"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Sunday, February 5, 2012


AHMAD MAHMOOD (1927-2008)

DARI KACAMATA MUSTAFAR A.R.

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop





OLEH MUSTAFAR A.R.
TEMAN RAPAT AHMAD MAHMOOD





Ahmad Mahmood dan Khatijah Mohammad masa muda-muda dulu ketika baru memperolehi dua orang cahayamata, Rogayah dan Siti Fatimah.

BIODATA___
Nama sebenar AHMAD BIN MAHMUD
Nama popular AHMAD MAHMUD (AHMAD MAHMOOD)
Lahir 17 MAC 1927 REMBAU, NEGERI SEMBILAN
Meninggal dunia 27 OGOS 2008, KG. TUNKU, SELANGOR
Isteri KHATIJAH MOHAMMAD
Anak ROGAYAH SITI FATIMAH ARIFFIN






Antara lima filem color yang dikeluarkan oleh Shaw's MFP, tiga dibintangi oleh Ahmad Mahmud. Dari atas: "Hang Tuah", "Ribut" dan "Raja Bersiong".

TIDAK boleh sesiapa mempertikaikan Ahmad Mahmud merupakan seniman kedua popular selepas P. Ramlee. Ini kerana kekacakan, ketanpanan dan peranannya dalam filem telah memberikan hiburan kepada jutaan rakyat Malaysia bukan saja orang-orang Melayu tetapi juga Cina dan India.

Sampai sekarang filem-filemnya (yang ditayangkan di RTM, TV3 dan Astro) tetap menarik minat ramai seperti "Iman", "Isi Neraka", "Hang Tuah", "Lela Manja", "Siti Muslihat" dan "Jebak Maut".

Di lahirkan di Kampung Chembong, Rembau, Negeri Sembilan pada 3 Januari 1926, Ahmad Mahmud memulakan kerjayanya sebagai pelakon filem di Keris Filem dengan membintang dua filem - "Perwira Di-Lautan Teduh" yang tidak dapat disiapkan dan "Setia' yang turut dibintangi Rosini.

Filem "Setia" berjaya disiapkan tetapi kerana Ho Ah Loke tidak puas hati tentang kualitinya dan bimbang menggambarkan ketidakmampuannya menghasilkan filem dan akibat satu lagi filemnya ("Ramlee Ramlah") kecundang di box office, filem tersebut tidak diedarkan secara meluas, hanya ditayangkan di panggung-panggung kecil saja.

Memandangkan di Keris Film masa depannya agak gelap, Ahmad Mahmud mencuba nasibnya di Shaw's MFP, Jalan Ampas.

Kedatangannya ke Jalan Ampas (sebelumnya pernah bekerja sebagai kondaktor bas) bolehlah dianggap seperti 'melukut ditepi gantang' kerana P. Ramlee sudah berada dikemuncak tambahan pula Yusof Latiff sedang meniti kepopularaan.

Kecut juga Ahmad Mahmud tetapi ditabahkan juga hatinya.

Pada tahun 1953, bermulalah kerjayanya sebagai pelakon filem di Shaw's MFP apabila V. Girimaji memberi peranan sebagai pelakon pembantu dalam "Istana Impian" yang turut dibintangi S. Shamsuddin, Neng Yatimah, Aziz Sattar dan Sa'adiah.

Kekacakan dan ketanpanan Ahmad Mahmud telah menarik minat K.M. Basker, lalu diambilnya berlakon sebagai hero (peranan utama) dalam "Ayer Mata" bersama Rosnani yang sebelumnya membintangi filem "Sedarah", "Miskin" dan "Ibu" disamping P. Ramlee.

Kemudian sekali lagi K.M. Basker mengambilnya membintangi "Mangsa" dan digandingkannya dengan dua bintang yang begitu popular ketika itu - Siput Sarawak dan Yusof Latiff.

Sebagai peguam, Ahmad Mahmud telah memperlihatkan mutu lakonan yang sungguh berkesan.

Sesudah itu, dia diambil oleh V. Girimaji sekali lagi membintangi "Arjuna" disamping Rokiah yang juga telah berpasangan dengan P. Ramlee sebelumnya dalam "Penghidupan", "Antara Senyum Dan Tangis" dan "Putus Harapan".

Yang menariknya Rokiah senegeri (Negeri Sembilan) dengan Ahmad Mahmud.

Bagaimanapun, filem-filem yang dibintanginya itu belum mampu menarik hati penonton. Ia sekadar memberitahu Ahmad Mahmud sudah wujud di Shaw's MFP dan bakal bersaing hebat dengan P. Ramlee dan Yusof Latiff.

Kepopularaan Ahmad Mahmud memuncak apabila pengarah K.R.S. Sastry mengambilnya berlakon dalam "Iman" (berpadankan dari cerita klasik Jerman, "Faust") yang tidak diduga mendapat sambutan luar dugaan apabila ditayangkan pada pertengahan tahun 1954.

Ketanpanan Ahmad Mahmud dan kejelitaan Sa'adiah dalam "Iman" itu menjadikan mereka mula mendapat perhatian dan mula pula menjadi pujaan.

Namun begitu, hampir setahun barulah Ahmad Mahmud diberi peranan dalam "Insan" berlakon disamping Sa'adiah dan Latiffah Omar yang sebelumnya membintangi "Panggilan Pulau" dan "Merana" berherokan P.Ramlee.

Walaupun sebagai hero, tetapi peranannya kecil saja kerana karekter utama tertumpu kepada Omar Rojik dan Sa'adiah. Latiffah Omar juga terpinggir.

Apabila "Hang Tuah" mahu difilemkan, pengarahnya (Phani Majumdar) tidak nampak siapa paling layak membawa karekter Hang Jebat selain Ahmad Mahmud.

MENDAPAT SAMBUTAN

Memang tepat pemilihan itu kerana dia telah membawanya dengan berkesan sekali hingga apabila tergambarkan Hang Jebat rupanya seperti Ahmad Mahmud.

Sebagaimana ramai yang menggambarkan Hang Tuah itu rupa dan karekternya seperti P. Ramlee.

Noordin Ahmad (sebagai Hang Kasturi dalam "Hang Tuah") juga melakonkan karekter Hang Jebat dalam "Hang Jebat" (arahan Hussain Haniff), tetapi tidak ramai yang menggambarkan wajah Hang Jebat itu menyamai Noordin Ahmad.

Dengan itu ternyatalah Ahmad Mahmud lebih menghayati watak Hang Jebat dibandingkan Noordin Ahmad walaupun "Hang Jebat" itu lebih berkualiti filemnya jika dibandingkan dengan "Hang Tuah".

Selepas "Hang Tuah" nama Ahmad Mahmud sudah berada dibarisan depan bersama pelakon-pelakon handalan di Shaw's MFP waktu itu - P. Ramlee dan Yusof Latiff.

Kemudian Ahmad Mahmud membintangi satu demi satu filem yang mana boleh dikatakan semuanya mendapat sambutan baik dan ada antaranya mendapat kejayaan box office.

Agak menarik Ahmad Mahmud terlibat dengan tiga dari lima filem Shaw's MFP yang dibuat color.

Selain "Hang Tuah", "Ribut" (yang diarahkan oleh K.M. Basker) dan "Raja Bersiong" (karya Perdana Menteri Tungku Abdul Rahman) arahan Jamil Sulong.

Ahmad Mahmud juga berheroinekan Latiffah Omar yang mengakhiri lakonannya dengan Shaw's MFP, "Putera Bertopeng" (1957).

Filem tersebut merupakan satu-satunya filem bercorak fantasi (1001 malam) yang dibintanginya.

Latiffah Omar berpindah ke Cathay Keris Film dengan membintangi filem ketiganya (selepas "Dahlia"), "Serangan Orang Minyak" yang diarahkan oleh L. Krishan.

Selain itu, Ahmad Mahmud juga menjadi kegemaran pengarah-pengarah filem Filipina yang pernah berkhidmat dengan Shaw's MFP.

Dengan mereka dia membintangi "Dupa Chendana" (Ramon A. Estella), "Kembali Saorang" (Ramon A. Estella), "Taufan" (T.C. Santos), "Azimat" (Ralf Bayer) berlakon disamping dua pelakon Filipina - Panco Magalona dan Tita Doren, "Mata Hari" (Ramon A. Estella) dan "Pusaka Pontianak" (Ramon A. Estella).

"Mata Hari" merupakan satu-satunya filem Ahmad Mahmud berlakon disamping Maria Menado sama seperti P. Ramlee yang berlakon dengan Maria Menado satu filem saja - "Penghidupan".

Sebagai seniman besar, Ahmad Mahmud juga turut diambil berlakon oleh P. Ramlee dalam filem arahannya - "Ibu Mertua Ku" (sebagai Dr. Ismadi), "Seniman Bujang Lapok" (bintang undangan, ada dialog) dan "Nasib Si Labu Labu" (bintang undangan tiada dialog).

Satu lagi perkara yang agak menarik, Ahmad Mahmud terlibat dengan filem terakhir Shaw's MFP yang penyelengaraannya memakan belanja begitu besar memegang karekter utama - Raja Bersiong.

Turut dibintangi Zaiton, Sarimah, Aziz Jaafar, Noor Azizah dan Haji Mahadi, filem ini dibuat dalam bidang luas CinemaScope (ShawScope) dan bercolor dengan para petugas dan peralatan filemnya dibawa khas dari Jepun dan Hong Kong.

Kelemahan Ahmad Mahmud tidak dapat menandingi P. Ramlee kerana dia tidak boleh berlawak, mencipta lagu, bermain musik (dalam ertikata sebenarnya) dan menyanyi.

Begitu pun juga, dia pernah menyumbangkan suaranya untuk filem seperti "Pertarongan" (bersama Rahmah Rahmat), "Gerhana" (Normadiah) dan "Isi Neraka" (Rahmah Rahmat).

Apabila Shaw's MFP melabuhkan tirainya, Ahmad Mahmud tidak pergi ke Cathay Keris Film walaupun ramai teman seperjuangannya berbuat demikian. Dia bertekad mahu mengarah dan mengeluarkan filem sendiri.

Dengan mengunakan kamera 16mm, Ahmad Mahmud mengarahkan "Di-Antara Dua Nesan" yang dibintangi oleh Noor Azizah, Z. Galak (A. Galak), Zaharah Ahmad dan Munshi Salleh.

BIDANG PERNIAGAAN

Sungguhpun diperbesarkan menjadi 35mm untuk dipermudahkan tayangnya di panggung wayang, namun kualiti filemnya agak rendah.

Dengan itu, ternyata Ahmad Mahmud dalam usahanya mengeluar dan mengarah filem dianggap sebagai gagal.

"Di-Antara Dua Nesan" telah dijualkannya kepada Kementerian Penerangan Malaysia dan Filem Negara Malaysia, dan pernah ditayangkan di TV Malaysia.

Kegagalan tersebut menyebabkan Ahmad Mahmud berhenti mengeluarkan filem buat sementara, begitu pun juga dia bolehlah diterima sebagai anak Malaysia pertama menjadi produser filem.

Maria Menado juga diiktiraf sebagai produser filem Malaysia pertama tetapi dia bukan dikalangan anak Malaysia tetapi Indonesia.

Ahmad Mahmud kemudian pindah ke Kuala Lumpur dan sebelum terjun ke bidang perniagaan (percetakan dan mengimpot baja), di Shaw's Merdeka Studio (tahun 1968), Omar Rojik mengambilnya berlakon dalam "Teratai" kemudian "Tunggal" yang diarahkan oleh S. Kadarisman.

Dua filem tersebut, Ahmad Mahmud digandingkan dengan Noor Azizah.

Filem terakhirnya di Shaw's Merdeka Studio, "Lanang Sejagat" (arahan Omar Rojik) berheroinekan Khatijah Hashim.

Sebaik saja meninggalkan Shaw's Merdeka Studio, Ahmad Mahmud mendapat tawaran berlakon dari Sabah Filem membintangi "Kisah Seorang Biduan" yang diarahkan oleh M. Amin dan turut dibintangi oleh Dhalan Zainuddin, Jefri Din dan Gaya Zakri.

Inilah filem pertama dan terakhir Ahmad Mahmud membintangi filem yang diarahkan oleh M. Amin yang pernah berlakon dalam beberapa filem Shaw's MFP seperti "Kembar", "Dewi Murni" dan "Antara Senyum Dan Tangis" serta pengarah filem box office - "Lanchang Kuning".

Tiga tahun kemudian, Ahmad Mahmud menerima pula tawaran berlakon dalam "Ranjau Sepanjang Jalan" (arahan Jamil Sulong) memegang peranan penting sebagai Lahuma disamping Sarimah.

"Ranjau Sepanjang Jalan" merupakan filem terakhir Ahmad Mahmud membintangi filem keluaran syarikat filem lain kerana selepas itu dia berlakon dalam filem-filemnya sendiri atas nama Ahmad Mahmood Company.

Filem pertama yang diusahakannya (selepas "Di-Antara Dua Nesan"), "Mama Oh Mama" kemudian diikuti pula "Dendam Dari Pusara", "May 13 (Korban Hari Raya)" dan "Komplot".

"Dendam Dari Pusara" membawa kejayaan buat pertama kalinya bagi Ahmad Mahmud apabila memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-4 (FFM4) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 hingga 11 Disember tahun 1983.

Keempat-empat filem yang diarah dan dikeluarkannya itu (kecuali "Mama Oh Mama") kurang mendapat sambutan di box office.

Oleh yang demikian selepas "Komplot," Ahmad Mahmud terus menghentikan pembabitannya dalam filem, tambahan pula usianya semakin lanjut yang menghendakinya lebih banyak berehat.

Kerana banyak jasanya dalam filem yang sudah menjadi sebahagian dari darah dagingnya, Ahmad Mahmud telah diberi anugerah Pelakon Lelaki Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia Ke-17 (FFM17) bersama Maria Menado untuk wanitanya.










Ahmad Mahmood (tengah) bergambar dengan Aziz Sattar (kiri) dan Mustafar A.R., di Festival Filem Asia Pasifik Ke-35 (FFAP35) di Kuching, Sarawak pada tahun 1990.


ENGGAN NAMANYA DIKEMUKAKAN UNTUK ANUGERAH___

Sempena Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-83 pada 19 Julai 2005, Ahmad Mahmud telah dikurniakan darjah kebesaran Dato' Paduka Tuanku Jaafar (DPTJ) yang membawa gelaran Dato'.

Dengan pengkurniaan tersebut Ahmad Mahmud kini sudah duduk sebaris dengan S. Roomai Noor, Mustapha Maarof, Jins Shamsudin, Jamil Sulong, Rahim Razali, Yusof Haslam dan beberapa orang lagi yang terlebih dulu bergelar Dato'/Datuk.

Sepatutnya Ahmad Mahmud awal-awal lagi diberi anugerah Dato' kerana kemunculannya dalam dunia filem Malaysia mendahului Mustapha Maarof, Jins Shamsudin apatah lagi Rahim Razali dan Yusof Haslam.

Tetapi kerana sikapnya yang tidak suka menonjol diri, bersuara lantang dan ada pula pihak yang berkuasa di Negeri Sembilan tidak tahu Ahmad Mahmud lahir di Rembau (atau pura-pura tidak tahu) disamping tidak tahu pula sejauh mana penglibatannya dalam filem, terpinggirlah dia daripada menerima gelaran Dato'.

Cadangan dari Persatuan Seniman, Persatuan Pengeluar Filem (PFM) dan persatuan-persatuan seni di Negeri Sembilan, pun tidak pernah ada.

Padahal ramai juga antara saudara Ahmad Mahmud di Rembau (sepatutnya tahu) dan seharusnya membuat cadangkan supaya dia diberi gelaran Dato' sejak lama dulu.

Malah saudara terdekatnya, Mohamad Rais Zainuddin, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat (Exco) Kerajaan Negeri Sembilan.

Inilah yang menimbulkan persoalan. Kenapa?

Hanya selepas saya mengemukakan kertascadangan kepada Setiausaha Akhbar (Mokhtar Alias, bekas wartawan Berita Harian) kepada Menteri Besar Negeri Sembilan (Mohammad Hassan) supaya Ahmad Mahmud diberi anugerah kerana jasanya dalam filem barulah dia mendapatkan gelaran Dato'.

Ceritanya begini:

Suatu hari (dalam tahun 2005) ketika berkunjung ke Pejabat Kebudayaan Dan Kesenian Negeri Sembilan, Pengarahnya (ketika itu, Siri Neng Buah) sedang sebuk mencari-cari anak-anak Negeri Sembilan yang berjasa untuk dikemukakan (dicalonkan) menerima apa-apa anugerah sempena Hari Keputeraan Yang Di-Petuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke-83.

Tiba-tiba saya teringatkan Ahmad Mahmud dan sepanjang yang saya tahu dia belum pernah menerima sebarang anugerah Dato' sedangkan seniman-seniman lain yang terkemudian darinya (Mustapha Maarof, Jins Shamsudin, Rahim Razali dan Yusof Haslam) telah pun menerimanya.

Kemudian saya sebut nama Ahmad Mahmud kepada Siri Neng Buah, kenapa tidak dikemukakan namanya.

Siri Neng Buah terpinga-pinga. "Ahmad Mahmud tu orang Negeri Sembilan kah?" tanyanya kepada saya.

"Ya. Dia orang Rembau," jawab saya.

"Yakah," katanya seolah-olah tidak percaya.

Dengan serta merta Siri Neng Buah menyuruh saya menelefon Ahmad Mahmud, dan memberitahu dia ingin bertemu dengannya.

Saya menelefon Ahmad Mahmud dan menyatakan yang saya dan Siri Neng Buah mahu bertemu bersabitan penganugerah Dato' oleh Yang Di-Pertuan Negeri Sembilan sempena Keputeraan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke-83.

"Tak payahlah Mustafar, Bang Mat ni siapa?" itulah kata-kata Ahmad Mahmud yang saya anggap sebagai nada merajuk dan sampai kini masih ternyiang-nyiang ditelinga saya.

"Tak boleh macam tu, Bang Mat. Jasa Mat dalam filem banyak dan sepatutnya lebih dulu menerima anugerah Dato' jika dibandingkan dengan Mustapha Maarof, Jins Shamsudin, Rahim Razali dan Yusof Haslam," kata saya memujuk.

"Betullah tu, Mustafar. Tapi orang sudah melupakan sumbangan dan jasa Bang Mat," tambahnya dengan nada sayu.

"Bukan lupa Bang Mat. Orang-orang di Negeri Sembilan ni ramai yang tak tau Bang Mat anak kelahiran Rembau. Mereka menyangka Bang Mat orang Singapura," kata saya memberi keyakinan.

Setelah dipujuk dan dirayu, akhirnya Ahmad Mahmud bersetuju bertemu Siri Neng Buah dan saya. Hari itu juga pertemuan berlangsung. Takut, kalau tunggu esok atau lusa, fikirannya akan berubah.

Ahmad Mahmud, walaupun nampak uzur, kelihatan riang dan gambira. Dia bersedia menjawab apa saja pertanyaan yang dikemukakan oleh Siri Neng Buah dan juga saya.

Banyak juga, butir-butir tentang dirinya diperolehi yang mana cukup dijadikan profail untuk dikemukakan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan supaya dipanjangkan kepada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan tujuan memberinya anugerah Dato'.

Bagi saya, itulah kali terakhir saya bertemu dengan Ahmad Mahmud. Lepas itu saya tidak pernah menemuinya lagi sehinggalah dia meninggal dunia pada 27 Ogos 2008.

Adalah beberapa kali saya menelefonya bertanya khabar, dan Ahmad Mahmud pun demikian beberapa kali menelefon saya bertanya khabar.

27 Ogos 2008, merupakan Ulangtahun Hari Kelahiran saya yang ke-65 dan kematiannya tidak dapat saya ziarahi (terkilan juga rasa dihati) kerana di masa itu saya berada di London.

Begitu pun juga, saya merasa bangga kerana saya telah berjaya melakukan sesuatu, memujuk Ahmad Mahmud (bukan saya seorang saja, mungkin ramai lagi), supaya mahu menerima anugerah Dato'.

Setidak-tidaknya dalam hidup saya ini, ada juga jasa saya kepada seniman besar Ahmad Mahmud, sebagaimana yang saya katakan awal-awal lagi, merupakan seniman nombor dua popular selepas P. Ramlee.

Ahmad Mahmud menerima gelaran Dato' bersama Aziz Singah (terlalu jauh Ahmad Mahmud mendahuluinya), juga anak kelahiran Rembau.









MARI KITA MENONTON FILEM "PUTERA BERTOPENG"___


(sumber: FilemKlasik Melayu)


(sumber: Njendra)


KRITIKAN "AHMAD MAHMOOD BINTANG DI LANGIT SENI"



Membukukan profail bintang-bintang filem yang banyak jasanya dalam dunia filem Malaysia, sangat baik dan patut digalakkan.

Usaha sebegini telah dilakukan oleh Finas bergabung dengan Kementerian Penerangan, dan diharap akan diteruskan dari masa ke masa.

Bagaimanapun, setakat membukukan profail mereka tidak cukup. Tetapi hendaklah disertai dengan fakta yang lengkap dan tepat.

Ini kerana buku-buku serupa ini menjadi rujukan terutamanya kepada jenerasi-jenerasi yang akan datang, 100 atau 1000 tahun lagi.

Baru-baru ini, saya menerima satu buku yang diterbitkan oleh Finas dan Kementerian Penerangan dari teman baik saya dan menganggapnya adik, Amin Khan.

Bukunya, AHMAD MAHMOOD Bintang Di Langit Seni oleh Mohammad Saleeh Rahamad, dan Amin meminta saya mengulasnya seperti buku Nostalgia Filem Melayu Klasik.

"Apa komen abang tentang buku ini," katanya sambil menghulur buku tersebut kepada saya.

Setelah saya selak-selak sambil lalu, membaca serba sedikit apa yang tercatat dan menatapi gambar-gambar yang dimuatkan serta menilai art work atau layoutnya, saya pun berkata, "boleh tahan, menarik dan cantik."

"Tapi," kata pula saya.

"Tapi apa bang," tanya pula Amin.

"Isi kandungan belum tau." kata saya dan menambah, "kalau Amin nak tau, beri saya masa seminggu membaca dan menelitinya."

"Baiklah," Amin bersetuju.

Setelah baca dan teliti, ternyata kandungannya memberi informasi sangat berguna dan ada antaranya mungkin ramai yang tidak tahu.

Contohnya, asal usul dan tempat lahir Ahmad Mahmud di Kampung Chembong, Rembau, Negeri Sembilan; Ahmad Mahmud kahwin umurnya terlalu muda dan Khatijah Mohammad itu isteri keduanya.

Ahmad Mahmud menulis surat kepada Tunku Abdul Rahman meminta jasa baiknya bagi membolehkan filem keluaran dan arahannya "Di-Antara Dua Nesan" dapat ditayangkan di TV Malaysia; sebab-sebab Ahmad Mahmud berkrisis dengan P. Ramlee.

Bagaimanapun, untuk dijadikan buku rujukan terbaik untuk 80% pun gagal, ini kerana banyak fakta yang tidak tepat dan boleh mengelirukan pembaca.

Saya banyak kali menyarankan supaya berhati-hati menulis tajuk filem. Pakailah apa yang tercatat dalam filem (original) walaupun menggunakan ejaan lama.

Tajuk filem adalah fakta, kalau tajuk dieja salah (menggunakan ejaan baru) ia bukan lagi fakta. Ini harus difahami oleh setiap penulis buku yang mahu menulis tentang filem-filem Melayu lama.

Dalam buku ini, tajuk filem banyak dieja mengikut ejaan baru.

Antara sebanyak itu, saya cuma menyenaraikan tajuk filem Ahmad Mahmud saja.

* Adek Ku (bukan Adikku)
* Kembali Saorang (bukan Kembali Seorang)
* Mata Hari (bukan Matahari)
* Puteri Bunong Banang (bukan Puteri Gunung Banang)
* Raja Laksamana Bintan (bukan Raja Laksamana Bentan)
* Ibu Mertua Ku (bukan Ibu Mertuaku)
* Kaseh Tanpa Sayang (bukan Kasih Tanpa Sayang)
* Dayang Senandong (bukan Dayang Senandung)
* Anak Buloh Betong (bukan Anak Buluh Betong)

Kesalahan fakta pula ialah;

Muka 31:
* Keterangan gambar: Bersama Ahmad Mahmud dan Salleh Kamil itu bukannya Kirk Douglas, saya pun tidak tahu siapa. Gambar satu lagi Robert Vaughn. Apa kena mengena gambarnya itu ada di situ.
Muka 33:
* Runme Shaw adalah abang kepada Run Run Shaw.
* Peringkat awal (sebelum perang), Shaw Brothers mengeluarkan lapan filem, bukan dua.
Muka 46:
* "Seruan Darah" diarahkan oleh Chew Cheng Kok dan H.M. Rohaizad.
Muka 52:
* "Raja Bersiong" diarahkan oleh Jamil Sulong pada tahun 1967 bukan tahun 1968.
Muka 56:
* Ahmad Mahmud tidak berlakon dalam "Ibu-Lah Shorga".
Muka 58:
* H.M. Shah bukan pemilik Syarikat Utusan Melayu. Ketika itu, dia hanya sebagai Pengerusi Syarikat Utusan Melayu saja.
Muka 68:
* Gambar dari filem "Tunggal" bukan "Lanang Sejagat".
Muka 69:
* "Leila Majnun" (bukan "Laila Majnun") dikeluarkan pada tahun 1934 bukan tahun 1938.
Muka 79:
* Nama ayah Noor Azizah, Azizul Hassan bukan Azizul Abdul Rahman.
Muka 106:
* P. Ramlee dan Ahmad Mahmud tidak berlakon dalam filem "Menyerah".
Muka 117:
* Mustapha Maarof hanya berlakon satu filem dengan Ahmad Mahmud, "Hang Tuah".
* Muka 130:
1. Rosnani tidak membintangi "Perwira Di-Lautan Teduh," tetapi Rosini.
2. Tidak ada filem bertajuk "Mata Hati", yang ada "Mata Dan Hati" keluaran Cathay Keris Film.

Itulah antara beberapa fakta yang silap terdapat dalam buku tersebut yang dapat dikesan. Sungguhpun kecil, tetapi besar ertinya.

Contohnya filem "Menyerah". Kesalahan faktanya bertaliarus, kerana Zulkifli Ahmad telah membuat kesilapan dalam bukunya. Kesilapannya itulah sering berlaku berulang-ulang kali.

Satu lagi yang agak malang, apabila kata-kata aluan Rais Yatim terdapat tajuk filem tersalah cetak, "Sri Tanja." Sepatutnya "Sri Tanjong".

Macam mana di muka Bicara Menteri boleh berlaku kesilapan.

Dalam penilaian saya, buku AHMAD MAHMOOD Bintang Di Langit Seni ini, dari segi persembahan ianya gagal diiktiraf sebagai buku profail bintang-bintang filem lama yang bermutu tinggi.

Justeru itu, satu penyusunan semula atau satu lagi buku Ahmad Mahmud (lebih baik, lebih menarik, lebih lengkap dan lebih tersusun) perlu diterbitkan.

Seminggu kemudian, Amin Khan menelefon saya. "Bagaimana bang? Dah baca," tanyanya.

"Bukan dah baca, dah komen pun," jawab saya. "Kalau nak tau bacalah dalam blog Filem Klasik Malaysia."

"O.k. bang, nanti saya baca," katanya dan menutup telefon.



Bersalaman dengan Elizabeth Taylor sambil diperhatikan oleh Saloma, Rosnani, Haji Mahadi dan Hashiman Yon



Bersama teman-teman seperjuangannya. Belakang kiri: Aziz Sattar dan Salleh Kamil. Duduk: Mustapha Maarof dan disebelahnya Ahmad Kechik



Bersama Maria Menado ketika menerima anugerah Pelakon Lelaki/Wanita Sepanjang Zaman di Festival Filem Malaysia Ke-17 (FFM17)









MARI KITA MENYANYI LAGU "KENANGAN LAMA"___

(sumber: dezydizzy)

KENANGAN LAMA

Hembusan angin yang mendayu-dayu
Menimbulkan kenangan dimasa dulu
Segala kejadian yang lalu
Masih terbayang selalu

Disinilah tempat aku bersuka
Menyanyi berkejar dan bergurau senda
Peristiwa lama tidakku lupa
Tetap tersimpan dijiwa

Kini datang semula
Hasrat idaman lama
Bertemu dengan pujaan jiwa
Timbul rasa kasih juga cinta

Kini datang semula
hasrat idaman lama
Bertemu dengan pujaan jiwa
Timbul rasa kasih juga cinta

Entah mengapa hatiku gembira
Bertentangan mata denganmu jelita
Menggetar seluruh jiwa raga
Sebab matamu nan bisa


Penyanyi filem AHMAD MAHMUD
Penyanyi suara H.M. ROHAIZAD
Penyanyi piringhitam KAMSANI
Pencipta lagu OSMAN AHMAD
Pencipta lirik H.M. ROHAIZAD
Iringan musik M.F.P. ORCHESTRA
Filem ADEK KU (B.N. RAU)


(sumber: malayascreen) "Isi Neraka"

(sumber: dezydizzy) "Arjuna"

(sumber: filemklasik) "Gerhana"

(sumber: filemklasik) "Ayer Mata"



Bersama Sa'adiah dalam "Siti Muslihat"



Bersama Hashimah Yon heroine dalam "Sri Tanjong"



Bersama Rosnani dalam "Ayer Mata"



Bersama Omar Suwita dalam "Taufan"





FILEMOGRAFI___

* PERWIRA DI-LAUTAN TEDUH (1951)
* SETIA (1952)
* ISTANA IMPIAN (1953)
* AYER MATA (1953)
* MANGSA (1953)
* ARJUNA (1954)
* IMAN (1954)
* INSAN (1955)
* HANG TUAH (1956)
* RIBUT (1956)
* ADEK KU (1956)
* PUTERA BERTOPENG (1957)
* MOGOK (1957)
* SERUAN DARAH (1957)
* KEMBALI SAORANG (1957)
* TAUFAN (1957)
* AZIMAT (1958)
* MATA HARI (1958)
* PUTERI GUNONG BANANG (1959)
* RAJA LAKSAMANA BINTAN (1959)
* LELA MANJA (1960)
* MEGAT TERAWIS (1960)
* ISI NERAKA (1960)
* SRI TANJONG (1961)
* SENIMAN BUJANG LAPOK (1961)
* MAS MERAH (1961)
* IBU MERTUA KU (1962)
* SITI MUSLIHAT (1962)
* GERHANA (1962)
* KASEH TANPA SAYANG (1963)
* NASIB SI LABU LABI (1963)
* KORBAN (1963)
* JERITAN BATIN (1963)
* DUPA CHENDANA (1964)
* PUSAKA PONTIANAK (1965)
* DAYANG SENANDONG (1965)
* SRI ANDALAS (1966)
* ANAK BULOH BETONG (1966)
* JEBAK MAUT (1967)
* RAJA BERSIONG (1967)
* DI-ANTARA DUA NESAN (1967)
* TERATAI (1968)
* TUNGGAL (1969)
* LANANG SEJAGAT (1969)
* KISAH SEORANG BIDUAN (1980)
* MAMA OH MAMA (1981)
* DENDAM DARI PUSARA (1983)
* RANJAU SEPANJANG JALAN (1983)
* MAY 13 (1984)
* KOMPLOT (1984)

* Jumlah semuanya 50 filem, 49 filem kalau ditolak "Pewira Di-Lautan Teduh" yang tidak dapat disiapkan kerana filem untuk diproses colornya di London hilang dalam perjalanan.



Ahmad Mahmud mengakhiri perjalanan hidupnya pergi menemui penciptanya pada 27 Ogos 2008. Al-Fatihah


FAKTA___


* Heroine pertama Ahmad Mahmud Rosini berlakon dalam "Setia". Kemudian disusuli pula Rosnani "Ayer Mata", Rokiah "Arjuna" dan Sa'adiah "Iman".

* Ahmad Mahmud banyak kali menyertai Festival Filem di luar negara. Saya pun banyak kali menyertai Festival Filem luar negara. Tetapi Ahmad Mahmud dan saya cuma sekali saja pergi bersama iaitu memeriahkan Festival Filem Asean Ke-14 (FFA14) di Jakarta pada tahun 1984.

* Antara 49 filem yang dibintangi oleh Ahmad Mahmud, paling banyak dia berlakon disamping Sa'adiah, 15 semuanya.

* Dalam "Putera Bertopeng" Ahmad Mahmud dan Latiffah Omar sebagai hero dan heroine. Agak menarik, kedua mereka gagal mencipta nama di Cathay Keris Film tetapi berjaya di Shaw MFP.

* "Iman" yang dibintangi oleh Ahmad Mahmud dan Sa'adiah merupakan filem pertama Shaw's MFP menyertai Festival Filem Asia-Pasifik iaitu di Tokyo pada tahun 1954.


# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.









ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

NOSTALGIA FILEM MELAYU KLASIK
maklumatnya tepat atau mengelirukan

P. RAMLEE
and the golden era of malay cinema


ROH MEMBELA (1955)
kekuatannya special effect dan aziz sattar


CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

LONG HOUSE (1957)
kalau pun ada, kita tidak dapat menontonnya


PONTIANAK (1957)
mencapai kejayaan box office luar jangkaan

PELANGI (1951)
filem pertama keluaran nusantara film

SERUAN MERDEKA (1947)
keganasan dan kekejaman jepun ditentang





KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.




21 comments:

  1. Assallammualaikum, selalu melayari blog saudara , tetapi hari ni nak tumpang komen , lebih lebih lagi bila berbicara pasal Ahmad Mahmud, seorang seniman yang paling saya minati lakonannya , selain dari s.kadarisman.

    Secara peribadi saya lebih mengagumi lakonan
    Ahmad Mahmud , bagi saya lakonan beliau lebih hebat dari P.Ramlee.

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum... saya tidak berapa setuju dengan pendapat tuan yang mengatakan bahawa Allahyarham Ahmad Mahmud lebih menjiwai watak HANG JEBAT berbanding Allahyarham Nordin Ahmad sedangkan tuan sendiri berpendapat bahawa Filem Hang Jebat arahan pertama pengarah Allahyarham Hussein Hanif lebih berkualiti berbanding Filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar... Kerana bagi saya faktor Filem Hang Jebat arahan Hussien Hanif itu berjaya di pawagam sehingga mencapai tahap Box Office adalah kerana lakonan yang mantap ditunjukkan oleh Allahyarham Nordin Ahmad.. Semua sedia maklum bahawa Allahyarham Nordin Ahmad adalah seorang Pelakon dan Hero filem melayu yang mempunyai daya penghayatan yang amat tinggi , berkarektor dan juga berkarisma besar... Bagi saya Hang Jebat versi Nordin Ahmad lebih berkesan dan berjaya berbanding Hang Jebat versi Ahmad Mahmud kerana filem Hang Tuah itu seperti "Filem Melayu Versi India"...

    ReplyDelete
    Replies
    1. itu adalah presepsi sdra.
      memang saya akui filem "hang jebat"
      lebih berkualiti berbanding "hang tuah".
      tetapi dari segi pembawa karekter
      ahmad mahmud lebih berjaya jika
      dibandingkan noordin ahmad.
      itulah presepsi saya.
      samada sdra bersetuju atau tidak,
      bukan persoalannya.
      bagusnya sesebuah filem tidak bererti
      merangkumi pembawa karekter.
      baiknya "hang jebat" tidak bererti baik
      pula noordin ahmad berperanan hang jebat.
      sdra mengukur dengan kayu pembaris sdra.
      saya mengukur dengan kayu pembaris saya.
      sudah tentulah kayu pembaris sdra
      tidak sama dengan kayu pembaris saya.
      namun begitu, saya menghormati komen sdra.

      Delete
    2. sye stuju ape pendapat kamu

      Delete
  3. Yep, memang tak dinafikan, Ahmad Mahmud sememangnya handal berlakon... kalau dalam filemnya, saya suka babak beliau bergaduh atau menjerit...heheh...

    ReplyDelete
  4. saya tak suka ahmad mahmud,,tak kacak pun..wajahnya sombong.:)
    saya lebih suka nordin ahmad...awww..~~
    fyi :i'm only 19..:D

    ReplyDelete
    Replies
    1. sye fikir mungkin itu pendapat kamu ttpi wajah ahmad mahmud tidak sombong mungkin die serious tpi die tdak pernah menjentik pun anaknye

      Delete
  5. Ahmad Mahmud ada gunakan sleng Negeri Sembilan semasa dalam filem Seniman Bujang Lapok.

    ReplyDelete
  6. hmm, aku jadi mau tau lebih lanjut tentang ahmad mahmud ini :D

    ReplyDelete
  7. Tiga buku sudah dikritik
    hebat oleh Mustafar A.R.
    dengan memgemukakan bukti.
    Justeru itu, apakah buku-buku ini;
    1. Nostalgia Filem Melayu Klasik
    2. Ahmad Mahmood Bintang Di Langit Seni
    dan
    3. Jejak Terbilang
    sudah diperbetulkan oleh Finas
    atau, diam begitu saja dan terus dijual?
    Saya kira, Finas adalah egensi Kerajaan
    dan segala kepincangan dalam penerbitan
    buku, bererti membazir duit rakyat
    serta menjejas intergriti Finas itu sendiri.

    - HARUN HASSAN, Putrajaya, WP.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya rasa kritikan dan pembetulan yang dibuat oleh Mustafar AR adalah baik untuk mengetatkan lagi fakta dan sejarah perfileman negara. Jadi saya kira komen saudara yang sedikit ber'emosi' adalah kurang bijak saya kira. Jangan hendak menyalahkan sahaja. Siapa yang tidak melakukan kesalahan dan terlepas pandang. sejarah dan fakta dari pelbagai sumber. Saya sebagai ahli akademik juga adakalanya akan melihat pertembungan antara dua fakta berbeza ke atas sesuatu subjek. Jadi pada hemat saya ada baiknya saudara renung kembali apa yang saudara lemparkan itu baik atau sekadar protes terhadap ke'politik'an diri saudara. 'Fakta' lets be in academia site. Dont mix both. Adakah Jejak Terbilang itu FOC untuk dimiliki? Kena Bayarkan? so mcm mana ia dikategorikan sebagai BAZIRKAN DUIT RAKYAT? Saya faham ia menggunakan dana untuk penyelidikan tapi saudara perlu hfaham kekangan dalam pengkajian dan limitasinya. Sbg contoh saya lihat buku Literature and film, pembaikan demi pembaikan dilakukan dengan terbitnya edisi semakan. Ini buku bertaraf antarabangsa yg juga melalui proses kritikan. Jadi jangan pandang kerja yang dilakukan itu sebelah mata sahaja. Be FACT! Jgn terlalu emosi. Cuba saudara bukukan biografi saudara. Mungkin pandangan fakta yang anda lakukan berlainan dengan pandangan serta fakta orang sekelilin anda? Matched?Jadi fikir-fikirknlah. But kritikan Mustafar AR membukamata saya dalam perfileman kita.

      Delete
    2. Salam....FINAS tu bawah agensi kerajaan bukan?Jadi mana2 agensi kerajaan pasti akan mendapat peruntukan dari kerajaan jua dan peruntukan tersebut salah satunya adalah dari cukai yang dipungut dari rakyat jadi bukan masalah emosi di sini cuma mahu setiap apa yang di buat kenalah betul2 dan bersungguh2 lebih2 lagi yang membabitkan khazanah/rujukan negara...apa yang di buat Abg Mustafar AR ni patut dihargai dan di jadikan pusat/sumber rujukan yang sebenarnya ttg sejarah perfileman negara

      Delete
    3. Jangan kita bertelagah dengan
      perkara yang remeh temeh.
      Carilah jalan, cara mana kita
      dapat melahirkan sebuah buku
      Sejarah Sinema Malaysia
      yang perfect dan unggul.
      Menangkis kesilapan fakta
      yang terdapat dalam buku-buku
      file Malaysia yang sedia ada.
      Ini perlu dan sangat penting.

      Delete
  8. hampir tiap2 hari sye bukak blog ni :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.
      Marilah kita sama-sama
      memperbaiki dan memperbetulkan
      sejarah filem Malaysia
      yang kelihatannya pada masa ini
      masih kelamkabut dan lintang pukang.

      Delete
  9. Satu keistimewaan FKM ialah saya
    cukup yakin dengan fakta yang dikemukakan.
    Tidak seperti Sinemalaysia kepunyaan Finas.
    yang tidak meyakinkan saya kerana
    banyaknya kesilapan fakta yang diberikan.
    Untuk rujukan saya lebih berpandukan kepada
    FKM berbanding Sinemalaysia dan blog-blog lain.
    Usaha Encik Mustafar menerbitkan buku
    "50 Tahun Filem Malaysia" sangat dialu-alukan.

    Drp: Ratna Dewi, Putrajaya, WP.

    ReplyDelete
  10. Assalamualaikum.. Saya mahu bertanya, apa tajuk filem Ahmad Mahmud yang memegang watak sebagai Awang? Dalam filem itu dia menjadi raja selama satu hari sahaja..

    ReplyDelete
    Replies
    1. "Mas Merah" (1961) yang diarahkan oleh Dhireh Ghosh.
      Ahmad Mahmood berheroinekan Sa'adiah, dan turut berlakon sama Salleh Kamil, Sri Dewi, Habsah dan A.Rahim.

      Delete
  11. Saya juga peminat Seniman Dato Ahmad Mahmood dan ingin memberi pendapat di ruangan ini

    ReplyDelete
  12. Sy ada seorang jiran yang tinggal di Kuala Kangsar bernama Manaf.Beliau bercerita kepada sy pernah bekerja dengan Seniman Ahmad Mahmood ini untuk filem Dendam Dari Pusara & May 13 (Korban Hari Raya).Beliau menceritakan pengalaman ketika filem May 13 di lakukan di Penjara Pudu yg mana pd ketika hukuman gantung di jalankan situasi ketika itu amat menyeramkan.Dan beliau menceritakan yg filem 13 May tidak dapat di tayangkan atas sebab2 jalan ceritanya.Terima kasih.

    ReplyDelete