"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Saturday, August 15, 2015


PENGHIDOPAN (1951)

SATU-SATUNYA FILEM P.RAMLEE BERSAMA MARIA MENADO
Teks & Foto: Mustafar A.R.
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



MARIA MENADO & P.RAMLEE

P.RAMLEE & ROKIAH

ROKIAH & D.HARRIS

ROKIAH & MARIA MENADO

D.HARRIS & MARIA MENADO

SAAMAH, S.SHAMSUDDIN & MOHAMMAD HAMID


Filem "Penghidopan" ini mula ditayangkan pada 23 Mei tahun 1951, ini bererti umur saya belum pun mencapai 8 tahun. P.Ramlee, Maria Menado dan Rokiah terlalu asing buat saya, malah tidak tahu dan mengenali mereka.

Setelah sekian lama, apabila P.Ramlee mula saya kenali dan minati, barulah saya terasa kewujudannya lebih-lebih lagi ketika saya membuat kajiselidik (research) mengenai filem-filem P.Ramlee untuk dijadikan buku, siap dan diedarkan
pada tahun 2008.

Masih segar dalam ingatan saya, filem yang diarahkan oleh L.Krishnan ini buat pertama kalinya saya tonton melalui TV Malaysia (masih dalam black & white) di berek polis Brickfields, Kuala Lumpur. Abah saya bekerja sebagai pegawai polis.

Pada masa itu saya tidak minat langsung dan setelah menontonnya saya lupakan untuk masa yang agak lama. Hanya, pada tahun 1988 ketika bermulanya hasrat menerbitkan sendiri buku "Filem-Filem P.Ramlee", ia timbul semula.

Saya tercari-cari filemnya, pada masa itu dalam format VHS (VCD dan DVD masih belum wujud), namun tidak ditemui, di pasaran pun tidak ada. Saya kemudian menganggapnya sudah hilang seperti juga "Noor Asmara" dan "Bakti".

Justeru itu, saya hanya memperolehi faktanya bersumberkan buku, majalah dan akhbar. Itulah sebabnya, terdapat kekurangan (dalam buku) terutama ejaan tajuk (title) yang sepatutnya "Penghidopan" bukannya "Penghidupan".

Bagaimanapun, semasa sama-sama berusaha merealisasikan "Tribute... Bahyah Mahmood", Ahmad Fauzee telah memberikan filem tersebut dalam bentuk pen drive yang mana ini membolehkan saya mendapatkan maklumat dengan
lebih detail lagi.

Sungguhpun, kualitinya kurang memuaskan (maklumlah filem lama), namun ia membolehkan saya membuat ulasan dan kritikan berdasarkan terus dari filem, dan hasilnya sudah tentulah
lebih baik lagi.






12+1 LAGU TERBAIK RAFEAH BUANG

# ULASAN & KRITIKAN___
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA * SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH * BAYANGAN DI WAKTU FAJAR
* JAMBATAN MAUT * LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 15 OGOS 2015)
* SEKSI SELEBRITI INDONESIA 116,001
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI 103,298 * SEKSI SELEBRITI MALAYSIA 96,382
* SELAMAT PENGANTIN BARU 57,795 * FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT 20,472





P.RAMLEE & MARIA MENADO

POSTER FILEM "PENGHIDUPAN"

IKLAN "PENGHIDUPAN" DALAM THE STRAITS TIMES, 27 MEI 1951

P.RAMLEE, BABY ZAITON & ROKIAH

ROKIAH, HASHIM NOR & SITI TG.PERAK

FATIMAH OSMAN, TIDAK DIKETAHUI, MARIA MENADO & ANNIE JASMIN

P.RAMLEE, ROKIAH, JUNAISI, BABY ZAITON, SAAMAH, MOHD.YUSOF
& MARIA MENADO


MALAY FILM PRODUCTIONS LIMITED SINGAPORE dengan gembiranya mempersembahkan "PENGHIDOPAN" Di-Lakonkan oleh P.RAMLEE ROKIAH "MARIA MENADO" Jurugambar KOH JEE SOON Jurusuara CHONG CHEE LIAT Tari-Tarian EDITH CASTELLO Pelukis Pemandangan MOHD.HANIFF Pembantu Pengarah dan Senikata HAJI MAHADI Pembantu: Penggambar A.BAKAR ALI Suara KAMAL MUSTAFFA Penjaga Sambongan G. KOLLART Pancharagam dan Gurindam AHMAD JAAFAR
Di-Keluarkan oleh RUN RUN SHAW Di-Arahkan oleh L.KRISHNAN

PELAKON

ROKIAH ----- Salbiah
P.RAMLEE ----- Salim
MARIA ----- Halimah
D.HARRIS ----- S.M.Bakar
ULONG JAWA ----- Jaffar
SITI TG.PERAK----- Ibu Salbiah
MOHD.YUSOF ----- Ayah Halimah
SAAMAH ----- Ibu Halimah
JUNAISI ----- Kakak Salim

DIBANTU OLEH

BABY ZAITON
S.SHAMSUDDIN
HAJI MAHADI
M.AMIN
MOHAMMAD HAMID
JAFFAR WIRYO
P.SURIATI
FATIMAH OSMAN
ANNIE JASMIN
S.SUDARMAJI
RAHMAN B.
SAADIAH
A.RAHIM
SALLEH KAMIL
HASHIM NOR


Tahun Di Edarkan: 1951 (23 Mei)
Masa Tayangan (lebih kurang): 1 Jam 30 Minit


SAAMAH & JUNAISI

D.HARRIS & YUSOFF BANJAR

P.RAMLEE & MARIA MENADO

P.RAMLEE & JUNAISI

M.AMIN & D.HARRIS

S.SUDARMADJI & RAHMAN B.

A.RAHIM

SALLEH KAMIL


RINGKASAN CERITA___

Singapura 1950: Salim yang tinggal di kawasan Katong bersama Abang (Jaffar) dan Kakak Iparnya (Rubiah) merupakan seorang pemuda kacak tetapi mempunyai perangai buruk dan mata keranjang.

Suatu hari Kakak Iparnya itu telah menerima surat daripada Datuknya di Johor meminta supaya datang mengziarahinya. Oleh kerana tiada sesiapa untuk menjaga rumah, Rubiah pun menyuruh Salim pergi sebagai pengganti dirinya.

Di kampun Datuknya itu, Salim bertemu dengan seorang gadis cantik (Salbiah) yang mana keluarganya mempunyai banyak hutang. Salbiah telah dijanjikan oleh Ibunya untuk dikahwinkan dengan seorang Benggali Sikh, yang telah memberikan pinjaman wang.

Salbiah memberitahu perkara tersebut kepada Salim, dan dia berjanji akan membayar segala hutang itu, tanpa benar-benar berniat untuk berbuat demikian. Kerana terlalu gembira dan terpengaruh dengan janji manis Salim, Salbiah menyerahkan kehormatannya, tanpa rela dan berat hati.

Setelah mencemarkan maruah Salbiah, Salim pulang ke Singapura dengan janji yang dia akan kembali membawa wang untuk menebus hutang dan kemudian berkahwin dengannya. Bagaimanapun akhirnya, Salim mengirimkan surat kepada Salbiah menyatakan mengapa dia tidak dapat menunaikan janji dan berkahwin dengannya, Salbiah kecewa.

Apabila masa kelahiran bayinya semakin dekat, Salbiah meninggalkan rumah untuk menjaga nama baik Ibunya dia pergi ke Singapura mencari Salim. Sedang tercari-carikan Salim, Salbiah tiba-tiba pengsan. Dia di bawa ke hospital berhampiran lalu melahirkan anaknya.

Dalam pada itu, Salim jatuh cinta dengan gadis terpelajar, Halimah, ketika menghadiri satu majlis keraian. Salim tidak bertepuk sebelah tangan.

Salbiah, sewaktu merayau-rayau, telah ternampakkan Salim memandu kereta setelah keluar dari sebuah rumah, lalu dia pun masuk ke rumah itu untuk menunggu Salim pulang.

Apabila Salim kembali dan menemui Salbiah, dia terperanjat dan menafikan sebarang tanggungjawab ke atas diri Salbiah. Pertengkaran pun berlaku yang mana akhirnya dia memukul Salbiah.

Sambil menangis-nangis Salbiah berlari mengejar Salim, tetapi tiba-tiba dia dilanggar kereta yang dipandu oleh Bakar, kawan rapat Halimah. Bakar membawa Salbiah ke hospital untuk menerima rawatan.

Mengambil kesempatan atas kekayaan Abang dan Kakak Iparnyanya, Salim mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Halimah, dan meminta Kakak Iparnya itu menguruskannya.

Apabila sembuh, Bakar membawa Salbiah ke rumahnya di mana dia mendapat nota yang tercatat Salim akan bernikah dengan Halimah. Bakar marah kerana dia juga mencinta Halimah.

Bakar menulis surat menyatakan perasaan marahnya terhadap Halimah dan menyuruh Salbiah menyampaikan surat tersebut, di sebelah rumah, bagi pihaknya.

Apabila Salbiah sampai di rumah Halimah, Salim terserempak dengan Salbiah tetapi dia tidak memperdulikan Salbiah, malah ditolaknya sampai jatuh. Kelakuan kasar Salim itu dilihat Halimah dari beranda rumahnya.

Halimah kemudian pergi mendapatkan Salbiah lalu di bawanya masuk ke dalam rumah, dan bertanya apa hubungannya dengan Salim.

Salbiah pun menerangkan segala-galanya. Demi simpatinya kepada Salbiah, dan untuk membela kaum sejenisnya yang teraniaya, Halimah sanggup berkorban diri lalu dia pun membuat rancangan.

Di hari persandingan yang bernikah dengan Salim bukannya Halimah tetapi Salbiah. Salim begitu marah kerana dirinya dipermainkan, bagaimanapun dia terpaksa menerima hakikat sebenarnya sambil merestui perkahwinannya dengan Salbiah.


ULASAN & KRITIKAN___

Filem ini yang dipadankan oleh L. Krishnan dari filem Tamil (dalam bahasa Inggerisnya bertajuk "Life") telah menimbulkan kontroversi yang mana banyak melibatkan tatasusila dan cara hidup masyarakat Melayu.

Ada gambarannya menyimpang dan tidak sepatutnya digambarkan begitu. Badan Kebajikan Melayu (BEKAM) telah mengecam hebat filem ini dan menuntut supaya Lembaga Penapis Filem (LPF) mengharamkannya.

Bagaimanapun filem ini telah diluluskan tanpa digunting sebarang adegan atau scene yang menimbulkan kontroversi itu.

Sungguhpun menimbulkan kontroversi tetapi apa yang digambarkan oleh L.Krishnan, mungkin itu yang berlaku dalam masyarakat India, tidak mustahil berlaku dalam masyarakat Melayu.

Cuma agaknya tidak disukai oleh BEKAM mungkin disebabkan pendedahan itu merosakkan moral orang-orang Melayu atau lebih tepat lagi mencemar dan merosakkan maruah agama Islam.

Sebagaimana yang diketahui filem adalah hiburan semata-mata dan mungkin apa yang digambarkan itu akan menjadi teladan yang baik, itulah sebabnya LPF meluluskannya. Tidaklah diketahui kalau ada sebab-sebab lain.

Dari segi cerita menimbulkan kontroversi namun dengan adanya P.Ramlee menjiwai filem ini, lakonannya tidaklah sebaik yang diharapkan, ia tetap mendapat sambutan yang memuaskan.

Rokiah pula telah memperlihatkan lakonan yang baik. Sebabkan itu L.Krishnan mengambilnya berlakon dalam filem "Antara Senyum Dan Tangis", sekali lagi disamping P.Ramlee.







IRAMA & LAGU___

* "HUTANG"
Nyanyian Filem ROKIAH
Suara Latar MOMO
Ciptaan AHMAD JAAFAR
Lirik S.SUDARMADJI
# Tidak dipastikan ada rakaman piringhitam atau tidak

* "CINTA BERAHI"
Nyanyian Filem P.RAMLEE
Suara Latar P.RAMLEE
Ciptaan AHMAD JAAFAR
Lirik S.SUDARMADJI
# Nyayian piringhitam R.AZMI

* "RINDU"
Nyanyian Filem MARIA MENADO
Suara Latar RUBIAH
Ciptaan AHMAD JAAFAR
Lirik S.SUDARMADJI
# Tidak dipastikan ada rakaman piringhitam atau tidak

* "PENGHIDOPAN BARU"
Nyanyian Filem P.RAMLEE & ROKIAH
Suara Latar P.RAMLEE & MOMO
Ciptaan AHMAD JAAFAR
Lirik S.SUDARMADJI
# Nyanyian piringhitam R.AZMI & RUBIAH





P.RAMLEE, MARIA MENADO, D.HARRIS & ROKIAH

P.RAMLEE & ROKIAH

D.HARRIS & MARIA MENADO


ANTARA LAKONAN MARIA MENADO, P.RAMLEE, ROKIAH & D.HARRIS___

Agak menarik, sungguhpun filem ini merupakan filemnya yang pertama namun Maria Menado telah memperlihatkan lakonan yang menarik, boleh dikatakan mengatasi lakonan P.Ramlee yang sebelum ini telah membintangi banyak filem.

Tidak nampak kekekokan (seolah-olah telah berlakon banyak filem), peranannya sebagai Halimah, mendamaikan pergolakan antara Salim dan Salbiah, telah dihayati dengan sederhana tapi cukup meyakinkan.

Kejelitaan Maria Menado juga merupakan salah satu sebab mengapa filem ini mendapat sambutan disamping adanya P.Ramlee yang pada masa itu sudah berada dipuncak kejayaan dan menjadi pujaan ramai.

Apa yang terjadi sebaliknya, apabila P.Ramlee gagal menyempurnakan lakonannya sebaik mungkin sebagai Salim sungguhpun ini filemnya yang ketiga sebagai hero selepas "Bakti" dan "Takdir Illahi".

Ternyata banyak kelemahannya, lakonan yang tidak natural dan penuturan dialog yang tidak lancar membuatkan peranannya sebagai pemuda mata keranjang (hero jahat) menampakkan kejelekkan, macam dibuat-buat, tidak menarik.

Lebih buruk lagi, setiap kali P.Ramlee muncul di screen, gambar kelihatan 'kelabu dan berasap', ini kerana boleh dikatakan sepanjang lakonannya dia sentiasa saja menghisap rokok, tidak putus-putusnya dari awal sampai akhir.

Bagaimana pun, kerana krismanya sebagai pelakon sudah ada, setelah digilap dalam beberapa filem sebelum ini, ditambah pula dengan lagu-lagu nyanyiannya yang diminati ramai, P.Ramlee tetap bertakhta dihati peminat filem terutama yang menyukainya.

Rokiah, tidak menampakkan lakonan yang mencabar. Peranannya sebagai Salbiah yang telah dicemari kehormatannya oleh Salim, dibawanya dengan sederhana tetapi dikira baik terutama semasa bertengkar dengan P.Ramlee.

Petualang cinta P.Ramlee, menyebabkan Rokiah mendapat simpati penonton. Dia dicela dan dikutuk, namun maruah dapat ditebusnya kembali apabila P.Ramlee menerimanya, setelah mendapat nasihat Maria Menado.

Sesuatu yang sangat menarik, perubahan karekter D.Harris, daripada pelawak (lucu) kepada intellectual (terpelajar).

Sebagai Bakar, D.Harris cuba berlakon serius (tidak kelakar), namun penonton tetap ketawa setidak-tidaknya tersenyum ketika kemunculannya lebih-lebih lagi apabila dia bertelagah dan berkrisis dengan Maria Menado.

Peranan Bakar sebaiknya diserahkan kepada Haji Mahadi atau pun M.Amin, tetapi kerana mahu mempastikan filem arahannya itu mendapat sambutan, L.Krishnan terpaksa memilih D.Harris berperanan S.M.Bakar.

Pada masa itu, D.Harris sudah cukup popular dan diminati ramai sejak membintangi "Singapura Di Waktu Malam", "Chinta", "Nasib", "Nilam" dan "Aloha", semuanya berperanan lawak.


ANTARA FOTO DI RE-SHOOT DARI FILEM ASAL___








KONTROVERSI___

Filem ini telah menimbulkan kontroversi sewaktu mula-mula ditayangkan. Ia telah mendapat kecaman hebat dari masyarakat Melayu terutama dari sebuah badan kemajikan iaitu Badan Kebajikan Melayu (BEKAM) dan gesaan telah dibuat supaya pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) mengambil tindakan mengharamkannya.

* Sebanyak 9 perkara telah dibantah oleh BEKAM. Antaranya;

* Adegan yang menunjukkan Benggali Sikh meminta hutang daripada Ibu Salbiah kemudian memuji-muji kecantikan Salbiah. Keadaan ini tidak dapat diterima. Memalukan orang-orang Melayu.

* Adegan yang menunjukkan kakitangan (pekerja) Benggali Sikh itu (seorang Melayu) mendesak Ibu Salbiah supaya memberi Salbiah kepada Benggali Sikh tersebut sebagai penebus hutang. Ia merupakan satu penghinaan terhadap orang-orang Melayu.

* Adegan selepas Salim berjanji akan menyelesaikan hutang-hutang Salbiah kemudian mengajak Salbiah ke rumah kosong. Adegan ini membayangkan Salim dan Salbiah pergi ke situ untuk melakukan maksiat, bersetubuh. Ia memalu dan mencemarkan kesucian agama Islam dan adat orang-orang Melayu.

* Adegan penipuan menukar pengantin, daripada Halimah berubah kepada Salbiah. Ia adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam dan adat orang-orang Melayu, dan tidak pernah berlaku.

BEKAM mendakwa filem ini akan menimbulkan keresahan dan sakit hati orang-orang Melayu yang berfikiran waras. Bagaimanapun, pertikaian tersebut dapat diselesaikan dengan baik. Ia telah diluluskan untuk tayangan tanpa sebarang guntingan.


FAKTA & ANGKA___

* Inilah pertama kali P.Ramlee digandingkan dengan Rokiah dan Maria Menado. Rokiah sebelum ini pernah berlakon dalam "Pembalasan", "Berdosa" dan "Bapa Saya", manakala Maria Menado telah diperkenalkan oleh L.Krishnan dalam filem ini setelah dia memenangi gelaran Ratu Cantik Antarabangsa dan Ratu Kebaya.

* Ejaan tajuk filem ini mengelirukan. Di iklan dan poster ejaannya PENGHIDUPAN. Tetapi di credit title PENGHIDOPAN. Sebagai menepati fakta, ejaan tajuk semestinya diikuti apa yang tercatat di credit title - PENGHIDOPAN.

* Menurut L.Krishnan, Maria Menado dibawa oleh A.Razak (yang kemudian menjadi suaminya) menemui Runme Shaw (abang Run Run Shaw) kemudian meminta L.Krishnan meng'screen test'nya. Maria Menado berjaya lalu diperkenalkan (introducing) dalam filem ini dengan peranannya sebagai Halimah.

* Pada mulanya A.Razak enggan membenarkan Maria Menado berlakon kerana dia ditawarkan dengan gaji yang kecil, tetapi akhirnya dia mengalah apabila Maria Menado menghadapi masalah untuk tinggal lama di Singapura. Maria Menado berasal dari Menado di kepulauan Filipina.

* Selepas filem ini Maria Menado digadingkan pula dengan Osman Gumanti dalam "Pulau Mutiara" yang diarahkan S.Ramanathan, turut dibintangi oleh Siti Rohani, A.R.Tompel, Siti Tg.Perak dan D.Harris.

* Sungguhpun filem ini terlebih dulu memulakan penggambaran, tetapi "Pulau Mutiara" diedarkan lebih awal, pada 8 Mei 1951, manakala filem ini pada 23 Mei 1951. Ini bererti filem pertama Maria Menado, "Pulau Mutiara", kedua "Penghidopan".

* Inilah satu-satunya filem P.Ramlee bergandingan dengan Maria Menado, ini kerana selepas "Gadis Peladang" (turut dibintangi Yusof Latiff dan Neng Yatimah) Maria Menado pindah ke Cathay-Keris berlakon dalam beberapa filem termasuk "Pontianak" (arahan B.N. Rao) yang mendapat sambutan box-office luar jangkaan, manakala P.Ramlee terus kekal di MFP.

* Ramai pelakon berperanan pembantu dalam filem ini menjadi terkenal dan popular. Antaranya, Haji Mahadi, Saadiah, M.Amin, Hashim Nor, Salleh Kamil, A.Rahim, Saamah, Rahman B., S.Shamsuddin, S.Sudarmadji dan Mohammad Hamid.

* Rokiah berherokan P.Ramlee 3 filem - "Putus Harapan", "Antara Senyum Dan Tangis" dan "Penghidopan". Selepas "Putus Harapan", mereka tidak lagi berlakon bersama.

* Di MFP Maria Menado membintangi 5 filem - "Pulau Mutiara", "Penghidopan", "Permata Di-Perlimbahan", "Gadis Peladang" dan "Mata Hari".




ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?