"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Tuesday, August 2, 2011


ZAITON

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto Dari Pelbagai Sumber





Di Edit Di Semak & Di Susun: ZAINI YUSOP





BIODATA___
Nama sebenar ZAITON BINTI ABDUL HAMID
Tarikh lahir 2 APRIL 1937
Tempat lahir CHANGI ROAD, SINGAPURA






BERMULA DARI "ABU HASSAN PENCHURI"___

Zaiton memulakan kerjaya filemnya secara kebetulan. Kejadian berlaku pada tahun 1955 semasa studio MFP Jalan Ampas sedang memilemkan filem 1001 Malam "Abu Hassan Penchuri."

Ketika itu Zaiton datang bersama ibunya, kerana kejelitaan dan keayuannya membuat pihak pengurusan tertarik dan telah mencadangkan supaya dia menjalankan ujian skrin (screen test).

Zaiton lulus ujian skrin, dengan itu dia telah diberi peranan sebagai dayang kepada Mariam yang berperanan sebagai Tengku Faridah dan P. RAMLEE sebagai heronya, Abu Hassan.

Di waktu yang sama, S. Ramanathan yang tertarik dengan Zaiton telah memberikannya peranan sedikit berat dalam filem "Kipas Hikmat" yang dibintangi oleh Yusof Latiff dan Mariam.

Bagaimanapun, dia hanya muncul di awal dan di penghujung filem saja kerana filem tersebut dibuat dalam bentuk flashback (sorotbalik).

Sungguhpun Zaiton bermula dengan "Abu Hassan Penchuri" tetapi "Kipas Hikmat" mendahului tayangan pada 26 Februari 1955 berbanding "Abu Hassan Penchuri" pada 2 Mei 1955.

Dalam tahun 1955 itu juga, tercatat dalam riwayat hidup Zaiton apabila buat pertama kalinya diserahkan berperanan sebagai heroine kepada Yusof Latiff dalam "Jubah Hitam" bercorak 1001 Malam yang diarahkan oleh S. Ramanathan.

Bertolak dari situlah, Zaiton tidak menoleh ke belakang apabila diserahkan peranan demi peranan (kebanyakannya sebagai heroine) berherokan P. Ramlee, Ahmad Mahmud, Yusof Latiff, Jins Shamsudin dan Aziz Jaafar.

Selepas "Jubah Hitam," Zaiton digabungkan dengan bintang-bintang filem handalan studio MFP dalam filem epik berwarnawarni "Hang Tuah".

Peranannya sebagai Tun Tijah dan turut membintangi filem tersebut P. Ramlee, Sa'adiah, Ahmad Mahmud, S. Kadarisman, Noordin Ahmad, Yusof Latiff, Mariani, Aziz Sattar, Mustapha Maarof dan ramai lagi.

Sebelum melangkah masuk ke tahun 1960an, Zaiton telah membintangi 11 filem yang boleh dikatakan kesemuanya mendapat sambutan baik dan memuaskan.

1. Kipas Hikmat (S. Ramanathan 1955)
2. Abu Hassan Penchuri (B.N. Rau 1955)
3. Jubah Hitam (S. Ramanathan 1955)
4. Hang Tuah (Phani Majumdar 1956)
5. Anak-Ku Sazali (Phani Majumdar 1956)
6. Bujang Lapok (P. Ramlee 1957)
7. Taufan (T.C. Santos 1957)
8. Sri Menanti (Phani Majumdar 1958)
9. Doctor (Phani Majumdar 1958)
10. Batu Belah Batu Bertangkup (Jamil Sulong 1959)
11. Samseng (Ramon A. Estella 1959)


Di antara 11 filem, 4 di bawah arahan Phani Majumdar dan 2 diarahkan oleh pengarah Filipina - T.C. Santos dan Ramon A. Estella.

Sungguhpun orangnya lemah lembut, bersopan dan pemalu, namun Zaiton boleh juga berkomidi, berperanan jahat dan bergaya seksi.

Berkomidi diperlihatkannya dalam "Bujang Lapok" - baik, tidak kekok dan tidak kaku. Penonton boleh ketawa. Begitu juga "Siapa Besar?" dan "Aksi Kuching".

Berperanan jahat telah di bawanya dengan sempurna dalam "Putera Sangkar Maut" dan "Budi Dan Dosa". Penonton benci dan marah kepadanya.

Bergaya seksi pula, apabila dia berkemban dalam "Lela Manja" dan berseluar ketat dalam "Aksi Kuching". Penonton begitu terpesona dengan gelagatnya.

Ini memperlihatkan kemampuan Zaiton membawa apa saja peranan yang diberikan, tidak terhad kepada satu-satu karekter saja.

Sepanjang tahun 1960an Zaiton membintangi 16 filem.

12. Lela Manja (Jamil Sulong 1960)
13. Putera Sangkar Maut (Dhiresh Ghosh 1960)
14. Pertarongan (Omar Rojik 1960)
15. Ali Baba Bujang Lapok (P. Ramlee 1960)
16. Seniman Bujang Lapok (P. Ramlee 1961)
17. Si Tanggang (Jamil Sulong 1961)
18. Ibu Mertua Ku (P. Ramlee 1962)
19. Gerhana (Jamil Sulong 1962)
20. Korban (Dhiresh Ghosh 1963)
21. Budi Dan Dosa (Jamil Sulong 1963)
22. Siapa Besar? (Omar Rojik 1964)
23. Taqdir (Omar Rojik 1965)
24. Kacha Permata (Jamil Sulong 1966)
25. Aksi Kuching (Omar Rojik 1966)
26. Lampong Karam (S. Kadarisman 1967)
27. Raja Bersiong (Jamil Sulong 1967)


Filem "Ali Baba Bujang Lapok" dan "Seniman Bujang Lapok", peranannya hanya sebagai bintang undangan.

Zaiton sangat suka melihat lakonannya dalam filem "Anak-Ku Sazali," tetapi tidak suka dengan karekternya dalam "Putera Sangkar Maut".

Zaiton sendiri begitu terharu sampaikan menitis airmata ketika menyaksikan peranannya sebagai Mahani (isteri Hassan yang dipegang oleh P. Ramlee) dalam "Anak-Ku Sazali."

Mahani meninggal dunia sebaik saja melahirkan anaknya, Sazali.

Zaiton jijik menonton lakonannya dalam "Putera Sangkar Maut" kerana peranannya sebagai isteri Datuk Menteri (Shariff Dol) yang curang dan bersubahat dengan Jins Shamsudin yang berhasrat untuk menjatuhkan Aziz Jaafar yang berperanan sebagai Sultan.

Kata Zaiton, peranan tersebut sangat bertentangan dengan jiwa dan karekter semulajadinya. Tetapi apa boleh buat kerana perananya sudah ditetapkan begitu.

Ada beberapa perkara menarik mengenai Zaiton dan filem-filemnya.

* Hang Tuah menang muzik terbaik (P. Ramlee) di Hong Kong 1956.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon lelaki terbaik (P. Ramlee) di Tokyo 1957.
* Anak-Ku Sazali menang pelakon kanak-kanak terbaik (Tony) di Tokyo 1957.
* Taufan satu-satunya filem diarahkan oleh T.C. Santos di Malaysia.
* Sri Menanti berherokan pelakon Hong Kong - Chan Chong.
* Batu Belah Batu Bertangkup filem pertama diarahkan oleh Jamil Sulong.
* Lela Manja menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Tokyo 1960.
* Ibu Mertua Ku menang bakat serba boleh (P. Ramlee) di Tokyo 1963.
* Ibu Mertua Ku menang sinematografi terbaik (A. Bakar Ali) di Tokyo 1963.
* Korban filem terakhir diarahkan oleh Dhiresh Ghosh di Malay Film Productions.
* Gerhana menang pelakon kanak-kanak terbaik (Bat Latiff) di Taipei 1964.
* Ibu Mertua Ku menang anugerah khas (special mention) di Paris 1965.
* Raja Bersiong filem terakhir dikeluarkan oleh Malay Film Productions.

Sepanjang penglibatannya dalam filem di studio MFP, Zaiton tidak sebagai pekerja tetap. Pembayaran mengikut kontrak satu filem. Begitu pun juga, dia tidak pernah mengambil kesempatan berlakon di Cathay Keris Film atau pun Merdeka Studio.

Sebenarnya, hal-hal peribadi Zaiton ini tersingkap terlalu sedikit. Saya pernah berbual-bual dengannya beberapa kali dan terakhir di Festival Filem Malaysia Ke-22 (bulan Ogos 2009) di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun, tidak terlintas langsung saya mahu bertanyakannya dengan lebih mendalam terutama mengenai sepanjang perjalanan hidupnya.

Bila terwujudnya idea menulis pasal Zaiton di blog ini, baru saya menyesal dan menyoal diri sendiri, "Kenapa saya tidak menemuramahnya habis-habisan pada masa itu."


MARI KITA MENONTON TIGA FILEM ZAITON



"BATU BELAH BATU BERTANGKUP" (Sumber: LimaJiwas)


"AKSI KUCHING" (Sumber: FilemKlasik Melayu)


"LELA MANJA" (Sumber: LimaJiwas)




Atas: Zaiton bersama perwakilan negara-negara lain ketika menyertai Pacific Festival San Francisco di Amerika Syarikat pada tahun 1959. Bawah: Zaiton berada di Hollywood ketika menghadiri festival yang sama pada tahun 1958.



ZAITON DI PACIFIC FESTIVAL SAN FRANCISCO ___

Zaiton berupakan pelakon beruntung di studio MFP kerana 2 kali dipilih mewakili Malaysia (ketika itu Malaya) menyertai Pacific Festival San Francisco di Amerika Syarikat bagi memperkenalkan pakaian tradisional yang turut disertai perwakilan dari Filipina, Thailand, Indonesia, Jepun dan Hong Kong.

Selain Zaiton, pelakon-pelakon MFP lain beruntung di hantar ke luar negara, Sa'adiah ke Eropah, Hashimah Yon dan Normadiah ke Congo.

Kali pertama Zaiton ke Amerika Syarikat, pada bulan September 1958 di mana dia berjaya menarik minat masyarakat Amerika Syarikat dengan memperagakan lapan pasang pakaian (antaranya kebaya dan sarong) yang di bawanya.

Turut bersama Zaiton memperagakan pakaian negara masing-masing 5 pelakon terkenal - Filipina (Susan Roces), Hong Kong (Ting Ming), Taiwan (Julie Wu), Jepun (Mitsuyo Hosaka) dan Thailand (Kokeo Nachiengmei).

Kali kedua, pada bulan September 1959 juga memperagakan pakaian tradisional Malaysia. Bagaimanapun, lebih beruntung apabila dia menerima kunci Bandar San Francisco dari Datuk Bandar San Francisco, George Christopher.

Selain Amerika Syarikat, Zaiton juga pernah berkunjung ke Hong Kong, Jepun, Filipina, Hawaii, Indonesia dan Burma (Myanmar).

Agak menarik, semasa Zaiton masih di San Francisco pengarah Jamil Sulong sudah pun menetapkan peranan Lela Sari (filem "Lela Manja") untuknya bergabung dengan Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan Jins Shamsudin.

Balik saja, Zaiton terus menandatangani kontrak.



Bersama P. Ramlee dalam "Anak-Ku Sazali"


Bersama Aziz Jaafar dalam "Pertarongan"


Bersama Ahmad Mahmud dalam "Taufan"


Bersama Jins Shamsudin dalam "Budi Dan Dosa"


HERO-HERONYA,
DARI KACAMATA ZAITON 50 TAHUN YANG LALU___


P. RAMLEE.....

"Aton selalu panggil P. Ramlee, abang Ramlee. Aton tak banyak berlakon dengan dia, cuma 5 saja, Abu Hassan Penchuri, Hang Tuah, Anak-Ku Sazali, Bujang Lapok dan baru selesai Ali Baba Bujang Lapok.

"Dalam satu shooting, Aton ingat sudah betullah, tapi tiba-tiba suara abang Ramlee mengusik, "Oi! nak pergi kabaret ke? Apa pula orang dalam kecemasan berjalan macam itu?

"Usikan abang Ramlee diikuti pula oleh ketawa para pekerja dan juga pengarah filem itu hinggakan Aton merasa malu, tapi kejadian itu tidak berpanjangan, abang Ramlee datang menunjukkan pada Aton bagaimana cara yang betul, dan Aton pun tidak berkecil hati, kerana usikannya itu Aton dapat memperbaiki lakonan Aton.

Ditanya mengenai P. Ramlee yang suka bercerita dan berbual.

"Pasal berbual-bual ni, abang Ramleelah nombor satu, tapi bualannya semua tak ada yang sia-sia dan kosong. Kesemuanya berisi belaka. Kalau dia bercerita, lain tak ada misti pasal filem, macam mana karekter orang itu, macam mana karekter orang ini.

"Apa yang Aton cakap ni, tentang abang Ramlee sebagai seniman bukan sebagai pengarah, kalau sebagai pengarah itu sudah lain pula ya!"

AHMAD MAHMUD.....

Ahmad Mahmud pun bagus orangnya, Aton berlakon dengannya 2 filem saja, Taufan dan Lela Manja. Jadi Aton tidak begitu faham sangat dengan perangai-perangai Ahmad Mahmud ni.

"Yang Aton tahu, Ahmah Mahmud seorang seniman yang peramah, cergas dan kuat bekerja. Semasa shooting dia sama seperti abang Ramlee, dia serius dan tak suka bergurau.

"Bila sudah shooting barulah dia mahu bergurau dan bercerita dengan Aton, dan kita memang paling suka sekali bila Ahmad Mahmud bercerita sebab segala tangan, kaki, kepala dan mukanya bergerak mengikut gaya watak yang diceritakannya itu, lebih-lebih lagi kalau dia bercerita itu dengan meniru cakap orang putih.

"Sesiapa juga yang ada disitu misti ketawa melihat gelagatnya kerana apa yang dia cakap tu dia sendiri pun tak tau dan Aton yang mendengar lagi tak mengerti, jadi macam mana kita tak ketawa. Kan seronok, ya!

"Semasa shooting, kalau Ahmad Mahmud ada bersama kita akan terhibur dan senang hati, ada masanya pula dia buat bercakap loghat kampungnya Rembau, tak tahan hati Aton di buatnya, macam dicolek-colek."

JINS SHAMSUDIN.....

"Aton berlakon dengan Jins Shamsudin 4 filem saja, Samseng, Lela Manja, Putera Sangkar Maut dan sekarang dalam filem Pertarongan.

"Kalau sekali pandang, Aton tentu menyangka Jins Shamsudin seorang seniman yang pembengis dan garang, tapi yang sebetulnya dia tidak begitu, dia peramah orangnya, baik budi bahasa dan pandai menyesuaikan diri.

"Sebagaimana dengan abang Ramlee dan Ahmad Mahmud, Jins Shamsudin juga begitu. Dia sangat mengambil berat tentang senilakon. Setiap masa dia berusaha memperbaiki lakonan-lakonannya.

"Sebab itulah, Aton selalu melihat Jins Shamsudin membawa perubahan dalam tiap-tiap filem yang dia berlakon. Di samping itu pula, dia rajin belajar tentang cara-cara berlakon dan suka menerima ajaran dari kawan-kawan yang lebih berpengalaman daripadanya.

"Jins Shamsudin juga suka berbual-bual dan bergurau, tapi bila masa lapangan dan tidak ada shooting. Cuma bezanya, dia tidak sepandai abang Ramlee dan Ahmad Mahmud bila bercerita dan berbual-bual. Dalam hal-hal mengenai lakonan, Jins Shamsudin tidak ketinggalan dari mereka."

AZIZ JAAFAR.....

"Aziz Jaafar pun sama juga lebih kurang dengan mereka bertiga, cuma dia agak pendiam sedikit orangnya dan tidak suka bergurau-gurau dan mengusik-gusik Aton. Sebetulnya dia bukan sombong, itu sudah resmi dia begitu barangkali.

"Tapi kalau sudah lama Aton bercakap-cakap dan berbual-bual dengannya, Aton akan merasa senang sekali kerana dia paling suka ketawa.

"Selalu Aton perhatikan, kalau dia bercakap misti di selangseli dengan ketawanya yang membuat Aton terhibur. Selain ketawa Aziz Jaafar juga suka menyanyi.

"Jikalau kita kesunyian di masa shooting, dialah nanti akan melenyapkan kesunyian Aton dengan nyanyian lagu-lagu Melayu, Inggeris dan Hindustan. Suaranya pun lemak merdu.

"Semasa berlakon Aziz Jaafar seperti hero-hero lain, dia cergas, serius, patuh dan menurut apa saja yang disuruh buat oleh pengarah. Pengarah-pengarah di MFP sangat gembira melihat lakonannya dalam filem-filem arahan mereka.

"Aziz Jaafar juga pandai bermain alat-alat musik. Kalau abang Ramlee boleh bermain piano, biola dan gitar, dia juga boleh bermain saxaphone.

"Aton berlakon dengan Aziz Jaafar dalam Doctor, Samseng, Batu Belah Batu Bertangkup, Lela Manja, Putera Sangkar Maut dan sekarang Aton sedang berlakon bersamanya dalam filem Pertarongan.

* Hero pertama Zaiton, Yusof Latiff dalam filem "Jubah Hitam". Tetapi semasa di temubual, nama Yusof Latiff tidak disentuh langsung kerana pada masa itu dia berlakon di Cathay Keris Film.

* Artikel temubual oleh H.M. Rohaizad dengan Zaiton yang disiarkan dalam Majallah Filem pada bulan November 1960 ini, disunting semula oleh Mustafar A.R. mengikut ejaan terkini (kecuali tajuk filem) dan keadaan semasa.




Masing-masing bergembira menerima anugerah bintang legenda. Dari kiri: Tony Castillo, Latifah Omar, Aziz Sattar, Kassim Masdor, Momo dan Zaiton




ZAITON MENERIMA ANUGERAH BINTANG LEGENDA___

Pada pertengahan tahun 2009 saya menerima telefon dari M. Daud (Presiden Papita) memberitahu, sempena Festival Filem Malaysia Ke-22 (pada 5-8 Ogos 2009) akan dianjurkan satu majlis sampingan, Anugerah Bintang Legenda.

Saya kata, baguslah. Kemudian dia meminta saya menganggutai AJK pemilihan (panel juri). Saya bersetuju.

Tidak lama kemudian, satu pertemuan diadakan di Finas yang turut di hadiri oleh Iliyas Ibrahim, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, yang kemudian dilantik sebagai Pengerusi.

Selain saya dan M. Daud sebagai Setiausaha, turut menganggutai AJK pemilihan, Deddy M. Borhan, Zulkifli Wahab, Zain Haji Hamzah, Aimi Jarr, Adam Salleh dan Akmal Abdullah.



CITATION ZAITON

"Raut wajahnya begitu lembut dan sayu. Kerana itu dia sering diberi peranan heroine - membawa karekter baik. Ini diperlihatkannya dalam "Jubah Hitam", "Hang Tuah", "Sri Menanti", "Doctor" dan banyak lagi. Namun begitu, kebolehannya membawa karekter jahat tidak terkecuali. Filem "Putera Sangkar Maut" dan "Budi Dan Dosa" adalah sebagai bukti. Penonton marah apabila dia menganyanyai Sa'adiah dalam "Putera Sangkat Maut" dan Hashimah Yon dalam "Budi Dan Dosa". Bagaimana dengan komedi? Pun dia berkemampuan. Ini dapat dilihat apabila peranan Aton telah dibawanya dengan baik dalam "Bujang Lapok" yang diarahkan oleh P. Ramlee. Dia boleh mentertawakan penonton. Begitu juga dengan "Siapa Besar?" dan "Aksi Kuching". Sejak filem pertamanya "Kipas Hikmat" pada tahun 1955, dia boleh dikatakan menjadi pujaan kepada peminat-peminat filem Melayu dan sering berlakon bersama P. Ramlee, Yusof Latiff, Ahmad Mahmud, Aziz Jaafar dan Jins Shamsudin. Dari segi personaliti, dia telah menunjukkan kesopanan sebagai bintang filem sejati. Sejak penceburannya dalam filem hingga tertutupnya studio MFP Jalan Ampas pada tahun 1967 dengan filem terakirnya "Raja Bersiong" tiada kontroversi yang ditimbulkannya. Ciri-ciri itulah yang membuatkan ramai yang menghormatinya sampailah sekarang. Justeru itu, Panel Juri Anugerah Bintang Legenda telah memilihnya sebagai penerima Anugerah Bintang Legenda Untuk Kategori Anugerah Khas Juri. Dia ialah..... ZAITON."

* Citation ini dibaca di Majlis Malam Anugerah Bintang Legenda sempena Festival Filem Malaysia Ke-22 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Ogos 2009. Penulis citation: Mustafar A.R.



Banyak nama calon pelakon veteran di kemukakan, setelah berbahas sekian lama hanya 5 saja di pilih menerima penghormatan dari Kerajaan Negeri Sabah. Mereka Aziz Sattar, Latiffah Omar, Tony Castillo, Kassim Masdor dan Zaiton.

Sebenarnya, Zaiton terpaksa bersaing dengan Latiffah Omar dalam merebut anugerah kategori pelakon wanita.

Bagaimanapun, panel juri terpaksa akur dengan kekuatan Latiffah Omar kerana dia melebihi Zaiton baik dari segi sumbangannya kepada dunia filem Malaysia mahu pun jumlah filem yang dibintanginya.

Zaiton, juga ada kelebihannya. Justeru itu, AJK pemilihan terpaksa mengwujudkan anugerah khas juri yang membolehkannya menerima trofi dan wang tunai RM5,000.





(Sumber: YahyaHamid)


(Sumber: Dwniss)


(Sumber: Abangku2000)


(Sumber: DesyDizzy)


(Sumber: FilemKlasik)

Zaiton bersama suami pertamanya (Abdullah Hussain) serta dua anak lelaki mereka, Tun Zainal dan Tun Sri Lanang.

Zaiton bersama tiga anak perempuannya dengan suaminya yang kedua. Dari kiri: Sharifah Aishah, Sharifah Noorhayati dan Sharifah Khairoon Nisa.

ISTERI SASTERAWAN NEGARA_____

* Mungkin ramai yang tidak tahu, Zaiton pernah menjadi isteri Sasterawan Negara dan novelis terkenal, Abdullah Hussain (juga penulis buku P. Ramlee, Gagak Di Rimba), dan tidak berapa lama dulu hebuh pasal novelnya, Interlok.

* Perceraiannya dengan Abdullah Hussain disebabkan Zaiton terlalu sebuk berlakon filem sehingga tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada suami dan anak-anak.

* Dengan Abdullah Hussain, Zaiton mempunyai dua anak lelaki - Tun Zainal dan Tun Sri Lanang.

* Kini Zaiton menetap tinggal di Singapura dan hidup bahagia disamping suaminya yang ada sekarang seorang ahli perniagaan yang tidak berminat langsung dalam bidang seni, Sheikh Abdullah.

* Bersamanya Zaiton mempunyai tiga anak perempuan, Sharifah Aishah, Sharifah Noorhayati dan Sharifah Khairon Nisa.

* Mustafar A.R., pernah bertugas sebagai pembantu pengarang kepada Abdullah Hussain semasa bertugas dengan Franklin Book Programes dari 1968 hingga 1970.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.








7 comments:

  1. Blog ini baru saya temui.
    Tak sedar rupanya sudah
    ada lama di alam maya.
    Inilah kisah Zaiton
    paling detail pernah saya baca.
    Tahniah FKM dan Zaini Yusop.
    Pada saya, semua artikel
    sangat menarik dan memberi
    info yang sangat berguna.
    Boleh buat rujukan.

    - Hamidah Hashim, Kuala Pilah, N. Sembilan.

    ReplyDelete
  2. Good job...boleh arrange tak exclusive interview untuk Zaiton dan living lagend yang lain yang dok bernyawa lagi. Kalu dah mati,it will be too late. Tak dak sapa ka yang interested? TV3? RTM? ASTRO? Anyone?

    ReplyDelete
  3. dah lama saya nak lihat kembali filem Pertarongan. Sesiapa yang ada tolong upload

    ReplyDelete
  4. Bagaimana cara nak dpt filem budi dan dosa ..putera sangkar maut..Sri menanti..dahaga filem klasik..Melayu..

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum...
    Dah lama sya tercari cari..siapa ibu kepada Tun sri lanang. Rupanya makcik ton.
    Harap sangat pihak makcik ton hubungi saya.
    Saya adalah keluarga tun sri lanang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Macam mana Zaiton nak berhubung?
      Bagilah alamat atau pun nombor telefon.

      Delete