"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc
Showing posts with label finas. Show all posts
Showing posts with label finas. Show all posts

Saturday, January 11, 2014


LAYAR KITA












Oleh FADLI AL-AKITI
(TontonFilem, 31 Disember, 2013)


RAJA ROZAIMIE (KETUA PENGARAH FINAS) & DAVID TEOH

GEORGE LUCAS & BRAD PITT

THE HOBBIT & TOKAN

(Sumber: ColliderVideos)

(Sumber: MetroWealthPictures)






"Layar kita teroleng-oleng sendiri,
ditibai angin.
Lagi kita masuk ke dalamnya,
lagi menangis dengan takdirnya.
Dan keadaan sekarang semacam kita,
tidak dapat berbuat apa-apa."


Baru-baru ini aku melepak dengan seorang tersohor intelektual filem. Seorang rakan bertanya tersohor itu, "Dalam keadaan wayang Malaysia tenat sekarang, apa perkara penting yang kita perlu lakukan untuk menyelamatkannya?"

Tersohor itu dengan selamba menjawab, "Tukar kerajaan."

Ada banyak persoalan mengapa jawapan itu diberikan oleh tersohor itu (mungkin tersohor itu sengaja menyindir atau menyampaikan: Sistem yang ada sekarang sudah jelas gagal, ubah sistemnya).

Hal ini mungkin menggigit tetapi berkaitan. Jika benar, kita juga bertanya, ada berapa perkaitan kroni, anak sendiri, kawan sendiri, dan mereka yang patuh dan tunduk di bawah tapak kaki sang menteri nan berkait dengan gerak tindak permintaan seorang menteri, jika benarlah hal ini sedang dan masih juga berlaku.

Hal ini juga bertanya berapa ramaikah menteri-kroni-anak-kawan-penunduk yang syok sendiri dan menuding tunjuk arah walaupun tidak faham apa-apa pun tentang layar dan wayang.

Hal ini ditanya kerana kita juga ingin bertanya, jika ada cadangan-cadangan bernas dan patut untuk industri ini daripada orang bawahan bijak yang tidak sampai lalu dicantas oleh kroni-anak-kawan-penunduk, adakah sikap pilihan dan menutup dulang yang menentang.

Kalau tidak silap aku, aku pernah dengar, itulah yang diperlakukan kepada Benjy anak arwah Azean Irdawati apabila dia berjuang untuk pembayaran jenis royalti untuk lakonannya. Tiada sesiapa mahu mengambilnya kerana itu selepas itu. Lalu dia terpaksa lakukan hal-hal lain untuk mencari sumber rezeki.

Benarkah perkhabaran ini?

Namun persoalan menarik, menteri suatu hal, tetapi si penyampai kandungan itu suatu hal pula.

PEMBIKIN FILEM

Aku sampaikan cerita itu dalam FB aku. Ada yang bersetuju dengan pendapat tersohor itu. Ada yang menentang habis-habisan, ini jawapan-jawapan yang membuka mata:

"Aku pula rasa - penerbit dan pengarah filem di Malaysia semakin tak best dan tamak sehingga mewujudkan lambakan filem Melayu. Tak ada sangkut pautnya Kerajaan dengan kerja bikin filem."

"Kerana Finas kasi duit lalu semua orang nak buat filem, lepas tu buat filem macam celake! Finas sepatutnya tak perlu wujud pun.

Bayangkan, kalau David Teoh adalah Finas - agak-agak apa filem yang kita akan dapat tengok? Katakanlah, kita ambil U-Wei jadi menteri atau KP Finas - agak-agak dia 'block' tak filem-filem David Teoh, Pansha, or Rochang Nor? Di Indonesia tak ada Finas pun. Tetapi filem mereka banyak yang best."

"Yang jaga filem sebenarnya patut dipertanggungjawabkan kepada pembikin filem. Buat filem pun macam celake, lepas tu nak juga minta ditayangkan di pawagam."

"Untuk mengubah senario filem tempatan;

1. Penerbit filem jangan tamak haloba,
2. Pembikin filem buat filem yg betul-betul best saja,
3. Pembikin filem kena tahu bezakan apa itu filem dan apa itu telemovie untuk TV dan apa itu drama TV.
4. Majukan industri filem pendek."






"Kita nak tukar Kerajaan atas sebab yg lain, ini ok. Sebagai ilmuan, (tersohor itu) tak sepatutnya berkata begitu, ini memperlihatkan sisi bodohnya.

Kalau kita tukar Kerajaan pun, si bodoh pembikin filem sedia ada akan tetap buat filem bodoh juga. Percayalah! Jadi, tukar Kerajaan tak akan menukar senario filem kita."

"Finas tak perlu wujud. Biarkan pemain industri bersaing sesama mereka. Ha hah, masa tu baru kau akan tengok mereka nak buat filem main-main ke, tak!!!"

"Wajib tayang tak perlu wujud. Ha hah, masa tu baru kau akan tengok mereka tak akan buat filem lagi dah, dan kita akan dapat tengok "Captain Phillips" berulang-ulang kali, selama 3 bulan, ha... ha..."

"Pandangan aku bab filem tak boleh harap pada kerajaan, kerajaan apa pun. Melainkan orang filem belajar berdikari, jangan bergantung pada wajib tayang. Bersaing dengan kualiti.

Bebaskan industri kreatif. Tak payah rajin sangat nak menapis. Musuh kebebasan akan jadi musuh pasaran."

"Industri filem tenat, kerana pemikiran playernya tenat. Tidak kreatif dan innovatif. Terlalu bergantung pada yang ada. Tidak mahu, 'think out of the box'. Tidak mahu duduk sepakat. Cari satu jalan untuk mentarbatkan industri. Masing-masing buat hal sendiri."

Saya setuju dengan semua reaksi kawan-kawan itu.

Baru-baru ini, ada kawan yang mengeluh. Dia dibayar ciput untuk mengarah sebuah 'telefilem' dan tup-tup, telefilem itu dibawa ke layar. Dia naik malu nak promo pun 'filem' tu.

Penerbit sekarang berani bayar ciput supaya pengarah dan kru buat ala-kadar dan ala-kadar ini ditayangkan, dan lantas 'buat duit juga apa', lalu sistem 'buat duit' ini diteruskan dan diteruskan.

David Teoh merupakan antara pendorong pembikinan sistem sebegini. Tapi celake-celake David pun, belanja sebuah filemnya RM500,000, sebuah pembikinan, dan sekurang-kurangnya dia sedang mencuba membikin beberapa yang 'bolehlah cuba masuk pertandingan' walaupun setakat ini tersasar dan masih indah khabar dari rupa.

Bagi aku, orang macam David Teoh ni patut sumbang sejuta dua untuk para pembikin muda/lama yang mau bikin filem eksperimental/sendiri/art-house dan bagi pengarah itu buat filem mereka sebagai amal jariah.

ORANG KEBANYAKAN

Inilah yang dibuat kadang-kadang oleh beberapa penerbit macam Brad Pitt, Robert Redford, George Lucas dan Harvey Weinstein. Kalau tidak, Terence Mallick dan Stanley Kubrik takkan dapat buat filem lagi.

Hal ini pun berkenaan perbincangan aku di Sudut Pandang Astro Awani bersama Hasnul Rahmat, Rewan Ishak, dan Fikri. Teapi aku sedar sesuatu, cakaplah apa kau nak cakap, harga barang naik, penonton peduli apa?

Penonton hanya bena untuk membeli filem yang dia puas dalam keadaan terdesak sekarang. Dari RM12, baik dia tonton Jackie Chan yang tentu mesin bintang itu cukup serba-serbi aksi dan kepuasan daripada tertanya-tanya jika "Cikaro" atau "Tokan" dapat memberikannya kepuasan, judul saja pun dia dah tak tahu apa isi filem tu.

Apatah lagi dengan sekuel "The Hobbit" 3 jam yang sah-sah berbaloi dengan CGI tinggi kalau nak banding dengan filem cikai Malaysia durasi bawah 2 jam.

Ya, keduanya, persepsi orang masih belum berubah, walaupun kita sudah ada dulu dengan "Pemburu", kemudian "Kaki Bakar", "Layar Lara", dan terkini, "Songlap".

Kesian layar kita sekarang. Era depresi-ekonomi merosot 1930an orang putih ke pawagam kerana tiket murah sedangkan harga barang tinggi. Orang kebanyakan dapat lepaskan sakit jiwa mereka dengan senyum tawa watak sebalik layar.

Malaysia sekarang? Harga barang tinggi. Harga tiket pun tinggi. Kau ingat mereka senang-senang nak beli dan tonton "Cikaro" atau "Tokan"?

Aku suka dengan sikap Rewan dalam Sudut Pandang malam tu. Dia bersikap positif, penilaian baik dan buruknya filem harus diubah, bukan terletak bawah persoalan keuntungan ekonomi semata-mata tetapi kepuasan dan reaksi penonton terhadapnya (dan dia tidak pun bercerita tentang anugerah). Ini sikap yang benar terhadap seni, dan harap-harapnya sedikit demi sedikit disedari.

Namun, berapa ramaikah yang mahu terimpi dengan hal begitu?

Apa yang salah dengan sistem kita sekarang?

Sampai hari ini, kita masih bertanya, dalam Festival Filem Malaysia, apakah maksud cerita asal dan apakah maksud lakonlayar? Jelas dan fahamkah Malaysia, hal ini hanya berlaku di Malaysia?

Sila rujuk penganugerahan antarabangsa jika hal itu ada.

Kemudian, kita terdengar cerita bagaimana ada pengarah tersohor yang ambil lakonlayar penulis lalu menjadikannya 'shooting script' dan dipanggilnya: lakonlayar. Inilah dosa filem kita yang sampai sekarang dibiarkan berleluasa.






Aku teringat dengan adaptasi filem "The Exorcist" William Peter Blatty yang mana pengarahnya, William Friedkin, mengarahkan sang penulis agar jangan terlalu 'ambitious' dan tulis lakonlayarnya mengikut novelnya. Blatty mengikut tetapi masih cuba-cuba sampaikan imejan lain.

Friedkin ubah draf itu pada 'final script' lalu pada 'shooting script' (skrip yang dibuat oleh pengarah untuk masukkan setiap teknik syot kamera dan latar dengan penuh, kerja ini hanya dilakukan oleh pengarah saja dan memang tanggungjawabnya, intepretasinya) dan 'papan cerita'.

Tetapi sewaktu kredit, Friedkin tetap pengarah dan Blatty ialah 'penulis lakonlayar'.

Berapa ramaikah pembikin filem yang melakukan hal ini?

Persatuan filem kita juga masih lemah, baik bernama Seniman, penerbit, pengarah, dan setentunya Penulis. Kita tidak nampak mana-mana Guild lagi dicipta.

Bagi aku, persatuan yang sedia ada ini macam persatuan main-main, yang aku bayangkan seperti satu taman permainan yang alat kelengkapannya sudah ralat dan rosak tapi masih ada yang mahu bermain lagi.

Dan mereka senang dan tuli saja dengan arahan permintaan dan permainan penerbit, menarik dan menolak mereka apabila perlu. Di manakah hak seorang penulis, pelakon, kru dan pengarah yang sebenar-benarnya?

Setakat yang aku lihat, penulis lakonlayar di Malaysia ini yang paling bangsat hidupnya. Dipermain-mainkan kiri dan kanan, baik penerbit mahupun pengarah.

Mereka tidak ada hak royalti, dibayar sekali saja apabila 'siap kerja' dan kerjanya itu kadang-kadang ditarik jadi 'lakon layar' oleh pengarah.

Tanya sahajalah penulis skrip sebenar filem "Embun" dan mengapa sampai sekarang dia sudah tidak ambil pusing dengan dunia filem ini. Sebuah penerbit besar melakukan hal ini:

Mereka mengambil hak cipta penulisan seorang penulis dengan suatu bayaran yang kononnya lumayan (bayar sekali saja) lalu atas hak penerbit itulah untuk menjadikan skrip itu drama atau filem atau filem kemudiannya drama, di sinilah terbentuknya sistem 'Panel Skrip' tersebut.

Permainan ini terus saja diteruskan tanpa apa-apa bantahan, kerana dengan mudah, penulis hanya mahu cari makan, tidak berani melawan.

Hidup yang bangsat, bukan?

Di Amerika, kita dapat melihat bagaimana nama seperti Alan Ball diangkat menjadi sesuatu. Bayangkan, penulis itu kuat, lalu filemnya atau dramanya meletup.

Orang mula mencarinya, meminta nasihatnya untuk mengubah bentuk cerita suatu drama, menjadi perunding, atau mohon cerita baru.

MENJADI PENERBIT

Lalu dia diberi ruang untuk menjadi penerbit (Joss Whedon antara yang paling terkenal). Si penulis/penerbit inilah yang membentuk konsep suatu cerita. Dan dramanya berjaya. Lalu si penulis diberi peluang kadang-kadang pula mengarah atau menerbit filem pula.

Penulis mereka diangkat pada suatu ruang yang tinggi. Penulis menyampaikan idea, dan idea ini digarap dan diperkembangkan.

Kini aku ingin bertanya, berapa banyak tangankah yang mengacau suatu cerita milik penulis di Malaysia? Kenapa persoalan ini terjadi? Adakah penulis kita rata-ratanya bodoh dan lemah?

Mungkin itu puncanya.

Mungkin kita masih tak ramai penulis yang baik? Atau penulis yang baik ada tetapi dipermain-mainkan oleh penerbit dan pengarah sampai dia merajuk untuk melayar lagi dalam perjuangan pembikinan?

Setiap satu jujukan profesi ini semacam tidak terkembang lalu duduk dalam ruangnya masing-masing. Hanya kadang-kadang saja, sang pelakon akan menulis dan mengarah filem, dan kadang-kadang jadi penerbit. Itulah kitaran yang berlaku dalam dunia filem kita.

Jika setiap jujukan itu tidak pandai menjaga pertimbangan manusiawi dan kebajikan hak setiap jujukan lain itu, percayalah, tidak akan terjadi suatu perubahan. Dan percayalah, penonton tidak ada masa untuk itu.

Mereka hanya mahu menonton hasil yang baik dan puas untuk mereka habiskan separuh duit gaji mereka, pada era semuanya barang mahal dan mencengkam mereka sekarang.


# Artikel ini diedit oleh Zaini Yusop untuk disesuaikan dengan cara dan corak FKM. Diharap Fadli tidak berkecil hati.






# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?






KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.




Tuesday, December 18, 2012


FFM25 & FFM26 SERENTAK

ADUHAI, APA SUDAH JADI DENGAN FINAS & GAFIM?
Dipadankan Dari Tulisan Abd.Aziz Itar
Utusan Malaysia, 12 Disember 2012
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


Poster FFM25

Ketua Pengarah Finas, NAGUIB RAZAK


Sidang Media Pelancaran FFM25
(Sumber: Cinemamalaysia)

Jins Shamsudin memenangi banyak anugerah kerana "Tiada Esok Bagimu", disamping Azean Irdawati yang menang kerana "Esok Masih Ada" di FFM1, 1980

Rahim Razali, Fauziah Ahmad Daud dan Azmil Mustapha dengan anugerah yang mereka menangi kerana "Matinya Seorang Patriot" dan "Ali Setan" di FFM6, 1985

Afdlin Shauki begitu gembira dengan tiga anugerah yang dimenangi oleh filem arahannya bercorak komedi "Papadom" di FFM22, 2009

Atas: Lisa Surihani dengan anugerah yang dimenanginya kerana "Legenda Budak Setan." Bawah: Norman dan Edry dengan anugerah yang dimenangi "Magika" di FFM23, 2010

MUKADIMAH___
Oleh Zaini Yusop
Berilhamkan Tulisan Amy Ikram

TAHUN ini, 2012, semua penggiat filem Malaysia termasuk pengarah, pelakon, penulis skrip, jurugambar, jurusunting dan sebagainya tidak akan dihargai sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

Penghargaan sedemikian selalunya dilakukan dalam satu upacara penuh gilang-gemilang berprestij tinggi yang dikenali sebagai Festival Filem Malaysia (FFM).

Festival Filem Malaysia buat pertama kalinya dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) yang dipegerusikan oleh Norshah Thamby pada bulan April tahun 1980, kemudian disusuli Festival Filem Malaysia Ke-2 (FFM2) tahun berikutnya, 1981.

Selepas FFM2, FFM3 dan seterusnya (FFM4 dan FFM5) dikelolakan pula oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Selepas itu, Finas bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang diwujudkan atas inisiatif Zain Haji Hamzah (Ketua Pengarah Finas) - mulai FFM6 (1986) hingga FFM24 (2011).

MENGENEPIKAN GAFIM

Gafim (pada masa itu) dianggutai oleh tujuh buah persatuan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Penajanya terdiri dari:

* Jins Shamsudin - Presiden
Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM)
* Norshah Thamby - Timbalan Presiden/Setiausaha
Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA)
* A. Rahman Hassan - Penolong Setiausaha
Persatuan Penyanyi Tanahair (PAPITA)
* Mustaffa Haji Ton - Bendahari
Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM)
Ahli Jawatankuasa (AJK)
* Mustafar A.R.
Persatuan Wartawan Filem Malaysia (PWFM)
* Aimi Jarr
Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA)
* Ahmad Daud
Persatuan Penyanyi Tanahair (PAPITA)
* Zainuddin Zimbo
Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN)
* Tan Mutalib
Guild Of Advertising Film Producers Of Malaysia
* M. Daud
Pergerakan Gabungan Karyawan Filem Dan Budaya (PAKAR)

Kini, Finas cuba mengenepikan Gafim untuk menganjurkan FFM25, (sepatutnya masih bersama kerana Jubli Peraknya) dan mahu melaksanakan secara bersendirian yang telah ditetapkan tarikhnya pada 30 Disember 2012.

Khabarnya, Finas tidak menolak pembabitan Gafim dalam penganjuran FFM25, hanya berlaku sedikit salah faham. Jika benar begitu, baguslah.

Bagaimanapun, Finas terpaksa menangguhkan hingga ke satu tarikh lain (tahun 2013), dan ini bermakna, apakah tahun 2013 akan menyaksikan dua festival filem dibuat dua kali setahun iaitu FFM25 dan FFM26.

Untuk mengetahui apakah benar atau sekadar ramalan saja, sila baca artikel yang tersiar dalam Utusan Malaysia keluaran 12 Disember 2012, dengan dilakukan sedikit penyuntingan.











SIAPA TANGGUHKAN FFM25?___
Oleh Abd.Aziz Itar Tahun ini Festival Filem Malaysia (FFM) bakal menyambut Jubli Perak, penganjurannya buat kali yang ke-25. Festival yang asalnya dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia (EJA) pada April tahun 1980 itu telah banyak membantu menyemarakkan lagi industri perfileman di negara ini.

FFM seperti biasa bukan saja tidak pernah sunyi dengan kontroversi, malah FFM25 yang sepatutnya diadakan pada 30 Disember 2012 ini terpaksa dianjakkan tarikhnya pada tahun depan, 2013.

Paling teruk, difahamkan setakat ini, pihak penganjur belum menetapkan tarikh baru penganjuran FFM25 yang akan diadakan pada tahun depan itu.

Banyak masalah teknikal timbul menyebabkan festival filem setahun sekali itu yang dibuat gilang-gemilang, terpaksa ditunda tarikhnya.

Masalah-masalah yang dikemukakan antaranya daripada segi bajet (peruntukan kewangan) hingga kepada persiapan di saat-saat akhir yang membolehkan Finas sesak nafas dibuatnya.

MENYESUAIKAN TARIKH

Antara yang mencetuskan tandatanya, FFM25 ditunda kerana dikatakan mahu menyesuaikan tarikh individu-individu tertentu supaya dapat hadir bagi memeriahkan lagi malam anugerah penuh glamor itu nanti.

Paling kelakar, alasan lain yang diberikan ialah pada hujung tahun ramai penggiat perfileman Malaysia yang dikatakan sedang bercuti atau mempunyai urusan kekeluargaan lain.

Sebab itulah tarikh penganjurannya pada hujung tahun ini juga dikatakan tidak sesuai untuk golongan-golongan tersebut.

Sebenarnya, banyak masalah akan timbul apabila FFM25 ditangguhkan. Antaranya soal pencalonan filem-filem cereka yang semakin bertambah itu akan menyebabkan lambakan dalam penjurian festival filem tersebut kelak.









Malah, jika FFM25 diadakan pada tahun depan, maka bagaimanakah pula dengan FFM26?

Jika keadaan itu berlaku kemungkinan besar tahun 2013 akan menyaksikan dua festival filem iaitu FFM25 dan FFM26 akan diadakan pada tahun yang sama atau pun mungkin dibuat secara serentak.

Bayangkan untuk penjurian FFM25 tidak kurang 50 filem cereka telah menghantar pencalonan untuk dipertandingkan pada festival filem itu.

Kelewatan penganjuran FFM25 secara langsung juga boleh mengakibatkan berlakunya peningkatan kos penganjuran jika dua FFM diadakan dalam masa setahun.

Kalau itu berlaku, maka ini adalah kali pertama dalam sejarah FFM, FFM dianjurkan sebanyak dua kali dalam setahun.

Perancangan yang tidak betul terutama membabitkan tarikh pengajuran FFM juga akan menjejaskan program-program lain seperti sesi penjurian, tayangan filem, forum, seminar dan pelbagai lagi aktiviti yang biasanya dijalankan sebelum menjelangnya malam upacara penyampaian anugerah.

Sehubungan itu, Finas mahu pun Gafim seharusnya mempunyai perancangan yang lebih teliti supaya FFM kali ini berjalan dengan lancar, lebih teratur.

SEGELINTIR PIHAK

Sepatutnya dua pihak itu lebih mengutamakan kepentingan FFM itu sendiri daripada mengambil kira atau mahu menjaga kepentingan segelintir pihak yang lain.

Mereka seharusnya rasional dalam menangani isu remeh-temeh seperti itu. Dalam hal ini yang menjadi mangsa ialah pihak penerbit dan filem-filem yang mereka pertandingkan.

Karyawan filem lain seperti pengarah, penulis skrip serta pelakon juga terkena tempiasnya kesan daripada kelewatan penganjuran FFM25.

Paling utama setiap mereka terutamanya syarikat-syarikat produksi dan para pelakon yang terbabit sepatutnya memberi tumpuan kepada malam upacara penyampaian anugerah tersebut.

Malam itu adalah malam untuk meraikan serta mengiktiraf pembabitkan mereka dalam bidang filem yang diceburi itu.

Namun, mereka semua hanya akan menjadi mangsa jika FFM lebih mengutamakan pihak-pihak lain yang bukan merupakan pemain utama dalam industri filem ini berbanding mereka yang sebenar-benarnya layak untuk diraikan dan menerima pengiktirafan.



FFM23 (Sumber: LilunDeath90)


FFM24 (Sumber: MediaCapture2011)


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.


ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___

FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

NOSTALGIA FILEM MELAYU KLASIK
maklumatnya tepat atau mengelirukan

P. RAMLEE
and the golden era of malay cinema


ROH MEMBELA (1955)
kekuatannya special effect dan aziz sattar


CHEMBURU (1953)
banyaknya pelukan rosnani dan yusof latiff

THE LONG HOUSE (1957)
kalau pun ada, kita tidak dapat menontonnya


PONTIANAK (1957)
mencapai kejayaan box office luar jangkaan

PELANGI (1951)
filem pertama keluaran nusantara film

SERUAN MERDEKA (1947)
keganasan dan kekejaman jepun ditentang



FILEM-FILEM BARU DI PANGGUNG WAYANG___





















>


KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.