"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Friday, November 20, 2015


EMPAT ISTERI (1955)

BUKAN MUDAH BERISTERI EMPAT OOII...
Teks: Mustafar A.R.
Foto: Dari Pelbagai Sumber
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop





DAENG IDRIS, SUAMI MATA KERANJANG

NORMADIAH, ISTERI PERTAMA

SALMAH ISMAIL, ISTERI KEDUA

LATIFAH, ISTERI KETIGA

MARIANI, ISTERI KEEMPAT

Saya tidak pasti di mana saya menonton filem "Empat Isteri" ini, tetapi saya merasakan pernah menontonnya di panggung wayang, bukan di kaca tv, samada di RTM atau TV3.

Ingat-ingat lupa, mungkin di panggung wayang Lido, Kuala Lumpur yang ketika itu sering menayangkan filem-filem Melayu keluaran Malay Film Productions (MFP).

Lido, kini sudah tiada, terletak berhampiran KL Sentral sederet dengan KL Monorail. Tapaknya menempatkan bangunanan Public Bank, dan tidak jauh dari situ tersergam pula bangunan YMCA.

Disamping itu, di Lido ini (dulu namanya Cathay) jugalah saya mula-mula mengenali Rosnani apabila menonton "Sedarah" pada tahun 1952 yang diarahkan oleh S.Ramanathan yang dibintangi P.Ramlee dan A.Rahim.

Ramai di kalangan peminat-peminat filem Melayu kurang menyedari kehadirannya, disebabkan ia kurang mendapat sambutan 'box office' walaupun empat pelakonnya merupakan seniwati cukup popular ketika itu.

Normadiah, Mariani, Latifah, Mariani dan Salmah Ismail, sebelum namanya dikenali dengan nama Saloma.

Ada dua perkara menarik wujudnya filem ini. Satu, filem terakhir diarahkan oleh B.S.Rajhans dan dua, filem pertama Salmah Ismail di MFP, selepas "Angin Berpesan".

Kisah berkisar pergolakan hidup suami hartawan beristeri empat. Bukan mudah, ikut nafsu, lesu. Banyak buruk daripada baik. Moral ceritanya menarik.

Kata suami (Kadir) dipenghujung filem: "Sekiranya lelaki yang beristeri lebih dari satu itu, semata-mata zalim dalam rumahtangga."

Begitulah lebih kurang dialognya yang bermaksud, kalau ada lelaki yang beristeri lebih dari satu, ia merupakan kezaliman dalam rumahtangga.

Filem adalah cermin hidup, ia menuntut supaya lelaki jangan cuba-cuba mahu berkahwin empat. Susah hidup dibuatnya, dan ia masih releven sekarang dan selama-lamanya.

Pada tahun 1953, selepas menyudahkan filem "Raja Sahari," Ho Ah Loke telah menarik B.S.Rajhans ke Keris Film untuk mengarahkan filem "Buloh Perindu", yang merupakan filem Melayu pertama dicolorkan.

Sungguhpun filem tersebut kurang mendapat sambutan tetapi B.S.Rajhans terus mengarahkan dua filem lagi, "Insaf" dan "Terang Bulan Di Malaya".

Pada tahun 1954, B.S.Rajhans kembali semula ke MFP mengarahkan "Empat Isteri", filem terakhir yang diarahkannya.

Kehadiran "Empat Isteri" di FK ini, bolehlah dianggap sebagai tribute kepada B.S.Rajhans bersempena ulangtahun pemergiannya
yang ke-60.

B.S.Rajhans meninggal dunia dalam kereta (semasa hendak ke pejabatnya) kerana sakit jantung pada 31 Mei 1955. Mayatnya telah di bakar di Bidadari, Singapura pada 9.30 pagi 1 Jun 1955.







12+1 LAGU TERBAIK RAFEAH BUANG

# ULASAN & KRITIKAN___
* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA * SINGAPURA DI WAKTU MALAM
* CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH * BAYANGAN DI WAKTU FAJAR
* JAMBATAN MAUT * LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL POPULAR___
(SETAKAT 20 NOVEMBER 2015)
* SEKSI SELEBRITI INDONESIA 121,764
* PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI 115,099 * SEKSI SELEBRITI MALAYSIA 106,564
* SELAMAT PENGANTIN BARU 61,410 * FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT 22,546






Sesuatu yang agak pelik terdapat dalam gambar ini. Ada tiga isteri, Salmah Ismail, Normadiah dan Latifah. Siti Tg.Perak sebagai pembantu rumah. Yang tiada, Mariani. Kini (20 November 2015), Normadiah, Salmah Ismail dan Latifah telah pergi menemui Tuhan, juga Siti Tg.Perak. Masih bersama kita, Mariani.
Pelik tetapi benar!
# Akhirnya, isteri keempat Daeng Idris dalam "Empat Isteri", Mariani, meninggal dunia pada 1 Disember 2015 di Hospital Selayang, Kuala Lumpur. Ini bererti
ke semua empat isteri dalam filem tersebut (Normadiah, Salmah Ismail (Saloma), Latifah dan Mariani) sudah pergi menemui Tuhan yang maha esa.




B.S.Rajhans, tokoh filem yang patut kita salute. Tanpanya, tidak tahu apa akan jadi kepada filem Melayu (Malaysia). Filem-filem arahannya sejak tahun 1934; "Leila Majnun", "Menantoe Doerhaka" (Menantu Durhaka), "Seruan Merdeka", "Singapura Di Waktu Malam", "Chempaka", "Pisau Berachun", "Chinta", "Noor Asmara", "Nasib", "Nilam", "Rachun Dunia", "Dewi Murni", "Aloha", "Bapa Saya", "Sejoli", "Shorga Dunia", "Aladdin", "Anjoran Nasib", "Gadis Peladang", "Yatim Piatu", "Raja Sahari", "Buloh Perindu", "Insaf", "Terang Bulan Di Malaya" dan "Empat Isteri".

EMPAT ISTERI DI REX SINGAPURA

EMPAT ISTERI DI LIDO IPOH, PERAK

EMPAT ISTERI DI REX SINGAPURA

* [SB] MALAY FILM PRODUCTIONS LTD. Mempersembahkan NORMADIAH MARIANI DAENG IDRIS LATIFAH SALMAH ISMAIL dalam EMPAT ISTERI dengan A.RAHIM SALLEH KAMIL S.SHAMSUDDIN SITI TG. PERAK MALIK SUTAN MUDA SALMAH IBRAHIM juru gambar C.RAMACHANDRAN juru suara CHAN CHEW TONG LAM SHIN SEAT penyunting film H.R.NARAYANA penchitak film CHOW CHENG KOK LEE MONG NAM Lagu-lagu P.RAMLEE Pancharagam M.F.P. STUDIO ORKES Gurindam S.HASSAN SAHAB Tarian E.CASTILLO NORMADIAH Pembentukan bangunan J.S.ANTHONY pembantu-pembantu pengarah S.HASSAN SAHAB juru gambar S.JUMARI juru suara CHUA SOH TONG penyunting LIM THIAM YIAK pem. bagunanan RASUL HASHIM pen. sambongan JOHNNY TAN Cherita dan Lakun layar HENRY C.KUM dikeluarkan oleh RUNME SHAW diarahkan oleh B.S.RAJHANS

Tiada Dalam Credit Title

* MUSTARJO * SA'AMAH * SUPARTI

Pendukung Watak Utama

NORMADIAH (Aminah) MARIANI (Ramulah) DAENG IDRIS (Kadir) LATIFAH (Fatimah) SALMAH ISMAIL (Rokiah) A.RAHIM (Yusof) SALLEH KAMIL (Salleh) S.SHAMSUDDIN (Sulong) SITI TG.PERAK (Marsitah)


* Credit title seperti tercatat dalam filem
Tahun diedarkan: 1955 (30 April)
Masa tayangan (lebih kurang): 1:35:24



ADEGAN NORMADIAH DAN SALMAH ISMAIL BERGADUH,
TARIK MENARIK RAMBUT




Puncanya, Salmah Ismail menyuruh S.Shamsuddin dan Siti Tg.Perak alihkan kerusi.



Normadiah melarang, tetapi Salmah Ismail berkeras mahu kerusi dialihkan juga.


Normadiah dan Salmah Ismail tidak mahu mengalah, jadi berlakulah perkelahian.



Pergelutan Normadiah dan Salmah Ismail, Daeng Idris datang meleraikannya.



Normadiah diperasalahkan, kena marah. Daeng Idris memenangkan Salmah Ismail.

SINOPSIS

Kadir, orang kaya banyak harta, mempunyai syarikat perniagaannya sendiri, Kadir & Co., di Singapura dan Bangkok. Dia mempunyai pembantu kanan (manager) yang cukup setia, Yusof (A.Rahim), yang memperkenalkan Rokiah (Salmah Ismail), penyanyi dan penari kelab malam.

Tertarik dengan Rokiah, Kadir meminta izin Aminah, mahu berkahwin dengan Rokiah. Tiada larangan dan bantahan dari Aminah, walaupun hatinya luruh bagaikan 'kaca terhempas ke batu'. Sesudah bernikah, mereka tinggal sebumbung, serumah.

Kerana masing-masing mahu tunjuk kuasa, tidak mahu mengalah, berlakulah perkelahian Aminah dan Rokiah semata-mata kerana kerusi mahu dialihkan, yang menyebabkan Rokiah meminta Kadir mencari rumah lain.

Sebagai isteri kedua, Kadir lebih sayangkan Rokiah berbanding Aminah. Kadir memenangkan Rokiah memarahkan Aminah. Ini membuatkan Aminah begitu kecewa. Di hatinya, sudah tergerak mahu melakukan balas dendam.

Dalam pada itu, kerana Rokiah bekas kekasih Yusof, mereka terus menjalinkan perhubungan terlarang. Main kayu tiga, curang terhadap suaminya, Kadir.

Dendam masih membara. Aminah, berpakat dengan Sulong dan Marsita, membawa Fatimah (Latifah), anak saudaranya dari Kuala Lumpur, datang ke Singapura untuk dikahwinkan dengan Kadir, supaya harta yang ada tidak terlepas kepada orang lain.

Aminah berpura-pura sakit, hilang ingatan dan meracau. Dia memberitahu, hanya apabila Kadir dan Fatimah berkahwin barulah sakitnya pulih. Kadir yang sememangnya mata keranjang, terus setuju.

Perkahwinan Kadir dan Fatimah, membuatkan Rokiah mengamuk, marah-marah. Bagaimanapun, dapat ditenteramkan oleh Yusof, yang menyatakan, "biarkan dia kahwin 100 kali pun tetapi kau sudah ada rumah, intan berlian pada kau banyak, harta yang ada dalam rumah ini hak engkau."

Disebabkan ada urusan penting di Bangkok, Kadir pun pergi ke sana. Segala urusan di Singapura diserahkan kepada Yusof. Apa lagi, 'seperti tikus jatuh ke beras.'

Di Bangkok, Kadir terpikat dengan Ramulah (Mariani), penyanyi dan penari kelab malam yang diperkenalkan oleh Salleh (Salleh Kamil), yang juga selaku pengurus (manager) dan kekasihnya.

Ramulah bersetuju kahwin dengan Kadir, tetapi tidak disenangi oleh Salleh yang sememangnya mencintai Ramulah, tetapi tidak dilayan oleh Ramulah.

Dalam pada itu, di Singapura, Fatimah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Aminah pula terpaksa keluar rumah, bersama Sulong dan Marsita, kerana rumah yang mereka diami itu mahu dijual, atas tipu muslihat Yusof dan Rokiah.

Kerana menyangka, Ramulah berlaku curang, Kadir merasa tersinggung dan tidak mahu lagi bersamanya. Ini diambil kesempatan oleh Salleh supaya Ramulah kembali kepadanya.

Tetapi Ramulah tetap menolak, dan berlakulah pergaduhan antara mereka, yang menyebabkan Salleh tidak sengaja membunuh Ramulah.

Kembali ke Singapura, Kadir mendapati rumah tempat Aminah tinggal selama ini telah dijual oleh Yusof dan Rokiah. Dia mencari Aminah, yang kini bercucuk tanam, Sulong berniaga ayam, dan Marsita menjual nasi lemak dan mee siam.

Yusof dan Rokiah di tangkap polis sebaik saja sampai di lapangan terbang Bangkok, dihantar semula ke Singapura, atas tuduhan menipu.

Setelah puas mencari, Kadir bertemu semula dengan Aminah. Dia begitu kesal dengan perbuatannya yang berkahwin empat. Kasih sayang Kadir dan Aminah bertaut kembali, 'biduk lalu kiambang bertaut'.

ULASAN & KRITIKAN

Di awal filem "Empat Isteri" ini, Kadir (Daeng Idris) dan Normadian (Aminah) sudah menjadi suami isteri sekian lama, tetapi tidak mempunyai anak. Alasan Kadir berkahwin satu lagi bukan kerana anak, tidak timbul langsung Aminah mandul.

Pengarah B.S.Rajhans, sekadar mahu menggambarkan betapa buruknya seseorang suami itu berkahwin empat. Kalau dimasukkan anak, sudah tentu panjang pula filemnya.

Moral cerita cukup baik, sebagai taudalan dan pengajaran kepada suami yang bercita-cita mahu berkahwin lebih dari satu, apatah lagi kalau empat.

Sungguhpun filem ini sudah ditinggal jauh, selama 60 tahun, namun ia tetap relevan. Boleh dijadikan ukuran sebelum suami melangkah berkahwin empat, walaupun mempunyai harta kekayaan berkoyan-koyan.

Kalau diikutkan nama penulis cerita, Henry C.Kum, pasti ceritanya berdasarkan daripada filem Cina. Ini merupakan tradisi (bukan semua) yang sering berlaku terhadap pengeluaran filem di studio Jalan Ampas.

Cerita baik, cuma cara pengolahannya yang dikira kurang memuaskan. Apa pun ia tidaklah mencalar keseluruhan filem ini, yang penting cermin hidup yang dikemukakan.

Banyak juga kejelekan terdapat dalam filem ini. Antaranya;

Watak Latifah, asal dari kampung, segalanya mudah. Mudah senyum, mudah ketawa, mudah pujuk, mudah kahwin, mudah pula mati.

Daeng Idris membiarkan, Rokiah berpeleseran dengan pengurusnya, Yusof, padahal Rokiah terang-terang berlaku curang. Tetapi begitu cemburukan Ramulah, tidak berlaku curang, Salleh saja yang tergila-gila dengannya.

Satu perkara yang agak menarik dan melucukan, pertikaman lidah dan pergaduhan antara Normadiah dan Salmah Ismail, S.Shamsuddin dan Siti Tg.Perak tersempit di antara dua perintah, di antara dua boss.

Scene ini berjaya digambarkan dengan sempurna di mana penonton merasa 'tension' (tegang) disamping ketawa lucu dengan telatah-telatah S.Shamsuddin dan Siti Tg.Perak, mana satu arahan mahu diikut, Normadiah atau Salmah Ismail.

Mereka serba salah, ini yang meriuh rendahkan panggung wayang atau dirumah sekiranya ia ditayangkan dirumah.





"EMPAT ISTERI" DI YOUTUBE



"Empat Isteri" Bahagian 1 (sumber: mustafar a.r.).

"Empat Isteri" Bahagian 2 gagal diupload.

"Empat Isteri" Bahagian 3 gagal diupload.

"Empat Isteri" Bahagian 4 gagal diupload.





IRAMA & LAGU

Terdapat beberapa lagu dalam filem ini, tetapi hanya dua saja yang menyerlah dan masih diminati ramai hingga kini, "Sejakku Bertemu Padamu" dan "Patah Tumbuh Hilang Berganti" ciptaan dan gubahan P.Ramlee. Keduanya telah dirakamkan
ke piringhitam dengan P.Ramlee menggantikan suara Jasni untuk "Patah Tumbuh Hilang Berganti", manakala "Sejakku Bertemu Padamu" nyanyian solo Saloma,


Saloma dan A.Rahim menyanyikan lagu "Patah Tumbuh Hilang Berganti".


(Sumber: ed LOkfc)


PATAH TUMBUH HILANG BERGANTI

Kau teruna kesuma hati
Padamu tempat aku bermanja
Aku curahkan hasrat hatiku
Padamu kekanda

Duhai dinda muda jelita
Kau penghibur hati duka lara
Jasad terlantar jiwa merana
Berilah berita

Ku berjanji bulan dan bintang
Menyaksikan kita berdua
Brsamalah kita berbakti
Dirikan mahligai bahagia

Patah tumbuh hilang berganti
Janji diikat kata dipadu
Hidup berdua mati bersama
Tandanya setia

Ku berjanji bulan dan bintang
Menyaksikan kita berdua
Bersamalah kita berbakti
Dirikan mahligai bahagia

Patah tumbuh hilang berganti
Janji diikat kata dipadu
Hidup berdua mati bersama
Tandanya setia


Nyanyian Filem: SALMAH ISMAIL & A.RAHIM
Nyanyian Suara: SALMAH ISMAIL & JASNI
Ciptaan & Gubahan: P.RAMLEE
Lirik: S.HASSAN SAHAB
Iringan Musik: M.F.P. STUDIO ORKES
Nyanyian Piringhitam: SALMAH ISMAIL & P.RAMLEE


Saloma menyanyi lagu "Sejakku Bertemu Padamu" bersama Daeng Idris.


(Sumber: Jefferniagaz)


SEJAKKU BERTEMU PADAMU

Sejakku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengubatkan hatiku rindu

Sejakku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengubatkan hatiku rindu

Ku bentangkan perasaanku padamu
Untuk mengadilkan bisikan sukmaku
Ku bentangkan perasaanku padamu
Untuk mengadilkan bisikan sukmaku

Andainya kanda berikan asmara
Ku tukarkan dengan jiwa ragaku

Sejakku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengubatkan hatiku rindu

Ku jadikan kanda mahkota pujaan
Ambillah dinda untuk jadi suntingan
Ku jadikan kanda mahkota pujaan
Ambillah dinda untuk jadi suntingan

Ku perhambakan diri padamu
Kerana kandalah syurga bagiku

Sejakku bertemu padamu
Fikiranku telah terharu
Hanya kekanda yang akan dapat
Mengubatkan hatiku rindu


Nyanyian Filem: SALMAH ISMAIL
Nyanyian Suara: SALMAH ISMAIL
Ciptaan & Gubahan: P.RAMLEE
Lirik: S.HASSAN SAHAB
Iringan Musik: M.F.P. STUDIO ORKES
Nyanyian Piringhitam: SALMAH ISMAIL





NORMADIAH & DAENG IDRIS

SALMAH ISMAIL & DAENG IDRIS

LATIFAH & DAENG IDRIS

MARIANI & DAENG IDRIS

ANTARA LAKONAN NORMADIAH, SALMAH ISMAIL, LATIFAH & MARIANI

Empat isteri dilakonkan oleh Normadiah, Salmah Ismail, Latifah dan Mariani. Antara mereka, watak Rokiah yang dibawakan oleh Salmah Ismail, berada di depan. Watak tersebut sesuai dengannya. Riang, marah, sindir dan amuk telah dibawanya dengan baik sekali, tidak kekok.

Sekiranya ada festival filem Malaysia ketika itu, sudah pasti dia dicalonkan, mungkin juga menang anugerah 'pelakon wanita terbaik', mengatasi Normadiah, yang membawa watak Aminah sederhana saja, tidak mencabar.

Latifah dan Mariani, watak mereka terpinggir dan tidak sepenting Salmah Ismail dan Normadiah. Apatah lagi, watak Latifah kurang meyakinkan, manakala Mariani langsung tidak berdepan dengan tiga madunya kerana dia berada di Bangkok.

Latifah meninggal dunia kerana sakit, Mariani pula terbunuh diakibatkan perkelahiannya dengan Salleh Kamil.

Apa yang menarik, filem ini tidak ada hero, yang ada dua crook, A.Rahim dan Salleh Kamil. Peranan Daeng Idris, bukan hero, ia lebih condong ke arah 'actor in leading role' (pelakon lelaki peranan utama), dan sebagai suami kaya mata keranjang sangat sesuai dengannya.

A.Rahim, tidak menampakkan crooknya, tetapi Salleh Kamil ternyata berhati jahat sampaikan sanggap bergaduh dengan Mariani yang menyebabkan kematiannya.

Selain dicengkam dengan drama rumahtangga yang membebankan, S.Shamsuddin dan Siti Tg.Perak membawa suasana riuh rendah, menggeletek hati penonton. Tanpa mereka, pastinya ada sedikit kebosanan.

Pelakon ada nama, namun kurang penonjolan dari segi watak, Sa'amah dan Salmah Ibrahim, yang berperanan sebagai nenek Normadiah dan setiausaha A.Rahim.

Pada keseluruhannya, kesemua pendukung watak telah membawa watak masing-masing dengan baik dan memuaskan, terutama Salmah Ismail yang membawa watak Rokiah.


ANTARA BEBERAPA FOTO DI RE-SHOOT DARI DVD "EMPAT ISTERI"


SALMAH ISMAIL

DAENG IDRIS, A.RAHIM & SALMAH ISMAIL

NORMADIAH & SA'AMAH

SITI TG.PERAK & MUSTARJO

DAENG IDRIS & SALMAH ISMAIL

SALMAH ISMAIL & A.RAHIM

SALMAH ISMAIL, DAENG IDRIS, NORMADIAH, S.SHAMSUDDIN & SITI TG.PERAK

SITI TG.PERAK, LATIFAH, NORMADIAH, S.SHAMSUDDIN & DAENG IDRIS


DAENG IDRIS, A.RAHIM, NORMADIAH, SALMAH ISMAIL & LATIFAH

DAENG IDRIS, SALLEH KAMIL, MARIANI & MALIK SUTAN MUDA

MARIANI & SALLEH KAMIL



A.Rahim dan Salmah Ismail ditahan polis sebaik saja sampai di Bangkok.

Daeng Idris menyatakan kekesalannya kepada pertamanya, Normadiah, kerana berkahwin lebih dari satu.


FAKTA & ANGKA

* Selepas filem ini, Salmah Ismail (Saloma) berperanan jahat dalam filem "Adek-Ku". Kemudian disusuli "Azimat", "Kaki Kuda", "Saudagar Minyak Urat" dan "Seniman Bujang Lapok".

* Filem ini merupakan yang keempat Latifah berlaku dalam filem keluaran MFP selepas "Panggilan Pulau", "Merana" dan "Insan". Kemudian disusuli "Bernoda", "Menyerah" dan "Putera Bertopeng".

* Ini filem kedua Latifah berlakon dalam filem yang diarahkan oleh B.S.Rajhans. Pertama "Dahlia" keluaran Keris Film yang diusahakan oleh Ho Ah Loke.

* Satu-satunya filem Normadiah berlakon dibawah arahan B.S.Rajhans. Sebelum filem ini, dia membintangi "Sangsara", "Siapa Salah?", "Panggilan Pulau" dan "Perjodohan".

* Ini filem kedua Mariani berlakon dibawah arahan B.S.Rajhans. Pertama, "Raja Sahari" yang merupakan filem terakhirnya di MFP sebelum pindah ke Keris Film mengarahkan "Buloh Perindu".

* Dalam filem ini Latifah menggunakan nama asalnya, Fatimah. Nama itu turut digunakannya dalam "Che Mamat Parang Tumpol" arahan L.Krishnan yang dibintangi oleh Wahid Satay dan M.Amin.

* Di antara empat isteri, Latifah dan Mariani pernah berlakon di MFP, Cathay Keris dan Studio Merdeka. Salmah Ismail, MFP dan Merdeka Studio, Normadiah pula MFP dan Cathay Keris.

* Di antara empat isteri, hanya Normadiah dan Salmah Ismail pernah berlakon dalam filem keluaran Nusantara Film.

* Banyak iklan di surat khabar menggunakan tajuk "4 Isteri", tetapi mengikut fakta, tajuk yang seharus digunakan "Empat Isteri" seperti yang tercatat dalam credit title.





ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA
berapa banyakkah yang masih ada?


SIPUT SERAWAK
begitu kecewa gagal jadi pengarah filem

A.R. TOMPEL
lawaknya mencuit dan menggelikan hati

R. AZMI
berada dalam kamar sepi dalam kesepian

AHMAD MAHMOOD
ahmad mahmood bintang di langit seni

LATIFAH OMAR
ikon era gemilang filem melayu


SALMAH AHMAD
kejelitaannya terletak didagu, ya tak?



30 comments:

  1. Boleh Encik Mustafar nyatakan...berapakah filem lakonan bersama saloma dan mariani?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak banyak.
      Ditolak Saloma sebagai pelakon undangan,
      cuma ada empat saja.
      1. Empat Isteri
      2. Azimat
      3. Saudagar Minyak Urat
      4. Ahmad Albab

      Delete
  2. Harap dapat kiranya Encik Mustafar upload bahagian 2, 3 & 4 seberapa segera. Saya dah tak sabar nak tau bagaimana kesudahan ceritanya - Fatin, KL.

    ReplyDelete
  3. Saya memang ternanti2 entri terbaru en mustafar..alhamdulillah akhirnya muncul jua entri terbaru..semoga en.mustafar diberi.kekuatan dan.kesihatan yang baik..

    ReplyDelete
  4. Saya memang ternanti2 entri terbaru en mustafar..alhamdulillah akhirnya muncul jua entri terbaru..semoga en.mustafar diberi.kekuatan dan.kesihatan yang baik..

    ReplyDelete
  5. Terima kasih Tuan kerana sudah uploadkan serta komennya sekali mengenai filem yg tersangat lama saya tunggu2kan. Cuma cukup "curious" kenapalah latifah omar asyik tersenyum saja .. sedangkan ini adalah filem ke5 dia berlakon.

    ReplyDelete
    Replies
    1. latifah bukan pandai-pandai sendiri nak senyum atau ketawa tak tentu pasal. dah pengarah b.s.rajhans suruh dia buat begitu, dibuatnyalah

      Delete
    2. Latifah tersenyum kerana mahu disunting oleh Daeng Idris tapi realitinya (diluar filem) dia disunting kemudian oleh suami "neneknya" saamah.

      Delete
    3. Latifah tersenyum kerana mahu disunting oleh Daeng Idris tapi realitinya (diluar filem) dia disunting kemudian oleh suami "neneknya" saamah.

      Delete
  6. Tahniah Tuan Mustafar dan isteri atas entri yang amat saya nanti-nantikan ini.

    Lagu komedi nyanyian Siti Tanjong Perak, Mustarjo & S. Shamsudin ada iras-iras lagu Che Siti Lela Mayang (nyanyian A. Rahman & Julia).

    Setelah menonton bahagian 1, saya suka dengan lakonan Normadiah yang tidak nampak kekok... Lontaran kata-katanya juga dengan nada yang meyakinkan. Tentang lakonan Saloma, saya akui agak terkehadapan sedikit daripada Normadiah kerana peranannya sebagai isteri muda yang agresif dan menggoda... Tak sabar rasanya menunggu bahagian-bahagian yang seterusnya.

    Didoakan Tuan Mustafar dan isteri diberi kesihatan yang baik untuk mengendalikan blog ni. Aamin....

    ReplyDelete
  7. babak latifah dan saamah memang sudah lama saya mencari .. ada sebab tertentu kenapa saya suka sangat babak mereka berdua ini .

    ReplyDelete
    Replies
    1. iya saya tau.
      kerana latifah dan sa'amah bermadukan?
      boleh ed lokfc beritau, semasa mereka berlakon
      bersama dalam "empat isteri" itu, sudahkah latifah
      berkahwin dengan rahmat ali, suami sa'amah?

      Delete
    2. Belum lagi sebab filem ini ditayang pada hujung April 1955 sedangkan Latifah kahwin dgn Rahmat Ali pada awal tahun 1956 (15 Jan 1956). Mereka berdua juga dilihat berlakon dlm filem "Menyerah" yg ditayang pada awal tahun 1956 tapi bukan dlm babak yg sama. Saamah menjadi ibu kpd hero filem ini Yusof Latiff. Sampai skrg saya tidak tahu apakah sebab latifah kahwin dgn suami saamah yg ada ramai anak itu. Munkin terkena badi filem ini agaknya ! .. kerana rahmat ali itu 22 tahun lebih tua darinya.

      Delete
    3. This comment has been removed by the author.

      Delete
  8. Memang menarik artikel ini kerana saya tidak tahu tentang wujudnya filem "Empat Isteri" (EI) yang saya sangkakan sudah hilang seperti filem "Raja Sahari" (RS). Kalaulah salinan RS masih ada, tentu kita juga dapat menikmati filem klasik yang dibuat dalam bentuk "partly in colour" ini sepertimana dengan "Semerah Padi" (SP). Malangnya, adegan berwarna dalam SP telah potong daripada kebanyakan salinannya yang ada. En Mustafar beruntung kerana dapat menyaksikan keseluruhan filem SP termasuk adegan berwarnanya sebelum ia dipotong. Mujurlah ada orang lama seperti En. Mustafar, 'arkib lisan' kita yang dapat mengesahkan hal ini. Ada beberapa fakta dalam artikel EI ini yang ingin saya sentuh. Nama krematorium B S Rajhans dibakar ialah Bidadari (bukan Bidasari). Menurut En. Mustafar filem EI ditayangkan di panggung Lido (KL) dekat KL Sentral & panggung Lido ini dulunya dikenali sebagai Cathay. Adakah ini bermakna panggung ini telah bertukar tangan daripada pihak Cathay kepada Shaw Brothers? Setahu saya, nama Cathay digunakan dalam rangkaian panggung wayang milik syarikat ini manakala Lido digunaka secara ekslusif oleh syarikat Shaw Brothers dalam rangkaian panggung wayang miliknya.

    - NONAMA

    ReplyDelete
    Replies
    1. 1. maksud saya bidadari, salah ejaanlah tu. sudah diupdate.
      2. adegan lagu "putus kasih di semerah padi" nyanyian sa'adiah (suara momo) memang dalam color, telah dipotong.
      3. cathay nama lido sebelum diambilalih oleh shaw brothers
      dari Cathay, mula beroperasi pada 14 mei 1951.

      Delete
  9. Salam,

    Maaf mungkin saya keluar tajuk.

    Dalam banyak-banyak pelakon tahun 50an/60an yang terkenal, saya amat meminati seorang pelawak komedi yang sangat simple dan santai iaitu Putih Lawak. Dia ada berlakon dalam filem "Bawang Putih Bawang Merah" dan lain-lain filem selalunya bercorak zaman kesultanan melayu.

    Saya ingin tahu :
    1. Nama sebenarnya.
    2. Asal mana
    3. Tarikh Lahir/Meninggal
    4. Ada wariskah tidak

    Mungkin En Mustafar atau sesiapa pembaca blog ada maklumat berkenaan pelakon ini.

    Terimakasih.

    Nota : Saya ada terbaca berkenaan dua orang Professor dari UPM yang menulis buku tentang Hang Tuah ke Okinawa Jepun.

    Dengan izin : http://www.malaysia-instinct.net/2015/11/hang-tuah-mati-di-palembang.html

    Saya rasa sekiranya penulis skrip/penerbit filem Hang Tuah (P. Ramlee 1955) / Hang Jebat (Nordin Ahmad 1960) tahu tentang Hang Tuah ke Okinawa Jepun, maka akan berlainanlah cerita Hang Tuah dalam filem.

    Mungkin para pengkaji Sejarah/Arkeologi zaman sekarang agak maju teknik pengkajian mereka.

    ReplyDelete
  10. Almarhum Puteh Lawak mungkin mempunyai waris. Semasa pihak syarikat telefon pemerintah Singapura masih dikenali sebagai Singapore Telephone Board (STB), kemudian menjadi Telecommunications Authority of Singapore (TAS), kemudiannya Singapore Telecoms & kini SingTel, anak perempuan Allahyarham pernah berkerja dengan arwah kakak saya di pejabat yang sama. Anak perempuan Allahyarham - menurut cerita - mempunyai wajah mirip pelawak terkenal itu. Di mana anak perempuan Allahyarham itu sekarang, wallahualam, tidak diketahui.

    - NONAMA

    ReplyDelete
  11. Salam Nonama,

    Terima kasih banyak-banyak atas maklumat mengenai Puteh Lawak. Dengan zaman sosial media yang canggih ini, kita akan dapat research further mengenai pelawak ini.

    Berita terbaru :

    Pelakon Mariani (kakak pelakon Allahyarhamah Saloma) meninggal dunia (82 tahun) pada 07:32 malam di Lorong Sentul Jaya), Taman Kosmo Jaya pada 1 Disember 2015. Al-Fatihah.

    ReplyDelete
  12. Sedih bila mengenangkan seorang demi seorang seniman seniwati filem klasik kita pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Dulu, ketika mengiringi jenazah seorang rakan artis seangkatannya pada awal tahun 2000, seniwati Neng Yatimah pernah berkata pada seorang pemberita akhbar Berita Harian Singapura: "ini sajalah tinggal belen-belen pelakon lama kita yang masih ada" dalam nada yang amat sebak. Kini, Mak Neng sendiri berada dalam keadaan yang amat uzur pada usia 90'an lantaran menghidap penyakit kanser. Memang menjadi fitrah & hukum alam - setiap yang hidup akan mati tanpa mengira usia & status. Tentang pemergian seniman seniwati era filem klasik kita, bak kata sebait dua gurindam dalam lagu "Lagenda" (Sheila Majid) - 'patah tak tumbuh lagi, hilang belum berganti' kerana kebanyakan artis hari ini bukanlah anak seni yang betul-betul berdedikasi & komited hingga ke akhir hayat seperti seniman seniwati lagenda kita.

    - nonama

    ReplyDelete
  13. Setakat 02 Disember ini kalau tak silap, baki-baki seniman seniwati zaman kegemilangan filem Melayu klasik yang masih ada hari ini ialah :

    1. Jins Shamsuddin
    2. Sarimah
    3. Hashimah Yon
    4. Neng Yatimah (paling tua antaranya ; lahir 1924)
    5. K Fatimah
    6. Dayang Sofia
    7. Zaiton
    8. Wahid Satay
    9. Mat Sentul
    10. Salmah Ahmad (Salmah bt Lagio)
    11. Suraya Haron
    12. Yang lain-lain mungkin masih ada saya tak pasti siapa agaknya.

    Bagi saya yang membesar sebagai remaja akhir 70an, sudah tentu masih meminati filem Melayu klasik zaman keemasan terutamanya penerbitan sekitar 1955-1969.

    Faktor kenapa filem Melayu lama masih di minati dan masih orang berketawa ria walau di ulang tayang dalam TV beribu kali :

    1. Skrip / Lakun Layar yang berkualiti - kesannya ialah jalan cerita berjalan lancar dari satu babak ke satu babak, tidak kelam kabut dalam setiap minit aksi pelakon.

    2. Setiap pelakon ada keunikan cara tersendiri baik bidang komedi. Sebagai contoh kita semua tahu apa aksi Udo Omar (ummmhhh.. lasying nanti). Aziz Sattar (dengan gaya lenggang lenggok lembutnya). S Shamsuddin (dengan dialog "pekak", "aikkk") dll.

    3. Dari segi teknikal, dalam filem Melayu lama suara pelakon jelas, bunyi sekitar jelas. Saya tak faham kenapa agaknya filem sekarang suara pelakon macam dalam bilik, walau aksi di luar rumah. Audio juga memainkan peranan penting supaya penonton dapat merasai bunyi di luar rumah, di laut, di tengah pasar. Bukannya hanya suara pelakon. Saya tak pasti pembaca blog lain, mungkin boleh teliti audio suara pelakon dan suara sekilliling filem Melayu lama banding dengan zaman sekarang.

    4. Dari segi teknikal juga macam "Editing"/Suntingan, filem Melayu lama sangat lancar pergerakannya dari satu cut ke satu cut. Maaf, saya rasa sebagai penonton, melihat filem sekarang dia punya babak ke babak macam agak tidak tentu arah sifatnya. Maksud saya, filem Melayu lama kalau babak ke babak adalah bertahun lamanya tapi sangat betul cara editingya, tapi sekarang walau babak ke babak adalah mungkin 30 minit kisahnya, saya rasai ada macam kelam kabut sifatnya.

    5. Pelakon dahulu melakon dan menghayati watak adalah sangat serius dan tepat sifatnya. Kalau marah ... lihat sahaja cara Salleh Kamil dalam filem "Isi Neraka" dan lihat cara kebodohannya dalam filem "Abdul Wahab,Wahib,Wahub". Lihat sahaja marahnya S Shamsuddin kepada P Ramlee dalam filem "Antara Dua Darjat", begitu berkesan walaupun dia komedian. Sekarang pelakon komedi walau marah masih nampak senyum-senyum atau tersengeh-sengeh. P Ramlee tak usah ceritalah sangat dinamik variasi wataknya. Nordin Ahmad lakonannya sebagai Hang Jebat semua orang tahu gaya pahlawannya, marahnya, kesalnya, sedihnya....

    6. Tidak dapat dinafikan pelakon dahulu sangat disiplin dalam pelbagai aspek. Lihat keberkesanan pelakon Saadiah .... sehingga satu babak, di ulangi shotnya sehingga P. Ramlee rasa puas hati.

    7. Zaman sekarang semuanya serba canggih degan teknologi IT, Software, DIgital Cinematographynya .... itu semua tidak akan membuat filem itu bagus, selagi Skrip/Lakonlayar, teknik berlakon, jalan ceritanya tidak mencapai satu tahap yang menyentuh benar-benar hati penonton.

    8. Renung kembali filem Sri Mersing "bila Nordin Ahmad, Mustafa maarof dan ibu mereka Neng Yatimah... di halau oleh Sharif Medan dari kampung ....." Lihat betapa sedihnya keadaan tiga beranak itu sebagai anak perantau di negeri orang. Kali keseribu saya tonton filem ini, masih lagi terhiris hati bila lihat "scene" itu, macam kali pertama melihat.

    Sekian, dari penonton yang suka filem Melayu dan gembira kalau filem Melayu di iktiraf di peringkat antarabangsa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jangan lupa;
      1. Rosnani
      2. Maria Menado
      3. Nor Azizah
      4. Sharifah Aminah
      5. L.Krishnan (pengarah)
      6. Dan, siapa lagi ya?

      Delete
    2. - Momo Latiff (penyanyi & pelakon) Singapura
      - Nona Asiah (pelakon & penyanyi) Singapura
      - Ani Jaffar (pelakon cathay-keris) Kuantan
      - Anita Sarawak (penyanyi & pelakon "Dua Kali Lima") Luar Negeri

      Delete
  14. Selepas meluahkan perasaan sedih saya tentang pemergian para seniman seniwati klasik lagenda kita seorang demi seorang, saya telahpun bercadang untuk menyenaraikan nama-nama mereka yang masih ada. Ini sebelum sumbangan anon 11:32 disiarkan. Mungkin senarai ini akan bertali arus & diteruskan oleh para pembaca yang lain seperti anon 1:04 & 4:56. Tetapi tidak tergamak & tidak sampai hati ini untuk melakukannya sebab ia seolah-olah memberi amaran & "menjatuhkan hukuman mati"(death sentence) ke atas para seniman lagenda kita yang masih hidup. Cuma soalnya, bila, di mana & apakah puncanya. Bayangkanlah rasa sedih, pilu, cemas & bimbang di kalangan ahli-ahli keluarga & teman-teman rapat mentelah lagi tuan punya diri. Kita sepatutnya bersikap sensitif terhadap perasaan mereka semua. Kita perlu menulis secara berhemah & beralas (euphemistic). Sebagai contoh, di manakah mereka berada & apakah mereka buat sekarang, dll. Memang tidak salah malah disunnatkan dalam Islam untuk kita mengingatkan tentang mati. Lain pula yang dilakukan oleh En. Mustafar AR. kerana pendekatan En Mustafar amat disanjung & dialu-alukan. Dengan menyenaraikan nama-nama seniman & karyawan kita yang telah pergi dulu, ini adalah antara pelbagai cara untuk kita mengenang jasa & memberi penghormatan kepada para insan yang satu ketika dulu pernah bergiat & menyemarakkan dunia kesenian Melayu kita.

    - NONAMA

    ReplyDelete
  15. Komen NONAMA ada kebenarannya dari satu sudut. Kita faham sensitiviti keluarga yang terlibat dan kita seharusnya menghormati mereka dan warisnya. Itu sudah pasti.

    Pendapat saya mungkin dari satu sudut lain. Orang yang sudah meninggal dunia itu sudah menjadi ketentuan Tuhan dan kita doa kebaikan untuk mereka yang sudah pergi.

    Bagi saya untuk mereka yang masih hidup dan telah banyak berjasa dalam dunia seni dan hiburan untuk masyarakat tua dan muda, saya rasa bukan semua peminat filem Melayu tahu (yang sangat muda lagi tidak tahu) samada mereka ini masih hidup atau sudah tiada. Makanya penyenaraian nama artis yang masih hidup boleh memberi peluang kepada setiap lapisan masyarakat untuk mendoakan kesihatan dan kebajikan mereka dan mana tau ada pihak diluar sana yang ingin memberi sumbangan dalam bentuk apa sahaja, bukan hanya wang semata-mata. Ada keperluan lain boleh di beri tertakluk kepada keadaan dan kesesuaian seniman-seniwati lama itu sendiri.

    Mungkin pihak yang berkaitan seperti persatuan yang berpengaruh, mungkin boleh kaji-selidik dan kumpul nama-nama bagi para-para veteran yang masih hidup untuk melaksanakan apa yang patut seperti sumbangan sebagai tanda terimakasih kita kepada mereka ..... selagi mereka masih hidup. Saya rasa perkara ini sudah ada dibuat, tapi kita hendakkan aktiviti ini di pergiatkan lagi dan sentiasa dikemaskinikan.

    Contoh, mungkin boleh diadakan satu filem dokumentari dan menemuramah mereka yang masih hidup tertakluk atas persetujuan keluarga, sebab para veteran ini mempunyai ilmu yang sangat luas dan boleh dikongsikan kepada generasi muda lebih-lebih lagi kepada yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam dunia perfileman.

    Saya pernah lihat dalam TV, di England, setiap tahun di adakan upacara mengenang jasa tentera British (zaman Perang Dunia II) di bawa veteran-veteran yang sudah lanjut usia (ada yang 100 tahun), kebanyakannya atas kerusi roda di bawa berarak dalan satu cara ringkas dengan baginda Queen. Ini satu cara mengenang jasa orang lama tidak kira apa bidang sekalipun. Banyak lagi cara-cara lain sesuai dengan masyarakat kita Malaysia.

    Kita sayang filem Melayu. Kita sayang pelakon klasik filem Melayu lama. Kita harap akan lahir lagi banyak P.Ramlee, banyak Aziz Sattar, banyak Salleh Kamil, banyak Nordin Ahmad, banyak Latifah Omar dll, yang akan mewarnai industri filem kita. Kita idamkan filem Melayu sekarang akan bangkit kalau boleh lebih tinggi lagi dari zaman keemasan filem Melayu klasil sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    Nota : Di Indonesia/Brunei zaman 50an/60an kebanyakan rakyat negara itu kenal siapa P.Ramlee. Sehingga pengkaji filem Barat di universiti ada buat research berkenaan P.Ramlee. Sampai hari-hari terakhir hayat P.Ramlee, ketika festival filem 1973 di Singapura, berbondong artis luar negeri memberi salam kepada beliau, sedangkan orang Malaysia sendiri menjauhkan diri. Apa maknanya?

    - Kita harap pelakon veteran lama di beri peranan penting dalam filem Melayu sekarang selagi mereka ada kudrat, bukannya sebagai watak sampingan atau orang gaji. Kita hendakkan lahir generasi muda yang tahu erti hormat kepada pejuang lama dan menghargai mereka, bukannya memandang mereka macam kereta buruk. Bukankah generasi penggiat seni sekarang akan menjadi veteran dalam tempoh 30-40 tahun akan datang? Adakah mereka sekarang mahu di pandang rendah di waktu itu nanti?

    Sekadar renungan penonton filem Melayu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya lebih suka mengambil pendekatan begini.
      Heroine2 P.Ramlee.
      1. Kasma Booty (Bakti)
      2. Neng Yatimah (Takdir Illahi)
      3. Rokiah (Penghidopan)
      # Maria Menado, bukan heroine.
      4. Anjoran Nasib (Mariam)
      5. Sedarah (Rosnani)
      6. Ibu (Aini Hayati, bukan heroine)
      7. Hujan Panas (Siput Serawak)
      8. Siapa Salah? (Normadiah)
      9. Merana (Latifah)
      10. Penarek Becha (Sa'adiah)
      11. Sumpah Orang Minyak (Sri Dewi)
      # Marion Willis, bukan heroine
      12. Pendekar Bujang Lapok (Rose Yatimah)
      13. Nujum Pa' Blalang (Hashimah Yon)
      14. Seniman Bujang Lapok (Saloma)
      15. Ibu Mertua Ku (Sarimah)
      16. Labu Dan Labi (Mariani)
      17. Nasib Si Labu Labi (Murni Serawak)
      18. Si Tora Harimau Jadian (Fazliyaton)
      19. Masam2 Manis (Sharifah Hanim)
      20. Nasib Do Re Mi (Mahyon Ismail)
      21. Sesudah Suboh (Veera Wee)
      22. Gerimis (Chandra Shanmugam)
      23. 6 Jahanam (Nor Azizah)
      24. Dr.Rushdi (Sophia Ibrahim, bukan heoine)
      25. Laxmana Do Re Mi (Dayang Sulu)
      # Masih bersama kita;
      1. Neng Yatimah
      2. Maria Menado
      3. Marion Willis
      4. Hashimah Yon
      5. Rokiah
      6. Rosnani
      7. Sarimah
      8. Fazliyaton
      9. Nor Azizah
      10. Sophia Ibrahim
      11. Dayang Sulu
      # Tidak diketahui;
      1. Aini Hayati
      2. Sri Dewi
      3. Murni Serawak
      4. Veera Wee
      5. Chandra Shanmugam
      Ada lagi? Siapa boleh tambah?

      Delete
    2. Sangat menarik penyenaraian di atas :

      Selain hero-hero dan heroin-heroin, saya cuba menyenarai pelakon komedian yang senantiasa membuat kita ketawa riang semenjak duduk di hadapan TV hitam putih sekitar 70an sehingga zaman Astro sekarang. Tidak kira filem itu filem komedi, filem sejarah kesultanan Melayu maupun drama berat, pasti ada komedian sebagai pemangkin dalam pergerakan cerita filem itu. Saya tidak senaraikan P.Ramlee, Aziz Sattar dan S Shamsuddin, sebab mereka ini sudah di ketahui amat sangat hatta sampai budak kecik zaman sekarang. Di bawah senarai komedian yang tidak kurang hebatnya.

      1. Ibrahim Pendik - Anakku Sazali - Pendekar Bujang Lapok
      2. Ahmad C - Singapura di langgar todak
      3. Leng Hussein - Sarjan Hassan (Apek)
      4. M Zain - Labu Labi
      5. Wahid Satay - Badang / Che Mamat Parang Tumpul
      6. Putih Lawak - Bawang Putih Bawang Merah
      7. Daeng Harris - Arjuna (bekas bapa mertua P. Ramlee)
      8. Mat Sentul - Mat Tiga Suku / Mat Bond
      9. Udo Omar - Labu Labi / Nujum Pak Belalang
      10. Ahmad Nisfu - Nujum Pak Belalang / Abdul Wabab-Wahib-Wahub
      11. Dollah Sarawak - Masok Angin Keluar Asap
      12. Aini Jasmin - Pendekar Bujang Lapok
      13. Siti Tanjung Perak - Bujang lapok / Chelorong Cheloreng
      14. Ibrahim Din - Do Re Mi
      15. A R Tompel - Anak Bapak
      16. Zainal Gemok - Mabuk Kepayang (1962)
      17. A K Jailani - Do Re Mi (Ahli Mesyuarat Tingkap)
      18. Idris Hashim - Keluarga 69 (Pak Abu)
      19. Sharif Babu - Do Re Mi (Ceti minta hutang)
      20. Mak Enon _Laksamana Do Re Mi
      21. Mak Dara - Ibu Ayam / Aksi Kuching
      22. Mustarjo - Pendekar Bujang Lapok
      23. Hussein Lempoyang - Wow!! filem wahab/wahib/wahub
      Mungkin ini saja dalam pengetahuan saya setakat ini. Boleh di tambah lagi.

      Saya kira kekuatan filem komedi bukan hanya pada aksi, tapi juga dialog mereka yang kita tidak lupa sehingga hari ini. Kekuatan skrip komedi dulu terletak kepada dialog yang bersahaja tapi memberi makna yang besar.

      Contoh dialog terkenal :

      1. Saya nak jadi Hang Tuah. Apa?? Nak jadi Hang Tuah pakai selipar. Kuat makan. Itu bukan kuat, tapi gelojoh namanya. Nak jadi Hang Jebat. Apa??? Kalau orang tepis berterabur tulang rusuk. Filem apa? pasti banyak orang tahu siapa pelakon komedian yang mengucap dialog itu.

      2. ..asal aku cakap semua tak kena semua salah salah salah..memang salahlah bang lain yang disoal lain yang abg jawab..astaghfirullahalazim siti tu ikut mat nawab..eh eh,mngapa plak melarat ke mat nawab...

      Banyak lagi dialog-dialog lucu yang sangat hebat dan sungguh bererti dalam kehidupan kita seharian.

      Delete
    3. Pelawak2 yg tertinggal ..
      - Salleh Ghani - filem Satay, Tunang Pak Dukun, Che Mamat Parang Tumpol
      - Aman Belon - filem Sumpah Pontianak, Mahsuri, Satay, Pak Pandir Modern, Che Mamat Parang Tumpol (mamak mee), Hantu Rimau (boxing), Sumpitan Rachun (saudagar berlian),
      - Osman Pendek - Pak Pandir Modern (kadok)
      Mat Cetty (nama asal tak tahu) - filem Panggilan Pulau (ceti beli harta karun yg belanja kopi), Sumpah Wanita (nelayan), Che Mamat Parang Tumpol
      - Minah Yem (isteri Pak Yem Jaafar)
      - Ismail Boss - filem Tiga Botak, Masok Angin Keluar Asap (Jin), Gul Bakawali (Jin)
      - Momo Latiff - Pendekar Bujang Lapok, Mat Lanon, Mat Tenggek
      - Din Wan Chik - filem Mat Toyol (bomoh toyol)
      - Minah Hashim filem Masam2 Manis, Do Re Mi
      - Ahmad B - filem Jauh Di-mata (penarik beca)
      Ada beberapa lg dlm pencarian ..

      Delete
  16. Tuan-tuan puan-puan sekelian, bolehkan dikongsi maklumat berkaitan adik beradik arwah Latifah Omar? Tidak langsung saya temui di dalam mana-mana laman web.

    ReplyDelete
  17. tolonglah upload segera sambubgan filem empat isteri ni bang. saya melilau cari cerita ni 😭

    ReplyDelete