"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Friday, May 6, 2011


BULOH PERINDU (1953)

FILEM MELAYU PERTAMA WARNA-WARNI

Teks: Mustafar A.R. & Aidalina Mustafar
Foto: Dipetik Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Edit: Zaini Yusop


Bakar Rudin dan Shariff Medan

Rusini dan Bakar Rudin

Berbaju hitam S.Alaton (sebagai ketua lanun), Yem (kanan), Hashim Salleh (kiri) dan seorang lagi tidak dikenali

Adegan bersukaria di sarang lanun diketuai oleh S.Alaton (dua kanan) dan Supenah, juga terkenal sebagai penyanyi (kanan)

Produksi KERIS FILM PRODUCTIONS
Produser HO AH LOKE
Pengarah B.S.RAJHANS
Jurugambar A.C.SYMMONS
Pelakon RUSINI SHARIFF MEDAN BAKAR RUDIN YEM S.ALATON RADEN SUDIRO NORSIAH MIMI NORDIN YEM M.AMIN SUPENAH HASHIM SALLEH
Lokasi MALAYA & SINGAPURA

Tahun diedarkan: 1953 (20 November)
Masa tayangan: Tidak diketahui
Kedudukan filem: Hilang, sedang dicari

JALAN CERITA___

Cerita bermula dengan isteri sultan dan isteri di kalangan pembesar istana melahirkan anak (putera) di hari yang sama. Dua putera tersebut ditukarkan sebagai usaha untuk merampas kuasa sultan.

Putera sebenar (Shariff Medan) dibesarkan di sebuah kampung dan kemudian jatuh cinta dengan gadis jelita kampung tersebut, Rusini. Putera palsu (Bakar Rudin) yang bersikap bengis dan kejam tertarik hati dengan Rusini tetapi tidak mendapat layanan.

Sekumpulan gajah menyerang kampung tersebut, dan penduduknya di selamatkan oleh putera sebenar manakala putera palsu bukannya mahu membantu tetapi (kerana pengecut) lari menyelamatkan dirinya.

Peristiwa tersebut membawa kedua mereka (bagi menentukan siapa berhak menaiki takhta)beradu kekuatan (pencak) yang mana putera sebenar memenangi perlawanan. Sultan pula di tangkap dan menjadi tawanan lanun.

Ketua lanun (S. Alaton) apabila menyedari orang yang ditawannya itu sultan lalu membebaskannya, sultan tidak berlengah lagi pulang ke istana sempat menyaksikan pertarungan antara putera sebenar dengan putera palsu.

Akhirnya, putera palsu tewas dan rancangan untuk menjatuhkan sultan pun terungkai. Putera sebenar kemudian ditabalkan menjadi sultan oleh sultan.

ULASAN FK___

Filem ini ditayangkan di Pavilion, Kuala Lumpur ketika saya berada di Sungai Chua, Kajang mengikut Abah saya yang bertugas sebagai angguta polis.

Kerana usia masih muda (10 tahun dan masih bersekolah), saya hanya mendengar saja teman-teman Abah saya bercerita mengenai filem ini.

Saya tidak pernah menontonnya dan saya biarkan ia berlalu bersama angin. Bagaimanapun, saya tahu kehadirannya dan merupakan filem Melayu pertama dibuat dalam warna-warni - Gevaert, sama seperti "Ribut" lakonan Ahmad Mahmud dan Sa'adiah.

Tidak banyak maklumat diperolehi mengenainya, apa yang dapat hanya beberapa perkara yang boleh diterima sebagai fakta berguna untuk dibuat rujukan mengenai filem Melayu.

Saya tidak dapat memastikan sama ada filem ini pernah ditayangkan di TV Malaysia semasa masih dalam hitam & putih dulu seperti "Chempaka" dan "Pisau Berachun".

Disebabkan filem ini sudah dianggap hilang (ghaib), sukar untuk dikesan bagaimana corak persembahannya - cerita, lakonan, penggambaran, rakaman suara, pakaian dan lain-lain aspek teknikal terutama keberkesanan warnawarninya.

Menurut apa yang saya baca dalam akhbar dan majalah lama, kekuatan filem ini hanya terletak kepada warna-warni yang cantik saja tetapi lemah dari segi aspek elemen filem yang lain.

Filem ini bolehlah dianggap gabungan mutlak antara Ho Ah Loke (Keris Film Productions) dengan Loke Wan Tho (Cathay Organisation). Bagaimanapun, masih menggunakan Keris Film Productions belum lagi Cathay Keris Film.

Sebelumnya, "Bunga Perchintaan" dan "Untuk Sesuap Nasi" keluaran Rimau Film Productions dan "Ramlee Ramlah" dan "Setia" terbitan Keris Film Productions kepunyaan Ho Ah Loke, Cathay Organisation hanya bertindak sebagai penayang (pemamer) di panggung-panggung kepunyaannya saja.

Sebenarnya, Ho Ah Loke telah membuat filem warna-warni bertajuk "Perwira Di Lautan Teduh" yang diarahkan oleh Jaffar Wiryo. Tetapi malangnya, ketika penghantaran negatifnya ke London untuk di proses warna-warninya ia hilang dalam perjalanan.

Ho Ah Loke sangat kecewa, namun begitu tidak melemahkan semangatnya apabila dia menarik B.S. Rajhans dari studio MFP Jalan Ampas untuk mengarahkan filem ini setelah dia tidak puas hati dengan Jaffar Wiryo.

Sungguhpun, studio MFP Jalan Ampas dianggap kuat sebagai pengeluar filem Melayu tetapi Keris Film Productions mendulunya menerbitkan filem warna-warni.

Dengan lahirnya filem ini, ia tercatat dalam sejarah filem Melayu di Malaysia (Singapura) sebagai filem Melayu pertama dibuat dalam warna-warni walaupun kualiti persembahannya tidak boleh dianggap baik dan memuaskan.

Sesudah filem ini barulah Runme Shaw dan Run Run Shaw buka mata apabila studio MFP Jalan Ampas mengeluarkan dua filem warna-warni sekali gus - "Ribut" (Gevaert) arahan K.M.Basker dan "Hang Tuah" (Eastman) arahan Phani Majumdar - dua-duanya keluaran tahun 1956.

LAGU___

Hanya dua lagu saja yang dapat dikesan - "Setangkai Kembang Melati" dan "Kaseh Berpadu".

Tidak dapat dipastikan sama ada Rusini dan Bakar Rudin (heroine dan hero) menyanyikan lagu-lagu tersebut dalam filem, tetapi yang jelas rakaman di piringhitam dinyanyikan oleh Abdullah Chik dan Jamaliah Shariff serta Abdullah Chik dan Normadiah.

FAKTA___

* Filem Melayu pertama dibuat dalam warna-warni (Gevaert).

*Filem pertama diarahkan oleh B.S.Rajhans di Keris Film Productions.

* Selepas filem ini Rusini turut berlakon dalam beberapa filem lagi termasuk "Nafsu", "Insaf" dan "Terang Bulan Di-Malaya".

* Filem ini mengambil masa kira-kira dua tahun menyiapkannya.

* Perbelanjaan membuat filem ini lebih kurang $200,000.

* Lebih separuh penggambaran filem ini dilakukan di beberapa tempat di Malaya (kini Malaysia) terutama di Arau, Perlis.

* Selepas filem ini, B.S.Rajhans mengarahkan filem "Dahlia" (1953) yang merupakan filem pertama dibintangi oleh Latifah Omar.

* Filem warna-warni kedua dikeluarkan oleh Keris Film (Cathay Keris Film) ialah "Virgin of Borneo" yang diarahkan oleh L.Krishnan pada tahun 1958.

* Jamaliah Shariff, penyanyi lagu "Setangkai Kembang Melati", anak Shariff Medan.



(Sumber: jefferniagaz)


(Sumber: jefferniagaz)


MARI KITA MENYANYI LAGU "SETANGKAI KEMBANG MELATI"



SETANGKAI KEMBANG MELATI

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Mekar dalam taman
Taman hati muda remaja

Ku sunting kembang melati
Dalam sanubari
Sebagai kenangan
Untuk dewi yang ku puja-puja

Bahgialah melati pujaan abadi
Ku tanam dengan kasih asmara yang suci
Semoga hidup subur setiap masa
Di mandikan embun pagi

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Di dalam rangkaian
Kasih mesra asmara yang sakti

Bahgialah melati pujaan abadi
Ku tanam dengan kasih asmara yang suci
Semoga hidup subur setiap masa
di mandikan embun pagi

Setangkai kembang melati
Semerbak mewangi
Di dalam rangkaian
Kasih mesra asmara yang sakti


Penyanyi ABDULLAH CHIK & JAMALIAH SHARIFF


9 comments:

  1. Kalau filem The Virgin of Borneo dijumpai di England selepas beberapa lama 'hilang', adakah kemungkinan filem ini boleh dijumpai semula? Dalam bacaan saya, filem warna Keris Film dihantar ke England untuk pemprosesan. Oleh kerana sistem penyimpanan di England sistematik, adakah mungkin kita dapat melihat semula filem ini suatu hari nanti?

    -Oummar Ipoh

    ReplyDelete
  2. Kalu betul la "Virgin of Borneo" telah dijumpai di England, silap2 byk filem Melayu yang boleh dijumpai di sana seperti Pelangi (kononnya dibanned di Malaya & dibawa ke England), Buloh Perindu, Pontianak (dengar kata pernah dibeli untuk siaran televisyen di Amerika pada hujung 50an) & Perwira Di Lautan Teduh (Mana tau terpuruk di celah2 mana dlm library di England atau Amerika tu)...

    ReplyDelete
  3. Thread ini sudah berusia 2 tahun & tidak mendapat respon yang banyak dari para pembaca FKM yang diakui amat ramai. Jadi saya cuba mengaktifkannya semula. Apa agaknya komen Encik Mustafar?

    (1) Bukankah jodol filem Melayu yang pertama kali dibuat dalam warna-warni sepatutnya dieja sebegini 'PERWIRA DI-LAUTAN TEDOH"?

    (2) Benarkah filem VIRGIN OF BORNEO arahan Dato' L. Krishnan jodol Melayunya ialah CHINTA GADIS RIMBA yang diambil dari novel karangan Harun Aminurrashid?

    (3) Benarkah filem ini pernah hilang tetapi dijumpai semula sedangkan apa yang pernah saya baca ialah hak cipta filem ini telah dibeli oleh Gaya Films milik Dato' L. Krishnan daripada Keris Filem?

    (4) Para seniman seniwati klasik kita yang paling banyak muncul dalam filem lama berwarna ialah Saadiah (HANG TUAH, RIBUT, SEMERAH PADI (partly in colour), MELANCHONG KA-TOKYO & NORA ZAIN EJEN WANITA 001) & Ahmad Mahmud (PERWIRA DI-LAUTAN TEDOH, HANG TUAH, RIBUT, RAJA BERSIONG). Heroin-heroin kita yang lain pernah juga terlibat dalam satu dua filem lama berwarna seperti Zaiton (HANG TUAH) & Sarimah (RAJA BERSIONG) sedangkan yang langsung tiada dalam senarai filem klasik Melayu berwarna ialah seniwati Latifah Omar. Walhal Latifah Omar merupakan superstar & diva kita yang paling handal & disukai ramai hingga namanya tercatit dalam sejarah dunia perfileman Melayu hari ini.

    Kerana itulah kerjasama perlu diadakan dengan pihak Pertubuhan Cathay melalui jasa Pengarah merangkap "big boss" Cathay hari ini, yaini Cik Choo Meileen yang dikatakan amat baik hati & prihatin terhadap dunia perfileman Melayu seperti mana pamannya dulu, mendiang Dato' Loke Wan Tho. Tanyalah mana-mana bekas pelakon Cathay-Keris yang masih ada seperti Wahid Satay tentang kebaikan Loke Wan Tho dengan para karyawannya, sedangkan hubungan Shaw dua beradik (Run Run & Runme) dengan para karyawan mereka di studio Shaw-MFP adalah berbentuk "employer-employee" (majikan-pekerja makan gaji) kalau tidakpun seperti "burgeois-proletariat".

    - NONAMA

    ReplyDelete
  4. Bila kita sebut tentang filem CINTA GADIS RIMBA (Virgin of Borneo) yang dikeluarkan oleh Keris Filem, THE LONG HOUSE produksi Shaw sebagai pesaingnya tidak harus diketepikan. Jodol Melayunya ialah RUMAH PANJANG. Menurut fakta, filem inilah yang diterbitkan terdahulu, kemudian baru muncul CINTA GADIS RIMBA. THE LONG HOUSE memang menggunakan jodol berbahasa Inggeris secara rasmi. Jodol Melayunya adalah sekadar terjemahan saja. THE LONG HOUSE dianggap telah hilang tetapi blog ini mengatakan besar kemungkinan ia tersimpan di dalam peti besi pihak Pertubuhan Shaw kerana penayangan filem ini telah diharamkan sebab watak wanita-wanita Iban (termasuk heroinnya Luli) dalam filem ini semuanya bertelanjang dada yang mempamerkan payu dara secara "frontal" (berdepan dengan kamera). Peranan utama filem THE LONG HOUSE dipegang oleh Kenny Buchnan, seorang pelakon Eropah & Luli, gadis Iban yang sebenar. Filem ini diarahkan oleh Phani Majumdar & dibuat dalam Eastmancolor. Manakala peranan utama dalam CINTA GADIS RIMBA dipegang oleh S. Roomai Noor & Narang, juga seorang gadis Iban pribumi Sarawak. Ia diarahkan oleh L. Krishnan & diterbitkan dalam Eastmancolor juga. Ketika penayangan THE LONG HOUSE dulu sebelum pengharamannya, pihak Shaw begitu ghairah mempromosikan filem ini sehingga membawa Luli ke banyak pawagam utama rangkaian Shaw di bandar-bandar besar untuk pertunjukan pentas secara "live", termasuk pawagam Capitol Singapura yang secara eksklusif menayangkan filem-filem barat & Kantonis/Mandarin keluaran studionya di Hong Kong saja.

    - NONAMA

    ReplyDelete
  5. Dalam erti kata yang lain, filem THE LONG HOUSE merupakan sebuah filem etnik yang digarap untuk pasaran antarabangsa. Kerana itulah ia banyak menggunakan bahasa Inggeris di samping bahasa Iban, Melayu & Cina. CINTA GADIS RIMBA juga adalah sebuah filem etnik yang lebih berjiwa & bercorak Melayu-Islam & Iban-Islam yang sesuai khususnya untuk penonton Melayu. Filem CINTA GADIS RIMBA pernah ditayangkan di RTM 1 lama dulu.

    - NONAMA

    ReplyDelete
  6. Maaf atas kesilapan saya. Sepatutnya ia dieja sebagai CHINTA GADIS RIMBA menurut ejaan asalnya.

    - NONAMA

    ReplyDelete
  7. Saya ada terbaca filem ini di buat di kg saya tebing tinggi, perlis. Adakah ianya betul

    ReplyDelete
  8. Rusini atau Rogayah Merican binti SMO Merican telah kembali ka Rahmatullah pada 16 Oktober, 2021 pada umur 94 tahun di Medan, Indonesia. Innalilahi Wainnailaihi rojiuun. Semuga rohnya dicucri rahmat dan diletakkan para salihin, Insayllah, Aamiin.

    ReplyDelete
  9. Dah lama cari info moyang saya sebelah keluarga arwah mak yg bernama Rusini , terima kasih

    ReplyDelete