Tribute... Raja Idris Shah (17/8/1924-31/1/1984) Sultan Perak Berjiwa Seni (Update: 8/12/2016)

* Kalau Rindu * Semalam Di Subang * Cempaka Sari * Namamu Dibibirku * Pulau Pangkor >> Cerita Menarik Di FK. Tunggu...

Saturday, June 25, 2011


SINGAPURA DI WAKTU MALAM (1947)

FILEM PERTAMA SHAW BROTHERS SELEPAS PERANG DUNIA KE-2 Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


Siput Sarawak.

Iklan "Singapura Di Waktu Malam" yang terdapat dalam akhbar The Straits Times.

Bachtiar Effendi dan D. Harris.

Taman Hiburan Great World.

# Nota: Tiga gambar di atas diambil dari akhbar The Straits Times melalui laman web Perpustakaan Negara Singapura.

SHAW BROTHERS
Produser RUNME SHAW
Pengarah B.S. RAJHANS
Cerita BACHTIAR EFFENDI
Pelakon SIPUT SARAWAK BACHTIAR EFFENDI D.HARRIS

Tahun diedarkan: 1947 (15 November)
Masa tayangan: Tidak diketahui
Kedudukab filem: Hilang, sedang dicari


JALAN CERITA___

Kisah menggambarkan peristiwa dan suasana yang dialami oleh masyarakat Singapura pada tahun 1947 (selepas perang dunia kedua) di waktu malam yang indah dan permai terutama di taman-taman hiburan seperti Great World dan New World.

ULASAN FK___

Satu lagi filem Shaw Brothers yang boleh dianggap bernilai, hilang. Bagaimanakah corak persembahannya tidak diketahui. Saya sendiri tidak pernah menontonnya.

"Chempaka" dan "Pisau Berachun" ingat-ingat lupa, ada juga saya tonton. Tetapi filem ini blank langsung. Ketika ia mula ditayangkan umur saya baru 4 tahun.

Dengan hasrat untuk mengeluarkan filem bersesuaian dengan kehendak peminat filem Melayu di Singapura dan Malaya pada masa itu, Runme Shaw menyiapkan filem ini dalam bulan September 1947.

Tayangan pertama (tengahmalam) diadakan di Alhambra, Singapura pada 15 November 1947 dan telah mendapat sambutan hangat dan menggalakkan apabila keadaan panggung wayang penuh sesak. Tayangan hariannya pula bermula pada 20 November 1947.

Seperti tercatat dalam iklannya The gayest and the most uproarious Malay comedy romance! ia dipenuhi dengan nyanyian, tarian, lawak jenaka dan percintaan yang dikatakan sangat menghiburkan.

SEGALA KELEMAHAN

Merupakan filem pertama diusahakan oleh Shaw Brothers selepas perang dunia kedua, selain Singapura penggambaran dilakukan juga di Johor - Muar dan Segamat.

Dalam satu kenyataan akhbarnya Runme Shaw memberitahu, filem ini sebagai percubaan sejauh mana keberkesanan terhadap penonton dan segala kelemahan akan diperbaiki.

Peralatan perfileman akan diperbanyakkan, tekniksyen filem dan pelakon akan dilatih sebaik-baiknya supaya mereka benar-benar berpengalaman.

Boleh dikatakan, setiap iklan yang tersiar dalam akhbar The Straits Times tajuknya dalam Bahasa Inggeris "Night Time in Singapore" bukannya "Singapura Di Waktu Malam". Ini kadang-kadang mengelirukan.

Salah satu catatan dalam iklannya "NIGHT TIME IN SINGAPORE" Starring Siput Sarawak (Famed Screen Songster) and Bachtiar Effendi In Their Greatest Screen Debuts Yet! Shaw Bros.'s Sensational First Post War Production

Selain Singapura dan Malaya, filem ini turut ditayangkan di Indonesia (termasuk Sumatra), Thailand dan Borneo (Brunei, Sabah dan Sarawak).



SEDIKIT MENGENAI BACHTIAR EFFENDI

Dilahirkan di Rome, Itali pada tahun 1909. Bidang kehakiman matlamat orang tuanya tapi dia lebih condong ke filem.

Oleh kerana minatnya itu dia sanggup bekerja sebagai buruh kasar kemudian sebagai pembantu dekor di Tan's Film Coy.

Pada tahun 1930, Bachtiar Effendi berlakon dua filem bisu - "Si Ronda" dan "Melatie van Agam" yang diarahkan oleh Lie Tek Swie. Dia juga bertindak sebagai penolong pengarah.

Bila mulanya filem suara pada tahun 1931, dia diberi tugas mengarah filem "Nyai Dasima", dan tahun berikutnya dia menggantikan Anjar Asmara sebagai pemimpin majalah Doenia Film (Dunia Filem).

Pada tahun 1935, dia mengikut jejak Anjar Asmara menganggutai grup teater Dardanella sebagai pelakon.

Apabila Dardanella menghadapi masalah kemudian dibubarkan pada tahun 1936, Bachtiar Effendi dan Anjar Asmara menubuhkan pula grup teater Bolero.

Sepanjang pemerintahan Jepun, dia bersama isterinya (Suhara Effendi) tinggal menetap di Melaka hingga tahun 1945.

Pada tahun 1940, dia aktif berbolero di Singapura. Antaranya, di Stage Bolero (Queens) "Harimau Jantan" dan di Starlight Hall (New World) "Noda Dunia".

Pada tahun 1946, Bachtiar Effendi menyertai Malayan Arts Production yang dipimpin oleh S.M. Chesty (Christy) sebagai penolong pengarah kepada B.S. Rajhans yang mengarah filem "Seruan Merdeka".

Filem tersebut dibintangi oleh Salleh Ghani dan Rokiah Hanafi. Dia dan Suhara Effendi turut berlakon sama.

Apabila Malayan Arts dibubarkan kerana menghadapi masalah panggung wayang untuk menayangkan filem keluarannya, dia menyertai Shaw Brothers.

TURUT BERLAKON

Filem pertama Shaw Brothers selepas perang, "Singapura Di Waktu Malam", ceritanya oleh Bachtiar Effendi sendiri dan diarahkan oleh B.S.Rajhans.

Dia sendiri sebagai hero dan Siput Sarawak heroinenya dan dibantu oleh D.Harris.

Selepas itu, di tulisnya cerita "Chempaka" yang dibintangi oleh Kasma Booty dan M.Yatim, kemudian cerita "Pisau Berachun" di mana dia sebagai hero dan Kasma Booty heroinenya.

Dua filem tersebut juga diarahkan oleh B.S. Rajhans.

Apabila meninggalkan Shaw Brothers, Bachtiar Effendi menjalankan perniagaan eksport dan import bersama Jaffar Wiryo, kemudian pada tahun 1950 dia kembali ke Indonesia dan bekerja di Kementerian Penerangan.

Pada tahun 1951, dia mengarahkan "Djiwa Pemuda" (Jiwa Pemuda) dan pada tahun 1954 "Antara Tugas dan Tjinta" (Antara Tugas dan Chinta) untuk Perusahaan Film Negara (PFN).

Bachtiar Effendi turut berlakon dalam filem "Bunga Rumah Makan" (1951) yang diarahkan oleh Dr.Huyung dan mengarahkan "Merantjun Sukma" (Merachun Sukma) pada tahun 1953.


FAKTA___

* Filem pertama dibintangi oleh Siput Sarawak.

* Selepas filem ini, Siput Sarawak berherokan S. Roomai Noor dalam filem keduanya "Chinta" yang turut dibintangi oleh P. Ramlee.

* Filem kedua dibintangi oleh Bachtiar Effendi di Singapura selepas "Seruan Merdeka".

* "Mutiara", filem pertama Shaw Brothers sebelum perang dunia kedua.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.


Sunday, June 19, 2011


NONA ASIAH

Teks: Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


[>>> # UPDATE: 9 FEBRUARI 2014 <<<]




Nona Asiah ditahun-tahun 1950an. Seksi juga, ya...!

Kulit rekod piringhitam Dari Hati Nubari ASIAH yang mengandungi 10 lagu

Kulit rekod piringhitam DENDANG ASMARA MALAYA bersama Julia, A. Rahman, Lena dan Normadiah

Nampak macam wanita Jepun, aje. Ini tidak menghairankan kerana Nona Asiah pernah merakamkan lagu Jepun "Bunga Sakura" pada tahun 1947

Di hari perkahwinan Nona Asiah dengan Ismail Kassim pada 20 Ogos 1955

Nona Asiah bersama Indra Shahril dan Ismail Kassim pada tahun 1978

Carta keputusan biduan raya yang meletakkan Nona Asiah di tempat ketiga. Lain-lain yang berjaya P. Ramlee, Lena, Jasni, Neng Yatimah, R. Azmi, S. Hamid, Ribut Rawit, Hamzah Dolmat, Kamariah Noor dan Adek Hasnah

Nona Asiah dengan teman seperjuangannya, Sutinah


Kenangan saya bersama Nona Asiah pada tahun 1978. Dari kiri: Aida Shaari (teman sepemberita), Indra Shahril, Nona Asiah, Momo, Salleh Kamil, Ismail Kassim (berdiri), saya, Mustafar A.R. (di belakang Salleh Kamil) dan Syed Omar Al-Shahab (teman sepemberita)

Nona Asiah sedang menerima plaque daripada Stella Wee dimajlis pelancaran CD "Lagu-Lagu Kita" di Esplanade Theatres By The Bay, Singapura pada 10 Jun, 2012.

Apakah yang dicelotehkan oleh Nona Asiah, tu? Ini tentu ada kes serius, agaknyalah!

10 Julai, 2012: Nona Asiah ketika berkunjung ke Kafe Ipoh Station di Puchong Perdana, disamping makan tengahari membuat rakaman filem dokumentari Saloma. Di kanan, Ahmad Fauzee dan Azlan Huzairi, tuanpunya Kafe Ipoh Station.

ULASAN FK___
Oleh MUSTAFAR A.R.


SAYA mula perasaan adanya Nona Asiah selepas mendengar lagu "Ciumku Lagi" di tahun tahun 1951 atau pun 1952 (begitulah, kira-kira). Ketika itu saya berada di Teluk Anson (kini Teluk Intan), Perak dan umur pun belum mencecah sepuluh tahun.

"Ciumku Lagi" memang sedap didengar, bukan saja kerana liriknya yang romantik tetapi sangat sesuai dengan suara Nona Asiah yang boleh dikatakan sangat merdu dan unik itu.

Tambahan pula adanya iringi musik yang menarik dan tiupan saxophonenya.

"Ciumku Lagi" asalnya lagu Mexico, "Besame Mucho" ciptaan Consuelito Velazquez. Lagu tersebut dan "Sapu Tangan" saya simpan baik-baik dan akan saya putarkan semula sekiranya saya perlu berbuat demikian. Ini seringkali berlaku, dan menimbulkan nostalgia terhadap diri saya.

Anehnya, "Ciumku Lagi" tidak pernah dirakamkan ke piringhitam oleh penyanyi-penyanyi lain di Malaysia dan juga Indonesia. Kenapa ya?

"Ciumku Lagi" menyebabkan saya terus mengikuti pergerakan Nona Asiah. Sampai sekarang suaranya masih terngiang-ngiang di telinga saya ketika dia bersama Buyong Adil mengelolakan rancangan mendidik kanak-kanak sekolah yang ke udara melalui Radio Malaya yang berpangkalan di Singapura.

Dailog sebenar saya lupa, tetapi suaranya mengajak kanak-kanak yang menyorok di belakang tiang keluar turut sama-sama belajar dan bermain. Kebetulan pula, saya ketika itu, berada dibelakang tiang, main suruk-suruk dengan teman-teman sepermainan.

Mungkin Nona Asiah sendiri pun, tidak ingat dialog di belakang tiang ini yang diucapkannya itu.

Pada masa itu, saya sedang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, Kuala Lumpur yang terletak tidak jauh dari kompleks Finas, suatu ketika dulu, P.Ramlee pernah berkarya disitu atas nama Merdeka Film Studio.

Lebih menarik lagi, disekolah tersebut itulah P.Ramlee membuat penggambaran untuk filem komedinya yang mendapat sambutan hangat, "Masam-Masam Manis".

Lagu-lagu Nona Asiah yang lain yang menjadi minat saya, "Udara Nyaman", "Oh! Bulan" dan "Malamku Bermimpi" petikan filem "Nasib", berduet dengan P. Ramlee.

Kemudian diikuti lagu-lagu filem "Nilam", "Rachun Dunia" dan "Bakti" antaranya "Alam Di Tiup Bayu", "Melodi Asmara" dan "Hidup Berdua", juga bersama P. Ramlee.

Dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur pada tahun 1978 kerana menyertai rancangan khas "Seniman Silam" terbitan RTM Nona Asiah memberitahu, dia dilahirkan di Singapura pada tahun 1932.

Tetapi, kadang-kadang mengelirukan juga kerana ada yang mencatat tahun 1928.

Pada tahun 1947, Zubir Said menyertai Shaw Brothers dan diberi tanggungjawab mencipta lagu-lagu filem "Chinta" yang dibintangi oleh S.Roomai Noor, Siput Serawak dan P.Ramlee.

Disebabkan Nona Asiah sudah popular dengan "Ciumku Lagi", Zubir Said telah membawanya bersama sebagai playback singer untuk Siput Serawak berduet dengan P.Ramlee yang digunakan oleh S.Roomai Noor.

Justeru itu, lahirlah lagu "Pulau Nelayan", "Kumbang dan Rama-Rama", "Gelora Asmara" dan "Chinta" yang menampakkan cerah lagi masa depan Nona Asiah.

Nona Asiah juga menjelaskan, dulu namanya Asiah Aman tetapi ditukar oleh P.Ramlee. Katanya, suatu hari ketika duduk berkumpul ramai-ramai P.Ramlee bersuara, "Nama Asiah Aman tak sedap. Jadi penyanyi mesti guna nama sedap-sedap biar orangramai suka menyebutnya.

"Oleh kerana pada masa itu saya belum kahwin dan masih gadis, P.Ramlee cadangkan supaya nama Nona digunakan yang ertinya gadis.

Bermula dari situlah, nama Nona Asiah digunakan bukan lagi Asiah Aman."

Apabila filem "Chinta" mendapat kejayaan besar, nama Nona Asiah semakin melonjak naik. Suaranya terus digunakan untuk "Nasib", "Nilam", "Rachun Dunia" dan "Bakti" di bawah pimpinan Zubir Said dan Osman Ahmad.

Lagu-lagu yang dirakamkan semula (dari filem ke piringhitam) terutama berduet dengan P.Ramlee telah mendapat sambutan hangat antaranya "Udara Nyaman", "Oh! Bulan", "Malamku Bermimpi", "Sungai Nil", "Alam Di Tiup Bayu" dan "Hidup Berdua".

Pada tahun 1951, pengarah Nas Achnas yang tertarik dengan populariti Nona Asiah menawarkannya berlakon dalam "Pelangi" yang merupakan filem pertama keluaran Nusantara Film Company.

Turut berlakon bersamanya Ismail Kassim, Eloni Hayat (Aini Hayati) dan S.Naning.

Nona Asiah dan Ismail Kassim disebut-sebut akan membintangi filem bercorak "Cops and Robbers" keluaran Malayan Film Unit (sekarang Filem Negara Malaysia), dan beritanya ada tersiar di akhbar The Straits Times pada 5 November 1951.

Bagaimanapun kemudian tajuknya menjadi "Abu Nawas" yang dapat disiap dan ditayangkan pada tahun 1957 yang diarahkan oleh Cyril Randall, bercorak dokudrama (propaganda British) yang mengesahkan ancam pengganas komunis semasa Malaya dalam dharurat pada tahun 1948 hingga 1960.

Ini bererti, Nona Asiah berlakon dua filem saja - "Pelangi" (1951) dan "Abu Nawas" (1957).

Apabila Zubir Said ke Cathay Keris, Nona Asiah turut bersama dan menyumbangkan suaranya sebagai playback singer untuk heroine antaranya Rose Yatimah, Salmah Ahmad dan Latifah Omar.

Di Shaw Brothers, paling banyak menggunakan suaranya Siput Serawak. Seolah-olah Siput Serawak menyanyi menggunakan suaranya sendiri bukannya Nona Asiah sama keadaannya berlaku kepada Yusof Latiff yang menggunakan suara R.Azmi.

Turut menggunakan suaranya Kasma Booty, Rokiah, Rosnani, Mariani dan Zaiton.

Nona Asiah bukan saja berduet dengan P.Ramlee tetapi juga R.Azmi, Aziz Jaafar, Abdullah Chik, Ismail Kassim, Jasni, Kamsani dan S.Noh.

Dalam filem "Badang", Nona Asiah berduet dengan Wahid Satay menyanyikan lagu "Permata Budi" dan Zainal Alam (dari RTM) menyanyikan lagu "Oh, Abang."

Sungguhpun Nona Asiah sering berduet dengan P.Ramlee, hanya sekali P. Ramlee mengundangnya menyanyi dalam filem arahannya - lagu "Kampung Nelayan" dalam "Bujang Lapok".

Ini kerana P.Ramlee lebih menumpukan kepada suara Saloma.

Nona Asiah berkahwin dengan Ismail Kassim pada 20 Ogos 1955, dan mempunyai 5 orang anak - Iskandar Mirza, Abdul Mutalib, Mubarak, Nora Khaizuran dan Indra Shahril.

Pada 18 September 1994, trajidi menimpanya. Ismail Kassim (73 tahun) terlibat dalam kemalangan jalanraya apabila skuternya dilanggar oleh sebuah kereta di Kheam Hock Road, Singapura yang menyebabkan kematiannya.

Boleh dikatakan, kesemua anak Nona Asiah dididik dalam bidang musik dan Indra Shahril pernah merakamkan beberapa lagu ke piringhitam termasuk "Sakit Gigi" ("Aduh Mak") berduet dengannya dan "Selamat Hari Raya".

Pada tahun 1990, Indra Shahril melanjutkan pelajaran musiknya di Berklee College, Boston, Amerika Syarikat. Johari Salleh anak Malaysia-Singapura pertama menyertai kolej tersebut yang sememangnya terkenal dengan musiknya di seluruh dunia.

Indra Shahril juga bertanggungjawab menyelaraskan musik untuk program-program popular antaranya "Don't Forget the Lyrics".

Indra Shahril bukanlah anak Nona Asiah satu saja berjaya ke Berklee College, kerana abangnya (Iskandar Mirza) juga mendapat pendidikan musik di kolej yang sama pada tahun 1978.

Iskandar Mirza begitu ke depan dalam kerjaya musiknya baik secara akademik mahu pun profesional.

Dia sudah beberapa tahun diberi kepercayaan menjadi pengarah musik Perbarisan Hari Kebangsaan Singapura dan sebagai pengarah musik pembukaan dan penutup Sukan Asia Tenggara Ke-17 pada tahun 1993.

Paling istimewa mencipta dan menggubah lagu untuk segment "Wonders of Asia" di upacara pembukaan Sukan Asia pada tahun 2006.

Pada tahun 2003, dia telah menerima anugerah kerana pencapaian terbaik dalam bidang seni oleh Berita Harian dan pada tahun 2007 dianugerahkan pula dengan Honorary Fellowship oleh London College of Music, Thames Valley University.

Berbalik kepada Nona Asiah. Mungkin ramai yang tidak tahu, dia juga pakar sebagai pereka fesyen pakai. Ramai pelakon dan penyanyi telah memakai dan menggayakan pakaian rekaannya (ada juga yang seksi) termasuk Sarimah dan Saloma.

Nona Asiah cukup sinonim dengan radio dan tv. Perkhidmatannya bermula di Radio Malaya pada tahun-tahun 1940an kemudian RTS hinggalah ia di perbadankan menjadi SBC pada tahun 1980.

Menyanyi dan mendidik kanak-kanak sudah tidak asing lagi buat dirinya. Oleh yang demikian, jasa-jasanya tidak boleh diabaikan begitu saja.

Zubir Said sudah diabadikan namanya untuk sebatang jalan (Zubir Said Drive) berhampiran Bangunan Cathay di Dhoby Ghaut. Persoalannya, nama Nona Asia sudah diabadikan ke, belum?

Kalau belum, kalau saya jadi Perdana Menteri Singapura macam Lee Hsien Loong, Caldecott Hill (tempat sekian lama Nona Asiah berbakti) yang ada sekarang saya tukarkan kepada Nona Asiah Hill.

Malangnya, saya bukan Lee Hsien Loong.


NONA ASIAH DALAM 1000 WAJAH___




Dalam Channel News Asia (8 May 2009) Hasnita A. Majid menulis: School of the Arts to situated at Zubir Said Drive SINGAPORE: The School of Arts (SOTA) will have permanent address from next year.

It will be situated at No.1, Zubir Said Drive, a new road next to The Cathay at Dhoby Ghaut.

Making the announcement was acting Minister for Information, Communications, and the Arts, Lui Tuck Yew, at the school's Awards Day ceremony.

He said that the name of the street commemorates the late composer of Singapore's National Anthem, is a fitting tribute to an early pioneer of the arts in Singapore.

Mr. Lui said in recent years, Singapore has witnessed the growth of the arts and renewed emphasis on culture in Singapore.

Nona Asiah merupakan satu nama yang akan terpahat dalam lipatan sejarah bukan saja Singapura tetapi juga Malaysia.

Tidak sia-sia P.Ramlee menukar namanya Asiah Aman ke Nona Asiah.


NEWS (The New Straits Times, 5 May 1950)___

ASIAH IS NEW FAVOURITE

One of the famous popular Malay women singer in Malaya today is 19-year-old Nona Asiah. Her voice will be familiar to most Radio Malaya listeners and Asiah also a favourite on gramophone records.

According to Nona Asiah she has been asked to acts in films, but so far she has accepted no offers.

Nona Asiah is not married; but just now she has been interested in learning English and go to night school to study this subject.

She first began singing during the Japanese occupation of Singapore but it was only when she joined "Three Serumpun Orchestra" and started singing over Radio Malaya in 1945 that she became really well known.

From the first her voice attracted many listeners and she is a firm favourite with her Malay audiences.

She has recorded 20 songs so far. Nona Asiah says that she best likes to sing "Sumbangsihku" ("My Loving Gift").

Her other favourites are "Ciumku Lagi" ("Kiss Me Again"), "Juita Malam" ("The Beautiful Night") and "Asmara Bergelora" ("Storm of Love").

Last year Nona Asiah became the vocalist for the Malay Women's Orchestra. In that year also she was given the chance to sing in Malay film "Chinta".

Because of her success in this film she was asked to sing in more Malay films, namely, "Nasib", "Nilam", "Rachun Dunia" and "Bakti".

The songs she sang were composed by the well-known composer Othman Ahmad and Zubir Said. All of these songs have been recorded and now Nona is singing songs composed by Jerry Soliano which includes "Jangan Kau Mengusik" ("Don't Tease Me").


KONGSI PENGALAMAN___

Dalam blog cyBerita yang di poskan oleh Hanim Mohd.Saleh pada 30 Mei 2011, saya terbaca berita menyatakan Nona Asiah akan mendedahkan pengalaman dan peranannya dalam bidang seni pada 25 Jun 2011 di Balai Rakyat Siglap South mulai jam 2.00 petang.

Baguslah.

Saya sebagai peminat tegar Nona Asiah teringin juga bersama mendengar ceramahnya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Siglap South dan Joo Chiat itu.

Tetapi apakan daya kerana kesihatan tidak mengizinkan terpaksalah saya mendengar dan memerhatikannya dari jauh saja.

Anehnya, penyiaran artikel Nona Asiah dalam blog ini dan berlangsungnya ceramah berlaku secara kebetulan kerana ketika menyiapkannya saya tidak tahu pun ceramahnya akan diadakan.

Apa yang diharapkan terutamanya cyBerita mencatatkan segala pengalaman yang didedahkan oleh Nona Asiah secara terperinci, kalau boleh di bukukan.

Ini kerana sumber mengenai penyanyi tersohor ini yang menepati fakta tidak ada langsung disamping mengiktirafnya sebagai anak seni Singapura-Malaysia yang berjaya memberi sumbangan tidak ternilai harganya.

Memang tepat kata-kata Hanim, Nona Asiah sememangnya tokoh seni yang banyak memberi inspirasi kepada penggiat-penggiat seni, dari zaman Shaw Brothers dan Cathay Keris, hinggalah kepada dia menjadi pembimbing peserta bengkel kanak-kanak di televisyen.

Oleh kerana Nona Asiah bukan saja kepunyaan Singapura tetapi juga Malaysia, program yang sama patut diadakan di Kuala Lumpur. Finas, Seniman dan Papita patut bekerjasama dengan MAEC bagi merealisasikannya.

Masih belum terlambat, Malaysia memberi penghormatan dan penghargaan kepadanya.


NONA ASIAH MENINGGAL DUNIA?___

Agak terperanjat juga saya, ketika melayari blog Sinema Malaysia (Finas), apabila mendapati catatan Nona Asiah telah meninggal dunia. Apa yang saya ketahui beliau masih sihat di Singapura.

Saya e-mail dan tanya betul ke? Saya suruh mereka pastikan kebenarannya. Ternyata kemudian, catatan telah meninggal dunia sudah dipadamkan. Maknanya tidak benar.

Ini berlaku, mungkin Sinema Malaysia mengambil bulat-bulat berita yang tersiar dalam The Straits Times keluaran 18 Februari 1984 yang mencatatkan late Nona Asiah.

Bagaimanapun, pembetulan sudah dibuat di akhbar yang sama pada 21 Februari 1984.

NEWS (The Straits Times, 21 February 1984)___

What it should has been

Nona Asiah, a prominent singer in the '40s and '50s, was refered to as the late Nona Asiah in a Section Two story on Feb 18. She is at present residing in Singapore, and is mother of four children. We are sorry for the error.

Mempunyai empat orang anak pun salah. Pada tahun 1984 Nona Asiah sudah pun mempunyai lima orang anak.




"Ciumku Lagi" ("Besame Mucho")
(Sumber: mustafar a.r.)


Nona Asia & P.Ramlee, filem "Hujan Panas"
(Sumber: Zamhari Materang)


Nona Asiah & P. Ramlee, filem, "Rachun Dunia"
(Sumber: Jefferniagaz)

MELODI ASMARA

Di waktu senja beta terdengar
Bisikan melodi baru
Rayuan suara jauh
Dibawa angin lalu
Beriringan dengan bunyi seruling
Seruling buluh perindu
Mungkinkah itu irama jiwaku
Hati beta rindu dan pilu
Dalam sunyi campur duka
Lesu terharu laksana mimpi
Tengah malam beta sedarkan lena
Teringat waktu remaja
Itu suara biduan yang lama
Melodi asmara
Tengah malam beta sedarkan lena
Teringat waktu remaja
Itu suara biduan yang lama
Melodi asmara

Penyanyi filem P. RAMLEE & SIPUT SARAWAK
Penyanyi suara P. RAMLEE & NONA ASIAH
Pencipta lagu ZUBIR SAID
Filem "RACHUN DUNIA" (1950)




"Aidilfitri", Nona Asiah & Kamsani
(Sumber: Ian5491Ian)


"Di Mana Kau", Nona Asiah & R. Azmi
(Sumber: Njenda)


"Permata Budi", Nona Asiah & Wahid Satay
(Sumber: Njendra)


Nona Asiah & Aziz Jaafar, filem "Salah Sangka"
(Sumber: Njendra)


"Asmara Bergelora", Nona Asiah & P.Ramlee
(Sumber: MrCupan)


Nona Asiah & P. Ramlee, filem "Arjuna"
(Sumber: Njendra)


Nona Asiah, "Sapu Tangan"
(Sumber: mustafar a.r.)


"Dunia Bahagia", Nona Asiah, filem "Sangsara"
(Sumber: Njendra)


"Sireh Pulang Kegagang", Nona Asiah
(Sumber: Njendra)


Nona Asiah & P.Ramlee, filem "Bapa Saya"
(Sumber: dOnramlee)


Nona Asiah & Aziz Jaafar, filem "Chemburu"
(Sumber: mustafar a.r.)


LAGU-LAGU NONA ASIAH___

Antara lebih 100 yang telah dirakamkannya ialah,

  • Ciumku Lagi
  • Sapu Tangan
  • Bunga Sakura
  • Jambatan Merah
  • Juwita Malam
  • Jauh Di Mata>
  • Sikit Kasi Banyak Minta (P. Ramlee)
  • Angin Di Tiup Bayu (P. Ramlee)
  • Udara Nyaman (P. Ramlee)
  • Kolam Mandi (P. Ramlee)
  • Kerana Budi (P. Ramlee)
  • Hidup Berdua (P. Ramlee)
  • Malamku Bermimpi (P. Ramlee)
  • Bubur Sagu (P. Ramlee)
  • Manis Budi Bahasamu (Aziz Jaafar)
  • Bertemu Semula (Aziz Jaafar)
  • Gurindam Ibu (Aziz Jaafar)
  • Lagu-Laju Bidukku Laju (Aziz Jaafar)
  • Di Mana Kau (R. Azmi)
  • Samba Berdendang (R. Azmi)
  • Serampang Lapan (Abdullah Chik)
  • Ingin Tahu (Abdullah Chik)
  • Gelora Cinta (Jasni)
  • Keluhan Jiwa (S. Noh)
  • Selamat Hari Raya (Ismail Kassim)
  • Hassan Hasnah (Ismail Kassim)
  • Mendam Berahi (Normadiah)
  • Pahlawan Sejati
  • Cantik Menghijau
  • Nada Merindu
  • Senandung Rindu
  • Manusia Miskin Kaya
  • Andai Kata
  • Kampung Nelayan
  • Cuci Kain Cuci Mata
  • Kenari Biru
  • Jikalau Abang Merindu
  • Sirih Pulang Ke Gagang
  • Jangan Pandang Bung
  • Tiru Macam Saya
  • Muram Durja


  • # Update akan dilakukan dari masa ke masa.







  • Saturday, June 18, 2011


    MUTIARA (1940)

    FILEM MELAYU SHAW BROTHERS YANG PERTAMA
    Kajiselidik Oleh Zaini Yusop & Mustafar A.R.


    Miss Tina (kanan) dan Yem berperanan sebagai heroine dan hero.


    Dua gambar lakonan Hapsha (kiri) dan Haron Elias

    Tom Randell (kiri) turut berlakon bersama Yem.
    * Tiga gambar di atas diambil dari akhbar The Straits Times melalui laman web Perpustakaan Negara Singapura.

    Adegan tari menari di kelab malam.


    Produksi SHAW BROTHERS
    Pengarah HAU YAU & WAN HAI LING
    Pelakon MISS TINA YEM HARON ELIAS HACKEEKUN HASSAN TALIP HAPSHA NOORDIN & TOM RANDELL

    Mula diedarkan: 1940 (20 Julai)
    Masa tayangan: Tidak diperolehi

    JALAN CERITA___

    Cerita mengisahkan seorang nelayan, ketika pergi menangkap ikan, telah menjumpai sebutir mutiara besar.

    Dia kemudian pergi ke bandar menjual mutiara tersebut kepada seorang ahli perniagaan berBahasa Inggeris dengan nilai $1,000,000.

    Dia nyaris-nyaris kena rompak semasa sedang berseronokan dan menikmati kehidupan di bandar.

    Kerlipan dan keindahan Singapura tidak menarik minatnya, dia lebih selesa hidup sebagai nelayan di kampung.

    Justeru itu, sebelum pulang ke kampung dia telah mendermakan kesemua $1,000,000 tersebut kepada tabung perang, sekolah dan hospital.

    TULISAN (The Straits Times 22 Julai 1940)___

    The first Malay talkie to be made in Singapore, "Mutiara", which had a midnight premiere on Saturday at the Alhambra, was a great success.

    Credit must go first to Shaw Brothers whose initiative in producing the film was rewarded on Saturday when a packed house greeted it enthusiastically, and secondly to the director, a Chinese, who knew no word of Malay, and conveyed his direction, to the cast through interpreters.

    The photography is of a high standard throughout and Malayan beach scenes a shown with great effect.

    The acting is always competent, and the most versatile performance is given by Haron Elias, a local comedian, whose portyaral of a simple, illiterate, upcountry fisherman, dazed by by his first visit to Singapore, is always amusing and often hilarious.

    Miss Tina, the well-known Medan Singer, displays her singing ability to great effect in this film, and also acts the part of Haron's daughter with charm and simplicity.
    Others in the cast who deserve mention are Yem, Hassan, Talip, Hapsha and Tom Randell.

    Terjemahan: Filem pertama bercakap Melayu keluaran Singapura, "Mutiara", yang telah mengadakan tayangan perdana di Alhambra Sabtu lalu, telah mendapat sambutan hangat.

    Pujian harus diberikan pertama, kepada Shaw Brothers kerana mengambil inisiatif mengeluarkan filem tersebut yang telah mendapat penghargaan dari penonton yang ramai dengan memenuhi panggung wayang, dan kedua pengarahnya, berBangsa Cina, yang tidak tahu sepatah pun Bahasa Melayu, dan arahannya diterjemahkan oleh jurubahasa, kemudian disampaikannya pula kepada pelakon-pelakon.

    Fotografi pada umumnya mencapai taraf yang sangat baik dan penggambaran di pantai-pantai Malaya telah menunjukkan kesan yang besar.

    Lakonan sentiasa bersaing, dan bakat serba boleh dilakonkan oleh Haron Elias, pelawak tempatan, berperanan sebagai nelayan yang sederhana dan buta huruf serta kebingungan dengan lawatan pertamanya ke Singapura, sentiasa gembira dan sering saja keriangan.

    Miss Tina, penyanyi terkenal dari Medan, memperlihatkan kebolehannya menyanyi dengan penuh berkesan dalam filem ini, dan juga berperanan sebagai anak perempuan Haron dengan kejelitaan dan kesederhanaan.

    Lain-lain pelakon yang layak disebut ialah Yem, Hassan, Talip, Hapsha dan Tom Randell.


    TULISAN (Warta Jenaka 1 Ogos 1940)___

    Tiap-tiap filem yang pertama itu ghalibnya tiada sunyi dari menerima berbagai kesalahan kerana kurang lengkap serta susunan bahasanya dan peraturan ceritanya tidak begitu sesuai dengan kehidupan serta adat resam Melayu.

    Terutamanya pula apabila pengolahannya dikatakan tidak tahu atau mahir bertutur bahasa orang Melayu serta dipercayai tidak tahu bagaimanakah adat resam orang Melayu yang sebenar.

    Kerana kurang kelolaan yang tersebut itu maka tiadalah hairan jika filem "Mutiara" itu tidak memuaskan hati berbanding dengan kebanyakan filem-filem Eropah dan Amerika.

    ULASAN FKM___

    Jika di nilai dari dua tulisan di atas, ternyata terdapat dua pendapat yang jauh berbeza. The Straits Times lebih menumpukan aspek persembahan dan kualiti filem manakala Warta Jenaka lebih menitiberatkan kesesuaiannya terhadap adat resam orang-orang Melayu.

    The Straits Times memuji dengan tajuk MALAY FILM A SUCCESS, Warta Jenaka pula filem "Mutiara" itu tidak memuaskan hati.

    Bagi saya, tidak boleh cakap apa-apa pun dan tidak boleh buat ulasan kerana saya sendiri tidak pernah menonton filem ini.

    Apa yang dapat saya beri pandangan (berdasarkan jalan ceritanya), moral cerita filem ini sangat tinggi.

    Berdasarkan apa yang saya baca, kebanyakan penggambaran filem ini dilakukan di luar studio - pantai yang dihiasi pokok kelapa, stesen keretapi (tidak jelas samada Tanjong Pagar atau Bukit Timah), tempat hiburan dan kabaret serta juga balai polis. Ia mengambil masa dua bulan untuk menyudahkannya.

    Filem ini, dibintangi oleh Haron Elias sebagai nelayan, Miss Tina (penyanyi keroncong dari Medan) berusia 20 tahun berperanan sebagai anaknya (heroine) dan heronya Yem, berlakon sebagai pemegang amanah.

    Crook (villain) di bawakan oleh Hackeekun, juga pelakon terkenal di masa itu.

    Filem ini yang panjangnya lebih 10,000 kaki, bercorak komedi-drama ditambah dengan romance (percintaan) merupakan yang pertama dikeluarkan oleh Shaw Brothers dalam Bahasa Melayu atau pun Bahasa-Bahasa lain.

    Ia diusahakan setelah (pada tahun 1934) "Leila Majnun" yang dikeluarkan oleh Motilal Chemical Company mendapat kejayaan besar, menyebabkan Runme Shaw dan Run Run Shaw berfikir, sekiranya dilahirkan filem berBahasa Melayu pasti boleh meluaskan lagi rangkaian panggung wayangnya ke seluruh Malaya-Singapura dan Indonesia.

    Disamping itu, mereka berpendapat dengan adanya filem Melayu bukan saja Shaw Brothers boleh mengaut keuntungan besar tetapi juga boleh menguasai kesemua aspek perniagaan filem - pemamer, pengedar dan pengeluar.

    Pada tahun 1937, Shaw Brothers memperolehi sebidang tanah di Nombor 8, Jalan Ampas, Singapura dan melengkapkannya dengan alat-alat perfileman dan kepakaran juruteknik filem yang dibawa masuk dari Hong Kong dan Shanghai.

    Pelakon-pelakonnya pula terdiri dari mereka yang sudah biasa berlakon di pentas-pentas bangsawan.

    Justeru itu, tercatat dalam sejarah filem Malaysia-Singapura, "Mutiara" merupakan filem pertama dikeluarkan oleh Shaw Brothers dan kedua berBahasa Melayu selepas "Leila Majnun".

    PELAKON___

    Jika dilihat nama pelakon-pelakonnya, yang terus aktif dalam filem hingga ke tahun-tahun 1970an ialah Yem dan Hapsha (Habsah).

    Yem begitu popular dan terkenal di Cathay Keris Film, Hapsha (ibu kepada Hashimah Yon) terkenal dan popular pula di Malay Film Productions.

    Boleh dikatakan setiap filem Cathay Keris Film Yem ada berlakon, begitu juga boleh dikatakan setiap filem Malay Film Productions Hapsha ada berlakon.

    Dalam pada itu, Yem ada berlakon di Malay Film Productions dan Hapsha pun ada berlakon di Cathay Keris Film.

    Cuma bezanya, Yem ada berlakon di Merdeka Film Kuala Lumpur tetapi Hapsha tidak pernah.

    Begitulah hebatnya kedua pelakon tersebut.

    Miss Tina (entah kenapa pelakon dulu-dulu sering menggunakan Miss) memang popular di zaman itu dan selalu juga berlakon di pentas-pentas bangsawan.

    Selepas filem ini, Tina membintangi beberapa filem Shaw Brothers lagi termasuk "Bermadu", "Hanchor Hati" dan "Ibu Tiri".

    Selepas perang dunia kedua, Tina (juga isteri Haji Gong) turut berlakon filem-filem Shaw Brothers juga tetapi hanya berperanan sebagai pelakon pembantu seperti "Nasib" (sebagai Zainab), "Nilam" (Marjina) dan "Rachun Dunia" (isteri Suparjo yang dilakonkan oleh Haji Gong).

    FAKTA___

    * Filem pertama berBahasa Melayu keluaran Shaw Brothers.

    * Filem kedua berBahasa Melayu keluaran Malaya-Singapura selepas "Leila Majnun".

    * Selepas filem ini Shaw Brothers mengeluarkan filem keduanya "Bermadu".

    * Filem ini mula ditayangkan pada tayangan tengahmalam di Alhambra Theatre, Singapura pada hari Sabtu, 20 Julai 1940.

    * Tom Randell yang berlakon sebagai ahli perniagaan yang membeli mutiara ketika itu berumur 61 tahun ialah bekas ketua inspektor polis Malaya.

    * Perbelanjaan membuat filem ini, 50,000 ringgit.


    # Update akan dilakukan dari masa ke masa.






    Thursday, June 16, 2011


    ANUGERAH FESTIVAL FILEM ASIA PASIFIK

    PENEMUAN FAKTA YANG MEMERANJATKAN
    Teks: Mustafar A.R.
    Foto Dari Pelbagai Sumber
    Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



    Sebagai pengarah P.Ramlee menerima 6 anugerah


    Aziz Jaafar menerima anugerah kerana filem "Sumber Ilhamku"


    Kerana filem "Keluarga Comat" Aziz Sattar menerima anugerah persembahan istimewa


    Tony Castillo menerima anugerah kerana filem "Anak-Ku Sazali"


    Adek Wan Hussain dan R. Suriani dalam filem "Mega Mendong" yang turut mendapat anugerah


    Hussain Haniff menerima anugerah kerana filem "Dang Anom"


    Bat Latiff menerima anugerah kerana filem "Gerhana"


    P. Ramlee melangkah dengan bergaya selepas menerima anugerah untuk filem arahannya "Pendekar Bujang Lapok"


    ULASAN FK___

    SELAMA entah berapa puluh tahun lamanya saya menjangkakan Adek Wan Hussain memenangi anugerah aktor kanak-kanak terbaik kerana filem lakonannya "Mega Mendong" yang diarahkan oleh L. Krishnan di Festival Filem Asia (kini Festival Filem Asia-Pasifik) Ke-1 (FFA1) di Tokyo pada tahun 1954.

    Tetapi dalam kajiselidik yang saya buat untuk menerbitkan buku mengenai perkembangan filem di Malaysia sejak tahun 1934 hingga kini Malaysia Cinema (Sinema Malaysia), ternyata jangkaan tersebut meleset dan memeranjatkan.

    Saya yang bertanggungjawab mengendalikan Pameran Anugerah FFA35 di Kuala Lumpur dan Kuching pada tahun 1990 turut terpedaya dengan mencatatkan Adek Wan Hussain sebagai pemenang anugerah tersebut di festival yang sama.

    Malah dalam blog Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) mengenai anugerah dan pencapaian (kini sudah dipadamkan) pun mencatat "Mega Mendong" memenangi anugerah aktor kanak-kanak terbaik di FFAP1.

    Ini jelas, tidak ada usaha dilakukan oleh Finas atau pun Arkib Negara untuk membuat kajiselidik mengenai FFA dan pencapaian Malaysia memenangi anugerah yang mana ini sangat penting untuk anak cucu cicit kita di masa akan datang.

    Kesilapan ini sudah berlaku lama (sejak tahun 1954, ertinya 57 tahun) dan tidak ada sesiapa pun membuat pembetulan. Ia akan terus kekal silap sekiranya saya tidak menemui fakta yang sememangnya penting ini.

    Dalam akhbar berBahasa Inggeris The Straits Times keluaran 25 Mei 1957 ada tercatat di muka depan

    WE WIN 4 FESTIVAL AWARD Ramlee (I CAN'T BELIEVE IT, HE SAYS) get top actor prize

    (terjemahan: KITA MENANG 4 ANUGERAH FESTIVAL Ramlee (SAYA TIDAK PERCAYA, KATANYA) dapat menang anugerah utama aktor


    sebagai tajuk utama (lead) serta dihiasi gambar P. RAMLEE dan Adek Wan Hussain.

    Di bawahnya tercatat pula

    THREE Malayan actors and the Malayan Film Unit won top honours at Asia Film Festival in Tokyo. The awards announced last night in Tokyo included P. Ramlee (best actor) and Antonio Castillo and Adek Wan Hussain (best child players).

    (terjemahan: TIGA aktor Malaya dan Malayan Film Unit menang anugerah tertinggi di Festival Filem Asia di Tokyo. Pemenang anugerah telah diumumkan malam tadi di Tokyo termasuk P. Ramlee (aktor terbaik) dan Antonio Castillo dan Adek Wan Hussain (aktor kanak-kanak terbaik).


    Berita tersiar dalam tahun 1957 (bukannya tahun 1954), ini bererti Adek Wan Hussain menang anugerah aktor kanak-kanak terbaik di FFA4 di Tokyo bukannya FFA1 di Toyko sebagaimana selama ini saya sangkakan.

    Satu perkara lagi yang boleh dikatakan memeranjatkan, di festival filem tersebut Malaysia-Singapura menang dua anugerah aktor kanak-kanak terbaik - Antonio Castillo (dalam "Anak-Ku Sazali" tercatat namanya Tony saja) kerana lakonannya dalam "Anak-Ku Sazali" yang diarahkan Phani Majumdar dan Adek Wan Hussain dalam "Mega Mendong" yang diarahkan oleh L. Krishnan.

    Ini kali pertama anugerah aktor kanak-kanak terbaik diberikan kepada dua pelakon dari sebuah negara yang sama (Malaysia-Singapura).

    Pada tahun 1959 di FFA6 (Kuala Lumpur) juga terdapat dua aktor kanak-kanak diberi anugerah tetapi dari dua negara yang berlainan - Korea dan China.

    Aiddie Ali yang turut diberi anugerah di festival filem yang sama bukan sifatnya sebagai aktor kanak-kanak terbaik kerana peranannya dalam "Satay" tetapi lebih merupakan kecemerlangan lakonan (outstanding performance).

    Agak menarik, Tony dan Adek Wan Hussain mendapat anugerah tersebut dengan filem lakonan pertama. "Anak-Ku Sazali" dan "Mega Mendong" adalah filem pertama Tony dan Adek Wan Hussain.

    Semasa pengumuman dibuat, Tony sedang berlakon dalam "Seruan Darah" sebagai Ahmad Mahmood semasa kecil dan Adek Wan Hussain setelah "Mega Mendong" berlakon dalam dua filem lagi - "Adam" yang merupakan arahan pertama S. Roomai Noor dan "Salah Sangka" yang diarahkan oleh B.N. Rao.

    Dengan penemuan tersebut, kedudukan sudah berubah. P. RAMLEE merupakan anak Malaysia-Singapura pertama memenangi anugerah di FFA, bukannya Adek Wan Hussain.

    P. Ramlee berjaya memenangi anugerah musik terbaik di FFA3 (Hong Kong 1956) kerana musik ciptaannya untuk "Hang Tuah" yang diarahkan oleh Phani Majumdar.

    Ini adalah fakta yang harus diperbetulkan oleh sesiapa saja terutamanya Finas dan Arkib Negara.


    PEMENANG ANUGERAH FFA___

    Senarai penuh anugerah di menangi oleh Malaysia-Singapura selama 30 tahun (dari tahun 1954 hingga tahun 1984) adalah seperti di berikut;

    * Musik terbaik "Hang Tuah" P. Ramlee FFA3 (Hong Kong 1956)

    * Aktor terbaik "Anak-Ku Sazali" P. Ramlee FFA4 (Tokyo 1957)

    * Aktor kanak-kanak terbaik "Anak-Ku Sazali" Tony FFA4 (Tokyo 1957)

    *Aktor kanak-kanak terbaik "Mega Mendong" Adek Wan Hussain FFA4 (Tokyo 1957)

    * Sinematografi terbaik "Sumpah Orang Minyak" A. Bakar Ali FFA5 (Manila 1958)

    * Komedi terbaik "Pendekar Bujang Lapok" FFA6 (Kuala Lumpur 1959)

    * Kecemerlangan lakonan "Satay" Aiddie Ali FFA6 (Kuala Lumpur 1959)

    * Gambaran terbaik cerita rakyat "Mahsuri" FFA6 (Kuala Lumpur 1959)

    * Komedi terbaik "Nujum Pa' Blalang" FFA7 (Tokyo 1960)

    * Aktor kanak-kanak terbaik "Lela Manja" Bat Latiff FFA7 (Tokyo 1960)

    * Komedi terbaik "Che Mamat Parang Tumpol" FFA8 (Manila 1961)

    * Cerita rakyat terbaik "Dang Anom" FFA9 (Seoul 1962)

    * Bakat serba boleh (the most versatile talent) "Ibu Mertua Ku" P. Ramlee FFA10 (Tokyo 1963)

    * Sinematografi terbaik "Ibu Mertua Ku" A. Bakar Ali FFA10 (Tokyo 1963)

    * Aktor pembantu terbaik "Bayangan Di Waktu Fajar" Rendra Karno FFA10 (Tokyo 1963)

    * Aktor kanak-kanak terbaik "Gerhana" Bat Latiff FFA11 (Taipei 1964)

    * Komedi terbaik "Madu Tiga" FFA11 (Taipei 1964)

    * Drama trajidi terbaik "Satu Titek Di Garisan" FFA19 (Singapura 1973)

    * Trajidi kampus terbaik "Permintaan Terakhir" FFA21 (Jakarta 1975)

    * Komedi terbaik "Keluarga Comat" FFA21 (Jakarta 1975)

    * Aktor kanak-kanak terbaik "Sayang Anakku Sayang" Aziz M. Osman FFA22(Pusan 1976)

    * Menjanjikan persahabatan dan kemajuan seni "Hapuslah Airmatamu" FFA22 (Pusan 1976)

    * Kisah terjidi terbaik "Jiwa Remaja" FFA22 (Pusan 1976)

    * Penyuntingan terbaik "Loceng Maut" Salehan Shamsuddin FFA24 (Sydney 1978)

    * Keseluruhan kesempurnaan "Loceng Maut" FFA24 (Sydney 1978)

    * Komedi terbaik "Panglima Badol" FFA25 (Singapura 1979)

    * Rakaman suara terbaik "Dendang Perantau" Zulkiflee Salleh/Peter Lim FFA25 (Singapura 1979)

    * Aktres pembantu terbaik "Adik Manja" Shasha FFA26 (Jakarta/Jogjakarta/Bali 1980)

    * Komedi sihat dengan penghargaan bernilai "Adik Manja" FFA26 (Jakarta/Jogjakarta/Bali 1980)

    * Tema terbaik mengenai perpaduan kaum "Esok Masih Ada" FFA26 (Jakarta/Jogjakarta/Bali 1980)

    * Inspirasi cerita terbaik mengenai kegigihan seorang artis mencapai kejayaan "Sumber Ilhamku" FFA26 (Jakarta/Jogjakarta/Bali 1980)

    * Aktres muda berbakat "Abang" Fauziah Ahmad Daud FFA27 (Kuala Lumpur 1982)

    * Penonjolan kuat di layar perak "Pemburu" Ahmad Yatim FFA27 (Kuala Lumpur 1982)

    * Kisah luar bandar terbaik "Ranjau Sepanjang Jalan" FFA28 (Taipei 1984)


    KESIMPULANNYA___

    Ini bererti selama 28 kali penganjuran FFA, pencapaian Malaysia-Singapura merebut anugerah terutama anugerah utama tidak begitu memerangsangkan.

    Paling ke depan P. Ramlee apabila dia memenangi anugerah aktor terbaik kerana lakonannya dalam "Anak-Ku Sazali" (1957), kemudian diikuti oleh Rendra Karno aktor pembantu terbaik kerana "Bayangan Di Waktu Fajar" (1963) dan Shasha aktres pembantu terbaik kerana "Adik Manja" (1980).

    Dalam bidang teknikal, A. Bakar Ali ke depan dengan memenangi 2 anugerah fotografi terbaik (hitam & putih) - "Sumpah Orang Minyak" (1958) dan "Ibu Mertua Ku" (1963).

    Anugerah musik terbaik dimenangi oleh P. Ramlee kerana ciptaan musiknya untuk "Hang Tuah" (1956), anugerah penyuntingan terbaik dimenangi oleh Salehan Shamsuddin "Loceng Maut" (1978) dan anugerah rakaman suara terbaik diperolehi oleh Zulkiflee Salleh/Peter Lim "Dendang Perantau" (1979).

    Itu saja 8 anugerah berprestij yang diterima oleh Malaysia-Singapura sepanjang tahun 1954 hingga 1984, yang lain semuanya boleh dianggap sebagai anugerah belas kasihan atau pun anugerah mengambil hati.

    P. Ramlee sebagai pengarah menerima 3 anugerah komedi terbaik,
    * "Pendekar Bujang Lapok" (1959)
    * "Nujum Pa' Blalang" (1960)
    * "Madu Tiga" (1964)

    L. Krishnan "Che Mamat Parang Tumpol" (1961)

    Aziz Sattar "Keluarga Comat" (1975)

    Hussain Abu Hassan "Panglima Badol" (1979)

    Bat Latiff diberi 2 anugerah sebagai aktor kanak-kanak terbaik,
    * "Lela Manja" (1960)
    * "Gerhana" (1964)

    Tony (Tony Castillo) "Anak-Ku Sazali" (1957)

    Adek Wan Hussain "Mega Mendong" (1957)

    Aziz M. Osman "Sayang Anakku Sayang" (1976)

    Aiddie Ali (mengikut kajian) tidak boleh dianggap aktor kanak-kanak terbaik kerana di FFA (1959) dua aktor kanak-kanak menerima anugerah tersebut - Pak Kwang Soo (Korea) dan Hsiao Yen-chang (China)

    Mengikut catatan, Aiddie Ali diberi anugerah kerana kecemerlangan lakonan (outstanding performance) dalam "Satay", bukan aktor kanak-kanak terbaik


    PENGARAH___

    P. Ramlee menerima 6 anugerah.
    * "Sumpah Orang Minyak"
    * "Pendekar Bujang Lapok"
    * "Nujum Pa' Blalang"
    * "Ibu Mertua Ku" (2)
    * "Madu Tiga"

    Jamil Sulong (7).
    * "Lela Manja"
    * "Gerhana"
    * "Permintaan Terakhir"
    * "Sayang Anakku Sayang"
    * "Jiwa Remaja"
    * "Dendang Perantau"
    * "Ranjau Sepanjang Jalan"

    Phani Majumdar (3)
    * "Hang Tuah"
    * "Anak-Ku Sazali" (2)

    L. Krishnan (2)
    * "Mega Mendong"
    * "Che Mamat Parang Tumpol"

    K.M. Basker (1) - "Satay"

    Hussain Haniff (1) - "Dang Anom"

    Usmar Ismail (1) - "Bayangan Di Waktu Fajar"

    M. Amin (2)
    * "Satu Titek Di Garisan"
    * "Hapuslah Airmatamu"

    Aziz Sattar (1) - "Keluarga Comat"

    Naz Achnaz (2) - "Loceng Maut" (2)

    Hussain Abu Hassan (1) - "Panglima Badol"

    Othman Hafsham (2) - "Adik Manja" (2)

    Jins Shamsudin (1) - "Esok Masih Ada"

    Aziz Jaafar (1) - "Sumber Ilhamku"

    Rahim Razali (2)
    * "Abang"
    * "Pemburu"


    FAKTA___

    * Filem IMAN yang dibintangi oleh Ahmad Mahmood dan Sa'adiah adalah filem pertama Malaysia-Singapura menyertai FFA - di FFA1, Tokyo pada tahun 1954.

    * Saloma menerima anugerah sinematografi terbaik ("Sumpah Orang Minyak") bagi pihak A. Bakar Ali di FFA5 (Manila 1958).

    * Hanya tiga filem memenangi anugerah lebih dari satu - "Anak-Ku Sazali" (2), "Ibu Mertua Ku" (2) dan "Loceng Maut" (2).

    * Rendra Karno, satu-satunya aktor Indonesia memenangi anugerah kerana berlakon dalam filem Malaysia-Singapura - "Bayangan Di Waktu Fajar".

    * Antara tahun 1954 dan 1984, Malaysia-Singapura hanya menganjurkan sekali saja FFA di Kuala Lumpur pada tahun 1959.

    * P. Ramlee menerima sendiri anugerah komedi terbaik di Kuala Lumpur (1959) dan bakat serba boleh (the most versatile talent) di Tokyo pada tahun 1963.

    * Filem P. Ramlee paling banyak menerima anugerah di FFA, 9 semuanya - "Hang Tuah" (1), "Anak-Ku Sazali" (2), "Sumpah Orang Minyak" (1), "Pendekar Bujang Lapok" (1), "Nujum Pa' Blalang" (1), "Ibu Mertua Ku" (2) dan "Madu Tiga" (1).

    * Shaw Brothers menghantar 2 filem ke Taipei (1964) - "Gerhana" dan "Madu Tiga". Kedua-duanya memenangi anugerah untuk Bat Latiff dan komedi terbaik.


    # Update akan dilakukan dari masa ke masa.