"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Wednesday, March 21, 2012


A.R. ISMAIL (1929-1995)

Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


A.R. ISMAIL, pencipta lagu yang tidak patut kita lupakan

Tandatangan A.R. Ismail yang ditinggalkan bersama catatan profailnya yang berada dalam simpanan saya

A.R. Ismail (tengah) bersama Saloma (kanan) dan Ahmad Nawab

PERGI DAN HILANG BERSAMA ANGIN LALU
Oleh Mustafar A.R.

KETIKA berkemas dan menyusun fail-fail lama supaya kelihatan teratur dan bersih, tiba-tiba saya terjumpa dua helai kertas dan dua keping gambar mengenai profail A.R. Ismail.

Saya termenung sebentar kemudian dada terasa sebak bila mengenangkan, A.R. Ismail yang sudah menghasilkan banyak lagu popular dan dinyanyikan pula oleh penyanyi-penyanyi diminati ramai di tahun-tahun 1960an dan 1970an, dilupakan begitu saja seperti pergi dan hilang bersama angin lalu.

Bila melihatkan profail tersebut memori saya berputar ke belakang mengingati A.R. Ismail ketika saya mengendalikan ruangan Hiburan di Utusan Malaysia (dipertengahan tahun 1970an) di mana saya telah memberikan ruangan (kolum) untuknya mengulas lagu-lagu terbaru yang diterbitkan oleh syarikat-syarikat piringhitam ketika itu.

Bagaimanapun, selepas saya meninggalkan Utusan Malaysia kerana berpindah mengendalikan majalah Utusan Filem & Fesyen (UFF), perhubungan saya dengan A.R. Ismail terputus sama sekali dan tidak pernah bertemu lagi, sampaikan di hari-hari terakhirnya dia di muka bumi ini pun saya tidak sedari.

Begitupun juga, setiap kali saya mendengarkan lagu "Aku Kecewa" nyanyian Roziah Latiff setiap kali itulah pasti saya teringatkan A.R. Ismail.

Ini kerana "Aku Kecewa" merupakan antara 4 lagu ciptaan A.R. Ismail yang telah dirakamkan oleh penyanyi bersuara manja dari Seremban itu ke piringhitam.

Pada penilaian saya (dari segi populariti), antara lagu-lagu yang dirakamkan oleh Roziah Latiff ke piringhitam (4 EP semuanya), "Aku Kecewa" menduduki tempat paling atas kemudian diikuti "Cinta Pertama" (ciptaan Joe Chelliah) kedua dan ada beberapa lagu boleh diletakkan ditempat ketiga.

Saya juga merasakan, "Aku Kecewa" kini boleh dianggap sebagai lagu 'evergreen'. Tetap segar dan tidak pernah jemu didengar.

BELAJAR MUSIK DI SINGAPURA PADA TAHUN 1950___

A.R. Ismail atau nama sebenarnya Ismail Bin Abdul Rahman dilahirkan di Tanjong Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sayang sekali dalam profail catatannya tidak dinyatakan tarikh lahirnya, tetapi diperolehi dari anak perempuannya (Hamimah Ismail) iaitu pada 8 Oktober 1929.

Pada tahun 1950, dia pergi ke Singapura belajar musik dengan dua pemusik Filipina, E.C. Daroya dan Alfonso Soliano.

Apabila pulang ke Kuala Pilah, A.R. Ismail meneruskan kegiatan musiknya dengan menjadi pemimpin pancaragam "Lambaian Bunga" di Tanjong Ipoh, kemudian pancaragam "Rangkaian Irama" di Seremban.

A.R. Ismail memulakan kerjayanya sebagai pencipta lagu pada tahun 1958 apabila diberi kepercayaan oleh Radio Pendidikan di Singapura menghasilkan lagu-lagu untuk kanak-kanak.

Dari tahun 1958 hingga 1962, dia mencipta tidak kurang 50 lagu kanak-kanak dan banyak juga antaranya disiarkan oleh Radio Pendidikan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1959, A.R. Ismail mula menyertai pertandingan mencipta lagu yang dianjurkan oleh Radio Malaya (belum Malaysia), dan hingga tahun 1972 dia memenangi (hadiah pertama) 3 kali - "Irama Tengahmalam", "Dewi Puspitaku" dan "Jasa Perwira", kesemuanya bahagian irama langgam.

MENCIPTA LAGU UNTUK PIRINGHITAM___

Asiah Tuah merupakan penyanyi pertama merakamkan lagu ciptaan A.R. Ismail ke piringhitam - "Hidup Ibarat Mimpi" (lirik oleh Wan Ahmad Kamal, kemudian berkahwin dengan Asiah Tuah) pada tahun 1962 yang boleh dikatakan popular dan diminati ramai.

Lagu tersebut terkandung dalam EP kedua Asiah Tuah (Asiah Tuah In Latin Mood) yang juga terdapat lagu "Selamat Malam" (ciptaan Alfonso Soliano), "Bahagia Selalu Untuk Mu" (Nordin Ismail) dan lagu instrumental "Tanah Melayu Cha Cha" (Alfonso Soliano).


EP yang mengadungi lagu A.R. Ismail, "Hidup Ibarat Mimpi"

Langkah pertama A.R. Ismail bermula dengan baik, dan dengan itu terhasillah lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi popular yang mempunyai ramai peminat,

AHMAD JAIS
  • "Cita Hancur Berderai"
  • "Sengsara"
  • "Mabuk Kepayang"
    RAFEAH BUANG
  • "Lupakan"
  • "Bisikan Hati"
    ROZIAH LATIFF
  • "Aku Kecewa"
  • "Idaman Hati"
  • "Kanda Yang Ku Puja"
  • "Di Lamun Rindu"
    SUDIRMAN
  • "Senja Berulang Senja"
    JULIE REMIE
  • "Berikan Ku Sinar Harapan"
    HAIL AMIR
  • "Gila Bayang"
    UJI RASHID & HAIL AMIR
  • "Manakah Cintamu"

    Di samping Ahmad Jais, Rafeah Buang, Roziah Latiff, Sudirman, Julie Remie dan Uji Rashid & Hail Amir, penyanyi-penyanyi lain turut merakamkan lagu-lagu ciptaan A.R. Ismail ke piringhitam,

    EDDY AHMAD
  • "Seruling Hati"
    HALIL CHIK
  • "Kasih Sayangku"
  • "Hidup Terbuang"
    AMAN SHAH
  • "Sinaran Matamu"
    ANDRE GOH
  • "Bunga Desa"

    Selain mereka turut merakamkan lagu-lagunya ke piringhitam, Ismail Harun, M. Daud Kilau, Rohani Aziz, Junainah M. Amin, Rose Maria, S. Ahmad, Rohani Za, Ezri Rahman, Azman Idris dan Syed Aziz.

    MUSIKAL DRAMA "KUALA LUMPUR KUALA LUMPUR"___

    Pada tahun 1974 Kementerian Kebudayaan (nama Jabatan Kerajaan ketika itu) telah menganjurkan musikal drama "Kuala Lumpur Kuala Lumpur" di Dewan Bandaran, Kuala Lumpur, dan A.R. Ismail telah dipertanggungjawabkan mencipta 14 lagu, dan sebahagian antaranya telah dirakamkan ke piringhitam berbentuk album.

    Lagu-lagunya "Abdullah Asas", "Gila Bayang", "Jalan Campbell", "Kuala Lumpur Mustika", "Ku Kenal Sudah", "Hello Kota Hello Desa", "Cahaya Sampaikan Kata", "Bunga Desa" dan "Banjir" yang dinyanyikan oleh Shagul Hamid, Fauziah Nawi, Norli Ismail, Mustaffa Noor dan beberapa penyanyi lagi serta diiringi oleh Orkes Konsert RTM.

    Semasa pementasan, sebahagian lagu-lagu dalam album tersebut dinyanyikan oleh Sharifah Aini.

    A.R. Ismail juga turut menggubah musik untuk lagu "Insan Yang Beriman" (Ezri Rahman) dan "Puspa Hati" (Azman Idris).

    Menurut catatan A.R. Ismail lagi, lagu-lagu ciptaannya yang popular dan diminati ramai,

  • "Aku Kecewa" (Roziah Latiff)
  • "Senja Berulang Senja" (Sudirman)
  • "Berikan Ku Sinar Harapan" (Julie Remie)
  • "Mabuk Kepayang" (Ahmad Jais)
  • "Bisikan Hati" (Rafeah Buang)
  • "Manakah Cintamu" (Uji Rashid & Hail Amir)

    Selain itu, A.R. Ismail juga turut mencipta 3 lagu tema,

  • "Sukan Sea & Seap"
  • "Rukun Tetangga"
  • "Getah 100 Tahun"

    Menurut apa yang saya tahu, A.R. Ismail (ketika saya rapat dengannya) bertugas di Kementerian Kebudayaan. Sejak bila dia bertugas di situ dan sejak bila pula dia berhenti, tidak pula saya tahu.

    Tapak kementerian tersebut yang terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur berubah menjadi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Mula Oktober 2016 ditukar sekali lagi dengan nama lebih gagah dan perkasa - Universti P.Ramlee.

    Disitu juga saya pernah mengambil foto-foto Normah Yuzie untuk UFF, tidak lama kemudian berlaku kemalangan yang meragut nyawanya. Masih terbayang dalam ingatan saya telatah-telatahnya ketika berposing.

    Itulah serba sedikit mengenai A.R. Ismail yang saya perolehi. Itu pun melalui catatan profailnya yang ditinggalkannya kepada saya hampir 40 tahun lalu.

    Apa yang diharapkan, sesiapa yang tahu mengenai pencipta lagu dari Tanjong Ipoh ini terutamanya Roziah Latiff dan Joe Chelliah atau kaum keluarganya, e-mail saya supaya dapat dipanjangkan informasinya dalam blog ini untuk kita kongsi bersama.

    Di blog ini, saya kumpulkan 6 klip video YouTube lagu popular ciptaan A.R. Ismail yang dinyanyikan oleh Sudirman, Ahmad Jais, Rafeah Buang, Uji Rashid & Hail Amir, Julie Remie dan Roziah Latiff.

    Lagu Roziah Latiff ada sedikit keistimewaannya, kerana "Aku Kecewa" turut disertakan liriknya.

    Anda dengar semua lagu tersebut, dan nilaikanlah sendiri.




    Senja Berulang Senja - Sudirman
    (Sumber: Teja Ratna Benggala)



    Mabuk Kepayang - Ahmad Jais
    (Sumber: Nasri Kelan)



    Bisikan Hati - Rafeah Buang
    (Sumber: Azmi Ahmad)



    Di Manakah Cintamu - Uji Rashid & Hail Amir
    (Sumber: ZahrahAnas)



    Berikan Ku Sinar Harapan - Julie Remie
    (Sumber: A Journey To Success)



    Aku Kecewa - Roziah Latiff
    (Sumber: Nasri Kelan)


    MARI KITA MENYANYI LAGU "AKU KECEWA"



    AKU KECEWA

    Dengar lah irama ku
    Nyanyian dari kalbu
    Hibur kan lah hati mu
    Usah kanda pilu

    Dengar suara hati ku
    Aku riang selalu
    Kini kanda di mana
    Lama tak bersua

    Mana kah janji mu yang lalu
    Hidup bersama daku
    Ku tak kan lupa pada mu kanda
    Itu lah janji dinda

    Hari berganti minggu
    Ku nanti lembaran mu
    Kini aku kecewa
    Kanda sudah lupa

    Mana kah janji mu yang lalu
    Hidup bersama daku
    Ku tak kan lupa pada mu kanda
    Itu lah janji dinda

    Hari berganti minggu
    Ku nanti lembaran mu
    Kini aku kecewa
    Kanda sudah lupa

    Penyanyi ROZIAH LATIFF
    Pencipta lagu A.R. ISMAIL
    Pencipta lirik A.R. ISMAIL
    Kugiran THE JAYHAWKERS (SEREMBAN)
    Pimpinan JOE CHELLIAH
    Keluaran PHILIPS (1967)

    FAKTA

    * A.R. Ismail meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 15 Januari 1995 disebabkan paru-paru berair, disamping turut mengidap penyakit lemah jantung, asthma dan darah tinggi. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras.

    * Salah satu lagu terbaik Ismail Haron ialah "Insan Mulia". Lagu tersebut dicipta oleh A.R. Ismail bukan saja lagunya sangat menarik tetapi juga liriknya yang penuh bererti (bercampur dialog) dihasilkan sendiri oleh Ismail Haron menggunakan nama Ismail Aro.


    # UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.



  • ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI


    FILEM KLASIK MALAYSIA
    berapa banyakkah yang masih ada?


    SIPUT SERAWAK
    begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

    A.R. TOMPEL
    lawaknya mencuit dan menggelikan hati

    R. AZMI
    berada dalam kamar sepi dalam kesepian

    AHMAD MAHMOOD
    ahmad mahmood bintang di langit seni

    LATIFAH OMAR
    ikon era gemilang filem melayu


    SALMAH AHMAD
    kejelitaannya terletak didagu, ya tak?




    8 comments:

    1. Salam saudara mustafar,...

      Terima kasih tak terhingga atas artikel tak ternilai ini...saya miema..anak bongsu allahyarham AR Ismail..Sebak,sedih..terharu kerana tak sangka di zaman blog ini..saya dapat menatap wajah ayah saya..seorang seniman di hati kami anak2 beliau..

      Banyak sekali info saudara ttg profile ayah saya..kami sekeluarga pun masih tercari2..alhamdulillah tertulis juga lagu Bicara Hati ciptaan beliau..walaupun tak dinyatakan sewaktu dinyanyikan semula oleh Dati Siti Nurhaliza...

      Terima kasih yg tak terhingga..InsyaAllah saya akam email saudara...nak tunjuk blog ni kat mak...mesti dia terharu n happy...

      Assalamualaikum..

      ReplyDelete
    2. salam miema.
      saya juga sebak, sedih dan terharu
      bila baca tulisan miema.
      e-maillah dan miema nyatalah
      apa saja tentang allahyarham.
      saya tunggu.

      ReplyDelete
    3. Assalamualaikum.
      Salah tu, Miema.
      "Bisikan Hati" bukannya "Bicara Hati".
      Memang dan selalu berlaku, pencipta lagu
      dan penulis lirik seringkali dilupakan.
      Padahal peranan mereka sangat penting.
      Tiada mereka tiadalah penyanyi.
      Ada baiknya, sebelum seseorang penyanyi
      mahu menyanyikan semula setiap lagu,
      selidik dulu pencipta dan penulis liriknya.
      Bagilah kredit kepada mereka sebagai penghargaan.
      Dalam hal ini, Siti Nurhaliza tidak boleh disalahkan.
      Kemungkinan, dia sendiri tidak tahu siapa
      pencipta dan penulis lirik lagu "Bisikan Hati" itu.
      Salahnya dia (agaknyalah), dia tidak buat homework.

      ReplyDelete
    4. Salam Abg Mustafar. Nama saya Zali dari Semenyih peminat filem dan lagu melayu klasik nak ucapkan jutaan terima kasih kerana menyediakan blog ini dan dapatlah peminat mengenali seniman dan seniwati lagenda filem melayu sehingga kini watak dan lakonan mereka sukar dicari ganti.Saya secara tak sengaja terbuka blog ini kerana mencari info bintang2 filem MFP dan Cathay Keris. Saya berdoa semuga ALLAH SWT mencucuri Rahmat dan Maghfirah keatas roh-roh mereka - Amin. Minta jasabaik Abg Mus dapat updatekan info terkini bintang2 lagenda yang masih hidup juga penyanyi zaman 60-an. Wasallam & Selawat. MZali Semenyih, Selangor Darul Ehsan.

      ReplyDelete
    5. Saya juga mohon admin mencari info tentang penggubah lagu dari pantai timur. Allahyarham ahmad salihin yg pernah memimpin orkes studio kota bharu atau orkes radio malaysia kota bharu.B
      Banyak juga lagu ciptaan beliau di nyanyikan ismail ali muda. Wan salman ahmad dan norlaila ayoub.

      ReplyDelete
    6. Assalamualaikum, En..Mustafar, apa khabar? Harapan saya sekeluarga Encik sentiasa sihat sejahtera selalu disamping keluarga tercinta.

      Hari ini genap 22 tahun pemergian arwah abah, AR Ismail. Saya nak buat caption difb saya..terjumpa info mengenai arwah yang pernah saya baca dulu.

      Terima kasih saya ucapkan di atas tulisan Encik mengenai arwah. Setidak-tidaknya anak cucu arwah akan terjumpa artikel ini bila menaip nama arwah.

      Salam dari kami sekeluarga.

      Sekian, terima kasih.

      Aida AR Ismail

      ReplyDelete
      Replies
      1. Terima kasih Aida A.R.Ismail.
        Anak Pak Mus Aida juga, Aida Mustafar A.R.
        Untuk memperingati Allahyarham Pak Mus
        paparkan 5 klips video lagu yang Pak Mus
        suka di side blog FK mulai 15/1/2018.
        Kunjungilah jika Aida berkesempatan, ya.

        Delete
    7. saya baru tau blog ini. rencana mengenai a r ismail amat bermakna. saya dari tg ipoh n s dan tahu a r ismail masa tahun 1955-65 lebih kurang. dia pemain akordian dalam band kg yang selalu bermain masa kenduri kahwin di kg talang n tg ipoh. dia famous. dia juga terkenal dengan lagu kanak-kanak yang disiarkan dalam prog khas radio pendidikan masa itu. hampir setiap hari lagu ciptaannya keluar. rencana sdra dilengkapkan dengan senarai lagu ciptaan beliau serta video amat memberi erti. saya teringat lagi masa di kg dulu melihat a r ismail di kedai dan di jalan hendak balik rumah. tapi dia senior dan ada generation gap tak adalah bercakap. hanya kenal macam itu semata-mata. tak sangka dia begitu famous dan banyak ciptaan yang popular... saya tak tau samada anak-anaknya ikut jejak dia atau tidak. al fatihah.

      ReplyDelete