Tahun mula ditayangkan: 1976 (27 November)
Masa tayangan: 90 minit (lebih kurang)
Kedudukan filem: Ada, boleh diperolehi
SINOPSIS___
Zulkifli (takda harta, miskin), pemuda nelayan telah mengikat tali percintaan dengan Noraini. Percintaan kedua mempelai itu memang diketahui oleh rakan masing-masing dan setiap hari menjadi usikan dan guruan mereka.
Sebagaimana yang sering terjadi antara teruna dan dara yang sedang tenggelam dilamun asmara, ada masanya Zul dan Aini membelai rindu dengan bercumbu rayu dan ada kalanya merajuk merasa cemburu dan tersentuh hati.
Suatu hari, datanglah ke kampung tersebut seorang pemuda dari kampung lain yang tidak jauh dari situ. Namanya Malek (ada harta, kaya) bersama Mat Temberang serta teman-temannya yang lain.
Kebiasaannya, bila Malek ke mana-mana, dia didampingi oleh teman-temannya yang berperangai buruk seperti dia juga.
Malek telah jatuh hati dengan Aini apabila mereka bertemu, dan dia telah meminta bantuan Mak Leha supaya pergi meminang Aini. Bagaimanapun, Pak Kadir (ayah Aini) telah menyerahkan kepada anak perempuannya itu untuk membuat keputusan.
Aini berterus-terang menolak pinangan itu, tetapi kerana memikirkan Malek anak Tok Penghulu kampung dan berpengaruh pula, dibuatnyalah alasan supaya mereka bertemu dalam pesta pertandingan nyanyian yang sememangnya sering diadakan di kampung tersebut setiap tahun.
Kalau, dalam pesta pertandingan itu, Malek dan kumpulannya berjaya menunjukkan kehandalan (kumpulan Aini kalah), Aini akan mempertimbangkan pinangan Malek.
Malangnya, Malek tidak dapat menandingi kehandalan Aini, dan di situ juga dia berterus terang menunjukkan yang hatinya telah terpaut kepada Zul dan akan ke jinjang pelamin.
Di hari Zul sedang diarak ramai-ramai pergi bersanding ke rumah Aini, dia telah diserang sekumpulan anak muda, orang-orang upahan Malek yang tidak mahu melihat Zul berkahwin dengan Aini.
Pergaduhan sengit berlaku, tetapi Zul tewas dan dia dibawa orang-orang Malek ke sebuah pulau dan dikurang dalam gua.
Dengan kehilangan Zul itu hebuh sekampung, Aini dan Fatimah (adik Zul) puas mencari dan meminta pertolongan orang-orang kampung, tetapi tidak berjaya.
Tok Penghulu Kahar (ayah Malek) pulang dari seberang sebelum waktunya, dan atas jasa baiknya serta membuat pertimbangan yang adil, Malek mengaku melakukan pencolekan dan memberitahu di mana Zul disembunyikan.
Zul dan Aini bertemu kembali dan disatukan.
Pelakon utama: Zulkifli (Hail Amir), Noraini (Noor Azizah), Malek (Yusof Haslam), Fatimah (Norzie Nani), Mat Temberang (M. Shahdan), Mak Leha (Norizan), Pak Kadir (Said Manaf) dan Tok Penghulu Kahar (Jamil Sulong).
KRITIKAN & ULASAN___
Kali pertama saya menonton "Cinta Dan Lagu", previewnya di panggung wayang Capitol, Kuala Lumpur dalam bulan November 1976. Penayangan (preview) di panggung wayang tersebut jarang-jarang berlaku. Hanya filem yang ada keistimewaan saja, barulah boleh previewnya ditempatkan di situ.
Sebelumnya, filem ini banyak mendapat publisiti di dada-dada akhbar dan majalah tempatan, terutamanya ada usaha dibuat membawa Titiek Sandhora atau Emilia Contessa dari Indonesia untuk memegang peranan utama, sebagai Noraini.
Pada masa itu, dua filem musikal Hollywood, "West Side Story" dan "The Sound Of Music", sedang menggila dengan kutipan box officenya yang menyebabkan Shaw Brothers Hong Kong berminat membuat filem Cina yang coraknya seakan-akan sama.
Berikutan kejayaan yang dicapai oleh "Permintaan Terakhir," "Jiwa Remaja" dan "Sayang Anakku Sayang", Merdeka Film Productions begitu yakin "Cinta Dan Lagu", kalau diusahakan, boleh juga mendapat kejayaan box office.
Bagi mempastikan kecundang di box office tidak berlaku (disamping memperolehi pasaran baik di Indonesia), usaha telah dibuat membawa pelakon dan penyanyi Indonesia yang begitu popular ketika itu, Titiek Sandhora. Bagaimanapun, usaha tersebut gagal.
Kemudian perhatian beralih pula kepada Emilia Contessa, juga gagal. Dia sibuk dengan penggambaran beberapa filem, dan akhirnya Noor Azizah dipilih mengambil tempat yang dikosongkan oleh kedua penyanyi dan pelakon Indonesia itu.
Sebelumnya, Noor Azizah berherokan Zulkifli Zain dalam filem "Sayang Anakku Sayang" yang boleh dikatakan mendapat sambutan hangat, juga diarahkan oleh Jamil Sulong.
"Cinta Dan Lagu" filem bercorak musikal mengandungi 18 lagu kesemuanya, dan setakat ini belum ada satu pun filem Melayu (Malaysia) mempunyai sebegitu banyak lagu dan bercorak musikal sebegini.
Ini boleh diterima, sebagai satu pembaharuan telah dilakukan. Pada masa lalu, belum pernah dibuat iaitu sejak filem Melayu berkembang pesat pada tahun 1947 bermula dengan filem "Singapura Di Waktu Malam" yang diarahkan oleh B.S. Rajhans.
Percubaan nekad yang dilakukan oleh Merdeka Film Productions (Shaw Brothers) bagi menyamai filem bercorak musikal (bukan menyaingi) "West Side Story" dan "The Sound Of Music", patut dipuji.
Apabila selesai menonton previewnya, dalam penilaian saya (pada masa itu), persembahannya sangat baik, menarik dan tidak mengecewakan, dalam ertikata sebagai filem musikal yang sederhana bentuknya.
Pembaharuan yang dibuat dianggap berjaya, tetapi kalau mahu dibandingkan dengan "West Side Story" dan "The Sound Of Music", tentulah tidak masuk akal.
Yang menjadi persoalan dalam benak saya, apakah filem musikal sebegini akan memenuhi selera dan citarasa penonton-penonton Malaysia yang meminati filem Melayu?
Jawapannya saya perolehi kemudian. Belum lagi. Ini kerana sambutannya di box office tidak begitu baik dan tidak memerangsangkan.
Tradisi dan kelaziman filem-filem bercorak musikal, apa yang selalu dihidangkan hanyalah nyanyian belaka.
Gembira menyanyi, berduka menyanyi, bermain menyanyi, bergurau menyanyi, merajuk menyanyi, memujuk menyanyi, cemburu menyanyi, marah menyanyi, sakit menyanyi, menyanyi, menyanyi, menyanyi dan terus menyanyi.
Itulah yang berlaku kepada "Cinta Dan Lagu," dari mula hingga tamat.
Cerita dikatakan disadur, sesuaikah?
Sesuai. Berlaku disebuah perkampungan (Melayu) nelayan.
Plot cerita begitu simple. Siapa penulisnya, tidak tercatat di credit title dan tidak penting. Yang pasti ia dipadankan dari filem musikal Cina (Shaw Brothers Hong Kong) yang hingga kini tidak dapat dikesan tajuknya.
Tidak seperti "Permintaan Terakhir" dari filem "Susanna" dan "Jiwa Remaja" dari filem "Dead End".
Dailog, bagaimana pula?
Bernas, pendek, tepat dan berkesan.
Pemilihan pelakon menepati karekterkah?
Ya, menepati.
Salah satu kekuatan "Cinta Dan Lagu", banyak bergantung kepada karekter Noraini. Kalau gagal ditangani dengan baik, gagallah filem ini.
Noor Azizah ("Di Malaysialah, bodoh!...") dipilih bagaikan 'bidan terjun'. Begitu pun juga, lakonannya tetap baik dan memuaskan. Perfect, kata orang putih. Susuk badannya, bersesuaian dengan karekter.
Gerak-geri, penuturan dialog, tarian dan nyanyian (suara Salamiah Hassan sesuai benar dengannya), menarik dan natural.
Bila berdepan dengan Hail Amir, rajuk dan manjanya menyentuh perasaan. Bila diusik oleh Yusof Haslam, marah dan sindirnya mencuit hati.
Ini disebabkan, Noor Azizah sudah lama dan banyak pengalaman dalam filem, sejak di MFP Jalan Ampas lagi, bermula dengan filem "Dayang Senandong" juga diarahkan oleh Jamil Sulong.
Bila difikir-fikirkan balik, jelaslah sudah, kegagalan Jamil Sulong mendapatkan penyanyi dan pelakon Titiek Sandhora dan Emilia Contessa, ada hikmahnya.
Noor Azizah telah membuktikan kemampuannya berlakon setaraf dengan dua bintang popular Indonesia yang dikehendaki itu, walaupun dia bukan penyanyi dalam ertikata sebenar-benarnya.
Pemilihan Hail Amir ("Dimanakah, suri hati...") sebagai heronya, juga tepat. Sangat sesuai dan kena pada tempatnya. Berpadanan dengan Noor Azizah.
Lakonannya (sebagai Zul), dalam adegan-adegan tertentu kelihatan sedikit lemah. Ini kerana, dia masih baru dalam filem. Belum biasa lagi, dan pertama kali berheroinekan Noor Azizah.
Ini filemnya yang kedua (sebagai hero) selepas berheroinekan Uji Rashid dalam filem "Jiwa Remaja", juga arahan Jamil Sulong.
Begitu pun juga, aksi pertarungan (campuran silat dan kungfu) yang diperlihatkannya meyakinkan dan realistik.
Tarian-tariannya pun menarik, ini tidak menghairankan kerana dia sememangnya penari, penari Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan.
Peranan ketiga penting, Malek ("Oh, loyar buruk ya!..."), yang dibawakan oleh Yusof Haslam, memang padan dengannya. Nampaknya dia sesuai sangat berperanan jahat atau crook, kena pula dengan pasangannya, M. Shahdan, yang membawa peranan Mat Temberang, orang suruhannya yang patuh dengan arahannya.
Suara Shagul Hamid yang digunakan oleh Yusof Haslam ketika menyanyi, pun sesuai dengannya.
Pelakon-pelakon lain, Norzie Nani ("Betulkah, Aini?..."), Jamil Sulong, Said Manaf dan Norizan turut berperanan baik menurut karekter, menjadikan filem ini lebih mantap.
Tarian-tarian Normadiah, menarikkah?
Tarian-tarian ciptaan Normadiah, bertepatan dengan lagu dan musik oleh Johari Salleh. Sungguhpun begitu, kadangkala tergerencat juga kerana ada tarian penari-penarinya (semacam mahu tidak mahu menari) tidak tersusun kemas, ertinya kelamkabut.
Sebagai contoh, boleh dilihat dalam klip YouTube "Sepinya Hati Sesepinya Malam Sunyi" dan "Alangkah Senang Hai Mata Memandang".
Pada hal, salah satu elemen filem bercorak musikal yang patut dipatuhi ialah, tarian misti sempurna seiring dengan musik dan lagu.
Musik dan lagu Johari Salleh, berhasilkah?
Musik dan lagu, yang dianggap kekuatan utama filem ini, memperlihatkan pencipta dan penggubah lagu Johari Salleh berjaya menghasilkan lagu-lagu (berbagai irama dan rentak) berdasarkan kisah percintaan Zul dan Aini di sebuah perkampungan nelayan.
Cuma, musiknya (ramai pemusiknya dikalangan angguta Orkes RTM) kurang menyengat. Nampak amateur kalau dinilai dalam kontek sesebuah orkestra.
Sekiranya dimainkan dengan 'full orchestra' sebagaimana yang terdapat kepada Orkestra RTM hari ini, kemungkinan kualitinya lebih baik lagi.
Sungguhpun, Johari Salleh tidak boleh menyaingi kehebatan pemusik Rogers And Hammerstein dan Leonard Bernstein, namun apa yang telah dihidangkannya sudah boleh dikira memuaskan.
Nyanyian oleh Salamiah Hassan, Hail Amir, Ahmad Jais, Rohani Aziz, Andre Goh dan Shagul Hamid menarik dan menghiburkan terutamanya lagu "Berdebar-debar Rasa Hati," "Sepinya Hati Sesepinya Malam Sunyi", "Alangkah Senang Hai Mata Memandang" dan "Ku Titiskan Airmata Rindu".
Fotografi Kwong Hon Lok, cantikkah?
Ya, memang cantik. Penggambaran yang dilaksanakan dalam warnawarni Eastmancolor dan berbidang luas MerdekaScope benar-benar memberi nyawa kepada filem ini.
Angle (sudut) fotografi yang diperlihatkan (terutama bunga yang berkembang, celah pokok yang menghijau, pantai yang memutih dan laut yang tenang) sungguh menarik dan mempersonakan.
Maklumlah, juruteknik filemnya didatangkan khas dari Hong Kong yang sudah tentu sangat berpengalaman dalam hal-hal perfileman.
Tambah menarik, apabila ia disunting dengan cukup kreatif oleh Salehan Shamsuddin (S. Salehan) yang banyak pengalaman.
Bagaimanapun, ini semua hanya dapat dirasakan, apabila menonton di panggung wayang bukannya di tv, dvd atau vcd.
Make-up A.V. Bapat, berjayakah?
Kurang berjaya. Sebab, kebanyakan penggambaran dilakukan diluar studio, tidak dalam studio seperti di MFP dan Merdeka Studio, yang mana ini sudah pasti melunturkan kecantikan make-up terutama yang melibatkan Noor Azizah.
Kostumnya, okkah?
Apa yang boleh saya katakan, telah diabaikan. Akibatnya kurang menarik, kurang sempurna.
Lirik Jamil Sulong, masih baikkah?
Tidak dapat disangkal lagi. Sentuhan ajaibnya di MFP, tidak pudar di Merdeka Film Productions. Sama kuat dengan lirik yang dihasilkannya untuk filem "Penarek Becha", "Hang Tuah" dan "Semerah Padi".
Kalau tidak percaya, dengarlah lirik lagu "Alangkah Senang Hai Mata Memandang," versi Ahmad Jais dan Salamiah Hassan.
Kesimpulannya?
Sungguhpun hanya mengambil masa lebih sedikit dua bulan untuk menyudahkannya pada keseluruhannya, "Cinta Dan Lagu" menarik, seronok dan menghiburkan.
Lebih dari itu, ada kelainannya.
Kerana kelainannya itulah (setelah sekian lama, hampir 36 tahun) menyebabkan filem seperti ini tidak pernah ada.
Mungkinkah ada lagi filem coraknya seperti ini?
Jawabnya, pasti ada. Boleh dibuat. Jika punya kemahuan dan kesedaran.
Kalaulah KRU Studio (Norman, Yusry dan Edry), Metrowealth (David Teo) dan Excellent Pictures (Ahmad Idham) dapat melahirkan filem musikal seperti "Cinta Dan Lagu" ini, alangkah baiknya.
Janganlah asyik sangat, filem hantu saja diutamakan.
PELIK TETAPI BENAR___
Selepas selesai menonton previewnya, saya pergi menemui Jamil Sulong berjabat tangan dan berkata: "Tahniah, bang Jamil. Bagus."
Jamil Sulong tersentak dan menjawab sinis: "Bagus?..."
Saya juga tersentak dan tidak mengerti dan faham. Tentu ada sesuatu yang tidak kena kenapa Jamil Sulong berkata begitu. Pendek, tetapi penuh makna.
Tahu sajalah. Jamil Sulong, bukan senang dapat menyelami hatinya. Apatah lagi untuk mengetahui sebab musababnya dia berkata demikian. Justeru itu, saya tidak mahu bertanya.
Tetapi saya dapat agak, mungkin kerana ketidakpuasan hatinya tentang hasil filem tersebut yang banyak bersandar kepada juruteknik filem Hong Kong yang sudah pasti apa yang dikehendakinya (kreativiti) sebagai pengarah terhadap filem tersebut, banyak yang tidak tercapai.
Mungkin Jamil Sulong sudah lupa peristiwa tersebut, tetapi saya tetap ingat dan tidak pernah lupa.
Lama kemudian baru saya tahu sebabnya (14 tahun berlalu), apabila terbaca keluhan Jamil Sulong yang tercatat dalam buku karyanya, "Kaca Permata", terbitan Dewan Bahasa & Pustaka pada tahun 1990.
Catatannya: Setelah filem "Cinta Dan Lagu" ini siap penggambarannya saya membuat kesimpulan bahawa ia salah sebuah filem yang paling menjemukan kerana penuh dengan lagu-lagu yang membosankan. Ada pula lagu-lagu itu ditarikan pula. Rekod atau piringhitam yang dikeluarkan mengandungi sebahagian daripada lagu-lagu filem ini pun tidak mendapat sambutan.
Apa rasa hati Johari Salleh jika dia terbaca tulisan tersebut? Atau Hail Amir, Noor Azizah, Yusof Haslam dan semua yang terlibat lebih-lebih lagi Merdeka Film Productions sebagai pengeluar yang mahu melihat sesuatu pembaharuan dibuat terhadap filem Malaysia.
Seolah-olah filem "Cinta Dan Lagu" bukan arahan Jamil Sulong.
Kenapa jadi begitu, ya?
Pelik, tetapi benar.
Salamiah Hassan & Ahmad Jais
Rohani Aziz & Andre Goh
HARGA SENASHKAH: RM39.90 (162 Muka)
Beli Online Boleh Dapat Tandatangan Penulis
Emel: mar27843@yahoo.co.uk / Telefon: 012-3408117
HARGA SENASHKAH: RM69.90 (358 Muka)
Beli Online Boleh Dapat Tandatangan Penulis
Emel: mar27843@yahoo.co.uk / Telefon: 012-3408117
Tinggal Sedikit Sahaja Lagi
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA
* SINGAPURA DI WAKTU MALAM * CHEMPAKA
* DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU
* PONTIANAK * SUMPAH ORANG MINYAK
* SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH
* BAYANGAN DI WAKTU FAJAR * JAMBATAN MAUT
* LAIN JALAN KA-SHORGA * GELORA * THE LONG HOUSE
* PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * SHANE
* CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON
* TIGA DARA * CINTA PERTAMA * TENGKORAK HIDOEP
* SAYANG ANAKKU SAYANG * MENANTI HARI ESOK
* SIAPA SALAH? * PERJODOHAN
* SEMERAH PADI * SI TORA HARIMAU JADIAN
IRAMA & LAGU___
* CINTA DAN LAGU - Pembukaan (Instrumental)
* ANGIN BERTIUP MEMBELAI (Salamiah Hassan & Beramai)
* NUN DISANA PERAHU NELAYAN (Salamiah Hassan & Beramai)
* JANGANLAH ADIK INGIN BERLAGAK
(Hail Amir Salamiah Hassan & Beramai)
* SESPINYA HATI SESEPINYA MALAM SUNYI
(Hail Amir Salamiah Hassan & Beramai)
* ALANGKAH SENANG HAI MATA MEMANDANG
(Hail Amir Salamiah Hassan & Beramai)
* LA-LA-LA-LA-LA (Shagul Hamid & Beramai)
SELENDANGKU DITIUP ANGIN
(Salamiah Hassan Shagul Hamid & Beramai)
SUDAH DAPAT SEPAKAT KATA SEPAKAT
* (Salamiah Hassan & Hail Amir)
* BAIK WAHAI MANIS SEKARANG KITA MULAKAN
(Salamiah Hassan Shagul Hamid Andre Goh
Rohani Aziz & Beramai)
* SAYALAH BUSU (Beramai)
* CUKUP SUDAH (Beramai)
* DIMANA TEMPAT HATI BERMANJA (Hail Amir & Rohani Aziz)
* BERDEBAR-DEBAR RASA HATI (Hail Amir & Salamiah Hassan)
* MALAM INI TIDAK BERBINTANG (Salamiah Hassan)
* KU TITISKAN AIRMATA RINDU (Salamiah Hassan)
* JIKALAU TIDAK KERANA BULAN - Penutup
(Hail Amir Salamiah Hassan & Beramai)
* Ciptaan, gubahan & pimpinan: JOHARI SALLEH
* Senikata: JAMIL SULONG
* Iringan musik: ORKES RTM
# Dalam filem semua lagu nyanyian Hail Amir menggunakan suaranya sendiri. Dipiringhitam suaranya digantikan dengan Ahmad Jais. Ini berlaku kerana, mengikut kontrak dengan syarikat piringhitam EMI, dia tidak boleh merakamkan lagu dengan syarikat piringhitam lain. Apapun, suara antara Hail Amir dan Ahmad Jais tidak banyak bezanya.
# Antara 18 lagu yang terdapat dalam "Cinta Dan Lagu" hanya satu saja tidak termuat dalam album "Cinta Dan Lagu" keluaran syarikat piringhitam LIFE, "Sepinya Hati Sesepinya Malam Sunyi".
# Ketika penggambaran "Cinta Dan Lagu", Hail Amir baru saja mengeluarkan EPnya dengan EMI mengandungi empat lagu bersama Ahmad Nawab - "Wajah Kesayangan Hamba", "Kasih Dan Sayang", "Bukan Jodoh Bukan Suratan" dan "Cinta Bukan Hayalan."
Nun Di Sana Perahu Nelayan
Angin Bertiup Membelai
Janganlah Adik Ingin Berlagak
Sepinya Hati Sesepinya Malam Sunyi
Alangkah Senang Hai Mata Memandang
"SEPINYA HATI SESEPINYA MALAM SUNYI"
"SEPINYA HATI SESEPINYA MALAM SUNYI"
Sepinya hati sesepinya malam sunyi
Pedih rasanya hidup ku seorang diri
Apa dosa ku hai diseksa begini
Dimanakah suri hati
Yang selalu menghibur
Sepinya hati sesepinya malam sunyi
Pedihnya rasa hidup ku seorang diri
Apa dosa ku hai diseksa begini
Dimanakah suri hati
Yang selalu menghibur-hibur
Penawan hati ada sembunyi disini
Sedang melayan duka hatinya sendiri
Oh kekasih sayang
Kalau aku bersalah
Duhai kasih duhai sayang
Sila maafkan daku
Suara apa ku dengar sedang merayu
Menyayat kalbu menyatakan rasa pilu
Sakit dicari ubatkanlah sendiri
Ku tak pandai nak menunai
Apa guna simpan jambangan
* Penyanyi filem: Hail Amir, Noor Azizah & Beramai
* Penyanyi suara: Hail Amir, Salamiah Hassan & Beramai
* Pencipta lagu: Johari Salleh
* Lirik: Jamil Sulong
* Iringan musik: Orkes RTM
La-La-La-La-La-La
Selendangku Di Tiup Angin
Sayalah Busu
Cukup Sudah
Alangkah Senang Hai Mata Memandang (Album)
Berdebar-debar Rasa Hati (Album)
(Sumber: WaeMesul)
FAKTA___
* Tajuk asal "Cinta Dan Lagu," "Lagu Dan Cinta." Ia cuma diterbalikkan saja. Dan, "Cinta Dan Lagu" lebih baik dibandingkan dengan "Lagu Dan Cinta".
* Kali pertama Hail Amir dan Noor Azizah digabungkan sebagai hero dan heroine. Kali keempat Noor Azizah berlakon dibawah arahan Jamil Sulong sesudah "Dayang Senandong", "Raja Bersiong" dan "Sayang Anakku Sayang".
* Kali kedua Hail Amir sebagai hero selepas "Jiwa Remaja" berheroinekan Uji Rashid. Dia turut berperanan pelakon tambahan dalam "Permintaan Terakhir".
* Filem kelima diarahkan oleh Jamil Sulong di Merdeka Film Productions selepas "Lain Jalan Ka-Shorga", "Permintaan Terakhir", "Jiwa Remaja" dan "Sayang Anakku Sayang".
* Beberapa hari sebelum filem ini dimulakan penggambaran, Jamil Sulong jatuh sakit dan di masukkan ke Hospital Assunta di Petaling Jaya.
* Selain Titiek Sandhora dan Emilia Contessa dari Indonesia, turut mendapat perhatian sebagai Noraini, Jenny Rachman, Yanti Octavia, Tanty Josepha dan Widyawati.
* Penggambaran "Cinta Dan Lagu" dilakukan di Port Dickson, Pulau Besar dan Serkam di Melaka serta Taman Bunga dan Kepong di Kuala Lumpur.
* Turut terlibat sebagai pengarah filem (tidak tercatat di credit title) Nas Achnas. Dia kemudian menjadi pengarah bersama filem "Loceng Maut".
* Jamil Sulong, sebenarnya pengarah filem kedua. Pengarah filem pertama Lo Jun dari Hong Kong. Ini tercatat dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Merdeka Film Productions semasa preview filem tersebut di panggung wayang Capitol.
* Johari Salleh terpaksa mengambil cuti 2 bulan dari RTM untuk mencipta lagu-lagu untuk filem ini.
* "Cinta Dan Lagu" merupakan satu-satunya filem Johari Salleh mengambil tanggungjawab sebagai pencipta lagu.
* Antara begitu banyak lagu, "Berdebar-debar Rasa Hati" begitu popular dan diminati ramai hingga ke hari ini. Dua lagi yang boleh dianggap menarik, "Sepinya Hati Sesepinya Malam Sunyi" dan "Alangkah Senang Hai Mata Memandang". Liriknya pun disusun dengan begitu baik sekali.
* Norma Yuzie yang terkenal dengan keseksiannya, turut membintangi filem ini sebagai penari, teman Noor Azizah. Dia yang berperanan jahat dalam "Pendekar," juga dibintangi Noor Azizah, meninggal dunia di Batu 2, Jalan Gombak, Kuala Lumpur akibat kemalangan kereta (tidak jauh A.R. Tompel dilanggar kereta) pada 19 Julai 1977.
* "Cinta Dan Lagu" dihantar menyertai Festival Filem Asean Ke-6 di Manila, Filipina pada bulan November 1976, tetapi gagal meraih sebarang anugerah. Noor Azizah mewakili Malaysia.
* Norzie Nani diperkenalkan oleh Jamil Sulong dalam "Permintaan Terakhir". Ini filemnya yang ketiga bersama Jamil Sulong. Satu lagi "Jiwa Remaja", turut dibintangi oleh Hail Amir, Uji Rashid dan Yusof Haslam.
* Empat pemegang peranan penting dalam filem ini telah meninggal dunia - Norzie Nani, Said Manaf, Norizan dan M.Shahdan. Pengarah pula, Jamil Sulong.
# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.
ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI:
GELORA (1970)
hanya sesuai untuk orang dewasa saja.
RASHOMON (1950)
filem akira kurosawa yang sukar ditandingi.
CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff.
SHANE (1953)
salah satu filem koboi yang paling saya sukai.
No comments:
Post a Comment