha barulah Ani tahu langit itu tinggi atau rendah. Amir bertindak berdasarkan sikap buruk Ani. Dia tidak dibenarkan tinggal dibiliknya tetapi dipaksa tinggal dibilik oranggaji. Pergerakannya terbatas dan penggunaan wang disekat.

Apabila Riki Kassim mendapat tahu Ani anak oranggaji bukannya anak Cik Leha yang kaya, dia memutuskan perhubungannya dengan Ani. Ini membuatkan Ani merasa hampa.

Setelah menyedari kesilapannya, Amir menyuruh Ani pergi ke Kedah memohon ampun kepada ibunya kerana syorga terletak di telapak kaki ibu. Ani menurut. Sampai saja ke kampung di dapati Salmah baru saja meninggal dunia.

Betapa kecewanya Ani apabila mendapati ibunya telah pergi sebelum dia sempat memohon ampun. Begitu pun juga Hisham memberitahu, ibunya telah mengampunkan segala dosanya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.


MARI KITA MENONTON "LAIN JALAN KA-SHORGA"





(Sumber: Njendra)

ULASAN FK___

Apabila studio MFP Jalan Ampas sudah sampai ke penghujungnya, Jamil Sulong bernasib tidak diberhentikan kerja tetapi dihantar bertugas ke Merdeka Film Studio, Kuala Lumpur untuk mengarah filem.

Rosnani yang baru saja berlakon (drama radio di Singpura) cerita "Lain Jalan Ka-Shorga" mencadangkan karya Jah Lelawati itu difilemkan, kebetulan pula Jamil Sulong sedang tercari-cari apakah cerita yang patut diarahkannya.

Bila dikemukakan kepada pihak atasan cerita tersebut pun diluluskan, dengan itu tercatat dalam sejarah perfileman Malaysia "Lain Jalan Ka-Shorga" satu-satunya filem lakonan Rosnani di Merdeka Film Studio.

Bagi Jamil Sulong cerita bertemakan anak derhaka kepada ibu bukan perkara baru. Dua filem arahannya mempunyai tema yang sama - "Isi Neraka" (1960) dan "Si Tanggang" (1961).

Bagaimanapun. dua filem tersebut, Salleh Kamil menderhakai Habsah dan Jins Shamsudin menderhakai Normadiah. Ertinya, anak derhaka itu lelaki. Tetapi dalam filem ini, anak derhaka wanita.

Cerita filem ini begitu simple, berkisar sekitar penderhakaan anak kepada ibunya. Itu saja. Dari segi cerita kekuatannya tidak kuat, temanya sudah boleh dikatakan biasa dan sudah kerapkali dijadikan filem.

Pengolahan cerita, susunan plot dan dialog oleh Jamil Sulong dan ditambah dengan lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab menjadikan filem ini baik dan sederhana persembahannya.

Dari segi lakonan, Hamizon (pertama kali berlakon filem) kurang berkesan. Watak Ani tidak dihayatinya sepenuh hati. Ternyata ada kekakuan lebih-lebih lagi apabila dia bertentangan dengan Rosnani, Sony Abdullah, Gaas Shariff dan Karim Latiff.

Rosnani sebagai ibu (Salmah) dikira baik dan memuaskan. Sony Abdullah dan Gaas Shariff sederhana tidak menghampakan. Noran Nordin sedikit gopoh.

Lakonan paling berkesan Karim Latiff berperanan Amir (anak Cik Leha abang tiri Ani). Walaupun kemunculannya ketika filem hampir selesai tetapi lakonannya cukup baik dan berkesan. Dia juga sebagai Azman, suami Cik Leha dan ayah Amir.

Satu cacatcelanya perlu disentuh, ketika Ani bertanya di mana rumah ibunya kepada Samad, lalu di bawanya Ani ke arah kubur.

Mungkin Jamil Sulong ingin menimbulkan suspen, tetapi cara begini kurang sesuai. Ini bukan filem Alfred Hitchcock.

Apa salahnya Samad berterus terang, Ani terus meluru ke kubur dan meratap.

Satu lagi ingin ditimbulkan, berdosa besarkah Ani. Sedangkan sudah dewasa baru dia mengetahui Salmah itu ibu kandungnya.

Salleh Kamil dan Jins Shamsudin memang patut dikatakan derhaka, kerana (sejak awal) mereka tahu Habsah ("Isi Neraka") dan Normadiah ("Si Tanggang") itu ibu kandung mereka.

Apa pun pada keseluruhannya, filem ini menarik, menghiburkan dan memberi pengajaran.


LAGU___

* Lain Jalan Ka-Shorga (Norli Ismail)

* Oh Manis Oh Rupawan (Anuar Idris)

* Musim A Go Go (Saloma)

* Dah Lama Kucari (Anuar Idris)

* Taman Indah (Saloma)

* Gambar Kenangan (Julie Sudiro)

* Impian Musnah (Taufik Haji Ali)

* Tanda Kasih Bukti Sayang (Saloma & Anuar Idris)


FAKTA___

  • Jamil Sulong merupakan pengarah ke-8 Merdeka Film Studio selepas L. Krishnan, A.R. Tompel, Salleh Ghani, M. Yatim, Freddy Young, P. Ramlee dan Dhiresh Ghosh. Filem terakhirnya di studio MFP Jalan Ampas, "Raja Bersiong".

  • Selepas membintangi filem ini, Hamizon terus ghaib dari dunia filem seperti juga Marion Welles, Julie Faridah, Sabariah Ibrahim dan Monica Jones.

  • Dalam Majallah Filem (November 1967), Hamizon menyatakan dia tidak akan berlakon selepas filem ini. Ternyata kata-katanya itu dikotakannya.

  • Filem ketiga Sony (Sonny) Abdullah, sesudah "Bumiputra" dan "Gadis Langkawi".

  • Satu-satunya filem Rosnani di Merdeka Film Studio. Filem terakhirnya sebelum filem ini, "Play Boy" (1967) keluaran Cathay Keris Film.

  • Nama Salmah Moshin yang digunakan Rosnani diambil dari nama wartawan terkenal, Salmah Moshin.

  • Jah Lelawati pernah berlakon dalam filem "Anak Dara" (1966) yang diarahkan M.Amin.

  • Peranan Hisham sepatutnya dilakonkan Ed Osmera dan penggambaran untuknya sudah pun digambarkan. Tetapi kerana Ed Osmera tiba-tiba jatuh sakit dan berpanjangan tempatnya digantikan dengan Gaas Shariff.

  • Kerana layanan di Merdeka Film Studio kurang memuskan, selepas filem ini Jamil Sulong beralih arah ke Filem Negara Malaysia. Bagaimanapun pada 1974 dia menerima tawaran Merdeka Film Studio mengarahkan "Permintaan Terakhir" disusuli pula "Jiwa Remaja", "Sayang Anakku Sayang" dan "Cinta Dan Lagu".


    DIALOG MENARIK___

    "Mengucap Ani. Makcik Salmah ini sebenarnya ibu kandungmu sendiri. Kau telah berdosa besar. Ciumlah kakinya Ani minta ampun. Kalau tidak tertutup pintu syorga untukmu. Orang yang berdosa pada ibu Ani, neraka jahanam tempatnya nanti." - Hisham (Gaas Shariff).


  • # Update akan dilakukan dari masa ke masa.







  • 5 comments:

    1. Hi,
      Sony Abdullah di iringi olih kugiran The Hunters dan Terry Thaddeus dalam filem ini. The Hunters telah mengiringi beberapa artis melayu pada masa itu seperti Abdullah Chik dan Sophia Ibrahim. Muzik Terry Thaddeus bolih dijumpai di Youtube.

      ReplyDelete
    2. ke mana agaknya gaas sharif pergi ye?

      ReplyDelete
    3. Mungkin saya salah. Bukankah filem terakhir Jamil Sulong di studio Shaws MFP Singapura selepas "Raja Bersiong" ialah filem "Jebak Maut" iaini pada tahun 1967? Yang sedihnya, selepas filem ini studio MFP melabuhkan tirai buat selama-lamanya.

      - NONAMA

      ReplyDelete
    4. Boleh saya tahu dimanakah pelakon Hamizon sekarang?

      ReplyDelete
    5. Assalam, saya ada berjumpa Hamizon di Madinah dan Mekah, kami mengerjakan umrah bersama2 April lalu. Beliau menetap dia Kajang tak salah saya.

      ReplyDelete