"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Sunday, April 17, 2011


MUTIARA DARI MALAYA (1955)


TEKNIK FOTOGRAFINYA SANGAT MENARIK
Teks & Foto: Mustafar A.R.
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop








M. AMIN dan SRI UNIATI





MARSITA dan MISLIA




DOLLAH SERAWAK dan ROOMAI NOOR





M. AMIN, SHARIFF MEDAN, ROOMAI NOOR dan SRI UNIATI







M. AMIN dan M. BABJAN









MISLIA dan S. ROOMAI NOOR


Produksi KERIS FILM PRODUCTIONS
Pengarah filem LAURIE FRIEDMAN
Jurugambar LAURIE FRIEDMAN
Penyunting filem HUSSAIN HANIFF
Jurusuara C.M.LEE
Pengarah seni (pelukis pemandangan) M.BABJAN
Musik & lagu AHMAD JAAFAR
Pelakon S.ROOMAI NOOR (Ali) MISLIA (Mariam) M.AMIN (Rahman) SRI UNIATI (Salmah) DOLLAH SERAWAK (Pak Yem) MARSITA (Zaiton) SHARIFF MEDAN (Tok Penghulu) M.BABJAN (Tuanpunya Kedai)


JALAN CERITA___

Ali datang ke kampung nelayan disebuah pulau dari seberang kerana ingin hidup berdirikari. Dia tidak mahu hidup bergantung dengan kemewahan ibubapanya tambahan pula ditempat tinggalnya itu sesak dan bising. Dia ingin hidup bebas dan ketenangan jiwa.

Di kampung tersebut, Ali dipelawa Pak Yem (nelayan tua) tinggal dirumahnya. Pak Yem hidup sebatang kara, tinggal bersendirian.

Kedatangan Ali tidak disenangi Rahman (pemberita surat khabar) yang telah bertunang dengan gadis cantik (Salmah) dan ibunya (Zaiton) pula tidak menyukai anak tirinya, Mariam.

Semasa pergi menangkap ikan, Ali menemui berapa tiram dan apabila pulang ke rumah di antara tiram itu mengandungi mutiara hitam yang sangat berharga.

Tidak lama kemudian, tiba-tiba mutiara tersebut didapati hilang. Disebabkan Mariam seringkali ke rumah Pak Yem, dia dituduh mencurinya. Mariam menafikan dan Ali pula tahu Mariam tidak akan membuat perkara keji itu.

Kerana disyaki mencuri, Zaiton menghalau Mariam dari rumah dan dia kemudian membawa diri dan menumpang tinggal di rumah Pak Yem dan Ali.
Dalam pada itu, Rahman mendesak dan mengugut Mariam supaya meninggalkan kampung pergi ke mana-mana.

Merasakan dirinya begitu hina dan orang-orang kampung membencinya kerana menyangka dirinya pencuri akhirnya Mariam membawa diri ke seberang.

Ketika berjalan-jalan dipekan, Ali terpandangkan mutiara miliknya dipamerkan di depan kedai Amin General Store, dan bila ditanya kepada tuanpunya kedai dia memberitahu mutiara itu dibeli dari Rahman.

Rancangan pun dibuat untuk memerangkap Rahman yang sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Salmah.

Di hari persandingan, rahsia Rahman mencuri mutiara terbongkar dan ini sangat memalukan Zaiton dan dia menyesal kerana menuduh Mariam pencuri dan menghalaunya dari rumah. Pada hal menantunya sendiri yang menjadi pencuri.

Ketika pulang ke seberang Ali bertemu Mariam, kebetulan pula dia bekerja sebagai pembantu rumah kepada kedua ibubapanya.

Bagaimanapun, Mariam terperanjat dan lari kerana menyangka Ali datang mahu menangkap dan membawanya kepada polis untuk dihadapkan ke muka pengadilan.


ULASAN FK___

Ada keistimewaannya filem ini. Ia merupakan satu-satunya filem arahan Laurie Friedman (berbangsa British) yang masih tinggal. Dua lagi "Saudaraku" (1955) dan "Irama Kaseh" (1955) telah ghaib kerana dibuang Ho Ah Loke ke lombong tinggal bersama filem "Pontianak" lakonan Maria Menado.

Cerita filem ini (penulisnya tidak tercatat di credit title) simple saja iaitu hina dan seksanya hidup seorang gadis kerana dituduh mencuri mutiara padahal dia sendiri tidak tahu apa-apa pun tentang mutiara itu.

Plot tertumpu kepada empat karekter penting, S. Roomai Noor, Mislia, M. Amin dan Marsita.

S. Roomai Noor dan Mislia, lakonan mereka baik dan sederhana saja. Tetapi M. Amin sebagai orang jahat (crook) tidak menampakkan kejahatannya sebagai crook.
Bagaimanapun, Marsita sebagai ibu tiri yang kejam ada sedikit menimbulkan kebencian kepada para penonton.

Seperti biasa, sudah jadi kebiasaan filem dulu-dulu, yang jahat menerima balasan jahat dan yang baik mendapat balasan baik. Yang salah tetap salah yang benar tetap benar.

Filem ini berakhir dengan happy ending apabila Ali dan Mariam merancang untuk ke gerbang perkahwinan setelah Ali berjaya membersihkan nama Mariam dari tuduhan mencuri mutiara.

Memang diakui, Laurie Friedman merupakan juru gambar filem yang boleh dikatakan hebat. Sebagai filem yang diarah dan di gambarkannya sendiri, filem ini benar-benar memperlihatkan mutu fotografi yang sangat tinggi dan menarik.

Shot-shot, angle-angle dan penggunaan cahaya (terutama penggambaran di laut) telah dilaksanakan dengan begitu baik menyebabkan filem ini boleh dianggap sebagai salah satu filem klasik Malaysia yang terbaik dari segi teknik fotografi.

Walaupun saya menontonnya melalui dvd yang telah dipindahkan dari vhs, namun saya masih dapat merasakan kekuatan filem ini terletak kepada teknik fotografinya.
Sebagai bukti anda lihatlah gambar-gambarnya di atas.

Pada keseluruhannya, filem ini baik dan menghiburkan.


LAGU___

Sebagaimana yang dikatakan, filem ini menarik tetapi sayangnya lagu-lagu yang sepatutnya menambahkan lagi kekuatan filem ini, tidak membantu. Lagu-lagu Ahmad Jaafar kurang berjaya. Hanya "Bintang Malam" boleh dikatakan sedap didengar, yang lain mengecewakan.

Terdapat lima lagu semuanya, dua diperbarui dari lagu lama - "Oh Bangau Oh Bangau" (jadi "Oh Ikan Oh Ikan") dan "Terlilat-Terlilat". Penyanyinya S. Noh dan Dollah Serawak.

Anehnya, hanya S. Roomai Noor saja menyanyi, Mislia (heroine) tidak. Padahal kesempatan mereka untuk berpadusuara cukup baik dengan adanya suasana nyaman dan malam pula dihiasi keindahan bulan purnama.

Adakah patut Laurie Friedman menyuruh Mislia meniup seruling saja tanpa menyanyi.

Kalau B.S. Rajhans, B.N. Rao atau K.M. Basker pengarahnya, tentu kekosongan ini tidak akan berlaku.


FAKTA___

* Laurie Friedman didatangkan khas dari Britain untuk mengajar hal ehwal fotografi di Keris Film (Cathay Keris Film) sebelum dilantik sebagai pengarah filem ini dan dua filem lagi.

* Laurie Frieman yang lahir di England pada 3 Jun 1914 meninggal dunia pada tahun 2000 semasa umurnya 86 tahun.

* Laurie Friedman bersama T. Nagaoka mengedalikan senimatografi filem "Melanchong Ka Tokyo" (1964) arahan Roman A. Estella dibintangi Sa'adiah dan Aziz Jaafar.

* S. Roomai Noor (di credit title S. tidak ada) seringkali berlakon bersama Mislia. Antaranya "Kaseh Menumpang" (1953), "Tangisan Ibu" (1954) "Duka Nestapa" (1955) dan "Saudaraku" (1955).

* Kali terakhir Mislia berlakon filem "Madu Tiga" (1964) arahan P. Ramlee.

* Dollah Serawak adalah bekas bapak mertua S. Roomai Noor kerana dia pernah beristerikan Siput Serawak, ibu Anita Serawak.

* Nama M. Babjan tidak tercatat di credit title sebagai pelakon tetapi tercatat sebagai pelukis pemandangan.

* Sri Uniaty bintang filem Indonesia. Selain filem ini dia turut membintangi "Selamat Tinggal Kekasehku" (1955) arahan L. Krishnan dan dilakonkan juga S. Roomai Noor, M. Amin, Shariff Medan dan Dollah Serawak.

* Sepanjang yang diketahui inilah filem ketiga menggunakan Malaya sebagai tajuk. Dua lagi "Terang Bulan Di-Malaya" keluaran Shaw Brothers sebelum perang dan "Terang Bulan Di-Malaya" keluaran Keris Film tahun 1954 yang diarahkan B.S. Rajhans dengan bintang-bintang utamanya Raden Mochtar dan Rosini.

* 52 tahun kemudian (2007), Shuhaimi Baba menggunakan Malaya sebagai tajuk filem arahannya "1957: Hati Malaya" yang dibintangi Maya Karin dan Rusdi Ramli.


DIALOG PILIHAN___

"Buat apa mutiara itu pada dirimu sedangkan mukamu lebih cantik lebih mahal dari segala permata" - Ali (S.Roomai Noor).

* Sesiapa yang ingin memiliki dvd "Mutiara Dari Malaya" ini sebagai koleksi, sila beritahu saya melalui e-mel.



No comments:

Post a Comment