"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Thursday, March 15, 2012


M. AMIN (1924-2003)

KASMA BOOTY PENYELAMAT KERJAYA FILEMNYA

Artikel Sumbangan: Amin Khan
Foto: Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


# Amin Khan
ialah produser Minjan Production
yang telah banyak menerbitkan
filem dan drama tv


M.Amin di antara dua wajah

Bersama Mariam dalam "Kembar"

Bersama P. Ramlee dalam "Antara Senyum Dan Tangis"

Bersama Sri Unity dalam "Mutiara Dari Malaya"

Bersama Mahmud June dan Noordin Ahmad dalam "Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang"

Bersama Maria Menado dalam "Selendang Delima

Gambar M. Amin disuperimposekan dengan gambar Latiffah Omar yang menjadi heroine filem arahannya yang pertama, "Lanchang Kuning"

"Dang Anom"

"Hapuslah Airmatamu"

Seperti kata Hamka: "Meninjau sejarah hendaklah dengan rasa cinta, seakan-akan kita turut hidup dengan mereka. Oleh itu rasa hati dan suka duka kita sekarang, adalah rasa hati dan suka duka yang telah mereka tinggalkan buat selama-lamanya".

Perginya M. Amin atau nama sebenarnya Mohammad Amin bin Haji Iksan mengadap yang Maha Esa pada subuh 8 Januari 2003 ketika berusia 78 tahun, bererti sebutir lagi bintang yang menerangi dunia perfileman Malaysia hilang.

Di lahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 1 September 1925, M. Amin boleh dianggap sebagai pengarah filem setanding dan sebaris dengan P. Ramlee, S. Roomai Noor, Jamil Sulong, Salleh Ghani dan Omar Rojik, setelah kejayaannya menempuh berbagai-bagai halangan dan rintangan.

Secara jujur saya menyatakan, saya sangat sedikit pengetahuan mengenai latarbelakang, pergaulan dan penghidupan M. Amin dengan masyarakat filem sewaktu di Singapura mahu pun umum, kerana saya bukanlah hidup seangkatan dengannya malah saya boleh dianggap sebagai angkatan generasi baru.

Tidak seperti Jamil Sulong, Jins Shamsudin, Aziz Sattar, Kuswadinata (hanya sekadar menyebut beberapa nama saja) yang mengenalinya lebih rapat serta juga Hamzah Hussain yang pernah menjadi Pegawai Perhubungan Awam di Cathay Keris Film yang menyeliakan tugasnya.

Secara jujur juga saya menyatakan, saya mengenali sikap dan keperibadian M. Amin, ketika saya mengarahkan rancangan untuk RTM bertajuk Profil Seni mengenai profil kehidupan dan penglibatannya dalam bidang perfileman, yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan saya sendiri, Minjan Productions.

Di sinilah M. Amin banyak membongkar rahsia kehidupannya dan beberapa peristiwa yang berlaku kepada dirinya yang saya kira mungkin ramai yang tidak tahu tetapi merupakan fakta yang boleh menjejaskan sedikit sebanyak reputasi mereka yang terlibat.

Semasa menjalani penggambaran siri inilah, saya memerhati dan mengamati sikap dan keperibadian M. Amin, yang suka berterus terang dalam membicarakan sesuatu perkara, agak pendiam dan sensitif orangnya dan sekali-sekala boleh juga berjenaka.

Kalau kita ajak berbual mengenai perkembangan perfileman tanahair, M. Amin akan bercerita dari perspektif dan pengalamannya sendiri.

Ramai sudah sedia maklum, M.Amin merupakan pengarah filem yang tidak kurang hebatnya seangkatan dengan P. Ramlee, S. Roomai Noor, Jamil Sulong, Hussain Haniff, Salleh Ghani, Omar Rojik, S. Kadarisman dan S. Sudarmadji.

Ramai juga sedia mengetahui, siapa sebenarnya M. Amin sebelum dia menerjuni ke persada perfileman yang berpusat di Singapura ketika itu.

M. Amin mula bertugas sebagai guru pelatih selama 6 bulan di Setiawan, Perak zaman pemerinthan Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua dia berkhidmat dalam pasukan polis (menggunakan nombor 4511) sebagai guru undang-undang (school inspector) di Polis Depoh, Kuala Lumpur selama 4 tahun dari tahun 1946 hingga 1950.

Oleh kerana jawatan anggota polis tidak begitu secucuk dengan jiwanya, dan M. Amin pula telah melakukan sedikit kesalahan dia dibuang kerja.

Kemudian dia mengambil keputusan pergi ke Singapura bertujuan untuk memohon kerja sebagai kelasi kapal. Tidak terlintas dihatinya untuk menjerumuskan diri ke dunia filem.

Bagaimanapun, setelah membaca majalah "Mutiara", M. Amin menghantar surat dan gambar memohon menjadi pelakon dengan Malay Film Productions (MFP) dan kemudian dipanggil menghadiri screen test.

Keadaan menjadi kelam kelibut sedikit apabila M. Amin kena screen test jam 10 pagi di Jalan Ampas dan kemudian pada pukul 2 petang pula dia harus pergi untuk interview sebagai kelasi kapal.

Begitu pun juga, M. Amin gagal di screen test. Oleh kerana interview menjadi kelasi kapal bermula jam 2 petang, dia berjalan-jalan dan melihat orang sedang membuat penggambaran filem di halaman studio Jalan Ampas, dan pengarah filem yang sedang membuat penggambaran ketika itu, L. Krishnan.

Semasa M. Amin pergi ke gerai yang berdekatan dengan studio tersebut untuk bersarapan pagi, tiba-tiba datang seorang krew filem berkenaan. Dia sendiri pun tidak tahu apa jawatan krew filem itu. Lalu dia mengenalkan dirinya dan menegur M. Amin dengan sopan dan bertertib.

"Bung (bahasa Indonesia bererti saudara)..., saya penolong pengarah filem yang sedang menjalani penggambaran sekarang ini, mahukah Bung berlakon?"

M. Amin terkejut dan bercampur hairan dengan pelawaan itu. Dengan tiba-tiba saja orang mempelawanya berlakon filem, sedangkan screen test yang dijalankannya sebentar tadi pun dia didapati tidak lulus. M. Amin hanya senyap dan membisu saja. Tidak tahu apa yang mahu dicakapkannya

Orang itu bertanya lagi, "mau tak?" M. Amin masih terpinga-pinga macam tidak percaya dengan pelawaan tersebut. "Betul..., saya pelawa Bung berlakon filem", sambung orang itu setelah melihat dia masih tidak berkata apa-apa.

M. Amin lantas menjawab, "boleh..., boleh jugak. Tapi, jam 2 petang ini saya ada interview kerja kelasi kapal". Orang itu menjawab, “sekejap saja. Tak sampai jam 2 dah habis”.

Orang yang beria-ia mempelawa M. Amin berlakon ialah S. Sudarmadji, yang menjadi penolong pengarah filem kepada L. Krishnan.

Lalu M. Amin di bawa dan diperkenalkan kepada L. Krishnan, dia diberi peranan kecil dalam filem "Bakti" (1950) yang dibintangi oleh P. Ramlee, Kasma Booty, S. Roomai Noor dan Siput Serawak.

Setelah disolek dan diberi sedikit dailog, dia pun diajar cara-cara berlakon dan penggambaran pun dijalankan.

Adegannya, ketika S. Hamid (P. Ramlee waktu kecil) beramai-ramai menyanyikan lagu "Sate".

Waktu tengahari, penggambaran diberhentikan kerana waktu makan dan peranan yang dibawakan M. Amin masih lagi tinggal beberapa syot lagi yang belum diambil. Ia akan disambung semula selepas waktu makan.

M. Amin segera pergi berjumpa S. Sudarmadji dan memberitahu dia terpaksa pergi interview kelasi kapal. Dia tidak dapat tunggu kerana perkerjaan itu penting demi hidup masa depannya.

"Biasalah...", macam sekarang juga, S. Sudarmadji menggelabah dan kelam kabut. Dia membawa saya berjumpa L. Krishnan sekali lagi,” jelas M. Amin. L. Krishnan termenung seketika, memikirkan perkara ini kerana syot-syot close-upnya belum lagi diambil.

L. Krishnan mencadangkan kepada M. Amin tidak payah pergi interview sebagai kelasi kapal, sebaliknya dia membawanya berjumpa Shaw Vee Ngok, pengurus Shaw Brothers ketika itu, supaya M. Amin diberi sebarang perkerjaan memandangkan dia mempunyai pelajaran yang baik dan penggambaran yang melibatkannya masih belum selesai.

Shaw Vee Ngok bersetuju memberi perkerjaan kepada M. Amin sebagai kerani, penterjemah skrip-skrip yang ditulis dalam bahasa Inggeris oleh pengarah-pengarah India ke dalam bahasa Melayu dan tugasnya yang paling besar, mengajar pelakon-pelakon di studio Jalan Ampas menulis dan membaca di sebelah malam.

Ini kerana kebanyakan pelakon ketika itu orang-orang bangsawan yang tidak boleh menulis dan membaca. Oleh yang demikian, bermulalah satu penghidupan baru kepada M. Amin di studio Shaw's MFP, di Jalan Ampas.

Filem "Kembar" (1950) merupakan filem pertama M. Amin diambil berlakon oleh pengarah S. Ramanathan sebagai hero di samping Mariam yang menjadi heroinenya. Ini merupakan filem pertama S. Ramanathan yang tidak mengambil P. Ramlee sebagai hero sebagaimana L. Krishnan menyerahkan peranan hero kepada P. Ramlee dalam "Bakti".

Bermula satu lagi penghidupan dan pengalaman hidup M. Amin. Dia sudah menjadi pelakon dengan memegang peranan hero pula - satu peranan yang di luar jangkaannya sendiri boleh berlaku.

Di pertengahan penggambaran filem "Kembar" itu, M. Amin menerima satu cabaran dan tamparan yang paling hebat. Dia hampir-hampir putus harapan dan kecewa untuk meneruskan penggambaran filem tersebut.

M. Amin terdengar orang bercakap-cakap ketika dia berada di dalam bilik persolekan. Ada beberapa orang krew di studio itu mengutuk dan menghina lakonannya dengan kata-kata, "orang kampung nak jadi hero filem", "lakonan keras macam kayu" dan bermacam-macam lagi penghinaan.

M. Amin begitu sedih dan malu. Dia berfikir panjang mengenai hal itu. Akhirnya dia mengaku dan menyedari yang lakonan memang keras macam kayu, tidak ada seni lakonan. Dia juga mengakui, tidak ada langsung asas dalam bidang lakonan sebelum ini.

M. Amin kemudian meluahkan hasratnya untuk berhenti menjadi pelakon dan perkerjaan di studio Jalan Ampas yang didengari oleh Kasma Booty yang merupakan primadona filem Melayu yang cukup popular pada masa itu.

Mendengarkan keluhan hati M. Amin itu, Kasma Booty memujuknya dengan berbagai cara dan berkata, "Bung..., Bung mempunyai bakat besar dalam filem. Jangan berhenti.

"Lagi pun, kalau Bung berhenti siapa yang akan mengajar pelakon-pelakon yang sudah pandai sikit-sikit menulis dan membaca?”

M. Amin termenung dan berfikir. Dia menjadikan kata-kata Kasma Booty, "jadikan kata-kata penghinaan mereka sebagai cabaran dan peransang untuk Bung terus maju. "Pedulikan dengan kutukan tersebut", sambung Kasma Booty lagi.

Kata-kata hikmat dan peransang Kasma Booty itulah memberi satu impak dalaman kepada M. Amin. Dengan itu, dia pun meneruskan kerjaya filemnya dan tidak jadi berhenti.

Bagaimana pun, selepas "Kembar" M. Amin tidak lagi diberi peranan hero tetapi lebih kepada sebagai pelakon tambahan dan pembantu. Filem-filemnya di Shaw's MFP,

  • Bakti
  • Kembar
  • Dewi Murni
  • Pembalasan
  • Sejoli
  • Juwita
  • Aladdin
  • Antara Senyum Dan Tangis

    Selain "Kembar", hanya "Antara Senyum Dan Tangis" M. Amin mempunyai peranan yang boleh dianggap berat, yang lain hanya sebagai pelakon tambahan saja.

    DARI MALAY FILM PRODUCTIONS KE CATHAY KERIS FILM___

    Setelah berkhidmat selama 2 tahun di Shaw's MFP, pada tahun 1952 M. Amin beralih angin Ke Cathay Keris Film. Ini pun atas nasihat beberapa orang kawan dan ingin mencari pengalaman baru berkerja di syarikat filem lain.

    M. Amin berlakon dan juga diberi tanggungjawab sebagai penolong pengarah kepada beberapa orang pengarah yang sedia ada di studio tersebut. Di situ, dia tidak banyak menerima rintangan atau menghadapi cabaran sebagaimana yang ditempuhinya di Shaw's MFP.

    Apabila Hussain Haniff dilantik sebagai pengarah filem "Hang Jebat", M. Amin diminta oleh Hussain Haniff menjadi penolong pengarahnya dan juga turut berlakon membawa peranan Hang Tuah.

    Sebelum itu, dia menjadi penolong pengarah bersama A.B. Rahim untuk "Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang" (1961) arahan K.M. Basker.

    Di peringkat awal, M. Amin bukan pemegang karekter Hang Tuah, sebaliknya berperanan sebagai Sultan Melaka. Peranan Hang Tuah telah diberikan kepada pelakon yang tidak kurang handalnya, Mahmud June.

    Setelah Hussain Haniff dan beberapa pegawai Cathay Keris Film berbincang semula mengenai perwatakan dan fizikal Hang Tuah, setelah berkunjung ke makam Hang Jebat di Melaka (berdasarkan pandangan penjaga makam), watak Hang Tuah sangat menepati perwatakan M. Amin yang tinggi dan pendiam.

    Sedangkan Mahmud June yang pada mulanya mahu diserahkan watak tersebut, kurang sesuai kerana rendah, raut wajahnya yang bengis, walaupun mempunyai pengetahuan ilmu persilatan.

    Masalah besar yang dihadapi M. Amin, bersilat. Dia tidak pandai bersilat. Oleh yang demikian dia dan beberapa rakan yang lain belajar ilmu persilatan dari seorang guru silat di Singapura di sebuah gelanggang pada sebelah malam.

    Apa yang menjadi peristiwa pahit di sini tentang perwatakan Hang Tuah itu sendiri. Dia menerima tohmahan, tekanan dan fitnah, disebabkan karekter Hang Tuah berpindah dari Mahmud June ke M. Amin. Bagaimanapun, Hussain Haniff memberi semangat dan perangsang kepadanya.

    Akhirnya "Hang Jebat" berjaya dengan corak dan gaya arahan Hussain Haniff. Penekanan perwatakan Hang Tuah yang dibawa oleh M. Amin begitu terserlah, dan filem tersebut mendapat pujian dan juga sambutan box office.

    Sebelum menjadi pengarah filem, boleh dikatakan setiap filem Cathay Keris Film M. Amin ada berlakon. Kalau tidak besar, kecil, kalau tidak banyak, sedikit. Antaranya;

  • Buloh Perindu
  • Nafsu
  • Terang Bulan di-Malaya
  • Tangisan Ibu
  • Pertarohan
  • Irama Kaseh
  • Mutiara Dari Malaya
  • Selamat Hari Raya
  • Selamat Tinggal Kekasehku
  • Adam
  • Azan
  • Dondang Sayang
  • Pontianak
  • Virgin Of Borneo
  • Orang Minyak
  • Selendang Delima
  • Serangan Orang Minyak
  • Orang Lichin
  • Raden Mas
  • Rasa Sayang - Eh!
  • Pak Pandir Modern
  • Che Mamat Parang Tumpol
  • Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang
  • Hang Jebat
  • Siti Zubaidah
  • Dang Anom

    * M. Amin turut membintangi satu-satunya filem keluaran Shah Film (H.M. Shah), "Kaseh Menumpang", bersama S. Roomai Noor, Mislia dan Shariff Medan.

    DILANTIK SEBAGAI PENGARAH FILEM___

    Setelah sekian lama menjadi penolong pengarah kepada beberapa pengarah filem, akhirnya Tom Hodge, Pengurus Cathay Keris Film, setelah melihat bakat yang tersembunyi dalam diri M. Amin, memanggilnya ke pejabat untuk berbincang mengenai perlantikannya sebagai pengarah filem.

    "Kalau Tuan ada kepercayaan pada saya, saya cubalah," kata M. Amin kepada Tom Hodges.

    M. Amin rasa begitu terharu, dan dia diminta mengemukakan beberapa skrip filem untuk dinilai oleh ahli panel penilaian skrip. Dia menghantar dua naskah skrip filem - "Lanchang Kuning" dan "Chuchu Datok Merah".

    Skrip "Lanchang Kuning" dan "Chuchu Datuk Merah" diluluskan. dan M. Amin memilih "Lanchang Kuning" sebagai filem arahannya yang pertama.

    M. Amin bertungkus lumus membuat persediaan awal dan memilih barisan pelakon yang akan membintangi filem pertamanya itu berdasarkan karyanya sendiri. Dengan itu, tersenarailah Noordin Ahmad dan Latiffah Omar sebagai hero dan heroine dengan dibantu pelakon-pelakon lain bagi memantapkan lagi filem tersebut termasuk Haji Arshad yang buat pertama kalinya diserahkan sebagai leading crook.

    Penggambaran filem "Lanchang Kuning" berjalan lancar, walaupun ada suara-suara sumbang dan kurang sedap didengar yang mempertikaikan kebolehan M. Amin menerajui kerusi pengarah filem sehingga selesai penggambaran.

    Terjadi lagi fitnah terhadap M. Amin, kononnya filem yang diarahkannya itu tidak boleh disunting (diedit), dengan lain istilah sekarang sebagai hancur.

    Oleh yang demikian, tanpa pengetahuan sesiapa pun dia berpakat dengan penyunting filem (P.V. John) supaya kerja-kerja penyuntingan dilakukan pada sebelah malam dan tidak seorang pun dibenarkan bersama melainkan penyunting filem dan dirinya saja.

    Fitnah ini tidak benar, hanyalah disebarkan untuk menjatuhkan reputasi kerjayanya saja. Kerja-kerja pasca penerbitan "Lanchang Kuning" akhirnya siap sepenuhnya. Pada diri pengarah lain mungkin mereka gembira, tetapi berlainan dengan sikap M. Amin. Dia merasa gementar dan takut, seakan-akan malu pun ada walaupun diyakini oleh P.V. John yang memberitahu, ia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

    M. Amin masih tidak yakin dengan penjelasan P.V. John itu selagi "Lanchang Kuning" tidak di tayangkan di panggung wayang dipertontonkan kepada orang ramai. Dia memerap di rumah, bersembunyi dan tidak datang kerja hampir sebulan.

    Akhirnya, filem "Lanchang Kuning" pun ditayangkan kepada umum dengan membawa kejayaan besar dan menguntungkan pihak Cathay Keris Film.

    Hal ini tidak diketahuinya, sehinggalah pada suatu malam kereta majikannya, Loke Wan Tho, dihantar untuk menjemput M. Amin ke satu majlis di studio. Dia bertanya kepada pemandu kereta, tetapi dia hanya kata tidak tahu majlis apa, dia cuma disuruh menjemput dan membawanya ke sana.

    M. Amin tidak berlengah lagi dengan berpakaian serba ringkas saja menaiki kereta itu. Semasa kereta itu dalam perjalanan, di dalam hatinya berkata, “inilah malam terakhir aku berkerja di Cathay Keris Film. Habis dan tamatlah kerjaya aku sebagai orang filem. Lepas ni, aku terpaksa balik kampung”.

    Setibanya dia di studio, M. Amin melihat ramai orang termasuklah pegawai-pegawai kanan Cathay Keris Film, para pelakon dan tuanpunya Cathay Keris Film, Loke Wan Tho. Dia masih gementar dan takut-takut. Loke Wan Tho datang merapati dan menghulur tangan kepadanya.

    M. Amin masih tidak faham apa-apa. Dalam pada itu di benaknya masih memikirkan, adakah salam yang dihulurkan oleh Loke Wan Tho itu sebagai salam terakhir dan dia akan diberhentikan kerja. Dia bertambah bingung.

    Tiba-tiba terkeluar dari mulut Loke Wan Tho perkataan "tahniah!", dan M. Amin masih tidak mengerti. Loke Wan Tho memberitahunya, filem "Lanchang Kuning" mendapat sambutan box office dan dia dipersilakan duduk bersebelahan Loke Wan Tho.

    Barulah rasa gementar dan takut itu mulai reda dan mendapat tepukan gemuruh daripada semua yang hadir. Kemudian para hadirin, seorang demi seorang datang bersalaman kepadanya, mengucapkan tahniah. Dengan kejayaan filem tersebut.

    Selepas itu, M. Amin diberi tanggungjawab dan kepercayaan mengarah dari sebuah filem ke sebuah filem yang lain sehinggalah Cathay Keris Film menghentikan mengeluarkan filem Melayu pada tahun 1972.

    Antara filem-filem yang diarahkan oleh M.Amin di Cathay Keris Film,

  • Lanchang Kuning
  • Chuchu Datok Merah
  • Tajul Ashikin
  • Ayer Mata Duyong
  • Rumah Itu Dunia Aku
  • Panglima Besi
  • Mata Dan Hati
  • Muda Mudi
  • Patong Chendana
  • Ikan Emas
  • Gurindam Jiwa
  • Anak Dara
  • Dua Kali Lima
  • Dosa Wanita
  • Pop Muda
  • Sri Kandi
  • Keris Mas
  • Sial Wanita
  • Keranda Berdarah
  • Aku Mahu Hidup
  • Puaka
  • Jahanam
  • Semusim Di-Neraka
  • Satu Titek Di-Garisan
  • Semangat Ular
  • Harimau Jadian
  • Hati Batu

    BERPINDAH KE MERDEKA FILM PRODUCTIONS___

    Apabila Cathay Keris Film ditutup pada tahun 1972, M. Amin pindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat pula dengan Merdeka Film Productions (Merdeka Filem Setudio). Dia hanya mengarahkan 3 filem saja - "Penyamun Si Bongkok" (1974), "Satu Penentuan" (1974) dan "Pertiwi" (1974).

    Selain itu, M. Amin sempat juga berlakon di studio tersebut satu filem di bawah arahan Nas Achnas, "Rahsia Hatiku" yang dibuat penggambarannya dalam color (sebagai percubaan) berlakon bersama Sharifah Hanim, Mariati Abdul Rahman dan Maznah Ahmad.

    M. Amin juga pernah berkhidmat dengan Gaya Film dan Solid Gold dengan mengarah beberapa drama tv dan dokumentari.

    Di Sabah Film Production pula M. Amin sempat mengarah 7 filem - "Hapuslah Air Matamu", "Pendekar", "Kisah Seorang Biduan", "Sumpah Semerah Padi", "Bertunang", "Manis-Manis Sayang" dan "Di Ambang Kasih".

    Selain itu, M. Amin turut terlibat dengan filem,

  • Johnny Bikin Filem
  • Badai Mentera
  • Silat Legenda

    Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, M. Amin turut berlakon dalam filem "Paloh" (2003) yang diarahkan oleh Adman Salleh keluaran bersama FINAS dan Filem Negara Malaysia (FNM).

    Di saat-saat terakhirnya, M.Amin dengan sayu berkata, "saya ni seperti quran buruk, dan telah dilupakan."

    Selain itu, dia juga menasihat pengiat-pengiat filem supaya jangan buat filem asal siap saja. Tambahnya, "bila jadi tontonan, pelakon menangis melalak-lalak tapi penonton ketawa."


    Dua surat tahniah yang diterima oleh M. Amin dari Loke Wan Tho. Atas, kerana pencapaian box office "Lanchang Kuning" dan bawah, kerana kejayaan "Chuchu Datok Merah".

    ANUGERAH
  • Filem Drama Trajidi Terbaik
    Satu Titek Di-Garisan
    * Festival Filem Asia-Pasifik Ke-19 (FFAP19, Singapura)
  • Menjanjikan Persahabatan Dan Kemajuan Seni
    Hapuslah Airmatamu
    * Festival Filem Asia-Pasifik Ke-22 (FFAP22, Pusan)
  • Pelakon Pembantu Terbaik
    (Rosnah Mohd. Noor)
    Di Ambang Kasih
    * Festival Filem Malaysia Ke-5 (FFM5, Kuala Lumpur)


    MARI KITA MENYANYI LAGU-LAGU FILEM M. AMIN




    Rintihan Kamarulzaman (Lanchang Kuning)
    (Sumber: Dewan Durjana)


    Tiada Lari Gunung Dikejar (Selendang Delima)
    (Sumber: flagellum79)


    Aku Tetap Menyinta (Orang Minyak)
    (Sumber: jefferniagaz)


    (Sumber: jefferniagaz)

    SAAT DEMI SAAT

    Saat demi saat telah berlalu
    Ingatan daku hanya padamu
    Dikau berjuang menentang seteru
    Menentang seteru
    Aku menyabung hati nan rindu

    Saat-saat genting luas terbentang
    Debaran hati bertambah kencang
    Semakin gelisah semakin bergoncang
    Semakin bergoncang
    Mudah-mudahan kau selamat pulang

    Saat demi saat ulang-berulang
    Permata hati selalu terpandang
    Janganlah asyik memuja bayang
    Memuja bayang
    Cinta yang suci tak akan terhalang

    Penyanyi filem FATIMAH AHMAD, NOORDIN AHMAD & M. AMIN
    Penyanyi suara ROSIAH CHIK & RAHMAN B.
    Lagu ciptaan ZUBIR SAID
    Lirik lagu TIDAK DIKETAHUI
    Filem DANG ANOM
    Pengarah HUSSAIN HANIFF

    MARI KITA MENONTON FILEM-FILEM M. AMIN




    Kembar (Sumber: Njendra 01)

    Selendang Delima (Sumber: ed LOKfc)


    Orang Minyak (Sumber: ed LOKfc)


    Ayer Mata Duyong (Sumber: Lima Jiwas)


    Jahanam (Sumber: Mid Scarface)


    Hati Batu (Sumber: Lima Jiwas)


    Lanchang Kuning (Sumber: Filem Klasik)


    Rahsia Hatiku (Sumber: ed LOKfc)

    Hapuslah Airmatamu (Sumber: Wae Mesul)


    Kisah Seorang Biduan (Sumber: Koleksi Teratai)


    Pendekar (Wae Mesul)



    Profil M. Amin terbitan Minjan Production

    FAKTA___
  • M. Amin merupakan anak Melayu ke-4 dilantik sebagai pengarah filem di Cathay Keris Film selepas S. Roomai Noor, Hussain Haniff dan Salleh Ghani.
  • Selain "Kembar", M. Amin juga sebagai hero dalam "Serangan Orang Minyak" berheroinekan Latiffah Omar.
  • Pada mulanya M. Amin menawarkan leading crook kepada Mahmud June untuk "Lanchang Kuning", tetapi Mahmud June menolak. Haji Arshad mengambil tempatnya, dan sekali gus mempopularkan namanya yang sebelumnya tidak begitu dipedulikan.
  • "Hati Batu" yang boleh dianggap sebagai filem terakhir keluaran Cathay's Keris Film adalah filem arahan M. Amin.
  • Filem color pertama diarahkan oleh M. Amin, "Hapuslah Airmatamu," lakonan Sharifah Aini, Latiff Ibrahim, Broery Marantika dan Christine Hakim.
  • M. Amin berlakon dalam 2 filem color Cathay Keris Film dan satu Merdeka Film Productions - "Buloh Perindu", "Virgin Of Borneo" dan "Rahsia Hatiku".
  • M. Amin berlakon (sebagai pelakon pembantu) bersama P.Ramlee dalam "Antara Senyum Dan Tangis". Tetapi tidak pernah berlakon di bawah arahan P.Ramlee, begitu juga sebaliknya.


    # UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.



  • 5 comments:

    1. salam pak mustafar;

      sedih dan bersemangat saya dengan bingkisan awal kehidupan bintang klasik M.Amin untuk bergelar pelakon/pengarah ulung tanah melayu. dan dengan statusnya yang tinggi pelajaran pada waktu itu menambahkan lagi kesedihan saya.

      Al-Fatihah untuk M.Amin.

      bagi saya, hanya semerah padi dan sri mersing yang menangkap lakonan mantap noordin ahmad, selain hang jebat dan sultan mahmud mangkat di julang.

      harapan saya, agar pak mustafar tidak keberatan membuat entri berkenaan noordin ahmad.

      terima kasih.

      Muhamad Rosli Zainuddin (Muroza)

      ReplyDelete
    2. Assalamualaikum En. Mustafa,

      Saya perhatikan filem arahan M. Amin, filem2 awal arahan beliau seperti Lanchang Kuning, Chuchu Datok Merah, Anak Dara adalah filem yg kemas dr sudut arahan, scenario dan musik. Tapi filem2 beliau masuk ke dekad 70an seperti Aku Mahu hidup, Semangat Ular dan Hati Batu adalah filem2 yg kehilangan aura. Adakah beliau juga menghadapi sindrom "fedup berkarya" seperti yang dihadapi oleh P. Ramlee?

      Oummar Ipoh

      ReplyDelete
    3. Baru jumpa.
      Satu artikel cukup menarik
      dan padat mengenai M. Amin.
      Kebetulan pula saya sedang
      membuat kajiselidik mengenai
      pengarah tersohor ini.
      Terima kasih Amin Khan dan FKM.

      - ROHANA MUSTAFFA, Port Dickson, N. Sembilan.

      ReplyDelete
    4. Jika mahu mengetahui lebih dalam tentang M.Amin dan motivasi karyanya, boleh hubungi saya di fayzamin3@live.co.uk. Seni nya dipengaruhi oleh masyarakat sekliling dan Allahyarham adalah satu-satunya pengarah Melayu yang bertemakan anti-hero.

      ReplyDelete