"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Wednesday, June 8, 2011


LEILA MAJNUN (1934)

FILEM MELAYU PERTAMA DI MALAYSIA & SINGAPURA
Kajiselidik Oleh Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Di Semak Di Susun & Di Edit Oleh Zaini Yusop




TIJAH

B.S.RAJHANS

FATIMA JASMAN & M.SUKI


Dua iklan tayangan filem "Leila Majnun" di Marlborough
Theatre, Singapura


Iklan tayangan filem "Leila Manjun" di Windsor Cinema,
Pulau Pinang


Iklan tayangan filem "Leila Majnun" di Marlborough Theatre dengan iklan tayangan filem-filem lain di bawah Amusements Singapore

Artikel BerBahasa Cina filem "Leila Majnun" yang tersiarkan dalam akhbar Cina Xin Zhou Ri Bao dalam bulan Mac 1934


Iklan tayangan pembukaan filem "Leila Manju" berBahasa Urdu di Tivoli, Singapura pada tahun 1931

Produksi MOTILAL CHEMICAL COMPANY (BOMBAY)
Produser RAI BAHADUR SETH HURDUTROY MOTILAL CHAMRIA
Pengarah B.S. RAJHANS
Pelakon MISS FATIMA BENTI JASMAN MR. SUKI BEN NOORDIN MR. SYED ALI BIN MANSOOR MISS TIJAH KHAIRUDDIN YEM SHARIFF MEDAN AHMAD PAHLAWAN

Lokasi: Singapura
Perbelanjaan: 50,000 Ringgit
Kedudukan Filem: Hilang

JALAN CERITA___

Cerita mengenai percintaan yang tidak kesampaian antara si teruna (Qais) dengan si dara (Leila) disebabkan adanya permusuhan keluarga dan tradisi yang tidak boleh dilanggar.

Qais (penulis puisi) telah jatuh cinta dengan Leila. Leila pun demikian juga. Qais menulis puisi mengenai cintanya terhadap Leila dan nama Leila sentiasa saja bermain-main dibibirnya.

Apabila mahu berkahwin dengan Leila, ayah Leila tidak membenarkan. Tidak lama kemudian Laila dikahwinkan dengan orang lain.

Bila mendapat tahu Leila berkahwin, Qais berkelana di padang pasir dalam keadaan tidak siuman.

Leila kemudian jatuh sakit dan meninggal dunia. Selepas itu, Qais pula meninggal dunia di atas pusara Leila.

ULASAN FK___

Cerita "Leila Manjun" ini begitu termasyur dan telah dijadikan filem banyak kali di kalangan beberapa negara termasuk India, Pakistan, Indonesia dan Mesir.

Di Hollywood dan Britain serta negara-negara Eropah tidak terdapat filem "Leila Majnun" ini, mereka lebih menumpukan cerita "Romeo And Juliet" karya William Shakespeare yang kisahnya seakan-akan sama - percintaan yang tidak kesampaian.

Oleh kerana filem ini sudah dianggap hilang, tentulah sukar untuk saya membuat ulasan. Apakah ceritanya sama dengan "Laila Manjun" yang dilakonkan oleh Noordin Ahmad dan Latifah Omar pada tahun 1962 atau berbeza, tidak dapat dipastikan.

Bagaimanapun, pada umumnya cerita "Leila Majnun" adalah sama, cuma cara pengolahan dan persembahannya yang mungkin berbeza - bergantung kepada kehendak produser dan pengarah.

Filem ini masih bertradisikan negara Arab (terutama dari segi kostium) tetapi ia juga turut memperlihatkan budaya Melayu dengan lagu-lagu dan dialognya berBahasa Melayu.

Satu perkara yang menarik, "Leila Manjun" ini sudah diiktiraf dan tercatat dalam sejarah filem Malaysia sebagai filem Melayu pertama di Malaysia.

HASIL KAJIAN___

Menurut buku "Kaca Permata" yang ditulis oleh Jamil Sulong, "Laila Majnun" (ejaan sebenar "Leila Majnun") merupakan filem Malaysia pertama diusahakan dalam Bahasa Melayu dengan pengarahnya B.S. Rajhans dan dikeluarkan oleh Motilal Chemical Company (Bombay). Pelaksanaan penggambarannya berlaku disekitar tahun 1933.

Zulkifli Ahmad dalam bukunya "Eksploitasi Terhadap Bintang Filem (1938-74)" mencatatkan, "Leila Majnun" diusahakan pada tahun 1938.

Buku berBahasa Inggeris "Singapore Cinema" karya Raphael Millet pula menerangkan, penggambaran "Leila Majnun" dilaksanakan pada tahun 1933 dan tayangannya di Singapura dibuat pada bulan Mac 1934.

Menurut majalah "Bintang" pula, "Leila Manjun" dikeluarkan pada tahun 1935, tetapi M. Suki (hero filem "Leila Majnun") telah memperbetulkan kesilapan majalah tersebut dengan menyatakan, filem itu diusahakan pada tahun 1933 bukannya 1935.

Menurut satu kajian yang saya buat mendapati, B.S. Rajhans memulakan penggambaran "Leila Majnun" pada penghujung tahun 1932 dan berakhir dalam bulan Disember 1933.

Oleh kerana permulaan penggambaran mempunyai pendapat yang bersimpangsiur - Zulkifli Ahmad jauh tersasar, tahun 1938; majalah Bintang, tahun 1935 kemudian diperbetulkan oleh M. Suki, tahun 1933; Jamil Sulong dan Raphael Millet bersependapat, tahun 1933; dan saya sendiri, tahun 1932 - tidak dapat ditentukan tahun berapa sebenarnya mahu digunakan sebagai bermulanya filem Melayu (yang pertama) di Malaysia.

Menurut apa yang tercatat dalam satu iklan di akhbar The Straits Times, "Leila Majnun" mula (grand gala opening) ditayangkan pada jam 3.00 petang 27 Mac 1934 kemudian diteruskan pada jam 6.00 petang dan 9.15 malam di hari yang sama.

Tayangan pada 27 Mac itu adalah sempena menyambut Hari Raya Haji.

Lihatlah quotation yang terdapat dalam iklan.

The first spectacular Colossal Malay Talkie. Numerous Beautiful Arabian and Egyptian Dances. Songs and Dialogues in Classical Malay.
Featuring:-
Miss FATIMA BENTI JASMAN, of H.M.V. Record's Fame.
Mr. SUKI BEN NOORDIN, the stage-craft.
Mr. SYED ALI BIN MANSOOR, the renowned Artiste of
Malay stage and all others well-known Malay stage stars.
A soul stirring spectacular portrayal of true love. The world famous Arabian immortal love tragedy of 1000 years ago.
ENTIRELY PRODUCED IN SINGAPORE


Tayangan di Marlborough Theatre, Singapura itu diteruskan pada 28, 29, 30 dan 31 Mac 1934, dan berakhir pada 1 April 1934 dengan dua pertunjukan - 6.15 petang dan 9.15 malam.

Oleh yang demikian saya mengambil kesimpulan, filem Melayu pertama di Malaysia bermula pada 1934 (mengambil kira tahun bermula tayangan di Marlborough Theatre) bukan bermula ketika penggambaran pada tahun 1932 atau pun tahun 1933 yang seringkali disebut-sebut.

LAHIRNYA LEILA MAJNUN___

Dalam filem "Leila Majnun" M. Suki (dalam iklan di khabar tercatat Mr. Suki Bin Noordin) ialah heronya (sebagai Qais) dan Miss Fatima Benti Jasman sebagai heroinenya memegang peranan Leila.

Agak menarik, sungguhpun berperanan hero namun M. Suki tidak pernah menonton filem tersebut kerana sebaik saja menyelesaikan lakonannya dia terus mengikut kumpulan bangsawan menjelajah ke merata-rata tempat mengadakan pertunjukan pentas.

Sebelum diselenggarakan filem "Leila Manjun" berBahasa Melayu ini, sudah ada tiga filem "Leila Majnun" di India. Satu, dikeluarkan pada tahun 1922, kedua pada tahun 1927 dan ketiga, pada tahun 1931.

Filem pada tahun 1931 itu di arahkan oleh J.J. Madan yang turut mengarahkan "Satyawadi Raja Harishchanda", "Shakuntala" dan "Shirin Farhad" (semuanya pada tahun 1931).

Ada iklan tersiar dalam akhbar mengenai tayangan pembukaan filem ini (bertajuk "Leila Majnu") iaitu di Tivoli, Singapura pada tahun 1931.

Filem "Leila Majnu" ini berBahasa Urdu dan hanya dua pelakon saja dapat dikesan - Khurshid dan Nissar.

Berdasarkan filem inilah, "Leila Majnun" berBahasa Melayu dibuat. Ia dipersembahkan oleh Rai Bahadur Seth dan Hurdutroy Motilal Chamria yang bertanggungjawab menubuhkan Motilal Chemical Company, Bombay (kini Mumbai).

Ia bukan syarikat filem tetapi perniagaannya lebih tertumpu kepada pengedaran peralatan filem terutama karbon lampu ke Malaya (juga meliputi Singapura).

Bagaimanapun, pada awal tahun 1930-an mereka mula membawa masuk filem-filem India ke Singapura termasuk "Leila Majnu" berBahasa Urdu yang mana apabila ditayangkan di Singapura telah mendapat sambutan menggalakkan.

Ini menyebabkan Rai Bahadur Seth dan Hurdutroy Motilal Chamria berfikir, sekiranya ia diBahasa-Melayukan pasti akan mendapat sambutan sama seperti "Leila Majnu".

B.S. Rajhans (Balden Singh Rajhans) yang sudah terkenal dengan dua filem arahannya - "Krishnabarna Tirandaz" ("Panah Hitam" 1930) dan "Gupta Ratna" ("Harta Terpendam" 1931) - di bawa ke Singapura dari Calcutta (kini Kalkota) untuk bersama-sama Rai Bahadun Seth dan Hurdutroy Motilal Chamria menjadikannya filem berBahasa Melayu.

Dengan itu lahirlah filem "Leila Majnun" yang kini sudah pun mencatat sejarah.

Kepada mereka bertiga saya hanya mampu mengucapkan: "Terima kasih Rai Bahadur Seth, Hurdutroy Motilal Chamria dan B.S.Rajhans."


# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA>



1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan ,

    Saya berminat untuk menghubungi Tuan berkenaan filem Laila Majnun. Saya ingin minta jasa baik tuan untuk menghubungi saya secepat mungkin.

    ReplyDelete