"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Tuesday, March 21, 2017


10 FILEM TERBAIK ARAHAN P.RAMLEE


Teks: Zaini Yusop & Mustafar A.R.
Foto Dari Pelbagai Sumber
Di Edit, Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop


ANAK-KU SAZALI

NUJUM PA' BLALANG

IBU MERTUA KU


MEMPERINGATI SENIMAN AGUNG P.RAMLEE
Oleh: Mustafar A.R.



PADA 22 Mac 2017 ini tercatat sebagai Hari Ulang-Tahun Kelahiran P.Ramlee yang ke-88. Beliau lahir pada 22 Mac 1929 di Counter Hall Road, Pulau Pinang.

Sebagai memperingati peristiwa bersejarah dalam perkembangan filem Melayu (Malaysia), myMetro telah membuat penilaian
filem-filem lakonan dan arahan P.Ramlee sejak 1948 (Chinta) hingga 1973 (Laxmana Do Re Mi). 10 filem menjadi pilihan.

Usaha menulis artikel bertajuk "10 Filem P.Ramlee Teragung" oleh Roslen Fadzil patut dipuji dan seharusnya diikuti pula oleh
media-media lain (blog, akhbar dan sebagainya) dengan corak artikel yang lain atau apa-apa saja bersangkutan dengan P.Ramlee.

Begitulah usaha dan cara terbaik bagi kita yang mencintai karya seniman agung itu, bukan sekadar filem, irama dan lagunya juga.

Begitu pun, menulis artikel mestilah dengan fakta yang tepat. Roslen sudah membuat sesuatu yang baik, tapi tajuk filem tidak mengikut seperti tercatat dalam filem, ini membelakangkan fakta walaupun menggunakan ejaan baru.

Jangan pandang remeh menulis tajuk filem kerana ia (kebiasaannya) menjadi rujukan kepada penulis-penulis (buku dan akhbar terutamanya) menulis bersangkutan dengan filem. Kalau tidak menepati fakta, akan salahlah selama-lamanya.

Kesilapan fakta mengenai filem (tidak pada tajuk filem
semata-mata) bukan saja berlaku pada myMetro, tapi juga
media-media cetak - Utusan Malaysia, Berita Harian, Sinar Harian
dan lain-lain.

Penulis-penulis dan dikalangan wartawan-wartawan terkenal juga buat salah. Antaranya Johan Jaffar, Zainuddin Maidin (Zam), A.Kadir Jasin dan Adam Kadir.

Rupa-rupanya mereka pun jahil apabila menulis mengenai filem Melayu lama, dan gemar sekali mencatat tajuk filem menggunakan ejaan baru. Walhal ini salah.

Aku membaca dan meneliti tulisan mereka, dan genjala ini tidak sepatutnya berlaku.

Dalam artikel Roslen, 3 tajuk filem tercatat salah;

1. Anak-Ku Sazali bukan Anakku Sazali
2. Nujum Pa' Blalang bukan Nujum Pak Belalang
3. Ibu Mertua Ku bukan Ibu Mertuaku

Sebagai bukti salah, lihat gambar seperti di atas.

Aku dan Aziz Sattar, telah menerbitkan buku "Filem-Filem P.Ramlee" dengan harapan tajuk filem-filemnya diselaraskan - jangan berlaku sini lain sana lain.

Nampaknya, memperbetulkan yang salah sangat sukar jika dibandingkan mempersalahkan yang betul.






Tawaran istimewa bermula dari 1/2/2017 hingga 1/5/2017.

Kini diterbitkan sebulan sekali tidak dua minggu sekali.

Pelancarannya Di Jangka Pada 27 Ogos 2017.

Kini, Dalam proses penyelenggaraan.



12+1 LAGU TERBAIK RAFEAH BUANG

# ULASAN & KRITIKAN___
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA
* SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH
* BAYANGAN DI WAKTU FAJAR * JAMBATAN MAUT
* LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 21 MAC 2017)
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI 172,944
* SEKSI SELEBRITI INDONESIA 171,541
* SEKSI SELEBRITI MALAYSIA 167,529
* SELAMAT PENGANTIN BARU 68,132
* FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT 28,883





PANGGILAN PULAU

HANG TUAH

SEMERAH PADI

SERGEANT HASSAN

PENDEKAR BUJANG LAPOK

ANTARA DUA DARJAT

MADU TIGA

10 FILEM P.RAMLEE TERAGUNG
Oleh Roslen Fadzil
(myMetro 18 Mac 2017)

Biarpun musim bertukar ganti, karya dan nama beliau tetap hijau di ingatan kita. Begitulah yang sering diperkatakan mengenai Seniman Agung P.Ramlee atau nama asalnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh bersama hasil ilhamnya.

Sempena ulang-tahun kelahiran P.Ramlee pada 22 Mac 2017 ini, mari kita mengimbas kembali 10 filem terhebat lakonan mahupun arahan beliau yang tidak pernah jemu-jemu ditonton sampai kini.

1. PANGGILAN PULAU (1954)

Ini antara filem Melayu klasik bercorak pengembaraan yang menarik lakonan P.Ramlee, Normadiah, Latifah Omar dan Yusof Latiff. Berkisar mengenai seorang penjaga kuda yang berazam mengubah taraf hidupnya kerana dihina oleh golongan berada.

Dia akhirnya menjadi kelasi kapal dan berjaya menjumpai harta karun yang tersorok di Pulau Kazambo. Lagu evergreen daripada filem ini termasuk "Bulan Dan Juga Angin", "Dengarlah Gemala Hati" dan "Mengapa Pilu Saja".

2. HANG TUAH (1956)

Arahan Phani Majumdar, "Hang Tuah" filem Melayu pertama terbitan Studio Jalan Ampas dalam format warna-warni Eastmancolor.

Selain P.Ramlee, filem epik ini dilakonkan oleh Sa'adiah, Ahmad Mahmud, Haji Mahadi, Nordin Ahmad, Sa'amah, S.Kadarisman dan Siti Tg. Perak.

Filem ini memenangi anugerah Skor Muzik Terbaik (untuk P,Ramlee) pada Festival Filem Asia 1956 di Hong Kong disamping menyertai Festival Filem Berlin Ke-7 di tahun yang sama dan menerima pencalonan Golden Bear.

Antara lagu merdu dalam filem ini adalah "Berkorban Apa Saja" dan "Joget Pahang".

3. ANAKKU SAZALI (1956)

P.Ramlee dianggap pencetus terawal ‘dual role’ atau dwi-watak dalam sejarah filem Melayu. Dengan kehebatan lakonannya serentak sebagai ayah penyayang dan anak derhaka, P.Ramlee akhirnya menjulang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia 1957 di Tokyo.

"Anakku Sazali" yang diarahkan Phani Majumdar turut dibintangi Zaiton, Nordin Ahmad, Hashimah Yon dan Rosnani. Lagu merdu dalam filem ini adalah "Itulah Sayang", "Joget Si Pinang Muda" dan "Istana Cinta".

4. SEMERAH PADI (1956)

Satu-satunya filem klasik Melayu arahan P.Ramlee yang mengetengahkan hukum hudud dan tema cukup Islamik. P.Ramlee memegang watak sebagai Aduka, Sa'adiah (Dara) dan Nordin Ahmad (Taruna).

Bahasa filem "Semerah Padi" dianggap ada pengaruh filem klasik Jepun, "Rashomon" arahan Akira Kurosawa. Babak paling mendebarkan ialah Galak (Normadiah), isteri orang yang dihukum disula kerana berzina.

Antara lagu menarik termasuk "Sekapur Sireh Seulas Pinang", "Semerah Padi" dan "Lenggang Kangkung".

5. SERGEANT HASSAN (1958)

Dengan plot bertumpu kepada penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua, "Sergeant Hassan" diarah dengan cemerlang oleh Lamberto Avellana.

Turut membintangi filem ini ialah Sa'adiah, Salleh Kamil dan Jins Shamsudin. Filem ini dianggap satu penghormatan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja. Lagu merdu daripada filem ini tidak lain daripada "Tunggu Sekejap".

6. PENDEKAR BUJANG LAPOK (1959)

Ini adalah filem kedua dalam siri Bujang Lapok lakonan trio P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin.

Ia mengisahkan tiga bujang terlajak - Ramli, Ajis dan Sudin pergi berguru seni silat dengan Wak Mustarjo sambil cuba memikat anak gadisnya, Rosnah (Rose Yatimah).

Dengan genre lucunya, "Pendekar Bujang Lapok" menggondol anugerah Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1959 di Kuala Lumpur.

Lagu popular dalam filem ini adalah "Malam Bulan Di Pagar Bintang", "Maafkan Kami" dan "Pok Pok Pok Bujang Lapok".

7. NUJUM PAK BELALANG (1959)

Pastinya lakonan Bat Latiff sebagai budak kampung cerdik (Belalang) yang mahu menyelamatkan nyawa ayahnya, seorang tok nujum palsu (P.Ramlee), sentiasa diingati penonton.

Ia juga karya unggul kerana meraih anugerah Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1960 di Tokyo.

Filem ini dimantapkan dengan lakonan humor Hashimah Yon, Habsah, Ahmad Nisfu dan Shariff Dol.

8. ANTARA DUA DARJAT (1960)

Kritikan sosial bahawa darah itu sama warnanya menjadi tema "Antara Dua Darjat" lakonan P.Ramlee (Ghazali) dan Sa'adiah (Tengku Zaleha).

Filem ini bukan saja menonjolkan lakonan berkesan oleh pasangan sepadan itu malah bintang lain seperti S.Kadarisman, Yusof Latiff, Kuswadinata, Ahmad Nisfu dan Rahimah Alias.

Lagu evergreen yang terdapat dalam filem ini tentunya "Getaran Jiwa" dan "Alunan Biola".

9. IBU MERTUAKU (1962)

Siapa boleh menidakkan kehebatan cinta Kassim Selamat dan Sabariah Mansor? Siapa pula boleh menafikan hipokrasi Nyonya Mansor terhadap anak menantunya sendiri?

"Ibu Mertuaku" seharusnya menjadi antara filem terbaik P.Ramlee, turut berlakon Sarimah, Mak Dara, Zaiton, Ahmad Mahmud dan Zainon Fiji.

Babak paling sadis tidak lain daripada tusukan garfu oleh Kassim Selamat ke matanya sendiri dek tidak tertahan melihat sandiwara palsu manusia di sekelilingnya.

Filem ini diperindahkan lagi dengan lagu "Jeritan Batinku", "Jangan Tinggal Daku" dan "Di Manakan Ku Cari Ganti".

Hasil kerjanya itu, P.Ramlee dianugerahkan dengan The Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia di Tokyo pada 1963.

10. MADU TIGA (1964)

Kekecohan tiga madu, Latifah (Zaharah Agus), Hasnah (Jah Mahadi) dan Rohani (Sarimah) menjadi tulang cerita bagi karya popular arahan serta lakonan P.Ramlee ini.

"Madu Tiga" sekali lagi membuktikan ketokohan Seniman Agung ini di kerusi pengarahan genre komedi apabila diiktiraf sebagai Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1964 di Taipei.

Lagu popularnya termasuk "Madu Tiga" dan "Selamat
Pengantin Baru".





Pertama SEMERAH PADI

Kedua PENDEKAR BUJANG LAPOK

Ketiga ANTARA DUA DARJAT

4. SUMPAH ORANG MINYAK

5. PENAREK BECHA

6. PANCA DELIMA

7. IBU MERTUA KU

8. NUJUM PA' BLALANG

9. MADU TIGA

10. "MUSANG" BERJANGGUT


10 FILEM TERBAIK ARAHAN P.RAMLEE
Oleh Zaini Yusop



Sebenarnya, pemilihan 10 filem terbaik arahan P.Ramlee sudah lama kami (Mustafar A.R. dan aku) lakukan. Hanya menunggu masa terbaik dan sesuai untuk disiarkan dalam blog FK ini.

Oleh kerana Roslen Fadzil sudah menyiarkan 10 filem pilihannya dalam myMetro (turut dimuatkan dalam blog ini), ada baiknya disiarkan sekali gus bersama pemilihan yang telah dibuat itu.

Tidak sangka pula Roslen mempunyai citarasa yang sama dengan kami di FK. Baguslah begitu.

Bezanya, Roslen memasukkan filem lakonan P.Ramlee pengarahnya lain - "Panggilan Pulau" (S.Ramanathan), "Anak-Ku Sazali" dan "Hang Tuah" (Phani Majumdar) dan "Sergeant Hassan" (Lamberto Avellana).

FK tertumpu filem-filem yang diarahkan P.Ramlee di Jalan Ampas, Singapura saja. Filem-filemnya di Merdeka Studio, Kuala Lumpur dikecualikan. Kemungkinan akan dinilai berasingan, dan disiarkan pada suatu masa nanti.

Filem-filem arahan P.Ramlee yang di nilai;

1. Penarek Becha
2. Semerah Padi
3. Panca Delima
4. Bujang Lapok
5. Sumpah Orang Minyak
6. Pendekar Bujang Lapok
7. "Musang" Berjanggut
8. Nujum Pa' Blalang
9. Antara Dua Darjat
10. Ali Baba Bujang Lapok
11. Seniman Bujang Lapok
12. Ibu Mertua Ku
13. Labu Dan Labi
14. Nasib Si Labu Labi
15. Madu Tiga
16. 3 Abdul

Boleh dikatakan kesemua filem arahan P.Ramlee itu baik belaka. Mustafar A.R. dan aku terpaksa pilih 10 mengikut keputusan yang kami buat berdasarkan kriteria yang ditetapkan.

Pemilihan adalah hak FK, tidak boleh dipertikai dan dipersoalkan oleh sesiapa pun. Sekiranya anda mahu buat pilihan sendiri, 10 terbaik, catatlah diruangan komen.

myMetro buat pilih 10 filem (overall, secara menyeluruh), FK pula pilih 10 (terbaik mengikut ranking).

Pertama: SEMERAH PADI (1956)
FK meletakkan filem ini paling atas (pertama) kerana kekuatannya dari segi cerita, jalan cerita (plot), sinematografi, suntingan, lakonan, musik latarbelakang serta irama dan lagu.
Kisahnya mengenai bagaimana Penghulu Semerah Padi bertindak adil (berpandukan Al-Quran) menghukum anaknya sendiri, Dara, yang melakukan zina dengan pengapit kirinya, Aduka.
Disebabkan terbaik itu, ada usaha mengcolorkan filem ini oleh Aziz Singah, Aziz Sattar dan Mustafar A.R., namun gagal kerana Shaw Brothers enggan bekerjasama.
Cerita Omar Rojik (sumber ilham kisah legenda "Mahsuri"), lakonlayar P.Ramlee dan dialog S.Sudarmadji.
Pelakon: Nordin Ahmad, Sa'adiah, P.Ramlee, Salleh Kamil, Daeng Idris, Normadiah, A.Rahim dan Musalmah.
Lagu popular: Semerah Padi, Makan Sireh Di Semerah Padi, Lenggang Kangkong Baru dan Sekapur Sireh Seulas Pinang.

Kedua: PENDEKAR BUJANG LAPOK (1959)
Filem ini merupakan yang kedua dalam siri Bujang Lapok. Diletakkan ditempat kedua kerana kelucuan (kelakar habis) yang diperlihatkan oleh Mustarjo, Aziz Sattar, S.Shamsuddin dan P.Ramlee. Tambahan pula adanya ketua samseng, Ahmad Nisfu, yang tergila-gilakan anak Mustarjo, Rose Yatimah. Perkataan 'cubaan' kemudian menjadi cukup popular.
Cerita Madjilee (S.Sudarmadji dan P.Ramlee), lakonlayar dan
dialog P.Ramlee.
Pelakon: S.Shamsuddin, Aziz Sattar, P.Ramlee, Mustarjo, Ahmad Nisfu, Rose Yatimah, Momo, A.Rahim dan Shariff Dol.
Lagu popular: Malam Bulan Di Pagar Bintang, Pok Pok Bujang Lapok dan Maafkan Kami. Anugerah: Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-6, Kuala Lumpur (1959).

Ketiga: ANTARA DUA DARJAT (1960)
Filem bercorak drama masyarakat ini mengemukakan darjat (miskin dan kaya) sebagai tema. Kecemerlangnya kerana ia dipersembahkan secara flash back (sorot ke belakang) oleh penceritaan Ghazali, Sudin dan Tengku Zaleha. Ia kemudian digabungkan untuk mencari penyelesaian kepada kisah yang berada dalam kegelapan. Teknik penceritaan diilhamkan oleh P.Ramlee dari filem Jepun, "Rashomon" arahan Akira Kurosawa.
Cerita dan lakonlayar Omar Rojik (berdasarkan filem Hindi "Madhumati") dan dialog P.Ramlee.
Pelakon: P.Ramlee, Sa'adiah, S.Kadarisman, Yusof Latiff, S.Shamsuddin, Ahmad Nisfu, Rahimah Alias, Kuswadinata dan Mariam. Lagu popular: Getaran Jiwa dan Alunan Biola.

4. SUMPAH ORANG MINYAK (1958)
Sungguhpun filem bercorak drama fantasi ini tidak begitu sesuai ditonton oleh kanak-kanak kerana adanya memperkosa terhadap wanita oleh Orang Minyak, namun ia layak berada ditempat ke-4.
Ini kerana ceritanya mengandungi iktibar, jangan menghina sesama manusia walaupun cacat dan miskin seperti Si Bongkok.
Buruk padahnya.
Dua filem Hollywood menjadi sumber ilham P.Ramlee mengarahkan filem ini, "The Hunchback Of Notre Dame" dan "Wizard Of Oz". Digabungkannya peristiwa yang berlaku di alam bunian (ghaib) dan di alam nyata (dunia).
Cerita Teuku Dj'afar, lakonlayar P.Ramlee dan dialog S.Sudarmadji.
Pelakon: P.Ramlee, Sri Dewi, Marion Willis, Haji Mahadi, Daeng Idris, Salleh Kamil dan Ali Rahman.
Lagu popular: Sri Bunian, Tari Tualng Tiga dan Tudung Periok.
Anugerah: Fotografi Hitam & Putih Terbaik (A.Bakar Ali) di Festival Filem Asia Pasifik Ke-5, Manila, Filipina (1958).

5. PENAREK BECHA (1955)
Ramai meramalkan P.Ramlee tidak berkemampuan berperanan sebagai pengarah. Nasibnya akan kecundang sama seperti Haji Mahadi yang diberi peluang mengarahkan filem pertamanya "Permata Di-Perlimbahan". P.Ramlee juga dikatakan akan menutup peluang ramai lagi anak Melayu menjadi pengarah.
Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Dengan lahirnya filem ini dan mendapat kejayaan box office, muncul pula Jamil Sulong, Omar Rojik dan S.Kadarisman sebagai pengarah.
Sejak munculnya logo SB, kemudian P.Ramlee mengayuh becanya membawa Udo Umar ke Kampung Candan dan diiringan musik ciptaan P.Ramlee, sudah terasa bahangnya yang akan membawa kita sebagai penonton ke satu kisah dalam masyarakat, pertentangan antara kaya dan miskin.
Azizah, anak orangkaya Marzuki, mencintai Amran, penarik beca, terhalang kerana Amran miskin. Dia mahu Azizah berkahwin dengan Ghazali yang disangkanya kaya, tapi sebenarnya penjenayah yang menjadi buruan pihak polis.
Orangkaya Marzuki menyedari kesilapannya kerana selama ini kaca pun disangkakannya permata. Dia kemudian bersetuju menjodohkan Azizah dan Amran, mewrisi harta kekayaannya.
Cerita dan lakonlayar P.Ramlee, dialog S.Sudarmadji.
Pelakon: P.Ramlee, Sa'adiah, Salleh Kamil, Udo Umar, Muhammad Hamid, Saamah dan Habsah.
Lagu popular: Engkau Laksana Bulan, Azizah, Dengarlah Sang Ombak Berdesir dan Inang Baru.

6. PANCA DELIMA (1957)
Satu penghasilan cukup mantap dan unggul oleh P.Ramlee. Berdasarkan karya Run Run Shaw, cerita mengenai Putera Raja, Suria Kencana, yang disumpah oleh ibu tirinya, Cemara Jingga, siang menjadi ular malam berubah semula menjadi manusia, mencari Gadis Desa (Teratai) bagi mendapatkan kalong Panca Delima supaya dapat menghilangkan sumpahan yang terjadi.
Bercorak romantik, fantasi dan penggembaraan, filem yang melonjak naik nama Jins Shamsudin dan Hashimah Yon ini, sangat menghiburkan. Ia berinspirasikan filem Hollywood "The Beauty And The Beast" dan "Snow White And The Seven Dwarfs". Ular turut memainkan peranan.
Cerita Run Run Shaw, lakonlayar P.Ramlee dan dialog S.Sudarmadji.
Pelakon: Jins Shamsudin, Hashimah Yon, Omar Suwita, Uda Umar, Haji Mahadi, Aini Hayati, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin.
Lagu popular: Kasihnya Ibu dan Dari Masa Hingga Masa.

7. IBU MERTUA KU (1962)
Filem ini memperlihatkan kemampuan P.Ramlee menguasai semua elemen filem hinggakan panel juri festival filem terpaksa memberi anugerah istimewa (satu-satunya pernah wujud) untuknya.
Kekuatan filem ini juga bergantung kepada Mak Dara yang membawa karekter Ibu Mertua yang mahukan anak perempuannya, Sabariah, berkahwin dengan Dr.Ismadi bukannya Kassim Selamat, pemusik yang tidak disukainnya. Klimaknya, adegan P.Ramlee mencucuk dua matanya dengan sudu dan garfu, penuh debaran dan sangat menakutkan.
Cerita Ahmad Nisfu (berinspirasikan filem Hindi "Deedar"), lakonlayar dan dialog P.Ramlee.
Pelakon: P.Ramlee, Sarimah, Zaiton, Mak Dara, Ahmad Mahmood dan Ahmad Nisfu.
Lagu popular: Jangan Tinggal Daku, Di Manakan Ku Cari Ganti dan Jeritan Batinku.
Anugerah: Most Versatile Talent (Bakat Serba Boleh) di Festival Filem Asia Pasifik Ke-10, Tokyo (1963).

8. NUJUM PA' BLALANG (1959)
Filem ini bercorak purba komedi dan sangat melucukan berdasarkan cerita dongeng rakyat, Pa' Blalang. Sungguhpun pemalas tapi dengan kejujuran dan keiklasan hatinya serta dibantu oleh kecerdikan anaknya, Blalang, Pa' Blalang akhirnya dapat menjadi menantu Sultan. Disamping P.Ramlee lakonan Bad Abdul Latiff (Bat Latiff) sangat mencuit hati. Ditambah adanya Aziz Sattar dan S.Shamsuddin berperanan sebagai perompak dan penyamun.
Cerita dongeng, lakonlayar dan dialog P.Ramlee.
Pelakon: P.Ramlee, Hashimah Yon, Bad Abdul Latiff, Ahmad Nifsu, Aziz Sattar, S.Shamsuddin, Shariff Dol dan Malik Sutan Muda.
Lagu popular: Kalau Kaca Menjadi Intan dan Ketipang Payung.
Anugerah: Kemedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-7,
Tokyo (1960).

9. MADU TIGA (1964)
Ramai lelaki berkahwin tiga. Filem ini menceritakan bagaimana seorang suami, Jamil, terpaksa bertindak dengan penuh kelucuan apabila tiga isterinya (Latifah, Hasnah dan Rohani) mendapati diri mereka telah dimadukan.
Untuk mencari penyelesaian, Jamil mendapat bantuan bapak mertuanya (Haji Latiff) dan pekerja dipejabatnya (sebagai pembantu kanan), Rafee. Mereka membuat berbagai-bagai rancangan bagi meredakan keadaan yang maha kelam-kelibut. Apa pun, akhirnya berkesudahan dengan happy ending. Jamil tetap disayangi oleh
tiga isterinya itu.
Cerita S.Kadarisman, lakonlayar dan dialog P.Ramlee.
Pelakon: P.Ramlee, Sarimah, Zera (Zaharah) Agus, Jah Haji Mahadi, Ahmad Nisfu, M.Rafee, Mislia dan Alias Congo.
Lagu popular: Pukul Tiga Pagi, Selamat Pengantin Baru dan
Madu Tiga.
Anugerah: Komedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik Ke-11, Taipeh (1964).

10. "MUSANG" BERJANGGUT (1959)
Cerita dongeng bangsawan termashyur ini diambil P.Ramlee sebagai filem arahannya yang penuh sindiran terutama dikalangan Raja dan Sultan. Ceritanya mengenai anak angkat Sultan Alam Shahbana, Tun Nila Utama, pergi menggembara mencari isteri yang benar-benar "perempuan" kerana di Negara Pura Cendana, semua yang ada hanyalah "betina" belaka.
Keadaan Negara Pura Cendana menjadi hura-hara apabila Tun Nila Utama membawa isterinya, Puspa Wangi, yang cantik jelita. Kesemua pembesar negara termasuk Sultan Alam Shahbana terpikat dengan kejelitaan Puspa Wangi, dan rancangan pun dibuat supaya Tun Nila Utama pergi menggembara, disuruh mencari "musang" berjanggut, supaya mudah bagi Baginda Sultan dan pembesar-pembesarnya memikat Puspa Wangi.
Tun Nila Utama dan Puspa Wangi, tahu mengenai kemiangan dan tipu muslihat Sultan Alam Shahbana dan pembesar-pembesarnya, lalu mereka pun membuat rancangan untuk membawa "musang" berjanggut ke hadapan Baginda Sultan.
Agak menarik, P.Ramlee tidak banyak berkomedi. Peranan lucu tertumpu kepada Ahmad Nisfu, Musatrjo, Uda Umar, Nyong Ismail dan Malik Sutan Muda, juga Raden Sudiro dan Momo.
Cerita dongeng bangsawan, lakonlayar dan dialog P.Ramlee.
Pelakon: P.Ramlee, Sa'adiah, Ahmad Nisfu, Momo, Raden Sudiro, Shariff Dol, Malik Sutan Muda, Uda Umar, Nyong Ismail dan Mustarjo.
Lagu popular: Jangan Adik Angan-Angan dan Nenek-Nenek
Si Bongkok Tiga.






TAWARAN ISTIMEWA BUKU FILEM-FILEM P.RAMLEE

Sempena menyambut Ulang-Tahun Ke-7 Filem Klasik (FK) terawang-awangan di Alam Maya, satu tawaran istimewa dilakukan iaitu potongan harga buku "Filem-Filem P.Ramlee".

Harga lama RM90.00
Poslaju RM10.00
Harga baru RM60.00
Poslaju percuma

Satu buku kecil (pamplet) filem "Siapa Salah?" diberi percuma bagi setiap satu buku "Filem-Filem P.Ramlee" yang dibeli. Ia tidak dijual di kedai-kedai buku, dan sesuai dijadikan koleksi.

Tawaran bermula 1/2/2017
Tawaran berakhir 1/5/2017

Kepada peminat filem-filem P.Ramlee, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Di kedai-kedai buku di Malaysia, Singapura dan Brunei sudah tidak ada lagi. Hanya sedikit saja lagi yang tinggal.

E-mail mar27843@yahoo.co.uk atau telefon/sms 012-3408117 bagi mendapatkan maklumat lanjut. Mustafar A.R. dan Zaini Yusop menunggu anda.

KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 muka surat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P. Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun di sebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P. Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.


# UPDATE AKAN DILAKUKAN DARI MASA KE MASA.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?


17 comments:

  1. Ada dua pilihan dibuat mengenai filem-filem terhebat P.Ramlee. Pilihan Roslen dan pilihan Zaini. Ternyata pilihan Zaini lebih baik jika dibandingkan pilihan Roslen. Saya setuju dengan Mustafar supaya tajuk filem P.Ramlee diselaraskan, menggunakan ejaan lama yang tercatat dalam filem. Contohnya, "Penarek Becha" bukannya "Penarik Beca" sebagai mengekalkan fakta. Pada keseluruhannya, saya bersetuju dengan 10 filem terbaik P.Ramlee pilihan Zaini, terbaik mengikut ranking dengan ulasan yang cukup meyakinkan - Hashimah Hashim, UKM, Bangi, Selangor.

    ReplyDelete
  2. Ada pihak di Pulau Pinang mencadangkan supaya 22 Mac setiap tahun dijadikan Hari Seniman, tidak 29 Mei sebagaimana yang telah diputuskan sebelumnya. Hari lahir P.Ramlee ternyata lebih afdal Hari Seniman jika dibandingkan hari kematiannya - Ariffin Said, KL.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju 100%. 29 Mei setiap tahun biarlah kita semua terutama dikalangan seniman dan seniwati membuat upacara tahlil mendoakan kejahtera P.Ramlee yang bakat seninya sukar dicari ganti walaupun 1,000 tahun lagi - Fatin Hamamah, P.Pinang.

      Delete
  3. Saya boleh dikatakan generasi baru yang lahir begitu jauh selepas P.Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973. Apabila berada di alam kanak-kanak, saya sangat tertarik dengan "Pendekar Bujang Lapok", dan sering menontonnya berulang kali. Pada saya filem ini tidak menjemukan, sangat melucukan. Oleh yang demikian, saya begitu gembira apabila Puan Zaini meletakkan filem favourite saya ini ditempat kedua. Saya turut meneliti kesemua filem yang Puan Zaini senaraikan sebagai 10 filem arahan P.Ramlee terbaik, dengan meletakkan "Semerah Padi" dirangking pertama sudah sewajarnya. Tahniah FK kerana memuatkan artikel sebaik ini sempena Ulang-Tahun Kelahiran P.Ramlee ke-88 pada 22 Mac yang lalu. Semoga banyak lagi artikel seumpamanya ditulis dan disiarkan sebagai salah satu cara kita memberikan penghormatan dan penghargaan kepada beliau yang begitu banyak jasanya dalam perkembangan seni tanahair terutama filem, musik dan lagu - Diana, Seremban 2, N9.

    ReplyDelete
  4. Mungkin saya tersilap, tapi saya percaya media kini terlalu tertumpu kepada filem-filem P.Ramlee saja. Kebanyakan filem-filemnya ditayangkan berulang-ulang kali. Berapa kali RTM, TV3 dan Astro menayangkan filem "Bujang Lapok", "Do Re Mi" dan "Sergeant Hassan". Saya tidak bermasalah dengan filem-filem arahan dan lakonan P.Ramlee, tapi bagi saya perkara ini seolah-olah merendahkan filem-filem arahan dan lakonan pelakon Melayu yang lain. Saya sangat terkesan dengan filem "Lanchang Kuning" dan "Hang Jebat", serta juga lakonan Ahmad Mahmood, Nordin Ahmad dan juga Salleh Kamil. Bagi saya, pelakon-pelakon ini kurang mendapat pengiktirafan yang sewajarnya seperti yang diperolehi P.Ramlee - Mohammad Affandy.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perkara tersebut tidak boleh dipersalahkan kepada Astro, RTM dan TV3. Stesyen-stesyen TV biasanya bersifat mencari keuntungan. Dapat duit banyak. Kalau filem-filem P.Ramlee ditayangkan pengiklan-pengiklan suka kerana ranking penonton ramai berbanding lakonan bintang-bintang lain seperti Jins Shamsudin, Ahmad Mahmood, Yusof Latiff, Aziz Jaafar, Nordin Ahmad, Mustapha Maarof, Abdullah Chik dan ramai lagi. Itu sebab utama, bukan kerana mereka terlalu sukakan P.Ramlee atau menidakkan populariti pelakon-pelakon lain. Ini jelas memperlihatkan, filem-filem P.Ramlee bak kata H.M.Shah, akan diminati ramai sehingga 1,000 tahun lagi iaitu selagi filem-filemnya masih wujud atau selagi nadi filem Malaysia masih berdenyut.

      Delete
  5. 10 filem terbaik arahan P.Ramlee
    pilihan Puan Zaini menepati citarasa saya.
    Terima kasih FK - Zahra Anira, Putrajaya.

    ReplyDelete
  6. Nak tanya Encik Mustafar.
    Tidak adakah usaha selanjutnya
    mengcolorkan filem "Semerah Padi"?
    Kalau guna Technicolor, pasti cantik
    - Amil Zariq, Geylang, S'pore.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam menghadapi Shaw Brothers, hanya Finas saja yang boleh. Pihak lain agak sukar. Jangan mimpilah. Finas sebagai agensi Kerajaan, kalau kena gaya rundingannya, sudah tentu Shaw Brothers akan memberi kerjasama yang baik mengcolorkan "Semerah Padi" itu. Kalau Finas berhasrat mahu menghargai jasa P.Ramlee dalam seni terutama filem, musik dan lagu, bolehlah dimulakan dari sekarang. Jadikan projek wajib. Sekiranya berjaya bolehlah diadakan Tayangan Perdana di Coliseum yang merupakan panggung wayang paling tua di Kuala Lumpur dan masih wujud, sempena Hari Seniman pada 22 Mac 2018. Memang cantik kalau dicolorkan dengan Teknicolor, dan lebih menarik kalau di CinemaScopekan. Pasti ramai yang mahu menontonnya. Persolannya, mahukah Finas?

      Delete
  7. Selamat menyambut Ulang-Tahun Filem Klasik (FK) yang ke-7 pada 12 April 2017. Semoga Encik Mustafar dan Puan Zaini sentiasa sehat sejahtera supaya dapat terus memberi pelbagai info menarik mengenai perkembangan dunia seni di Malaysia dan luar negara terutama filem - Nadia (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Nadia.
      Diharap FK akan menyambut Ulang-Tahun
      yang ke-8 pada 12 April 2018 nanti.
      Bagaimanapun entri ada sedikit slow
      kerana kesehatan saya sering terganggu
      terutama mata yang semakin kurang jelas.

      Delete
    2. Begitu amat terasa apabila mendapat tahu tentang kemaslahatan diri En Mustafar dari segi kesihatan (khususnya mata). Sumbangan para pembaca amat menyeronokkan, tetapi janganlah asyik "exchange of courtesy" semata-mata. Golongan (pelajar, karyawan, penulis, aktivis seni) yang sedang atau pernah membuat kajian & penyelidikan tentang dunia hiburan Melayu (filem, muzik, tv dll.) - tidak kira dari aspek apapun - jomlah berkongsi maklumat, pendapat, kritikan & lain-lain dalam blog ini. Semoga En. Mustafar diberi kesihatan & mendapat rawatan yang berkesan. Amin, ya Allah!

      - nonama

      Delete
    3. ............ bukan hanya "Golongan (pelajar, karyawan, penulis, aktivis seni) yang sedang atau pernah membuat kajian & penyelidikan tentang dunia hiburan Melayu (filem, muzik, tv dll.) - tetapi juga SESIAPA SAHAJA YANG BERMINAT ..................
      - nonama

      Delete
    4. Oh ya.
      Bagi meneruskan kerancakan FK.
      Apa kata, kalau (sesiapa saja) turut beri
      sumbangan artikel kepada FK, iaitu apa
      saja mengenai seni dalam dan luar negara.
      Sekiranya bersesuaian dengan polisi FK,
      ia akan disiarkan, dan sedikit saguhati
      (ditentukan kemudian) adalah ganjarannya.
      Yang berminat hantarkan melalui e-mail.

      Delete
    5. ~ That's entertainment! There's no business like show business! And that's the right word ~ KERANCAKAN. Tawaran En Mustafar di atas amat dialu-alukan. Supaya blog FK ini tidak menjadi pudar & beku, hantarkanlah sumbangan anda itu. Individu yang proaktif & bukan pasif, ayuhlah ke hadapan. Jadikanlah blog unggul ini lebih berinteraktif!

      - nonama

      Delete