"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Saturday, January 28, 2012


JULIE FARIDAH

KENAPA HILANG SELEPAS SATU FILEM?

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Dipetik Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


TOH PUAN DATIN SERI JORIA

BIODATA___
Nama sebenar: JORIA BASIR
Nama glamour: JULIE FARIDAH
Tarikh lahir: 25 NOVEMBER 1944
Tempat lahir: BENTONG, PAHANG
Suami: AZIZUL HASSAN
Anak: MOHAMMAD YAACOB AINI FARIDAH & AZIAH JASMIN
Hobi: BERMAIN GOLF & MENUNGGANG KUDA
Jawatan sekarang: PENGERUSI SURIA GEMILANG


Julie Faridah bersama suaminya, Azizul Hassan (duduk kiri) serta tiga orang anaknya, Mohammad Yaakob (tengah), Aini Faridah (kanan) dan Aziah Jasmin. Foto ini diambil pada tahun 1980

Julie Faridah (kanan) bersama dua anak perempuannya, Aini Faridah dan Aziah Jasmin

Julie Faridah yang diperkenalkan sebagai Faridah dalam
"Keluarga 69"


Dua adegan lakonan Julie Faridah bersama P. Ramlee (atas) dan Ed Osmera dalam "Keluarga 69"


FILEM "KELUARGA 69" DI YOUTUBE



(Sumber: Wan Alfian WH)

(Sumber: MDYS)

TIADA NIAT MAHU JADI BINTANG FILEM___

TERDAPAT dua persamaan Julie Faridah dan Marion Willis. Pertama, berlakon satu filem kemudian hilang; kedua, filem yang mereka lakonkan itu diarahkan oleh P. Ramlee. Julie Faridah hilang selepas "Keluarga 69" (1967) Marion Willis pula selepas "Sumpah Orang Minyak" (1958).

"Saya takda niat pun nak jadi bintang filem," itulah nada yang mula-mula diluahkan oleh Julie Faridah dalam satu pertemuan eksklusif dengannya baru-baru ini.

"Saya berlakon dalam Keluarga 69 secara kebetulan," ujar Julie Faridah sebagai membalas soalan yang saya kemukakan.

Pada bulan June tahun 1964, Julie Faridah sudah pun bergelar isteri apabila dia berkahwin dengan Pegawai Polis (OCPD) Johor Bahru (ketika itu), Azizul Hassan.

Ketika tinggal di Johor Bahru itulah dia telah berkenalan dengan Mariani dan seringkali berkunjung ke rumahnya.

"Suatu hari, saya buat kunjungan seperti biasa ke rumah Mariani tapi kali ini agak luarbiasa kerana kunjungan tersebut membawa saya berkenalan dengan P.Ramlee yang secara kebetulan berada di rumahnya".

"Itulah pertama kali, saya bersua muka dengan P.Ramlee. Selama ini saya hanya mengenalinya melalui filem-filem lakonan dan arahanya saja."

Julie Faridah, dalam penilaian P. Ramlee, boleh menjadi pelakon filem. Wajahnya jelita juga. Kalau tidak, masakan dia dimahkotakan sebagai Miss Pahang pada bulan Februari tahun 1964.

Pada Mariani P.Ramlee mencurahkan hasratnya untuk mengambil Julie berlakon dalam filem arahannya yang terbaru, "Keluarga 69".

"Tawaran P.Ramlee itu, sukar juga saya terima kerana saya sudah bersuami dan ada seorang anak. Suami pula pegawai kanan polis.

"Begitu pun juga, saya bernasib baik kerana suami membenarkan saya berlakon. Dan sewaktu penggambaran, saya tinggal bersama saudara sebelah suami di Polis Depoh Jalan Gurney.

"Pada saya, P.Ramlee sangat baik orangnya. Sungguh pun saya pelakon baru dia tidak segan-segan menghantar saya pulang dengan kereta sportnya ke Polis Depoh selepas selesai penggambaran.

"Kadang-kadang P.Ramlee juga mempelawa saya makan tengahari yang mana membuat saya serbasalah. Maklumlah dia sudah begitu terkenal dan popular, saya pula baru nak bertapak dalam filem.

"Saya pernah juga, diajak P. Ramlee ke rumahnya yang kini sudah jadi Pustaka Peringatan P. Ramlee, makan tengahari bersamanya dan Saloma."

Dalam hal-hal berlakon Julie memberitahu, semasa berlakon pernah dia tidak boleh membawa watak sedih.

"Dengan cara baik P.Ramlee memujuk saya masuk ke dalam bilik dan dia bertanyakan mengenai hal peribadi saya supaya saya dapat membuat lakonan sedih sampai saya boleh menangis.

"Saya merajuk dan tak mau bercakap dengannya. P.Ramlee tau saya marah. Dan dalam hati saya, selepas filem ini saya tak nak berlakon lagi.

Rupa-rupanya gerak hati saya itu menjadi kenyataan kerana selepas "Keluarga 69" sampai sekarang saya tak pernah berlakon."

Julie juga memberitahu, semasa penggambaran filem "Keluarga 69" sebenarnya dia sedang mengandungkan anaknya yang kedua, Aini Faridah.

"Ada kalanya saya tak sihat tak dapat pergi shooting, tapi P.Ramlee tak pernah marah kerana dia memahami keadaan diri saya."

Julie menegaskan, kebiasaannya semasa menunggu persiapan setting untuk penggambaran, P. Ramlee orangnya sangat ceria dan periang, suka bercerita dan dia pula suka mendengar celotehnya itu.

"Diakhir penggambaran, P.Ramlee pula yang datang kepada saya meminta maaf di atas apa juga kesalahannya lebih-lebih lagi peristiwa membuatkan saya menangis."

P.Ramlee juga ada memberitahu Julie, yang dia akan mengarahkan filem mengisahkan dua adik beradik dan akan mengambilnya berlakon bergandingan dengan pelakon sudah popular yang namanya enggan disebutnya.

"Apakah itu satu guruan kerana P.Ramlee tau saya dengan pelakon tersebut tidak sehaluan atau sememangnya ada niat dihatinya. Saya tidak tau. Yang jelas hasratnya tidak pernah kesampaian."

Agak pelik dan mengharukan, selepas perpisahan tersebut, Julie tidak pernah bertemu P.Ramlee sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 29 Mei 1973.

Ditanya, kenapa satu filem saja. Julie Faridah menjawab, selepas selesai berlakon "Keluarga 69" dia mengikut suaminya bertukar tugas ke Klang kemudian ke Ipoh.

"Setelah mempunyai anak kedua, kesibukan membuatkan saya tidak mempunyai masa untuk meneruskan kerjaya saya sebagai pelakon filem. Cukuplah satu filem itu saja," jawabnya.

"Sungguhpun satu, namun saya berbangga kerana dapat berlakon bersama dan dibawah arahan P.Ramlee yang saya anggap sebagai Seniman Agung yang kehilangannya sukar dicari ganti."

Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, Julie bersama Maria Menado

Bersama Maria Menado dan Deddy M. Borhan ketika menghadiri FFM22 di Kota Kinabalu, Sabah

Atas kiri: Julie bersama Maria Menado, Rosnani dan Latiffah Omar. Kanan: Zaiton dan Mariani. Tengah kiri: Titik Puspa dan Maria Menado. Kanan: Tony Castillo. Bawah kiri: Wahid Satay. Kanan: Mustapha Maarof


PERTAMA KALI BERTEMU JULIE FARIDAH DI KOTA KINABALU

Saya hanya mengenali Julie Faridah melalui filem "Keluarga 69". Banyak perkara saya tidak tahu mengenainya, tetapi saya tahu dia mempunyai seorang anak tiri, Noor Azizah, yang lebih popular darinya dan telah membintangi banyak filem.

Saya pernah bersama Noor Azizah serta juga Jins Shamsudin, Noor Kumalasari, Hussain Abu Hassan dan Aziz Singah menghadiri Festival Filem Asia-Pasifik Ke-24 (FFAP24) di Sydney, Australia pada tahun 1978.

Mariani memperkenalkan saya kepada Julie dalam satu majlis makan tengahari di One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah sempena merayakan Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) pada bulan Ogos tahun 2009.

Saya masih ingat lagi kata-kata Mariani.

"Mus, kenal tak siapa ni?"

"Tak tau, tak pernah jumpa pun," jawab saya.

"Inilah Julie Faridah," Mariani memberitahu.

"Oh, ini orangnya Julie Faridah," kata saya.

Mulai saat itulah, saya rapat dengannya. Saya mulalah bertanyakan itu dan ini, dan paling mendahului, kenapa dia meninggalkan dunia filem selepas "Keluarga 69".

Sepanjang berlangsungnya FFM22 itu, boleh dikatakan saya seringkali bersamanya termasuk menonton filem Afdlin Shauki, "Papadom", bersama Maria Menado.

Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan, apabila Julie ditinggalkan bas (bas berhenti sebentar dipertengahan jalan untuk berehat dan membelibelah) sewaktu perwakilan FFM22 berkunjung ke Taman Negara Kinabalu.

Kelamkabut juga kami dibuatnya lebih-lebih lagi Maria Menado. Mahu berpatah balik, perjalanan sudah jauh. Akhirnya, Julie terpaksa menumpang kenderaan lain menuju ke Taman Negara Kinabalu menyertai kami semula.

Itulah pertama kali (sejak meninggalkan dunia filem) Julie menyertai Festival Filem Malaysia (FFM). Selama ini dia lebih banyak bergerak dan bergiat diluar filem dan di kalangan kerabat diraja saja.

Sewaktu melancarkan peringkat awal buku "Filem-Filem Maria Menado" dan sempena meraikan Ulangtahun Kelahiran P. Ramlee yang ke-81 di PWTC, Kuala Lumpur yang saya anjurkan, Julie turut memberi sokongan moral dengan menghadirinya.



Atas: Dimahkotakan sebagai Miss Pahang. Bawah: Bersama Zamzam yang dimahkotakan sebagai Miss Government Servant, dan Julie (kiri) menduduki tempat kedua


PERNAH MENYERTAI MISS MALAYSIA

Julie Faridah, anak Pahang. Dia dilahirkan di zaman Jepun, kata orang zaman ubi kayu. Ketika usianya masih muda (17 tahun) dia sudah bekerja. Jawatannya sebagai Receptionist Operator di Chief Medical Health Office, Kuantan.

Pada tahun 1963, Julie menyertai pertandingan Miss Government Servant dan berjaya menduduki tempat naib johan.

Tahun berikutnya (1964), Julie masuk pertandingan Miss Pahang dan berjaya pula dimahkotakan sebagai Miss Pahang dan mewakili Pahang ke pertandingan Miss Malaysia yang berlangsung di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 13 Jun 1964.

Berjaya dimahkotakan sebagai Miss Malaysia, pemenangnya akan dihantar menyertai Miss Universe (di Florida, Amerika Syarikat pada 21 Julai hingga 3 Ogos 1964) seperti Marion Willis. Tetapi malangnya, Julie gagal.

Bagaimanapun, kejayaannya sebagai Miss Pahang menyebabkan ramai yang ingin mendampinginya termasuk dikalangan orang-orang kenamaan.

Antara ramai-ramai itu, Julie lebih tertarik kepada Azizul Hassan yang bertugas sebagai pegawai kanan polis di Pahang.

Kerana perhubungan tersebut, ada tangan-tangan ghaib yang mahukan Azizul Hassan keluar dari negeri Pahang. Dia kemudian ditukarkan bertugas ke Johor berjawatan OCPD Johor Bahru.

Pada tahun 1964 itu juga (bulan Jun), Julie berkahwin dengan Azizul Hassan yang sudah pun beristeri dan mempunyai beberapa orang anak.

Dalam hal ini, Julie menegaskan, "saya berkahwin ingatkan suami saya tu dah bercerai dengan isterinya. Rupa-rupanya kemudian baru saya tau, tidak."

"Perkahwinan saya, ramai yang tidak merestuinya termasuklah anak-anak tiri saya.

"Tapi nak buat macam mana, perahu sudah terlajak, harungi sajalah."

Pergolakan rumahtangganya itu juga salah satu sebab mengapa Julie menerima perlawaan P.Ramlee berlakon dalam "Keluarga 69".


KEJAYAAN ANAK DAN MENANTU

Dalam mendidik anak-anak, Julie boleh dikatakan berjaya. Anaknya 3 orang - Mohammad Yaakob, Aini Faridah dan Aziah Jasmin.

Mohammad Yaakob (kini Dato' Paduka) adalah menantu Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail kerana dia berkahwin dengan anakanda baginda, Sharifah Fazira (Dato' Seri), dan kini bergiat aktif dalam bidang perniagaan.

Ini bererti Julie berbesan dengan Raja Perlis yang pernah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-12 selama lima tahun dari 13 Disember 2001 hingga 12 Disember 2006.

Aini Faridah, bergiat dalam bidang pendidikan. Kini, dia berjawatan Pengsyarah di Universiti institut Teknologi Mara (UiTM). Suaminya, Raja Sallehuddin, bertugas sebagai Engineer dengan syarikat minyak Esso.

Aziah Jasmin pula, pernah menjadi pembaca berita TV3 selama 7 tahun dan kini mengendalikan syarikat perniagaannya sendiri (Star Studio) yang diasaskannya pada tahun 2002.

Aziah ialah penulis buku "The Pink Book" yang berfungsi sebagai pembentuk imej dan keyakinan diri disamping memberi semangat kepada golongan wanita untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan.

"The Pink Book" yang mula dipasarkan pada 28 Februari 2009 telah dilancarkan oleh penyanyi Siti Nurhaliza.

Aziah juga isteri kepada Azlan Shah Jaffril, pengerusi eksekutif Excellent Pictures, pengeluar filem antaranya "Impak Maksima" (2007), "Senjakala" (2011), "Hantu Bonceng (2011) dan "Jangan Pandang-Pandang" (2012).



# UPDATE 27 MEI 2012

Salam sejahtera Encik Mustafar.

Artikel mengenai Julie Faridah yang tersiar pada 28 Januari 2012 yang lalu sangat menarik hati saya.
Sepanjang pengetahuan saya, selepas berlakon filem "Keluarga 69" kisahnya tidak pernah tersiar dimana-mana akhbar atau majalah, cuma sekali (kalau tidak silap saya) dalam majalah Perempuan, sehinggalah Encik Mustafar menulisnya dengan penuh detail dalam blog Filem Klasik Malaysia.
Tahniah, kerana artikel tersebut, walaupun Julie Faridah hanya membintangi satu filem saja.
Untuk pengetahuan Encik Mustafar, saya mempunyai hobi suka menyimpan (paper cutting) mengenai gossip terutama yang terdapat dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan sebagainya.
Baru-baru ini ketika saya membuat penyusunan semula paper cutting yang agak banyak itu, tiba-tiba saya terjumpa kisah mengenai Noor Azizah dengan Aziah Jasmin dalam ruangan "SYHHHH BAM" dalam Pancaindera (Mingguan Malaysia) keluaran 31 Oktober 1993.
Lebih menarik lagi dalam Pancaindera yang muka depannya gambar penyanyi Ella, (di muka 19) terdapat pula artikel bertajuk "Niagara Falls Sungguh Mempersonakan" yang ditulis oleh Encik Mustafar ketika berkunjung ke Canada.
Bersama E-Mail ini saya sertakan paper cutting tersebut, dan diharap dapat disiarkan dalam blog Encik Mustafar untuk kita kongsi bersama.
Tahniah sekali lagi, dan terima kasih.
- Suraya Fadhilah.


NOOR AZIZAH (Ibunya, Toh Puan Datin Seri Hasiah)

AZIAH JASMIN (Ibunya, Toh Puan Datin Seri Joria)

BETULKAH AZIAH JASMIN ADIK NOOR AZIZAH?
Azizah Jasmin, seorang lagi wajah baru muncul di TV3 mendampingi Malek Noor dalam rancangan "Acah-Acah" yang disiarkan saban Sabtu jam 5.00 petang.
Program menarik ini menampilkan personaliti sukan pada masa kini dan lalu dimana ahli-ahli sukan kita "beraksi" di luar bidang yang mereka ceburi.
Aziah Jasmin mengakui, pengalaman pertama sebagai pengacara sungguh mendebarkan tapi lama kelamaan wujud keyakinan diri.
Gadis cantik manis berusia 22 tahun ini lepasan ITM (diploma sains) dan bertugas di TV3 sebagai wartawan penyiaran di meja berita membuat liputan dalam bidang politik dan sukan.
Dua bulan kemudiannya, Aziah Jasmin ditukar pula ke unit suka, sekali gus sebagai pengacara "Acah-Acah" sebuah rancangan baru terbitan Jabatan Berita dan Sukan TV3.
Wartawan Utusan Jasni Shafie memberitahu BAM, wajah Aziah Jasmin ada imbasanwajah seniwati Noor Azizah, tapi bila Jasni Shafie bertanya apakah beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan pelakon terkenal itu, jawab gadis manis ini, "no comment!"
Kata Jasni: "Ini bukan soal "no comment!", Aziah Jasmin hanya perlu cakap "yes" or "no" saja. "No comment!" bererti Aziah Jasmin cuba menyembunyikan sesuatu...?"
Dia hanya memberikan senyuman. Enggan berkata sepatah pun.
Namun terdengar juga desas desus menyatakan Aziah Jasmin, anak orang kenamaan yang mempunyai gelaran tinggi di Negeri Perak ini sememangnya adik kandung seniwati Noor Azizah. Memang sah dia adik Noor Azizah.
Tapi mengapa mahu dirahsiakan? Pelik juga ya!
BAM: Yang misteri itulah berita.

APA KATA NOOR AZIZAH?
BAM terus menghubungi seniwati Noor Azizah untuk meminta kepastian, apakah dia mempunyai adik bernama Aziah Jasmin Binti Azizul Hassan?
Setahu BAM, bapa Noor Azizah juga bernama Azizul Hassan bergelar Datuk, orang ternama di Perak juga.
"Mana you kenal Jasmin? Apa dia kata?" Tanya Noor Azizah ketika ditanya tentang gadis Aziah Jasmin ini.
Lalu BAM ceritakan bahawa Aziah Jasmin hanya menjawab "no comment!" bila ditanya apa hubungannya dengan Noor Azizah?
"Oh, dia jawab begitu. Saya pun "no comment!' juga.
"Tak mahulah komen pasal dia," kata Noor Azizah lagi. BAM jadi pening kepala memikirkan apa sebenarnya hubungan mereka berdua ni. Betulkah mereka adik beradik? Tapi mengapa masing-masing tidak mahu mengaku adik-beradik. Pelik, pelik!
Tapi disebabkan Noor Azizah memang kawan lama BAM, dia sebagai bintang filem dan dah tak jadi bintang filem pun, kami tetap kawan dan saling menghubungi, maka tidak hairanlah akhirnya Noor Azizah bercerita panjang dan membuat pengakuan: "Aziah Jasmin memang adik saya, satu bapak berlainan emak."
Tapi kata Noor Azizah, dia hanya bertemu dengan Aziah Jasmin semasa kecilnya dulu. Sejak dewasa Noor belum pernah bertemu lagi.
Semoga kisah dulu-dulu, hati yang terhiris dan dihiriskan dapat dipulihkan semula.
Dunia inikan hanya pinjaman.
BAM: Kisah silam hanya kenangan.

FAKTA___

* BAM ialah Bahyah Mahmud. Beliau yang begitu popular dengan ruangan gossipnya "Syhhhh BAM" dalam Pancaindera Mingguan Malaysia, juga pernah mengendalikan Utusan Radio & TV (URTV) dan Utusan Filem & Fesyen (UFF), sama seperti saya.
* Agak menarik, Bahyah Mahmud pernah berlakon sebagai pelakon tambahan dalam filem "Sri Andalas" arahan S.Kadarisman, dan merupakan filem kedua Noor Azizah sesudah dia membintangi filem pertamanya "Dayang Senandong" yang diarahkan oleh Jamil Sulong.
* Penyiaran semula gossip ini tidak bermakna ada tersirat maksud buruk. Ia hanya merupakan kisah selebriti yang menarik (ramai yang tidak tahu), dan mungkin apa yang terhiris dulu sudah tidak terhiris lagi sekarang. Biar yang lalu terus berlalu, yang ke depan kita harungi sebaik yang mungkin.
* Kisah Julie Faridah ternyata ramai pembacanya. Sejak disiarkan (28 Januari 2012) hingga kini pengunjungnya (pageviews) seramai 609 dan menduduki tempat kedua dalam senarai popular mengatasi A.R.Tompel yang menduduki tempat kelima (467 pageviews).




Keluarga bahagia. Julie bersama 3 anak, 3 menantu dan 7 cucu (di sini kelihatan 6 saja) yang sangat disayanginya

Salah satu hobi Julie menunggang kuda. Di sini Julie bersama suaminya, Azizul Hassan

Julie ketika menjadi Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Negeri Perak

Julie (duduk nombor 2 kiri) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pandu Puteri Malaysia pada tahun 1992

Julie bergambar di depan rumah banglonya di Ipoh, Perak


JULIE FARIDAH SELESA HIDUP TANPA SUAMI___

Sungguhpun suaminya, Azizul Hassan (Dato' Seri), sudah lama meninggal dunia (27 September 1999), namun tidak tergerak dihatinya untuk berkahwin lain.

"Saya selesa hidup tanpa suami dan bahagia disamping tiga anak, tiga menantu dan tujuh cucu," kata Julie.

"Ramai juga yang mengajak saya kahwin, tapi saya tolak," tambahnya sambil ketawa kecil.

Di Ipoh, Julie menjadi nadi penggerak syarikat perniagaannya Suria Gemilang yang menjalankan perniagaan kontrakter.

Masa lapangannya, dihabiskannya menunggang kuda dan bermain golf.

Jika rindukan anak-anak dan cucu-cucu, Julie akan ke Kuala Lumpur dan tinggal samada dirumah Aini atau Aziah.


SERINGKALI BERKUNJUNG KE LUAR NEGARA___

Julie seringkali ke luar negara. Bulan Mei tahun 2010, dia bersama Aziah ke Vancouver, Canada.

Aziah ke sana kerana mengembangkan perkongsian ilmu bersama perunding imej dari seluruh dunia menerusi Persatuan Perunding Imej Antarabangsa (AICI).

Dia pernah juga melancong ke New York (2008), Los Angeles (2009) dan Scotland (2009).

"Jika tidak ada apa-apa halangan, saya mungkin ke Honolulu, Hawaii bersama Aziah tak lama lagi," Julie memberitahu.


Berlatarbelakangkan The Statue Of Liberty, New York

Di The Walk Of Fame, Hollywood, Los Angeles

Di Capilano Suspension Bridge, Vancouver

Berlatarbelakangkan seputih salji, bersama Aziah di Vancouver

Bersama Aziah dan 4 cucu di depan Istana Edinburgh, Scotland




Julie (baju hijau) turut sama menyanyikan lagu "Di Manakan Ku Cari Ganti" di PWTC, Kuala Lumpur pada 22 Mac 2010. Dari kiri: Mustapha Maarof, Rosnani, Nasir Wahab, Jins Shamsudin, Salwa Abdul Rahman, Kuswadinata, Maria Menado, Sonny Abdullah, Mariani dan Rozita

Julie dan sayalah, Mustafar A.R.

FAKTA___

* Nama Julie Faridah diberikan oleh P. Ramlee apabila mendapati nama Joria tidak glamour - sama seperti yang dibuatnya kepada Rose Yatimah yang ditukarkan namanya dari Rosnah ke Rose Yatimah.
* Dalam dunia filem Malaysia, ada dua nama Julie Faridah. Satu lagi pelakon filem "Mekanik" (1983) yang diarahkan oleh Othman Hafsham dan dibintangi juga Azmil Mustapha. Anehnya, Julie Faridah ini juga hilang selepas membintangi satu filem.
* Julie Faridah dan Marion Willis, bukan saja dua pelakon hilang selepas satu filem tetapi juga Sabariah Ibrahim dan Monica Jones. Sabariah "Bukan Salah Ibu Mengandong" ((1969) dan Monica "Di Belakang Tabir" (1970). Dua filem tersebut diarahkan oleh Jins Shamsudin.
* Bukan saja P. Ramlee, selepas berlakon dan berpisah, Julie tidak pernah bertemu Ed Osmera sehingga kematiannya pada 2 Januari 2005. Dalam "Keluarga 69" dia berlakon sebagai tunang dan setiausaha kepada Ed.
* Julie berkrisis panjang dengan Noor Azizah. Saya telah diberi amaran oleh Julie, jangan kaitkan banyak sangat dan menulis nama Noor Azizah dalam blog ini. "Sindir sikit-sikit tak apalah," katanya. Tetapi saya tak peduli. Saya kaitkan juga. Bukan sikit, banyak.
* Julie bergiat cergas dalam Persatuan Pandu Puteri (Girl Guide) Malaysia sejak tahun 1975, dan menjadi Yang Di Pertua Persatuan Pandu Puteri Perak dari tahun 1980 hingga 2009.
* Sepanjang shooting, Julie tidak tahu filem apa yang dilakonkannya itu. Dia hanya disuruh berlakon itu, berlakon ini dan melafaskan dialog. Selepas menonton "Keluarga 69" barulah dia tahu corak sebenar filem tersebut.
* Vera Wee (Miss Singapore) yang memenangi tempat kedua pertandingan Miss Malaysia 1964 (tempat pertama dimiliki oleh Miss Selangor, Angela Filmer) bersama Julie, juga membintangi filem arahan P. Ramlee, "Sesudah Suboh".
* Kerana berlakon dalam filem "Keluarga 69", Julie dibayar RM800. Bila ditanya, "cukup ke?" Jawab Julie, "lebih dari cukup, sebab RM800 masa itu macam RM8,000 sekarang."


# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.



9 comments:

  1. Saya bukan orang filem. Saya langsung TIDAK berkecimpung dalam bidang hiburan - bergesel bahu (rub shoulders) dengan selebriti tempatan kita jauh sekali. Tetapi saya dapat meneka dan mengagak siapa artis terkenal yang tidak mahu disebutkan namanya dalam wacana ini - seniwati NOOR AZIZAH. Jika saya tersilap, saya mohon ampun & maaf. Tekaan saya ini adalah berdasarkan 'analisis' saya kerana saya pernah mendengar orang berkata & saya baca di majalah-majalah lama (saya adalah seorang pencinta barangan antik & mempunyai koleksi): (1) ayah beliau adalah seorang pegawai kanan polis berpangkat OCPD atau ASP yang bernama Azizul (Azizul Hassan?). (2) beliau ada seorang adik "sebapa lain ibu" yang pernah menjadi newscaster di TV3 (Aziah Jasmin?). Kerana Singapura pernah berada dalam Malaysia dulu, & semasa ayah Noor Azizah berpusat di JB, tidak hiaranlah jika beliau sering ke seberang tambak dan menjalin persahabatan ("birds of the same feathers flock together" - enggang sama enggan, pipit sama pipit) dengan pegawai kanan polis Singapura, ASP Hashim (ayah kepada penyanyi "Naik Kereta-Ku", almarhum Rudyn Al-Haj). Lagipun, ketika itu Noor Azizah menjadi artis di studio MFP, Boon Teck Road, Singapura. Secara alami, perhubungan antara dua sahabat berjawatan tinggi ini merapatkan anak-anak mereka; terutamanya yang berstatus artis - Noor Azizah & Rudyn Al-Haj. Kerana itulah dalam majalah-majalah pertengahan hingga akhir 1960an, terdapat foto-foto & berita-berita tentang mereka. Misalnya, kunjungan Noor Azizah ke kuartes penginapan ASP Hashim, banglo kolonial yang terletak di Mount Pleasant Road, Singapura, sempena sesuatu pesta keluarga atau acara sosial.

    ReplyDelete
  2. Tuan,
    Di manakah seniwati Noor Azizah kini? Masa saya kecil2 dulu saya suka suara beliau dalam filem lakonannya. Harap dapat update. Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya,iklan gula2 "HACKS" Dialognya bgini"takde lagi dah habis"

      Delete
  3. entah, saya sendiri pun tak tau
    di mana noor azizah sekarang.
    tanya julie faridah, dia pun tak tau.
    tapi, jangan lupa baca kritikan & ulasan
    filem musikal "cinta dan lagu"
    lakonan noor azizah dan hail amir,
    yang baru saja saya postkan.

    ReplyDelete
  4. http://www.youtube.com/watch?v=lJaZEQhAAdw

    salam semua.. ada sesiapa yang boleh bagi tau saya tajuk lagu ini. boleh email kepada saya hotkakibahan@gmail.com

    ReplyDelete
  5. adalah julie faridah dalam filem mekanik(1983) tu adalah org yg sama dgn artikel ni?

    ReplyDelete
  6. apakah yg terjadi kepada Julie Faridah pelakon mekanik kemana menghilangnya

    ReplyDelete