Teks: Mustafar A.R. & Zaini Yusop
Foto: Daripada Pelbagai Sumber
Di Edit, Di Semak & Di Susun: Mustafar A.R.
<< PERHATIAN >>
MENCIPLAK APA SAHAJA ARTIKEL TERDAPAT DALAM
BLOG INI SANGAT DIALU-ALUKAN. NAMUN UNTUK
MENGHORMATI SUSAH PAYAH KAMI MENGHASILKANNYA
DIHARAP PENCIPLAK MENCATATKAN FILEM KLASIK
SEBAGAI SUMBER IANYA DICIPLAK - MUSTAFAR A.R.
RATAPAN SEORANG ISTERI.
Fatimah Ahmad menangis ketika mengiringi jenazah Hussain Haniff ke Tanah Perkuburan Bidadari, Singapura, tempat dia disemadikan pada tahun 1966. Al-Fatihah.
HANG JEBAT.
Filem pertama arahan Hussain Haniff pada tahun 1961. Ia memperlihat kebolehannya sebagai pengarah kreatif terutama elemen sinematografi dan penyuntingan filem. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai "Hang Jebat" Kliks Di Sini
HUSSAIN HANIFF TINGGALKAN
TITIK-TITIK HITAM DALAM HIDUPNYA
Oleh: Mustafar A.R.
Tidak dapat dipertikaikan, Hussain Haniff telah mencatatkan sejarah hitam dalam hubungannya dengan wartawan tanahair. Terkenal dengan panas barannya, Hussain dikatakan telah memukul (Hussain kata, hanya menampar saja) Aimi Jarr, ketika itu bertugas sebagai wartawan sambilan kepada satu majalah hiburan.
P.Ramlee juga memusuhi wartawan tetapi tidaklah sampai ke peringkat tindakan Hussain hingga menimbulkan perbalahan yang berlarutan sampai terpaksa dibuat satu majlis dimana Hussain dan Aimi bermaaf-maafan, yang mana sesudah itu tidak ada
juga kesudahannya.
Salam perdamaian berjalan dengan baik, namun disebaliknya Hussain masih tidak puas hati dan sekelumit dendam masih membara dihatinya sehinggalah dia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4 April 1966.
Dalam sejarah kewartawanan di Malaysia dan Singapura terutamanya bidang hiburan (setakat ini) belum ada lagi wartawan menerima layanan terburuk sewaktu menjalankan tugas seperti yang dialami oleh Aimi.
Sama ada Aimi ini baik atau pun buruk perangainya bergantung kepada pendapat dan pandangan masing-masing. Hussain bertindak mesti ada sebab lain, bukan sekadar kritikan kepada Fatimah Ahmad dan "Dang Anom" saja.
Bagi akulah, sungguhpun seringkali bertelagah dan kadang-kadang membencinya tetapi aku menganggap dia sebagai kawan yang baik (tegur sapanya menyenangkan, tidak ambil hati) lebih-lebih lagi ketika usianya semakin ke penghujung.
Aku mula mengikuti perjalanan hidup Hussain setelah menonton "Hang Jebat". Pada masa itu, aku tidak tahu tentang teknik filem. Yang penting. aku seronok dengan cerita, lakonan Noordin Ahmad, Latiffah Omar dan Mahmud Jun.
Terus terang aku katakan, filem-filem arahan Hussain termasuk "Hang Jebat" tidak aku sukai. Sebagai anak muda berumur 18 tahun pada masa itu, aku mahukan hiburan semata-mata tidak filem yang membuatkan aku tersentak dan berfikir.
Dibandingkan "Hang Jebat", aku lebih menyukai "Hang Tuah" arahan Phani Majumdar walaupun ia bercorak ala-Hindustan. Ada entertaiment valuenya. "Hang Jebat" sakit jiwa aku dibuatnya.
Apabila semakin hari semakin dewasa dan semakin hari semakin tua, setelah menonton "Rashomon" (arahan Akira Kurosawa) dan filem-filem karya Wiliam Shakespeare seperti "Hamlet" dan "Macbeth" serta "Semerah Padi" (arahan P.Ramlee), aku merasakan filem-filem Hussain ada benarnya, (dari segi teknik) terkeluar dari tradisi corak pengarahan filem sebelumnya.
Kelainan arahan Hussain begitu ketara termasuk dua eleman filem terpenting, sinematografi dan penyuntingan, yang mana ramai di antara pengarah filem Melayu yang ada pada masa itu, tidak begitu ambil peduli.
Sekiranya, P.Ramlee boleh berbangga dengan "Semerah Padi" dan "Antara Dua Darjat", aku kira Hussain pasti berbangga dengan "Hang Jebat" dan "Dua Pendekar".
Bezanya, dua filem P.Ramlee mendapat kejayaan box office, tetapi Hussain hanya "Hang Jebat" berjaya mendapat sambutan hangat manakala "Dua Pendekar" kecundang teruk.
Sebanyak 12 filem diarahkan oleh Hussain, selain "Hang Jebat" dan "Dua Pendekar", pada aku yang boleh dianggap baik (terutama sinematografi dan penyuntingan) - "Dang Anom", "Mata Shaitan" dan "Kalong Kenangan".
"Istana Berdarah" yang dipadankan oleh Hussain dari filem Jepun "Throne Of Blood" (berdasarkan karya William Shakespeare, "Macbeth"), aku tidak tahu sejauh mana keberkesanannya kerana filem tersebut sudah dianggap hilang.
Ironicnya, hanya "Istana Berdarah", filem arahan Hussain yang ghaib. Yang lain semuanya ada. Ertinya "Istana Berdarah" tidak dapat ditonton dan dinilai. Alangkah ruginya. Satu pencarian harus dan patut dilakukan.
Tawaran istimewa bermula dari 1/2/2017 hingga 1/5/2017.
Kini diterbitkan sebulan sekali tidak dua minggu sekali.
Kini, Dalam proses penyelenggaraan.
Kini, Dalam proses penyelenggaraan.
12+1 LAGU TERBAIK RAFEAH BUANG
# ULASAN & KRITIKAN___
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA
* SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH
* BAYANGAN DI WAKTU FAJAR * JAMBATAN MAUT
* LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA
# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 27 APRIL 2017)
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI 177,532
* SEKSI SELEBRITI INDONESIA 175,632
* SEKSI SELEBRITI MALAYSIA 172,932
* SELAMAT PENGANTIN BARU 68,289
* FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT 29,343
Hussain Haniff, suami pertama Fatimah Ahmad.
William Bushfield, suami kedua Fatimah Ahmad.
Fatimah Ahmad bersama anak-anaknya - Azaharin Hussain (kiri), Faisal Hussain (kanan), Ryan Bushfield dan Adam Bushfield semasa bersantai di Amerika Syarikat.
Hussain Haniff (dua dari kanan) berlawak bersama P.Ramlee, D.Harris, Siti Tg.Perak dan S.Shamsuddin dalam "Juwita". Penggambaran adegan tersebut dilakukan di depan Stesen Keratapi Tanjong Pagar, Singapura.
SEDIKIT MENGENAI HUSSAIN HANIFF
Tidak banyak diketahui mengenai latarbelakang hidup Hussain Haniff. Diperingkat awal ramai yang mencatatkan dia lahir di Pakistan, namun telah diperbetulkan kemudiannya. Ayahnya, Mohd. Haniff, tidak pasti samada lahir di Pakistan ataupun di Malaya, ketika itu.
Lebih jelas, Haniff bertugas di studio Jalan Ampas sebagai Pelukis Pemandangan. Antara filem-filem P.Ramlee dia terlibat, "Nilam", "Rachun Dunia", "Takdir Illahi", "Aloha" dan "Penghidopan".
Menurut pemberi maklumat, Hussain lahir di Johor (tempat dan tarikh tepat tidak diberikannya) pada tahun 1933. Kerana ayahnya bertugas di studio Jalan Ampas, memudahkannya diterima berlakon sebagai pelakon tambahan di studio tersebut.
Diperingkat awal Hussain bekerja sebagai juru-taip, tetapi tidak sesuai dengan jiwanya, dia beralih ke bilik penyuntingan filem, disamping berlakon sebagai pelakon tambahan.
Ada dua filem lakonannya dapat dikesan - "Bapa Saya" berperanan sebagai pelajar kolej berkawan dengan Osman Gumanti, R.Azmi dan A.Rahim, dan "Juwita", dia berada dalam kumpulan pancaragam yang dipimpin oleh P.Ramlee, berlawak dengan D.Harris, S.Shamsuddin, Siti Tg.Perak dan S.Sudarmadji.
Hussain memulakan kariernya sebagai penyunting filem apabila dia berjinak-jinak dibilik penyuntingan di studio Malay Film Productions (MFP), pada masa itu dikuasai oleh H.R.Narayana.
Dengan bantuan L.Krishnan dan S.Ramanathan, Hussain memulakan tugasnya sebagai pengumpul dan pemotong filem di studio tersebut yang terletak di Jalan Ampas.
Apabila tidak mendapat tempat disitu, dia beralih ke studio Cathay Keris, dan secepat kilat pula diangkat sebagai Penyunting Filem, kuasa penentu kebagusan penyuntingan sesuatu filem berada ditangannya.
Sebelum dilantik sebagai Pengarah Filem bermula dengan "Hang Jebat", Hussain telah melakukan penyunting banyak filem yang mendapat kejayaan box office. Antaranya;
* CHE MAMAT PARANG TAJAM (1958) - S.Roomai Noor
* ORANG MINYAK (1958) - L.Krishnan
* JULA JULI BINTANG TIGA (1959) - B.N.Rao
* RADEN MAS (1959) - L.Krishnan
* RASA SAYANG - EH! (1959) - L.Krishnan
* BAWANG PUTEH BAWANG MERAH (1959) - S.Roomai Noor
* NOOR ISLAM (1960) - K.M.Basker
* SRI MERSING (1961) - Salleh Ghani
Sungguhpun sudah bertaraf Pengarah Filem, namun Hussain tetap menguasai hal-hal penyuntingan filem-filem arahannya walaupun di credit title tercatat nama-nama seperti George Peterson dan Ng Chee Liat.
Pada pertengahan tahun 1962, Hussain melakukan kejutan apabila dia berkahwin dengan leading ladynya, Fatimah Ahmad, yang membintangi "Dang Anom" sebagai isteri kedua. Mereka dikurniakan 2 orang anak - Azaharin Hussain dan Faizal Hussain.
Dengan isteri pertama yang dikahwininya pada tahun 1956, juga bernama Fatimah (Fatimah Sani, suri rumahtangga), dia memperolehi 4 orang anak. Tidak begitu jelas, siapakah mereka.
Sekitar tahun 1970an, balunya, Fatimah Ahmad, bernikah pula dengan pemuda Amerika, William Bushfield, dan dikurniakan 2 orang anak juga - Adam Bushfield dan Ryan Bushfield.
Tidak lama kemudian, Fatimah sekeluarga bermastautin di Texas, Amerika Syarikat, dan dia pernah menjadi guru disebuah sekolah di situ disamping menguruskan ladang dan perniagaan suaminya.
Di penghujung tahun 1964, telah dicadangkan, Hussain mengarahkan filem "Tun Perak" secara besar-besaran (epik) mungkin juga dicolorkan. Lakonlayar diusahakannya sendiri, dan mengisahkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi Tun Perak terhadap Sultan yang memerintah Negeri Melaka.
Apabila anaknya (Tun Besar) dibunuh oleh anak Sultan Mahmud (Raja Muhammad) kerana berlakunya salah faham, Tun Perak tidak membalas dendam terhadap Sultan malah dia mengesyorkan kepada Sultan supaya Raja Muhammad dihantar ke Pahang, kemudian dilantik sebagai Sultan Pahang.
Bagaimanapun, "Tun Perak" tidak jadi difilemkan kerana Hussain pergi menemui Allah yang Maha Esa. Menariknya, studio Cathay Keris tidak berminat meneruskan pelaksanaannya tanpa adanya Hussain duduk di kerusi pengarah filem.
Hussain telah membawa "Tun Perak" bersamanya.
HUSSAIN HANIFF MENINGGAL DUNIA
Hussain Haniff meninggal dunia pada 4 April 1966 dirumahnya di No. 7 MacPherson Road, Singapura jam 9.30 pagi kerana BARAH DALAM PERUT, dan disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, Singapura.
NOORDIN AHMAD & FATIMAH AHMAD
YUSOF LATIFF & SIPUT SERAWAK
YUSOF LATIFF & ROSE YATIMAH
AHMAD OSMAN & LATIFFAH OMAR
HUSSAIN HANIFF BERMUSUH DENGAN WARTAWAN
Oleh Hamzah Hussain
Adalah menjadi kelaziman di Hollywood dan di merata-rata dunia perusahaan filem, seorang penyunting filem yang baik boleh menjadi seorang pengarah filem yang baik. Truism atau kebenaran ini menimpa Hussain Haniff.
Hussain memulakan tugasnya di dunia filem sebagai pelakon tambahan kerana dia mempunyai hidung yang mancung dan berwajah DKK (Darah Keturunan Keling). Tetapi dia tidak berjalan jauh di dalam dunia itu, dan mungkin kerugiannya dalam dunia lakonan adalah satu keuntungan pula pada dunia teknik filem.
Dengan galakan para pengarah ketika itu seperti L.Krishnan dan S.Ramanathan, Hussain memasuki dunia filem dalam jabatan penyuntingan. Mulanya sebagai pemotong filem dan bila dia berpindah ke studio Cathay Keris dari studio Jalan Ampas, dia telah membawa pengalaman yang banyak itu lalu dilantik sebagai Penyunting Filsm.
Ketika berjawatan Penyunting Filem inilah Hussain bekerjasama dengan para pengarah filem dan mengemukakan cadangan-cadangan untuk menimbulkan ketegangan dramanya, melambatkan gerakannya pada babak-babak sedih atau mempercepatkan pada babak-babak kejar-mengejar atau menggunakan intercut pada babak-babak yang boleh menimbul dan menangkap emosi para penonton.
Selama perkenalan dan perbualan saya dengan anak muda ini, tenyata Hussain seolah-olah merasa puashati dengan tugasnya sebagai film editor. Ini kerana katanya, penyuntingan filem adalah satu seni yang tersendiri malah dia berkeyakinan kerja sebenar seorang penyunting filem ialah mempersembahkan sebuah filem dari bahan-bahan yang telah digambarkan oleh jurugambar.
Menurut kemahuan pengarahnya, biarpun tugas asas penyunting filem ialah menyunting dan menyususn babak-babak atau adegan-adegan yang berkecai dan timbal balik itu hingga menjadi satu jalan cerita yang tersusun kemas, tetapi tugas artistik seorang penyunting filem ialah memberikan nilai pada filem itu iaitu dengan penyuntingan dan intercuttingnya.
Para pengarah yang pernah bekerja dengan Hussain dapat memberikan kata-kata pengesahan tentang kecekapannya. Bagi saya Hussain ialah seorang penyunting filem yang cepat dan tangkas.
Saya pernah melihat, Hussain mengambil filem yang sudah dicetak lalu melihatnya disuluh oleh lampu dan mengerat filem itu dengan tarikan tangannya tanpa menggunakan gunting.
Maka datanglah tuah yang tidak dapat ditolak. Untuk memenuhi jawatan sebagai pengarah filem; pengarah kebangsaan bagi mengarahkan filem-filem Melayu, Hussain dengan rasminya telah ditawarkan untuk memegang jawatan penting - Pengarah Filem.
Dalam hal ini, hati Hussain terbelah dua, kerana dia teragak-agak meninggalkan tugas penyuntingan filem yang dianggapnya sebagai satu daerah yang mempunyai fungsi seninya yang tersendiri, tetapi seorang pengarah filem pula mempunyai kuasa menguasai seluruh jalan sesebuah filem dari awal penggambaran sehinggalah pada saat-saat filem itu melekap di layar perak.
Hussain telah meminta pendapat teman-temannya di studio Cathay Keris itu. Jika ada kawan-kawan yang menggalakkannya maka ada juga kawan-kawan yang menyangsikan kemampuannya sebagai mengarah filem.
Menghadapi dua pendapat yang berbeza ini, pihak pengurusan studio menyimpan keyakinan pada kebolehan Hussain untuk mengarahkan filem. Dengan kepercayaan yang bulat, dia diserahkan cerita "Hang Jebat" berdasarkan citrawara karya intelektual Ali Aziz, kini seorang majistret, untuk difilemkan.
Ternyata confidence studio Cathay Keris telah dibayar dengan lunas dan penuh. Filem "Hang Jebat" membawa dan mengemukakan teknik-teknik penggambaran baru yang selama ini belum pernah dicubai dalam filem Melayu,
Cuma sayang sedikit, prolog filem ini tidaklah mengikut sebagaimana yang dimahukan oleh karya asal Ali Aziz dimana seorang buta telah menelahkan masa buruk bagi Negeri Melaka.
"Hang Jebat" bukan saja merangkumi pujian demi pujian oleh para pengkritik filem malah menjadi salah satu filem Melayu yang mencatatkan koleksi box office yang sangat tinggi.
Ia juga merupakan filem studio Cathay Keris pertama diedarkan ke luar negara dengan diiringi sarikata dalam Bahasa Inggeris.
Lebih penting dan begitu membanggakan, pengedaran luar negara "Hang Jebat" dilakukan oleh syarikat filem Hollywood yang terkenal - Paramount.
Biarpun beberapa negara Timur Tengah telah menayangkan filem tersebut secara komersial tetapi di Mesir, yang telah menggulingkan pemerintahan Raja Farouk, menolak "Hang Jebat" untuk tayangan umum dengan alasan pemberontakan Hang Jebat terhadap seorang Raja (Sultan) yang tidak adil menemui kegagalan.
Hanya satu filem diarahkan oleh Hussain dalam tahun 1961, tetapi pada tahun berikutnya (1962) dia mengarahkan tiga filem, yang mempunyai corak yang berlainan.
"Dang Anom" bersandarkan kisah sejarah Singapura dengan Parameswara, yang menimbulkan kehebatan filem ini ialah babak-babak kejam yang digambar secara grafik oleh Hussain seperti pergaduhan di lumpur bila orang yang telah di kalahkan dihenyak kepalanya ke dalam lumpur.
Kerana banyak kekejaman ini dan dalam beberapa babak yang lain, bukan saja filem-filem Hussain sering menghadapi problem dengan pihak penapis filem malah ada orang menyatakan, ia mencerminkan sebahagian dari keperibadiannya.
Hussain adalah pengarah filem Melayu yang begitu yakin, seorang seniwati tidak saja ditimbulkan imejnya yang jelita atau glamour tetapi harus dibentangkan dalam konteks filem itu sendiri.
Itulah sebabnya dalam salah satu filemnya dia telah membuat heroinenya berlari dan jatuh ke dalam lumpur hingga berkubang seluruh badan dan wajahnya, dan babak yang terdapat dalam "Kalong Kenangan" itu memberikan pujian lakonan bintang tahi lalat - Latiffah Omar.
"Dang Anom", bila ditayangkan di Korea Selatan dalam satu acara Festival Filem Asia-Pasifik, telah diasingkan oleh para pengkritik filem negara tersebut sebagai filem yang baik tetapi ditunjukkan kekejamannya, selanjutnya ia memenangi anugerah khas - Cerita Rakyat Terbaik.
Berikutnya ialah "Mata Shaitan", sebuah cerita horror dari karya Siput Serawak yang mula ditunjukkan akan mengarahkannya. Siput tidak begitu senang dengan hasil arahan Hussain yang dianggapnya telah merubah sama sekali konsep cerita asalnya, mungkin kerana pergeseran ini Hussain dikatakan tidak lagi mengambil Siput berlakon dalam filem-filem arahannya selepas "Mata Shaitan".
Begitu juga dengan Latiffah yang telah dihilangkan dalam filem-filem arahannya kerana dia berani membantah beberapa perlakuan Hussain terhadap dirinya yang dianggap kurang sopan atau budiman ketika penggambaran filem.
Hussain, seperti juga dengan kisah hidup pengarah-pengarah filem terkenal di seluruh perfileman dunia, jatuh cinta dengan leading ladynya atau seniwati utamanya.
Melalui filem "Korban Kaseh" kisah percintaan yang dipadankan dari filem Hindustan yang meletakkan Fatimah Ahmad sebagai seniwati utamanya, selepas diperkenalkan oleh S.Roomai Noor dalam "Lela Satria", terus menjadi pelakon utama dalam filem-filem Hussain seperti "Masuk Angin Keluar Asap", "Istana Berdarah" dan "Chinta Kaseh Sayang".
Di bawah pimpinan Hussain, Fatimah dapat mempertajamkan lakonannya sehingga ternyata dia menjadi seniwati yang berkaliber. Ini kisah cinta Fatimah dan Hussain ialah kisah cinta sejati yang berakhir dengan perkahwinan.
Untuk mempertahankan kritikan-kritikan terhadap keperibadiannya, Hussain telah mencetuskan titik-titik hitam dalam sejarah hidupnya, bermusuh ketat dengan gologan wartawan hiburan yang hampir menimbulkan pertumpahan darah.
Dalam satu majlis silaturahim yang dianjurkan oleh Persatuan Wartawan Melayu (PWM) untuk menwujudkan suasanan damai diantara Hussain dan press (wartawan) terutama Aimi Jarr. malangnya, usaha tersebut gagal sampailah ke akhir hayatnya.
Bila orang menulis satu imbangan kritik terhadap kontribusi atau sumbangan Hussain dalam dunia filem Melayu, maka filemnya "Dua Pendekar" akan timbul sebagai hasil arahannya yang terbaik.
Buat pertama kali lebih 2,000 pelakon tambahan digunakan untuk satu babak penting dan bagi pertama kalinya juga, Hussain telah menggunakan crane shot yang didatangkan khas dari Hong Kong untuk menggambarkan keseluruhan panorama yang dikehendakinya tanpa kamera berhenti.
Saya telah menganjurkan supaya pengurus-pengurus panggang wayang di seluruh Malaya termasuk Singapura yang menayangkan filem tersebut memberikan laporan mengapa ia kecundang di box office.
Adalah menjadi pendapat bulat, yang tidak berbelah bagi, kegagalan "Dua Pendekar" disebabkan cerita. Ia mempunyai cerita paling tipis iaitu mengenai perebutan Rose Yatimah oleh Yusof Latiff dan Salleh Melan, sedangkan para penonton Melayu yang telah mula sedar, mahukan cerita yang lebih terisi dari itu.
Kata orang, orang-orang yang baik dan orang-orang yang pandai akan mati muda. Maka setelah mengarahkan filem terakhirnya "Udang DiSebalek Batu", Hussain telah meninggal dunia dalam usia yang masih terlalu muda, satu kerugian besar bagi dunia filem yang hendak mencari kesempurnaan tekniknya.
# Penulis pernah memegang jawatan Pegawai Penerangan Filem Melayu studio Cathay Keris, dan artikel ini telah disiarkan dalam majalah Utusan Filem & Fesyen (UFF) pada bulan Oktober 1980.
Salam perdamaian yang dilakukan oleh Hussain Haniff dengan Aimi Jarr sambil diperhatikan olrh (dari kiri) S.Roomai Noor, Sulaiman Jeem dan Ramlee Abdul Hadi.
SAYA TIDAK PUKUL, SAYA CUMA TAMPAR
KATA HUSSAIN HANIFF
Oleh Zaini Yusop
Sebab mengapa Hussain Haniff dikatakan memukul Aimi Jarr kerana terbitnya dari sikap Aimi yang telah banyak kali mengkritik mengenai peribadinya, sejak setahun yang lalu. Kemuncak kepanasan hati Hussain apabila Aimi mengkritik lakonan Fatimah Ahmad, heroine "Dang Anom".
"Kerana sikap Aimi itu juga, beberapa orang pemberita yang lain telah melakukan konfrantasi terhadap diri dan karya-karya filem saya sebagai pengarah filem", kata Hussain.
Hussain juga memberitahu, "Sebenarnya, saya tidak memukul pemberita itu. Apa yang saya lakukan hanya menamparnya saja."
Hussain juga merasa hairan, kerana perkara tersebut sudah sampai ke pengetahuan Persatuan Wartawan Melayu, sedangkan Aimi sudah meminta maaf kepadannya sebaik-baik saja kejadian tersebut berlaku.
Bagaimanapun Aimi menegaskan, "Saya tidak ada meminta maaf kepada Hussain cuma menyatakan sorry saja, itu pun kerana terdesak dan khuatir kalau-kalau perkara buruk itu diulangnya lagi.
Peristiwa berlaku pada Selasa, 27 Ogos 1963, di studio Cathay Keris semasa Aimi sedang menjalankan tugasnya sebagai pemberita sambilan untuk satu majalah hiburan.
Aimi mengadu, bahawa dia telah dipukul oleh Hussain ketika brada di studio Cathay Keris untuk menjalankan tugasnya sebagai pemberita hiburan. "Ketika berada di set penggambaran S.Roomai Noor petang itu tiba-tiba Hussain datang meluru lalu memukul saya," kata Aimi.
Berikutan dengan itu, satu persetujuan telah tercapai bagi mengadakan pertemuan damai antara Hussain dan Aimi bagi menjernihkan suasana yang semakin lama semakin keruh.
Persetujuan telah dicapai pada 5 September 1963, dalam satu pertemuan antara wakil-wakil Persatuan Wartawan Melayu (PWM) dengan Hussain. S.Roomai Noor turut hadir sebagai orang tengah.
Setiausaha PWM, Ramli Abdul Hadi, menerangkan, dalam tata-tertib dan undang-undang kewartawanan seseorang pemberita itu boleh dihadapkan kemuka pengadilan sekiranya ternyata tulis-tulisannya boleh memburukkan seseorang.
Katanya lagi, "Dalam hubungan ini Hussain boleh mengadukan perkara Aimi itu ke polis jika benar kritikan-kritikannya ada menyentuh peribadi. Seseorang pengarah, bintang filem dan mereka yang terlibat dalam seni adalah menjadi tokoh masyarakat atau public figure, mereka boleh dikritik."
Majlis jamuan malam mendamaikan perseketaan antara Hussain dan Aimi telah diadakan pada 29 September 1963 di Bilik Hollywood (Hollywood Room), Bangunan Odeon, North Beach Road, Singapura.
SALLEH MELAN & FATIMAH AHMAD
ISTANA BERDARAH DIJANGKA
FILEM HUSSAIN TERAGUNG
Oleh Bahyah Mahmood
(Berita Harian, 19 Disember 1964)
Kini sudah terbukti bahawa Hussain Haniff ialah salah seorang pengarah yang termuda dan handal di studio Cathay Keris. Dia sudah mengarah 8 filem dengan jayanya, dan filemnya yang terbaru sekali, "Istana Berdarah", yang akan ditayangkan tidak lama lagi, dijangka merupakan yang teragung.
Pengawai Penerangan studio Cathay Keris, Hamzah Hussain, menegaskan: "Melalui filem ini Hussain telah menghasilkan sesuatu yang dianggap oleh sesetengan kalangan sebagai mustahil dan ganjil.
"Hussain telah mengambil drama duka-lara karya pujangga Inggeris William Shakespeare, "Macbeth", menjadikannya sebuah filem versi Melayu.
"Saya percaya mereka yang akan menonton filem ini akan seia dan sekata bersependapat bahawa ini bukan suatu tugas yang mustahil kerana Hussain adalah pengarah yang tidak kenal penat lelah.
"Tidak syak lagi, Istana Berdarah filem utama yang diarahkan oleh Hussain," katanya.
Hussain dengan jayanya telah menimbulkan watak terseksa Macbeth yang diberinama Mahfuz didalam filem ini dan isteri yang gila kuasa dan cemburu, Lady Macbeth yang ditukar namanya kepada Wan Kendali.
Fatimah Ahmad mendokong peranan Wan Kendali, dan ternyata dia telah berjaya menghidupkan sifat seorang wanita yang meracun dan membunuh semata-mata mahu memberikan kekuasaan ke tangan suaminya, Mahfuz.
Salleh Melan yang memegang peranan Mahfuz, menwujudkan seorang Macbeth dalam filem ini, berlakon sebagai seorang manusia yang kusut fikirannya.
Diminta fikirannya mengenai pembikinan filem "Istana Berdarah" ini, Hussain berkata: "Perkara yang paling kuat mempengaruhi dan ini sangatlah mustahak ialah kerana ceritanya yang mempunyai tema kemanusiaan yang dapat dimegertikan oleh setiap orang.
Haniff adalah seorang peminat karya-karya sastera Walliam Shakesepeare. Dia merasakan sudah sampai masanya untuk menghidangkan kepada peminatnya yang ramai, dan memilih "Macbeth" yang ditukar tajuknya kepada "Istana Berdarah".
Dalam "Istana Berdarah" ini, Hussain telah mewujudkan suatu gambaran yang tidak dapat dinafikan lagi tentang kebaikan, kehebatan dan teragung.
MACBETH MUNCUL DALAM "ISTANA BERDARAH"
Oleh Bahyah Mahmood
(Berita Harian, 2 Januari 1965)
Hussain Haniff, salah seorang pengarah di studio Cathay Keris, setakat ini telah mengarahkan 8 filem. Filemnya yang terakhir, "Istana Berdarah", yang akan diedarkan oleh studio tersebut tidak lama lagi.
Dalam filem ini Hussain telah melakukan sesuatunya yang dianggap oleh sesetengah kalangan sebagai mustahil.
Kepada saya Hussain menyatakan bahawa dia telah mengambil drama duka-lara karya pujanggan Inggeris, William Shakespeare, "Macbeth", dan menjelmakannya menjadikan filem Melayu yang agung.
Katanya, ini adalah satu tugas sangat berat tetapi tidak mustahil boleh dilaksanakan.
Tidak syak lagi, "Istana Berdarah" merupakan filem terbesar bagi tahun ini kerana ia berjaya menimbulkan watak Mahfuz. Demikian juga isterinya, Lady Macbeth atau Wan Kendali.
Seniwati Fatimah Ahmad yang memegang peranan ini dapat memperlihatkan watak cemburunya yang menggila yang sanggup meracun dan membunuh manusia disebabkan semata-mata mahu memberi kuasa kepada suaminya.
Satu watak yang kuat, menghasut suaminya yang lemah semangat itu ke jalan jahanam, kebinasaan dan maut.
Seniman Salleh Melan yang berlakon sebagai Mahfuz telah mengwujudkan seorang Macbeth yang baru dalam filem ini, seorang manusia yang kusut masai fikiran dan jiwanya terdampar di antara dua nafsu - memenuhi keinginan isteri yang dikasihinya dan perasaannya sendiri.
Diminta fikirannya tentang "Istana Berdarah" ini, lebih jauh Hussain memberitahu, "Perkara yang paling kuat mempengarhui saya dan ini adalah sangat mustahak ialah nafas cerita itu sendiri. Ia mempunyai tema kemanusiaan yang dapat dimengertikan oleh setiap orang".
Hussain ialah seorang peminat hasil karya William Shakespeare merasakan, sudah sampai masanya dia menghidangkan cerita-cerita William Shakespeare kepada peminat-peminat filem tempatan, "yang pertama kalinya saya cuba mengemukakan cerita penderitaan batin Macbeth untuk santapan rohani dan jasmani orang-orang Malaysia."
Antara pelakon yang membintangi "Istana Berdarah" ialah Fatimah Ahmad, Salleh Melan, Suraya Harun, Ahmad Sabri dan Ahmad Osman.
Hussain Haniff (tiga dari kiri) diapit oleh seniwati-seniwati jelita Jepun. Turut kelihatan Latiffah Omar, Rose Yatimah dan Rahmah Ali, ketika menghadiri Festival Filem Asia-Pasifik Ke-10 di Tokyo, Jepun pada tahun 1963.
Ketika "Dang Anom" menang anugerah khas juri di Festival Filem Asia-Pasifik Ke-9 di Seoul, Korea Selatan pada tahun 1962, Hussain Haniff tidak turut serta. Yang dihantar (dari kanan) Fatimah Ahmad, Ummi Kalthoum, Rose Yatimah dan Rahmah Ali.
ANUGERAH___
Filem: "Dang Anom"
Anugerah Khas Juri: Cerita Rakyat (Folklore) Terbaik
Festival Filem Asia Pasifik Ke-9
Tarikh: 12-16 Mei 1962
Tempat: Seoul, Korea Selatan
Empat seniwati studio Cathay Keris menghadiri festival tersebut. Mereka ialah Ummi Kalthoum, Fatimah Ahmad, Rose Yatimah dan Rahmah Ali. Bersama mereka ialah Hamzah Hussain,
Lapan negara mengambil bahagian - Jepun, Formosa (Taiwan), Hong Kong, Korea Selatan, Indonesia, Phillippine, Thailand dan Malaysia (Singapura).
"Hang Jebat" turut serta tetapi gagal menang anugerah. "Seniman Bujang Lapok" (P.Ramlee) dan "Lubalang Daik" (Jamil Sulong) yang bertanding sama, juga kecundang.
Di Festival Filem Asia-Pasifik Ke-10 di Tokyo, filem yang menyertai di peringkat awal, "Ibu Mertua Ku" (P.Ramlee), "Labu Dan Labi" (P.Ramlee), "Chuchu Datok Merah" (M.Amin) dan "Masok Angin Keluar Asap" (Hussain Haniff).
Tetapi di saat-saat akhir dimasukkan juga "Bayangan DiWaktu Fajar" yang diarahkan oleh pengarah filem Indonesia, Usmar Ismail.
P.Ramlee menang anugerah Bakat Serba Boleh, A.Bakar Ali kerana Sinematografi Terbaik (hitam & putih) untuk "Ibu Mertua Ku" dan Rendra Karno kerana lakonannya (Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik) dalam "Bayangan DiWaktu Fajar".
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Festival Filem Asia-Pasifik Ke-10 itu Kliks Di Sini.
LATIFFAH OMAR & GHAZALI SUMANTRI
TONY KASSIM & YEM
HAJI ARSHAD & SITI TG.PERAK
GHAZALI SUMANTRI, UMI KALTHOM & AHMAD SABRI
CATHAY ORGANISATION MEMPERSEMBAHKAN SABUAH FILEM CATHAY KERIS KALONG KENANGAN Di-bintangi Oleh: LATIFFAH OMAR GHAZALI SUMANTRI HAJI ARSHAD UMI KALTHOM RAHMAH ALI SITI TG.PERAK TONY KASSIM DOLLAH SERAWAK YEM Di-bantu Oleh: AHMAD SABRI RAHIM P.K. AHMAD OSMAN SALLEH MELAN Penyuntig Filem NG CHENG LIAT Pembantu Penyunting Filem GEORGER PETERSON Pembantu Pengarah RAHEEM JAILANI ABD.RAZAK HARON Penjaga Sambongan DOLLAH MOHAMAD Jurutera Bunyi V.G.BHASKARAN Pembantu Utama WAN LIM CHYE Pembantu WONG SHAUR LEEI TAN BENG SIM Pengurus Ma'mal KANG KEE CHYE Penolong Pengurus AHMAD BIN NANDOK Pembantu ANG AH POON Pengarah Seni Lukis J.S.ANTHONY Juru Hias K.RAJOO Juru Bangunan LIM YEW WEE Cherita dan Lakon Layar HUSSAIN HANIFF Jurukamera HAN KAI YUAN Pembantu YUNOS BIN ALWI RICHARD WONG Penchipta Musik AHMAD WAN YEET Penyelia Pengeluaran A.LAM SHOON KONG Pengarah HUSSAIN HANIFF
Tahun Di Tayangkan: 1964 (22 OGOS)
SINOPSIS
Ceritanya berkisar pada seorang puteri diraja entah berentah, Puteri Mawar (Latiffah), yang cantik jelita dan dicintai oleh teman sepermainan, Malek (Haji Arshad), yang tidak setaraf dengannya, setelah Puteri Mawar itu diintainya sedang bersalinan pakaian selepas mandi di sungai.
Malek meminta orang tuannya meminang Puteri Mawar, tetapi kerana berlainan taraf, orang tuannya itu takut menyampaikan isi hati Malek. Namun hasrat hatinya terhadap Puteri Mawar begitu memuncak.
Kerana itu Malek mencari ikhtiar dengan menggunakan ilmu hikmat untuk memperkosa Puteri Mawar. Maksudnya tertunai sudah, dan semakin lama perut puteri jelita itu semakin membesar. Mengetahui hal tersebut, ayahnda Puteri Mawar begitu murka yang akhirnya gering dan membawa maut.
Sebelum mangkat, ayahanda Puteri Mawar mewasiatkan supaya cucunya yang bakal lahir itu hendaklah dibuang negeri secara rahsia, kerana kejadian itu sangat memalukan.
Berlakulah apa yang diwasiatkan itu. Anak tersebut kemudian dijumpai oleh seorang nelayan disebuah pulau, yang kemudian memeliharanya hingga dewasa.
Disebabkan ibunya kejam, anak itu bernama Rabu, telah dihalau keluar rumah, dan dengan tidak ada hala tujuan Rabu sampai kesebuah pulau dimana dia menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh Datuk Bendahara beserta orang-orangnya. Rabu bertindak menjadi pembela.
Oleh kerana kepahlawanannya, Rabu telah dilantik menjadi salah seorang pahlawan oleh Permaisuri pulau tersebut yang menyebabkan kemarahan Datuk Bendahara yang kejam itu.
Berbagai iktiar telah dilakukan oleh Datuk Bendahara untuk memusnahkan Rabu, dan ketika Rabu sedang bersanding dengan Permaisuri, Datuk Bendahara telah menyuruh orang-orangnya membunuh Rabu.
Bagaimanapun pembunuh telah ditangkap, dan rahsia yang tersembunyi disebalik cuba membunuh terbongkar. Pergaduhan antara Pahlawan Rabu dan Datuk Bendahara (Malek) pun berlaku.
Akibat kedua-duanya luka teruk kerana tikaman keris masing-masing, barulah diketahui (flash back) bahawa Rabu adalah anak yang telah dihanyutkan oleh Puteri Mawar 25 tahun yang lalu.
Permaisuri yang hendak dinikahkan oleh Pahlawan Rabu itu ialah ibunya sendiri, dan Datuk Bendahara yang telah dibunuh itu ialah ayah
Pahlawan Rabu.
Puteri Mawar dan Pahlawan Rabu tidak jadi bernikah. Rahsia terbongkar kerana adanya Kalongan Kenangan dileher Pahlawan Rabu.
Sebenarnya, Puteri (Permaisuri) Mawar adalah ibu kandung Pahlawan Rabu, hasil kedurjanaan Datuk Bendahara Malek.
KALONG KENANGAN (Sumber: Mid Scarface)
KALONG KENANGAN BANYAK KELEMAHANNYA
Oleh Panorama
(Berita Harian, 22 Ogos 1964)
Meskipun ramai pengarah filem dari India yang telah mempelopori usaha pengarahan filem-filem Melayu telah kembali ke tanahair mereka, namun kesan-kesan dari usaha mereka (pengarah-pengarah India) masih tetap belum hilang, masih ramai diikuti oleh pengarah-pengarah Melayu negara ini.
Contohnya dapat kita saksikan dalam filem terbaru perusahaan studio Cathay Keris berjodol "Kalong Kenangan" arahan Hussain Haniff. Bukti dari pendapat saya itu boleh pembaca-pembaca dapati apabila filem tersebut ditontoni.
Idea atau jejak langkah pengarah-pengarah filem dari India ini tidak saja telah diikuti oleh pengarah-pengarah filem kita melalui jalinan-jalinan ceritanya malahan dari segi persembahannya juga.
Kerana kalau filem-filem yang diarahkan oleh mereka, pengarah-pengarah dari India banyak menyandurkan nyanyian-nyanyian ketika adegan-adegan tegang sedang diputarkan, maka pengarah-pengarah Melayu juga sudah berjaya meniru demikian.
Demikian juga dengan jalinan ceritanya, malah setengah-setengah pengarah India itu lebih tajam daya ciptanya dalam segi ini jika dibandingkan dengan pengarah-pengarah Melayu yang mengarahkan filem Melayu.
Pendeknya kalau dibandingkan dan diukur dengan filem-filem Melayu yang diarahkan oleh pengarah India, "Kalong Kenangan" merupakan salah satu filem Hussain Haniff yang banyak kelemahannya.
Nampaknya semakin lama Hussain bukan semakin maju dalam pengarahan filem di studio Cathay Keris. malah sebaliknya semakin merosot. Ini mungkin disebabkan dia sudah telalu banyak termakan sanjungan dari karya-karya yang sebelumnya juga kerana sikapnya tidak mahu meminta fikiran dari pengarah-pengarah yang lebih matang di studionya itu.
Disebabkan merosotnya Hussain sebagai pengarah filem, "Kalong Kenangan" yang sudah pun ditayangkan di panggung wayang seluruh Malaysia, mengalami kerugian paling teruk dibandingkan dengan filem-filem lain di studio Cathay Keris di masa lalu.
Berdasarkan pada kelemahan-kelemahan dan tidak masuk akal cerita "Kalong Kenangan", tidaklah mustahil kalau ia menerima nasib yang serupa dengan filem arahannya yang satu lagi, "Dua Pendekar".
Dapatlah diramalkan, bahawa daya dan harapan Hussain untuk naik menebus kemerosotan-kemerosotan itu nampaknya menemui jalan gelap disebabkan kesempatan yang diberikan kepadanya untuk berbuat demikian sudah begitu banyak oleh studio Cathay Keris.
Bagaimanapun, sekiranya kemerosotan-kemerosotan itu dapat disedarinya, dan mahu pula dia meminta fikiran dan mengajak berunding dengan pengarah-pengarah yang sudah dianggap matang di studio Cathay Keris mungkin jalan gelap itu dapat diterangi.
"Kalong Kenangan" merupakan satu filem purba dongeng menurut khayalan pengarah dan penulisnya seendiri. Sungguhpun, banyak sudah filem bercorak purba Melayu dihasilkan pengarah lain di masa lalu, namun cerita yang ditonjolkan oleh Hussain ini sukar dimasukkan dalam fikiran apalagi untuk dijadikan perbandingan
di zaman sekarang.
YUSOF LATIFF & FATIMAH AHMAD
SALLEH MELAN & ROSE YATIMAH
MUSTAPHA MAAROF & SURAYA HARUN
FILEM-FILEM ARAHAN HUSSAIN HANIFF
Oleh: Mustafar A.R.
Ramai yang mencatat, Hussain Haniff mengarahkan 14 filem. Wikipedia, blog yang menjadi rujukan setiap mereka yang mahukan fakta yang tepat, pun tersilap juga. Mereka main bantai saja, tidak buat kajian atau research.
Dalam hal-hal sebegini setiap para penulis terutama penulis buku, harus berhati-hati supaya tidak tersalah fakta. Kalau sudah terlajak perahu sukar berpatah balik. Kesilapan yang dilakukan akan berterusan selagi pembetulan tidak dibuat.
Nasir Jani telah menulis di Sinar Harian panjang lebar (7 bahagian) mengenai kebagusan Hussain sebagai pengarah filem, Kliks Di Sini namun ia sudah jadi "kerana nila setitik rosak susu sebelanga", apabila dia mencatatkan "Hutang Darah Di-Bayar Darah" diarahkan Hussain, padahal oleh B.N.Rao.
Hussain menjadi pengarah 12 filem;
1. Hang Jebat (1961)
2. Dang Anom (1962)
3. Mata Shaitan (1962)
4. Korban Kaseh (1962)
5. Masok Angin Keluar Asap (1963)
6. Gila Talak (1963)
7. Dua Pendekar (1964)
8. Kalong Kenangan (1964)
9. Istana Berdarah (1964)
10. Chinta Kaseh Sayang (1965)
11. Jiran Sekampong (1965)
12. Udang DiSebalek Batu (1966)
Hussain bukan pengarah "Mabok Kepayang" (1963) dan "Hutang Darah Di-Bayar Darah" (1964). "Mabok Kepayang" diarahkan oleh S.Roomai Noor dan "Hutang Darah Di-Bayar Darah" diarahkan
oleh B.N. Rao.
Selain dari itu, tajuk-tajuk filemnya catatan sering bercelaru. Faktanya, ikut apa yang tertulis di credit title dalam filem, jangan gunakan ejaan baru. Mengelirukan. Kalau mahu digunakan juga, buat kurungan. Sebagai contoh: Mata Syaitan (Mata Shaitan).
* Dang Anom bukan Dang Anum
* Mata Shaitan bukan Mata Syaitan
* Korban Kaseh bukan Korban Kasih
* Masok Angin Keluar Asap bukan Masuk Angin Keluar Asap
* Kalong Kenangan bukan Kalung Kenangan
* Chinta Kaseh Sayang bukan Cinta Kasih Sayang
* Jiran Sekampong bukan Jiran Sakampung
* Udang DiSebalek Batu bukan Udang DiSebalik Batu
* Fatimah Ahmad paling banyak membintangi filem Hussain.
7 semuanya;
1. Dang Anom
2. Mata Shaitan
3. Korban Kaseh
4. Masok Angin Keluar Asap
5. Gila Talak
6. Istana Berdarah
7. Chinta Kaseh Sayang
* Rose Yatimah 4 filem;
1. Dang Anom
2. Dua Pendekar
3. Jiran Sekampong
4. Udang DiSebalek Batu
* Latiffah Omar 3 filem;
1. Hang Jebat
2. Kalong Kenangan
3. Chinta Kaseh Sayang
* Yusoff Latiff 6 filem;
1. Mata Shaitan
2. Korban Kaseh
3. Masok Angin Keluar Asap
4. Gila Talak
5. Dua Pendekar
6. Jiran Sekampong
* Ghazali Sumantri 5 filem;
1. Hang Jebat
2. Dang Anom
3. Mata Shaitan
4. Chinta Kaseh Sayang
5. Kalong Kenangan
* Noordin Ahmad hanya 2 filem;
1. Hang Jebat
2. Dang Anom
Filem terakhir Hussain, "Udang DiSebalek Batu" yang dibintangi oleh Mustapha Maarof, Rose Yatimah, Suraya Harun dan Ahmad Osman, mula ditayangkan pada 3 Jun 1966.
# Istana Berdarah" sumber ceritanya "Macbeth" karya William Shakespeare, tetapi Hussain mengarahkannya berdasarkan filem Jepun, "Throne Of Blood", yang diarahkan oleh Akira Kurosawa dan dibintangi oleh Toshiro Mifune, Isuzu Yamada dan Takashi Shimur.
# "Kalong Kenangan" sumber ceritanya dari kisah trajidi Greek "Oedipus Rex" karya Sophocles. Ia difilemkan semula oleh M.Amin bertajuk "Jahanam" dengan bintang utamanya, Sa'adiah dan
Noordin Ahmad.
# "Jiran Sekampong" sumber ceritanya dari filem "Peyton Place" yang diarahkan oleh Mark Robson dan dibintangi oleh Lana Turner, Lee Philips dan Hope Lange.
# "Korban Kaseh" sumber ceritanya dari filem Hindustan yang (setakat ini) tidak begitu pasti tajuknya.
MARI KITA MENONTON 3 FILEM HUSSAIN HANIFF -
"DANG ANOM", "DUA PENDEKAR" & "JIRAN SEKAMPONG"
DANG ANOM (Sumber: filem klasik)
DUA PENDEKAR (Sumber: filem klasik)
JIRAN SEKAMPONG (Sumber: ed LOkfc)
# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.
ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI
FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?
SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem
A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati
R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian
AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni
LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu
SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?