"Tribute... S.Roomai Noor". Peranannya Memajukan Filem Malaysia Sepatutnya Di Hargai. Update: 15/3/2021

i. Nasib ii. Berdosa iii. Selamat Tinggal Kekasehku iv. Bayangan DiWaktu Fajar v. Orang Minyak
Sumber (Youtube): Hp * edLOKfc * Hp * HP * edLoKfc

Sunday, October 5, 2014


SENIMAN OH SENIMAN

SENIMAN DAN SEJARAHNYA SEJAK 1976
Teks & Foto: Mustafar A.R.
Di Edit Di Semak & Di Susun: Zaini Yusop



PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI
tapi jasamu tetap dikenang dan dihargai

SEKSI SELEBRITI INDONESIA
nampak seksi bukan bererti dedah semua

# ULASAN & KRITIKAN___

* LEILA MAJNUN * MUTIARA * SERUAN MERDEKA * SINGAPURA DI WAKTU MALAM * CHEMPAKA * DEWI MURNI * PELANGI * CHEMBURU
* BULOH PERINDU * IMAN * PANGGILAN PULAU * PONTIANAK
* SUMPAH ORANG MINYAK * SELENDANG DELIMA * HANG JEBAT
* LANCHANG KUNING * SELENDANG MERAH * BAYANGAN DI WAKTU FAJAR * JAMBATAN MAUT * LAIN JALAN KA-SHORGA
* GELORA * PERMINTAAN TERAKHIR * CINTA DAN LAGU
* WUTHERING HEIGHTS * CREATURE FROM THE BLACK LAGOON
* SHANE * LOVE IS A MANY-SPLENDORED THING
* BATTLE HYMN * THE BRAVADOS * RASHOMON * CINTA PERTAMA

# 5 ARTIKEL PALING POPULAR___
(SETAKAT 5 OKTOBER 2014)

* SEKSI SELEBRITI INDONESIA (85,600) * SEKSI SELEBRITI MALAYSIA (59,340) * PERGIMU TAKKAN KEMBALI LAGI (56,178) * SELAMAT PENGANTIN BARU (35,753) * FILEM BOLLYWOOD TERHEBAT (13,251)





ZED ZAIDI PRESIDEN SENIMAN

ARTIS MUDA PEGANG TAMPUK SENIMAN
JANGAN CUBA ABAIKAN ARTIS VETERAN___
Oleh Mustafar A.R.

KRISIS dan pergolakan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tidak habis-habis, meleret-leret, berangkai-rangkai, lepas satu timbul satu lagi, semacam sudah tidak ada penyudahnya. Malang sungguh nasib Seniman.

Sejak terlibat dengan penubuhannya pada Jun 1976, sebagai salah seorang pengasas dan pernah memegang jawatan Setiausaha, saya tetap mengikuti perkembangannya sampai kini, dan apa yang berlaku baik atau buruk turut saya rasakan bersama.

Dalam AGM-14 yang lalu yang menyaksikan pemilihan semula Zed Zaidi memimpin Seniman, apa yang menarik, dalam pengamatan saya, ada kecenderungan artis-artis baru berminat dengan Seniman yang selama ini didominasi oleh artis-artis veteran saja.

Ini sesuatu yang positif, kerana corak pemikiran cergas dan tenaga masih muda, dapat membantu merancakkan aktiviti Seniman terutama menjaga kepentingan ahli-ahlinya, disamping membantu Kerajaan memperkasakan seni dan budaya Negara.

Selepas ini, diharap tidak ada lagi saman menyaman. Sekiranya ada, sesiapa merasa tidak puashati, selesaikan dengan secara berbincang dan berunding. Masuk Mahkamah kerja gila, tidak ada sesiapa yang untung. Lagi pun kita di Malaysia ini berapa keratlah sangat orang seni, bukannya macam Hollywood dan Bollywood.

Sudahlah begitu, ada pelbagai persatuan pula. Selain Seniman, ada Papita, Karyawan, Yayasan Artis 1Malaysia, Yayasan Artis Veteran dan entah apa-apa lagi. Tidakkah semuanya ini berpuak-puak. Anihnya, ada antara ahli-ahlinya dikalangan mereka yang sama juga.

Dalam AGM-14 yang lalu, kelihatannya ramai yang datang, termasuk artis-artis baru. Inilah yang menyebabkan Mustapha Maarof tewas, dan kekalahannya itu ada baiknya kerana beliau sudah kelihatan uzur dan ini penentu yang Seniman akan menjadi lemah, serta corak kepimpinan tidak berubah.

Kita perlukan orang muda menerajui Seniman, Zed Zaidilah orangnya dan kena pada tempatnya. Cuma, tingkahlaku saja harus diawasi, tidak terlalu lantang bersuara yang kadangkala kecelepurannya itu membawa akibat buruk, seterusnya menjejaskan kredibiliti Seniman itu sendiri.

Zed Zaidi menang besar, dengan 109 undian, sekali gus menewaskan dua calon lain, Mustapha Maarof dan Afdlin Shauki. Pada mulanya satu lawan satu, Mustapha Maarof dengan Zed Zaidi. Tiba-tiba entah dari mana datangnya Afdlin Shauki kacau daun, jadi calon bebas. Macam pilihan raya umum pula.

Ini juga penyebabnya, Mustapha Maarof gigit jari. Kalau tidak belum tentu Zed Zaidi boleh sandang jawatan Presiden. Baguslah begitu, nampaknya susah payah Zainuddin Zimbo melahirkan Seniman, sudah berbaloi. Jika kena gayanya, boleh jadi persatuan karyawan terbesar dan disegani.

Kata Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, “Bukan semua orang sukakan saya tetapi kemenangan memegang jawatan Presiden kerana hasil kerja saya sebelum ini. Mereka tahu apa misi yang ingin saya perjuangkan dan semuanya demi kepentingan karyawan tanahair.

“Memegang jawatan Presiden bukan satu yang mudah. Bagaimanapun, apabila ahli meletakkan kepercayaan mereka, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa perubahan kepada seni da budaya kita.”

DENDAM MENDENDAM

Tambahnya lagi, antara agenda utama yang ingin diperjuangkannya, Skim Insurans Seniman (SIS) yang telah diluluskan peruntukannya RM1.10 juta oleh bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim, yang kini telah dibekukan.

Timbalan Presiden Seniman disandang oleh Zack Kool atau nama sebenarnya Zulkifli Mohamad menewaskan Afdlin Shauki, Sofea Jane dan Sabree Fadzil.

Zahrin Ishak sebagai Setiausaha, Penolongnya Rena Tan. Pelakon terkenal, Vanidah Imran, sebagai Bendahari. Ertinya, jaga duit, terutama, yang tersimpan agak banyak di Amanah Raya.

Tujuh Ahli Jawatan Kuasa (Ajk) Seniman yang baru, Lisa Surihani, Sofea Jane, Jamaludin Mat, Khir Rahman, Sharifah Amani, Arash Mohamad dan Rashidi Ishak.

Dira Abu Zahar dan Adlin Aman Ramli sebagai Juruaudit (Pemeriksa Kira-Kira), bagi memastikan semua kewangan Seniman dibelanja dengan berjimat dan berhemah, tidak ada penyelewengan berlaku.

Sebelum itu, jawatan Presiden yang diperolehi Zed Zaidi ketika AGM-14 berlangsung pada 25 Mei 2013, telah dinafikan atas perintah Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman, AGM-14 pada tahun lalu tidak sah dan terbatal.

Ini kerana, adanya tindakan lima artis veteran memfailkan saman terhadap Seniman termasuk pemimpin-pemimpinnya bagi mendapatkan perintah mahkamah, untuk mengisytiharkan AGM-14 yang lalu tidak sah kerana disyaki adanya berlaku penyelewengan kewangan.

Mereka yang dinamakan sebagai plaintif, Abu Bakar Omar, S.Sahlan, Linda Buang, Mior Ahmat Zaudi dan Sonny Abdullah.

Dalam AGM-14 itu ternyata adanya pertembungan antara artis baru dengan artis veteran, dan yang menang boleh dikatakan ramai artis baru. Ini yang bagus, artis baru pimpin, artis veteran sokong.

Oleh yang demikian, diharap tiada dendam mendendam. Ertinya, artis veteran jangan diabaikan dan tidak diambil peduli. Kalau itu berlaku, tunggulah krisis baru bakal menjelma. Kerana Seniman hak semua ahli, bukannya hak individu.

Zed Zaidi harus ingat itu...


ZACK COOL (Timbalan Presiden) & Vanida Imran (Bendahari)

ZAHRIN ISHAK (Setiausaha) & Lisa Surihani (AJK)

ARASH MOHAMAD (AJK) & SOFEA JANE (AJK)

TIGA GAMBAR YANG MEMPERLIHATKAN SUASANA DI MESYUARAT AGONG SENIMAN (AGM-14) YANG BERLANGSUNG DI FINAS PADA 27 SEPTEMBER 2014.

ZED ZAIDI MENANG BERMARUAH___
Oleh Norhidayyu Zainal
Di Edit Oleh Zaini Yusop
(Sinar Harian, 30 September 2014)

KEMELUT dalaman yang melanda Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ternyata memberi tamparan hebat buat ahli-ahlinya.

Masakan tidak, sebelum ini, halatuju persatuan itu masih lagi terawang-awang dari segi kepimpinan selepas Mahkamah Tinggi memutuskan Mesyuarat Agong Tahunan Seniman (AGM) ke-14 pada 25 Mei 2012, tidak sah dan seterusnya terbatal.

Keputusan berkenaan menyebabkan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang dipilih turut tidak boleh bergerak.

Malah, sehingga 21 Januari lalu, mesyuarat AGM masih belum dapat diadakan untuk melantik kepimpinan baru persatuan yang boleh dianggap sebagai penaung artis-artis tempatan tanahair itu.

Tidak sah, menyebabkan segala usaha Presidennya, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, terhenti begitu saja.

Walaupun Seniman masih wujud, namun kepincangan serta pengguguran AJK menjadikannya seakan tidak ‘bernyawa’ lagi.

Segala aktiviti dan pengurusan lumpuh sehinggakan mereka terpaksa memberhentikan pekerja dan gagal menyalurkan sumbangan kerana kewangan persatuan dibekukan.

Begitupun, Zed Zaidi kembali mendapat kepercayaan ahli Seniman untuk menerajui kepimpinan sebagai Presiden apabila mendapat 109 undi pada AGM ke-14 persatuan itu, yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), 27 September 2014 lalu.

Bintang utama filem "Gila-Gila Pengantin Remaja" itu berjaya mengalahkan pesaingnya, Mustapha Maarof yang meraih 71 undi dan Afdlin Shauki (66 undi).

Menyifatkan kemenangan itu sebagai penebus maruahnya, Zed Zaidi bagaimanapun mengakui itu satu tanggungjawab berat yang harus dipikulnya.

Ikuti temu bual Zass dengan Zed Zaidi berkenaan perancangan dan halatuju Seniman selepas pelantikannya yang kedua sebagai Presiden Seniman.

* Tahniah, kerana berpeluang memegang kembali jawatan Presiden Seniman bagi penggal ini. Boleh gambarkan sedikit perasaan anda?

# Terima kasih atas ucapan itu. Kemenangan ini boleh dianggap sebagai penebus maruah saya apatah lagi selepas dimalukan di mahkamah. Saya sudah membuktikan pada masyarakat khasnya pada ahli-ahli Seniman yang kita benar-benar sah. Jadi, ini boleh menutup kembali malu dan maruah yang telah dirobek.

Ketika itu, prinsip sebagai presiden adalah untuk mempertahankan persatuan dan apabila kita kalah di mahkamah ia adalah kalah secara teknikal. Kekalahan itu disebabkan perlembagaan Seniman yang terlalu lemah dan sudah lapuk. Bagi saya itu semua sudah berlalu jadi kemenangan ini tidak boleh dipertikaikan lagi.

Jadi diharap sekarang ini, kita jangan hendak menuding jari kepada sesiapa lagi. Apa yang kita perlu fikirkan adalah untuk maju ke hadapan.

* Selepas ini, apakah perancangan dan matlamat Seniman?

# Peluang ini bermakna saya perlu meneruskan kembali kerja-kerja yang tertangguh seperti Skim Insurans Seniman, Perumahan Rakyat 1Malaysia, Kad Diskaun 1Malaysia dan Royalti. Meneruskan semula bermakna saya harus membuat kembali bermula daripada zero.

Selain itu, saya juga akan mencuba untuk meminda perlembagaan agar ia mengikuti peredaran zaman terkini. Contohnya, penggunaan media sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.

Saya berasa bertanggungjawab untuk mendapatkan kembali Skim Insurans Seniman itu supaya semua ahli dan penggiat seni berpeluang merasai insurans Seniman dan berkongsi sedikit kelebihan yang diberi oleh Kerajaan terhadap industri seni negara melalui penggiat seni.

* Ada yang kata anda memancing undi untuk kemenangan ini. Komen anda?

# Bagi saya, senang saja. Orang, jika sudah kalah, macam-macam akan bercerita. Malah, ada yang tidak puas hati. Ingin saya tegaskan, saya tidak langsung berkempen untuk jawatan presiden. Saya beranggapan, ahli-ahli Seniman percaya kepada saya kerana hasil kerja keras saya.

Sebelum ini, ahli-ahli Seniman yang lain tahu bagaimana saya berusaha untuk mereka dan mereka menerima kesannya. Jadi, apabila mereka menerima, maknanya mereka mengetahui bagaimana saya bekerja. Takkanlah orang yang boleh buat kerja, mereka akan membuangnya? Mestilah mereka akan mempertahankannya.

Jawatan itu tidak penting sebenarnya, sebaliknya pergerakan persatuan perlulah berjalan dengan betul bagi membantu ahli-ahli Seniman yang lain.

Saya pernah menjadi ahli jawatan Kuasa di bawah kepimpinan Mustapha Maarof dan Harun Salim Bachik kemudian kepada Timbalan Presiden dan akhirnya dipilih menjadi Presiden. Saya tahu mengenai selokbelok Seniman itu sendiri. Jika kita tidak tahu mengenai Seniman, bagaimana kita mahu berjuang untuk seniman?

* Bagaimana hubungan anda dengan pelakon veteran, Abu Bakar Omar?

# Saya tiada masalah dengannya. Malah, saya tidak bergaduh dengan dia. Segala masalah yang berbangkit bukanlah datangnya daripada saya, tetapi kepada kepimpinan yang terdahulu. Nama saya menjadi tempias lantaran nama persatuan yang terheret sekali.

Saya tiada kaitan langsung dengan kes saman terbabit. Oleh sebab, persatuan Seniman diletakkan sebagai defendan pertama, jadi, saya sebagai presiden ketika itu terheret sama. Saya hanya mempertahankan Seniman tetapi telah disalah anggap sebagai cuba menyorokkan fakta atau membantu orang menyeleweng padahal saya tiada kena mengena langsung mengenai kes itu.

* Dengan konflik dalaman, bagaimana anda mencuba memupuk kepercayaan ahli?

# Pertama, kita kena dapatkan satu kumpulan atau ahli jawatan kuasa yang bekerjasama. Apabila presiden cakap A, maka yang lain harus mengikutnya. Itu yang sepatutnya. Walaupun ada sedikit pertikaian, tetapi kita masih boleh berbincang selesaikannya. Ini kerana, apa yang presiden fikirkan itu adalah untuk kebaikan persatuan dan apabila ajk kuat maka presiden automatiknya kuat.

Kedua, kita perlu membuat program-program yang boleh meyakinkan ahli-ahli persatuan. Contohnya, saya kini lebih menekankan tagline 'Transformasi Seniman Maju, Bersatu, Martabatkan Maruah Seniman' - tagline ini adalah relevan dengan apa yang berlaku kini.

* Harapan anda?

# Jika boleh, saya tidak mahu lagi ada kes mahkamah, saman menyaman, kerana ini yang pertama kali dalam Seniman. Persatuan ini disaman ahlinya sendiri. Perkara itu memang ajaib. Kita tidak mahu ia berlaku lagi dan menganggapnya sebagai satu titik hitam dan sejarah paling terburuk dalam Seniman.

Kita perlu bersatu dalam meminda perlembagaan mempertahan persatuan selain maju ke hadapan dengan lebih profesional. Dengan pembabitan ajk yang baru, kita sama-sama memartabatkan maruah Seniman ke tahap lebih tinggi seterusnya menerima pandangan positif daripada masyarakat.

* Perkembangan terbaru anda?

# Saya sedang melanjutkan pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana Seni (Komunikasi) bagi fakulti Warisan Seni dan Kebudayaan di Universiti Malaysia Sabah. Saya membuat kajian industri hiburan tanahair. Selain berkhidmat untuk Seniman, ini salah satu sumbangan saya terhadap industri.

Apa yang penting, kita perlu selarikan praktikal dengan akademik kerana itu adalah kelebihannya. Secara tidak langsung, ia boleh membawa kepada pengurusan persatuan dengan lebih profesional.








PENGASAS SENIMAN (23 JUN 1976)___
* ZAINUDDIN ZIMBO
* HABSAH HASSAN
* HUSSAIN ABU HASSAN
* RUBIAH SUPARMAN
* KARIM LATIFF
* MUSTAFAR A.R.
* LAI JOO LIAN
* OMAR MANAN
* M.SANI
* OTHMAN HAJI ZAINUDDIN
* RAJA ISMAIL
* AINON ARIFFIN
* ZAHARI ZABIDI
* MOAMMED JUSOH
* SYED OMAR AL-SHAHAB


ZAINUDDIN ZIMBO, PRESIDEN PERTAMA SENIMAN

ZAINUDDIN ZIMBO BERAMAH MESRA DENGAN MAHATHIR MOHAMMAD KETIKA ITU BERJAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI

ZAINUDDIN ZIMBO SEDANG MENERIMA CENDERAMATA DARI MUSA HITAM SAMBIL DIPERHATIKAN OLEH SHARIFAH AMINAH.

ZAINUDIN ZIMBO YANG 'COLORFUL'
Oleh Amran Hamid
(Blog: TokCik Tengok, 11 Februari 2012)
Di Edit Oleh Zaini Yusop

Zainudin Zimbo bukanlah rakan rapat, tetapi saya mengenalinya sejak zaman ‘Federal House’ dipertengahan tahun 1960an, dan kemudian apabila Radio Malaysia berpindah ke ‘Wisma Radio’ Angkasapuri pada pertengahan tahun 1972. Ketika itu Radio Malaysia sedang sebuk berkembang memanjangkan siarannya dari 5.00 pagi hingga ke larut malam.

Kakitangan sambilan sangat diperlukan untuk meringankan beban kerja yang ditanggung oleh pegawai-pegawai yang terhad bilangannya. Itulah masa dan ketika orang-orang seperti Zainudin Zimbo mendapat peluang bertugas di ‘konti’, menjadi juruacara rancangan-rancangan tertentu atau berlakon dalam drama-drama radio yang semakin bertambah bilangan penerbitannya.

Zainudin Zimbo, seorang yang sangat ‘colorful’, sentiasa mewarnai gaya hidup dimana saja dia berada. Cerita-ceritanya boleh dikatakan melucukan tetapi adakalanya amat meyakinkan. Ketika meninggal dunia diawal 2004 umurnya sudah meningkat 60an, tetapi masih aktif dalam berbagai-bagai bidang, seperti berniaga, berpolitik, berpersatuan dan sebagainya.

Dia meninggalkan bidang penyiaran radio kira-kira pertengahan 1970an kerana sangat sibuk dengan bidang perniagaan dan dunia lakonan. Ketika itu saya telah diberi tanggungjawab untuk merangka jadual tugas ‘konti’ dan ‘pembaca berita’ untuk Bahagian Melayu.

Saya kerap menerima panggilan darinya minta ‘swap’ (ganti) tugas. Kebanyakan juruhebah sambilan lain tak suka ‘swap’ tugas kerana tidak mendapat bayaran bila ‘hutang tugas’ tidak berbayar. Zainudin Zimbo terpaksa berhenti kerana sukar meluangkan masa untuk bertugas.

Dia adalah kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, dan sangat berbangga dengan asal usulnya. Beliau sering menceritakan dikampungnya dia mempunyai seorang emak saudara yang sangat minat dalam siaran langsung bolasepak. Emak saudaranya itu sungguh minat bila mendengar ulasan selari yang saya lakukan kerana banyak unsur-unsur yang melucukan bila dibanding dengan pengulas-pengulas lain.

Tak sangka pula saya boleh berjenaka ketika membuat ulasan selari tetapi saya tidak menafikan selalu juga menyelitkan perkataan-perkataan yang ‘anih’ ketika bertugas untuk menyerikannya. Kali terakhir saya mendengar cerita emak saudaranya itu dipenghujung alaf lalu dikala dia memaklumkan ‘orang tua’nya tu dah meninggal dunia.

Walaupun sudah meninggalkan bidang kerja sambilan di radio, Zainuddin Zimbo masih berkunjung ke Wisma Radio untuk berlakon dalam rancangan drama. Suaranya parau lunak dan penyampaiannya amat semula jadi serta sesuai untuk siaran.

Kerap juga terdengar berita dia berlakon filem di Studio Merdeka, Hulu Klang, tetapi hanya memain peranan kecil saja. Sesekali sempat juga kami terserempak untuk bertukar-tukar pandangan sementara minum-minum dikantin Wisma Radio.

Ketika itulah, dia muncul sebagai orang kuat para pelakon dengan pandangannya yang lantang dan bernas sehingga dipilih sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia. Lama juga dia menerajui persatuan itu sehingga diiktiraf oleh Kerajaan dengan memberinya sebuah rumah di persimpangan Jalan Tun Abdul Razak/Jalan Yap Kwan Seng untuk menjalan aktivitidan pejabat.

Saya tidak pasti hal sebenarnya tetapi ramai yang mengatakan Zainuddin Zimbo dan keluarganya menetap dirumah itu buat beberapa ketika. Kini, rumah itu sudah tiada, ditelan arus pembangunan.

MEMINTA BANTUAN

Satu ketika dulu, dia memberitahu sedang menceburi bidang pembiakan dan perniagaan kerang di Kuala Selangor. Saya amat gembira mendengar kisah itu kerana salah satu kegemaran saya makan kerang! Tetapi kemudian, dia tidak lagi terlibat dalam bidang itu kerana sangat ‘competitif’ (saingannya hebat) dan seringkali kena ‘sabotage’ (terpedaya). Maklumlah dia terpaksa bergantung kepada orang lain untuk melaksanakan perniagaannya, sudah tentu terpedaya, bila ada yang main kayu tiga!

Lepas itu, Zainuddin Zimbo mengambil kesempatan dalam program penerbitan drama swasta TV yang dilaksana oleh RTM demi meluaskan bidang perfileman tanahair pada tahun 1980an dulu. Dia datang menemui saya untuk meminta bantuan meminta isteri saya, Junaidah, mengarahkan dua penerbitannya, satu kisah purba dan satu lagi romantis moden (tak ingat tajuk-tajuknya).

Pada mulanya saya enggan memberi kebenaran tetapi akhir sekali, pujukannya menyebabkan saya memberinya laluan, dengan amaran supaya dia tidak menggunakan nama saya. Ketika itu saya memegang jawatan Ketua Sukan RTM, tidak kena mengena dengan pembelian atau perolehan rancangan. Akhirnya dia juga tidak lagi menjadi penerbit drama swasta TV akibat resesi dan persaingan hebat.

Sungguhpun begitu, Zainuddin Zimbo meneruskan tugas dengan memberi khidmat orang tengah atau perantara, ringkasnya ‘broker’. Dia sentiasa ke sana ke mari mencari peluang untuk menjaja. Rasanya dia berjaya juga kerana kekuatannya dia seorang yang peramah dan mudah berkawan, serta petah bercakap dan amat ‘convincing’ (meyakinkan). Lagipun namanya memang terkenal, ada saja orang mencari dan ada juga yang mahu membantunya.

Zainuddin Zimbo dikatakan ada terlibat dengan projek ‘jualan langsung’ yang lumayan, jika kena gaya dan produknya. Tidak pula dia menceritakan bab tersebut tetapi mengikut kawan-kawan hidupnya mula jadi mewah dan dia tidak lagi perlu bersusahpayah. Dalam bidang politik dan pergaulan dia amat disenangi oleh orang-orang sekitaran tempat kediamannya di Datuk Keramat.

Suatu hari ketika mengunjungi rumah Zainal Abidin Zain, masa itu Timbalan Menteri Dalam Negeri, sempena Hari Raya Aidilfitri tahun 2002 di Ampang, ramai yang tertarik dengan rombongan seorang yang berpakaian lengkap sebagai Sheikh Arab. Saya tak ambil kisah sangat tentang Sheikh Arab itu kerana Timbalan Menteri sudah tentu mempunyai kenalan yang ramai dikalangan diplomat dan ahli peniaga antarabangsa.

Yang mengejutkan saya, apabila sedang sedap makan, tiba-tiba belakang saya ditepuk oleh Sheikh tersebut dengan salam dan bercakap bahasa Melayu. Saya kenal suara itu dan saya tenong wajah orang yang boleh dikatakan sudah berisi juga. Rupa-rupanya orang itu Zainudin Zimbo. Itulah sebabnya saya kata dia adalah orang yang ‘colorful’.

Kali terakhir saya berjumpa dengannya bila (Persatuan Veteran RTM (PVRTM) mengadakan Mesyuarat Agong Dwitahunan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya tahun lalu. Saya tak menduga dia sudah menjadi ahli. Mengikut laporan PVRTM, dia tokoh tunggal tempoh (tahun) itu menjadi ahli.

Seperti biasa, suaranya amat lantang mempertahankan projek ‘Radio Wanita’. Rupa-rupanya bila membaca laporan mengenai projek itu dia telah dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Awamnya. Bergaji pula. Dia telah berjumpa beberapa tokoh untuk memastikan kejayaan projek tersebut. Sejauh mana projek itu berada, tidak dapat dipastikan.

Seperti rakan-rakan lain yang mengenalinya, saya amat terkejut menerima berita, dia sudah kembali kerahmatullah.

# Zainuddin Zimbo meninggal dunia pada 19 Januari 2004.








RAHIM RAZALI (2) & BAHARUDDIN HAJI OMAR (3)

ISMAIL HUTSON (4) & AZIZ SINGAH (5)

ABU BAKAR KASSIM (6) & MUSTAPHA MAAROF (7)

HARUN SALIM BACHIK (8) & ZED ZAIDI (9)

PRESIDEN SENIMAN DARI 1976___
1. ZAINUDDIN ZIMBO (Meninggal Dunia)
2. RAHIM RAZALI
3. BAHARUDDIN HAJI OMAR
4. ISMAIL HUTSON (Meninggal Dunia)
5. ABU BAKAR KASSIM
6. AZIZ SINGAH
7. MUSTAPHA MAAROF (Meninggal Dunia)
8. HARUN SALIM BACHIK (Meninggal Dunia)
9. ZED ZAIDI


MUSTAFAR A.R. & AINON ARIFFIN

HABSAH HASSAN & RUBIAH SUPARMAN

YUSOF KELANA & WAZATA ZAIN

SETIAUSAHA SENIMAN DARI 1976___
1. AINON ARIFFIN
2. ARIFF SHAH
3. MUSTAFAR A.R.
4. WAZATA ZAIN
5. S.SAHLAN
6. NASIR RAHMAN
7. HASHIM ABDUL RAHMAN
8. KAMARUDDIN ZAA
9. YUSOF KELANA
10. ZAHRIN ISHAK


RUMAH SENIMAN YANG DIBERIKAN OLEH MUSA HITAM UNTUK PEJABAT DAN AKTIVITI SENIMAN, TETAPI TIDAK DIMANFAATKAN SEBAIK MUNGKIN. KINI, GHAIB DAN HANYA TINGGAL KENANGAN.

BANGUNAN JAYA (KINI BALAI BOMBA DAN PENYELAMAT), DI CHOW KIT ROAD, KUALA LUMPUR. DISINILAH LAHIRNYA SENIMAN...

ANUGERAH BERPRESTIJ SENIMAN UNTUK SHARIFAH AINI (KIRI) DAN JINS SHAMSUDIN (1978). PENYAMPAI, ZAHARAH ZA'ABA (KANAN) DAN MUSTAFFA YASSIN.

AHLI JAWATAN KUASA SENIMAN 1997/1998 YANG PIMPINAN ISMAIL HUTSON YANG DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN KE-4.

SENIMAN MENGHANTAR 5 AHLINYA KE FESTIVAL FILEM ASIA PASIFIK KE-24 DI SYDNEY, AUSTRALIA (1978). HUSSAIN ABU HASSAN, NOOR AZIZAH, AZIZ SINGAH, NOOR KUMALASARI DAN MUSTAFAR A.R.

HERO DAN PENGARAH FILEM BOLLYWOOD, RAJ KAPOOR, DIAPIT OLEH MAZNAH AHMAD (KANAN) DAN S.ZAMILA DI FESTIVAL FILEM ASIA PASIFIK KE-25 BERLANGSUNG DI SINGAPURA (1979).

AL-FATIHAH UNTUK P.RAMLEE. DARI KANAN: WAHID SATAY, YUSOF LATIFF, SONNY ABDULLAH, WAHAB YUSOF, M.DAUD KILAU, SALOMA DAN OMAR MANAN.

SENIMAN BUKAN SAHAJA BERGIAT DALAM SENI DAN BUDAYA, TETAPI JUGA BIDANG SUKAN. DUA GAMBAR DI ATAS SEBAGAI BUKTI. ATAS, BOLA SEPAK (LELAKI) DAN BOLA KERANJANG (WANITA).

BEGITU GEMBIRA MAK ENON BERGAMBAR DENGAN MAHATHIR MOHAMMAD. TURUT KELIHATAN GEMBIRA, HASMAH MOHD.ALI, NORMADIAH, SARIMAH DAN YUSNI JAAFAR.

NOOR AZIZAH DIKACIP KEPALANYA DALAM PEMENTASAN "KACIP EMAS" (KONSERT SENIMAN) DI STADIUM NEGARA PADA 4 DAN 5 OKTOBER 1977.

ISMAIL MAHMUD DAN NIK SINAR SURIA DALAM PEMENTASAN "KACIP EMAS" (KONSERT SENIMAN 2) DI DEWAN SRI PINANG, PULAU PINANG TAHUN 1977.

SENIMAN SERING MEMBERI SUMBANGAN KEPADA AHLI-AHLINYA. ATAS, DISAMPAIKAN OLEH A.SAMAD IDRIS KEPADA BALU SALIM BACHIK, HABSAH IDRIS. BAWAH, KEPADA V.SARANGAVANI OLEH SONNY ABDULLAH

MEMBERI BANTUAN BUKAN BERLAKU DIZAMAN ZAINUDDIN ZIMBO SAJA, TETAPI JUGA HARUN SALIM BACHIK. PADA SEPTEMBER 2010, ANTARA PENERIMANYA, LATIFAH OMAR, KARIM LATIFF, AZEAN IRDAWATY, KUSWADINATA, YAHAYA SULONG DAN HAMID GURKHA.

SENIMAN WUJUD BERINSPIRASIKAN
PERSAMA PIMPINAN P.RAMLEE___
Oleh Zaini Yusop

Lahirnya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), berinspirasikan Persatuan Artis-Artis Malaya (Persama) di Singapura pada tahun 1950an yang dipimpin oleh P.Ramlee sebagai Presidennya yang pertama.

Pada tahun 1974, Zainuddin Zimbo, telah menemui Idris Ibrahim (wakil rakyat Setapak) menyatakan hasrat untuk menubuhkan persatuan artis yang dikenali dengan pendeknya, Seniman. Idris Ibrahim bersetuju dan sedia membantu.

Berikutan itu, pada 23 Jun 1976 satu pertemuan telah diadakan di Bangunan Jaya, Kuala Lumpur dan terbentuklah Ajk Penaja Seniman dengan Zainuddin Zimbo sebagai Presiden, nadi penggerak.

Turut hadir, dan dilantik menganggutai Ajk itu, Habsah Hassan, Hussain Abu Hassan, Rubiah Suparman, Karim Latiff, Mustafar A.R., Lai Joo Lian, Omar Manan, M.Sani, Othman Zainuddin, Raja Ismail, Ainon Ariffin, Zahari Zabidi, Mohammad Jusoh dan Syed Omar Al-Shahab.

Di peringkat awal, Seniman beroperasi di Tingkat 1, Bangunan Jaya (kini, Balai Bomba Dan Penyelamat), dengan Setiausahanya, Mustafar A.R. dan dibantu oleh Kamal Pendek, selaku Penolong Setiausaha.

Tidak lama kemudian pindah ke rumah Kerajaan di Jalan Tun Razak/Jalan Yap Kwen Seng, Finas dan Bangunan PFM di Taman Melawati, Hulu Klang, hingga kini.

Pada 27 Mac 1977, berlangsunglah hari yang bersejarah bagi para anggota Seniman. Mesyuarat Agong Seniman yang pertama dilangsungkan Di Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, dengan dihadiri lebih 200 orang karyawan seni tanahair, dirasmikan oleh A. Samad Idris, Menteri Kebudayaan Belia Dan Sukan ketika itu.

Dalam mesyuarat tersebut, telah dilantik Ajk bagi tahun 1977/78 - Presiden (Zainuddin Zimbo), Timbalan Presiden (Zain Hamzah), Bendahari (Rubiah Suparman), Ketua Penerangan (Mustafar A.R.), Ketua Kebajikan (Zahari Zabidi), Ketua Drama (Aziz Singah), Ketua Hiburan (Taufik Ali), Pegawai Perhubungan Kebudayaan (Omar Manan) dan Ketua Displin (Haji Arshad).

Ahli Jawatan Kuasa - Noor Azizah, Hussein Abu Hassan, Lai Joo Lian, Raja Ismail, Sivaji Rajah, Karim Latiff dan Ainon Ariffin. Mustafar A.R. (atas perlantikan Presiden) dilantik semula sebagai Setiausaha.

Zainuddin Zimbo mengekalkan jawatannya itu hingga 1986, manakala Mustafar A.R. meletak jawatan kerana adanya sungutan di kalangan artis sendiri yang mempertikaikan artis patut pimpin Seniman, wartawan tidak perlu campur.

Menurut Mustafar A.R. yang suka berterus terang, yang kuat mempertikaikan kedudukan wartawan dalam Seniman - Jins Shamsudin, Saloma dan Jamil Sulong.

TERPAKSA DIBUBARKAN

Bagaimanapun, kalau diikutkan taraf seniman, Mustafar A.R. pun seniman juga. Beliau pernah menulis skrip "Hiburan Minggu Ini" (RTM) untuk Aziz Jaafar, Sarena Hashim dan Dhalan Zainuddin, skrip drama RTM dan menulis lirik lagu (rakaman piringhitam) nyanyian Norashid Taib dan Maria Bachok.

"Definasi seniman luas, bukan sekadar artis filem dan lagu saja," katanya.

Mustafar A.R. boleh mengekalkan jawatannya itu, tetapi sudah tawar hati untuk memimpin. "Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya..." sindir beliau, turut tercatat dalam majalah URTV.

Turut meletak jawatan yang berlaku pada bulan Mac 1979 itu, dua lagi wartawan - Bahyah Mahmood dan Omar Manan. Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail ikut sama kerana, simpati dengan wartawan.

Dalam pada itu, atas keprihatinan Musa Hitam (ketika itu Timbalan Perdana Menteri), Seniman telah memperolehi disebuah rumah yang terletak dipersimpangan Jalan Tun Razak/Jalan Yap Kwan Seng. Tetapi terpaksa dipulangkan semula kepada Kerajaan kerana Seniman gagal mengadakan AGMnya dan kemudian terpaksa dibubarkan.

Pada tahun 1989, atas kesedaran betapa perlunya Seniman, diwujudkan semula persatuan itu. Rahim Razali telah bertindak memulihkannya, dan menjadikan beliau sebagai Presiden kedua Seniman selepas Zainuddin Zimbo.

Bagaimanapun, dalam AGM Seniman yang diadakan pada tahun 1991, Rahim Razali menarik diri dari bertanding dan dengan itu muncullah Baharuddin Haji Omar sebagai Presiden ketiga, manakala Timbalannya disandang oleh Yusof Haslam dan Nasir Rahman sebagai Setiausaha.

Pada tahun 1997, perubahan pucuk pimpinan berlaku lagi dengan Ismail Hutson dilantik sebagai Presiden keempat, apabila Baharuddin Haji Omar enggan bertanding. Hashim Abdul Rahman kekal Setiausaha dan Azean Irdawaty dilantik sebagai Penolong Setiausaha.

Selepas itu, jawatan Presiden yang panas kerusinya itu, betukar ganti. Selepas Ismail Hutson, tiba giliran Abu Bakar Kassim, kemudian diikuti Aziz Singah, Mustapha Maarof, Harun Salim Bachik, Zed Zaidi dan yang terbaru, Zed Zaidi.


ANTARA KEJAYAAN SENIMAN
SEPANJANG PENUBUHANNYA___
Oleh Mustafar A.R.

* Memberi gelaran Seniman Agong dan Biduan Negara kepada P.Ramlee dan Saloma, 28 November 1978.
* Malam Penghargaan Seniman di Merlin (kini Concord) Hotel, Kuala Lumpur, sempena Festival Filem Asean Ke-8.
* Menghantar lima ahli Seniman termasuk Noor Azizah dan Noor Kumalasari ke Festival Filem Malaysia Ke-24 di Sydney, Australia.
* Menghantar 17 ahli seniman ke Festival Filem Asia Pasifik (1979) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.
* Konsert Seniman (drama pentas "Kacip Emas") dijayakan lebih 100 artis di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
* Konsert Seniman 2 (drama pentas "Kacip Emas") dijayakan lebih 100 artis di Dewan Seri Pinang, Pulau Pinang.
* Malam 23 Tahun Seniman (mengumpul dana) di Grand Ballroom, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
* Bantuan RM45,000.00 untuk menghantar anak Raja Ismail mendapatan rawatan perubatan di London.
* Menyampaikan RM790.000.00 kepada Mahathir Mohammad, sebagai usaha membantu pembinaan Kompleks UMNO Malaysia.
* Lebih 100 ahli Seniman bergotong royong membersihkan Rumah Seniman di Jalan Tun Razak/Jalan Yap Kwen Seng.


# Update akan dilakukan dari masa ke masa.



ANDA MUNGKIN JUGA MEMINATI___


FILEM KLASIK MALAYSIA

SALOMA

DEEPIKA PADUKONE

UTUSAN RADIO & TV

VICTOR MATURE

R.AZMI

LATIFAH OMAR





KONSEP PENERBITANNYA HARUS DIPUJI

Setelah diamati buku setebal 355 mukasurat ini, kesimpulannya konsep penerbitannya harus dipuji kerana ia berlainan sekali dari apa yang pernah disajikan sebelum ini. Dilihat pula dari segi kesungguhan kedua-dua insan (Datuk Aziz Sattar dan Mustafar A.R.) yang pernah mengenali P.Ramlee, banyak betul perkara yang boleh kita ambil iktibar, dan 20 tahun bukan masa yang sedikit untuk mereka menyiapkan buku yang cukup bermutu ini. Memang benar karya peninggalan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee tiada bandingan dan sumbangannya dalam bidang seni terus abadi dan terpahat dalam minda semua lapisan masyarakat, namun disebalik kehebatannya, buku ini yang turut menyelitkan gambar-gambar dari filem, sinopsis, ulasan dan pengalaman kedua penulis ketika pembikinan 66 filem P.Ramlee, ada memaparkan kisah menarik antaranya bagaimana P.Ramlee menceduk idea dari filem-filem luar negara untuk disesuaikan dengan filem-filem arahannya - KAKAK TUA.








3 comments:

  1. Inilah kisah mengenai persatuan Seniman paling lengkap pernah saya baca.
    Sesungguhnya, FK mendahului blog-blog lain dalam memberi informasi dengan fakta yang tepat dan betul.
    Bukan saja teksnya menarik tetapi juga dihiasi dengan gambar-gambar yang sukar diperolehi.
    Syabas Encik Mustafar dan isteri.

    - Azizan Baharom (USM) Pulau Pinang.

    ReplyDelete
  2. Saya ingatkan anugerah Seniman Agong yang diberikan kepada P.Ramlee dan anugerah Biduan Negara kepada Saloma dari Kerajaan Malaysia. Rupa-rupanya datangnya dari persatuan Seniman. Ini bererti, jasa Zainuddin Zimbo tidak boleh diabaikan begitu saja.

    - Peminat P.Ramlee & Saloma, Bandar Seri Begawan, BD.

    ReplyDelete
  3. Maaf, saya kurang prihatin & 'keep track' tentang perkara ini? Berapa banyakkah terdapatnya persatuan yang menggembleng, membela & menjadi sumber kebajikan para artis tanahair (termasuk yang masih wujud & yang telah terkubur)? Kalau di Indonesia terdapat PAPIKO & di Singapura pula, COMPASS.

    - NONAMA

    ReplyDelete