"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Tuesday, July 15, 2014


SHARIFAH AMINAH

KARIERNYA BERMULA DI HONG KONG BUKAN JALAN AMPAS
Teks & Foto: Mustafar A.R. & Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semnak & Di Susun: Zaini Yusop



Sharifah Aminah Sebelum Sakit Dan Koma.

Sharifah Aminah Dalam Filem Pertamanya, "Bayangan Ajal."
(Sumber ed Lokfc)

# UPDATE 27 JANUARI 2020

ARTIS VETERAN SHARIFAH AMINAH TERLANTAR
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (BH Online)

Pelakon dan penerbit, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, terlantar dalam keadaan separuh sedar di sebuah pusat jagaan warga emas di ibu negara, sejak setahun lalu. Sharifah Aminah yang aktif sejak 1960-an, ditempatkan di pusat jagaan itu oleh anak-anak bagi membolehkan beliau mendapat penjagaan khusus. Anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52, memberitahu, dia dan adiknya sepakat menempatkan ibu mereka di premis berkenaan, namun keadaan kewangan ketika ini, tidak mengizinkan dirinya melunaskan bayaran bulanan. “Saya dibuang kerja dan masih mencari jawatan dengan pendapatan tetap. Saya hanya menjual kuih yang dihantar kepada beberapa gerai di sekitar rumah. “Ketika ini, tunggakan bayaran penjagaan bernilai hampir RM10,000. Namun, pengurusan premis berkenaan berbesar hati mengurangkannya kepada RM8,000 serta menghadiahkan mama katil hospital. “Selain itu, ada saudara-mara dan teman rapat membantu menjelaskan bayaran, tetapi tidak mencukupi,” katanya kepada BH Online. Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem Mama Oh Mama dan Esok Untuk Siapa mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018. Berikutan itu, Sharifah Aminah atau mesra disapa Kak Pah, dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan. Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke pusat jagaan warga emas itu. Wan Monaliza berkata, dia tidak mempunyai pilihan melainkan menghantar ibu ke pusat penjagaan itu yang menawarkan bayaran berpatutan. “Pada mulanya, saya dikenakan bayaran RM2,700 sebulan. Namun, dapat dikurangkan kepada RM1,500 sejak empat bulan lalu,” katanya. Bagaimanapun, Wan Monaliza kini tidak lagi mampu membayar kos penjagaan ibunya sejak diberhentikan kerja, beberapa bulan lalu. Ikuti temuramah eksklusif bersama Wan Monaliza mengenai keadaan ibunya dalam segmen hiburan HIP akhbar BH, Isnin 27 Januari 2020.



# UPDATE 3 JANUARI 2019

DOAKAN KESEMBUHAN SHARIFAH AMINAH
Oleh Ridzuan Abdul Rahman (MyMetro)

“KAMI reda dengan ketentuan Allah dan akan jaga emak sebaik mungkin,” kata Wan Monaliza, anak sulung seniwati terkenal era 60-an, Sharifah Aminah Syed Abdullah yang terlantar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak tiga bulan lalu.
Pelakon berusia 74 tahun yang pernah membintangi pelbagai filem antaranya filem Jefri Zain (bergandingan bersama Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin), Ceritaku Ceritamu dan Wira Angkasa ini dikejarkan dan dirawat di pusat perubatan itu selepas
mengalami pendarahan otak.
Wan Monaliza, 50-an berkata, ibunya memang mempunyai masalah darah tinggi yang mengakibatkan pembuluh darah pecah.
“Daripada situ ia merebak menjadi angin ahmar dan doktor buat keputusan buat pembedahan dikepala dan tutup tempat pembuluh darah yang pecah itu.
“Tahap sedar emak masih rendah dan saya tidak berani nak cakap dia akan sembuh. Kalau sembuh pun akan makan masa yang lama.
“Dia ada menggerakkan kedua-dua belah kaki dan tangan tapi sikit sangat. Ingatannya masih lemah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, apabila dipanggil nama, ibunya akan membuka mata. Begitu juga apabila disuruh mengenyitkan mata, kadangkala ibunya akan berbuat demikian.
“Jadi kita tidak tahu samada dia faham arahan atau tidak. Tahap ingatannya sangat rendah. Dia memang dah sedar yang bermaksud dia sudah buka mata dan bernafas tanpa bantuan mesin.
“Cuma untuk terima arahan itu belum mampu lagi. Alhamdulillah penderitaan emak dapat perhatian daripada beberapa persatuan artis di negara kita yang dapat melawat dan menghulurkan sumbangan bantuan.
“Saya minta agar semua peminat mendoakan kesejahteraan
emak saya,” katanya.
Selain Wan Monaliza, Sharifah Aminah turut mempunyai seorang lagi anak iaitu Saifullizan yang berusia pertengahan 40-an.
Sementara itu, pelakon Maria Kamal berkata, kejadian berlaku apabila dia meraikan sambutan ulang tahun kelahiran rakan baiknya itu. “Saya ajak dia keluar makan sempena ulang tahun kelahirannya pada 13 September lalu. Selesai makan dan minum, dia
mengadu sakit kepala.
“Rupanya dia sudah dua hari tidak makan ubat. Kami bergegas balik ke rumahnya untuk ambil ubat yang disimpan dalam keretanya tapi malangnya dia pengsan dalam kereta saya.
“Saya mengejarkan dia ke PPUKM dan bacaan darah tingginya ketika itu 220. Doktor memberitahu pembuluh darahnya pecah dan terus buat pembedahan,” katanya.
Maria, 62, yakin rakan baiknya akan sembuh biarpun terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama.
“Dia sudah buka mata, dengar kita panggil dan respon dengan suasana bising. Cuma dia memandang jauh seperti
tidak faham apa-apa.
“Dia ibarat bayi baru lahir yang tidak tahu apa-apa yang terjadi disekeliling. Saya baru sahaja melawatnya tapi tiada apa-apa perubahan sangat.
“Kalau nak sembuh pun mungkin berperingkat dan ambil masa. Tidak betul jika ada yang kata dia sedang nazak,” katanya yang akrab dengan pelakon ini sejak dari zaman muda.




SELAMAT HARI RAYA





LIMA WAJAH SHARIFAH AMINAH DARI TAHUN KE TAHUN.


Promosi awal Sharifah Aminah seperti tercatat
dalam Majalah Filem disekitar tahun 1967.

Memperkenalkan
SHARIFAH AMINAH
SINAR BARU DI-DUNIA FILEM
YANG TURUT MENJAYAKAN FILEM
"JEFRI ZAIN DI-HONG KONG"
BERLAKON DI-SAMPING SENIMAN
JINS SHAMSUDIN
DAN LAIN2 BINTANG TERNAMA
DI-HONG KONG
DI-FILEMKAN DALAM
SHAWSCOPE DAN WARNA WARNI

Cherita Sharifah Aminah melangkah ka-dunia filem, ada-lah seperti pepatah, "puchok di-chinta ulam mendatang".
Pada sa'at Sharifah meninggalkan kampong-nya untok makan angin di-Singapura, minat untok menchuba nasib-nya di-lapangan filem, sudah terukir di-dalam kalbu-nya.
Dan tentu-lah "amat mengumbirakan hati saya", kata Sharifah, "bila saya menyuarakan sahaja hajat saya itu, kepada pegawai di-pejabat Shaw Bros., minat saya itu telah di-penohi."
"Dan..." tambah Sharifah lagi, "hati saya berlonjak2 dengan kesukaan bila, saya terus di-tawarkan untuk pergi ka-Hong Kong bagi menjayakan satu filem di-sana bersama2 dengan seniman Jins Shamsudin."

# "JEFRI ZAIN DI-HONG KONG" tajuk asal "BAYANGAN AJAL",
dan perhatikan, ejaan lama digunakan.




BIODATA___

Nama sebenar SHARIFAH AMINAH BINTI SYED ABDULLAH
Tarikh lahir 13 SEPTEMBER 1946
Tempat lahir GUNUNG SEMANGGOL, PERAK
Suami pertama JAMALI MUSTAFFA (bercerai)
Anak WAN MONALIZA & SAIFULLIZAN
Filem pertama BAYANGAN AJAL
Filem terakhir WIRA ANGKASA
Nama syarikat S.A. PRODUCTIONS



KARIER SHARIFAH AMINAH BERMULA DI HONG KONG
Oleh Mustafar A.R.___

SHARIFAH AMINAH, tidak bernasib baik apabila muncul sebagai pelakon filem ketika Studio MFP Jalan Ampas, sudah sampai ke penghujung, menutup perniagaannya dan tidak lagi mengeluarkan filem.

Sharifah Aminah, bernasib baik apabila dia merupakan pelakon filem keenam (bersaing dengan Jins Shamsudin) dihantar ke Hong Kong berlakon filem Hong Kong, "Bayangan Ajal".

Sebelum itu, P.Ramlee dan Saloma dalam "Love Parade", Sa'adiah, Aziz Jaafar dan Noordin Arshad dalam "Nora Zain Ajen 001".

Tidak lama dulu (4 Mac, 2014), Amin Khan, isterinya, Norjan dan saya, telah dipelawa oleh Sharifah Aminah datang ke rumahnya di Saujana Impian, Kajang untuk makan-makan dan sembang-sembang.

Amin Khan mengenali Sharifah Aminah, sejak menjadi penolong pengarah drama tv produksinya, "Tumasik Oh Tumasik", manakala saya pula sejak filem lakonnannya, "Ceritaku Ceritamu", yang diarahkan oleh Sa'adiah pada tahun 1979.

Dalam makan-makan dan sembang-sembang yang penuh mesra itu, Sharifah Aminah telah mencurahkan segala-galanya (suka duka dan pengalamannya dalam filem) yang selama ini ramai yang tidak tahu.

Menurut Sharifah Aminah, ramai yang menyangka filem lakonannya yang pertama "Terlibat" arahan S.Kadarisman, tetapi ternyata yang benar "Bayangan Ajal", filem Hong Kong yang turut dilakonkan oleh Jins Shamsudin dan diarahkan oleh Lo Wei.

Bagaimanapun, "Terlibat" ditayangkan terlebih dulu kemudian baru disusuli "Bayangan Ajal".

Sharifah Aminah memberitahu, pada tahun 1967 (pada masa itu, usianya baru 18 tahun), selepas setahun berkahwin dengan Jamali Mustaffa (bertugas sebagai askar), dia dan suaminya menyertai rombongan askar pergi bercuti ke Singapura.

Semasa berada di pulau itu, rombongan tersebut telah mengambil kesempatan berkunjung ke Studio MFP Jalan Ampas dan terus dapat menyaksikan penggambaran filem "Raja Bersiong" ceritanya ditulis oleh Tunku Abdul Rahman, arahan Jamil Sulong.

Ketika berada di studio tersebut, Sharifah Aminah telah dipelawa oleh Jaafar Abdullah untuk membuat screen test (uji layar) untuk filem Hong Kong, pada masa itu dia sendiri tidak tahu bagaimanakah coraknya.

Setelah mendapat keizinan suaminya, pada keesokan harinya, Sharifah Aminah datang ke studio untuk di screen test, beserta ramai lagi wanita lain yang berhasrat untuk menjadi bintang filem dan berlakon di Hong Kong.

Sharifah Aminah bernasib baik, diantara seramai yang di screen test, dia telah terpilih. "Saya gembira kerana impian saya hampir tercapai, dan telah diberikan 3,000 ringgit untuk membuat persiapan ke Hong Kong", katanya.

Dalam membuat persiapan itu, Sharifah Aminah menumpang dirumah S. Sudarmadji di Boon Teck Road.

Kata Sharifah Aminah lagi, pada masa membuat persiapan itu, dia tidak tahu bersama siapa dia ke Hong Kong. Dia hanya tahu Jins Shamsudin ketika berada di airport semasa kapalterbang mahu berlepas ke tanah jajahan British itu.

TERHUTANG BUDI

"Sampai ke Hong Kong, saya ini macam rusa masuk kampung," kata Sharifah Aminah sambil ketawa kecil. "Pada masa itu, kondo belum meluas di Malaya dan Singapura. Di Studio Shaw Hong Kong itu, kondonya sangat cantik, kagum saya".

Sungguhpun, kelihatan peranan Sharifah Aminah dalam filem tidak banyak, namun sebenarnya banyak. Menurutnya, banyak adegan sudah dipotong. "Tak sesuai, agaknya".

Kemunculannya dalam filem "Bayangan Ajal" sebagai perisik hanya sekejap saja, wataknya ditamatkan apabila dia dicampak ke laut, kira matilah tu.

Selama 3 bulan di Hong Kong, semua berjalan baik. Sharifah Aminah diberi 30 ringgit (Hong Kong) sehari untuk makan minum. Bagaimanapun, dia hanya belanjakan 10 ringgit saja, selebihnya disimpan.

Menurut Sharifah Aminah lagi, Jins Shamsudin sering datang ke tempat tinggalnya makan masakannya, dan juga patut terhutang budi dengannya apabila dia mengalami sakit perut yang serius.

Sharifah Aminah terpaksa menarik tangan pengawal (dia hanya tahu berbahasa Cina saja) pergi ke tempat Jins Shamsudin yang sedang berada dalam kesakitan.

"Saya menolongnya, kalau tidak tak tahu apa nak jadi," terang Sharifah Aminah yang pernah berkrisis besar dengan Jins Shamsudin ketika membuat penggambaran filem "Esok Untuk Siapa?" di Kota Bharu, Kelantan.

Selain filem itu, satu lagi filem yang dibintanginya arahan Jins Shamsudin, "Menanti Hari Esok".

Apabila selesai penggambaran "Bayangan Ajal", Sharifah Aminah ditawarkan oleh S.Kadarisman memegang peranan penting dalam filem arahannya, "Terlibat", berherokan S.Rossley, sama coraknya (drama jenayah) dengan filem pertamanya.

"Saya bergaji bulan dan dapat bayaran 350 ringgit," katanya.

Itulah saja satu filem lakonan Sharifah Aminah di Studio MFP Jalan Ampas, "Bayangan Ajal" dikira filem keluaran Shaw Brothers Hong Kong.

Selepas filem tersebut dan "Raja Bersiong", studio tersebut ditutup dan tidak mengeluarkan filem lagi. Dan, ini menyebabkan Sharifah Aminah kembali ke kampung halamannya di Gunung Semanggol, Perak.

Selama 11 tahun, Sharifah Aminah, hilang dan menyepi diri dari dunia filem. Namun, dia tidak tersingkir terus apabila bertugas sebagai pengalihsuara RTM bersama Rosnani, Abdullah Chik, Raja Ismail, Faridah Samah dan Rokiah Haji Ramlan, beroperasi di studio lamanya di Matic, dekat Saloma Bistro.

Kemudian, pada tahun 1979, Sa'adiah telah menawarkan peranan sebagai isteri Ali Rahman dan ibu Fauziah Ahmad Daud dalam "Ceritaku Ceritamu".

Filem tersebut memberi kejayaan besar kepada Fauziah Ahmad Daud apabila memenangi anugerah Bintang Harapan di Festival Filem Malaysia Pertama (FFM1) anjuran Eja.

Berikutan dengan filem ketiganya itu, Sharifah Aminah diambil pula oleh Jins Shamsudin, Ahmad Mahmood dan S.Sudarmadji berlakon dalam filem arahan mereka yang semuanya sebagai pelakon pembantu.

Sharifah Aminah sebagai heroine hanya satu filem saja, "Terlibat".








"BAYANGAN AJAL", BERSAMA CHIANG KUANG CHAO.

Sharifah Aminah Di Kucup Chiang Kuang Chao dalam "Bayangan Ajal." (Sumber: ed Lokfc)


POSTER FILEM "TERLIBAT" ARAHAN S.KADARISMAN.


"CERITAKU CERITAMU", BERSAMA FAUZIAH AHMAD DAUD DAN ALI RAHMAN.

Setelah Sekian Lama Menghilang Sharifah Aminah Mucul Dalam "Ceritaku Ceritamu." (Sumber: Wazir Salbiah.)


"MAMA OH MAMA", FILEM ARAHAN AHMAD MAHMOOD.

"ESOK UNTUK SIAPA?" (Sumber: Elexiss Emerald)


"LANGIT TIDAK SELALU CERAH", BERSAMA ALI RAHMAN.

"LANGIT TIDAK SELALU CERAH" (Sumber: Mr. Shukur).


FILEMOGRAFI___

* BAYANGAN AJAL (Lo Wei, 1968)
* TERLIBAT (S.Kadarisman, 1968)
* CERITAKU CERITAMU (Sa'adiah, 1979)
* TIADA ESOK BAGIMU (Jins Shamsudin, 1979)
* ANITA DUNIA AJAIB (Omar Mohd. Said, 1981)
* PERJANJIAN SYAITAN (S.Sudarmadji, 1981)
* LANGIT TIDAK SELALU CERAH (S.Sudarmadji, 1981)
* MAMA OH MAMA (Ahmad Mahmood, 1981)
* SIKIT PUNYA GILA (Raja Ismail, 1982)
* ESOK UNTUK SIAPA? (Jins Shamsudin, 1982)
* WIRA ANGKASA (Aziz Jaafar, 1987)

# Ini bererti Sharifah Aminah membintangi 11 filem, hanya satu berperanan heroine dalam "Terlibat" berherokan S.Rossley, dua berlakon dibawah arahan Jins Shamsudin dan dua dengan S.Sudarmadji.



"TRAGEDI SRI MERSING" (Sumber: Abgcantik)

"JEBAT SATU LAGENDA", YANG MEMPOPULARKAN JALALUDDIN HASSAN.

AZIZ WOK (KANAN) SEDANG MENGARAHKAN DRAMA TV, "WARONG KOPI".


DRAMA TV (antaranya)___

* TRAGEDI SRI MERSING
* MENARA KACA
* KEABADIAN CINTA


SHARIFAH AMINAH SEBAGAI PRODUSER
Oleh Zaini Yusop___

Walaupun tidak begitu menyerlah dalam filem, namun Sharifah Aminah boleh dianggap berjaya sebagai produser drama tv. Ini kerana banyak juga drama tv dikeluarkan menggunakan syarikatnya, S.A. Productions, tetapi tidak ada satu pun filem.

Pernah juga, Sharifah Aminah berhasrat mengeluarkan filem berdasarkan skrip Mustafar A.R., "Begitulah Kehendak Tuhan", dengan bintang utamanya, Ito, dan bakal diarahkan oleh Norhan Mahmud, namun tidak menjadi kenyataan kerana, congak punya congak, bajet terlalu tinggi. Tidak berbaloi.

Drama tv pertama diterbitkannya, "Tumasik Oh Tumasik", untuk RTM, mengandungi 7 episod. Majlis pelancarannya telah dilakukan di Bukit Tinggi, Kepala Batas, Seberang Perai.

"Tumasik Oh Tumasik" mengisahkan sejarah kedatangan Islam di Melaka sekitar kurun ke-14 masihi diarahkan oleh bekas penerbit drama RTM, M.Yusof Mohamad, dan mengemukakan bintang baru, Sabri Fadzil, Aznah Hamid dan Fauziah Farouk (Gee).

Pelakon veteran turut membintangi, Mahmud June, Kuswadinata dan Ali Rahman.

Lebih 3/4 lokasi penggambaran dilaku di Kedah termasuk Pulau Langkawi, dan selebihnya di Lumut, Perak.

Skrip "Tumasik Oh Tumasik" telah luluskan oleh RTM sejak pertengahan tahun 1986, namun penggambarannya hanya dapat dilaksanakan bulan Mei 1987 kerana menghadapi berbagai masalah termasuk bajetnya.

Drama tv tersebut mula ditayangkan di RTM pada tahun 1988.

Selain "Tumasik Oh Tumasik", drama-drama tv lain dikeluarkan oleh S.A. Productions;

* LELA SARI
* JEBAT SATU LAGENDA
* WARONG KOPI
* HARIMAU MALAYA
* GEGOLAK
* BIANG LALA DIKAKI LANGIT
* SUCI DALAM DEBU
* MAIN-MAIN JADI SUNGGUH
* DEMI KASIH
* PAHIT-PAHIT MANIS

Sharifah Aminah juga menyatakan kegembiraannya, kerana drama-drama tvnya, beberapa pelakon begitu menyinar bintang mereka antaranya, Jalaluddin Hassan, Sabri Fadzil dan Yusof Wahab.

S.A. Productions bukan saja menerbitkan drama-drama tv, tetapi juga rancangan masakan yang memaparkan cara-cara masakan pelbagai juadah kueh-mueh dan lauk-pauk terutama di musim-musim perayaan, terutama sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri. Antaranya;

* OLE-OLE AIDILFITRI
* SELERA VARIA
* SELERA KAMPUNG
* CITARASA HANYA INTAI
* KUEH-KUEH TRADISIONAL








ATAS, SHARIFAH AMINAH BERSAMA AMIN KHAN DAN ISTERINYA, NORJAN. BAWAH, DENGAN MUSTAFAR A.R. KETIKA BERKUNJUNG KE RUMAHNYA UNTUK MAKAN-MAKAN DAN SEMBANG-SEMBANG.


SHARIFAH AMINAH YANG KU KENALI
Oleh Amin Khan___

Tersentak juga saya apabila Mustafar A.R. meminta saya menulis serba sedikit mengenai Sharifah Aminah. Bagaimanapun, saya penuhi juga hasratnya itu kerana saya tahu sedikit sebanyak mengenainya yang saya panggil Kak Pah.

Mustafar A.R., yang saya panggil Pak Mus, tentu lebih tahu tentang Kak Pah, tetapi sengaja meminta saya menulis dari sudut dan pandangan mata saya, sejak mengenalinya, disamping katanya, biarlah ada penulis-penulis lain sebagai penyeri blog, jangan balik-balik Mustafar A.R. dan Zaini Yusop saja.

Semasa saya bertugas sebagai anggota tentera di Kem Rasah, Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 1983, saya menyewa rumah di Kampung Ismail, Jiboi, Ampangan.

Dengan tidak disangka-sangka, pada suatu hari datang seorang kawan yang sama-sama bergiat dalam teater dari Perak dengan seorang artis ke rumah saya. Saya terkejut, bila diamat-amati dia adalah seorang artis popular. Artis itu tak lain dan tak bukan, Sharifah Aminah.

Secara jujur, saya sebelum ini hanya mengenalinya melalui filem-filem lakonannya saja seperti "Bayangan Ajal", "Terlibat", "Mama Oh Mama", "Langit Tidak Selalu Cerah" dan filem-filem yang lain serta juga beberapa drama tv lakonannya.

Saya tidak menyangka seorang artis popular boleh datang ke rumah saya. Ketika itu dia berkawan rapat dengan kawan saya itu. Dan, itu cerita mereka, saya tidak mahu ambil tahu.

Sejauh mana akrabnya mereka, saya tidak berani menelah. Kami hanya berbual mengenai filem-filem Melayu dan drama tv kerana pada masa yang sama saya sangat meminati bidang filem, drama tv dan teater.

Saya juga menulis beberapa skrip drama tv. Manalah tahu kalau-kalau Sharifah Aminah yang baru saya kenali itu dapat menolong 'push'kan pada stesyen RTM.

Sayang, semuanya itu tidak berlaku. Tapi tidak mengapa, saya sedikit pun tidak berkecil hati. Sudah tidak ada rezeki.

Saya berhenti berkhidmat dengan angkatan tentera pada tahun 1985 walaupun perkhidmatan saya belum cukup tempuh, belum tamat lagi.

Selepas melakukan pelbagai kerja akhirnya saya berpeluang bertugas di syarikat Pyramid HomeVideo di Johor Bahru sebagai penyunting skrip, penterjemah dan penolong pengarah.

Di situlah saya mengenali K.M.Basker, pengarah filem "Putera Bertopeng", "Selendang Delima" dan "Noor Islam".

Tidak berapa lama kemudian saya pun ditukar bertugas ke Kuala Lumpur. Bagaimanapun, saya berhenti dari syarikat penerbitan tersebut, menjadi penulis skrip, pelakon dan pengarah bebas.

SERING BERHUBUNG

Suatu hari saya terbaca berita di akhbar, yang syarikat Kak Pah, S.A. Productions, akan menerbitkan drama tv bercorak purba 7 episod bertajuk "TUMASIK OH TUMASIK", yang akan diarahkan oleh Aziz Jaafar.

Lantas saya pun pergi ke rumahnya di Taman Seri Watan bersama dengan seorang rakan untuk memohon sebarang pekerjaan.

Saya berjumpa dengan Abang Lan (Razlan), suami Kak Pah ketika itu, dan juga dia sendiri. Kak Pah mengenali saya. Malangnya semua perjawatan menerbitkan drama tersebut telah dipenuhi. Tapi, Sharifah Aminah yang membahasakan dirinya Kak Pah berjanji, jika saya diperlukan, dia akan panggil.

Hampir lapan bulan berlalu, akhirnya "Tumasik Oh Tumasik" tidak jadi diarahkan oleh Aziz Jaafar. Apakah sebab-sebabnya, saya tidak tahu. Peranan pengarah diserahkan pula kepada Yusof Mohamad, bekas penerbit drama di RTM.

Saya kenal benar dengannya semasa saya mengikuti kursus penulisan dan penerbitan di IPTAR yang dianjurkan oleh RTM dan juga kerana beberapa skrip drama tv karya saya telah diterbitkannya.

Semasa di Kuala Lumpur, saya sering berhubung dengannya. Lalu saya pun ditawarkan menjadi penolong pengarah untuk drama tersebut. Alangkah gembiranya hati saya seperti "pucuk dicita, ulam mendatang". Itulah rezeki namanya. Segala-galanya sudah ditentukan. Rezeki, jodoh pertemuan, ajal maut ditakdirkan Allah.

Walaupun diperingkat awal keinginan saya bertugas dibelakang tabir untuk drama tersebut tidak berjaya, namun jika ada rezeki saya, tetap menjadi milik saya juga.

Mulalah saya dan para petugas membuat kerja-kerja 'pre-pro', menyusun jadual penggambaran dan pemilihan para pelakon di rumah Kak Pah. Masa itu semua kerja berlaku dirumah Kak Pah saja. Saya tidak tahu pejabatnya di mana.

Di sinilah saya mulai kenal Kak Pah secara peribadi dan rapat dengannya. Orangnya mudah dan kuat ketawa, walaupun di buat sedikit lawak. Dia lembut dan tutur kata (dengan loghat Peraknya) bersopan. Yang paling saya suka sekali, sikapnya yang tidak kedekut, tidak lokek.

Cakap saja apa kita nak makan, sekejap saja sudah sampai. Kadangkala dia ajak saya dan petugas lain makan kat luar. Minta saja apa yang teragak nak makan. Tapi saya tidak 'mengetuk'nya, saya makan ala-kadar saja.

Saya masih ingat lagi, sewaktu penggambaran "Tumasik Oh Tumasik" di Kampung Tunku Abdul Rahman di Bukit Tinggi, seorang pelakon (tak payahlah sebut namanya) berlagak dan mengada-ngada.

DIBERI PELUANG

Sarapan pagi, makan tenagahari, minum petang dan makan malam, semuanya disediakan oleh 'katering khas'. Itu pun tak puas hati lagi. Ketika makan tengahari, dia membodek Kak Pah.

Katanya, "makanan ni dah sedap Kak Pah tapi kalau esok boleh tambah... bla... bla... bla... (makanan yang dia minta) lagi sedap Kak Pah. Kak Pah ketika itu tersenyum saja. Dalam hati saya berkata, "apalah pelakon ni. Di rumah dia makan sedap sangat ke. Entah-entah makan mee segera. Tak bersyukur langsung. Tapi dia pelakon popularkan..., kononnya."

Nama tak sebesar mana pun, orang lebih kenal saya daripada dia. Tapi apa yang menghairankan saya, makan tengahari esoknya tu, Kak Pah sediakan apa yang diminta oleh pelakon itu. Semuanya ada. Kak Pah memanjakannya sangat.

Bukan makan banyak pun. Berlambak tak habis. Inilah sifat Kak Pah yang lembut dan baik hati. Tapi pada saya, dia 'pemboros'. Tidak cekap menguruskan hal ehwal kewangan. Berbelanja tidak mengikut bajet penerbitan. Ini yang saya tidak setuju, sungguhpun duit itu duit dia.

Selepas drama tersebut, saya diberi peluang mengarah drama bersiri 3 episod bertajuk, "Liku-Liku Jalanan". Ini atas kepercayaan Kak Pah kepada saya semasa bertugas sebagai penolong pengarah kepada Yusof Mohamad. Walaupun sebelum itu, saya sudah pun mengarah beberapa drama tv dengan syarikat lain.

Kak Pah melihat kreativiti saya mengambilalih tugas Yusof Mohamad sebagai pengarah disebabkan dia sakit demam panas hampir 10 hari. Jadi saya mengarah mana-mana adegan yang boleh saya buat, kalau tidak 10 hari itu berlalu begitu saja tanpa membuat apa-apa penggambaran.

Di sinilah Kak Pak melihat kerja-kerja saya (barangkali) sekaligus menyelamatkan bajet dramanya itu.

Satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan, semasa saya pula sakit. Masa itu semua petugas membuat penggambaran di Pulau Langkawi. Adegan peperangan yang melibatkan ramai pelakon.

Di tepi pantai, sebiji telur ayam bergolek dipukul ombak. Saya mengambilnya dan buang kembali ke tengah laut. Pada masa itu, para pelakon sedang mengadakan latihan persilatan, silat menyilat.

MENGAMBIL BERAT

Telur ayam itu datang lagi dibawa arus ombak. Saya ambil dan buang sekali lagi, takut kalau-kalau pelakon yang sedang berlatih silat itu terpijak nanti bau busuk. Bila semuanya sudah siap sedia untuk dibuat penggambaran, telur itu muncul lagi.

Saya kata nanti dulu, jangan shoot, saya nak buang telur tu dulu. Saya ambil dan saya balingkan kat pokok kelapa. Telur itu pecah dan bau busuk. Dengan tidak semena-mena saya rasa macam ada cahaya bergerak-gerak memasuki pada diri saya.

Saya jadi pening dan selepas beberapa jam, saya merasa sakit kepala yang amat sangat. Kemudian, saya demam dan muntah-muntah. Pergi klinik, diberi ubat, makan tapi tak mau baik-baik.

Di sinilah Kak Pah saya lihat mengambil berat tentang kebajikan pekerja-pekerjanya. Saya disuruh rehat secukupnya. Tapi saya tidak boleh duduk diam.

Bila lega sedikit, saya bertugas balik dalam keadaan saya kurang bermaya. Suatu perkara pelik berlaku pada diri saya, ibu jari saya tiba-tiba saja bergerak-gerak setiap masa. Tidak mahu berhenti, tak tau apa sebabnya.

Wajah saya menjadi pucat lesi. Kebetulan pula, drama itu pun dah nak habis penggambaran. Bila balik ke Kuala Lumpur, saya dibawa berubat kampung oleh Kak Pah di Hulu Klang. Tidak berapa mahu baik, tidak 'serasi' kata orang. Bomoh itupun banyak songgeh pula. Macam-macam dia mau, ayam hitamlah, pulut kuninglah, duit pengkeras, banyak pula tu.

Tapi itu semua tidak jadi masalah kerana Kak Pah sanggup adakan. Namun, semasa hendak balik di dalam kereta Kak Pah, isteri saya cakap dengannya biarlah dia bawa saya berubat di Sitiawan, Perak. Di sana dia kenal dengan seorang bomoh yang pandai mengubat.

Kak Pah tidak banyak kerenah. Dia menurut saja. Dia hantar saya dan isteri, sampai Seremban. Dia beri wang belanja untuk pergi ke Sitiawan itu.

Di pendekkan cerita, berubatlah saya di Sitiawan dengan Tok Mami (mak angkat isteri saya), Alhamdulilah, terasa lega dan baik seperti sediakala hinggalah sekarang.

Setelah pulih Kak Pah beri kesempatan kepada saya mengarahkan beberapa drama tv antaranya, "Suci Dalam Debu", "Pahit-Pahit Manis" dan "Demi Kasih".

Kak Pah dari pandangan mata saya, dia seorang yang baik hati dan penyayang. Lembut dan mudah ketawa tapi ada ketegasan. Tidak lokek wang ringgit. Di atas faktor-faktor inilah ada pihak sering mengambil kesempatan ke atas dirinya. Dia selalu terkena, kena tipu, anehnya, dengan teman-teman rapatnya sendiri.

Kak Pah pernah ditipu ketika menerbitkan drama tv "Harimau Malaya". Bukan sedikit, RM30,000.00 hangus.

Satu lagi yang menarik tentang Kak Pah ini, dia suka memasak. Kalau saya dan isteri nak datang ke rumahnya dia bagi tahu siang-siang jangan makan dimana-mana. Makan dirumahnya, dia masak sendiri.

Dia tahu, saya suka masakan kari, lalu dia masakkan kari yang saya suka, kari ikan. Aduhhh!!! masakannya memang sedap hingga menjilat jari.

Begitu pun juga, ketika saya datang bersama Mustafar A.R., dia beli lauk dikedai. "Tak sempat masak," katanya.

Itulah saja sedikit pandangan dan pengalaman saya bersama Sharifah Aminah atau saya panggilnya sampai sekarang, Kak Pah.

# Amin Khan, pengurus Minjan Productions, baru-baru ini telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato' Undang Wilayah Naning Melaka yang membawa gelaran Dato'.


LIMA GAMBAR YANG DIAMBIL OLEH MUSTAFAR A.R. ATAS, SHARIFAH AMINAH BERSAMA ROSNAH MOHD.NOOR. BAWAH, DENGAN FAUZIAH AHMAD DAUD.

BERSAMA SHARIZAT ABDUL JALIL.

BERSAMA MUSA HITAM DAN BAHARUDDIN HAJI OMAR.

BEGITU MESRANYA SHARIFAH AMINAH DAN S.ROSSLEY. TETAPI BILA BERTEMU DI KOTA KINABALU, MEREKA TIDAK KENAL MENGENALI.


LUCU DAN PELIK
Oleh Mustafar A.R.___

Peristiwa berlaku semasa Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, bulan Ogos 2009.

Masanya, rombongan FFM22 menaiki bas untuk berkunjung ke Taman National Kinabalu yang terletak di pantai barat Sabah.

Dalam bas ramai artis veteran antaranya (yang masih saya ingat), Maria Menado, Julie Faridah, Mahyon Ismail, Orkid Abdullah, Zalifah Ibrahim, Kuswadinata, Sharifah Aminah dan S.Rossley.

Apabila sudah berlakon bersama dalam "Terlibat", tentulah saya menyangkakan Sharifah Aminah dan S.Rossley sudah mengenali antara satu dengan yang lain.

Dalam bas itu, saya agak pelik apabila melihat Sharifah Aminah buat tak tau dengan S.Rossley yang menjadi heronya dalam filem yang diarahkan oleh S.Kadarisman itu, begitu juga S.Rossley.

Ini menyebabkan saya bersuara kepada Sharifah Aminah, "Sharifah, tak kenal ke siapa itu?" sambil saya menunjuk kepada S.Rossley yang duduk tidak jauh dari tempat dia duduk.

Lucunya, apabila Sharifah menjawab dengan loghat Peraknya, "Entah, siapa dia?".

"Tak kenal?" tanya saya.

"Siapa?" soalnya pula.

"Itulah S.Rossley, hero Sharifah dalam Teribat," kata saya sambil ketawa kecil.

"Lah... ya, ka? betul-betul saya tak kenal."

"Apa lah... hero sendiri pun tak kenal," sindir saya.

"Mana nak kenal, lama tak jumpa. Wajah pun dah berubah," katanya sambil ketawa.

Selepas bertemu semula, Sharifah Aminah dan S.Rossley duduk bersama, dan berbual-bual. Apa butir bicaranya, saya tak ambil kisah, dan saya pun tak nak ambil tau.

Tapi yang sudah pasti, tentulah cerita-cerita lama yang mendatangkan nostalgia.

Sayang sekali ketika itu, tak ingat nak klikkan kamera saya ke arah mereka berdua. Kalau ada alangkah baiknya.

Lepas tu, saya pun pergi ke depan, bila lihat tempat duduk di sebelah Zalifah kosong, saya pun duduk disebelahnya.

"Pelik ya... abang Mus, hero sendiri pun tak kenal," tiba-tiba Zalifah bersuara.

Saya tak jawab, tak tau nak jawab, sambil memandangnya yang kelihat masih cantik...








# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

SALOMA

BAHYAH MAHMOOD

DEEPIKA PADUKONE

UTUSAN RADIO & TV

VICTOR MATURE

R.AZMI

LATIFAH OMAR





KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 mukasurat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P.Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun disebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P.Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar negara untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.








3 comments:

  1. Esok Untuk Siapa bukanlah filem terakhir Sharifah Aminah...Sharifah Aminah memegang peranan sebagai ibu Sabree Fadhil dlm filem Wira Angkasa (1987)arahan Aziz Jaafar terbitan JD Productions. Filem ini turut dibintangi oleh Datuk Yusof Haslam, Aznah Hamid dan Julie Dahlan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Info yang sangat berguna.
      Sudah diupdate.
      Terima kasih Anon.

      Delete
  2. Saya ingatkan filem pertama Sharifah Aminah, "Terlibat".
    Rupa-rupanya filem Hong Kong, "Bayangan Ajal".
    FK memberi info yang tepat dan sangat berguna.
    Syok juga baca cerita lucu Sharifah Aminah tak kenal S.Rossley.

    - Ummi Aida (UKM), Bangi, Selangor.

    ReplyDelete